Tuesday, 2 June 2015

Sepupu Pun Sudah Goyang Maa...


Tanggapan umum dalam UMNO selama ini ialah Hishammuddin Hussein selaku Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan adalah orang yang sanggup sehidup semati dengan Najib Razak, bahkan jika ingin meninggalkannya pun, beliau mungkin yang terakhir sekali berbuat demikian.

Ia bukan saja disebabkan hubungan darah sepupu antara keduanya, tetapi yang lebih penting ialah Najib Razak juga dikatakan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan Hishammuddin mengekalkan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan 2013 lalu.

Ketika itu, Najib bukan saja dikhabarkan memberitahu beberapa pihak mengenai keinginannya agar Hishammuddin terus memegang jawatan Naib Presiden UMNO, bahkan campurtangannya juga dikatakan menjadikan semua 11 Bahagian UMNO di Pahang tidak memberi undi kepada Mukhriz Mahathir yang merupakan pesaing terdekatnya dalam pemilihan tersebut.

Akhirnya, dalam pemilihan itu, Hishammuddin yang pada mulanya diramal tewas kepada Mukhriz yang baru dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, berjaya memenanginya dengan undi tipis di tempat ketiga. Tempat pertama Naib Presiden UMNO dimenangi oleh Ahmad Zahid Hamidi dan tempat kedua oleh Shafie Apdal.

Sejak Najib menjadi Perdana Menteri, Hishammuddin dianggap penyokong paling kanan kepadanya. Banyak cakap-cakap juga menyebut Najib sedang merencanakan untuk meletakkan sepupunya itu sebagai penggantinya apabila bersara nanti dengan mengenepikan Muhyiddin yang menjadi orang nombor dua serta Zahid atau Shafie yang berkedudukan lebih kanan dalam UMNO.

Namun, kemelut berpanjangan mengenai 1MDB yang menyaksikan sokongan rakyat kepada Najib makin merosot hari demi hari dan berpaut kepadanya tidak lagi menjamin masa depan yang cerah, nampaknya turut membuatkan pendirian Hishammuddin juga goyang dibuatnya.

Dalam reaksinya mengenai laporan yang mengatakan Najib memberi kata dua kepada anggota kabinetnya sama ada mahu bersamanya atau mengundurkan diri jika tidak bersetuju dengan pelan hala tuju yang dibentangkan mengenai 1MDB, Hishammuddin jelas tidak lagi bersama atau senada lagi dengan abang sepupunya itu.

Menulis di twitter miliknya, Hishammuddin bukan saja tidak menyatakan sokongannya terhadap pelan pemulihan 1MDB itu, bahkan telah meletakkan tiga syarat mengenai sokongannya.

Katanya, beliau bersetuju dengan kata dua itu tetapi dengan syarat dilaksanakan tiga perkara iaitu, rasionalisasi, akauntabiliti sekiranya berlaku kesalahan dan ketelusan bagi kedua-dua perkara itu.

Ramai yang bertanya, apa sudah jadi dengan Hishammuddin sekarang, sudah berani letak syarat bagai kepada Perdana Menteri?  Apakah beliau sudah tidak ingin bersama dengan Najib lagi?

Sementara ramai menteri lain menyembunyikan reaksi mereka dan lebih gemar bersikap tunggu dan lihat terhadap kata dua Najib itu, Hishammuddin sebaliknya bersikap amat terbuka dan ini benar-benar mengundang banyak spekulasi dan perbualan ramai mengenainya.

Tetapi pendirian beliau itu mendapat sokongan daripada ramai pengikutnya  di Twitter dan mereka memuji ketegasan serta pendirian yang ditunjukkannya.

Apakah Hishammuddin kini melihat Najib sebagai pohon yang hampir tumbang dan beliau perlu menunjukkan pendirian yang sealiran dengan kehendak rakyat dan tidak lagi totok kepada sepupunya itu bagi mengelakkan masa depannya turut berkubur sama?

Mungkinkah pendirian berbeza dan mempamer unsur ketegasan itu kerana Hishammuddin sudah dapat membaca mood sebenar di kalangan ahli UMNO dan juga rakyat ketika ini?

Sebelum ini, hanya Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal yang dilihat jelas berbeza pendirian dengan Najib dalam isu 1MDB ini. Kedua-dua mereka bukan saja mengeluarkan beberapa kenyataan yang menunjukkan pendirian masing-masing, bahkan juga tidak hadir dalam beberapa perjumpaan antara Najib dengan kepimpinan UMNO sebelum ini.

Adakah tiga syarat Hishammuddin ini merupakan tanda-tanda beliau akan meninggalkan Najib tidak lama lagi? Berbanding pertalian darah dan jasa Najib kepada, apakah Hishammuddin akhirnya melihat kepentingan masa depannya lebih utama daripada segala-galanya?

Selepas Hishammuddin yang berdarah sepupu pun sudah goyang pendiriannya, siapa lagi akan berbuat demikian selepas ini? ( SH 02/06/2015 )

Ketika menteri lain berdiam diri atau menyembunyikan pendirian mereka berhubung kata dua Najib, Hishammuddin sebaliknya menunjukkan sikap terbuka dan beraninya...

Sambutan Besar-Besaran Untuk Muhyiddin Petang Ini?

Berikutan laporan yang mengatakan Perdana Menteri, Najib Razak memberi kata dua kepada anggota kabinet sama ada mahu bersama dengannya atau mengundurkan diri, secara automatik yang paling menjadi tumpuan  dan ingin diketahui pendiriannya tentu saja Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ini berikutan dalam isu 1MDB yang menjadi punca Najib memberikan kata dua itu, Muhyiddin dilihat paling lantang dan terbuka dalam menunjukkan perbezaan pendiriannya. 

Sebaik berakhir pilihanraya kecil Permatang Pauh, beliau lantas menyalahkan isu 1MDB sebagai punca kekalahan BN sambil menyebut kesukaran dirinya untuk berhadapan memberi penjelasan kepada rakyat kerana tidak tahu banyak perkara mengenai syarikat pelaburan yang ditubuhkan melalui idea Najib itu.

Kemudian, melalui video klip ucapannya di majlis tertutup dalam kursus kepada kepimpinan UMNO di Janda Baik, Muhyiddin sekali lagi menunjukkan perbezaannya dengan menyarankan agar Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan dibenarkan polis masuk menjalankan siasatan bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Di sebalik saranan beliau  yang mendapat respon positif daripada mereka yang hadir dalam kursus itu, Muhyiddin seolah-olah ingin memberitahu bahawa pandangannya dalam penyelesaian isu 1MDB ini langsung tidak didengari oleh Najib di mana walaupun pelbagai dakwaan dan pendedahan dilaporkan mengenai syarikat itu tetapi Lembaga Pengarahnya tetap dikekalkan oleh Perdana Menteri.

Lantaran itu, apabila timbul isu kata dua, walaupun Nazri Aziz mengatakan Najib tidak bermaksud demikian tetapi sebenarnya lebih menekankan tentang perlunya mereka bersama dan apa juga keputusan mestilah dalam satu suara, tidak dapat tidak, respon daripada Muhyiddin menjadi sesuatu yang paling dinanti-nantikan.

Apatah lagi, dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat lalu ketika Najib memberi kata dua itu, Muhyiddin tidak menghadirinya kerana sedang bercuti di luar negara.

Sehubungan itu, kepulangan Muhyiddin daripada percutiannya pada petang ini  tidak dapat dielakkan daripada menjadi "acara besar" yang menarik minat ramai, khususnya ahli UMNO untuk mengetahui pendirian beliau yang sebenarnya.

Di laman sosial dan grup whatsapp, sejak  semalam lagi sudah mula dihebahkan mengenai kepulangan Muhyiddin dari luar negara itu dan diminta mereka yang berkelapangan beramai-ramai menyambutnya.

Bagi yang kreatif pula, pelbagai poster turut direka dengan tujuan memancing keinginan lebih ramai untuk bersama-sama melapangkan masa menyambut kepulangan pemimpin yang dianggap mampu menyelamatkan masa depan UMNO dan BN itu.

Mengikut laporan, Muhyiddin akan tiba kira-kira jam 9.00 malam, 2 Jun dan acara menyambut kepulangannya akan diadakan di Bilik Anggerik, Balai Berlepas, KLIA. Mereka yang ingin menyambutnya diminta berada seawal jam 7.30 malam.

Sementara itu, Ketua Penerangan di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Tosrin Jarvanti juga giat menghantar kiriman SMS kepada rakan, kenalan dan penyokong Muhyiddin agar dapat hadir beramai-ramai ke majlis itu.

Berdasarkan kempen yang dijalankan dan keghairahan orangramai menolak kepimpinan Najib ketika ini, tidak mustahil sambutan kepulangan Muhyiddin ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan berlangsung dengan meriah.

Apakah Muhyiddin bakal membuat pengumuman penting di KLIA petang ini? Adakah petang ini akan tercetus babak baru dalam pergolakan UMNO, khasnya hubungan antara Muhyiddin dengan Najib?

Mungkinkah skala sambutan petang ini akan menentukan sama ada kata dua Najib  itu disambut Muhyiddin atau sebaliknya?

Berapa ramaikah pula menteri, timbalan menteri dan pemimpin UMNO yang berani hadir menyambut Muhyiddin petang ini nanti?

Hakikatnya, jika tidak ada sesuatu yang penting, mustahil sambutan untuk Muhyiddin ini hebahkan secara meluas kerana beliau sejak dulu dikenali sebagai seorang yang tidak suka disambut sama ada ketika pergi atau pulang dari luar negara.

Apa-apa pun, jom kita ke KLIA petang ini!! (SH 02/06/2015)

Inilah teks SMS yang dikirimkan oleh Tosrin sejak semalam...

Satu lagi idea kreatif untuk memancing keinginan ramai ke KLIA...

Monday, 1 June 2015

Kata Dua Letak Jawatan, Kenapa Najib Tak Sabar Tunggu Hasil Siasatan PAC?


Sebagaimana telah menjadi bualan ramai sejak semalam, banyak tanda tanya timbul jika benar Perdana Menteri, Najib Razak sudah ada keberanian memberi kata dua kepada anggota kabinetnya agar meletakkan jawatan jika tidak bersamanya dalam isu 1MDB.

Najib dikatakan memberi kata dua itu sebaik Menteri Kewangan Kedua, Husni Handzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB dalam mesyuarat kabinet, Jumaat lalu.

Dilaporkan juga, tiada ada seorang pun anggota kabinet yang menyatakan pendirian mereka tidak bersama Najib setelah diberi peluang berbuat demikian.

Bagaimanapun tidak pula dilaporkan sama ada setiap anggota kabinet diminta bercakap menyatakan pendirian masing-masing atau semua mereka hanya diam dan tidak memberi respon terhadap kada dua Najib itu.

Jika mereka diminta bercakap dan semua anggota kabinet menyatakan sokongan mereka, maka barulah ia boleh dianggap pendirian rasmi ingin terus bersama dengan Najib dalam kemelut 1MDB ini tetapi kiranya sekadar diam dan tidak memberi respon terhadap kata dua itu, tafsirannya boleh jadi berbagai.

Diam atau tidak memberi respon mungkin disebabkan ada anggota kabinet merasakan belum waktunya berbuat demikian, sedang menanti masa yang sesuai, mahu menunggu maklumat lebih detail mengenai 1MDB dan pelbagai lagi.

Atau mungkin juga ada yang beranggapan, "tak kuasa nak layanlah".

Selain diketahui umum beberapa anggota kabinet tidak sebulu dengan Najib dalam menangani isu 1MDB ini, bukan saja daripada UMNO, malah ada menteri MCA yang mengatakan terdapat hal berkaitan syarikat pelaburan itu tidak pernah dibincangkan dalam kabinet sebelum ini, mesyuarat kabinet Jumaat lalu juga tidak dihadiri oleh beberapa menteri.

Antara menteri yang dikesan tidak hadir ialah Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi kerana kedua-duanya berada di luar negara.

Jadi, kenapa Najib memberi kata dua itu ketika Muhyiddin terutamanya, tidak hadir dalam mesyuarat? Mungkin ada baiknya jika beliau berani mengulangi lagi kata dua itu ketika Muhyiddin hadir dalam mesyuarat kabinet akan datang.

Kiranya lebih berani, Najib juga seharusnya mengucapkan secara terbuka di khalayak ramai meminta menteri yang tidak bersetuju dengannya agar meletakkan jawatan sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum pemilihan 1987 dulu.

Selain itu, kenapa Najib tergesa-gesa memberi kata dua ini sedangkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC belum pun habis melaksanakan kerja mereka?

Kenapa tidak tunggu kedua-dua laporan itu disiapkan dahulu? Apakah dengan memberi kata dua ini bermakna Najib yakin kedua-dua siasatan oleh Ketua Audit Negara dan PAC bakal memihak kepadanya?

Tidakkah sebelum ini Najib dan para pengampunya selalu meminta para pengkritik 1MDB agar bersabar menunggu laporan audit dan siasatan PAC?

Bagaimana pula jika kedua-dua laporan itu nanti mendapati banyak yang tidak kena dalam perjalanan harian, urusniaga dan pelaburan 1MDB itu?

Adakah jika laporan itu tidak memihak kepadanya, Najib selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, sebagaimana termaktub dalam fasal 117 M & A syarikat pelaburan itu yang menghendakinya memberi kebenaran bertulis atas sebarang urusniaganya, mahu meletakkan jawatan secara sukarela pula?

Walaupun ada yang berpendapat kata dua Najib itu menunjukkan beliau sudah tidak boleh menahan sabar lagi dengan kritikan dan serangan Tun Mahathir terhadapnya serta mahukan pasukan kabinetnya betul-betul padu di belakangnya, ia sebenarnya belum tentu menjamin kemenangan berpihak kepadanya.

Kata dua ini mungkin merupakan tanda-tanda awal meletusnya perang yang lebih besar dalam UMNO. Dalam hal ini Najib hanya dilihat ingin mempertahankan kedudukannya sedangkan keyakinan ramai mengenai UMNO dan BN mampu menang dalam pilihanraya akan datang semakin menipis hari demi hari.

Ini bermakna jika ada pemimpin UMNO atau anggota kabinet yang mula bertindak berani memisahkan dirinya daripada menyokong Najib, habuan  menerima sokongan yang melimpah dari peringkat bawahan dan pertengahan dalam UMNO sedang menunggu mereka.

Berdasarkan klip video ucapan Muhyiddin di Janda Baik yang tersebar luas adalah bukti nyata isu 1MDB ini tidak menggembirakan majoriti ahli UMNO dan mereka yang berani menyanggah Najib akan menerima lautan sokongan dan dianggap hero dalam menyelamatkan masa depan UMNO serta BN.

Najib pula, dengan mula memberi kata dua, isyaratnya tidak lain ialah beliau semakin terdesak dan kehilangan idea lain untuk menyelamatkan kerusi Perdana Menteri dan Seri Perdana yang didiaminya. (SH 01/06/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...