Friday, 11 April 2014

Mahathir Ingat-Ingat Lupa Rupanya...


Setelah mengambil masa hampir dua minggu, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad akhirnya mengaku bahawa beliau memang berada di dalam negara ketika terjadinya peristiwa Memali pada 19 November 1985, sekaligus mengesahkan dakwaan yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam dalam sebuah diskusi politik di Kota Bharu pada 27 Mac lalu.

Dalam tulisan di blognya, Mahathir juga mengesahkan beliau hanya berlepas ke China pada 20 November iaitu sehari selepas tragedi tersebut.

Mahathir bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa dakwaan beliau berada di China itu bukan datang daripada pihaknya, bahkan dalam buku memoirnya juga tidak pernah menyebut perkara itu.

Sebelum ini ketika Musa Hitam membuat kenyataan di Kota Bharu itu, Mahathir meminta diberi masa untuk menyemak kebenaran apa yang dinyatakan oleh bekas timbalannya dengan alasan beliau tidak ingat mengenainya memandangkan ia sudah begitu lama berlaku.

Musa Hitam kemudiannya tampil dengan kenyataan akhbar yang panjang lebar untuk mengukuhkan lagi dakwaannya bahawa sememangnya Mahathir berada di dalam negara, sambil mengatakan beliau bersama pemangku Ketua Polis Negara ketika itu juga sempat memberi taklimat mengenai Memali kepada Perdana Menteri.

Musa juga menyebut bahawa beliau memujuk Mahathir agak membatalkan lawatannya ke China dengan tiga alasan iaitu kejadian Memali itu melibatkan Melayu dan Islam, berlakunya pula di negeri Kedah serta untuk menunjukkan keprihatinan dan ambil berat terhadap kejadian itu.

Bagaimanapun, menurut Musa lagi, Mahathir menolak pujukannya dan meneruskan juga lawatannya ke China itu.

Namun demikian, Mahathir mengatakan beliau tidak ingat bahawa Musa pernah memujuknya untuk tidak meneruskan lawatan itu.

Apa yang Mahathir ingat ialah Musa ada menghantarnya ke lapangan terbang bersama ramai yang lain untuk mengucapkan selamat jalan kepadanya. "Di ketika itu pun saya tidak ingat sama ada beliau ada menasihati saya supaya tidak pergi ke luar negara," tambah Mahathir dalam tulisannya itu.

Di sebalik Mahathir tidak pernah ingat sama ada Musa pernah memujuk atau menasihatinya agar tidak pergi ke China itu, beliau nampaknya ingat pula kehadiran bekas timbalannya di lapangan terbang itu.

Mahathir juga dapat mengingati bahawa sebelum beliau ke China itu, beliau telah melantik Musa sebagai pemangku Perdana Menteri atas keyakinan bahawa timbalannya ketika itu dapat menangani keadaan. Bahkan Mahathir juga dapat mengingati sekembalinya beliau daripada China pada 28 November, tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku di dalam negara.

Mahathir juga masih ingat bahawa Musa mengakui beliaulah yang bertanggungjawab atas peristiwa Memali itu.

Di ketika Mahathir masih dapat mengingati beberapa rentetan daripada peristiwa Memali itu, satu-satunya yang beliau tidak ingat ialah sama ada beliau pernah dipujuk atau dinasihati oleh Musa agar tidak meneruskan lawatannya ke luar negara itu.

Dalam usianya yang yang sudah menjangkau 89 tahun, sifat ingat-ingat lupa Mahathir mungkin boleh difahami dan boleh juga diragui tetapi sekurang-kurangnya ingatan beliau lebih baik daripada beberapa orang yang lebih muda daripadanya, termasuk bekas Ketua Pengarang Utusan, Zainuddin Maidin yang awal-awal menempelak Musa Hitam dan mengesahkan bahawa Mahathir tiada di dalam negara ketika terjadinya peristiwa Memali itu.

Sifat ingat-ingat lupa ini juga barangkali bertepatan dengan ungkapan yang selalu disebutnya sebelum ini bahawa Melayu adalah bangsa yang mudah lupa.

Dengan pengakuan Mahathir ini, walaupun beliau masih meletakkan beban tanggungjawab kepada Musa Hitam sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, sekurang-kurangnya sejarah baru mengenai Memali perlu ditulis semula setelah fakta sebenar mengenainya tersembunyi hampir 30 tahun lamanya.

Dengan pengesahan Mahathir sendiri beliau berada di dalam negara ketika itu, persoalannya ialah apakah peranan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu? Apakah waktu itu Perdana Menteri hanya berdiam diri?

Walaupun setelah hampir 30 tahun berlalu, dengan perkembangan terbaru ini barangkali ada keperluan juga untuk ditubuhkan Siasatan Diraja untuk menyemak semula fakta Memali dan menarik semula kertas putih yang telah dibentangkan sebelum ini.

Melalui pengakuan Mahathir ini, setidak-tidaknya nama Musa Hitam sedikit dibersihkan daripada persepsi dan tanggapan para penyokong Pas yang sebelum ini bulat-bulat menuduhnya bertanggungjawab atas peristiwa yang mengorbankan 16 orang yang diketuai oleh Allahyarham Ibrahim Libya serta 4 anggota polis. Pengakuan Mahathir ini juga tentunya melegakan Musa Hitam kerana ternyata beliau bercakap benar dan tidak berbohong.

Tetapi keseluruhan kejadian belum dijernihkan lagi. Segala-galanya kini terpulang kepada Najib dan kerajaan untuk mengambil tindakan seterusnya. (SH 11/04/2014)

Thursday, 10 April 2014

Eloklah Disiarkan Secara Langsung Majlis Tampar-Menampar Antara Dua Pemimpin Ini


Cabaran Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi agar bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee menamparnya sendiri serta diberi habuan wang tunai ssbanyak RM501 dan tidak perlu bersusah payah mencari orang lain untuk melakukannya, akhirnya disambut dengan tangan terbuka oleh pemimpin dari Sabah itu.

Untuk menjadikan acara menampar itu menjadi realiti, beliau mempelawa Zahid agar datang ke Lahad Datu atau Semporna secara sendirian tanpa diiringi oleh polis atau dikawal oleh pengawal peribadinya.

Seterusnya, kata Yong, wang RM501 yang diterimanya daripada Zahid itu akan didermakan kepada Tabung Wira Lahad Datu.

Ini bermakna sekarang ini terpulang kepada Zahid pula sama ada bersedia membenarkan pipinya ditampar atau sebaliknya. Jika bersedia, beliau perlulah memenuhi syarat dan permintaan Yong itu iaitu datang Lahad Datu atau Semporna secara peribadi tanpa diiringi oleh polis atau pengawal peribadinya.

Rasanya tiada alasan lagi untuk Zahid berdalih dalam perkara ini, kecualilah jika beliau tidak sedia pipinya ditampar oleh Yong Teck Lee.

Berikutan kejadian penculikan dua warga China dan Filipina di Semporna minggu lalu serta beberapa penculikan sebelum ini serta insiden pencerobohan di Lahad Datu, Yong yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah menyalahkan Menteri Dalam Negeri dalam mengawal keselamatan atas kejadian yang sering berulang di negeri Sabah.

Lantaran itu, beliau menawarkan RM500 kepada sesiapa yang dapat menampar muka Zahid atas anggapannya menteri itu telah gagal dalam menjalankan tugasnya.

Zahid kemudiannya meminta Yong Teck Lee agar tidak perlu bersusah payah mencari orang lain untuk menamparnya, sebaliknya mencabar pemimpin Sabah itu agar menamparnya sendiri dan beliau akan memberikannya ganjaran sebanyak RM501.

Sebelum itu, susulan penerbitan klip video oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang dianggap menghina Perdana Menteri, Najib Razak, telah menyebabkan sebuah NGO iaitu Isma menawarkan ganjaran RM500 kepada sesiapa yang berani menampar muka pemimpin DAP itu. Nilai tawaran yang diberikan kemudian ditingkatkan sehingga RM1200 tetapi tiada sesiapa yang menyahut, kecuali ada seorang pemuda bersalam berlapikkan telur busuk ditangannya.

Sejak itu kewajaran menampar seseorang mula menjadi polemik dan laporan polis juga telah dibuat terhadapnya. Bagaimanapun Zahid yang ditekan untuk bertindak terhadap Isma, telah menolak untuk berbuat demikian dengan alasan tawaran menampar bukanlah suatu bentuk ugutan jenayah sepertimana mengeluarkan ugutan mahu membunuh.

Zahid kemudian terus dikecam atas pendiriannya itu dan disifatkan sebagai menteri yang tidak begitu memahami undang-undang dan seolah-olah hanya mahu menyiasat setelah kejadian menampar itu benar-benar berlaku.

Tetapi kini, berikutan pendirian Zahid itu, kejadian menampar ini seperti terkena batang hidungnya sendiri. Beliau kini bukan saja tidak dapat lagi mengawal berlakunya tawaran menampar kepada sesiapa saja, bahkan juga terpaksa reda jika tawaran yang sama melibatkan dirinya.

Dengan kesediaan Yong untuk menampar sendiri Zahid dan mendermakan RM501 yang dijanjikan kepada Tabung Wira Lahad Datu, maka Zahid secara prinsipnya perlulah menyahutnya dan datang ke Lahad Datu atau Semporna tanpa diiringi polis atau pengawal keselamatannya. Beliau hanya perlu datang dengan penyokong-penyokong saja.

Sebagai menteri dalam negeri, ada baiknya juga jika Zahid dapat mengarahkan pihak polis supaya mengawal keadaan dan menyediakan pentas yang sesuai untuk acara menampar itu dilangsungkan sambil disaksikan oleh rakyat Sabah. Maklumlah ini merupakan acara yang julung-julung kali diadakan di negara ini dan melibatkan dua pemimpin yang "terlebih cerdik" dalam berpolitik.

Cabar-mencabar untuk menampar ini tidak sepatutnya berlaku jika kedua mereka sedikit matang dalam politik dan tidak membiarkannya berlarutan. Tetapi oleh kerana mereka nampaknya suka cara politik begitu, maka teruskan saja sehingga ada titik penyudahnya.

Lebih elok lagi jika dapat dibuat siaran langsung melalui televisyen ke seluruh negara supaya rakyat dapat melihat sendiri majlis menampar yang melibatkan dua pemimpin "paling cerdik" itu dilakukan. Mungkin juga dapat menjadi acara sempena Tahun Melawat Malaysia yang kini sudah kekurangan pengunjung berikutan insiden hilangnya pesawat MH370. Manalah tahu jika Zahid terasa pipinya sakit kena penampar Yong itu, beliau akan membalas balik dan berlakulah pula saling tampar-menampar antara kedua pemimpin tersebut.

Tentulah gempak dan gamat jadinya majlis itu. Lebih gempak dan gamat lagi jika selepas berbalas penampar itu, mereka bergusti pula. Barulah dunia politik kita betul-betul meriah dan menjadi bahan ketawa rakyat di mana jika sebelum ini ada yang menjerit, mengejek-ngejek dan melakukan aksi kurang sopan di Parlimen atau Dewan Negeri, rupa-rupanya ahli politik juga boleh beraksi lebih dahsyat daripada itu.

Moga antara Zahid atau Yong Teck Lee, tidak ada yang berdalih lagi selepas ini kerana rakyat sebenarnya sudah tidak sabar untuk menyaksikan majlis tampar-menampar ini. (SH 10/04/2014)

Wednesday, 9 April 2014

Budaya UMNO Sudah Meresap Dalam PKR?


Pemilihan pucuk pimpinan PKR akan berlangsung daripada 25 April hingga 11 Mei depan. Semua jawatan utama, daripada Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan ketua sayap dan lain-lainnya, nampaknya bakal menyaksikan persaingan yang sengit kali ini.

Walaupun Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah, kedua-duanya yang merupakan pasangan suami isteri, masing-masing telah mengemukakan pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden, tetapi dipercayai pertandingan tidak akan berlaku kerana salah seorang daripadanya akan menarik diri bila tiba masanya nanti.

Anwar sebelum ini telah mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden bagi mengambil alih jawatan itu daripada isterinya, tetapi hukuman lima tahun penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan menimbulkan persoalan sama ada dari segi undang-undang pertubuhan, beliau layak bertanding atau sebaliknya.

Jika didapati layak sudah tentu Anwar akan bertanding tetapi jika ada halangan dari segi peraturan, Dr Wan Azizah akan terus mempertahankan jawatan Presiden PKR yang disandangnya sejak parti itu ditubuhkan.

Di antara semua jawatan yang bakal dipertandingan itu, tumpuan tentunya lebih kepada jawatan Timbalan Presiden. Penyandang jawatan, Azmin Ali akan dicabar oleh Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution, Tian Chua (sekarang memegang jawatan Naib Presiden), K Rama dan Ganusegeran.

Persaingan bagi jawatan ini paling menarik bukan saja kerana memperlihatkan persaingan Khalid Ibrahim dengan Azmin Ali yang dianggap musuh tradisi dan bertelagah dalam beberapa isu seperti krisis jawatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS, bahkan juga memperlihatkan sejauh mana Khalid Ibrahim yang kedudukannya sebagai Menteri Besar cuba diganti dengan Anwar Ibrahim melalui gerakan KajangMove, masih mampu menonjolkan dirinya sebagai pemimpin utama dalam parti itu.

KajangMove itu bagaimanapun gagal berikutan keputusan mahkamah yang menghalang Anwar bertanding di Kajang dan tempatnya sebagai calon digantikan oleh Dr Wan Azizah.

Disebabkan jawatan Menteri Besarnya mahu digugat, maka Khalid mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden. Apakah setelah kedudukannya sebagai peneraju kerajaan negeri sudah selamat ketika ini, beliau masih ada simpati lagi?

Lebih menarik bagi perebutan jawatan nombor dua ini ialah dengan penyertaan Saifuddin Nasution yang sebelum ini diletakkan oleh Anwar Ibrahim sebagai Ketua Staff di pejabat Menteri Besar Selangor tetapi dikatakan tidak diberikan peranan serta tugas yang sewajarnya oleh Khalid Ibrahim.

Ada desas-desus mengatakan Saifuddin hanya diberi kerusi dan meja tetapi tidak diberi apa-apa tugas. Laporan lain pula menyebut bahawa Saifuddin sejak kebelakangan ini tidak menampakkan dirinya sebagai kakitangan di pejabat Menteri Besar kerana lebih banyak berada di pejabat PKR di Tropicana.

Adakah penyertaan Saifuddin sebenarnya hanya untuk "kacau daun" dan bagi memecahkan undi? Mungkinkah penyertaan Saifuddin untuk memudahkan Azmin mempertahankan jawatannya daripada direbut olrh Khalid?

Sementara Azmin akan terus mempertahankan jawatannya, Tian Chua dilaporkan akan menarik diri di saat-saat akhir kerana hubungan persahabatannya yang akrab dengan Saifuddin manakala K Rama dan Ganusegeran pula dipercayai tidak mampu memberi apa-apa kesan dalam persaingan tersebut.

Mengukuhkan lagi keyakinan itu ialah bilamana Saifuddin antara calon paling awal menubuhkan pasukannya sendiri bagi pemilihan kali ini dengan gandingannya turut disertai oleh Nurul Izzah dan Rafizi Ramli yang bertanding jawatan Naib Presiden.

Sementara Azmin dan Khalid belum menubuhkan pasukannya, kelajuan Saifuddin menubuhkan pasukan ini membuatkan ia mirip seperti kaedah pemilihan dalam UMNO. Dalam pemilihan UMNO adalah biasa mereka yang bertanding menubuhkan pasukan masing-masing dan bergerak meraih undi secara rakit. Pasukan paling popular dalam UMNO ialah Team Wawasan yang diterajui oleh Anwar Ibrahim ketika menyingkirkan Tun Ghafar Baba dalam pemilihan 1993.

Dengan Saifuddin sudah menubuhkan pasukannya dengan disertai Nurul Izzah dan Rafizi, calon- calon Naib Presiden yang lain yang seramai 13 orang semuanya, sudah tentu terpaksa juga memilih regu masing-masing.

Tidak seperti dalam pemilihan Pas atau DAP, walaupun pasukan itu mungkin ada, tetapi ia tidak begitu ketara dan penubuhan pasukan juga tidak diumumkan secara rasmi. Dalam Pas misalnya, walaupun ada kumpulan ulama, bukan ulama, team calon A atau calon B, tetapi ia tidak ketara kewujudannya.

Selain adanya pasukan, serangan bersifat peribadi dan memburuk-burukkan calon juga mulai ketara di media sosial, terutama yang melibatkan Azmin Ali dan Khalid Ibrahim. Penyokong Azmin sudah mulai menyerang Khalid manakala penyokong Khalid pula memperlekeh Azmin. Tindakan Khalid menolak debat juga menjadikan beliau sasaran kritikan lawannya serta melabelnya seperti Najib Razak yang turut takut untuk berdebat dengan Anwar.

Sekali lagi, ia juga mirip budaya dalam UMNO.

Bagi jawatan ketua sayap pula, perebutan bagi jawatan Ketua Wanita menyaksikan persaingan sengit antara Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dengan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail sementara persaingan sayap lain tidak begitu ketara ributnya. Zuraidah dikenali sebagai penyokong kuat Azmin manakala Rodziah pula berada di bawah pentadbiran Khalid sebagai Exco.

Selain terlihat seperti pertandingan proksi dalam bentuk fizikalnya bagi jawatan Ketua Wanita PKR, serangan berbentuk peribadi dan memburuk-burukkan lawan juga amat jelas antara kedua-dua calon ini. Zuraidah sudah memulakan serangan dengan mengatakan Rodziah sebagai pemimpin wanita yang tidak aktif sebelum ini dan hanya muncul ketika pemilihan ini saja. Beliau juga membangkitkan isu Rodziah yang menggunakan kedudukan dalam kerajaannya untuk memperolehi undi.

Rodziah pula menafikan adanya penyalahgunaan kuasa kerajaan negeri dipihaknya dan meminta dibuktikan segala tuduhan itu, sambil tidak menolak kemungkinan ianya merupakan taktik kotor lawannya untuk meraih simpati daripada pengundi.

Tidak dinafikan bahawa PKR mempunyai pengaruh di kalangan generasi muda dan penduduk bandar berikutan keagresifannya mendedahkan pelbagai penyelewengan dalam kerajaan tetapi oleh kerana sebahagian pemain utamanya berasal daripada UMNO, sedikit-sebanyak budaya parti itu turut meresap sama.

Dengan kemampuan menguasai kerajaan Selangor, diterima di bandar dan separa bandar serta semakin cerah peluangnya bersama PAS dan DAP untuk memenangi pilihanraya umum akan datang, keghairahan kepada jawatan nampaknya sesuatu yang perlu ditangani oleh PKR kerana adalah bahaya kepada penerimaan rakyat jika akhirnya budayanya tidak jauh berbeza dengan budaya UMNO. (SH 09/04/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...