Tuesday, 8 April 2014

Untuk Makluman Shahidan Kassim, Tindakan Musa Hitam Bukan Membuka Aib Namanya


Dalam usaha mempertahankan Mahathir Mohamad dan mengelakkannya daripada dijadikan bahan kecaman berikutan pendedahan Musa Hitam bahawa bekas Perdana Menteri itu sebenarnya berada di dalam negara ketika berlakunya tragedi Memali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim mengingatkan bahawa Islam melarang umatnya membuka aib orang lain.

Katanya, Islam menggalakkan umatnya supaya menutup aib orang lain dan sesiapa yang melanggarnya dianggap berdosa.

Dari segi moral, tutup aib orang dan Allah akan tutup aibnya di akhirat kelak. Saya ingat kalau hebat macam mana sekali pun, sebagai orang Islam elakkan daripada dedahkan aib orang dan sebagainya. Janganlah kebebasan bercakap mengurangkan pahala kita, demikian katanya di Parlimen.

Beliau memberi jawapan secara umum dan bersandarkan etika Islam itu ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pas Sepang, Mohamad Hanipa Maidin yang meminta beliau menjelaskan sama ada maklumat baru yang didedahkan oleh Musa Hitam berkaitan peristiwa Memali dan kenyataannya bahawa Mahathir berada di dalam negara dan bukan di China seperti tanggapan ramai sebelum ini, sebagai suatu kebocoran maklumat.

Kemudian dari itu, Shahidan juga menegaskan, jika bekas timbalan perdana menteri atau menteri, mereka tahu risiko melanggar Akta Rahsia Rasmi, ada hukumannya.

Penjelasan Shahidan tentang membuka aib orang lain dan hukumnya disisi agama Islam memang sesuatu yang benar. Rasanya semua orang Islam tahu perkara itu kerana kita memang sering diingatkan mengenainya sejak remaja lagi.

Cumanya, tindakan Musa mendedahkan di mana Mahathir berada ketika peristiwa Memali, meskipun kita sebelum ini diberitahu bahawa ketika itu beliau berada di China, bukanlah suatu perbuatan mendedahkan aib Mahathir. Tindakan Musa lebih merupakan suatu pencerahan dan menceritakan kebenaran kerana bersama dakwaannya itu, beliau juga tampil dengan bukti-buktinya sekali.

Lebih tepatnya, Musa hanya ingin membersihkan namanya kerana selama hampir 30 ini hanya beliau yang seolah-olah dipertanggungjawabkan atas kejadian Memali itu semata-mata kerana kononnya ketika itu Perdana Menteri tiada dalam negara dan berada di China.

Perbuatan mendedahkan aib ialah seperti menceritakan keburukan orang lain sedangkan aib seseorang itu tidak wajar didedahkan. Seperti dalam kes liwat dan video seks yang dikatakan membabitkan Anwar Ibrahim misalnya, pendedahan secara besar-besaran isu membabitkan beliau dengan mengusung tilam selama berhari-hari ke mahkamah tetapi kemudian tidak dipakai pun sebagai bahan bukti dan penyebaran videonya, itulah yang dinamakan mendedahkan aib orang lain.

Begitu juga penyebaran video dan rakaman suara mengenai pemimppin Pas, itu juga dikira mendedahkan aib orang lain. Banyak lagi contoh tentang mendedahkan aib ini sebenarnya, ia berlaku di kalangan pemimpin kerajaan dan juga pembangkang. Namun aib yang dimaksudkan dan dilarang oleh agama mendedahkannya sebenarnya lebih bersifat perbuatan peribadi seseorang yang mana ia menjadi perhitungan antara individu terbabit dengan Tuhannya.

Tetapi mendedahkan keborosan pemimpin berbelanja, hobinya suka membeli perhiasan mewah atau seumpamanya tidak boleh dikategorikan sebagai mendedahkan aib orang lain kerana sebagai pemimpin, seseorang itu dan keluarganya mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan dianggap tidak berhati perut jika mengamalkan gaya hidup mewah sedangkan masih ramai rakyatnya yang miskin dan susah.

Pendedahan tentang perilaku yang seperti itu lebih merupakan peringatan.

Pendedahan Musa tidak menjatuhkan aib Mahathir kerana sama ada beliau berada di China atau dalam negara bukanlah sesuatu yang mengaibkan atau bersifat peribadi. Dalam hal ini Shahidan tidak perlu terasa bahawa pendedahan Musa itu sesuatu yang mengaibkan Mahathir.

Ia lebih merupakan kebenaran yang disembunyikan. Jika kerajaan mempunyai bukti sama ada menyokong kenyataan Musa atau memihak kepada tanggapan sebelum ini yang mengatakan Mahathir berada di China, menjadi tanggungjawab kerajaan mendedahkannya kepada umum.

Bahkan, jika kerajaan mempunyai bukti tetapi tidak mahu mendedahkannya semata-mata kerana ingin menjaga hati atau nama seseorang pemimpin itu, ia lebih dianggap tindakan yang tidak bertangungjawab kerana menyembunyikan kebenaran sedangkan paksi kehidupan adalah kebenaran.

Sebelum Shahidan mengingatkan tentang balasan mendedahkan aib orang lain ini, ada baiknya beliau menujukan perkara itu kepada UMNO dan kerajaan sendiri kerana sepanjang rekodnya, mendedahkan aib ini bukan saja dilakukan oleh para pemimpin dan medianya untuk menyerang musuh-musuh daripada parti pembangkang tetapi juga merupakan senjata untuk menjatuhkan pemimpinnya sendiri yang dianggap musuh dan tidak disenangi. (SH 08/04/2014)

Monday, 7 April 2014

Ketirisan Masih Jadi Budaya Kerajaan


Membaca laporan audit bagi tahun 2013 yang dibentangkan hari ini, suatu kesimpulan yang nyata ialah maslah ketirisan, tidak amanah, sambil lewa, cuai dan mengutamakan kroni masih menjadi budaya di dalam kerajaan pimpinan BN yang hanya memperolehi sokongan undi popular sebanyak 47 peratus dalam pilihanraya umum lalu.

Masih kedengaran lagi berita-berita menyedihkan seperti projek gagal disiapkan mengikut jadual, nilai kontrak lebih tinggi daripada sepatutnya, pemberian kontrak kepada syarikat muflis, peralatan berhabuk dalam stor, bekalan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, syarikat yang dilantik lewat menyerahkan kutipan rumah PPR sehingga kerajaan menanggung kerugia, syarikat gagal menyiapkan projek dan sebagainya.

Walaupun menurut Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, laporan audit pada tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya berikutan pemantauan yang lebih ketat oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Jabatan, hakikatnya kerugian wang kerajaan masih banyak berlaku.

Dilaporkan lima kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri akan dipanggil dan 121 kes pula berkemungkinan berdepan tindakan, harapan orangramai ialah tindakan itu benar-benar menjadi kenyataan akhirnya.

Diharapkan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, isu berkaitan ketirisan dan penyelewengan yang didedahkan oleh Laporan Audit ini hanya meriah menjadi mainan di media-media saja tetapi tindakannya "habuk pun tak ada" atau kalau ada tindakan pun hanya ikan-ikan bilis saja yang diambil tindakan.

Seperti dalam laporan audit tahun lepas misalnya, isu berkenaan penajaan artis K-Pop telah menjadi isu besar dan percanggahan sama ada ia ditaja atau dibayar oleh kerajaan begitu jelas. Tetapi, meskipun setelah banyak percanggahan ketara didedahkan kepada umum, akhirnya tiada apa-apa tindakan pun diambil.

Yang ada hanyalah janji daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa artis K-Pop tidak akan dipanggil lagi dalam sambutan Hari Belia, manakala menteri sebelumnya, Ahmad Sabery Cheek hanya sekadar memenuhi formaliti dipanggil memberi keterangan saja dan PAC akhirnya berpuas hati dengannya sedangkan laporan audit sebelumnya adalah sebaliknya.

Keadaan seperti itu bukanlah sesuatu yang menggembirakan rakyat yang membayar cukai. Mereka mahukan kerajaan membuktikan ketelusannya dan tindakan yang diambil pula mestilah menampakkan kesan yang ketara.

Dengan janji PAC untuk memanggil lima kementerian dan 121 kes lagi bakal berdepan tindakan pada tahun ini, adalah diharapkan tindakan yang benar-benar berkesan dapat diambil dan menjadi hidangan yang menggembirakan bagi rakyat yang kini sedang berdepan dengan pelbagai kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang kian meninggi.

Sejak sekian lama, rakyat sebenarnya sudah letih menatap pelbagai berita mengenai ketirisan, penyelewengan dan salah laku setiap kali laporan audit dibentangkan, bahkan pernah dilaporkan ketirisan wang kerajaan menjangkau RM20 bilion setahun beberapa tahun lalu, namun tiada jua tindakan berbentuk pengajaran dan pencegahan yang konkrit diambil.
(SH 07/04/2014)

Sunday, 6 April 2014

Ibrahim Ali Kata UMNO Dan Pas Sama-Sama 'Biol', Pulak Dah...


Tanpa angin dan tanpa ribut, tiba-tiba saja Presiden Perkasa, Ibrahim Ali meluahkan kemarahannya kepada UMNO dan Pas yang disifatkannya gagal dalam memperjuangkan nasib Melayu dan Bumiputera, sebaliknya asyik bertelagah sesama sendiri sehingga matlamat perjuangan itu menjadi terabai.

"Pemimpin kita banyak yang 'biol', patut dihantar ke Tanjung Rambutan. Apa yang bergaduh pun saya tak faham. Kereta besar, rumah besar, hidup mewah, mahu apa lagi?

"Semua ada, nak apa lagi? Yang kita tuntut sikit saja - kesatuan ummah dan memupuk silaturrahim. Kalau ini tidak dijaga, Melayu akan hancur," katanya dalam sebuah majlis di Puchong.

Dengan latar belakang politiknya sebelum ini, kalau Ibrahim Ali meluahkan kemarahan kepada Pas, ia tidaklah menghairankan kerana setelah berjaya meminjam logo Pas dalam pilihanraya 2008 dan kemudian "mengencing" parti itu dengan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil Bebas tetapi condong kepada UMNO dan BN, beliau mungkin sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Pas.

Beliau kemudian menubuhkan Perkasa untuk memperjuangkan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tetapi langkahnya seringkali bersifat melampau sehingga tidak disenangi oleh banyak pihak. Dalam masa yang sama, kecondongannya kepada UMNO, BN dan kerajaan juga amat terserlah.

Tetapi setelah hampir diketepikan dalam pilihanraya 2013 lalu dan dikatakan hanya setelah adanya campurtangan Mahathir Mohamad yang menyaksikan calon UMNO di Pasir Mas tidak mengemukakan borang pencalonannya, barulah beliau menjadi calon Bebas yang disokong oleh UMNO dan BN dalam pilihanraya umum lalu.

Beliau bagaimanaoun tewas kepada calon Pas, Nik Abdul Nik Abdul Aziz dan sejak kekalahannya dalam pilihanraya umum lalu itu, beliau mulai agak kritikal terhadap UMNO, kerajaan dan Najib Razak meskipun sebelumnya Perkasa memperolehi banyak manfaat dan menerima bantuan kewangan untuk program-programnya daripada kerajaan.

Dalam beberapa isu, terlihat Ibrahim Ali dan Perkasa memuntahkan banyak serangannya terhadap Najib, UMNO dan kerajaan. Tetapi bila ada pilihanraya kecil, beliau selalunya berpatah balik menyokong Najib dan kerajaan serta menghalakan serangannya kepada pembangkang pula.

Sebab itu, ramai yang berkata, lebih-lebih lagi yang mengenali Ibrahim Ali, serangannya kepada Najib, UMNO dan kerajaan hanyalah "main-main" dan untuk menarik perhatian saja. Hati, cinta dan kasihnya tetap kepada kerajaan yang sedang berkuasa.

Cuma, bila kali ini beliau meluahkan kemarahannya kepada UMNO dan Pas sekaligus dengan menuduh kedua-dua parti itu dipimpin oleh pemimpin yang 'biol', maksud muntahan perasaannya itu menjadi pelbagai. Dengan karektor politiknya, tiada yang pelik jika beliau mendakwa Haji Hadi dan lain-lain pemimpin Pas sebagai 'biol' tetapi tentulah agak pelik bila dalam masa yang sama, beliau juga mengatakan Najib, Muhyiddin dan lain-lain pemimpin UMNO turut sama 'biol' sedangkan pemimpin itulah yang sering dipertahan dan ditemuinya sebelum ini.

Kenapa baru sekarang disedari mereka itu 'biol' oleh beliau? Tidakkah beliau sedar bahawa UMNO pernah menganiaya dan menyingkirkannya sebagai pemimpin sebelum ini?

Walaupun bersandarkan kekecewaannya terhadap nasib Melayu dan Bumiputera yang masih terabai, serangan 'biol' ini tentulah lebih ditujukan kepada Najib dan lain-lain pemimpin UMNO kerana merekalah yang sedang berkuasa dan mempunyai lebih peranan untuk dimainkan.

Ada pula seorang rakan lama Ibrahim Ali bertanya, adakah sikapnya yang bertukar-tukar wadah perjuangan sehingga dicatat sebagai pemimpin Melayu yang paling banyak bertukar parti - daripada Berjasa, UMNO, Semangat 46, UMNO kembali, meminjam logo Pas, Bebas dan kini Perkasa - lebih 'biol' dari segala 'biol' kerana ia juga tidak menampakkan keinginan untuk memperjuangkan Melayu tetapi lebih kepada survival peribadi? (SH 06/04/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...