Saturday, 3 August 2013
Politik Menantu Dan Politik Anak Hantu
Presiden Pas, Haji Hadi Awang tidak pernah tercemar kedudukan dan wibawanya sebelum ini. Tetapi kini kerana menantunya, Zaharudin Muhamad yang juga Ahli Majlis Syura Pas yang didakwa mempunyai pengaruh serta sering campurtangan dalam urusan parti, titik-titik hitam seakan mulai muncul membayangi kepimpinannya.
Ini mungkin sesuatu yang tidak dijangka oleh Haji Hadi sendiri, namun kini orang sudah bercakap macam-macam mengenai kepimpinannya. Semuanya kerana terlihat adanya pengaruh menantu dalam kepimpinannya sejak kebelakangan ini walaupun di zaman mudanya, Haji Hadi merupakan pemimpin yang digeruni dan disanjung tinggi.
Isu ini bermula dengan pertelingkahan beberapa kerusi antara Pas, PKR dan PSM dalam pilihanraya lalu. Di DUN Kota Damansara, Zaharudin dikatakan telah mempengaruhi Haji Hadi agar menandatangai surat watikah kepada calon Pas meskipun telah dipersetujui bahawa kerusi itu ditandingi oleh calon PSM yang menggunakan lambang PKR.
Disebabkan hal itu, kerusi Kota Damansara yang sebelumnya milik PR melalui calonnya, Dr Nasir telah berubah tangan kepada BN. BN seperti menang percuma kerana berlaku pertandingan tiga penjuru di DUN itu.
Di beberapa kerusi DUN di Terengganu yang berlaku pertindihan kerusi antara Pas dengan PKR dan kemudian timbul isu pil kuda dan sebagainya yang dibangkitkan oleh Haji Hadi sebagai alasan mengapa Pas turut meletakkan calonnya, juga dikaitkan dengan pengaruh Zaharudin terhadap bapa mertuanya itu.
Dalam isu Kota Damansara, Zaharudin juga berlaga angin dengan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang mempertahankan konsep pengagihan kerusi yang telah dipersetujui sebelum ini. Pertelingkahan itu berlarutan sehingga sekarang di mana Zaharudin masih mempertahankan hujahnya bahawa tindakan Pas yang turut meletakkan calon bukanlah penyebab calon BN menang di kerusi itu. Beliau memberikan alasan pengundi Kota Damansara adalah "educated" dengan turut mengambil kira latar belakang calon dan sebagainya sebagai asas untuk mengundi dan bukan semata-mata kerana berlakunya pertandingan tiga penjuru.
Sebenarnya adalah menyedihkan mengapa isu mengenai Karl Max, pil kuda dan sebagainya hanya ditimbulkan di saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon sehingga akhirnya telah menggugat persepakatan dalam PR dan menyebabkan bukan saja kekalahan di beberapa kerusi bahkan juga menyebabkan rakyat terus memilih BN kerana BN dilihat lebih berjaya mengurus masalah serta perbezaan dengan lebih baik berbanding PR.
Terbaru, Zaharudin yang dikenali dengan Din Ayam juga membangkitkan adanya golongan yang mahu menjatuhkan Haji Hadi sebagai Presiden Pas dan ini segera dikaitkan dengan usahanya untuk mengekalkan kepimpinan ulama dalam PAS dan cuba mengurangkan pengaruh golongan profesional yang berjiwa Islam yang mulai mengambil tempat dalam parti itu.
Zaharudin turut dikaitkan dengan beberapa tokoh berpendidikan agama dalam parti itu yang ingin ditonjolkannya seperti Nasharuddin Tantawi, Nik Abduh dan sebagainya. Pengaruh golongan profesional yang mulai melebar dalam Pas dikatakan ingin disekat pengaruhnya kerana Zaharudin ingin Pas kekal dengan identiti lamanya.
Tindakannya itu bagaimanapun menyebabkan seorang ahli seumur hidup Pas telah mengemukakan aduan kepada jawatankuasa disiplin parti kerana mendakwa Zaharudin membuat dakwaan tidak berasas dan menimbulkan ketidaktenteraman kepada parti.
Sejauh mana campurtangan dan pengaruh Zaharudin kepada bapa mertuanya sukar dipastikan. Golongan dalam PAS juga berbelah bagi mengenainya tetapi dengan caranya mempertahankan calon PAS bertanding di Kota Damansara sekurang-kurangnya menunjukkan peranannya itu tidak boleh dinafikan.
Walau apa pun peranan dan campurtangan Zaharudin sebagai menantu kepada Haji Hadi, keadaan ini mengingatkan rakyat kepada Khairy Jamaluddin atau KJ di era kepimpinan Pak Lah dahulu. Beliau juga sering didakwa campurtangan dan mempunyai pengaruh kepada kepimpinan Pak Lah sehingga akhirnya ia menjadi isu utama kepada Mahathir untuk menjatuhkan Pak Lah.
Walaupun KJ kini sudah boleh berdiri sendiri dalam politik tanpa dibayangi lagi oleh Pak Lah tetapi kewujudan "eleman budak-budak Tingkat 4" yang dikaitkan dengan KJ dan kaitannya dengan kejatuhan Pak Lah adalah suatu sejarah yang tidak boleh dinafikan dan ianya akan kekal menjadi rujukan sampai bila-bila.
Eleman menantu juga pernah menggerhanai kepimpinan Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan apabila menantunya, Ariffahmi Abdul Rahman dilantik sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Pelbagai isu dan persepsi cuba dibangkitkan mengenai kedudukan beliau itu dengan tujuan untuk mencemarkan kepimpinan Nik Aziz, termasuk mengenai amalan kronisme dan nepotisme.
Mujurlah Ariffahmi cepat digugurkan daripada kedudukannya sebagai CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Jika tidak, mungkin hingga sekarang, Nik Aziz turut dikaitkan dengan pelbagai isu mengenai peranan dan pengaruh menantunya. Hanya setelah menantunya tiada lagi berdekatan dengan jawatan Menteri Besar yang disandang oleh Nik Aziz, barulah Nik Aziz agak kurang menjadi bahan pertikaian mengenai wibawa dan ketelusan kepimpinannya.
Di dalam UMNO sekarang pula, isu menantu Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin turut menjadi percakapan ramai. Walaupun menantu Muhyiddin ini tidak terlibat dalam politik dan mempengaruhi perjalanan politik bapa mertuanya tetapi penglibatannya dalam beberapa kontrak kerajaan tetap menjadi isu.
Menantu Muhyiddin dikaitkan dengan pembekalan mesin biometrik untuk pemutihan pekerja asing di mana bapa mertuanya adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing. Dalam isu BestariNet kepada sekolah-sekolah seluruh negara, menantu Muhyiddin itu turut dikaitkan dengan konglomerat YTL yang memperolehi kontrak tersebut.
Sedikit-sebanyak imej Muhyiddin sekarang turut tercemar adalah kerana penglibatan menantunya dalam perniagaan yang ada kaitan dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.
Apa pun peranan menantu dalam perjalanan politik bapa mertua masing-masing di Malaysia ini, ia sebenarnya lebih banyak mengundang masalah berbanding mendatangkan kebaikan. Apa yang pernah dialami oleh Pak Lah dan Nik Aziz serta apa yang sedang dihadapi oleh Haji Hadi dan Muhyiddin, menyerlahkan hakikat itu.
Daripada anak menantu, peranan mereka sering bertukar menjadi "anak hantu", dibenci oleh sesetengah orang dan menimbulkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
Walaupun menurut kata Ketua Pemuda Pas, Nasharuddin Tantawi bahawa penglibatan menantu ini bukan sesuatu yang asing dan telah berlaku sejak zaman Rasulullah lagi tetapi tetapi barangkali menantu pemimpin di zaman itu berbeza dengan menantu zaman sekarang dari segi kecintaan kepada dunia dan kuasa.
Dan sebab itulah banyak menantu di zaman Nabi dan di awal perkembangan Islam dahulu dilihat lebih berjaya membantu menyemarakkan lagi obor perjuangan bapa mertua masing-masing berbanding menantu-menantu orang berkuasa di zaman sekarang ini kerana mereka hanya fokus kepada perjuangan semata-mata. Tidak pernah pula terdengar karenah menantu di zaman Nabi yang berlebih-lebihan sehingga menimbulkan kebencian pengikut.
Peranan menantu yang mendatangkan masalah bukan saja berlaku dalam politik tetapi juga dalam kehidupan seharian, terutama jika mertuanya kaya raya serta berada. Sudah banyak kisah-kisah menantu bertukar menjadi anak hantu ini menjadi santapan telinga sejak dulu sehinggalah sekarang tetapi nampaknya ia terus juga berlaku.
Bapa mertua sering malu alah dengan menantu kerana terlalu sayang kepada menantu yang menjaga anak perempuannya dengan baik. Lebih-lebih lagi bila ada cucu, sayang mertua kepada menantu naik berlipat kali ganda. Jika mertua ada kuasa atau kaya raya, keadaan ini sering diambil kesempatan oleh menantu sama ada mengaut faedah atau menonjolkan diri.
Kegagalan bapa mertua mengawal menantu dan memberi muka secara berlebih-lebihan adalah antara punca timbulnya masalah ini. Seringkali mertua menyayangi menantu melebihi kasih sayang kepada parti dan organisasi yang sedang dipimpinnya.
Menantu kepada orang-orang berkuasa pula, seharusnya menyedari kedudukan mereka sebagai menantu bukanlah suatu keistimewaan. Mereka mungkin hanya istimewa dalam keluarga tapi bukan dalam organisasi atau parti. Mereka sepatutnya kekal mencintai dan hanya berkahwin dengan anak pemimpin berkenaan saja bukannya turut mengahwini jawatan bapa mertua masing-masing. (SH 03/08/2013)
Thursday, 1 August 2013
Mahkamah Pilihanraya Hanya Untuk Mengekalkan Status Quo?
Pilihanraya umum ke 13 lalu yang diselubungi dengan pelbagai keraguan menyaksikan paling banyak petisyen bantahan dikemukakan. Setelah Pakatan menganjurkan perhimpunan Blackout 505 untuk mengajak rakyat menyuarakan bantahan terhadap keputusan pilihanraya itu, SPR yang ditekan dengan pelbagai masalah, daripada daftar pengundi meragukan sehinggalah dakwat celup jari yang hanya mengandungi pewarna makanan, menyarankan agar mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya mengemukakan petisyen bantahan untuk kes-kes itu di dengar di mahkamah pula.
SPR dengan bongkaknya juga berkata, walau ada sejuta bantahan dan perhimpunan pun akan mengubah keputusan pilihanraya, kecuali melalui petisyen di mahkamah.
Mahkamah khas pilihanraya kemudian ditubuhkan dan disarankan agar menyelesaikan kes-kes bantahan keputusan pilihanraya ini dalam tempoh enam bulan.
Bagi pihak Pakatan Rakyat, mereka telah mengemukakan 39 petisyen manakala BN pula sebanyak 21 petisyen. Dengan jumlah 60 kawasan pilihanraya yang dipertikaikan dan dibawa ke mahkamah untuk diadili kebenarannya, ia sekaligus menjadikan PRU 13 mencatat sejarah sebagai pilihanraya yang paling banyak mendapat bantahan.
Secara langsung, ia memberi gambaran bahawa bukan saja PR meragui keputusan pilihanraya kali ini, bahkan BN juga tidak puas hati dengannya.
Bagi PR pula yang sebelum pilihanraya lalu begitu yakin dapat menumbangkan BN dan menubuhkan kerajaan baru, menaruh harapan yang tinggi bahawa melalui petisyen yang dibawa ke mahkamah itu, peluang untuk mengakhiri era BN tetap ada berdasarkan pelbagai bukti yang dikumpulkan termasuk dalam bentuk gambar, rakaman video dan sebagainya.
Maka, dengan hanya kekurangan 23 kerusi berbanding BN, berbunga-bungalah harapan PR bahawa peluang untuk menjadi kerajaan masih belum berakhir lagi. Kini mereka menyandarkan harapan kepada mahkamah pula. Daripada 39 petisyen yang dibawa, jika sebahagiannya diterima tentu saja boleh menyebabkan kerajaan BN dan Najib tergugat jadinya.
Rafizi Ramli bersama-sama rakan daripada Pas dan DAP yang diberi tanggungjawab mengumpul bukti terpaksa memerah keringat, tenaga dan wang ringgit bagi tujuan itu, meskipun dalam masa yang sama terselit juga kebimbangan kemungkinan keputusan mahkamah tidak memihak kepada mereka.
Kini dengan beberapa kes petisyen sudah diputuskan oleh mahkamah, kebimbangan Rafizi itu nyata berasas. Semua petisyen, baik yang dikemukakan oleh PR mahukan oleh BN, telah ditolak oleh mahkamah dengan alasan teknikal dan hujah yang remeh. Semuanya ditolak sebelum dibicarakan.
Dalam masa yang sama, pihak yang gagal turut dikenalan penalti oleh mahkamah dengan jumlah puluhan ribu ringgit walaupun kes belum sempat dibicarakan. Bagi DUN Kuala Berang, di Terengganu pula, jumlah penalti yang dikenakan mencatat kadar paling tinggi iaitu RM150 ribu. Ia seperti ingin memberi amaran agar lain kali jangan suka-suka mengemukakan petisyen, kecuali jika sanggup kerugian puluhan ribu ringgit.
Baik PR mahu pun BN, masing-masing terpaksa membayar penalti yang ditetapkan walaupun tidak berpeluang memberikan hujah masing-masing dan mahkamah pula sudah menjadi seperti mesin penelan wang yang sentiasa kelaparan. Bayangkan jika suatu petisyen dikenakan penalti puluhan ribu sehingga angka tertinggi setakat ini RM150 ribu, berapa banyak wang yang perlu dihabiskan. Itu belum dikira lagi kos guaman, proses mengumpul dokumen dan sebagainya.
Keadaan ini menyebabkan ramai yang bersungut dan melahirkan rasa tidak puas hati. Anwar sendiri telah meminta Ketua Hakim Negara agar campur tangan untuk menegakkan keadilan. Bagaimana keadilan hendak ditegakkan jika sehingga ini semua kes ditolak atas alasan teknikal semata-mata?
Meskipun sudah banyak pihak bersuara mengenai isu ini dan di media juga disiarkan pelbagai rungutan, mahkamah pilihanraya nampaknya tidak memperdulikannya dan seperti sudah ada keputusan tetap mengenainya. Bukan saja petisyen yang dibawa oleh PR yang ditolak, bahkan yang dibawa oleh BN juga turut ditolak.
Keadaan itu tidak lain seperti ingin memperlihatkan keadilan dan supaya jangan ada mana-mana pihak yang bising. Dengan kecenderungan mahkamah membuat keputusan sedemikian rupa, akhirnya status quo kerusi BN sebanyak 133 kerusi dan PR sebanyak 89 akan kekal sehingga pilihanraya pilihanraya akan datang. Dan yang penting kerajaan BN serta kedudukan Najib tidak tergugat lagi.
Jika petisyen PR yang diterima dan terpaksa diadakan pilihanraya semula, ia mungkin dibimbangi memberi kesan kepada kerajaan sedia ada. Jika petisyen BN pula yang diterima, mungkin pula timbul tuduhan bahawa mahkamah berat sebelah dan memihak. Akhirnya, jalan tengah diambil dengan semua petisyen ditolak dan BN terus kekal berkuasa.
Nampak macam adil tetapi sebenarnya tidak adil kerana ruang perbicaraan, berhujah dan mengemukakan bukti ditutup sama sekali.
Kalau pun ada kebarangkalian untuk menunjukkan keadilan kepada umum, mungkin ada satu atau dua petisyen yang akan diterima oleh mahkamah nanti. Itu pun barangkali dalam kes-kes yang penghujung. Ini bermakna jika pun diadakan pilihanraya semuala, ia tidak mengubah atau menggugat apa-apa kewujudan kerajaan yang ada sekarang.
Maknanya, BN akan terus memerintah negara ini lima lima tahun lagi dan Najib juga akan kekal sebagai Perdana Menteri dalam tempoh itu.
Tidak dipastikan sama ada ini kerana adanya arahan daripada pihak-pihak tertentu atau memang hakim serta mahkamah pilihanraya ini mempunyai kecenderungan untuk memihak kepada kerajaan sedia ada, hakikatnya itulah tanggapan umum apabila melihat satu demi satu kes ditolak hanya kerana alasan teknikal semata-mata.
Jika sebelum ini PR yakin dapat menumbangkan BN dalam piliharaya, kemudian selepas pilihanraya dan keputusan diketahui, keyakinan itu beralih pula kepada sebahagian besar daripada 39 petisyen yang diyakini memihak kepada mereka, PR kini nampaknya terpaksa menguburkan semua harapan itu.
Harapan yang sebenarnya hanyalah dengan menunggu lima tahun lagi iaitu bila pilihanraya ke 14 diumumkan pula. (SH 01/08/2013)
Berpada-Padalah Dan Jangan Jadi Gila Kerana Akta Hasutan...
Kenyataan Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar yang mahu seorang ibu yang memulakan kehangatan isu murid makan di bilik persalinan di SK Sri Pristana dengan memuatkan gambar berkenaan di laman sosial Facebook, disiasat dibawah Akta Hasutan memang dianggap keterlaluan dan seperti memercikkan minyak petrol keatas api yang sedang terbakar.
Sebagai pemimpin, meskipun baru digugurkan sebagai menteri dan dinaikkan pula sebagai Pengerusi UMNO Selangor, beliau tidak seharusnya berlebih-lebihan dan menunjuk-nunjuk sebagai seorang pembela.
Tindakan beliau bukan saja menimbulkan keresahan kepada kepada rakyat, bahkan Presiden MCA Chua Soi Lek pun tidak dapat menahan dirinya daripada memberi komen sehingga mengatakan "Noh Omar sudah gila".
Memang ada gilanya dengan kenyataan Noh Omar itu. Jika pun ibu berkenanaan ingin disiasat, ia hanya perlu disiasat dibawah undang-undang lain, bukannya Akta Hasutan. Ini kerana beliau hanya tidak menggunakan saluran yang betul dalam meluahkan rasa tidak puas hatinya tetapi beliau tidak pernah sesekali mengaitkan isu makan di bilik persalinan itu dengan isu perkauman.
Tidaklah perlu juga, sebagaimana yang dilaporkan di media-media bahawa Noh Omar ingin menulis surat kepada pihak polis supaya tindakan segera diambil terhadap ibu berkenaan. Sekali lagi, beliau dilihat seperti ingin menunjuk-nunjuk semangat Kemelayuannya kepada umum.
Yang menjadikannya isu perkauman ialah beberapa blog dan pengendali laman sosial lain. Harus juga dicari apakah punca masalah kepada terjadinya insiden makan di bilik persalinan itu. Apakah ia sengaja dilakukan, ruang kantin yang sempit, sekolah kekurangan peruntukan atau sebagainya. Itulah yang sepatutnya diambil perhatian dengan bijaksana oleh Noh Omar dan kemudian mengemukakan cara penyelesaiannya, bukannya mencadangkan Akta Hasutan digunakan sambil menunjukkan wajah garangnya kepada umum.
Dalam konteks Selangor pula, Noh Omar sebenarnya mempunyai peranan untuk menambah-kukuhkan lagi UMNO di negeri itu sambil berusaha membawa BN kembali berkuasa setelah kehilangan kuasa sejak 2008 lalu. Untuk menawan kembali Selangor dan menjadikan BN diterima oleh rakyat, tidak cukup dengan sekadar menjaga satu kaum saja.
Keutamaan boleh diberikan kepada Melayu tetapi kaum-kaum lain tidak seharusnya diabaikan kerana dengan mengenepikan faktor itu hanya menjadikan impian menawan kembali negeri Selangor kekal sebagai angan-angan sahaja. Tambahan pula menunjuk-nunjuk wajah garang dan bengis, sama-sekali tidak menambahkan undi.
Noh Omar seharusnya juga sedar, tanggungjawab pemimpin ialah mententeramkan keadaan jika timbul isu-isu perkauman dan agama supaya kehidupan masyarakat kekal harmoni, bukannya mencurah minyak atau menambah-marakkan lagi api yang sedang terbakar.
Kadang-kadang terfikir juga, mentaliti sebegini pun boleh jadi pemimpin!
Dalam masa yang sama, kalau ibu berkenaan dituduh memainkan isu perkauman dan menimbulkan ketidaktenteramab, bukankah Noh Omar juga boleh dituduh memainkan isu dengan maksud yang sama? Tindakan atau kenyataan Noh Omar bahkan meberi kesan yang mendalam lagi. Sebagai pemimpin, berbanding ibu berkenaan yang sama seorang suri rumah, dosa pemimpin membakar semangat perkauman dan menimbulkan ketidakharmonian tentulah jauh lebih besar lagi.
Seharusnya dalam masyarakat berbilang kaum dan sering timbul isu-isu kecil yang kemudian diheret menjadi sentimen perkauman, peranan seorang pemimpin haruslah lebih rasional dan menyejukkan keadaan, bukannya menjadikannya bertambah panas.
Dalam pelbagai isu yang menjurus kepada perkauman sebelum ini, jika ada rakyat yang didapati melakukan kesalahan ke arah itu, tindakan memang seharusnya diambil. Ia seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan perkara yang sama di lain ketika.
Tindakan pasangan Alvin dan Vivian misalnya, memang tidak boleh diterima dan mereka wajar diambil tindakan. Beberapa tindakan menghina kaum dan agama sepertimana yang sudah diambil tindakan sebelum ini oleh pihak berkuasa juga, seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Tetapi dalam banyak keadaan terlihat bahawa para pemimpin juga turut dilihat membakar sentimen perkauman dan agama ini. Ada pemimpin yang mahu membakar kitab Injil, menghina agama lain dan sebagainya lagi.
Jika isu-isu sebegini tidak diambil tindakan terlebih dahulu, namun dalam masa yang sama pemimpin lebih ghairah mahu Akta Hasutan digunakan dalam kes-kes yang lebih kecil, walaupun Chua Soi Lek pun ada gilanya yang lain, memang ada kebenarannya bila beliau melabelkan Noh Omar "sudah gila".
Sebenarnya, isu-isu perkauman dan agama yang timbul sekarang ini hanyalah isu kecil dan masih boleh ditangani jika semua pemimpin bertindak dengan akal fikiran yang waras, menyeluruh serta tidak dipengaruhi sentimen yang sempit. Namun tidak mustahil ia akan terus menjadi besar dan marak serta memusnahkan keharmonian yang sudah terjalin selama ini sekiranya kita mempunyai lebih ramai pemimpin yang "gila" berbanding yang betul-betul waras.(SH 01/08/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)