Friday, 4 January 2013
Jika Benarlah Mahathir Di belakang Deepak...
Sejak Deepak Jaikishan muncul sebagai tajuk sensasi berita dan mengaitkan Najib serta Rosmah dengan pelbagai dakwaan, perkara yang menjadi persoalan umum mengenai usahawan karpet itu ialah dia dilihat bukan saja begitu berani tetapi seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.
Dia sudah membuat pelbagai dakwaan terhadap Perdana Menteri dan Rosmah. Daripada mendakwa memberi sejumlah wang kepada Najib, yang tentunya bermaksud seorang Perdana Menteri menerima rasuah daripadanya, menuduh Najib terlibat dalam akaun bersumpah kedua P Balasubramian untuk menafikan akuan bersumpah pertama yang mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes pembunuhan Altantuya sehinggalah kepada pelbagai dakwaan lainnya sama ada berkaitan Najib mahupun Rosmah, Deepak dilihat amat bebas untuk bercakap apa saja.
Dia boleh menuduh bermacam perkara, bebas mengadakan sidang akhbar dan senang dihubungi media untuk memberi komen mengenai konflik yang dhadapinya. Dia juga bebas bergerak seolah-olah tiada apa yang dibimbanginya.
Sementara Najib, Rosmah dan pimpinan UMNO lainnya tidak berani bersuara menyanggah apa yang disuarakan oleh Deepak, agensi kerajaan seperti polis dan SPRM juga bagaikan sudah kehilangan kuku untuk bertindak terhadap Deepak.
Secara logiknya, pihak polis mahupun SPRM boleh dengan apa cara sekali pun memanggil Deepak, sama ada untuk memberi keterangan atau menyiasat beliau bagi mengesahkan sama ada semua dakwaan yang dibuatnya itu ada kebenaran, mempunyai bukti atau sekadar dakwaan semata-mata. Lebih-lebih lagi yang dituduh dalam dakwaannya itu ialah Perdana Menteri, ketua eksekutif sebuah kerajaan.
Tetapi Deepak bukan saja terus bebas, bahkan seolah-oleh kebal daripada undang-undang.
Kenapa jadi demikian? Adakah Najib, pemimpin UMNO, polis dan SPRM berdiam diri kerana mengetahui semua dakwaan Deepak itu semuanya benar belaka? Atau mungkinkah Deepak dilindungi oleh seseorang yang begitu berpengaruh?
Persoalan mengenai keberanian Deepak ini bagaimanapun mula terungkai sehari dua lalu apabila bertebaran di dunia maya gambar-gambar yang menunjukkan kehadiran beliau di majlis sambutan hari jadi Tun Mahathir yang yang diadakan di sebuah hotel, baru-baru ini.
Kehadiran Deepak di antara 230 jemputan di majlis sambutan hari jadi eksklusif itu menimbulkan tanda-tanya atau sekurang-kurangnya membuktikan bahawa Deepak mempunyai hubungan dengan Mahathir, baik secara langsung mahu pun tidak langsung. Dalam masa yang sama, Najib tidak pula hadir di majlis tersebut.
Oleh kerana Deepak membuat dakwaan terhadap Najib sejak penghujung November lagi, lebih kurang tiga minggu sebelum sambutan hari jadi Mahathir itu, jemputan terhadap Deepak tentu saja boleh dibatalkan jika Mahathir tidak mahu dilihat mempunyai kaitan dengan peniaga karpet yang sedang menyerang Najib itu.
Namun Deepak tetap juga dijemput. Apakah Mahathir sengaja mahu melihat Deepak hadir di majlis sambutan hari jadinya yang turut dimeriahkan oleh kehadiran Shah Rukh Khan itu?
Tersebar gambar-gambar yang mengesahkan kehadiran Deepak di majlis Mahathir itu sebenarnya telah mengesahkan kesangsian ramai mengenai keberanian Deepak selama ini. Kini ramai yang percaya kemunculan Deepak dan keberaniannya menyerang Najib serta Rosmah adalah 'game' yang dipapan-caturkan oleh Mahathir.
Selain Najib, siapakah lagi yang begitu berkuasa di negara ini selain Mahathir! Cengkamannya terhadap kuasa selama 22 tahun dan nasib yang berlaku terhadap musuh-musuh politiknya sebelum ini membuktikan hakikat itu. Sebab itu Deepak kelihatan bebas membuat dakwaan, tidak diusik oleh polis mahupun SPRM serta tidak takut bergerak ke mana-mana.
Jika orang lain yang membuat dakwaan begitu serius terhadap seorang Perdana Menteri, barangkali sudah lama serangan balas dilakukan oleh para pemimpin UMNO lainnya dan agensi yang berwajib juga biasanya pantas mengambil tindakan. Tetapi tidak dengan Deepak.
Jika benar memang Mahathir di belakang Deepak dan sengaja mahu menunjukkan kehadiran Deepak di majlis hari jadinya, apakah muslihat bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang masih menjadi broker kuasa dalam UMNO itu?
Sehingga ini Mahathir masih berdiam diri, tidak menafi mahu pun menjelaskan bagaimana Deepak yang sedang mahu menjatuhkan Najib boleh hadir dan bergembira di majlis hari jadinya. Jika Mahathr terus berdiam diri, tujuannya tidak lain ialah supaya orangramai terus bercakap mengenainya dan mempercayai perkara itu.
Ia sebahagian daripada permainan Mahathir untuk menekan Najib.
Kaitan Mahathir dengan Deepak dan permainannya sebagai broker kuasa dalam UMNO untuk menekan Najib dapat dilihat melalui tulisan terbarunya dalam blog Chedet yang meminta rakyat supaya tidak memilih Anwar menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya umum akan datang, walaupun hanya untuk tempoh lima tahun.
Sebelum ini Mahathir sudah beberapa kali bercakap tentang bahayanya jika Anwar menjadi Perdana Menteri. Tulisannya yang terbaru ini adalah luahannya yang entah kali ke berapa untuk merayu kepada rakyat supaya mengenepikan Anwar.
Dengan berulang kali melahirkan kebimbangan itu, Mahathir sebenarnya sudah dapat merasakan UMNO dan BN akan kalah dalam pilihanraya akan datang, dan Anwar akan menjadi Perdana Menteri juga akhirnya, sesuatu yang amat ditakutinya. Beban utama kekalahan UMNO dan BN tidak lain ialah Najib dan Rosmah.
Dengan munculnya Deepak melemahkan Najib, di samping tekanan sedia ada daripada pembangkang, harapan Mahathir ialah supaya Najib menyedari realiti yang ada dan sedia berundur serta memberi laluan kepada timbalannya, Muhyiddin untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan, seterusnya mengemudi jentera menghadapi pilihanraya akan datang ini.
Selagi Najib tidak berundur, serangan Deepak dijangka akan berterusan. Melalui hubungannya yang rapat dan bebas keluar masuk kediaman Najib sebelum ini, Deepak diketahui mempunyai banyak rahsia mengenai Najib dan Rosmah. Pembelian barang kemas sebanyak RM13 juta dalam tenpoh tiga bulan untuk Rosmah sebagaimana yang didedahkan oleh Rafizi, mungkin hanya cebisan kecil daripada beberapa helaian pekung yang bakal didedahkan kepada umum tidak lama lagi.
Menjadi percakapan di kalangan pemimpin UMNO juga bahawa Mahathir sebenarnya lebih meyakini Muhyiddin berbanding Najib. Najib dan Rosmah bagi Mahathir terlalu besar bebannya bagi UMNO dan BN, cuma Mahathir dikatakan tidak mahu terlalu mengkritik Najib kerana bimbang ianya lebih memberi manfaat kepada Anwar.
Harapan Mahathir untuk memberi nafas semula kepada UMNO dan BN hanyalah dengan Najib sedia berundur dan menyediakan laluan kepada Muhyiddin seberapa segera. Deepak adalah senjata ke arah mencapai tujuan itu.
Tetapi jika senjata Deepak ini tidak cukup berkesan dan Najib terus mahu kekal sehingga pilihanraya umum, Mahathir mungkin menjadi insan paling sedih selepas pilihanraya umum nanti kerana terpaksa berperdana-menterikan Anwar Ibrahim juga akhirnya. ( 04/01/2013)
Wednesday, 2 January 2013
Najib Wajib Undur, Beri Peluang Muhyiddin Ketuai PRU 13
Belum pun sempat Najib menjawab pelbagai persoalan yang dilemparkan kepadanya berhubung urusniaga yang dipaksakan antara LTAT dengan Deepak dan Raja Ropeah serta kaitan dengan isterinya Rosmah Mansor, tiba-tiba sebutir bom lagi digugurkan untuk menggegarkan atmosfera politik negara.
Kali ini merupakan pendedahan oleh Rafizi Ramli melalui sumber yang dipercayai dekat dengan Deepak, tentang bagaimana peniaga karpet itu didakwa telah membayar sebanyak RM13 juta untuk barangan kemas, cincin dan batu permata untuk isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor.
Yang lebih menakjubkan, pendedahan yang turut disertakan dengan bukti invois dan resit bayaran, ialah pembelian semua barang kemas sebanyak RM13 juta itu hanya untuk tempoh 3 bulan sahaja.
Hebat! Malaysia Boleh! dan satu lagi bukti isteri pemimpin kita juga boleh menyamai kehebatan isteri-isteri pemimpin dunia yang pernah menjadi mainan bibir antarabangsa sebelum ini seperti Imelda Marcos, Laila Ben Ali, Suzanne Hosni Mubarak dan seumpamanya.
Meskipun Najib dilihat cuba menyelesaikan kemelut Deepak-Rosmah-Raja Ropeah dengan membawa masuk tabung wang pencen askar iaitu LTAT untuk membeli syarikat Deepak dengan bayaran RM30 juta iaitu jumlah kos yang telah dikeluarkannya sebelum ini, kemarahan Deepak nyata masih membara.
Beliau tidak saja mengeluarkan buku mengenai penglibatannya dalam akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P Balasubramanian bertajuk Black Rose yang mengaitkan Najib dan Rosmah didalamnya, pendedahan mengenai pembelian barang kemas RM13 juta ini seperti memberi isyarat bahawa Deepak tidak akan berhenti setakat ini sahaja.
Dipercayai lebih banyak pendedahan beserta bukti-bukti mengenai Rosmah dan Najib akan didedahkannya lagi selepas ini. Dengan tempoh edah kerajaan yang ada sekarang akan berakhir pada 28 April 2013 dan pilihanraya umum mesti diadakan sebelum tempoh itu, UMNO dan BN akan terus kelemasan jika satu demi satu bom lagi digugurkan oleh Deepak selepas ini.
Dengan menyerang Rosmah, imej dan kredebiliti Najiblah yang paling terjejas dimata umum. Rosmah bukan saja dilihat seorang isteri yang menyusahkan suaminya tetapi juga membebankan UMNO, BN dan kerajaan.
Beliau amat berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini. Watak dan perlakuannya amat bertentangan dengan Toh Puan Rahah, Toh Puan Suhaila, Tun Siti Hasmah, Tun Endan dan Tun Jeanne yang amat disenangi rakyat dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebiasaan serta kewajaran sebagai isteri seorang Perdana Menteri.
Sepanjang menjadi Perdana Menteri, Najib sentiasa dibebankan dengan pelbagai pendedahan mengenai Rosmah yang menjadi isterinya lebih 20 tahun lalu iaitu selepas Najib menceraikan isteri pertamanya, Tengku Puteri Zainah Iskandar. Dari keghairahan suka berbelanja mewah, longgokan beg tangan, cincin, timbunan pakaian mahal, mengadakan lawatan ke luar negara menggunakan kemudahan jet kerajaan, kemaruk dengan gelaran First Lady sehinggalah kepada suka menunjuk seolah-olah sama berkuasa macam Perdana Menteri, semuanya menjadi bahan percakapan dan sekaligus beban kepada Najib.
Dari masyarakat kelas atasan yang tinggal di Bukit Damansara hinggalah ke budak-budak sekolah rendah di ceruk setinggan, perbualan mereka jarang terlepas daripada topik mengenai Rosmah. Ada saja bahan tidak manis yang menjadi bahan perbualan mengenai Rosmah yang sampai ke telinga mereka dan kemudian dijadikan bahan bualan.
Dengan pelbagai pendedahan mengenai perilaku Rosmah selama ini, dan yang terbaru mengenai pembelian barang kemas RM13 juta yang bayarannya dibuat oleh Deepak, dan mungkin lebih banyak lagi selepas ini, Rosmah kini sudah menjadi beban berat bagi Najib. Najib tidak mungkin berupaya menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan selesa selagi beban itu ada disisinya.
Sudahlah beliau sendiri terpalit dengan pelbagai isu, menteri-menteri kabinet juga ramai yang terdedah tembelang masing-masing dengan pelbagai skandal, pendedahan mengenai Rosmah tentunya menambahkan lagi serabut di kepalanya. Ketika suaminya berserabut, Rosmah sepatutnya menjadi pendamping yang mampu membawa ketenangan kepada jiwa suaminya.
Sebaliknya kehadiran Rosmah sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri, hanya menjadi beban dan juga kebencian rakyat.
Ramai pemimpin UMNO sendiri yang geleng kepala dengan perangai Rosmah ini. Mereka sendiri tidak yakin UMNO mampu melawan arus penolakan rakyat berikutan satu demi satu karenah yang ditunjukkan oleh Rosmah selama ini.
Mereka percaya halangan terbesar Najib untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya umum nanti adalah kerana adanya Rosmah seperti wataknya yang ada sekarang. Sekiranya Rosmah mempunyai watak seperti Toh Puan Rahah, Toh Puan Suhaila, Siti Hasmah, arwah Endon atau Tun Jeanne, mereka percaya Najib akan mampu muncul sebagai pemimpin yang baik dan disegani ramai.
Dengan hadirnya Rosmah bersama karenahnya itu, rakyat turut menolak Najib. Najib turut dipersoalkan kerana tidak berani menegur atau menasihati isterinya. Rakyat bimbang jika Najib terus diberi sokongan dan memenangi pilihanraya akan datang, karenah Rosmah akan lebih menjadi-jadi dan tidak terkawal lagi.
Dengan kerajaan yang rapuh dan masih menumpang mandat yang diperolehi daripada Pak Lah pada 2008 pun, Rosmah sarat dengan pelbagai isu, apatah lagi jika kemenangan selesa diperolehi selepas pilihanraya umum nanti.
Sebab itu, oleh kerana piliharaya mesti diadakan sebelum 28 April ini, harapan Najib untuk memperbaiki keadaan dan membetulkan persepsi rakyat mengenai dirinya, kepimpinannya, masalah yang diwujudkan isterinya dan seterusnya mencipta kejayaan buat UMNO dan BN, sebenarnya sudah hampir tertutup. Jalan di hadapannya adalah jalan mati. Menunggunya hanyalah gaung yang dalam.
Untuk memberi sedikit nafas dan kekuatan kepada UMNO dan BN, Najib semestinya berundur. Hanya itu pilihan yang ada. Najib mesti melakukan pengorbanan jika tidak mahu UMNO dan BN dikorbankan oleh rakyat melalui peti undi. Topik Najib dan Rosmah kini sudah mendominasi isu-isu yang membebankan UMNO dan BN.
Najib mesti memberi ruang masa dan tempoh yang ada beberapa bulan ini untuk timbalannya, Muhyiddin mengambil alih baton kepimpinan UMNO dan kerajaan dan mengemudi jentera menghadapi PRU 13 nanti. Dengan perubahan kepimpinan, persepsi rakyat juga akan turut berubah.
Muhyiddin juga tidak terlalu banyak pekung seperti Najib. Isterinya juga mempunyai watak yang lebih disenangi rakyat berbanding Rosmah. Meskipun belum pasti mampu mencipta kejayaan gemilang, peluang Muhyiddin lebih cerah berbanding jika UMNO dan BN terus dipimpin Najib dan diselubungi awan mendung ciptaan Rosmah.
Hanya pengunduran Najib satu-satunya peluang yang ada bagi UMNO dan BN memperbaiki kedudukannya. (02/012/2013)
Tuesday, 1 January 2013
Siapa Paksa Beli Syarikat Deepak - Najib Atau Zahid Hamidi?
Persoalan yang timbul disebalik tindakan anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT) iaitu Boustead membeli syarikat milik Deepak Jaikishan, Astacanggih Sdn Bhd sebagai jalan penyelesaian untuk menghentikan kemelut antara Deepak-Najib-Rosmah-Raja Ropeah, kini menimbulkan persoalan baru iaitu siapakah yang memaksa urusniaga itu?
Semua orang tahu LTAT dan Boustead adalah dibawah Kementerian Pertahanan dan projek yang diberi kepada Raja Ropeah yang kemudiannya disertai oleh Deepak juga adalah dibawah Kementerian Pertahanan. Jadi adakah Zahid Hamidi yang memaksa pembelian tersebut?
Atau adakah ia diarahkan oleh "bos besar" iaitu Najib Razak sendiri? Najib sebelum ini pernah menjadi Menteri Pertahanan dan projek yang diberi Raja Ropeah itu juga diluluskan ketika Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Adakah Najib memberi arahan secara langsung kepada LTAT dan Bousted atau arahan itu disampaikan melalui Zahid Hamidi?
Tetapi yang pastinya, tidak mungkin LTAT dan Boustead melakukan urusniaga itu tanpa arahan sesiapa dan semata-mata berdasarkan kepentingan komersial.
Inilah antara beberapa persoalan yang bermain di fikiran rakyat sekarang ini, di sebalik kemeriahan menyambut tahun 2013. Lebih dari itu, penting untuk diketahui ialah sama ada urusniaga itu membabitkan unsur salah guna kuasa atau tidak.
Dalam hal ini, Najib atau Zahid mesti bersuara dan memberitahu ketelusan urusniaga tersebut. Sebagai Perdana Menteri, Najib juga mesti meyakinkan rakyat tentang makna ketelusan yang sekalu disebutnya, era kerajaan betul segala-galanya sudah berakhir dan pelbagai slogan yang molek-molek yang selalu disebutnya untuk menarik perhatian rakyat sebelum ini.
Tiada guna sebenarnya Najib bercakap berbunga-bunga dan melontarkan slogan yang indah-indah setiap kali berucap di hadapan rakyat jika perbuatan beliau kerapkali bertentangan dengan apa yang diucapkannya.
Di sebalik pelbagai pendedahan Deepak mengenai Najib dan Rosmah mengenai urusniaga tanah yang melibatkan Ketua Wanita UMNO Selangor, Raja Ropeah Raja Abdullah sebelum ini, tiba-tiba diketahui umum bahawa Boustead telah membeli syarikat Deepak, Astacanggih Sdn Bhd dan membayar semula kos yang telah dikeluarkan oleh Deepak sebanyak RM30 juta iaitu RM13 juta untuk Raja Ropeah, RM8 juta untuk sumbangan politik, RM7 juta sebagai kos perniagaan dan RM2 juta untuk belanja guaman.
Deepak kemudiannya memberitahu beliau diberi kata dua dan dipaksa menjual syarikatnya itu.
Melalui pembelian secara paksa itu dan kemudian Deepak juga kemuungkinan dipaksa menggugurkan tindakan mahkamahnya, apa yang jelas ialah bahawa segala apa yang didedahkan oleh Deepak sebelum ini mempunyai asas kebenarannya. Walaupun Najib dan Rosmah yang dikaitkan dalam pelbagai pendedahan Deepak hanya berdiam diri, tetapi wujudnya usaha penyelesaian dengan menggunakan LTAT, sebuah tabung kewangan untuk askar pencen dan anak syarikatnya Boustead, untuk menutup segala tembelang yang didedahkan Deepak, turut memperlihatkan usaha terdesak Najib ke arah itu.
Dengan isu yang ditumbulkan Deepak ini terus hangat menjadi bualan dan LTAT serta Boustead turut diserang untuk mendedahkan butiran dokumen urusniaga tersebut, tidak dapat tidak, yang paling wajar bersuara merungkaikan persoalan ini ialah Zahid Hamidi dan Najib sendiri.
Jika Zahid sebagai Menteri Pertahanan dan pihak yang bertanggungjawab terhadap LTAT dan Boustead tidak berani bersuara dalam hal ini, ia menunjukkan ada yang tidak kena serta sesuatu cuba disembunyikan dalam urusniaga yang dilihat lebih untuk menyelamatkan masa depan politik Najib dalam pilihanraya umum akan datang.
Dan jika Najib selaku pihak yang dituduh secara langsung oleh Deepak dan sebagai Perdana Menteri yang boleh memberi arahan kepada Zahid atau kepada LTAT, juga berani bersuara, maka terbukti bahawa beliau yang merupakan "dalamg besar" di sebalik urusniaga yang mencurigakan itu.
Jika dalam ucapan tahun baru 2013 yang disiarkan secara meluas malam tadi, Najib sekali lagi menggunakan kesempatan itu itu untuk merayu rakyat supaya terus bersama-sama dengan kerajaan dan memberi sokongan kepadanya mengemudi negara, tetapi jika persoalan mengenai urusniaga meragukan yang melibatkan LTAT ini tidak dapat dijawab bermakna tahun 2013 ini akan terus disemarakkan dengan angin perubahan yang lebih kuat lagi.
Jika wang pencen askar pun sanggup dipergunakan untuk menyelamatkan diri, isteri dan kroni, terus memberi kuasa kepada Najib hanya memungkinkan lebih banyak skandal akan berlaku selepas ini. Inilah antara ketakutan rakyat.
Zahid Hamidi pula, jika terus membisu seribu bahawa, hanya mengesahkan cakap-cakap yang banyak kedengaran sebelum ini bahawa keputusan meletakkannya sebagai Menteri Pertahanan tidak lebih hanya untuk menutup "pekung-pekung" Najib yang mungkin terdedah sepanjang beliau mengemudi kementerian itu sebelum ini.
Untuk menafikan semua itu dan menjadikan permulaan tahun baru 2013 kelihatan manis, ceria dan penuh makna, Zahid Hamidi atau Najib dan lebih baik jika kedua-duanya sekali, dapat segera bersuara menjelaskan kepada rakyat mengenai urusniaga ini. ( SH 01/01/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)