Friday, 4 May 2012

Bekas Ahli Parlimen UMNO Hantar 'Surat Cinta' Pada Najib


Perdana Menteri Najib Tun Razak menerima satu lagi cabaran menjelang pilihanraya umum akan datang bilamana seorang Ahli Parlimen UMNO, Tamrin Tun Ghafar tiba-tiba menulis sepucuk surat kepada beliau menggariskan beberapa isu yang perlu diselesaikan jika ingin memenangi pilihanraya ini.

Sebelum ini bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir turut mengkritik kepimpinan Najib dan beliau akhirnya mengambil keputusan keluar UMNO.

Dalam surat kepada Najib bertarikh 23 April itu, Tamrin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Melaka menyebut 15 isu yang perlu diselesaikan Najib iaitu isu lembu NFC, isu cincin US24 juta dan perbelanjaan mewah, isytihar harta, semangat Melayu dan dasar ekonomi, pinjaman PTPTN, campurtangan sistem kehakiman, pengundi hantu dan Bersih 3.0, hubungan dengan Israel, pemilihan calon pilihanraya, peningkatan kos sara hidup, dakwaan biadap wakil rakyat pembangkang, konsep 1Malaysia, bantuan rakyat, royalti minyak dan debat dengan Anwar Ibrahim.

Dalam suratnya itu, Tamrin melihat jika isu-isu tersebut gagal dijelas dan ditangani dengan sewajarnya ia pasti akan menjejaskan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN, sebalikya jika ia dapat dihuraikan dengan baik serta diambil tindakan-tindakan yang sewajarnya, ia akan berupaya memulihkan semula keyakinan rakyat.

Tindakan terbaru Tamrin menulis surat dan mengkritik kepimpinan Najib dilihat sedikit-sebanyak akan menjejaskan persiapan UMNO dan BN menghadapi pilihanraya kerana isu-isu yang dibangkitkan beliau dalam suratnya adalah perkara-perkara yang menjadi percakapan ramai terutama di kalangan ahli-ahli UMNO sendiri.

Ramai ahli UMNO melihat Najib sebagai pemimpin yang lemah kerana gagal menangani pelbagai isu yang muncul dan membiarkan saja ianya larut dalam pemikiran rakyat walaupun kadang-kadang isu yang muncul itu kelihatan amat mudah untuk diselesaikan.

Sebelum perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu, Tamrin juga telah berucap di sebuah majlis anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru dan secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap sebarang usaha untuk mendapatkan piliharaya yang adil dan bersih. Selain beliau, Tengku Razaleigh Hamzah juga menyatakan sokongan terhadap Bersih 3.0 ketika berucap di Selangor dan Kelantan.

Selain itu, Tamrin juga turut menerima jemputan menghadiri beberapa ceramah politik terutamanya di Perak, Kedah dan Terengganu dan secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib yang dilihatnya tidak serius melaksanakan perubahan untuk kepentingan rakyat serta negara.

Sebagai bekas Ahli Parlimen dan anak kepada arwah Tun Ghafar Baba, tidak dinafikan surat ini pasti membawa kesan kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya kali ini kerana ini menunjukkan UMNO sudah mulai ditolak dari dalam sendiri.

Rakyat yang sedang mula bangkit dan mahukan perubahan sebagaimana yang tergambar dalam kehadiran kira-kira 300 ribu dalam Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini pasti melihat tindakan Tamrin menulis surat ini sebagai "vitamin tambahan" untuk mereka terus gigih dalam perjuangan.

Di bahagian penutup surat ini, Tamrin juga menegaskan bahawa suratnya ini akan disebarkan kepada rakyat di seluruh negara jika didapati Najib tidak serius melaksanakan perubahan dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya. Difahamkan proses mencetak surat ini sedang dijalankan dan ia akan mula disebarluaskan ke seluruh negara sebaik saja ia siap dicetak.

Sebelum ini, Tun Mahathir pernah menulis surat dan mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan akhirnya beliau dipecat daripada UMNO.

Adakah melalui surat ini Tamrin juga akan dipecat daripada UMNO?

Sebagai bekas Ahli Parlimen dan seorang yang sudah cukup matang dan melalui pelbagai susur galur dalam perjuangan, Tamrin tentunya sudah memikir dengan semasak-masaknya dan besedia menghadapi apa jua kemungkinan. Cumanya apakah dengan mengambil tindakan dan memecat seseorang yang mengkritik kepimpinan parti dengan niat yang baik akan berupaya menyelamatkan UMNO dan membawa kecemerlangan dalam keputusan pilihanraya.

Apa pun, hakikatnya "surat cinta" Tamrin kepada Najib ini dan disusuli dengan "keaktifannya" semula dalam pentas politik bukanlah berita baik bagi UMNO dan BN. Dan sama-samalah kita tunggu mungkinkah ada lagi bekas pemimpin UMNO yang akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat ini? (SH 04/05/2012).

Wednesday, 2 May 2012

Kisah Terlampau Pegawai Najib Nak Bergelar YB


Dalam suasana semua orang sedang menunggu dengan penuh debar ketibaan tarikh pilihanraya umum, pegawai-pegawai Najib tidak terkecuali dilanda fenomena yang sama. Tetapi mereka bukan beria-ia mahu membantu Najib dan UMNO memenangi lebih banyak kerusi tetapi lebih ghairah untuk memastikan diri sendiri terpilih sebagai calon pilihanraya.

Salah seorang pegawai Najib yang dilihat begitu ghairah untuk menjadi calon dan bergelar YB ialah Shafie Abdullah yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju. Kerusi Parlimen Wangsa Maju sebelum ini ditandingi oleh calon dari MCA iaitu Yew Teong Look tetapi beliau telah kalah kepada calon PKR, Wee Choo Keong dengan 150 undi dalam pilihanraya 2008 lalu. Wee bagaimanapun kini mengisytiharkan dirinya sebagai Bebas.

Shafie memang diketahui sejak awal berhasrat merampas kerusi Wangsa Maju daripada kouta MCA. Ketika beliau bertanding sebagai Ketua Bahagian pada 2009, salah satu umpan kempennya ialah dengan meyakinkan UMNO cawangan-cawagan bahawa beliau ingin mengembalikan kerusi Wangsa Maju kepada UMNO melalui kedudukannya sebagai orang yang dekat dengan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

"Jika saya menang Ketua Bahagian, saya akan berbisik kepada Najib supaya kerusi Wangsa Maju ini dikembalikan kepada UMNO," begitulah lebih kurang ayat yang pernah dilafazkan oleh Shafie dalam mesyuarat AJK Bahagian ketika itu.

Selepas menang Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, keghairahannya bertambah laju apabila beliau kemudiannya berjaya "merampas" jawatan Pengerusi BN Wangsa Maju pula daripada Yew Teong Look. Dengan kedudukan sebagai Ketua UMNO Bahagian dan Pengerusi BN sekaligus, igauan untuk menjadi calon pilihanraya semakin terbayang di depan mata. Sejak itu hubungan UMNO dan MCA menjadi tegang malahan MCA sehingga hari ini masih memboikot mesyuarat dan program yang dianjurkan oleh Shafie atas nama BN Wangsa Maju.

Tetapi semua itu tidak menghalang Shafie dariada terus mengidam untuk menjadi calon di Wangsa Maju meskipun beliau sedar bahawa tanpa sokongan MCA dan pengundi Cina, harapan untuk menang amat tipis sekali.

Tidak cukup setakat mesyuarat UMNO Bahagian Wangsa Maju memutuskan beliau sebagai penama tunggal yang dipersetujui untuk dijadikan calon dalam pilihanraya umum akan datang, Shafie nampaknya bergerak lebih "proaktif" dengan menyediakan memorandum untuk dihantar kepada Najib pula.

Memorandum kepada Najib itu mengandungi intipati yang antara lainnya berupa desakan agar Shafie dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya umum akan datang. Ini bererti meminta Najib agar menggantikan kerusi Parlimen Wangsa Maju yang sebelum ini ditandingi oleh calon MCA kepada calon UMNO. Semua ketua-ketua UMNO cawangan serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri telah diminta menandatangani memorandum yang telah disediakan oleh pejabat UMNO Bahagian Wangsa Maju itu.

Selain diminta menandatangani memorandum, ketua-ketua UMNO cawangan itu diberitahu bahawa satu pertemuan dengan Najib sedang diatur untuk mereka menyampaikan secara terus hasrat sebagaimana yang terkandung dalam memorandum tersebut.

Ini bemakna untuk mencapai hasratnya menjadi calon, Shafie bukan saja akan berbisik dengan Najib, memutuskan namanya dipilih melalui mesyuarat AJK Bahagian, menghantar memorandum tetapi juga sehingga sampai ke tahap membawa ketua-ketua cawangan bercakap secara terus dengan dengan Perdana Menteri. Hebat kan!!

Selain itu, untuk memastikan beliau beroleh kemenangan jika dipilih sebagai calon, Shafie juga melalui kedudukannya sebagai pegawai kepada Najib telah meminta kepada pihak-pihak tertentu agar kira-kira 3000 undi pos daripada kawasan Setiawangsa dipindahkan ke Wangsa Maju. Sebelum ini kawasan Parlimen Setiawangsa mempunyai hampir 13,000 undi pos.

Ternampak bahawa jika dipilih sebagai calon, Shafie hanya ingin menggunakan jalan pintas untuk mencapai kemenangan. Beliau nampaknya tidak mahu mengambil pendekatan berbaik-baik dengan MCA untuk mendapatkan undi kaum Cina walaupun diakui bahawa peratusan pengundi antara Melayu dan Cina hampir seimbang.

Dalam konteks yang lebih luas, tindakan tidak mahu berbaik dengan MCA ini bukan saja mencabuli dasar permuafakatan dalam BN tetapi juga merupakan "duri dalam daging" terhadap gagasan 1Malaysia yang sedang diperjuangkan oleh Najib. Bagaimana BN mahu berjaya dalam pilihanraya dan 1Malaysia mahu dicapai jika dasar itu dicabuli oleh mereka yang rapat dengan Najib sendiri semata-mata keghairahan yang terlampau untuk bergelar YB.

Lebih dari itu, dengan kedudukan UMNO yang masih tercungap-cungap untuk meraih sokongan rakyat dan Najib sendiri yang entah kekal lagi sebagai Perdana Menteri atau tidak selepas ini, keghairahan yang ditunjukkan oleh pegawai Najib sendiri untuk menjadi calon dan bergelar YB, amatlah tidak wajar dan memalukan. Dengan pelbagai masalah yang melanda UMNO dan kerajaan serta kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui Bersih 3.0 baru-baru ini, jelas bahawa UMNO dan BN sedang melalui jalan penuh onak dan duri dan mungkin juga mengheretnya ke gaung kekalahan. Ditambah dengan keghairahan segelintir pegawai Najib ini, kekalahan UMNO dan BN mungkin lebih teruk daripada yang dijangka.

Sebagai pegawai kepada Najib, mereka sepatutnya lebih bekerja keras untuk membantu Najib dan memastikan kemenangan UMNO serta BN dalam pilihanraya akan datang daripada memikirkan soal nafsu syahwat peribadi. Tumpuan yang terlampau kepada agenda peribadi hanya akan membuatkan UMNO dan BN tersungkur akhirnya.

Apalah guna terpilih sebagai calon tetapi akhirnya kerajaan diambil alih oleh orang lain. (SH 02/05/2012).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...