Wednesday, 25 December 2013

Berapa Lama Lagikah Najib Mampu Bertahan?


Kritikan demi kritikan yang diterima Najib sejak kebelakangan ini jelas memperlihatkan kerajaan yang sedang dipimpinnya semakin lemah dan ditolak oleh rakyat. Jika sebelum ini kegagalannya menangani kenaikan harga barang lebih banyak dikritik oleh pihak pembangkang, mutakhir ini pula memperlihatkan suara dari dalam UMNO sendiri semakin lantang mengenainya.

Selain Ahli Parlimen Pulai dan Pengerusi PAC, Nur Jazlan Mohamed, ahli akademik pro BN, Ridhuan Tee Abdullah yang sudah bersuara mengenainya, semalam pula bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah turut bersuara dengan nada yang serupa.

NGO Perkasa yang sejak penubuhannya dilihat pro kerajaan dan Najib juga sudah mulai berbeza nada, malah memberi amaran mahu mengambil alih peranan UMNO dalam membela nasih rakyat lantarah UMNO dilihat semakin jauh daripada perjuangan membela nasib Melayu dan rakyat sejak kebelakangan ini.

Ada yang mengatakan di belakang Perkasa ialah Mahathir Mohamad dan jika dilihat hubungan Perkasa dengan Mahathir sejak sekian lama, malahan Ibrahim Ali dapat bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya umum lalu di Pasir Mas sehingga membuatkan calon UMNO, Johan Che Pa tidak mengemukakan borang pencalonannya, turut dikaitkan dengan campurtangan bekas Perdana Menteri itu.

Sementara pembangkang dan pelbagai NGO mereka terus menguatkan tekanan terhadap Najib dan kerajaan supaya lebih memikirkan kenaikan kos sara hidup rakyat yang sedang terhimpit sekarang, suara-suara dari dalam yang sebelum ini pro UMNO dan kerajaan juga sudah memperlihatkan rentak dan nada yang seirama.

Puncanya tentulah tidak lain kerana mereka juga sudah dapat mengesan kesengsaraan rakyat akibat kenaikan kos sara hidup ini. Selepas ini, mungkin ada lagi yang turut bertindak sama.

Jika dulu Pak lah mula menerima kesan penolakan rakyat akibat tindakannya menaikkan harga minyak sebanyak 78 sen yang kemudian dihubung-kaitkan dengan pelbagai kelemahannya yang lain, Najib pula dilihat mula menerima kesan yang sama akibat tindakannya menaikkan beberapa jenis barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini.

Najib bukan saja sedang menuruti jejak Pak Lah, bahkan langsung tidak mengambil teladan daripadanya.

Satu demi satu kenaikan yang gagal dikawalnya telah menyebabkan populariti Najib kini hanya tinggal 52 mata berbandinpg 62 mata sebelumnya berdasarkan kajian Merdeka Center manakala Umcedel pula dalam kajian terbarunya turut mendapati kenaikan harga barang akan menjadi beban yang akan terus menurunkan sokongan rakyat terhadap kerajaan.

Selain mendapati 42 peratus kemarahan rakyat adalah kerana kenaikan harga minyak, 34 peratus kerana kenaikan harga barang dan 24 peratus disebabkan kenaikan tarif letrik, kajian Umcedel juga mendapati bantuan BR1M tidak lagi berkesan dalam meringankan beban kehidupan rakyat.

Yang lebih buruk ialah, di sebalik kemarahan rakyat kian meningkat, pembangkang makin agresif meningkatkan prestasinya dan lebih banyak pula dari dalam UMNO dan kerajaan sendiri yang mengkritik kepimpinan Najib, tindakan mempertahankan Najib pula hampir tidak kedengaran.

Lebih ramai yang memilih untuk berdiam diri daripada mengeluarkan suara mempertahankan Najib. Najib seolah-olah mula keseorangan dalam menpertahankan diri dan kerajaan yang sedang dipimpinnya sekarang. Dalam isu melibatkan isterinya yang diserang baru-baru ini, Rosmah Mansor akhirnya terpaksa tampil sendiri mempertahankan diri dengan menulis surat yang panjang mengenainya.

Suara-suara dari sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO juga hampir-hampir tidak kedengaran membela dan menpertahankan Najib dan kerajaan sedangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru, masing-masing mengaku merekalah tulang belakang dan tulang depan kepada parti dan kerajaan.

Apakah tulang-tulang ini sudah bengkok dan hampir patah sekarang ini? Mana jentera siber Pemuda UMNO dalam hal ini?

Jentera media sosial yang diakui sebagai medium paling utama dalam menghadapi pilihanraya akan datang pula, dilihat sudah terkulai sebelum masuk medan perjuangan. Selain terdapat blog dan media sosial pro UMNO yang berdiam diri daripada mempertahankan Najib dan kerajaan, selebihnya turut juga lantang mengkritik. Yang mengaku sudah menjadi bebas dan tidak lagi mahu dikaitkan dengan pro mana-mana parti juga sudah ada.

Semua ini memperlihatkan kedudukan Najib sekarang ini sebenarnya lebih parah berbanding ketika Pak Lah diserang dan mahu dijatuhkan dulu. Ketika itu Mahathir terpaksa bekerja keras ke seluruh negara dan menghadiri pelbagai program di merata tempat untuk menjustikasikan perlunya Pak Lah diturunkan sebagai Perdana Menteri, namun menteri kabinet dan pemimpin UMNO ramai yang masih lantang mempertahankannya.

Namun sekarang ini, sementara tekanan kian meningkat, suara yang mempertahankannya juga hampir tidak ada. Kalau ada pun yang bersuara hanyalah daripada pemimpin yang semakin terhakis wibawanya seperti Isa Samad dan Ahmad Maslan, manakala yang lain-lain lebih selesa memilih berdiam diri dan menjaga hal masing-masing.

Ini menjadikan persoalan yang bermain di fikiran ramai orang ialah sampai bilakah Najib mampu bertahan menghadapi semua tekanan ini? Tetapi dengan sokongan yang semakin merosot hari demi hari ini, semakin ramai yang percaya bahawa Najib tidak akan dibenarkan terus mengetuai UMNO dan BN dalam PRU 14 nanti kerana kemungkinan BN hilang kuasa lebih besar jika beliau terus kekal

Yang paling tidak mahu melihat UMNO dan BN kalah pastinya Mahathir. Yang lain-lain ada yang merasakan hanya kekalahan dan hilang kuasa merupakan pengajaran bermakna bagi UMNO dan para pemimpinnya. Selebihnya pula merasakan apa salahNya PR diberi peluang pula.

Dan ramai juga yang percaya kerja Mahathir jauh lebih mudah kali ini. Berbanding ura-ura dan tohmahan bahawa kerajaan mahu digulingkan melalui demonstasi, Najib sebenarnya lebih mudah tergolek jika Mahathir mulai bersuara. (SH 25/12/2013)

5 comments:

  1. Sepatut nya Maha-Thir yang menjadi benteng kepada Najib. Bukan kah dia yang bersungguh sungguh menjatuh kan Pak Lah melalui ucapan Mat Sembab di Singapura dulu. Kini Najib sudah berada di anjung kuasa, apa lagi pertahankan lah.

    Sesiapa sahaja yang menganti kan tempat Najib, irama yang serupa juga yang akan di dendangkan kerana parti yang mereput ini kelihatan tiada pemimpin pelapis yang berwibawa. Mereka semua sama saperti orang Melayu dan para penorka FELDA yang tidak pernah mengharapkan cahaya di hujung terowong.

    Dengan hal yang demikian serah kan sahaja tampok pemerintahan Negara ini kepada parti yang layak. Andai kata mereka juga sama saperti yang sedia ada, buat U-Turn semula. Susah ke?

    ReplyDelete
  2. Yakinlah, kalau 15 juta saja ummat Islam solat hajat hari-hari sehingga NajibOros tumpas, maknanya Allah juga menghalalkan usaha kita..
    Jika yang Kristian dll juga memnuhu Gereja dan rumah-rumah ibadat mereka itu dikira Bonos kerana kita mesti halau dia sebelum hidup kita merana dan punah ranah!
    Bayangkan doktor, guru-guru menganggur dan Guru Kafa juga tidak terkecuali, ditamat jawatan Yayasan ISLAM `Ganu. Kat mana Islam mereka sedangkan wang berbillion minyah bkn utuk UMNO totok saja!
    Sayang kulit Islam hati setan iblis laknatullah!
    Tak takut mati satu Tak takut bala Allah, macam tu sekali jahat dan dendan kesumat.

    ReplyDelete
  3. Tuan,

    Najib akan bertahan selama mana dia hendak kerana sokongan orang FELDA, melayu diluar bandar serta rakyat di Sabah dan Sarawak t3tap padu walaupun depa terpaksa berlapar atau makan biskut mayat yang disedekahkan ol3h UBN. Biskut mayat bagi mereka macam bagi ketulan emas jika UBN yang bagi. Asalkan p3mimpin-pemimpin UBN terus hidup mewah.

    Itulah hakikat yang kita k3na terima.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dan hakikat lain yang kita kena terima ialah kalau diberikan peluang kepada Pakatan Rakyat pun, yang naik jadi PM ialah Anwar Ibrahim. Orang ini 'duri'nya lebih panjang daripada Najib. Rekod pembohongannya sahaja sudah cukup menakutkan.

      Kalau Pakatan Rakyat mampu letakkan orang lain, keadaannya mungkin berbeza.

      Delete
    2. Daripada berPMkan Anwar Ibrahim, lagi baik bagi Karpal Singh jadi PM. Sakit hati mengenangkan Melayu/Islam sanggup berbohong berkali-kali demi kuasa.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...