Selepas bekas Menteri Penerangan, Kadir Sheikh Fadzir mengisytiharkan keluar daripada UMNO, masa depan politik Ku Li turut menjadi bualan rakyat. Ini kerana selain mereka berdua berada dalam NGO yang sama iaitu Amanah Merdeka di mana Ku Li adalah Presidennya dan Kadir pula Timbalan Presiden, kedua-duanya juga dilihat agak kritikal terhadap UMNO kebelakangan ini.
Sementara Kadir lantang mengkritik soal kepimpinan UMNO yang rasuah dan tidak boleh dikritik, Ku Li pula kritikal terhadap beberapa perkara dasar yang dilakukan pentadbiran Najib. Selain menggerakkan Amanah Merdeka untuk menentang rasuah, kronisme dan nepotime, Ku Li juga menyokong perjuangan menuntut hak royalti minyak untuk rakyat Kelantan serta menentang penyenaraian Felda Global Venture ke Bursa Malaysia yang dianggap akan merugikan peneroka dalam jangka panjang.
Pendirian Ku Li yang tidak sealiran dengan kepimpinan Najib menyebabkan banyak pihak meramalkan bahawa beliau juga akan bertindak meninggalkan UMNO dan menjadikan Amanah Merdeka sebagai sebuah parti politik untuk menyertai Pakatan Rakyat menghadapi pilihanraya umum akan datang ini.
Kedudukan Ku Li bersama UMNO tambah menjadi persoalan apabila terdapat kumpulan tertentu dalam UMNO Gua Musang yang cuba menolak beliau sebagai calon dalam pilihanraya akan datang. Kumpulan 16 yang cuba menyingkirkan Ku Li itu sudah mengeluarkan beberapa kenyataan dalam media dan ini menjadikan kedudukan Ku Li semakin rapat dikaitkan dengan Pakatan Rakyat sekiranya beliau diketepikan oleh UMNO.
Ku Li sendiri lebih banyak berdiam diri dan seringkali mengelak daripada menjadi sasaran lampu sorot media. Amanah Merdeka yang dilancarkannya pertengahan tahun lalu juga tidak begitu menonjol sebagaimana NGO-NGO lain yang diketuai oleh tokoh politik yang sering saja muncul menonjolkan diri di dada-dada media memberi pelbagai pandangan tentang perkembangan semasa politik negara.
Amanah Merdeka sejak ditubuh, dilancar dan diluluskan pendaftarannya lebih memilih pendekatan berdiam diri. Namun Ku Li dalam waktu yang sama kerap pula bercakap dan dijemput memberi ucapan di pelbagai program atas kapasiti peribadi sebagai veteran UMNO dan bekas Menteri Kewangan yang banyak pengalaman. Dan sering pula ucapan atau pandangan beliau itu kelihatan kritikal, berbeza dan tidak selari dengan apa yang dilakukan oleh kepimpinan Najib.
Maka tidak hairan soal masa depan Ku Li dan Amanah Merdeka yang dipimpinnya terus menjadi bualan dan perhatian. Selepas Kadir keluar UMNO, nama Ku Li sekali lagi dikaitkan sama.
Setelah lama menyepikan diri sejak ditubuhkan, Amanah Merdeka buat pertama kalinya akan mengadakan Hari Keluarganya yang dianjurkan oleh Amanah Merdeka Selangor pada 8hb April depan di Tanamera, Batu 20 Jalan Kuala Selangor, iaitu berhadapan Penjara Sungai Buluh.
Semua pimpinan Tertinggi Amanah Merdeka yang diketuai oleh Ku Li akan menghadiri Hari Keluarga tersebut bersama-sama dengan ahli-ahli Amanah Merdeka Selangor dan juga dari seluruh negara.
Memandangkan ini adalah program pertama Amanah Merdeka sejak dilancarkan penubuhannya oleh Ku Li dan persoalan mengenai masa depan Ku Li sendiri menjadi bualan, tidak mustahil dalam perjumpaan dengan ahli-ahli di Hari Keluarga itu nanti Ku Li yang dijadual akan berucap merasmikannya akan turut merungkai persoalan yang bukan saja bermain di kepada rakyat tetapi juga di kalangan ahli Amanah Merdeka sendiri.
Meskipun pelbagai acara sudah diatur untuk memeriahkan Hari Keluarga itu tetapi persoalan mengenai masa depan Amanah Merdeka dan pendirian Ku Li sendiri dilihat akan menjadi keutamaan mereka yang hadir di Hari Keluarga itu nanti. Tidak mustahil juga kiranya terdapat permintaan atau pertanyaan yang ditujukan oleh ahli-ahli Amanah Mereka berkaitan pendirian Ku Li berkenaan soal politik semasa pada hari tersebut nanti.
Apa pun, dengan suhu politik yang semakin panas hari demi hari dan tarikh pilihanraya menjadi penantian kepada ramai orang, Hari Keluarga Amanah Merdeka pada 8hb April ini jika muncul sesuatu perkhabaran yang mengejutkan dari mulut Ku Li sendiri, ia pastinya menjadi bualan yang berpanjangan bukan saja sehingga pilihanraya tetapi juga mungkin mempengaruhi keputusan pada pilihanraya umum nanti.
Sama-samalah kita tunggu dan saksikan apa yang bakal terjadi pada 8hb April nanti. (SH 24/03/2012)
No comments:
Post a Comment