Saturday 28 January 2012

Mungkinkah Ada Sejuta Ahli UMNO Sependirian Macam Kadir Sheikh Fadzir?

Keberanian Kadir Sheikh Fadzir, seorang bekas menteri dan Bendahari UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu mengiringi Anwar Ibrahim ke mahkamah pada 9 Januari lalu untuk mendengar keputusan kes liwatnya dan kemudian hadir di majlis kesyukuran di rumah Anwar beberapa hari selepas itu, dengan pantas mengundang kejutan dan menarik perhatian ramai orang untuk bercakap tentangnya.

Sebelum itu, Kadir bukan sahaja mengkritik kerajaan pimpinan Najib Razak atas beberapa kepincangan yang menyebabkan UMNO dan BN dilihat cukup lemah serta dipertikai, bahkan tanpa berselindung beliau menyatakan bahawa Anwar adalah 'produk' terbaik untuk menjadi Perdana Menteri dan menyelamatkan Malaysia.

Sementara pihak UMNO agak berdiam diri, mungkin sedang mencari kata-kata untuk menyerang kembali bekas menteri itu, para blogger pro UMNO pula agak keras menyerang Kadir dengan beberapa tuduhan seperti tidak mengenang budi, tak sedar diri, ingin kembali memegang kuasa dan bermacam-macam lagi.

Sehingga ini tidak ada sebarang tindakan atau komen keras daripada pucuk pimpinan UMNO terhadap Kadir, mungkin UMNO menyedari dalam keadaan kapalnya yang hampir karam ini, mereka cuba mengelak daripada menambah kemungkinan lebih banyak lubang yang menyebabkan air semakin memasuki kapal.

Namun hakikatnya, pendirian yang dilakukan oleh Kadir itu sebenarnya adalah manifestasi ramai ahli-ahli UMNO lantaran kecewa dengan cara Najib mengurus parti dan kerajaan sehingga menyebabkan UMNO dan BN kini diselaputi dengan pelbagai perkara buruk, jelek dan menyakitkan mata.

Pendirian Kadir itu sebenarnya bukan sahaja boleh didengari daripada kalangan bekas menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan mereka yang tidak terikat lagi dengan pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan tetapi ramai kalangan ahli UMNO yang masih memegang jawatan dalam Bahagian dan Cawangan, turut mempunyai naluri dan sentimen yang sama.

Saya sendiri mempunyai ramai kenalan yang masih memegang jawatan dalam Bahagian serta Cawangan UMNO seluruh negara yang tanpa segan silu meluahkan kekecewaan terhadap pelbagai perkara yang berlaku dalam UMNO dan kerajaan sejak tahun-tahun kebelakangan. Mereka juga mengakui bahawa tiada ubat yang paling mujarab untuk memulihkan UMNO dan perangai para pemimpinnya melainkan sebahagian pemimpin yang curang digantikan atau biarlah ia kehilangan kuasa dalam PRU 13 nanti.

Manifestai yang dijelmakan oleh Kadir sebenarnya adalah gelombang senyap yang sedang membadai dari dalam UMNO sendiri. Sukar untuk menyatakan jumlah dan kekuatan kelompok itu tetapi yang jelas ia sedang meningkat jumlahnya hari demi hari. Golongan ini ada yang hanya bergerak dalam UMNO dan ada juga yang terang-terangan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat dengan menghadiri pelbagai program anjuran mereka.

Ramai yang saya kenali daripada ahli UMNO yang menghadiri ceramah-ceramah Pakatan Rakyat, pergi ke rumah Anwar untuk mendengar tazkirah dan bersolat hajat, pergi ke Konvensyen Pakatan Rakyat di Kedah, malah yang pergi bersalam dan menyatakan simpati kepada Anwar ketika Anwar berkunjung ke masjid-masjid sebelum 9 Januari lalu juga agak ramai. Bahkan di Masjid Selayang dan Kampung Baru yag dikunjungi pada dua Jumaat terakhir sebelum 9 Januari lalu iaitu hari Mahkamah Tinggi membuat keputusan membebaskannya dari tuduhan liwat kedua, didapati ramai ahli UMNO yang berebut-rebut untuk bersalam dan menyatakan simpati kepada Ketua Pembangkang itu. Ramai juga ahli UMNO yang turut bersama-sama bersolat hajat memohon doa agar beliau dibebaskan daripada cengkaman fitnah yang sedang dihadapinya.

Katakanlah jumlah golongan yang sependirian dengan Kadir di dalam UMNO sekitar 10 ribu orang di seluruh negara dan setiap seorang dari mereka pula mempunyai pengikut daripada kalangan anak isteri, adik beradik dan kawan-kawan rapatnya yang jumlah 10 orang, bermakna secara mudahnya UMNO dan BN akan kehilangan undi dan sokongan sebanyak 100 ribu. Bagaimana pula kalau jumlah ahli UMNO yang macam Kadir itu berjumah 100 ribu orang dan setiap seorang juga ada 10 pengikut setia, bukanlah jumlahnya mencecah 1 juta orang!!

Mungkin andaian ini terlalu idealistik dan retorik, namun yang jelasnya golongan dalam UMNO sendiri yang menolak kepimpinan UMNO yang ada sekarang semakin meningkat jumlahnya. Mereka hanya mahu UMNO dan kepimpinannya diberi pengajaran.

Ahli UMNO kini berjumlah 3.4 juta orang manakala pengundi berdaftar dengan SPR pula lebih kurang 11.5 juta orang, ini bermakna jika berlaku kehilangan 1 juta pengundi dalam PRU 13 ini pasti memberi impak yang besar kepada UMNO dan BN, lebih-lebih lagi banyak kerusi yang dimenangi oleh BN dalam pilihanraya lalu hanya dengan jumlah kurang daripada 2000 undi.

Fenomens penolakan terhadap UMNO dan BN kini boleh kita lihat dan dengar di mana-mana. Ia ada di dalam dan di luar UMNO, di kalangan kakitangan kerajaan, orang kampung, pekerja swasta, pemandu teksi, mahasiswa, pekerja kilang serta pelbagai lagi dan boleh dikatakan tidak ada mana-mana sektor yang benar-benar bulat sokongannya terhadap UMNO,BN dan Najib.

Memetik kata-kata seorang bekas menteri yang sempat ditemui baru-baru ini, "Ramai ahli UMNO takut untuk memberi undi kepada calon BN dalam pilihanraya nanti, takut kalau menang lebih tinggi mereka lebih lupa diri". (SH 28/1/2012).

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...