Sunday, 27 January 2019

PESANAN DARIPADA BAKAL PENGGANTI TUN MAHATHIR


KENYATAAN MEDIA


KEADILAN menerima keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) Cameron Highlands, dan mengucapkan tahniah kepada sdr Ramli Mohd Nor yang dipilih menjadi wakil rakyat.


KEADILAN mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang telah mengendalikan PRK Cameron Highlands dengan baik, terutama dari sudut pengurusan aduan awam serta pengumuman keputusan yang awal.


Saya percaya keputusan ini menjadi peringatan kepada pimpinan KEADILAN dan Pakatan Harapan bahawa kita perlu peka terhadap kegelisahan rakyat berkait ekonomi dan kos sara hidup. 


Kita juga perlu berusaha lebih gigih untuk memenuhi manifesto PRU14 serta menangani sebarang masalah berkait isu kaum dan agama dengan penuh hikmah demi kemaslahatan semua.



Datuk Seri Anwar Ibrahim

Presiden KEADILAN

27 Januari 2019.

SELEPAS CAMERON HIGHLANDS, JIKA PH TIDAK JUGA BERUBAH, PENGUNDI WAJIB MENGHANTAR ISYARAT KEDUA MELALUI SEMENYIH PULA


Sejak keputusan PRK Cameron Highlands diumumkan malam semalam, boleh dikata hampir 80 peratus rakyat gembira dengan kemenangan BN menewaskan PH dengan majoriti yang lebih besar berbanding PRU14 lalu.


Di perbualan umum, sembang-sembang kedai kopi, sembang maya dalam Whatsapp Grup dan luahan hati di media-media sosial, bukan saja pendokong dan penyokong BN yang menzahirkan kegembiraan mereka dengan kemenangan itu, malah penyokong dan pengundi PH juga tidak kurang turut sama gembiranya.


Bagi mereka, keputusan pilihanraya di Cameron Highlands adalah suatu isyarat yang wajar kepada kerajaan PH untuk segera berubah, lebih peduli soal perut rakyat, jangan lupa janji-janji sendiri dan berhenti daripada retorik menyalahkan kerajaan lama atas ketidakmampuan menunjukkan prestasi yang sepatutnya.


Jika di awal-awal kemenangan dulu, Tun Mahathir Mohamad, menteri-menteri dan pejuang maya PH bolehlah berdalih dengan berhujah, "baru saja lepas kahwin takkan nak dapat anak dah", kini menjelang sembilan bulan menguasai Putrajaya sudah tentu hujah tersebut tidak boleh diterima lagi.


Rakyat mahukan hasilnya, kalau pun anak belum dilahirkan, sekurang-kurangnya tanda mengandung atau muntah-muntah sudah pun kelihatan.


Menteri-menteri yang hampir semuanya tidak pengalaman, takkan menghampiri tempoh sembilan bulan ini masih tidak mampu belajar apa-apa untuk memperbaiki diri dan menunjukkan prestasi?


Lupakah segala apa yang dijanji dan dijerit semasa jadi pembangkang dahulu?


Pegawai-pegawai menteri pula takkan masih tak puas-puas lagi berselfie di sana-sini.


Perkara yang paling penting harus disedari melalui keputusan PRK Cameron Highlands ini - mungkin ada yang sudah terlupa atau buat-buat lupa - rakyat tetap raja di negara ini. 


Rakyat boleh menumbangkan kerajaan, boleh menaikkan kerajaan dan boleh juga menumbangkannya semula. Jika kerajaan terdahulu dijatuhkan dan menyebabkan ramai diseret ke mahkamah, tidak mustahil kerajaan sekarang jika dijatuhkan juga mengakibatkan ramai nantinya yang akan menghabiskan banyak masa bersama peguam dan turun naik menghadiri perbicaraan.


Oleh itu, jangan sesekali cuba mengabaikan janji terhadap rakyat. Rakyat tidak peduli siapa jadi menteri, timbalan menteri, pegawai menteri, waima perdana menteri sekali pun. 


Tun Mahathir dan kerajaan dalam hal ini tidak harus berlengah-lengah menunjukkan perubahan. Selepas ini, pada pada 2 Mac depan ada satu lagi pilihanraya kecil di Semenyih yang mana ini adalah ujian yang tidak boleh dipandang ringan oleh PH.


Selepas kemenangan di Cameron Highlands, BN dengan kerjasama Pas pasti mahu terus melakar kejayaan kedua, apalagi kali ini PH akan diwakili oleh Bersatu dalam pilihanraya kecil itu.


Di Semenyih akan memperlihatkan Bersatu bertanding buat pertama kali dalam pilihanraya kecil itu dan ia adalah penanda kepada penerimaan atau penolakan rakyat terhadap parti yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir itu.


Berlawan dengan UMNO yang disokong oleh Pas dalam pilihanraya kecil itu nanti akan menentukan sama ada Bersatu benar-benar diterima rakyat dalam konteksnya mengetuai kerajaan PH dan benar atau tidak mampu menjadi pengganti kepada UMNO atau sebaliknya.


Dengan komposisi pengundi Semenyih meliputi Melayu 67.71%, Cina 16.69%, India 13.73% dan lain-lain 1.86%, ia adalah cabaran besar kepada Bersatu untuk mengekalkan kemenangannya kerana kejayaan dalam PRU14 lalu sudah tidak boleh diharapkan akan berulang dengan mudah lantaran banyak perkara dalam pertimbangan rakyat sudah pun berubah sekarang ini.


Majoriti 8964 undi bukan lagi laluan selesa buat Bersatu kerana Pas yang dulunya memperolehi 6966 undi telah berjanji untuk mengerahkan tenaga dan memastikan undi yang sama berpindah kepada calon UMNO yang akan mereka sokong dengan sepenuhnya.


Apa jadi kepada Bersatu dan di mana mahu letak muka sebagai pemegang kerusi Perdana Menteri jika tewas dalam plihanraya pertama di Semenyih nanti?


Masihkah Bersatu mahu mendabik dada mahu menjadi pengganti kepada UMNO?


Realitinya, tempoh mulai sekarang hingga 2 Mac depan adalah kritikal untuk PH, khususnya bagi Bersatu dan Tun Mahathir untuk benar-benar menunjukkan keseriusan dalam menangani segala permasalahan rakyat, keinginan menunaikan janji dan membuktikan PH adalah lebih baik berbanding BN.


Kiranya masih juga tiada perubahan dan tiada apa-apa petanda untuk berubah, rakyat melalui pengundi Semenyih pada 2 Mac nanti sewajarnya menghantar isyarat kedua kepada kerajaan dengan sekali lagi mengharamkan pemberian undi mereka kepada PH.


Oleh kerana mungkir janji adalah perbuatan haram, maka mengharamkan undi semata-mata untuk menuntut janji manifesto adalah perbuatan yang sebenarnya dihalalkan. (ShahbudinHusin 27/01/2019)

Saturday, 26 January 2019

KEKALAHAN PH DI CAMERON HIGHLANDS TANDA BERMULANYA PENOLAKAN RAKYAT TERHADAP KERAJAAN


Sebagaimana yang diduga dan barangkali ramai juga yang mengharapkan perkara yang sama, BN akhirnya berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan menewaskan calon PH dan dua lagi calon Bebas


Bagaimanapun, apa yang mengejutkan berbanding PRU14 lalu di mana BN melalui calon MIC, C Sivaraajh menang hanya dengan majoriti 597, kali ini majoritinya bertambah kepada 3238 undi.


Calon BN, Ramli Mohd Nor memperolehi 12,038 undi, M Manogaran mewakili PH mendapat 8,800 undi, sementara dua calon Bebas, Sallehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 dan 276 undi.


Kekalahan PH di Cameron Highlands ini, walaupun kawasan itu memang milik BN sebelumnya, tetapi tetap merupakan tamparan yang memerahkan pipi PH, bukan saja disebabkan peningkatan majoriti kemenangan, tetapi juga kerana gabungan itu adalah kerajaan Pusat ketika ini.


Tambahan lagi, Tun Mahathir Mohamad sendiri selaku Perdana Menteri yang turun berkempen di Cameron Highlands juga nampaknya gagal sama sekali menghalang kebangkitan suara rakyat itu.


Ketika jadi pembangkang, PH kalah hanya dengan 597 undi, bagaimana setelah lapan bulan jadi kerajaan Pusat, BN yang jadi pembangkang pula mampu menang dengan majoriti 3238 undi?


Realitinya, keputusan ini menunjukkan pengundi sudah mula menolak kerajaan PH berikutan terlalu banyak perkara yang tidak beres terhadap rakyat.


Kegagalan menunaikan banyak janji 100 hari membuatkan rakyat di merata-rata kini mulai hilang kepercayaan terhadap keseluruhan janji 5 tahun yang mahu dilaksanakan oleh PH.


Lebih daripada itu, karenah menteri-menteri PH yang tidak berwibawa, banyak cakap merapu, lebih suka bercakap perkara remeh seperti kasut hitam, stokin, pengesan asap di tandas untuk menangkap perokok, bangga sendiri dapat muncul di program HardTalk BBC, sedangkan deretan janji, isu kos sara hidup, kenaikan barang, menghapuskan tol masih lagi gagal ditunaikan sehingga ini.


Keputusan pengundi Cameron Highlands memberi kemenangan besar kepada BN ini adalah suatu “wake up call” kepada kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamad agar jangan melengah-lengahkan lagi janji terhadap rakyat.


Lagi lama janji dilengah-lengahkan dan kerajaan gagal ditampilkan lebih baik berbanding era BN dahulu, lagi besar penolakan rakyat akan menjelma selepas ini.


Selain itu, dengan bersatunya Pas dan UMNO bermakna kerajaan tidak boleh lagi memandang remeh isu-isu hak Melayu dan Bumiputera yang majoriti rakyat rasa ia semakin dipinggirkan sekarang ini.


Tun Mahathir selepas ini tidak boleh lagi berasa senang hati dengan kejayaan menumbangkan BN dan menyingkirkan Najib Razak semata-mata. Ia adalah episod yang sudah berlalu.


Rakyat tidak mahu lagi mendengar cerita yang sama tentang Najib seorang kleptokrat, penyamun  dan  penyangak atau Rosmah Mansor yang suka bermewah dan memiliki banyak barang kemas dan beg tangan yang berderet.


Semua rakyat bukan saja sudah tahu perkara tersebut, malah sudah pun menghukum bekas Perdana Menteri itu. Lagi pula, kes mereka akan dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.


Oleh yang demikian, terutama dalam kempen pilihanraya, Tun Mahathir tidak perlu lagi bercakap hal yang sama berulang-ulang kali.


Rakyat lebih mahu tahu dan mendengar apa pengisian terhadap janji manifesto dahulu. Itu lebih penting bagi mereka berbanding mengulang-ulang cerita berkenaan Najib yang rakyat sudah tahu banyak perkara mengenainya.


Jika kerajaan, khususnya Tun Mahathir gagal mendengar dan memahami suara rakyat ini, tidak mustahil isyarat yang sama dilantunkan sekali lagi di Semenyih pada 2 Mac depan. 


Apa pun, demi kepentingan dan hak rakyat yang berhak mendapat banyak perkara yang lebih baik untuk kehidupan dan masa depan mereka, tahniah diucapkan kepada pengundi Cameron Highlands yang telah menghantar “amaran” pertama kepada PH ini. (ShahbudinHusin 26/01/2019)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...