Wednesday, 25 July 2018

KEHADIRAN NAJIB MENGURANGKAN LAGI PELUANG BN MENANG DI SUNGAI KANDIS?


Nampaknya Najib Razak seperti masih tidak sedar bahawa beliau adalah punca utama kekalahan BN dalam pilihanraya umum 9 Mei lalu.


Kiranya beliau sedar siapa dirinya dan kerana dirinyalah BN kalah serta ditolak rakyat, tidak ada sebab untuk beliau turut sama turun berkempen membantu calon BN bagi pilihanraya kecil Sungai Kandis, 4 Ogos depan.


Sebagai orang yang menjadi punca utama kekalahan BN, Najib sepatutnya menjauhkan dirinya daripada UMNO dan BN ketika ini jika beliau mahu melihat harapan kemenangan lebih berpihak kepada calon BN.


Beliau lebih wajar menumpukan perhatiannya kepada usaha membersihkan namanya di mahkamah tanpa mencampuri lagi urusan parti. Lagi pun, beliau bukan siapa-siapa lagi, hanya ahli biasa saja.


Hadirnya Najib di Sungai Kandis tidak akan membantu BN, malah hanya akan menyebabkan penolakan pengundi yang lebih besar kepada calon BN, Lokman Noor Adam.


Ketika beliau menjadi Perdana Menteri pun, cakap dan kempennya tidak laku, maka mustahil setelah BN kalah yang disebabkan olehnya dan kemudian didakwa pula di mahkamah serta sebelum itu bertimbun-timbun wang tunai serta barang kemas dirampas polis daripada kediamannya, kehadirannya berkempen di Sungai Kandis mampu menghasilkan sesuatu yang bermanfaat bagi BN di pilihanraya kecil itu.


Malah, kehadiran Najib itu secara langsung memberi gambaran bahawa UMNO dan BN masih dibayangi oleh wajah Najib lagi.


Adakah pengundi masih mahu memilih BN yang masih dibayangi Najib yang sudah pun mereka tolak dalam pilihanraya umum lalu?


Adalah lebih baik pilihanraya kecil ini diuruskan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang baru dipilih dalam pemilihan baru-baru ini bagi mereka membuktikan perjuangan untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti itu dijalankan dengan sebaik-baiknya.


Tetapi, dengan kehadiran Najib, jika pun usaha memulihkan kepercayan rakyat itu sudah mula menampakkan hasilnya, ia pasti sudah musnah sekarang ini.


Ataukah Najib sengaja hadir berkempen di Sungai Kandis dengan harapan BN kalah lebih teruk berbanding keputusan pilihanraya lalu dan dengan demikian barisan pemimpin UMNO yang baru dipilih ini tidaklah lebih baik daripada era kepimpinannya dahulu?


Tidakkah jika UMNO dan BN mula diterima baik oleh rakyat, ia dengan sendirinya bermakna Najib semakin dilupakan dan ketiadaannya adalah sesuatu yang lebih baik? (ShahbudinHusin 25/07/2018)

JANJI MANIFESTO, SUDAHKAH PEMIMPIN UMNO MENCERMIN DIRI SENDIRI?


Kelompok UMNO dan BN sekarang ini begitu ghairah membangkitkan soal janji dalam manifesto pilihanraya Pakatan Harapan yang kononnya telah gagal dipenuhi.


Di mana-mana mereka bercakap mengenainya, bahkan dalam kempen pilihanraya Sungai Kandis yang sedang berjalan sekarang pun, isu menuntut janji itu turut dimainkan dengan ganas sekali.


Dikatakan, pilihanraya kecil ini harus dijadikan referendum menuntut janji-janji dalam manifesto berkenaan dan kemenangan calon BN juga dibayangkan akan meningkatkan suara desakan UMNO dan BN ke arah itu.


Kenapa UMNO dan BN terlalu sibuk dengan janji manifesto Pakatan Harapan berbanding penyokong Pakatan Harapan sendiri yang tampak lebih tenang dan boleh bersabar?


Adakah mereka memberi undi kepada Pakatan Harapan?

Hakikatnya, manifesto Pakatan Harapan terbahagi kepada dua - satu ialah berkenaan 10  perkara yang akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari, manakala satu lagi akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang.


Berdasarkan perkembangan semasa di mana sehingga lebih kurang 70 hari memerintah negara setakat ini, dua daripada 10 janji itu sudah pun dilaksanakan, enam sedang dalam proses perlaksanaan dan dua lagi belum dilaksanakan kerana terikat dengan halangan-halangan tertentu.


Tidakkah ini sudah merupakan sesuatu yang memberangsangkan?


Berdasarkan itu juga, secara umumnya, kerajaan baru Pakatan Harapan memang sedang berusaha keras menunaikan janji-janjinya kepada rakyat, di sebalik bebanan hutang, pembaziran, sikap suka bermewah dan kerosakan yang ditinggalkan oleh regim Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor sejak 2009 yang lalu.


Bagi janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang tarikh hayatnya selama 5 tahun sehingga tahun 2023, semua pihaknya seharusnya bersikap lebih bersabar dan tidak tergesa-gesa menuntutnya.


Kerajaan masih banyak masa lagi untuk menunaikan semua janji-janji itu dan jangan terburu-buru menuduh Pakatan Harapan gagal menunaikannya.


Begitu pun, di sebalik keghairahan UMNO dan BN siang malam bercakap membangkitkan soal janji Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14, mereka juga tidak harus lupa lupa manifesto PRU13 lalu yang tempohnya antara 2013 hingga 2018.

Berdasarkan info grafik yang disertakan, apakah janji menurunkan harga kereta, menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan, mewujudkan persekolahan satu sesi dan sebagainya sudah ditunaikan sebelum UMNO dan BN tumbang pada 9 Mei lalu?


Jika diselak sejak berkuasa selama lebih 61 tahun, barangkali lebih banyak lagi janji-janji UMNO dan BN itu yang hanya tinggal janji saja.


Kepada pemimpin serta penyokong UMNO dan BN, cerminlah diri sendiri berkenaan manifesto PRU13 dan sejak 61 tahun berkuasa terlebih dahulu sebelum cuba mencari kesalahan kerajaan baru yang belum pun sampai 100 hari menjalankan tugasnya. 


Lagi pula, kegembiraan terbesar bagi rakyat Malaysia sekarang ialah tiada lagi Najib yang memerintah dan Rosmah yang suka bermewah. (ShahbudinHusin 25/07/2018)

Tuesday, 24 July 2018

KERTAS SIASATAN SURAT JPM KEPADA CIA SUDAH DIBUKA?


Persatuan Patriot Kebangsaan atau Patriot akhirnya tampil sebagai pihak pertama yang membuat laporan polis berhubung surat memohon agar Amerika Syarikat menyokong kerajaan BN pimpinan Najib Razak yang ditulis dan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, Hasanah Ab.Hamid kepada Pengarah CIA, Gina Haspel lima hari sebelum hari pengundian PRU14 pada 9 Mei lalu.


Laporan polis tersebut dibuat di ibu pejabat polis daerah Subang Jaya, hari ini.


Dalam laporan polisnya Patriot menuntut agar Hasanah disiasat dengan segera untuk menjelaskan mengenai surat yang ditulis dan ditandatanganinya kepada Pengarah CIA itu.


"Ia adalah kesalahan serius dan berbentuk pengkhianatan kepada negara apabila menjemput pihak luar untuk campurtangan dalam hal ehwal dalaman negara.


"Di manakah kesetian Hasanah kepada negara ini?" soal Presiden Patriot, Mohamed Arshad Raji.


Selain mempersoalkan apakah pertolongan yang diharapkan daripada CIA dan Amerika Syarikat, Patriot juga mahukan jawapan sama ada Hasanah menulis serta menandatangani surat itu atas arahan pihak tertentu atau beliau mendapat imbuhan daripadanya?


"Semua itu perlukan jawapan," tegas Mohamad Arshad lagi.


Dengan adanya laporan polis oleh Patriot ini, tiada sebab lagi bagi pihak polis untuk tidak bertindak dengan segera membuka kertas siasatan dan memanggil Hasanah bagi tujuan penyiasatan.


Sementara itu, satu sumber lain memberitahu bahawa berikutan adanya laporan polis oleh Patriot itu, pihak polis sudah pun membuka kertas siasatannya ketika ini.


Apa pun, syabas kepada pihak polis atas tindakan pantas ini dan rakyat kini tidak sabar lagi untuk melihat  sesiapa juga yang dianggap pengkhianat kepada negara dibawa ke muka pengadilan dengan segera dan seterusnya dihukum sewajarnya. (ShahbudinHusin 24/07/2018).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...