Sunday, 24 September 2017

JIKA BUKAN UNTUK MENGACAU, BUKANKAH LEBIH BAIK PAS BERTANDING 40 KERUSI SAJA?


Hasrat Pas untuk bertanding 100 kerusi Parliman dalam pilihanraya umum akan datang bukanlah perkara baru sebenarnya. Beberapa pemimpinnya sudah bercakap sebelum ini mengenai perkara itu.

Begitu juga, daripada 100 kerusi yang ditandingi itu, keyakinan Pas untuk menang sebanyak 40 kerusi bukanlah juga perkara baru. Beberapa pemimpin Pas sebelum ini sudah selalu memperkatakannya.

Apa yang disebut oleh Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung Pas mengenai hasrat bertanding 100 kerusi dan menang 40 kerusi tidak ada yang barunya, malah tidak lebih hanyalah ulangan semata-mata.

Oleh kerana ia adalah kenyataan berulang, tulisan ini pun lebih merupakan peringatan ulangan  kepada seluruh pengundi PRU 14 bahawa Pas menyertai pilihanraya akan datang bukanlah untuk menang, tetapi sekadar untuk menjadi pengacau saja.
Ia semakin menepati kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang tegas menyatakan kedudukan Pas adalah sebagai pengacau kepada Pakatan Harapan untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Dalam Pas tetap mempertahankan musuh mereka juga adalah UMNO dan BN serta mahu mentadbir negara ini, parti itu secara tidak langsung mendedahkan ketidakinginan untuk menang dan mengambil alih kuasa apabila menyasarkan kerusi kemenangan sebanyak 40 saja.

Bagaimanakah dengan 100 kerusi yang ingin ditandingi dan 40 kerusi sebagai sasaran kemenangan, Pas mampu mengambil alih kuasa sedangkan jumlah mininum untuk menang dengan majoriti mudah ialah 112 kerusi?

Lebih daripada itu, jika Pas bertanding 100 kerusi dan matlamat kemenangan hanya 40 kerusi, apa jadi dengan lebihan 60 kerusi yang turut ditandinginya?

Untuk apa Pas bertanding di 60 kerusi tersebut?

Kenapa  Pas tetap mahu bertanding 100 kerusi jika kerusi yang diyakini menang cuma 40?

Suka-suka, duit berlebih atau untuk menjadi pengacau supaya UMNO dan BN berpotensi untuk memenangi 60 kerusi tersebut?

Mengapa Pas tidak bertanding cukup-cukup 40 kerusi dan menumpukan sepenuh tenaga dan jenteranya di situ saja?

Dalam hal ini, berbeza dengan BN yang bertanding di semua 222 kerusi untuk mempertahankan kerajaan yang sedang dipimpinnya, begitu juga dengan Pakatan Harapan yang turut bertanding 222 kerusi sebagai lambang keyakinan ke arah pembentukan sebuah kerajaan baru, sebaliknya apa yang boleh diharapkan kepada Pas yang hanya bertanding 100 kerusi dan sasaran menang 40 saja?

Susahkah kita memahami apa keinginan Pas yang sebenar dalam PRU 14 nanti? (ShahbudinHusin 24/09/2017)

KUASA IMIGRESEN KEPADA SABAH DAN SARAWAK WAJAR DIKAJI SEMULA


Kuasa imigresen yang dimiliki oleh Sabah dan Sarawak kembali menjadi perbualan hangat apabila beberapa pemimpin Pakatan Harapan dihalang memasuki Sarawak semalam.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dihalang sebaik tiba di Miri, manakala Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling diusir keluar meninggalkan Sarawak ketika sedang menghadiri program anjuran PKR, juga di Miri.

Berikutan kebimbangan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang dijadulkan terbang ke Miri malam semalam telah membatalkan penerbangannya di saat-saat akhir kerana bimbang akan menerima nasib yang sama.

Dalam waktu yang sama, hari ini Tun Mahathir Mohamad buat pertama kalinya akan menjejakkan kakinya ke Sarawak atas kapasitinya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

Meskipun Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Abang Haji Openg memberi jaminan bahawa Tun Mahathir akan dibenarkan masuk kerana katanya bekas Perdana Menteri itu bukan seorang pelampau serta tidak memberi ancaman, tetapi tentulah kebenaran itu bukan sesuatu yang kekal buat selama-lamanya.

Kiranya program Tun Mahathir di Kuching hari ini mendapat sambutan hangat dan beribu-ribu rakyat negeri itu menghadirinya, kemudian beliau datang lagi untuk beberapa kali, kalau pun Abang Johari masih boleh bersikap terbuka, ia tentulah akan menimbulkan kebimbangan kepada Najib Razak yang akhirnya akan berbisik kepada Ketua Menteri agar segera menggunakan kuasa menyekat kemasukan Pengerusi Pakatan Harapan itu.

Menghalang kemasukan beberapa pemimpin pembangkang ke Sarawak bukanlah perkara asing sejak kebelakangan ini. Pada pilihanraya negeri yang lalu, sederetan pemimpin Pakatan Harapan dihalang atas alasan kehadiran mereka mengancam keharmonian rakyat Sarawak.

Di mana logiknya kedatangan semasa kempen pilihanraya didakwa mengancam keharmonian rakyat?

Bukankah pilihanraya dan berkempen merupakan suatu proses yang dibenarkan dalam undang-undang negara dan tidak ada sesiapa sepatutnya dihalang daripada menyertainya kerana Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada Malaysia?

Semua orang sedar kuasa imigresen kepada Sabah dan Sarawak adalah perjanjian yang memang termaktub ketika pembentukan Malaysia dahulu. Ia mungkin sesuai pada ketika awal penyatuan dahulu, tetapi yang menjadi isu sekarang ialah ia  cenderung disalahgunakan untuk kepentingan politik dan sekatan yang dibuat juga semata-mata atas pertimbangan politik.

Sebagai sebahagian daripada Malaysia dan rakyat Malaysia Timur ketika ini sudah matang serta ramai yang berpendidikan, telah tiba waktunya kuasa imigresen itu dikaji semula dengan suatu kelonggaran yang munasabah, kalau pun tidak dihapuskan sama-sekali.

Beri kebebasan kepada sesiapa saja untuk datang ke Sabah dan Sarawak tanpa sekatan, terutama ketika musim kempen pilihanraya atau menghadiri program parti. 

Sekatan mungkin boleh dilakukan kepada individu yang dikenalpasti sebagai pengganas atau pelampau kaum dan agama yang tegar.

Di mana demokrasi dan keterbukaan suatu tamadun jika sekatan ketika pilihanraya masih wujud di alaf ini?

Di mana logiknya juga kita sesama rakyat Malaysia, tetapi masih wujud sekatan atau halangan untuk masuk ke negeri-negeri tertentu?

Jika keselamatan dan keharmonian yang dibimbangi, bukankah negara ada undang-undang lain seperti Akta Hasutan, OSA, kuasa polis dan sebagainya yang boleh dikuatkuasakan kepada mereka yang dilihat mendatangkan ancaman?

Selain itu, dengan mewujudkan kebebasan keluar masuk antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung, ia secara tidak langsung akan memantapkan lagi intergrasi nasional yang menjadi impian dan sebutan semua pemimpin selama ini.

Keadaannya sekarang jelas tidak memberi keadilan melalui kuasa imigresen tersebut. Ini kerana hanya penduduk Semenanjung boleh dihalang daripada memasuki Sabah dan Sarawak, tetapi rakyat kedua-dua negeri tersebut boleh bebas keluar masuk ke Semenjung tanpa sebarang halangan.

Demi masa depan Malaysia yang lebih baik, perubahan harus segera dilakukan. Ternampak mustahil untuk mengharapkan Najib dan BN ada keberanian melakukan perubahan itu.

Perubahan ini mesti dilakukan oleh Pakatan Harapan. Seiring dengan janji Pakatan Harapan untuk melantik seorang Timbalan Perdana Menteri mewakili Sabah dan Sarawak selepas memenangi PRU 14 akan datang, ia akan lebih mantap jika diiringi dengan kesediaan mengkaji semula kuasa imigresen tersebut.

Kuasa imigresen ini jika dikaji semula, seterusnya dapat dilonggarkan pada tahap yang munasabah atau dihapuskan sama-sekali, adalah suatu kemenangan untuk semua rakyat Malaysia. (ShahbudinHusin 24/09/2017)

Saturday, 23 September 2017

PAS BUAT HAL LAGI!!!


Pas sekali lagi buat hal yang menyerlahkan siapa mereka sebenarnya ketika ini.

Jika semalam Pas Selangor bersama 30 NGO mengadakan demonstrasi membantah pesta arak dan gay yang kedua-duanya sudah pun dibatalkan beberapa hari sebelum itu, hari ini Pas Pulau Pinang pula tampil membuat laporan polis terhadap kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Lim Guan Eng berikutan banjir yang melanda negeri itu.

Laporan itu meminta pihak polis menyiasat projek-projek pembangunan yang didakwa mungkin menyebabkan berlakunya banjir itu.

Selain Pulau Pinang, banjir juga sebenarnya turut melanda Kedah, Perlis dan Pulau Langkawi pada ketika ini.
Kenapa Pas hanya buat laporan polis di Pulau Pinang saja?

Mengapa tak buat laporan polis juga di negeri dan tempat lain yang turut dilanda banjir?

Dalam pada itu, banjir kilat  boleh dikata setiap hati berlaku di Kuala Lumpur apabila saja hujan turun dengan lebat.

Bila agaknya Pas Wilayah Persekutuan mahu membuat laporan polis meminta disiasat projek-projek pembangunan yang diluluskan DBKL yang mungkin merupakan punca berlakunya banjir itu?

Jangan pula Pas lupa, tak lama lagi bila tiba hujung tahun, banjir juga selalu berlaku di Pantai Timur, khususnya Kelantan, sebuah negeri yang ditadbir oleh Pas sendiri.

Untuk memperlihatkan Pas benar-benar mengamalkan politik matang dan adil sebagai sebuah parti Islam, bila berlaku banjir nanti, janganlah pejamkan mata daripada membuat laporan polis terhadap kerajaan negeri Kelantan untuk disiasat projek pembalakan dan penebangan hutan yang tak terkawal di negeri itu yang barangkali menjadi punca berlakunya banjir tersebut.

Jika tidak, apa yang dilakukan di Pulau Pinang ini tidak lebih hanyalah gimik politik semata-mata.

Sejak bila parti agama pandai main-main gimik begini dalam berpolitik? (ShahbudinHusin 23/09/2017)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...