Tuesday, 22 March 2016

JANGAN LUPA, SHABERY CHEEK JUGA ADA SAHAMNYA...

Ketika heboh seluruh negara dengan tangkapan seorang pegawai berjawatan Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan atas dakwaan menyelewengkan dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta sambil  menerima habuan peribadi kira-kira RM20 juta, tidak dapat dielakkan timbul sama desakan agar menterinya, Khairy Jamaluddin turut bertanggungjawab dan meletakkan jawatan.

Lebih-lebih lagi dengan pengakuan KJ semalam bahawa pihaknya tidak menyedari perlakuan yang sudah lama dilakukan pegawai terbabit dengan menyalahgunakan prosedur kerajaan yang tidak memerlukan kelulusan pegawai atasan, termasuk Menteri atau Ketua Setiausaha.

Tidak, saya tidak menyedari perkara itu, kata KJ lagi.

Pengakuan jujur KJ itu  lantas membuatkan ramai yang bertanya, apa kerja beliau selama ini, tambahan pula wang lebih RM100 juta yang diselewengkan itu bukanlah suatu jumlah yang kecil?

Dalam masa yang sama, tidak kurang juga yang mempersoalkan apa kerja Ketua Setiausaha, Pengarah dan pegawai-pegawai atasan lain yang lebih tinggi daripada Setiausaha Bahagian itu?

Apakah mereka tidak memantau dan  langsung tidak menyedari wujudnya perlakuan sumbang berkaitan kehilangan wang sebegitu besar sedangkan ia sudah mula berlaku sejak 2010 lagi?

Bagaimana dengan laporan audit setiap tahun yang dilakukan sejak 2010 , apakah tiada sedikit pun dapat dikesan penyelewengan dan penyalahgunaan dalam laporannya? 

Bagaimana laporan audit boleh bersih setiap tahun?

Selain itu, mampukah seorang Setiausaha Bahagian secara sendirian saja menyelewengkan sehingga RM100 juta tanpa penglibatan orang lain yang mungkin bersubahat sama dengannya?

Walaupun beban tanggungjawab utama adalah di bahu menteri, tetapi  untuk berlaku adil, terutama kerana penyelewengan itu telah berlaku sejak 2010 lagi, tidak seharusnya KJ saja yang memikulnya kerana beliau menjadi menteri hanya bermula tahun 2013. 
Menteri sebelumnya  di Kementerian Belia dan Sukan ialah Shabery Cheek yang dilantik bermula pada 2009 hingga 2013. 

Sudah tentu dalam hal ini, Shabery juga mesti tampil dengan penjelasan dan jawapannya kerana wang RM100 juga mula diselewengkan di eranya menjadi menteri.

Beliau tidak harus berdiam diri, lepas tangan dan seolah-olah tidak terkait sama sekali dengan isu yang sedang diperkatakan ramai sekarang.

Jika Shabery turut memberi jawapan tidak menyedarinya, sama seperti KJ, apakah ia kerana Setiausaha Bahagian itu terlalu hebat dalam kerja jahatnya atau semua yang ada dalam kementerian - daripada Menteri, Ketua Setiausaha dan Pengarah-Pengarah sejak 2010 sehingga kini "tak boleh pakai" sama sekali? (SH 22/03/2016).

UNTUNG KALAH DARIPADA MENANG

Barangkali untuk  tujuan agar UMNO cawangan-cawangan di Selangor menolak  Deklarasi Rakyat dan mengabaikan usul undi tidak percaya terhadap Najib Razak yang digesa oleh Tun Mahathir Mohamad, maka buat pertama kalinya dalam sejarah dunia - dulu, kini dan selamanya, diadakan pertandingan untuk menambah ahli dengan ganjarannya wang tunai yang begitu lumayan sekali.

Bagi cawangan yang dapat menambah ahli paling ramai, hadiahnya ialah RM50 ribu, diikuti dengan RM30 ribu dan RM20 ribu bagi tempat kedua dan ketiga.

Pengumuman hadiah lumayan ini diumumkan sendiri oleh Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri yang sedang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Dulu pernahkah kita dengar ada hadiah sebegitu lumayan?

Hebat betul  hubungan UMNO dengan wang sejak Presidennya ada derma beribu-ribu juta....semuanya diajar dengan duit belaka!!

Tetapi, katalah jika pertandingan menambah ahli itu sekadar mendapat sambutan suam-suam kuku saja berikutan imej buruk yang ada pada Najib dan akhirnya UMNO Cawangan yang dapat menambah ahli seramai 50 orang pun diisytiharkan sebagai pemenangnya, bermakna nilai harga untuk mendapatkan seorang ahli ialah RM1000.

Wowww...lebih untung jadi negeri kalah daripada negeri menang!! (SH 22/03/2016).

Monday, 21 March 2016

LUTUT DAN SIKU


Mati-mati ingatkan lutut dan siku hanya untuk menepis dan melawan, rupa-rupanya lutut dan siku juga boleh digunakan untuk keselesaan ketika bersimpuh dan duduk melutut.

Bolehkah kemesraan dan saling ketawa ria itu cuba ditutup dengan kata-kata oleh Ketua Penerangan Pas bahawa "kita akan teguh berprinsip memperjuangkan Islam dan menentang kemungkaran. Kami akan perangi penyakit (ideologi yang salah dan bertentangan dengan Islam), kami tidak memusuhi pesakitnya.

"Sebaliknya kami akan terus berjuang untuk menegur, mengkritik dan mendidik mereka agar kembali ke jalan Allah SWT." 

Ohhhh....kalau hanya penyakit yang dimusuhi dan bukan pesakit yang perlu dijauhi, adakah kata-kata yang sama boleh diaplikasikan bahawa yang salah hanyalah rasuah, bukan orang yang melakukan rasuah?(SH 21/03/2016).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...