Saturday, 24 October 2015

APA TUJUAN ZAHID MENGESAHKAN BAJET 2016 DENGAN PILIHANRAYA SARAWAK?

Dalam banyak-banyak reaksi daripada pemimpin kerajaan mengenai Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Najib Razak semalam, yang paling menimbulkan tanda tanya dan persoalan ialah komen Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dalam reaksinya mengesahkan Bajet 2016 itu antaranya ialah untuk memenangi pilihanraya negeri Sarawak yang bakal diadakan tidak lama lagi.

(Kita mendapat) komen positif daripada mereka (penduduk Sarawak). Ya, memang (untuk menang pilihanraya negeri Sarawak, katanya lagi.

Kenapa Zahid begitu berterus terang dan "lurus bendul" mengatakan bajet kali ini berunsur politik dan sebagai alat untuk BN memenangi pilihanraya negeri Sarawak?

Biasanya mana-mana pemimpin kerajaan, apabila mengulas mengenai sesuatu bajet, mereka hanya akan menyokong dasar atau menyebut kebaikan yang diperkenalkan dalam pembentangan itu sambil memuji langkah-langkah yang diperkenalkan didalamnya.

Ini kerana Bajet secara umumnya adalah untuk kepentingan semua rakyat tanpa mengira kecenderungan kepada mana-mana parti dan untuk pembangunan serta perkembangan ekononi negara, bukannya untuk  politik  atau alat memenangi pilihanraya.

Biasa juga kita mendengar apabila Bajet yang dibentangkan itu berdekatan dengan tarikh pilihanraya dan  ditanya sama ada ia bertujuan untuk mengekalkan kuasa, jawapan yang berhemah selalunya ialah seperti, "ia hanya kebetulan saja kerana dasar kerajaan memberi kesejahteraan kepada rakyat adalah sepanjang masa", "terserah kepada tafsiran ramai" atau "ini bukan bajet politik dan pilihanraya."

Kaitan Bajet dengan politik kepartian dan pilihanraya seboleh-bolehnya akan cuba dihindari bukan saja kerana ia medan yang berbeza, malah untuk mengelakkan tanggapan buruk bahawa seolah-olah dana kerajaan boleh disalahgunakan dengan sesuka hati.

Lebih-lebih lagi bagi yang menjawab jawatan Timbalan Perdana Menteri, periksalah rekod reaksi pemegang jawatan itu sebelum ini apabila setiap kali Bajet dibentangkan, semuanya sama ada memberi pujian kepada Menteri Kewangan atau menyambut baik beberapa intipati yang dikesan boleh memberi kebaikan kepada rakyat saja.

Tidak pernah mana-mana Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengatakan "bajet ini adalah untuk memenangi pilihanraya."

Tetapi nampaknya berlainan dengan Zahid yang baru beberapa bulan menjadi Timbalan Perdana Menteri di mana  di samping memperkatakan tentang kelebihan bajet itu, beliau juga secara terbuka mengesahkan antara tujuannya ialah untuk BN memenangi pilihanraya negeri Sarawak yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Kenapa Zahid mahu begitu berbeza dan berterus-terang? Mengapa beliau mahu kelihatan berlainan nada dengan Timbalan-Timbalan Perdana Menteri sebelum ini?

Jika pihak pembangkang yang mengaitkan sesuatu pembentangan bajet dengan politik atau pilihanraya, memanglah tidak menghairankan tetapi dengan Timbalan Perdana Menteri sendiri membuat pengakuan, terasa ada sedikit peliknya.

Apakah Zahid cuba memberi gambaran bahawa Bajet 2016 yang dibentangkan Najib adalah berunsur politik yang tujuan lainnya ialah untuk kepentingan BN mengekalkan kuasanya di Sarawak?

Mungkinkah juga Zahid sedang cuba menyindir makna tema "Mensajehtera Kehidupan Rakyat" yang dipilih oleh Najib dalam bajetnya kali ini?

Ehhh...adakah burung tempua sudah mula terbang rendah untuk  mencari-cari tempat bagi membina sarangnya? (SH 24/10/2015).

Friday, 23 October 2015

BAJET 2016 - HANYA INI YANG MENARIK

Apa yang sebenarnya menarik mengenai kandungan Bajet 2016 yang dibentangkan Najib Razak petang tadi? 

Sama seperti ramai yang berhati suram ketika menanti pembentangannya, selepas dibentangkan ia terus juga suram.

Hakikatnya tiada apa-apa  yang menarik dalam bajet kali ini. Lagi-lagi bantuan tunai BR1M sebagai modal utama. Sebab itu malas nak ulas panjang-panjang Bajet 2016 ini.

Ucapan Najib yang lebih pendek dan ringkas berbanding tahun-tahun sebelumnya membuktikan beliau sendiri bagaikan sudah kekeringan modal untuk memakmurkan negara ini.

Kalau ada pun yang kekal menarik ialah ketidakberanian Najib untuk menyentuh sama sekali mengenai wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya sehingga Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terpaksa membawa plakad bertulis "Mana RM2.6 Bilion?" untuk mengingatkannya keperluan berterus-terang mengenainya.
Berbanding beberapa kenaikan  BR1M sepertimana yang diumumkannya, rakyat jauh lebih ingin tahu sejujur dan setulusnya daripada mulut Najib sendiri di Dewan Rakyat yang mulia itu mengenai "BR1M Wang Besar" RM2,600 juta tersebut. (SH 23/102015)

JIKA BAJET 2016 ADALAH "BAJET SAMPAH", SUKARKAH AHLI2 PARLIMEN MENOLAKNYA?

Petang ini Najib Razak akan membentangkan Bajet 2016 di Parlimen. Ini adalah kali ketujuh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan berbuat demikian.

Tetapi, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, pembentangan Bajet kali ini berlaku di ketika imej beliau hampir-hampir gelap diselubungi jerebu yang diakibatkan oleh kemelut 1MDB dan wang derma RM2,600 juta yang masih menjadi pertikaian rakyat.

Di sisi yang lain, awan hitam sebenarnya sudah agak lama membayangi kepimpinan Najib yang gemar dengan slogan retorik seperti "janji ditepati", "kami mendengar" dan "BN menang rakyat senang", tetapi hakikatnya sentiasa saja menambahkan beban rakyat dengan perlaksanaan cukai GST, menghapuskan subsidi minyak serta yang terbaru membenarkan kenaikan tol di dalam bandar, sedangkan antara janji PRU 13 BN ialah mengurangkannya secara berperingkat-peringkat.

Selain semua keadaan itu, ditambah dengan pelbagai "pekung", "tokak" dan "panau"  dalam kepimpinannya yang sudah menjadi bualan rakyat sejak 2009 lagi, hakikatnya tiada apa-apa lagi harapan rakyat dalam Bajet yang dibentangkannya ini.

Jika janji pilihanraya boleh dimungkiri dan slogan sendiri senang-senang dikhianati, apa lagi harapan yang ada dalam hati?

Keyakinan dan kepercayaan rakyat yang sudah sekian lama terhakis terhadap Najib, menjadi bertambah buruk apabila muncul isu wang RM2,600 yang didapati mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.

Bermula dengan penafian, menyifatkan ia konspirasi, kemudian mahu menyaman media yang mendedahkannya, tetapi apabila wang itu disahkan sebagai derma, Najib dan konco-konconya tanpa malu-malu mempertahankan pula kewajaran menerimanya dengan pelbagai hujah yang antaranya untuk dana politik, memastikan kemenangan UMNO, memerangi keganasan ISIS dan sebagainya.

Dalam isu 1MDB yang turut dikaitkan dengan wang derma itu, ia juga menyaksikan pemecatan anggota kabinet, penyingkiran peguam negara, kacau ganggu terhadap SPRM yang sedang menjalankan siasatan, pertukaran pegawai penyiasat secara mengejut ke Jabatan Perdana Menteri serta melumpuhkan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC.

Semua itu menjadikan pandangan umum terhadap Najib begitu "hitam". Ternampak semua tindakan di luar kewajaran itu adalah untuk menyelamatkan diri semata-mata. 

Lalu tidak menghairankan kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan kadar puas hati rakyat secara keseluruhannya hanya tinggal 23 peratus saja berbanding 38 peratus pada Januari lalu.

Golongan Melayu yang dulunya berpuas hati kepada Najib sebanyak 52 peratus, turut menurun menjadi 31 peratus saja lagi. Kaum Cina terus menolaknya dengan dulunya yang berpuas hati adalah 11 peratus, kini hanya tinggal 5 peratus saja.

Maka, apakah harapan rakyat apabila orang sama yang sebenarnya semakin dijauhi membentangkan Bajet sambil membawa janji, "Tahun ini, kita menumpukan usaha mengukuhkan daya tahan ekonomi negara, mengurus impak kelemahan luaran serta melindungi kesejahteraan rakyat?"

Ketika rakyat berdepan dengan pelbagai bebanan dan kesengsaraan serta dalam masa yang sama menyedari tentang kelembapan ekonomi, kejatuhan harga saham dan penurunan nilai ringgit, mereka juga menyedari satu-satu punca utamanya ialah Najib sendiri.

Imej beliau yang begitu buruk di mata dunia adalah halangan kepada segala-galanya. Pembentangan Bajetnya kali ini adalah umpama seorang yang sangat dibenci kerana pelbagai kejahatan dan onarnya, tiba-tiba datang dengan bakulnya membawa ole-ole sebagai buah tangan dan untuk keperluan harian kepada orang-orang kampung, maka berapa ramaikah yang sudi menerimanya?

Tentu saja lebih ramai yang enggan atau keberatan menerimanya. Yang sanggup menerima pula sudah pasti dikenali jenis orangnya.

Bukan ole-ole berupa makanan dan keperluan harian itu yang ditolak, tetapi kerana tangan dan hati sang pemberi itu sentiasa diragui dan tidak mudah lagi dimaafi.

Begitu juga dengan Bajet 2016 ini, semua yang cuba dilakukan Najib nanti tidak lebih hanyalah taburan janji untuk memulih dan memperbaiki semula imejnya setelah melakukan pelbagai "onar" yang sukar diterima secara lazimnya.

Rakyat tetap menolak dan tidak mempercayai beliau lagi, sama sebagaimana tidak ada yang percaya wang RM2,600 juta adalah derma.

Maka, ramai yang menolak Bajet 2016 ini kerana menganggap Bajet Najib kali ini tidak lebih  umpama "junk" atau sampah saja. 

Lantaran itu, menjadi kewajipan Ahli-Ahli Parlimen yang berpaksikan suara rakyat, sama ada pembangkang atau BN, menolak Bajet yang mungkin hanya penuh "gula-gula" yang dibentangkan Najib nanti. 

Ikutlah kata-kata Ahli Parlimen paling lama, Tengku Razaleigh Hamzah yang menyebut, "saya tidak rasa mereka akan mengundi menolak Bajet jika mengikut kebiasaannya. Tapi jika mereka merasakan terdapat isu substantif untuk menentang Perdana Menteri, mereka mempunyai hak untuk melakukannya."

Kepada Ahli Parlimen BN, terdapat dua pilihan untuk melakukannya - sama ada secara terbuka mengangkat tangan bersama-sama Ahli Parlimen pembangkang menolak Bajet itu atau menghilangkan diri secara beramai-ramai ketika hari pengundian dilakukan.

Pilih saja yang mana selesa. (SH 23/10/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...