Tuesday, 22 September 2015

TENTERA SIBER ZAHID HAMIDI MULA "MENGAMUK"...HAHAHA


Walaupun artikel blog ini bertajuk "Kenapa  lawatan rasmi Zahid ke Indonesia sama tarikh dengan majlis sanding anaknya di Jakarta" telah disiarkan pada awal pagi 20 September lalu (Ahad) dan banyak dipetik serta diulangsiar oleh pelbagai portal, blog dan media sosial lainnya, tentera maya yang pro kepada Timbalan Perdana Menteri itu nampaknya hanya mula bertindak balas sejak malam semalam.

Mereka mula menyerang blog saya sejak malam semalam dan pagi ini dengan komen-komen yang mempertahankan tindakan Zahid Hamidi mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia yang diadakan bersamaan tarikh dengan majlis persandingan anak lelakinya di Hotel Ritz Carlton, Jakarta.

Oleh kerana saya bersikap terbuka, sama sepertimana saya mengkritik mana-mana pemimpin juga secara terbuka, maka saya tidak menyekat sama-sekali sesiapa pun untuk mengemukakan pandangan di ruangan komen yang disediakan.

Namun komen-komen yang bertalu-talu dan senada bunyinya memperlihatkan seolah-olah ianya suatu bentuk tindak balas yang memang dirancang.

Okey, selamat menjalankan tugas!

Di bawah ini saya siarkan antara komen-komen yang dipercayai dilakukan oleh tentera siber pro Zahid untuk mempertahankan "boss"  mereka itu. Lihatlah betapa kasih dan sayangnya mereka ini kepada Zahid.
Tapi, kenapa lambat sangat bertindak beb? Baru dapat arahan ke?

Mengapa tidak melakukan sejak awal lagi?

Kalau perlahan macam ini, macam mana nak berlawan dengan tentera siber pro pembangkang?

Oh ya...tulisan-tulisan blog saya jika diperhatikan sebelum ini banyak sekali mengkritik dan membalun Najib Razak, terutama berkaitan isu 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterimanya sehingga mengundang kontroversi dalam masyarakat.

Tetapi, tidak pernah pula kelihatan mereka ini mempertahankan Najib?

Adakah mereka hanya sayang dan ingin mempertahankan Zahid saja, tapi tidak peduli langsung dengan Najib?

Kesian Najib kan...sudahlah kena serang kiri kanan depan belakang dari dalam serta luar negara, tentera maya Zahid pun nampaknya hanya berdiam diri saja.

Hanya Zahid yang mereka pertahankan, tapi Najib dibiarkan saja.

Dah tak sabar nak lihat Zahid jadi Perdana Menteri ke? (SH 22/09/2015)

PENGORBANAN PALING DITUNGGU SEMPENA HARI RAYA KORBAN TAHUN INI IALAH PENGUNDURAN NAJIB

Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz semalam telah bercakap mengenai keadaan ekonomi dan nilai ringgit serta kaitannya dengan isu semasa dalam negara yang seharusnya menjadi bermanfaat buat kita semua.

Bedasarkan laporan FMT, Zeti berkata:-

- nilai ringgit akan naik semula sekiranya isu 1MDB dapat diselesaikan.

- kita tidak perlukan satu lagi skandal. Kita tidak perlu ketidaktentuan politik. Kesemua isu berkaitan 1MDB perlu diselesaikan, barulah kita boleh menyaksikan nilai ringgit naik semula.

- kami telah serahkan hasil siasatan Bank Negara kepada Jabatan Peguam Negara. Kini kami masih dalam perbincangan dengan jabatan tersebut.

Mengikut berita Malaysian Insider pula, Zeti berkata:-

- orang ramai berhak mendapat jawapan terhadap siasatan skandal 1MDB.

- semua siasatan itu sedang berjalan dan ia akan membuahkan hasil. Bagi Bank Negara, kami melihat dalam percanggahan kelulusan yang kami berikan kepada 1MDB secara spesifik.

- melahirkan keyakinan pihak terlibat dalam salah laku berkaitan syarikat pelaburan negara itu akan dihadapkan ke muka pengadilan.

- masyarakat antarabangsa sudah menyatakan komitmen untuk menangani isu penggubahan wang haram dengan beberapa langkah tegas telah diambil. 

- dalam dunia sekarang, tidak ada orang dalam planet ini yang boleh bersembunyi.
Apakah perkara yang paling mudah untuk difahami daripada kata-kata Zeti ini?

Tentunya maksud sebenar ialah tidak lain agar isu berkaitan 1MDB yang disebutnya sebagai skandal hendaklah diselesaikan dengan segera jika mahu melihat nilai ringgit naik semula.

Bermakna juga, selagi isu 1MDB tidak selesai, nilai ringgit akan terus menjunam.

Tapi bagaimana untuk menyelesaikannya?

Jual tanah TRX? Cari pelabur asing dalam Bandar Malaysia? Struktur hutang? Atau bagaimana?
Zeti juga menyebut mengenai komitmen antarabangsa mengenai isu penggubahan wang haram yang tentunya sangat berkaitan dengan siasatan FBI mengenai wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib.

Siasatan FBI itu telah mengundang tarikan berita di seluruh dunia sehingga keyakinan pelabur asing tidak mungkin pulih dengan mudah selagi ia terus diperkatakan di mana-mana. 

Berpuluh negara telah menyiarkan berita mengenai siasatan FBI itu dan ini tentunya merupakan hentakan paling buruk terhadap imej negara di peringkat antarabangsa.

Bagaimanakah juga untuk melihat isu ini selesai?
Kedua-duanya iaitu 1MDB dan penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM2,600 juta hanya perlukan penyelesaian mudah iaitu - NAJIB LETAK JAWATAN DAN BIARKAN KEADILAN UNDANG-UNDANG MEMAINKAN PERANANNYA SELEPAS ITU. 

Sempena hari raya korban Khamis ini, percayalah, pengorbanan yang paling ditunggu-tunggu dan pasti seluruh negara gembira dengannya ialah jika Najib sedia berkorban meletakkan jawatannya demi masa depan negara dan 30 juta rakyatnya. (SH 22/09/2015)

Monday, 21 September 2015

BERUNDURLAH NAJIB SEBELUM JADI PM ULANG ALIK PEKAN - JLN DUTA - PUTRAJAYA SAJA!!

Selagi Najib Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri, keadaan dalam negara tidak mungkin menjadi lebih baik. Semua petunjuk ketika ini memperlihatkan segala-galanya akan bertambah buruk.

Najib mungkin dilihat berjaya menghalang siasatan di dalam negara terhadapnya melalui beberapa tindakan yang dilakukannya, tetapi penyiasatan di luar negara nampaknya semakin terbuka luas.

Sekurang-kurangnya dua negara iaitu Switzerland dan Amerika Syarikat melalui FBI dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap Najib berkaitan 1MDB dan penggubahan wang haram berikutan wang RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.

Kiranya selama ini kita hanya biasa melihat dalam filem atau televisyen saja bagaimana FBI menjalankan kerjanya, semua itu mungkin akan menjadi kenyataan di depan mata kita tidak lama lagi. Lantas, jika berlaku, ia akan menjadi satu lagi sumbangan Najib kepada rakyat dan negara.
Berdasarkan beberapa laporan yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hasan di London, Perancis, Hong Kong dan Singapura sebelum beliau ditangkap, tidak mustahil negara-negara tersebut juga akan membua kertas siasatan yang sama.

Melalui perjalanan masa seminggu dua lagi, tidak menghairankan jika kita akan mendengar negara lain pula mengumumkan mereka akan turut membuka kertas siasatannya terhadap Najib.

Dengan begitu banyak kertas siasatan dibuka di peringkat antarabangsa, moral Najib sejujurnya telah berkecai, bukan saja di mata dunia, bahkan juga dalam pandangan majoriti rakyat Malaysia yang tidak terkelabu dengan dedak yang ditabur di sana sini.

Dalam masa yang sama, Tun Mahathir Mohamad mula membayangkan kemungkinan Najib akan ditangkap jika ke luar negara berikutan yang ingin menyoal-siasatnya kini adalah polis antarabangsa dan bukan lagi dalam kawalan pihak berkuasa dalam negara.

Tidak keterlaluan jika akhirnya Najib tidak berani ke mana-mana lagi di luar Malaysia. Mana-mana polis dunia atau Interpol hanya menunggu beliau berada di luar Malaysia saja untuk menahannya kerana di Malaysia mungkin tidak semudah itu untuk melakukannya.

Jika ditangkap tentu saja memalukan, ketidakberanian pergi ke luar negara juga tidak jauh bezanya. Apalah gunanya menjadi Perdana Menteri sebuah negara yang merdeka kalau ulang aliknya hanyalah antara Pekan, kediaman peribadi di Jalan Duta dan Putrajaya saja.
Tetapi yang lebih memburukkan ialah negara akan terus terperosok ke lembah kehinaan dengan satu demi satu siasatan yang dibuka itu. Sejak merdeka dan sudah ada enam Perdana Menteri sebelum ini, tidak ada sesiapa pendahulu jawatan itu yang pernah memalukan negara sebegini rupa.

Imej kita sebagai negara Islam dan sederhana yang begitu disanjung sebelum ini jadi lebih bermakna lagi dan mengalahkan penurunan nilai mata wang yang sedang berlaku. 

Tidak seperti kemerosotan mata wang yang boleh diperbaiki, penyembuh kepada moral negara yang sedang menjunam itu ubatnya hanyalah dengan Najib sedia berhenti daripada jawatannya saja.

Dengan berhenti, bukan saja usaha memulihkan moral negara boleh diperbaiki melalui pemimpin baharu, malah UMNO juga lebih mudah memperbaiki imejnya.

Tidak dinafikan sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Najib ketika ini lebih disebabkan mereka terikat kerana masing-masing sudah menerima habuan daripadanya. Beberapa pemimpin UMNO seperti Shahrir Samad dan Ahmad Maslan yang didakwa menerima wang daripada Najib tidak menafikan perkara itu, bahkan bangga mengatakan "kalau bukan Presiden UMNO tempat meminta bantuan, dengan siapa lagi mahu mendapatkannya."

Najib juga tidak menafikan mengenai bantuan yang diberikannya atas alasan tidak semua Ketua UMNO Bahagian daripada golongan kaya dan berharta serta sesetengahnya hanyalah merupakan Penolong Pegawai Daerah saja sebelum menceburkan diri dalam politik.

Namun, dalam masa pemimpin UMNO terhutang budi dengan bantuan Najib itu, mereka juga sebenarnya sedang sengsara kerana wang yang diterima bagaikan tidak sepadan dengan beban kemusnahan sokongan rakyat yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Dalam bahasa yang mudah, onar Najib sehingga siasatan dibuka di peringkat antarabangsa, mungkin tidak boleh ke luar negara dan menjadikan sokongan rakyat kian rapuh, telah membuatkan  UMNO dan negara seperti pesakit nazak yang hanya menunggu masa untuk tertanggal nyawanya.

Tidak ada-apa lagi yang boleh diperbaiki dan dipulihkan selagi Najib tidak berundur daripada jawatannya. Dengan sedia berundur pula, Najib sebenarnya akan menghadiahkan kegembiraan kepada semua kita.

Pengunduran Najib tidak saja akan membuatkan rakyat jelata,  mereka yang mahukannya berundur dan seluruh negara rasa gembira, bahkan percayalah, majoriti pemimpin UMNO juga akan berasa lega dengan tindakannya itu.(SH 21/09/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...