Saturday, 5 July 2014

Malangnya Muhyiddin Sudah Terlambat...


Sambil mengingatkan semua rakyat agar menjaga perpaduan antara kaum, Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin cuba memberi amaran bahawa peristiwa 13 Mei tidak mustahil akan berulang jika perkara itu tidak lagi dipelihara.

Katanya lagi,"saya sendiri sebagai timbalan perdana menteri setiap malam sebelum tidur memikirkan macam mana hendak uruskan negara. Ada orang hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya, apa hendak jadi dengan Melayu, kenapa Islam dihina dan hal-hal yang sama.

"Mengapa hal-hal sebegini berlaku dan ini membimbangkan kita. Kita semua perlu balik ke pangkal jalan. Letakkan agama sebagai tonggak dan kekuatan kita sebagai orang Islam, begitu juga budaya dan adat resam kita," katanya.

Selain dilihat cuba menunjukkan dirinya lebih berjiwa Melayu dan Islam berbanding Najib yang liberal dan 1Malaysia, ingatan mengenai 13 Mei ini adalah sindiran halusnya terhadap tindakan Najib menghapuskan beberapa akta penting seperti ISA, Ordinan Darurat dan juga Akta Hasutan yang mana sebahagian kejadian yang berlaku kebelakangan ini adalah kerana tiadanya lagi akta-akta tersebut.

Oleh kerana tiada lagi akta-akta yang mencengkam itu, ramai yang berpendapat bahawa sebahagian rakyat tidak takut lagi untuk melakukan provokasi yang melibatkan agama dan kaum kerana semua pencegahan awal atau tangkapan mesti melalui proses perbicaraan, boleh dilawan di mahkamah dan menteri dalam negeri tidak lagi mempunyai "kuku" seperti dahulu.

Najib yang dilihat amat teruja dengan keterbukaan cuba membuang beberapa akta yang menjadi pertikaian selama ini sebagai sebahagian daripada pembaharuan yang mahu dibawanya. Malangnya janji keterbukaan itu tidak juga menghasilkan keputusan yang lebih baik dalam PRU 13 lalu di mana bukan saja jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi BN merosot berbanding 2008, malah ketinggalan dari segi undi popular.

Ini sekaligus memberi gambaran bahawa pakej pembaharuan yang cuba dibawa oleh Najib tidak diterima rakyat. Rakyat sebaliknya lebih mempunyai keghairahan menumbangkan BN dan menyingkirkan Najib daripada singgahsana Seri Perdana daripada menelan pembaharuan yang cuba dibawanya.

Sebab itu, selain pemansuhan ISA yang dikecam, penggantian Akta Hasutan dengan Rang Undang-undang Keharmonian turut menerima serangan yang berterusan. Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sudah beberapa kali membangkitkan mengenai perlunya Akta Hasutan ini terus dikekalkan demi keharmonian negara dan mengelakkan isu-isu sensitif seperti kedudukan Raja-Raja Melayu dipertikai secara terbuka dan tanpa had.

Selain banyak pihak menyokong pendirian Mahathir itu, bekas Ketua Polis Negara, Rahim Nor dan NGO Perkasa adalah yang yang paling lantang bersuara senada denga pendirian Mahathir itu. Sementara Rang Undang-Undang Keharmonian itu ditangguhkan dulu buat sementara waktu untuk kajian yang lebih mendalam, Perkasa juga mencadangkan kepada Najib agar mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh berpengalaman seperti Mahathir, bekas Ketua Hakim Negara dan bekas Ketua Polis sebelum memutuskan untuk meneruskan pembentangan akta baru itu.

Walaupun Najib masih membisu terhadap semua kritikan itu, jelas sekarang makin membesar kebimbangan terhadap keterbukaan itu dan mahukan beliau kembali kepada undang-undang serta akta sebelum ini yang mampu menjadikan kerajaan mempunyai kuku dan cengkaman yang lebih tajam.

Nada suara Muhyiddin yang cuba mengingatkan mengenai 13 Mei, pentingnya perpaduan, kebimbangan tentang nasib Melayu dan Islam serta menyeru kembali ke pangkal jalan, nyata merupakan suatu sindiran terharap Najib yang cuba mengamalkan keterbukaan sehingga satu demi satu kekalutan muncul di era pentadbirannya.

Muhyiddin seperti ingin mengingatkan Najib bahawa kerana keterbukaan dan kelonggaran dalam undang-undang yang diwujudkan sekaranglah yang boleh menjadi punca kepada ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Malangnya, saranan dan sindiran Muhyiddin ini sudah terlambat sebenarnya. Beliau hanya boleh bersuara saja tetapi kedudukan Najib dalam UMNO sudah begitu kukuh untuk diganggu-gugat. Najib sudah menyediakan benteng dengan menjaga hampir semua 191 ketua UMNO bahagian dengan jawatan, projek dan imbuhan supaya mereka terus akur dengannya. Selantang mana pun suara Muhyiddin atau setajam mana pun sindirannya, Najib sudah tidak tergugat lagi dalam UMNO.

Suara kritikan Mahathir sendiri seperti sudah tidak mendatangkan apa-apa kesan kepada kedudukan Najib kerana tidak ada mana-mana pemimpin dalam UMNO yang mahu menyambut semua kritikan itu. Ia jelas berbeza dengan ketika era Pak Lah dahulu.

Muhyiddin juga sudah terlambat untuk mengingatkan tentang 13 Mei kepada UMNO dan orang Melayu. Bagi sesetengah kalangan pemimpin dalam UMNO yang pernah menyuarakan agar Muhyiddin bertanding jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan UMNO tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri itu bukan lagi pemimpin yang berani sekarang ini.

Apakah kerana desas-desus kedudukannya tergugat baru-baru ini dan mahu digantikan dengan Hishammuddin Hussein, maka baru sekarang mula mahu menunjukkan penentangan atau menyindir mengenai dasar-dasar Najib?

Apa pun perkiraan Muhyiddin sekarang, eranya sudah boleh dianggap berakhir untuk muncul sebagai pemimpin masa depan. Beliau hanya menunggu masa untuk dibersarakan. Jika BN kalah membuatkan kariernya berakhir, kiranya BN menang lagi pun, jalan menuju keluar untuknya turut lebih terbentang luas kerana ketika itu pemimpin-pemimpin yang lebih muda semakin mengasak untuk merebut kerusinya itu.(SH 05/07/2014)

Friday, 4 July 2014

Oh! Malaysiaku Negara Islam, Nak Bersedekah Pun Kena Saman...


Ramai benar yang marah dengan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang tidak membenarkan lagi wargakota memberi sebarang jenis sumbangan kepada peminta sedekah dan dalam masa yang sama juga melarang kumpulan NGO Dapur Jalanan memberi makanan kepada golongan kutu rayau, fakir miskin dan gelandangan.

Alasan yang diberikan Tengku Adnan atau Ku Nan ialah untuk membersihkan Kuala Lumpur daripada semua jenis peminta sedekah, kutu rayau dan gelandangan yang disifatkannya sebagai sampah yang mengotorkan imej bandaraya selama ini, selain kononnya program pemberian makanan itu menambah-kotorkan lagi persekitaran ibukota.

Menurutnya lagi, kerana adanya golongan yang murah hati inilah menyebabkan kewujudan golongan sampah itu sukar dihapuskan oleh kerajaan serta menyusahkan usaha membanteras kewujudan mereka. Serentak dengan itu, beliau mensyaratkan jika NGO Dapur Jalanan mahu meneruskan kegiatan memberi makan kepada gelandangan, ia haruslah dilakukan sejauh 2km dari pusat bandar yang dikenalpasti iaitu Kompleks Membeli-belah Lot 10.

Walaupun mungkin niat Ku Nan ini adalah baik tetapi beliau seolah-olah tiada hati perut dalam tindakannya. Ini kerana dalam usahanya membersihkan imej Kuala Lumpur, sampai beliau bukan saja tergamak menghalang orangramai daripada bersedekah dan memberi sumbangan, malah menguatkuasakan undang-undang agar tindakan saman serta-merta dikenakan kepada sesiapa yang menghulurkan sumbangan.

Lebih tidak masuk akal, arahan penguatkuasaan ini pula dilakukan di bulan Ramadan, bulan di mana salah satu kegiatan yang paling digalakkan ialah bersedekah dan membantu golongan yang susah.

Kalau sudah bersedekah pun jadi masalah dan dianggap salah, tidakkah ini juga bertentangan dengan Malaysia sebagai negara Islam yang dilaung dan dibangga-banggakan sebelum ini!

Bagi Ku Nan yang tinggal di kediaman mewah setinggi lima tingkat di Jalan Duta, beliau mungkin tidak cukup memahami derita golongan fakir dan gelandangan ini yang hidup berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit. Sebelum mahu dilarang golongan fakir, peminta sedekah, kutu rayau dan gelandangan di ibu kota daripada menerima sedekah atau sumbangan makanan daripada NGO Dapur Jalanan, Ku Nan patut bertanya, sudahkah kerajaan berbuat sesuatu untuk melindungi dan membantu mereka ini?

Jika kerajaan pun tidak berbuat apa-apa atau tidak mampu melakukah sesuatu, janganlah dihalang orangramai daripada mahu menghulurkan sumbangan dan memberi makanan. Kerajaan melalui DBKL sepatutnya bekerjasama dengan NGO terbabit seperti menyediakan kawasan khas, tong sampah dah kakitangan yang membersihkan kawasan selepas program pemberian makanan itu diadakan.

DBKL juga sepatutnya bersyukur kerana NGO Dapur Jalanan ini tidak meminta sumbangan daripada kerajaan pun untuk menyediakan pemberian makanan itu. Ianya adalah sumbangan orangramai yang bersimpati, ada perasaan dan hati perut terhadap golongan yang kurang bernasib baik.

Di mana-mana bandar besar pun, golongan gelandangan dan peminta sedekah ini tetap ada. Yang penting ialah bagaimana kerajaan menangani dan melindungi mereka ini, bukan cuba menyisihkannya terus dengan menghalang orangramai daripada memberikan sedekah dan menghulurkan bantuan.

Memang benar seperti kata Ku Nan jika orangramai mahu menghulurkan bantuan, mereka boleh berbuat demikian kepada masjid, kuil, gereja dan sebagainya tetapi sedarkah Ku Nan bahawa pilihan memberi sedekah ini berbagai-bagai dan ia umpama kita memilih kedai makan atau pakaian yang selesa untuk dipakai. Ia terpulang kepada pilihan masing-masing dan kerajaan tiada hak untuk menentukan ke mana sedekah seseorang itu harus disalurkan.

Ada orang yang banyak duit, tetapi suka makan di gerai dan ada juga orang yang tak berapa ada banyak duit tapi sering memilih makan di tempat yang mahal. Ada pula yang suka makan KFC, McD, nasi kandar, hidangan Thai, masakan Jepun dan seumpamanya. Lain orang, lain selera dan keselesaannya. Begitu juga dalam hal bersedekah ini, selain ada yang menyumbang melalui masjid, kuil dan gereja, tentulah ada juga yang lebih selesa dapat bersedekah secara langsung dengan memberi wang atau makanan kepada golongan gelandangan ini.

Dalam hal ini, Menteri di JPM sendiri, Shahidan Kassim diketahui adalah penyumbang tetap makanan kepada golongan gelandangan yang berada di Chow Kit, Kuala Lumpur sejak sekian lama. Beliau bersama kenalan rapatnya melakukan bantuan itu secara konsisten sebagai amal jariah dan sedekahnya. Adakah beliau juga salah dan mahu disaman?

Ku Nan seharusnya sedar bahawa kewujudan kutu rayau, peminta sedekah dan gelandangan dengan kemurahan hati orangramai memberi sumbangan dan sedekah adalah dua aspek yang berbeza. Beliau seharusnya fokus kepada tugasnya untuk membersihkan golongan itu melalui peranannya sebagai menteri tetapi selagi golongan itu ada, beliau tidak seharusnya menegah pihak lain daripada menghulurkan sumbangan dan memberi bantuan.

Lainlah jika sekiranya kerajaan sudah menyediakan rumah perlindungan dan makanan untuk gelandangan ini tetapi masih ada NGO yang mahu berbuat demikian, barangkali ada logiknya jika larangan bersedekah dan memberi makanan itu dikuatkuasakan.

Carilah penyelesaian untuk membasmi golongan fakir, pengemis, kutu rayau dan gelandangan ini dengan mewujudkan rumah perlindungan yang secukupnya terlebih dahulu, kemudian barulah jika mahu dilaksanakan pelbagai peraturan dan larangan apa sekali pun.

Lagi pula, selain pengemis, kutu rayau dan gelandangan, banyak lagi aspek yang lebih merupakan sampah dan menjadi kekotoran sebenar kepada wajah ibukota ini. Jenayah, pelacuran, pengedaran dadah, hiburan malam, rumah urut dan segala macam titik-titik noda yang bercambah subur setiap hari di merata-mata Kuala Lumpur adalah sampah sebenar yang perlu dihapuskan terlebih dahulu.

Sempena bulan Ramadan yang masih awal lagi, didoakan semoga Ku Nan segera mendapat hidayah Allah dah tahu mana keutamaannya dalam menjalankan tugas sebagai menteri. (SH 04/07/2014)

Thursday, 3 July 2014

Free Malaysia Today Kini Pro Kerajaan?


Bagi mereka yang biasa mengikuti berita melalui portal atas talian, Free Malaysia Today atau FMT tentu dapat merasai kelainan laporannya sejak kebelakangan ini. Jika dulu, ia dianggap sebagai portal berita yang bebas dan mementingkan sensasi serta dalam masa yang sama lebih banyak memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin parti pembangkang, keadaannya kini sudah berubah sedikit demi sedikit.

Walaupun FMT tidaklah segagah Malaysiakini atau Malaysian Insider, namun portal itu tetap menjadi pilihan kepada mereka yang dahagakan berita-berita alternatif dan mahukan sesuatu yang berbeza daripada berita yang biasa diperolehi melalui akhbar atau portal berita arus perdana.

Tetapi sejak kebelakangan ini, FMT tidak lagi mirip seperti Malaysiakini atau Malaysian Insider. Ia lebih banyak menyiarkan beria-berita pro kerajaan atau berita yang menghentam pembangkang. Perpecahan sesama pembangkang juga lebih menjadi pilihan mereka. Terdapat juga berita yang memaparkan pergaduan sesama individu dalam UMNO dan dianggap boleh memberi kesan tidak baik kepada UMNO, akhirnya ditarik balik selepas beberapa jam disiarkan.

Dengan perubahan itu, sangat jelas bahawa FMT seperti sudah kehilangan taringnya yang dulunya dianggap sebagai portal berita terbaik selepas Malaysiakini dan Malaysian Insider.

Perubahannya ini dipercayai kerana kemasukan pelabur baru yang sekaligus mengubah hala tujunya itu.

Kemasukan pelabur baru itu juga menjadi sebab ketua editornya sebelum ini A Kabilan meletakkkan dan baru-baru ini editor bagi seksyen bahasa Melayunya, Zabidi Saidi pula diminta meletakkan jawatan. Dalam tempoh terdekat ini, sudah seramai 17 orang kakitangan editorialnya meninggalkan portal berita yang berpejabat di Damansara Intan itu.

Perletakan jawatan ini dipercayai kerana pelabur baru itu mahu membawa kumpulan kakitangan editorialnya yang baru atau yang sesuai dengan kehendak mereka untuk diselaraskan dengan hala tuju yang baru itu.

Tempat A Kabilan itu bagaimanapun sudah diambil alih oleh seorang kakitangan lain yang pernah berhenti kerja dengan FMT sebelum ini iaitu Menon, manakala kakitangan editorial lain sedang diambil secara berperingkat-peringkat.

Tempat Zabidi pula digantikan dengan seorang yang bernama Shahrum daripada Pekan, Pahang.

Perubahan kandungan berita FMT sejak kebelalangan ini jelas memperlihatkan kecondongannya kepada kerajaan dan juga UMNO. Sudah tidak terdapat berita-berita sensasi dan menggemparkan, malah kebanyakan beritanya sekarang adalah berita-berita biasa yang sudah pun tersiar di portal lain.

Lebih dari itu, FMT juga mulai menyiarkan berita yang mirip portal kerajaan seperti pengumumam pembinaan empangan di Sarawak.

Apakah pelabur baru ini ada kaitan dengan Najib, UMNO dan BN bagi menghadapi perang maya yang mungkin lebih sengit lagi menjelang PRU 14 nanti? Walaupun sudah mempunyai media arus perdana seperti akhbar dan televisyen serta mewujudkan portal berita khas yang dibawah kawalan orang-orang yang ada kaitan dengan Perdana Menteri seperti Mynews Hub dan Malaysia Gazette, Najib kerapkali melahirkan kebimbangan dan peri pentingnya maklumat melalui internet ini dilawan dengan sewajarnya.

Mungkinkah penguasaan keatas FMT adalah permulaan ke arah itu? (SH 03/07/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...