Friday, 4 April 2014

Semakan Mahathir Mengenai Dairinya Mungkin Tak Bermakna Lagi


Bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam akhirnya tampil dengan penjelasan panjang lebar mengenai peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 dan kaitan dengan kemunculannya dalam sebuah program di Kelantan minggu lalu yang membuatkan beliau mengatakan bahawa Mahathir Mohamad berada di dalam negara ketika peristiwa itu berlaku.

Dalam kenyataannya dalam program anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dan turut disertai oleh Naib Presiden Pas, Husam Musa itu, beliau bukan saja mengatakan Mahathir berada di dalam negara ketika peristiwa itu berlaku, bahkan juga dua tiga hari selepasnya.

Dakwaan Musa Hitam itu menimbulkan pelbagai persoalan baru tentang kesahihannya kerana maklumat sebelum ini mengatakan Mahathir berada di China pada tarikh tersebut. Mahathir sendiri ketika bercakap mengenaianya sehari selepas Musa membuat dakwaan itu turut tidak dapat mengesahkan secara tepat di mana bekiau berada ketika itu.

Menurut Mahathir, oleh kerana kejadian itu sudah lama iaitu kira-kira 30 tahun lalu, beliau sudah tidak ingat lagi mengenainya. "Pasal perkara itu sudah berlaku begitu lama, saya kena semak baliklah apa yang dia kata itu betul atau tidak," demikian Mahathir dilaporkan sebagai berkata mengenai dakwaan terbaru bekas timbalannya itu.

Bagaimanapun setelah seminggu berlalu, semakan Mahathir mengenai diairinya seolah-olah tidak menemui jawapan. Sehingga ini beliau masih tidak muncul untuk mengesahkan sama ada beliau berada di dalam negara atau di China ketika itu sedangkan untuk melakukan semakan itu, dalam dunia serba terbuka ini, bukanlah terlalu sukar.

Namun demikian, beberapa blog dan portal pro kerajaan dilihat tampil mempertahankan Mahathir dengan mengemukakan beberapa keratan akhbar yang mengatakan Mahathir memang berada di China atas urusan rasmi. Gambar Musa Hitam menghantarnya di Lapangan Terbang juga turut disertakan.

Tidak cukup dengan itu, bekas Ketua Pengarang Utusan, Zainuddin Maidin juga mengesahkan Mahathir berada di China di mana beliau turut serta dalam lawatan itu. Beliau juga merakamkan ingatannya bagaimana Mahathir terlihat sedih pada suatu ketika yang kemudiannya baru diketahui kerana menerima perkhabaran mengenai kejadian Memali itu.

Namun di penghujung tulisan di blognya, Zam juga terlihat ragu-ragu dengan awal-awal meminta maaf jika beliau tersilap mengenainya.

Blog dah portal tersebut juga banyak membelasah Musa Hitam berikutan dakwaannya itu dengan mengatakan beliau masih mempunyai dendam yang belum dilangsaikan terhadap Mahathir.

Di sebalik pendedahan blog dan portal itu, ada juga yang mengatakan bahawa lawatan Mahathir ke China itu sebenarnya hanya bermula pada 20 November manakala kejadian Memali direkodkan pada 19 November dan tidak mustahil juga serangan polis sudah pun bermula pada 18 November lagi.

Barangkali kerana menunggu terlalu lama untuk Mahathir menyemak diarinya dan mengesahkan di mana beliau sebenarnya berada ketika itu, maka hari ini Musa Hitam membuat keputusan tampil dengan kenyataan baru serta panjang lebar untuk mengukuhkan lagi dakwaan yang dibuatnya di Kota Bharu sebelum ini.

Dalam penjelasan Musa Hitam ini, secara kesimpulannya, beliau mengesahkan sekali lagi bahawa Mahathir memang berada di dalam negara ketika kejadian itu, bahkan beliau bersama pemangku Ketua Polis Negara ketika itu turut memberikan taklimat kejadian kepada Perdana Menteri.

Menurut Musa, beliau ada meminta Mahathir menangguhkan lawatannya berikutan peristiwa Memali atas beberapa faktor seperti ia melibatkan umat Islam dan kejadian pula berlaku di Kedah, namun lawatan itu akhirnya tetap diteruskan juga, sambil menafikan beliau memangku jawatan Perdana Menteri ketika itu.

Dengan keberanian Musa tampil untuk kali kedua mengesahkan apa yang dikatakannya, serta menyebut beliau menunggu detik untuk menceritakan kebenaran ini dengan begitu lama, tidak syak lagi bahawa Mahathir memang ada di dalam negara dan hanya berlepas ke China selepas kejadian Memali itu.

Fakta lain yang mengesahkan Mahathir berada di dalam negara ialah berdasarkan buku tulisan Tunku Muszaffar Shah, Ketua Polis Baling ketika itu yang bertajuk "The Policeman Remembers". Petikan helaian tulisannya itu sudah bertebaran di alam maya sejak minggu lalu lagi.

Ini, sekaligus bermakna, semakan Mahathir terhadap diairinya mungkin sudah tidak bermakna lagi. Penjelasan detail Musa ini memberi petunjuk bahawa Mahathir tidak perlu lagi menyemak dairinya kerana maklumat yang diberikan sudah cukup jelas. Cuma, yang ditunggu selepas ini ialah apakah Mahathir akan mengaku mengenainya atau beliau ada kilasan lain terhadap Musa Hitam? (SH 04/04/2014)

Thursday, 3 April 2014

Belum Apa-Apa, Najib Dah Buat Spekulasi


Negara nampaknya dirundung malang lagi. Belum pun nampak kekeruhan hubungan Malaysia dengan China dapat dijernihkan berikutan insiden kehilangan pesawat MH370, kini berlaku lagi kejadian penculikan dua pelancong di Semporna, Sabah di mana salah seorang daripadanya adalah warga China. Seorang lagi mangsa ialah rakyat Filipina.

Dua kejadian dalam tempoh berhampiran ini bukan saja akan menjejaskan nama baik negara serta hubungan dengan China, bahkan pastinya juga akan menjejaskan kedatangan pelancong daripada negara tersebut ke negara kita.

Memang diketahui Malaysia adalah antara negara yang paling digemari oleh pelancong China. Jika dalam insiden MH370, 158 daripada 239 penumpangnya adalah warga China, ketika kejadian penculikan di sebuah resort di Semporna itu pula, daripada 61 pelancong yang sedang menginap, 59 daripadanya adalah warga China.

Maka, dengan kemarahan yang belum reda daripada waris penumpang MH370 yang tidak puas hati berkaitan ketelusan maklumat mengenai kehilangan pesawat yang sudah menjangkau hari ke 25 ini, berlakunya kejadian penculikan ini pastinya menambahkan lagi beban sengsara yang ditanggung oleh kerajaan.

Ia ibarat kata pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga.

Tetapi kejadian penculikan bukannya perkara baru Semporna ini. Sudah beberapa kali ianya terjadi. Tidak lama sebelum ini, seorang pelancong Taiwan juga diculik setelah suaminya ditembak mati. Pelancong terbabit hanya dilepaskan beberapa hari kemudian selepas wang tebusan yang diminta diberikan.

Polis Sabah sendiri tidak menolak kejadian terbaru itu turut bermotifkan wang tebusan. Pesuruhjaya polis Sabah, Hamza Taib percaya, penculikan ini dilakukan oleh kumpulan yang berpusat di selatan Filipina dan dilakukan semata-mata untuk mendapatkan wang.

Selain kejadian ini bermotifkan wang tebusan, ianya juga memperlihatkan kawalan keselamatan yang boleh dipertikaikan keberkesanannya. Meskipun negeri Sabah di kelelilingi lautan dan banyak pulau-pulau, pihak berkuasa seharusnya sentiasa berawas dan berhati-hati dalam soal keselamatan, terutamanya yang berkaitan pelancong.

Kerapnya kejadian penculikan ini, di tambah pula dengan insiden pencerobohan Lahad Datu sebelum ini, ia tidak lain memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena dalam soal kawalan keselamatan di negeri Sabah dan memerlukan perhatian yang lebih serius dari pihak berwajib.

Bagaimanapun, sebagaimana insiden lain seperti kehilangan pesawat MH370 dan sebagainya, kita tidak harus membuat sebarang spekulasi atau andaian awal mengenai motif dah siapa yang terlibat, kecuali setelah benar-benar pasti dan mempunyai bukti kukuh mengenainya.

Tetapi dalam insiden penculikan ini, Perdana Menteri, Najib Razak awal-awal lagi sudah membuat spekulasi dan andaian awal mengenainya. Menulis di twitternya, beliau tidak menolak kejadian ini didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengeruhkan lagi hubungan Malaysia dengan China.

Kerajaan tidak tolak kemungkinan kes penculikan di Semporna perbuatan pihak tertentu untuk keruhkan hubungan Malaysia - China, demikian tulisan itu dipetik.

Hanya bersandarkan andaian dan kebetulan kemarahan ramai warga China berikutan insiden kehilangan pesawat MH370, Najib seolah-olah terus membuat kesimpulan ianya didalangi oleh mereka yang mahu mengeruhkan hubungan Malaysia dengan China.

Siapakah pihak yang dimaksudkan Najib itu? Adakah beliau pasti mengenainya? Apakah pula bukti yang menyokong dakwaan itu? Tidakkah ini bertentangan dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah yang mengaitkannya dengan penculikan bermotifkan wang?

Persoalan yang lebih penting ialah wajarkah seorang Perdana Menteri membuat spekulasi sedemikian rupa seolah-olah semua perkara dikaitkan dengan unsur politik? Jika dalam insiden MH370, rakyat diingatkan agar jangan membuat sebarang spekulasi dab mendengar maklumat sahih daripada kerajaan, kenapakah dalam kejadian penculikan ini, Najib sendiri memilih menjadi spekulator nombor wahid mengenainya?

Janganlah kerana pesawat hilang, kewarasan dan wibawa seorang Perdana Menteri juga turut hilang sama!! (SH 03/04/2014)

Wednesday, 2 April 2014

Kalau Tak Tahan Kritikan, Berhentilah Jadi Menteri...


Berikutan kritikan dalam banyak media terhadap kerajaan, yang sebahagian besarnya berpunca daripada kenyataan bercanggah, maklumat tidak tepat, kelewatan menyalurkan maklumat dan seumpamanya berkenaan operasi pencarian pesawat MH370, Pemangku Menteri Pengangkutan, Hishammuddin Hussein membayangkan akan mengambil tindakan saman terhadap perbuatan media yang didakwanya salah lapor itu.

Menurut sepupu Najib Razak itu, kerajaan telah mengumpul bukti sejak hari pertama operasi lagi dan apabila tiba masanya, kerajaan patut menyaman mereka.

Walaupun beliau mendakwa sudah mengumpul bukti sejak hari pertama operasi mencari MH370 lagi tetapi tindakan Hishammuddin ini dipercayai lebih didorong selepas pengumuman Perdana Menteri pada 24 Mac lalu yang membawa erti pesawat MH370 telah terhempas di Lautan Hindi dan semua penumpangnya terkorban, telah menimbulkan rasa marah waris mangss kerana sehingga ini tiada bukti kukuh mengenainya.

Sementara kenyataan Najib yang berbunyi "berakhir di Lautan Hindi" itu ditafsirkan oleh media sebagai "terhempas" serta disiarkan secara meluas keesokannya dan tidak dianggap salah tafsir oleh kerajaan, namun kerajaan hanya menganggapnya salah lapor selepas tujuh hari kemudian, itu pun setelah waris penumpang dari China meluahkan kemarahan mereka.

Sebelum itu pula, sudah beberapa kali maklumat tidak tepat dan bercanggah dikeluarkan oleh kerajaan. Ketidaktepatan maklumat itu bukan sahaja mengenai bagaimana penumpang yang menggunakan pasport curi boleh meloloskan diri, bahkan juga dalam hal semudah mengenalpasti ayat perbualan terakhir antara kokpit dengan pusat kawalan udara.

Sebab itu, setelah masuk hari ke 25 ini, maklumat kerajaan yang seolah-olah meyakini pesawat itu telah terhempas semakin diragui. Meski Najib turut terbang ke Perth untuk meninjau operasi mencari dan menyelamat, pemergian beliau turut juga diselubungi dengan pelbagai andaian dan persepsi.

Di ketika Hishammudin mengugut mahu menyaman media, di waktu yang sama Ketua Pengarah DCA, Azharuddin Abdul Rahman pula dilaporkan menghalau media dalam sebuah persidangan yang sepatutnya beliau turut menyentuh tentang perkembangan terkini mencari dsn menyelamat MH370.

Kenapa secara tiba-tiba media dimusuhi dan dijauhi? Adakah apa-apa yang cuba disembunyikan?

Dalam isu kerajaan dengan media, terutamanya dalam saat tegang seperti operasi yang sedang berjalan sekarang, kritikan memang tidak boleh dielakkan, terutamanya jika ianya berpunca daripada kelemahan kerajaan sendiri. Kalau pihak kerajaan dan agensinya bersikap telus dan tidak berbelit-belit dalam memberikan maklumat, media biasanya hanya menyalurkan saja apa yang dinyatakan itu.

Tetapi jika maklumat A bertukar B keesokan harinya, dan lusa menjadi C pula, tentulah media akan memberikan kritikan. Media arus perdana atau yang dikawal oleh kerajaan mungkin akan cuba melindungkannya tetapi media baru tentu saja akan mengkritiknya dan kerajaan seharusnya menerima baik kritikan seumpama itu.

Namun sekiranya media melontarkan fitnah, barulah kerajaan mempunyai pilihan untuk mengemukakan saman. Kritikan bukanlah fitnah. Mentafsirkan berakhir di Lautan Hindi sebagai sama erti dengan terhempas juga bukanlah fitnah.

Najib dan Hishammuddin adalah anak bangsawan yang tidak biasa dengan kritikan. Sejak lahir mereka sudah terbiasa dengan puji-pujian dan kawan-kawan yang mengelilingi mereka juga hanya terdiri daripada kalangan yang suka memuji. Tetapi dengan memilih karier sebagai pemimpin, kritikan tidak dapat diasingkan. Ia harus diterima sebagai asam garam dan cabaran.

Penonjolan watak suka kepada pujian amat terserlah apabila Hishammuddin, di sebalik kekalutan pesawat MH370 yang masih hilang, terlihat amat gembira dan teruja apabila seorang remaja Perancis, Victor Lopez yang berusia 15 tahun menulis surat menyatakan rasa kagumnya terhadap personaliti beliau yang ditontonnya melalui televisyen semasa operasi ini.

Hishammuddin bukan saja menurunkan tandatangannya pada sekepiing kad untuk dihadiahkan kepada remaja itu, tetapi turut berharap akan berjumpanya suatu masa nanti. Tidak dipastikan pula, jika pertemuan itu diadakan nanti, apakah beliau akan terbang ke Paris atau remaja itu akan diterbangkan dengan pembiayaan penuh ke Kuala Lumpur?

Memanglah penilaian Victor Lopez terhadap Hishammuddin tidak sama dengan penilaian rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia bukan saja kenal Hishammddin melalui televisyen tetapi juga kenal ketika beliau memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan dan deretan isu yang gagal diselesaikannya. Rakyat Malaysia juga kenal ketika beliau mencium keris dan kemudian menarik baliknya.

Sebenarnya itulah Hishammuddin. Kritikan, walau untuk kebaikan akan sentiasa dianggap menyusahkan manakala pujian, biar sekecil mana sekali pun, akan diperbesarkan dan dianggap penting dalam kehidupannya.

Sebagai pembayar cukai, yang dalam erti kata lain turut menyumbang bayaran kepada gaji dan elaun para menteri, tentulah tidak boleh jika beliau mengharapkan rakyat memberi pujian dan sokongan saja. Kalau tidak betul dan ada silapnya, maka bersedialah menerima kritikan pula.

Kalau terasa berat sangat beban kritikan yang ditanggung dalam isu pesawat yang hilang ini, berhentilah jadi menteri dan kembalilah kepada dunia yang penuh puji-pujian dan sanjungan seperti yang biasa dinikmatinya sebelum ini. (SH 02/04/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...