Wednesday, 5 February 2014

PRK Kajang Dilewatkan Untuk Meletihkan Anwar?


Dalam langkah yang dianggap sedikit luar biasa, SPR akhirnya mengumumkan tarikh pembuangan undi bagi pilihanraya kecil DUN Kajang ialah pada 23 Mac depan, manakala tarikh penamaan calon pula pada 11 Mac. Luar biasanya tarikh yang diumumkan ini ialah kerana SPR dimaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Kajang pada 27 Januari dan hampir dua bulan dari tarikh itu iaitu 23 Mac, baru ditetapkan sebagai hari pengundian.

Meskipun perkara ini dibenarkan iaitu SPR mesti menetapkan tarikh pilihanraya dalam tempoh 60 hari daripada tarikh dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi DUN Kajang oleh Speaker Selangor, namun menetapkan tarikh sehingga ke penghujung tempoh tidak pernah berlaku sebelum ini.

Biasanya SPR akan menetapkan tarikh sesebuah pilihanraya hanya beberapa minggu selepas mereka dimaklumkan mengenai kekosongan sesebuah kerusi itu.

Dalam pilihanraya kecil terakhir iaitu di Kuala Besut berikutan kematian ADUNnya, Dr Abdul Rahman Mokhtar pada 26 Jun 2013, SPR yang membuat pengumuman mengenai tarikh pilihanraya kecil tersebut pada 5 Julai, telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 12 Julai dan pengundian pada 24 Julai.

Jarak masa daripada tarikh pengumuman dibuat dengan tarikh penamaan calonnya seminggu sahaja.

Begitu juga dalam pilihanraya umum ke 13 lalu di mana selepas saja Parlimen dibubarkan pada 3 April oleh Perdana Menteri, Najib Razak, beberapa hari selepas itu SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon ialah pada 20 April manakala hari pengundian pula pada 5 Mei.

Jarak masa daripada Parlimen dibubarkan dengan tarikh penamaan calon hanyalah 17 hari sahaja.

Namun dalam pilihanraya kecil Kajang di mana SPR dimaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi tersebut ialah pada 27 Januari, tetapi mereka menetapkan tarikh penamaan calon pada 11 Mac manakala pembuangan undi pada 23 Mac.

Ini bermakna jarak masa daripada tarikh kekosongan kerusi DUN Kajang dengan tarikh penamaan calon ialah selama 44 hari manakala jarak masa sehingga hari pengundian pula ialah 56 hari.

Terlihat ada sedikit keanehan dan kedudukan SPR sebagai badan bebas turut mengundang pertikaian. Tetapi jawapan Pengerusi SPR, Abdul Aziz Yusof ialah, "SPR tidak menjangka langsung akan ada pilihanraya kecil ini. Buat masa ini kita menumpukan perhatian kepada urusan lain dibawah tanggungjawab SPR. Tetapi apabila pengumuman yang tidak disangka-sangka ini berlaku iaitu ada wakil rakyat neletakkan jawatan, kita kena ubah gear...ubah semua sekali untuk membuat persediaan," jelasnya.

Selain itu, tambahnya, SPR juga perlu menyediakan daftar pemilih yang lengkap, seberapa bersih yang mungkin, tempat mengundi, tempat penamaan calon, tempat pengiraan undi dan semua ini mesti dipersetujui pemilik bangunan.

Dalam masa yang sama, ujar beliau, SPR juga perlu menguruskan mengenai dakwat kekal yang turut memakan masa dan juga latihan untuk mengelakkan berlakunya kesilapan dalam mengisi borang dan sebagainya.

Ok, logik ke jawapan SPR itu atau ia satu lagi lawak jenaka dalam negara?

Penamaan calon bagi pilihanraya umum di seluruh negara yang memerlukan SPR membuat lebih persediaan dan latihan, boleh diadakan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan tetapi hanya untuk satu DUN Kajang, SPR memerlukan 44 hari membuat persiapan.

Pelbagai spekulasi dan cakap-cakap kedengaran mengenai tindakan SPR menetapkan tarikh pilihanraya kecil DUN Kajang yang begitu lewat daripada kebiasaannya. Antaranya ia dikaitkan dengan kes rayuan kes liwat Anwar di Mahkamah Rayuan yang akan didengar pada 11 Februari ini. Wujud andaian bahawa kes tersebut akan digunakan sebagai bahan kempen pilihanraya dah ini merupakan kaitan yang tidak boleh diketepikan. Tambahan pula Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan sudah pun mengesahkannya.

Spekulasi lain ialah mengenai pemberian BR1M yang akan bermula pada pertengahan Februari ini dan tempoh pembayaran dijangka selesai dalam masa sebulan. BN dikatakan memerlukan BR1M sebagai salah satu bahan kempen utamanya di Kajang dan bagi menunjukkan kepada pengundi pemberian itu merupakan salah satu usaha kerajaan menangani kos sara hidup rakyat yang sedang meningkat.

Alasan lain mengapa pilihanraya kecil ini dilewatkan ialah untuk meletihkan Anwar dan jentera Pakatan Rakyat. Memandangkan mereka sudah mula turun padang mengadakan majlis penerangan, kempen dan program turun padang menemui pengundi sebaik saja DUN Kajang diisytiharkan kosong dan Anwar diumumkan sebagai calonnya, semua itu terpaksa diteruskan sehingga ke hari pengundian.

Ini bermakna untuk pilihanraya kecil Kajang ini, Anwar dan jentera Pakatan terpaksa meneruskan kempen dan bakal berkempen hampir dua bulan lamanya. In berbeza dengan UMNO dan BN yang belum pun menggerakkan jenteranya lagi.

Meskipun BN tiada harapan untuk menang, tetapi dengan melewatkan tarikh pilihanraya boleh membuatkan ramai orang keletihan, jemu, bosan dan mungkin sesetengahnya pula akan menyalahkan Anwar dan Pakatan kerana sengaja membenarkan ADUNnya meletak jawatan serta menimbulkan kesusahan dengan adanya pilihanraya kecil ini.

Strategi ini bersama bantuan BR1M dan keputusan Mahkamah Rayuan sekurang-kurangnya diharapkan melemahkan Anwar dan menjadikan undi diperolehinya turut menurun. Memandangkan mencapai kemenangan nampak mustahil, mengurangkan undi adalah pilihan yang dianggap terbaik bagi BN berbanding tidak meletakkan calon yang mungkin ditafsirkan sudah mengaku kalah sebelum berjuang. (SH 05/02/2014)

Tuesday, 4 February 2014

Pilihanraya, Hari Raya Dan Hantu Raya


Pilihanraya kecil DUN Kajang barangkali merupakan pilihanraya paling unik dan menarik. Sejak rakyat Malaysia mengenal apa itu pilihanraya, inilah pilihanraya yang paling menjadi tumpuan dan diperbualkan ramai orang. Menariknya pilihanraya kecil ini tentu faktor utamanya ialah kerana Anwar Ibrahim bertanding di situ.

Dengan Anwar bertanding dan dikhabarkan akan menjadi Menteri Besar Selangor selepas itu dan kemudian dijadikan laluan menawan Putrajaya, bukan saja UMNO dan BN yang kepanasan dan terasa bahangnya, malah rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat juga ada turut terlompat seolah-olah kejutan yang berlaku membuatkan mereka tergeletek sama.

Pilihanraya bagi orang politik adalah umpama hari raya. Ini kerana ketika pilihanraya, sentiasa meriah dengan makan minum, baju T dan topi yang silih berganti serta duit belanja yang boleh diminta sesuka hati.

Baik pilihanraya besar atau pilihanraya kecil, itulah resam dan kelazimannya.

Dalam pilihanraya DUN Kajang ini, walaupun ia hanya hanya sebuah pilihanraya kecil, faktor Anwar dan kerusi Menteri Besar yang direbutkan menjadikan ianya menarik dan diberikan tumpuan. Meskipun Anwar diramalkan tidak mempunyai banyak masalah untuk menang, namun kempen dan gerak kerja sudah pun bermula.

Kemeriahan yang dibawa bersama kehadiran Anwar ke Kajang bukan saja menyebabkan orang berpusu-pusu ke bandar itu, malah peniaga makanan, penjual baju T dan topi yang berkaitan Kajang atau mempunyai gambar wajah Anwar, dilaporkan mulai sibuk menambah bekalan bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat.

Jika BN sudah memutuskan turut bertanding nanti, kemeriahan Kajang tentunya lebih berganda. Di sebalik tidak ramai yang yakin BN mampu meraih kemenangan, namun sebagai kerajaan BN pastinya tidak memandang randah pilihanraya ini, lebih-lebih lagi lawan yang dihadapi ialah Anwar. Kempen, gerak kerja, majlis perasmian itu ini dah pelbagai peruntukan sudah pasti melimpah ruah. Pilihanraya akan benar-benar seperti hari raya.

Di pihak BN, walaupun hampir tidak ada yang yakin calonnya mampu mencipta kemenangan, masih ada yang melihatnya dari sudut yang berbeza. Sementara calon BN belum diputuskan sama ada daripada UMNO atau MCA yang diberi tanggungjawab menggalas cabaran, muncul pula pihak yang tidak malu-malu menawarkan diri sebagai calon untuk mewakili BN.

Sehingga ini saja, dua individu menawarkan diri untuk bertading mewakili BN bagi menentang Anwar. Mereka ialah Presiden Parti India Bersatu Malaysia atau MUIP, Nallakaruppan dan penyanyi yang agak terkenal suatu ketika dahulu iaitu Herman Tino.

Nalla adalah bekas rakan karib Anwar dan hasratnya bertanding ialah tidak lain untuk mendedahkan segala rahsia Anwar yang didakwa diketahuinya semasa mereka "bercium mulut" suatu ketika dahulu. Beliau yang meminta hasratnya untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil agar dipertimbangkan, nampaknya tidak berhasrat langsung untuk menang, sebaliknya hanya mahukan ruang kempen selama beberapa hari itu sebagai medan untuk mendedahkan keburukan Anwar.

Tidak mustahil jika Nalla bertanding, tayangan video berkaitan Anwar akan menjadi sebahagaian acara kempennya. Dapat dibayangkan, kempen beliau pasti lebih meriah daripada sambutan Hari Raya.

Herman Tino yang hanya mengumumkan untuk bertanding di laman twiter miliknya, juga meminta BN tidak bertanding dan membiarkan saja dirinya menentang Anwar yang disifatkannya mempunyai pesona tetapi penuh kepalsuan. Lagi pula, kata Herman Tino, beliau hanyalah penyanyi dan jika kalah, masih boleh terus menyanyi. Namun tidak diberitahu pula bentuk kempen yang bakal dilakukannya nanti.

Oleh kerana mahu menentang Anwar juga, seorang lagi yang turut menawarkan diri ialah Yuktes Vijay, bekas pembantu Sankara Nair, peguam Anwar Ibrahim. Sama seperti Nalla, Yuktes yang mahu bertanding sebagai calon Bebas juga bukan menyertai pilihanraya ini kerana mahu menang atau ghairah bergelar YB, tetapi semata-mata mahu menyerang, mendedahkan keburukan dan mungkin membalas dendam terhadap Anwar.

Secara kasarnya, hasrat ketiga-tiga ini menawarkan diri sebagai calon adalah kerana perselisihan peribadi, dendam, ingin popular dan dikenali, menarik perhatian pucuk pimpinan UMNO dan kerajaan atau mungkin sebab-sebab lain yang mereka saja ketahui.

Tetapi kehadiran mereka yang tidak malu-malu menawarkan diri sebagai calon ini, benar-benar menjadikan pilihanraya di Kajang ini seperti Hari Raya. Ia umpama kemeriahan Hari Raya yang sudah dapat dirasakan sebelum pun ketibaan bulan puasa.

Dengan mengambil kira kehadiran Nalla dan Yuktes sebagai calon, selain Hari Raya, pilihanraya kecil ini juga boleh dikaitkan dengan kemunculan hantu raya. Dalam tafsiran Wikipedia, hantu raya ialah sejenis makhluk halus yang dipelihara dan diberi makan sebagaimana dipersetujui serta berperanan melakukan tugas sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya seperti merasuk orang, melakukan kerja berat dan mempunyai kemampuan menjelma dalam beberapa bentuk. Sekiranya tidak dijaga dengan baik, hantu raya yang kelaparan akan menyerang tuannya.

Apakah hantu raya politik ini muncul kerana ingin makan tuan yang pernah menjaga mereka suatu ketika dahulu atau pun hantu raya ini memang ada tuannya yang tertentu yang menyuruhnya membuat kacau sebagaimana yang diarahkan dan dipersetujui?

Jika Nalla dan Yuktes boleh dianggap hantu raya politik yang sudah kehilangan tuan atau sudah mempunyai tuan baru, Herman Tino pula mungkin sedang belajar mahu menjadi hantu raya dalam politik. Untung-untung ada yang sanggup menjadi tuannya atau tidak mustahil terus menjadi hantu raya tanpa tuan.

Pilihanraya, hari raya dan hantu raya bukan saja akan menjadikan Kajang meriah sepanjang kempennya, bahkan tidak mustahil mencatat sejarah tersendiri untuk negara. (SH 04/02/2014)

Monday, 3 February 2014

Salahkah Anwar Terus Mengejar Cita-Cita Jadi PM?


Kejutan yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dengan bertanding di DUN Kajang dan kemungkinan besar menjadi Menteri Besar Selangor selepas itu, membuatkan orangramai bercakap kembali mengenai cita-citanya mahu menjadi Perdana Menteri. Dalam PRU 13 lalu, cita-cita Anwar itu tidak kesampaian berikutan jumlah kerusi yang dimenangi oleh PR hanyalah 89 berbanding BN sebanyak 133.

Meskipun kekurangan bilangan kerusi tetapi dengan penguasaan undi popular sebanyak 51 peratus, lantas menyebabkan Anwar menangguhkan persaraannya. Beliau barangkali meyakini peluang sebenarnya ialah pada PRU 14.

Meskipun tidak berjaya menggapai cita-cita ke Putrajaya, Anwar tetap penting dalam perjalanan politik negara. Beliau tidak tenggelam begitu sahaja. Berita mengenainya jarang tidak menarik perhatian ramai. Dengan berjawatan Ketua Pembangkang, beliau sering bercakap mengenai perpaduan, konsensus nasional, kritikannya terhadap Najib, teguran kepada kerajaan dan sebagainya dan semuanya menjadi berita yang diperbualkan rakyat. Malah kejadian beliau dihalang memasuki negara Jepun juga menjadi bahan berita yang menarik dan ini membuktikan Anwar masih merupakan bahan berita yang menarik, di sebalik kegagalannya dalam PRU 13 lalu.

Jika Mahathir sering dikatakan sebagai sumber berita yang menarik bagi akhbar dan media baru, Anwar mungkin berada di kedudukan kedua dalam perkara ini.

Namun sejak berita mengenai kekosongan kerusi DUN Kajang dan diikuti dengan keputusan rasmi beliau bertanding di kerusi itu, Anwar kembali menjadi sorotan ramai. Beliau menjadi pehatian media dan berita mengenainya dikejar setiap saat oleh pencari berita, tidak kira yang memihak atau memperlekehnya. Beliau dilaporkan akan menjadi Menteri Besar Selangor dan akan menjadikan jawatan itu sebagai tangga untuk melangkah ke Putrajaya pula.

Mahathir sendiri mengakui hakikat itu dengan menyatakan keupayaan mentadbir negeri dengan baik akan dijadikan tiket bagi membuktikan kemampuannya mentadbir negara pula. Tambah Mahathir, jawatan Menteri Besar Selangor hanyalah tangga untuk Anwar mengejar cita-citanya yang sebenar iaitu menjadi Perdana Menteri.

Bekas Menteri Penerangan, Zainuddin Maidin atau juga mengakui hakikat yang sama dengan membayangkan melalui jawatan Menteri Besar yang disandangnya, Anwar akan menjadi pencabar yang hebat untuk merampas kerusi Perdana Menteri yang kini disandang oleh Najib Razak.

Dalam masa yang sama, menyedari bahawa jawatan Menteri Besar mungkin memberi kelebihan kepada Anwar dan Pakatan Rakyat dalam PRU 14 nanti, usaha menghalangnya menduduki kerusi itu turut dibuat. Untuk BN menewaskan Anwar di Kajang, mungkin sesuatu yang mustahil berdasarkan mood dan kedudukan BN yang tidak popular ketika itu, lantas usaha menghasut mengenai kuasa Sultan Selangor pula dilakukan.

Ahli akademik, peguam, pemimpin NGO dan peguam pencen tiba-tiba ghairah membuat tafsiran mengenai kuasa Sultan Selangor dalam melantik Menteri Besar. Semua mereka memberi hujah yang cenderung untuk menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar dengan memberi bayangan Sultan ada hak menolak Anwar dan memilih calon yang disukai oleh baginda.

Mereka yang memberi hujah dan pandangan ini bukan saja menampakkan warna yang jelas sebagai pro BN dan tidak mahu Anwar menjadi Menteri Besar dengan harapan Sultan akan menerima bulat-bulat hujah dan tafsiran mereka tanpa menyedari bahawa Sultan juga ada kebijaksanaan sendiri di samping baginda juga mempunyai penasihat-penasihat yang cukup arif mengenai undang-undang serta perlembagaan negeri.

Tenampak ketakutan yang amat sangat di kalangan sesetengah pihak kiranya Anwar berjaya menduduki kerusi Menteri besar Selangor akan memudahkan lagi laluannya menuju Putrajaya.

Menghalang Anwar daripada menjadi Menteri Besar sepatutnya dilakukan dengan usaha yang lebih keras bagi memastikan beliau tewas di Kajang dan bukannya dengan cuba menghasut Sultan atau mengajar baginda mengenai tafsiran undang-undang dan perlembagaan negeri.

Soal sama ada percaturan Anwar kali ini akan memudah akan menyulitkan lagi matlamatnya ke Putrajaya biarlah masa dan takdir Tuhan yang menentukannya. Tetapi Anwar memang seorang yang tidak mudah putus asa serta mempunyai daya juang yang tinggi. Beberapa bekas menteri turut melahirkan kekaguman terhadap daya juang Anwar dan berkata, jika mereka yang dihadapkan dengan pelbagai cabaran dan dugaan seperti itu, sudah lama mengambil jalan berundur dan mengalah saja.

Di sebalik pelbagai cabaran, dugaan serta masalah yang membelenggunya, sumbangan beliau juga sebenarnya adalah besar. Anwar telah berjaya mewujudkan barisan pembangkang yang kuat melalui kesepakatan beberapa parti dan ini amat baik dalam sistem demokrasi. Kewujudan pembangkang yang kuat dan tidak berjaya dibentuk oleh mana-mana pemimpin sebelum ini telah menyumbang beberapa faedah yang bermanfaat kepada rakyat dan ini haruslah diakui sebagai sumbangan terbesarnya kepada rakyat dan negara.

Melalui kekuatan pembangkang ini, kerajaan menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak boleh lagi bertindak sesuka hati mentadbir negara. Tindakan kerajaan mewujudkan BR1M serta pelbagai bentuk bantuan lainnya, menukar pinjaman tabung PTPTN menjadi biasiswa dan lain-lainnya tidak lain adalah bertujuan untuk menunjukkan kerajaan lebih prihatin kepada rakyat bawahan dan menyaingi janji yang dilakukan oleh pembangkang.

Sekiranya kekuatan pembangkang ini berterusan dan politik kita menjadi sistem dua parti iaitu BN dan PR, nikmat yang diperolehi oleh rakyat tentulah lebih berganda lagi. Sesiapa yang menjadi kerajaan akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat agar dalam pilihanraya yang seterusnya mereka terus diberikan sokongan.

Mana-mana kerajaan yang tidak baik, tidak amanah dan tidak menunaikan janji pula boleh ditukar oleh rakyat dengan memberi peluang kepada parti lain pula menjadi kerajaan. Inilah sistem yang telah menjadi amalan di beberapa negara maju sekarang ini.

Dalam konteks negara kita, walaupun pengejaran cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri tidak dinafikan mempunyai unsur untuk kepuasan peribadi dan matlamat yang dipendam sejak sekian lama tetapi memandangkan bersamanya turut berkembang suasana politik yang semakin matang, faedah untuk rakyat juga turut ada.

Ini kerana Anwar dan Pakatan Rakyat, dalam usaha menarik sokongan, telah menjanjikan perlbagai faedah serta pembaharuan untuk rakyat dan negara jika mereka diberi kuasa. Kiranya janji-janji itu diyakini dapat ditunaikan dan pembaharuan yang dijanjikan juga boleh menjadi kenyataan, tidak mustahil mereka mampu mengungguli kuasa.

Setelah kuasa diperolehi pula, sekiranya ia gagal ditunaikan, rakyat juga mempunyai pilihan untuk kembali menerima BN semula. Namun kiranya mereka mampu menunaikan janji dan terbukti menggembirakan rakyat, sokongan akan terus diterima.

Sistem dua parti dan kerajaan yang boleh bertukar ganti harus diakui lebih baik daripada membiarkan sesebuah kerajaan memerintah selama 50 atau 100 tahun tanpa henti-hentinya. Inilah yang seharusnya difahami di sebalik Anwar terus berusaha mengejar cita-citanya. (SH 03/02/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...