Thursday, 12 December 2013
Apa Lagi Akan Naik Selepas Ini?
Kebimbangan utama rakyat kini ialah kenaikan kos sara hidup yang bagaikan tiada penghujungnya. Perkembangan selepas PRU 13 ini lebih menunjukkan kerajaan pimpinan Najib lebih ghairah untuk menaikkan apa saja yang boleh dinaikkan bagi menampung kantung negara yang makin berkurangan serta hutang yang makin bertambah.
Bermula dengan kenaikan minyak, penghapusaan subsidi gula, pengenalan cukai GST yang bermula pada 2015, kenaikan cukai pintu DBKL, kenaikan tarif letrik sebanyak 15 peratus dan kini kenaikan juga bakal dikenakan kepada tambang LRT dan monorail serta kadar tol di beberapa lebuhraya.
Walaupun kenaikan tambang LRT dan monorail belum ada kepastian lagi, sebaliknya SPAD hanya mengatakan akan melakukan kajian menyeluruh yang meliputi pelbagai aspek yang turut melihatkan kenaikan kos berikutan meningkatnya tarif letrik, ia tentulah berkaitan kenaikan tambang. Kalau bukan untuk menaikkan tambang, apa perlunya kajian menyeluruh dilakukan?
Dan sama seperti hujah klasik untuk menaikkan cukai pintu DBKL iaitu kenaikan tidak pernah dilakukan sejak 21 tahun lalu, SPAD juga mengatakan kajian tambang LRT dan monorail tidak pernah dinaikkan sejak 12 tahun lalu.
Inilah cara kerajaan bekerja. Sebelum pilihanraya, nadanya semua elok-elok dan pelbagai janji bahawa tiada kenaikan atau pertambahan beban rakyat akan dilakukan, tetapi sebaik saja pilihanraya berakhir, semuanya berubah. Macam-macam hujah cuba dijustifikasikan untuk mrnghalalkan kenaikan itu.
Semuanya dibebankan ke bahu rakyat. GST dilaksanakan kerana untuk mengelakkkan negara bankrap seperti Greece dan subsidi pula dimansuhkan untuk menjadikan negara lebih kompetatif kononnya. Najib juga menyebut dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO bahawa subsidi tahunan yang ditanggung kerajaan sekarang ialah RM46 bilion dan hampir menyamai belanja pembangunan sebanyak RM49 bilion.
Sebab itu kata suami Rosmah Mansor ini, subsidi harus dimansuhkan. Hujahnya memang nampak logik dan masuk akal tetapi kenapa selama 22 tahun Mahathir berkuasa, tidak pernah terdengar langsung rungutan mengenai beban subsidi dan pembangunan tetap berjalan seperti biasa?
Menggunakan hujah cukai pintu DBKL tidak pernah dinaikkan selama 21 tahun dan tambang LRT serta monorail pula tidak pernah dikaji sejak 12 tahun lalu sebagai asas untuk menaikkannnya sekarang lebih menunjukkan kelemahan kerajaan dalam menjalankan tugasnya. Kerajaan seolah-olah tiada sistem pentadbiran serta penjadualan yang sistematik dan semuanya dilakukan secara ad-hoc.
Bagi kenaikan tol di beberapa lebuhraya, walaupun juga belum ada kepastian mengenainya tetapi melihat kcenderungan semuanya menaik sekarang ini, tidak mustahil kenaikan itu akan berlaku. Tambahan pula sebelum pilihanraya lalu beberapa pemegang konsesi tol begitu bermurah hati memberi potongan harga setiap kali musim perayaan serta menanggguhkan kenaikan kadar tolnya. Kononnya untuk mengurangkan beban hidup rakyat!
Maka, inilah masanya yang sesuai untuk mengutip kembali keuntungan daripada pelaburan selama ini. Lagi pun inilah cara kapitalis bekerja.
Semua kenaikan yang dilakukan kerajaan sekarang disandarkan kepada rakyat untuk menanggungnya. Rakyat diminta berjimat-cermat dan mengubah cara hidup tetapi pimpinan kerajaan tetap enjoy dengan gaya lama. Perbelanjaan perjalanan, keraian dan jamuan tetap mewah walaupun hutang negara kian meningkat.
Dalam hal ini rakyat tentu saja berhak mempunyai tangggapan bahawa semua kenaikan itu adalah untuk menanggung perbelanjaan mewah Perdana Menteri, keluarga dan para menterinya yang langsung tidak menunjukkan keinsafan untuk berjimat-cermat dan mengubah gaya hidup di zaman yang sepatutnya sama-sama menanggung kesusahan ini.
Dengan menaikkan satu demi satu beban kehidupan rakyat, Najib dan kerajaan juga tidak lagi bercakap mengenai slogan dari syurga " rakyat didahulukan", "kami mendengar" " kerajaan sentiasa bersama denyut nadi rakyat" dan banyak lagi yang kerap diulang-ulang sebelum ini. Semua slogan itu sudah hilang sekarang ini. Semua janji pilihanraya juga sudah dimungkiri dah dilupai.
Itulah bentuk dan trend kerajaan yang sedang dipimpin oleh Najib sekarang. Jalan untuk menampung kekeringan kantung perbendarahaan negara hanya dilihat dengan cara menaikkan cukai, menghapuskan subsidi dan menyedut lebih banyak wang rakyat.
Mereka tidak melihat dari aspek mengurangkan ketirisan, pemborosan, rasuah, berjima-cermat, mengurangkan amalan bermewah dan menambah kreativiti dalam menjana pendapatan negara.
Oleh itu sehingga lima tahun akan datang, percayalah, lebih banyak kenaikan akan berlaku. Kos hidup rakyat juga akan terus meningkat. Sementara kerajaan sedang memikirkan untuk menaikkan banyak lagi harga barangan dan perkhidmatan selepas ini, apa yang mampu difikir oleh rakyat pula hanyalah "apa lagi akan naik selepas ini?". (SH 12/12/2013)
Tuesday, 10 December 2013
Tolonglah, Bukan Salah Rosmah!!
Puji-pujian yang diberikan oleh Perdana Menteri, Najib Razak terhadap isterinya di ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, sekali lagi mendedahkan Rosmah Mansor kepada sorotan perhatian ramai. Jika sebelum ini, perhatian kepadanya adalah melalui apa yang dilakukannya sendiri, tetapi kali ini Najib selaku suami pula yang melontarkan umpan supaya kedudukan isterinya diperkatakan orang.
Dalam memuji isterinya yang turut berjasa dan menyumbang sesuatu yang bermakna kepada rakyat dan negara, Najib telah mendedahkan dua perkara mengenai isterinya yang tidak pernah diberitahunya sebelum ini.
Pertama, mengenai peranan isterinya dalam membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan di Mesir kerana disangka seorang pengintip manakala yang kedua, mengusahakan agar pelajar Malaysia yang mahu dibawa pulang semasa Ops Piramid dapat singgah di Arab Saudi tanpa visa, sebelum diterbangkan ke Malaysia.
Menurut Najib lagi, jasa pertama isterinya itu dilakukan dengan menghubungi Suzanne Mubarak, isteri Presiden Mesir ketika itu manakala jasa kedua pula dilakukan dengan menelefon keluarga diraja Arab Saudi yang mana Rosmah mempunyai "networking" dengannya.
Dalam kedua-dua jasa itu, ianya dilakukan atas permintaan Najib sendiri.
Selama ini, isu campurtangan Rosmah dalam pentadbiran kerajaan tidak begitu jelas bentuk dan keadaannya. Ada yang mengatakan campurtangannya dalam perlantikan beberapa pegawai kanan kerajaan, pemilihan anggota kabinet, pengagihan kontrak kerajaan sebagainya. Tetapi semuanya agak samar-samar.
Juga samar-samar, sama ada ianya berlaku kerana keghairahan isteri Perdana Menteri itu terhadap kuasa dan ingin mengawal UMNO serta kerajaan atau Najib yang terlalu bergantung kepada kelebihan dan kepandaian isterinya itu.
Bagaimanapun, dalam semua keadaan itu, Rosmah telah dikecam dengan pelbagai serangan, tafsiran serta gelaran serta dilihat sebagai beban yang berterusan kepada UMNO dan negara selagi Najib menjadi Perdana Menteri.
Namun dengan pendededahn Najib sendiri mengenai jasa dan sumbangan isterinya kepada rakyat dan negara, jelas membuktikan bahawa campurtangan Rosmah dalam kerajaan adalah kerana kelemahan Najib sendiri. Dalam tugas dan peranan yang sepatutnya beliau meminta Menteri Luar dan Menteri Pendidikan menyelesaikannya, sebaliknya Najib lebih mempercayai isterinya untuk melakukan tugas tersebut.
Najiblah yang sebenarnya memberi peluang dan membuka ruang untuk isterinya itu campurtangan dalam urusan kerajaan.
Najib hanya mendedahkan dua jasa dan sumbangan isterinya, tetapi tidak mustahil selama hampir lima tahun beliau menjadi Perdana Menteri, barangkali sudah banyak kali permintaan untuk campurtangan dalam urusan kerajaan ini dilakukan. Jika ini dilakukan, sama ada kerana Najib lebih mempercayai isterinya berbanding menteri-menteri kabinetnya atau kerana beliau merasakan isterinya lebih bijak dan berwibawa, atau kerana sayangkan isteri, ia hanya mengesahkan lagi tentang kelemahan Najib sebagai Perdana Menteri.
Sebagai Perdana Menteri dan suami, beliau seharusnya dapat membezakan peranan yang boleh dilakukan oleh isterinya. Sebagaimana isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini dan juga isteri pemimpin lain di seluruh negara, peranan mereka biasanya terhad kepada peranan sampingan dan tugas-tugas kemasyarakatan serta kebajikan saja.
Meminta isteri mencampuri urusan kerajaan atau membiarkannya berbuat demikian, hanyalah menyerlahkan kelemahan, kegagalan dan kehilangan-upaya seseorang pemimpin itu dalam kerjayanya.
Selain campurtangan dalan urusan kerajaan, Rosmah juga dikecam kerana penggunaan jet dan perbelanjaan kerajaan dalam lawatannya ke luar negara. Ia bukan saja berlaku dalam kunjungannya ke Qatar baru-baru ini, tetapi juga sudah beberapa kali wang pembayar cukai disedut untuk membiayai perbelanjaannya ke luar negara.
Setiap kali isu perbelanjaan ini berbangkit, berpintal-pintal lidah menteri yang bertanggungjawab mempertahankan kewajaran perbelanjaan itu di Parlimen. Kadang-kadang ternampak jawapan dan hujah yang diberi terlalu dangkal, lemah dan bukan jawapan dari hati. Mereka memberi jawapan dan mewajarkan perbelanjaan isteri Perdana Menteri itu semata-mata kerana tugas dan hanya ingin menjaga kerusi yang sedang diduduki.
Sekali lagi sebenarnya, penggunaan jet dan perbelanjaan wang kerajaan untuk membiayai lawatan Rosmah adalah juga menunjukkan kelemahan Najib sebagai pemimpin dan Perdana Menteri. Jika daripada awal beliau bertegas tidak membenarkan isterinya menggunakan jet dan perbelanjaan kerajaan, sudah tentulah isu ini tidak berlarutan sampai sekarang.
Beliau sepatutnya mencontohi PM-PM sebelumnya yang di era pentadbiran mereka tidak pernah berbangkit langsung mengenai penggunaan jet dan perbelanjaan menggunakan wang rakyat untuk menampung biaya isteri masing-masing ke luar negara. Di zaman Pak Lah, walaupun berbangkit isu campurtangan keluarga dalam kerajaan tetapi tidak mengenai penggunaan jet dan penggunaan wang kerajaan. Begitu juga, sepanjang 22 tahun Mahathir memimpin Malaysia, tidak pernah kedengaran mengenai penggunaan jet dan wang kerajaan oleh isterinya, Siti Hasmah.
Dalam isu Rosmah, sama ada campurtangannnya dalam urusan kerajaan atau penggunaan wang rakyat untuk membiayai perjalanannya, ia sebenarnya bukanlah salah beliau. Tolonglah, Rosmah tidak bersalah dalam hal ini.
Yang salah ialah orang yang meminta Rosmah untuk campurtangan dalam urusan kerajaan. Yang bersalah ialah orang lemah dalam mengawal keghairahan Rosmah. Yang salah juga ialah orang yang gagal mengawal Rosmah dan tidak berani bertegas dengannya sejak awal lagi.
Jika orang ini dapat ditukar, selamatlah kita semua. (SH 10/12/2013)
Monday, 9 December 2013
Kalau Berpura-Pura Tanda Syiah, Dalam UMNO Pun Ramai Penganutnya
Dalam reaksi awalnya mengenai dakwaan yang dibuatnya di penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu bahawa orang nombor dua dalam Pas iaitu Mohamad Sabu mengamalkan ajaran Syiah, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukti terperinci mengenainya akan dibuat dalam sidang akhbar khas yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, Ketua Setiausaha KDN, Abdul Rahim Mohamad Radzi serta pegawainya akan mendedahkan bukti-bukti mengenai dakwaan yang dibuatnya itu dan pemimpin yang didakwa itu tidak perlu takut atau menafikan penglibatannya dalam amalan Syiah itu.
"Kenapa dia perlu takut. Kalau pegawai saya tunjukkan bukti, dia nak cakap apa? Salah satu elemen orang Syiah ialah berpura-pura," tegas Naib Presiden UMNO itu lagi.
Adoyai, takkan sikap berpura-pura boleh dikaitkan dengan Syiah!
Sementara menunggu sidang akhbar khas itu diadakan dan bukti-bukti lain didedahkan, sehingga ini pemahaman Zahid ialah orang-orang yang berpura-pura sudah boleh dikategorikan sebagai pengamal ajaran Syiah. Tidakkah ini lawak jenaka jadinya?
Mengaitkan sikap dan perangai berpura-pura sebagai elemen Syiah adalah terlalu dangkal dan lemah. Pura-pura ialah salah satu sikap dan perangai manusia. Ia tidak ada kena-mengena dengan agama atau amalan Syiah. Berpura-pura juga tidak mengenal agama, bangsa dan warna kulit.
Dalam Islam ada orang yang berpura-pura, di kalangan bukan Islam pun ada. Di kalangan orang putih atau di kalangan orang Negro pun ada sikap itu. Begitu juga di kalangan bangsa dan agama lain. Pendeknya, sikap dan perangai berpura-pura ini boleh didapati di mana-mana saja. Ia ada di Amerika, di negara-negara Arab, di zaman dahulu, zaman sekarang dan zaman akan datang. Di negara kita pun ramai yang berpura-pura.
Ia juga tidak mengenal Islam atau bukan Islam, Syiah atau bukan Syiah.
Di dalam Pas ada yang berpura-pura, malah di dalam UMNO juga mungkin lebih ramai jumlahnya. Bagi yang pernah bertanding apa-apa jawatan dalam UMNO, sama ada di peringkat bahagian atau Majlis Tertinggi, tentu amat faham tentang perangai berpura-pura ini.
Adakah ini bermakna dalam UMNO juga ramai penganut Syiah?
Suatu ketika, pernah seorang pemimpin UMNO yang bertanding jawatan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia melahirkan rasa kecewanya dengan sikap perwakilan UMNO yang bersikap berpura-pura didepannya dengan mengatakan telah memberikan undi kepadanya sedangkan beliau akhirnya kalah juga.
Kata pemimpin tersebut, kalau ikutkan yang bersalam dan mengaku memberi undi kepadanya, jumlahnya hampir 1500 orang tetapi akhirnya undi yang diperolehinya tidak sampai pun 300 jumlahnya. Apakah mereka itu penganut Syiah belaka?
Sudah tentulah tidak masuk akal untuk mengatakan berpura-pura itu salah satu elemen Syiah kerana sikap itu bersifat umum dan ada pada semua kelompok manusia, dan bukannya ciri mutlak orang Syiah.
Sebagai Menteri Dalam Negeri yang berani membuat dakwaan secara terbuka kepada Mat Sabu sebagai pengamal Syiah, Zahid Hamidi tidak seharusnya cuba berselindung dengan memberi hujah atau bukti yang longgar dan umum mengenai dakwaan yang dibuatnya sehingga akhirnya tafsiran umum ialah beliau sengaja membangkitkan isu itu sekadar untuk meraih publisiti semata-mata.
Ini kerana dengan hujah atau bukti yang longgar, sudah tentu orang yang dituduh dengan mudah saja menangkis dakwaan itu dan penyudahnya dakwaan mengenai Syiah yang dibangkitkannya itu hanya menjadi mainan dan berlegar-legar di media sahaja.
Dalam kes Mat Sabu ini, kalau sekadar satu atau dua kejadian Timbalan Presiden Pas itu pernah bersikap berpura-pura saja sebagai bukti yang ada untuk menuduhnya mengamalkan ajaran Syiah, lebih baiklah ianya tidak didedah atau digembar-gemburkan kepada umum. Bukti-bukti yang lebih kukuh, konkrit dan jelas haruslah dikemukakan.
Jika setakat itu saja asasnya yang menjadi pegangan Zahid Hamidi, bermakna ramailah pengamal Syiah ini, termasuk sebahagian besar ada di dalam UMNO sendiri. (SH 09/12/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)