Tuesday, 12 November 2013
Ahmad Maslan Sepatutnya Minta GLC Tolong Orang Melayu, Bukannya Utusan Melayu
Dalam usaha membantu syarikat Utusan Melayu yang semakin kerugian kerana semakin kurang orang membaca akhbar terbitannya, Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan membuat keputusan menulis surat kepada semua syarikat berkaitan kerajaan atau GLC agar menyalurkan lebih banyak iklan di dalam akhbar tersebut.
Menurut Ahmad Maslan, daripada 35 GLC utama di negara ini, mereka membelanjakan hanya sekitar 3.7 peratus saja daripada keseluruhan peruntukan iklan untuk Utusan Malaysia.
"Ini merupakan perbelanjaan yang terlalu amat sedikit," luahnya dengan kecewa.
Selain Utusan Malaysia, GLC terbabit juga turut diminta menyalurkan lebih banyak iklan untuk akhbar Berita Harian. Kedua-dua akhbar, Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah milik UMNO dan bantuan dalam bentuk iklan itu, menurut Ahmad Maslan lagi, adalah supaya peranan akhbar terbabit untuk kepentingan negara terus dapat dilakukan dengan jayanya.
Tindakan Ahmad Maslan ini segera mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak. Bukan saja pembangkang yang mengecam tindakan itu, bahkan sekutu UJNO dalam BN iaitu MCA turut melahirkan rasa kurang senangnya dengan perkara itu. Jika pembangkang melalui Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tsin menyatakan GLC seharusnya dibebaskan daripada sebarang campurtangan politik kerana ia adalah milik rakyat, MCA melalui Naib Presidennya, Gan Peng Sieu pula berkata, bukan tugas kerajaan atau GLC membantu syarikat media seperti Utusan dan Berita Harian.
Sambil menyifatkan tindakan Ahmad Maslan menulis surat kepada ketua-ketua GLC itu sebagai penyalahgunaan kuasa, MCA juga berkata, syarikat media seharusnya dibenarkan bersaing secara sihat berasaskan kemampuan profesionalisme dan kecekapan tanpa mengharapkan bantuan dan subsidi daripada GLC atau kerajaan.
"Mengarahkan bantuan atau subsidi adalah penghinaan kepada kecekapan dan profesionalisme kakitangan syarikat akhbar terbabit," tambah Naib Presiden MCA itu lagi.
Secara jujurnya tindakan Ahmad Maslan dalam hal ini menampakkan kekeliruan dan kecelaruannya dalam memahami tugas serta peranan GLC kepada rakyat. Dalam pembentangan agenda memperkasa ekonomi Bumiputera tidak lama dulu, Najib sendiri ada membangkitkan peranan GLC dalam membantu ekonomi Bumiputera dan orang-orang Melayu.
Dalam hal ini Perdana Menteri telah menetapkan usaha membantu orang Melayu ini sebagai salah satu KPI atau penunjuk prestasi pemimpin-pemimpin GLC terbabit yang dilantik oleh kerajaan menduduki jawatan tersebut.
Jika GLC diminta memainkan lebih banyak peranan dalam membantu dan memperkasa ekonomi orang Melayu, tidaklah ada sesiapa yang tersinggung kerana ia memang sewajarnya dilakukan memandangkan secara relatifnya kedudukan mereka masih tertinggal berbanding kaum-kaum lain. Namun demikian dalam usaha memastikan kualiti tidak dikompromi, faktor merit dalam memberikan bantuan atau pertolongan itu tidaklah pula harus diketepikan.
Malangnya, Ahmad Maslan yang pernah berbangga dengan markah CGPA ketika di universiti sebanyak 3.85 dan barangkali antara pemimpin paling pandai dalam pentadbiran Najib, nampaknya telah gagal memahami perkara ini dengan jelas. Najib mahu GLC membantu orang Melayu tetapi beliau menulis surat meminta semua GLC membantu Utusan Melayu.
Mengarahkan GLC membantu Utusan Melayu langsung tidak berkaitan dengan orang Melayu. Ini kerana sejarah Utusan Melayu sebagai pembangkit nasionalisme Melayu hanya tinggal sejarah ketika ini. Ketika ini perjuangan Utusan Melayu tidak lagi ke arah itu, bahkan jalan politik yang dipilihnya dalam memuatkan pemberitaan banyak yang sudah menyimpang daripada semangat kemelayuan.
Bukan saja berita picisan yang sering menjadi bahan beritanya, bahkan ahli politik picisan juga lebih mendapat tempat berbanding sesetengah pemimpin Melayu dan kerajaan.
Utusan Melayu sejak beberapa tahun kebekalangan ini juga lebih menjadi medan menyiarkan berita berunsur seks dan fitnah. Ia juga paling banyak kena saman dan terpaksa memohon maaf serta kerap kali terpaksa membayar ganti rugi kepada pihak yang menyamannya. Mungkin juga boleh dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai akhbar yang paling banyak kena saman, memohon maaf dan membayar ganti rugi.
Lantaran itu, pembelinya makin merosot. Rakyat tidak lagi membeli Utusan, generasi muda pula mulai "geli" untuk membeli dan membacanya. Malah ramai kakitangannya sendiri yang tidak membaca akhbar itu. Yang tidak mahu membawa pulang ke rumah juga ramai jumlahnya berikutan banyak beritanya yang kurang sesuai dibaca oleh anak-anak dan ahli keluarga yang lain.
Jika ditambah dengan corak majalah Mangga yang diterbitkannya di mana banyak memuatkan gambar seksi dan lucah sehingga sebuah negeri memfatwakan majalah itu sebagai haram dimiliki, agenda nasionalisme Melayu sebenarnya sudah jauh ke laut daripada perjuangan Utusan Melayu.
Lantaran itu, memanglah tidak wajar bagi Ahmad Maslan meminta GLC memberi bantuan dan menyalurkan lebih banyak iklan kepada syarikat itu. Beliau seharusnya lebih memberi fokus kepada membasmi kemiskinan dan memperkasa ekonomi orang-orang Melayu dan bukannya Utusan Melayu. Menyalurkan banyak iklan dalam akhbar yang kurang pembeli dan pembaca juga bertentangan dengan nilai komersial dan menjemurumuskan GLC terbabit kepada kerugian juga.
Tambahan pula dalam banyak GLC juga, perjuangan memperkuat ekonomi orang Melayu ini masih lagi jauh daripada sasarannya. Jika di Petronas pun masih ada masalah untuk membantu peniaga Melayu menjual kerepek dan nasi lemak di stesen-stesen minyak miliknya, ini menandakan kalau pun mahu menulis surat kepada GLC supaya membantu syarikat seperti Utusan Melayu, ia seharusnya menjadi agenda terakhir yang dilakukan oleh Ahmad Maslan.
Dalam menjalankan tanggungjawabnya, banyak tugas lain yang semestinya lebih patut diutamakan. Tulis surat dahulu kepada semua ketua-ketua GLC agar lebih prihatin dan fokus dalam membantu ekonomi orang Melayu, kalau pun mahu juga menuls surat supaya membantu Berita Harian dan Utusan Melayu.
Jika ini dapat dilakukan barulah sesuai dengan CGPA 3.85 yang dibanggakannya itu. (SH 12/11/2013)
Monday, 11 November 2013
Setelah Dapat Segala-Galanya, Saman-Menyaman Hanya Membuang Masa Bagi Shahrizat
Dalam langkah yang dianggap mengejutkan, Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil hari ini menarik balik saman RM100 juta terhadap Rafizi Ramli dan Zuraidah Kamaruddin berkaitan pelbagai pendedahan yang dilakukan oleh dua Ahli Parlimen PKR berhubung projek pemeliharaan lembu NFC dan kaitannya dengan kedudukan beliau sebagai anggota kabinet.
Dalam saman yang dikemukakan pada 19 Januari lalu, Shahrizat mengemukakan saman bernilai RM100 juta itu atas dakwaan fitnah yang dilakukan terhadapnya berhubung projek NFC yang dimiliki oleh suami dan anak-anaknya.
Atas persetujuan bersama, hari ini saman itu ditarik tanpa syarat. Ramai yang terkejut dengan perkembangan ini.
Dengan menarik balik saman tanpa syarat ini, betmakna Rafizi dan Zuraidah boleh terus membuat pelbagai dakwaan dan pendedahan mengenai projek NFC dan kaitannya dengan Shahizat. Beliau yang sebelum ini mengemukakan saman itu atas dakwaan ianya fitnah dan bimbang ia mungkin menjejaskan peluangnya untuk terus bertapak dalam dunia politik, kini nyata tidak peduli lagi sama ada dakwaan yang sama atau pendedahan baru mahu dibuat oleh kedua-dua pemimpin PKR itu.
Menarik balik saman tanpa syarat juga bermakna, dakwaan Rafizi dan Zuraidah sebelum ini bukanlah fitnah tetapi ada asas kebenarannya. Tidak syak lagi bahawa Shahrizat takut untuk berhujah dan mempertahankan dirinya di mahkamah mengenai projek yang sebelum ini berkali-kali dikatakannya tiada kaitan dengan dirinya walaupun beliau tinggal serumah dan tidur sebilik dengan suaminya.
Melalui samannya sebelum ini, Shahrizat nampaknya telah berjaya menangkis persepsi beliau bersalah dan terlibat dalam projek NFC yang dipunyai oleh keluarganya itu. Buktinya, beliau mampu terus mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNOnya dengan cemerlang, seolah-olah projek NFC dan penyalahgunaan dananya untuk membeli kereta, kondo dan hartanah lainnya langsung tidak meninggalkan kesan kepada ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO.
Lebih dari itu, dengan mengemukakan saman fitnah itu juga, Shahrizat berjaya meyakinkan Perdana Menteri bahawa beliau benar-benar pemimpin yang suci bersih dan hanya berjuang semata-mata untuk agama, bangsa dan negara sahaja serta tidak sekali-kali menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi dan keluarga. Buktinya, Najib telah melantiknya pula sebagai penasihat wanita dan keluarga kepada Perdana Menteri yang bertaraf menteri walaupun dalam kabinet sudah pun ada Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga yang disandang oleh Rohani Karim dari Sarawak.
Lalu, setelah dapat mengekalkan jawatan politik dan dapat pula jawatan dalam kerajaan, itulah sebenarnya matlamat sebenar kebanyakan pemimpin mahu terus bertahan dalam UMNO. Tidak terkecuali dengan Shahrizat juga. Dengan memegang kedua-dua jawatan yang diidam-idamkan itu, tiada lagi yang perlu dirisaukan oleh Shahrizat. Sekurang-kurangnya sehingga pilihanraya umum akan datang, beliau akan menjalani kehidupan glamour bertaraf menteri sebagaimana yang pernah dinikmatinya sebelum ini, sehinggalah tiba-tiba nikmat itu dilucutkan oleh Najib berikutan pendedahan bertali-arus mengenai skandal NFC oleh Rafizi dan Zuraidah ketika itu.
Dengan memperolehi segala apa yang diidamkan itu, saman fitnahnya keatas Rafizi dan Zuraidah tiada merit lagi untuk diteruskan. Ia hanya membuang masa dan wang ringgit saja. Apa saja pendedahan lain sebelum ini, ia tidak akan memberi kesan lagi kepada kedudukannya dalam politik dan kerajaan kerana kepercayaan daripada ahli Wanita UMNO dan Perdana Menteri sudah pun berjaya ditaklukinya sekarang ini.
Walaupun Rafizi dan Zuraidah nyata gembira dengan penarikan balik saman ini dan membuktikan pendedahan mereka sebelum ini ada asasnya, bahkan bertepatan juga dengan kenyataan SPRM beberapa hari lalu yang menyatakan pemberian projek NFC itu diberikan kepada kepada syarikat yang tidak layak dan tiada pengalaman, hakikatnya Shahrizat telah pun mengutip laba daripadanya.
Biarpun Rafizi berjanji akan terus memantau skandal NFC ini dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan manakala Zuraidah pula mahu memastikan projek yang menggunakan wang rakyat ini dipulihkan, kesannya kepada perjalanan hidup dan karier Shahrizat semakin menipis.
Apa pun kesudahan projek NFC selepas ini, siapa yang bakal mengambil alihnya, bagaimana kesudahan dana RM250 juta yang disalahguna dan pelbagai perkara lainnya, ianya tidak lagi penting bagi Shahrizat. Kedudukan dirinya yang mungkin menjadi beban kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang juga tidak lagi dipedulikannya.
Yang penting, dengan mengekalkan kedudukannya dalam hireaki kanan dalam parti, menjadi penasihat kerajaan bertaraf menteri serta sentiasa dapat berdamping dengan Najib yang mempunyai banyak kuasa, semua masalah-masalah lain akan selesai secara perlahan-lahan. Sudah banyak kes sebelum ini bagaimana selagi seseorang itu mendampingi pemegang tampuk kuasa dan tidak meningkah arus, kesnya akan diselesaikan secara damai oleh kerajaan dan tiada sebarang hukuman akan dikenakan.
Walaupun dengan menarik balik saman tanpa syarat ini seperti meletakkan kedudukan Shahrizat dalam persepsi bersalah di kalangan rakyat, tetapi di ketika yang sama, selain tidak mahu membazir masa dan wang ringgitnya, jalan penyelesaian kepada masalah yang membelenggu keluarganya juga sedang diatur sebenarnya. Akhirnya tiada sesiapa yang bersalah dalam kes NFC dan kerajaan akan menanggung segala kerugiannnya.
Begitulah lazimnya. (SH 11/11/2013)
Dengarnya Lebih Dari Dua ADUN Perak Sedang 'Berbulu' Dengan Zambry
Walaupun Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir menyatakan isu kemungkinan dua orang ADUN dari negeri itu akan melompat parti merupakan hanya khabar angin dan mainan politik semata-mata, wajah beliau yang dilihat kurang ceria sejak kebelakangan ini mungkin menggambarkan hakikat sebenarnya gelora politik yang sedang berlaku di negeri itu.
Mulutnya mungkin berkata tiada apa-apa tetapi gambaran suram pada wajahnya yang disedari oleh ramai orang kebelakangan ini seperti menunjukkan kemungkinan itu ada kebenarannya.
Zambry ketika ini seperti sedang menghadapi tekanan daripada kelompok tertentu serta dalam misi menyelesaikan masalah yang jika gagal diselesaikan dengan baik, bakal menyebabkan kerajaan BN Perak tumbang dan digantikan dengan Pakatan Rakyat.
Beberapa maklumat yang diperolehi daripada negeri Perak juga mengakui kejadian melompat parti oleh ADUN BN Perak memang tidak mustahil kerana ketika ini semakin ramai yang tidak puas hati dan sedang "berbulu" dengan Menteri Besar Perak itu.
Dua hari lalu, dilaporkan melalui laman Twitter bahawa dua orang ADUN BN Perak bakal melompat parti menyertai Pakatan Rakyat dan mereka berkenaan sudah pun mengadakan pertemuan dengan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh. Meskipun tidak disebut nama dua ADUN berkenaan, adalah dilaporkan mereka itu adalah ADUN senior di Perak.
Mereka dikatakan kecewa kerana tidak diberi kedudukan dan jawatan dalam kerajaan negeri, selain Zambry juga didakwa tidak lagi memberi perhatian dan semakin kurang meminta nasihat daripada pemimpin-pemimpin lama sama ada dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri mahu pun parti.
Sikap ini nyata berbeza ketika mula-mula menjadi Menteri Besar Perak dahulu di mana Zambry ketika itu sering meminta nasihat dan pandangan daripada mereka, tetapi selepas PRU 13 lalu perkara itu tidak lagi dilakukannya dan ini menyebabkan mereka rasa tidak lagi dihargai.
Zambry ketika mengulas mengulas mengenai isu itu hanya menyifatkannya sebagai khabar angin dan mainan politik semata-mata serta tidak perlu dilayan. "Macam-macam mainan sedang ditimbulkan, ada juga dakwaan mengatakan saya bertemu dengan ADUN PR dan membawa mereka menyertai BN. Semua ini tak perlu dilayan," katanya lagi.
Dalam pilihanraya umum lalu, BN Perak memenangi 31 kerusi DUN manakala PR memenangi 28 kerusi. Sekiranya dua ADUN BN melompat kepada PR, ia akan menyebabkan kerajaan BN tumbang dan PR kembali menjadi kerajaan dengan kedudukan 30-29. Jika ini berlaku, ia akan mengulangi peristiwa tahun 2009 di mana kerajaan PR di Perak yang diketuai oleh Nizar Jamaluddin ketika itu tumbang berikutan tindakan tiga ADUNnya mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN Bebas yang menyokong BN.
Tidak dinafikan bahawa sejak akhir-akhir ini rungutan di kalangan ahli dan pemimpin UMNO Perak terhadap kepimpinan Zambry semakin kuat kedengaran. Selain ada ADUN yang kecewa dan kecil hati kerana tidak diberi tempat dan kedudukan dalam kerajaan, terdapat pemimpin lama dan senior pula berasa hati kerana mereka semakin dipinggirkan.
Jika sebelum PRU 13, Zambry dikatakan selalu meminta nasihat dan pandangan daripada pemimpin-pemimpin lama ini tetapi selepas berakhirnya pilihanraya lalu, amalan itu tidak lagi dilakukannya.
Dalam pada itu, terdapat juga pemimpin UMNO yang kecewa dengan Zambry kerana beliau dikatakan semakin mengutamakan kroni berbanding memberi keutamaan kepada pemimpin-pemimpin UMNO sendiri sejak kebelakangan ini.
Selain dua ADUN yang dikatakan sudah mengadakan pertemuan dengan Anwar itu, maklumat lain pula memberitahu sebenarnya terdapat lebih daripada dua ADUN BN di Perak yang berpotensi melompat parti dan meninggalkan BN sekarang ini.
Semua mereka ini, kata maklumat itu, begitu kecewa dengan cara pentadbiran Zambry dan ingin bertindak demikian bagi memberi pengajaran kepada Menteri Besar Perak itu.
Beberapa hari sebelum isu lompat parti melibatkan dua ADUN ini muncul, Zambry disedari kelihatan tidak ceria dan walaupun beliau mengatakan ia hanya khabar angin dan tidak perlu dilayan, hakikatnya ramai ahli dan pemimpin UMNO serta rakyat Perak tahu pergolakan dan masalah yang sedang berlaku sekarang di negeri yang kaya dengan kayu balak itu.
Sama ada lompat parti ini akan berlaku atau tidak dan kerajaan negeri BN dapat dikekalkan atau sebaliknya, ia sebenarnya terpulang kepada budi bicara dan kebijaksanaan Zambry menanganinya. Jika beliau terus keras hati, degil dan tidak mahu bertolak-ansur, kebarangkalian tumbangnya kerajaan negeri seperti mana yang berlaku pada tahun 2009 lalu amatlah tinggi sekali.
Bagaimanapun, seorang pemimpin veteran Perak ketika ditanyakan isu lompat parti ini langsung tidak menunjukkan rasa terkejut dan hairan jika ianya berlaku dalam waktu yang terdekat ini.
"Dah dapatnya cara haram, tumbangnya pun cara haram juga," katanya dengan sinis. (SH 11/11/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)