Tuesday, 15 October 2013
KJ Tolak Undi Popular Kerana Mahu Khairul Azwan Jadi Naibnya?
Keputusan muktamad siapa pemenang yang sebenar bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO bakal ditentukan melalui undi popular. Ini berikutan dua calonnya iaitu Khairul Azwan Harun dan Jamawi Jaafar masing-masing memperolehi 73 undi daripada bahagian-bahagian yang membuat pilihan pada Sabtu lalu.
Berikutan itu, Jawatankuasa Pemilihan yang dipengerusikan oleh Tajol Rosli memutuskan bahawa undi popular daripada 73 bahagian yang diperolehi oleh kedua-dua calon itu akan dikira bagi memutuskan siapa pemenang bagi jawatan kedua tertinggi dalam Pergerakan Pemuda UMNO itu.
Oleh kerana ia melibatkan pengiraan jumlah undi yang banyak, maka proses penjumlahan itu hanya akan dibuat selepas Hari Raya Haji nanti.
Namun belum pun lama pengumuman itu dibuat, KJ yang sudah pun ditabalkan sebagai Ketua Pemuda UMNO bagi penggal kedua dengan memperolehi 189 undi seakan tidak bersetuju dengan penentuan melalui undi popular itu, sebaliknya mahu penentuannya dibuat melalui undi daripada Pemuda UMNO Gelang Patah yang tidak bermesyuarat pada 12 Oktober lalu berikutan wujudnya pertikaian dalaman sehingga menyebabkan ianya ditangguhkan.
Tarikh mesyuarat perwakilan Pemuda UMNO Gelang Patah akan dijalankan dalam masa yang terdekat ini, tetapi belum ditentukan tarikhnya.
Kenapa KJ menolak sistem undi popular dan mahukan penentuan dibuat melalui undi Gelang Patah?
Sejak keputusan pilihanraya lalu yang menyaksikan BN kalah undi popular kepada Pakatan Rakyat, undi popular seperti hantu yang menakutkan bagi pemimpin-pemimpin UMNO. Walaupun UMNO melaksanakan sistem pemilihan daripada undi akar umbi tetapi sistem undi popular tidak digunakan, sebaliknya kaedah electoral college atau 1 bahagian 1 undi yang dipilih.
Tidak disangka pula KJ yang kelihatan gagah dan berani pun rupa-rupanya fobia juga dengan sistem undi popular ini. Seharusnya apabila Jawatankuasa Pemilihan sudah memutuskan mahu menentukan pemenang antara Khairul Azwan dan Jamawi melalui kaedah undi popular, KJ tidak perlu campurtangan lagi.
Tindakan KJ yang mahukan undi daripada Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah dipilih untuk menentukan siapa bakal naibnya dan membawa isu itu kepada Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor agar pandangannya itu diterima, tidak lebih menunjukkan percubaannya untuk campurtangan dalam proses pemilihan serta menunjukkan kecondongan kepada salah seorang daripada dua calon yang mendapat undi seri itu.
Jika sebelum ini hanya cakap-cakap saja yang mengatakan beliau mahukan Khairul Azwan sebagai naibnya, tetapi kini dengan tindakannya mencadangkan undi Gelang Patah dipilih sebagai penentu, maka dakwaan sebelum ini hampir menunjukkan kebenarannnya.
Kalau benar beliau bersikap berkecuali, beliau sepatutnya akur saja dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan itu dan menerima siapa saja naibnya yang bakal ditentukan melalui undi popular itu.
Jika undi popular kedua-dua calon itu dikira, besar kemungkinan Jamawi akan menjadi pemenangnya. Ini kerana sebagai calon dari Sabah yang mendapat banyak sokongan daripada negeri itu, kelebihan tentunya lebih memihak kepada Jamawi yang juga merupakan pegawai khas kepada Shafie Apdal berikutan UMNO bahagian-bahagian di Sabah mempunyai jumlah cawangan yang lebih banyak daripada UMNO di Semenanjung.
Dengan jumlah cawangan yang lebih banyak itu, bermakna undi popular untuk Jamawi juga lebih besar.
Tetapi jika kemenangan diputuskan melalui undi daripada Gelang Patah, peluang Khairul Azwan memenanginya pula lebih besar lagi. Ini kerana KJ sudah mendapat mandat yang besar sebagai Ketua Pemuda UMNO dan undi daripada Pemuda Gelang Patah tentunya lebih mungkin untuk memihak kepada calon yang disenangi dan dikehendaki oleh KJ.
Sebagaimana disebut sebelum ini bahawa kaedah electoral college ini lebih memihak kepada calon yang ada jawatan dalam kerajaan, maka dengan kedudukan KJ sebagai Menteri Belia dan Sukan dan sudah disahkan memenangi jawatan Ketua Pemuda serta diperkatakan ramai mengenai kecondongannya terhadap Khairul Azwan, maka tidak mungkin Pemuda Gelang Patah berani bertindak melawan arus.
Sudah tersebar dakwaan dan cakap-cakap bahawa tindakan KJ mahukan undi Gelang Patah dijadikan penentuan kerana mahu menghalang kemenangan Jamawi sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO.
Seharusnya dalam soal penentuan pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda ini, KJ tidak perlu campurtangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pemilihan memutuskannya. Jika kaedah undi popular yang sudah diputuskan, beliau harus menerimanya dengan selamba dan hati yang terbuka.
Apabila beliau cuba campurtangan dan mencadangkan perkara yang lain, lalu terserlahlah apa yang cuba disembunyikannya selama ini. (SH 15/10/2013)
Monday, 14 October 2013
Nasib Baik Ku Li Tak Jadi Lawan Najib...
Keputusan pemilihan bagi jawatan ketua sayap UMNO semalam yang menyaksikan Shahrizat Jalil, Khairy Jamaluddin dan Mas Ermieyati memenangi jawatan Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri bukanlah suatu keputusan yang memeranjatkan. Ia boleh dikatakan keputusan yang sudah diduga oleh kebanyakan orang dan bukan lagi suatu berita besar.
Sebab itu, kemenangan mereka tidak diraikan dengan meriah sebagaimana selayaknya. Berbanding kemenangan melalui sistem lama, ia lebih jauh nampak gahnya. Kemenangan mereka adalah umpama kita mengetahui berita seekor anjing yang didapati menggigit tuannya. Kemenangan mereka hanya dilaporkan sebagai berita biasa saja. Ia tidak seperti kita mendapat berita mengenai seorang pemilik anjing yang didapati mengggit anjing peliharaannya.
Kemenangan mereka bukanlah kerana mereka cukup bagus, terutama bagi Shahrizat yang begitu dipertikaikan dan merupakan beban bagi UMNO dan BN menghadapi pilihanraya akan datang. Kemenangan mereka adalah kerana sistem pemilihan "electoral college" dipilih kerana ia mampu memberi kelebihan kepada penyandang dan sesiapa yang ada jawatan.
Dalam sistem ini, walaupun lebih ramai yang diberi hak mengundi tetapi akhirnya undi hanya dikira berdasarkan 1 bahagian 1 undi. Ia tidak mengguna pakai undi popular dan ini memang memberi kelebihan kepada calon yang ada jawatan, terutama dalam persaingan jawatan yang memerlukan seorang saja pemenang seperti presiden, timbalan presiden, ketua wanita, ketua pemuda atau ketua puteri.
Dengan 1 bahagian dikira 1 undi, tidak banyak bahagian yang bersedia menunjukkan sikap penentangan secara terbuka, lebih-lebih lagi kepada calon yang ada jawatan. Mereka tidak mahu dicop sebagai penentang kepada kepimpinan kerajaan, lalu ia menyebabkan pimpinan bahagian akan turut berusaha memainkan peranan agar keadaan itu tidak berlaku.
Dengannya juga menyebabkan calon yang ada jawatan lebih mudah menawarkan imbuhan, bantuan atau pemberian projek kepada pemimpin daripada bahagian yang diketahui memberikan undi kepada mereka saja. Kalau pun ada bahagian yang sedia melawan arus, bilangannya tersangat kecil dan mungkin didorong oleh faktor-faktor yang lain yang lebih kuat.
Dalam Pemuda misalnya, walaupun KJ diakui popular tetapi tidaklah bermakna calon-calon pencabarnya bukan pemimpin yang baik. Tetapi melalui sistem electoral college ini, kelebihan nyata memihak kepada KJ yang ada jawatan dalam kerajaan. Walaupun sehingga ini dilaporkan KJ sudah memenangi 97 bahagian tetapi tidak mustahil beliau menyapu bersih kesemua undi daripada 191 bahagian.
Tetapi keadaannya tentu berbeza jika sistem undi popular yang dipakai dan undi dari semua bahagian dicampurkan untuk menentukan pemenang yang sebenar tanpa akhirnya mendedahkan kecondongan sesuatu bahagian itu memihak kepada siapa. Pengiraan berdasarkan undi popular lebih menampakkan keterbukaan, ketelusan dan keadilan.
Begitu juga dengan Wanita, walaupun semua orang tahu Shahrizat adalah beban kepada parti dan sudah digugurkan jawatan menterinya sebelum pilihanraya, tetapi menjelang pertandingan ini di mana Najib melantiknya pula sebagai penasihat bertaraf menteri dan beliau juga asyik mengendeng disisi Perdana Menteri, tentunya tidak banyak Wanita bahagian yang bersedia menunjukkkan warna penentangannya.
Bukanlah bermakna pencabar Shahrizat iaitu Maznah Mazlan dan Raihan Sulaiman Palestin tidak cukup baik tetapi kegagalan mereka adalah disebabkan sistem baru ini memang direka untuk memberi kelebihan kepada penyandang dan mereka yang ada jawatan dalam kerajaan.
Keadaan yang sama juga sebenarnya akan berlaku jika Tengku Razaleigh dulu membuat keputusan menentang Najib bagi jawatan Presiden UMNO. Beliau bukan saja tidak mungkin memenangi jawatan itu, bahkan undi yang diperolehinya mungkin bakal memalukan dirinya sebagai seorang negawaran dan pemimpin yang banyak berjasa kepada negara. Ia juga bukan kerana Ku Li tidak cukup baik, tetapi memang sistem pemilihan yang memperlihatkan konon adanya transformssi dan keterbukaan Najib ini memang dipilih dan dilaksana untuk memberi kelebihan kepadanya.
Dengan sistem 1 bahagian 1 undi, UMNO bahagian manakah yang bersedia menunjukkan diri mereka sebagai penentang Najib secara terbuka?
Jika dulu Mahathir memperkenalkan sistem kouta pencalonan dan undi bonus untuk menghalang orang lain mencabarnya tetapi Najib memperkenalkan sistem baru ini dengan maksud yang sama. Melalui transformasi politik dengan memberi ruang lebih ramai mengundi serta sesiapa boleh mencabarnya, tetapi dalam masa yang sama berjaya menggambarkan pendekatan politik Mahathir untuk mengekalkan jawatan sebagai sistem yang sangat buruk dibandingkan dengan apa yang diperkenalkannya, keputusan pemilihan sayap ini mula menunjukkan bahawa niat dan matlamat Najib juga adalah sama dengan Mahathir. Beliau mahu dirinya kekal lebih lama lagi sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.
Walaupun dalam sistem yang diperkenalkan Mahathir ada kouta pencalonan tetapi ketika mengundi semua perwakilan menjadi bebas untuk membuat pilihan kerana undi mereka rahsia dan tidak menyebabkan dicop sebagai mengundi si polan atau si polan yang lain tetapi sistem electoral college ini menyebabkan undi perwakilan tidak lagi rahsia dan UMNO bahagian akan dikenali melalui undi yang diberis serta terbeban untuk membuat sesuatu keputusan menentang arus.
Berbanding dengan Mahathir, jelas bahawa Najib bukan saja lebih cerdik tetapi juga kelingkingnya jauh lebih berkait di sebalik jari telunjuknya yang sentiasa lurus itu.
Sistem electoral colllege ini hanya nampak adil, telus dan terbuka jika ia dikira mengikut sistem undi popular iaitu undi daripada semua bahagian dicampurkan untuk menentukan pemenang mutlak dan UMNO bahagian dibebaskan daripada diketahui pendiriannya selepas pengundian dikira dan diumumkan.
Selagi sistem ini digunakan, sesiapa pun yang cuba mencabar mereka yang ada jawatan dalam kerajaan, peluang untuk menang hampir tidak ada. Kelebihan tetap kepada penyandang, lebih-lebih lagi jika penyandang itu memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi Khazanah dan sebagainya dalam masa yang sama.
Jika hari itu Ku Li membuat keputusan menentang Najib, persaingan itu hanya akan digunakan sebagai alasan adanya keterbukaan, kesediaan Najib dicabar, sesiapa saja boleh mencabarnya, transformasi politik telah berjaya dan pelbagai pujian dengan kata-kata yang indah lagi akan kedengaran, walaupun sebenarnya sistem baru menjadikan UMNO lebih tertutup. Tidak ada peluang langsung untuk beliau di bawah sistem baru ini sebenarnya.
Memang keputusan yang tepat bilamana Ku Li memutuskan tidak mencabar Najib. Jika tidak, namanya pasti akan dijaja sebagai alat untuk memuji Najib saja. (SH 14/10/2013)
Saturday, 12 October 2013
Hishammuddin Sudah Terbayang Kekalahannya...
Menjelang pemilihan sayap dalam UMNO yang akan diadaka dalam tempoh beberapa jam dan seminggu lagi sebelum pemilihan peringkat MT UMNO, Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein yang dikatakan lembik dan paling mungkin kecundang dalam mempertahankan jawatannya, dilihat cuba menagih simpati agar penyingkirannya itu tidak menjadi kenyataan.
Dengan cuba menggambarkan dirinya seorang yang tidak mementingkan kedudukan dan pemimpin yang teguh kesetiaannya, Menteri Pertahanan itu berkata, sama ada kalah atau menang pada 19 Oktober nanti, beliau akan terus kekal bersama UMNO.
Walaupun seperti sudah dapat membayangkan akan kekalahannya, dalam tempoh kempen yang semakin suntuk dan arus penolakan kepadanya tidak banyak berubah, Hishammuddin ternyata masih mengharapkan ada rasa simpati daripada para perwakilan.
Katanya, apa yang dimahukannya dalam pemilihan kali ini ialah perwakilan akar umbi UMNO memberikan Presiden UMNO saf kepimpinan Naib Presiden yang paling baik untuk memastikan negara terus melangkah mahu ke hadapan.
"Sekarang sudah suntuk, tak ada banyak masa untuk berkempen. Saya akan terus berjuang walau apa pun yang terjadi," tambahnya lagi.
Lenggok kenyataan Hishammudin dalam sebuah wawancara itu tidaklah memeranjatkan kerana melalui kunjungannya berkempen ke beberapa negeri, beliau pastinya dapat merasakan bintangnya mungkin tidak secerah selalu walaupun dalam sejarah penglibatannya dalam UMNO, beliau belum pernah tewas setakat ini.
Lantaran itu, sambil berserah kepada takdir, usahanya mengait simpati daripada perwakilan tetap cuba dilakukan.
Sejak Najib menjadi Perdana Menteri dan beliau dijadikan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin mula tidak disenangi oleh ahli UMNO berikutan sikapnya yang dianggap lembik dan tidak berani bertindak dalam beberapa usaha isu, terutamanya yang melibatkan beberapa siri perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak pembangkang menjelang hari-hari terakhir PRU 13 diadakan.
Dalm banyak reaksinya, beliau hanya melontarkan amran demi amaran tetapi tiada yang disusuli dengan tindakan.
Dengan perpindahannya ke Kementerian Pertahanan dan tempatnya di KDN diambil alih oleh Zahid Hamidi yang jelas menunjukkan ketegasan berbeza, sepupu Najib itu makin dipinggirkan di hati ahli-ahli UMNO.
Meskipun beliau mempunyai pertalian darah dengan Najib tetapi sehingga ini nampaknya penolakan ahli-ahli UMNO terhadapnya tidak banyak berubah. Ramai yang mahukan beliau kalah dalam pemilihan Naib Presiden ini sebagai suatu bukti bahawa ahli-ahli UMNO sedang nenyahut transformasi yang kerap dilaung-laungkan oleh pucuk pimpinan.
Bagi kebanyakan perwakilan, stail dan ciri-ciri kepimpinan Hishammuddin yang relatif lembik dan mudah kompromi bukan lagi perwatakan yang sesuai untuk berdepan dengan cabaran yang parti dan negara yang lebih hebat di masa akan datang, terutamanya kerana kepimpinan kali inilah yang dipercayai akan menentukan hidup mati UMNO dalam pilihanraya ke 14 nanti.
Walau tidak dinafikan kemungkinan Najib turut campurtangan dengan menghubungi "warlord" UMNO di seluruh negara bagi memastikan Hishammuddin tidak tercicir dalam persaingan enam penjuru Naib Presiden kali ini, hakikatnya beliau berada dalam kedudukan paling genting sekarang.
Kedudukannya sebagai cucu pengasas UMNO dan anak kepada bekas Perdana Menteri serta pelbagai peranan dan sumbangannya dalam parti dan kerajaan selama ini tidak lagi diambil kira, apa yang banyak dijadikan titik tolak ialah sikap lembiknya ketika memimpin Kementerian Dalam Negeri sebelum PRU 13 dahulu.
Bagi kebanyakan perwakilan UMNO, kegagalan beliau semasa di Kementerian Dalam Negeri adalah wajah sebenar kegagalannya sebagai pemimpin dan ramai yang enggan memberi peluang keduanya. Kedudukannya sebagai anak bekas Perdana Menteri juga tidak lagi banyak membantunya kerana kini sudah ada Mukhriz Mahathir yang sedia mengambil alih tempatnya dan ramai yang menolak untuk meletakkan dua anak bekas Perdana Menteri di kerusi itu.
Jika tugas di Kementerian Dalam Negeri sedang melonggokkan banyak undi untuk Zahid Hamidi, Hishammuddin nampaknya sedang melalui nasib yang berbeza. Sementara Kementerian Dalam Negeri terus menghakis sokongan dan kepercayaan terhadapnya, dua kementerian yang dipegangnya sekarang iaitu Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan, yang dilihat sebagai isyarat Najib mahu menolongnya, juga langsung tidak membantunya.
Mungkin doa saja lagi yang diharapkan oleh Hishammuddin boleh membantunya mengubah takdir kekalahan itu daripada menjadi kenyataan. (SH 12/100/2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)