Tuesday, 9 July 2013

Polemik Akta Hasutan Jadikan Najib Makin Keseorangan


Pertikaian yang semakin berlarutan sejak beberapa lama mengenai pemansuhan Akta Hasutan 1948 sebenarnya makin memeningkan kepala Najib. Bermula dengan penangkapan beberapa pemimpin dan aktivis pembangkang dibawah Akta Hasutan selepas pilihanraya umum lalu, episod mengenai mengenai akta ini kini merebak menjadi virus yang menyakitkan bagi Najib. Penangkapan yang berturutan dilakukan oleh kerajaan akhirnya menyebabkan pihak pembangkang mendesak Najib tidak lagi menggunakan akta itu kerana beliau sudah berjanji mahu memansuhkannya.

Sementara pihak pembangkang menuntut beliau menyatakan pendirian dan bertegas meneruskan pemansuhan akta yang dijanjikannya sejak Julai 2012 itu, desakan daripada dalam UMNO pula mahukan beliau mengekalkan akta tersebut. Pelbagai pihak dalam UMNO melihat ia masih relevan untuk keharmonian dan keamanan negara.

Bermula dengan Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang bersuara lantang mahukan akta itu terus dikekalkan untuk kepentingan rakyat dan ketenteraman negara, beberapa pemimpin lain dalam UMNO turut berpendirian sama dengan dengan beliau. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim yang baru dilantik menganggotai kabinet juga sependirian dengan Zahid dan tidak setuju dengan Najib yang melantiknya sebagai menteri.

Bebeberapa Ahli Parlimen juga menyatakan pendirian yang sama bahawa Akta Hasutan perlu dikekalkan. Malah bekas Perdana Menteri, Mahathir juga mahu Akta Hasutan terus dikekalkan kerana berpendapat ianya merupakan suatu bentuk percegahan yang baik untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia ini.

Malah Mahathir juga berkata, jika pun Akta Hasutan mahu dimansuhkan, kerajaan tidak harus berbuat demikian semata-mata kerana ianya dituntut oleh pihak pembangkang. Mahathir nampaknya benar-benar tidak sependapat dengan Najib.

Di peringkat akar umbi UMNO dan kelompok Melayu juga ternampak gelombang yang main kuat mahukan kerajaan terus mengekalkan akta itu. Zahid terus mendapat sokongan dan pujian atas ketegasannya itu. Setelah Mahathir juga sependirian dengannya dengan sama-sama mahu Akta Hasutan dikekalkan, geraf politik Zahid melonjak dua tiga takuk lagi.

Jika Najib mengikut arus yang mahukan akta ini terus dikekalkan, beliau tentunya akan dicop sebagai mungkir janji dan membakulsampahkan slogannya sendiri iaitu Janji Ditepati. Reputasi dan wibawanya sebagai Perdana Menteri yang hanya mendapat sokongan 47 peratus undi rakyat, tentunya semakin bertambah buruk.

Pemimpin yang memungkiri janjinya sendiri tidak akan dipercayai oleh rakyat sampai bila-bila.

Tetapi jika Najib mahu terus menunaikan janjinya memansuhkan akta itu, masalah besarnya ialah sokongan terhadapnya makin menipis. Sehingga ini hanya Nazri Aziz yang bangun mempertahankan bahawa Najib akan terus komited mahu memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai undang-undang sebelum ini, Nazri bukan saja menyokong pemansuhan akta tersebut bahkan juga berpendapat Najib perlu menunaikan janjinya mengenai pemansuhan itu.

Sementara terdapat pemimpin UMNO dan kerajaan yang lain cenderung untuk bersama dengan Zahid Hamidi mempertahankan akta kerana lebih suka dilihat kekal dengan perjuangan Melayu dan tidak mahu kehilangan sokongan rakyat, sebahagian yang lain pula lebih selesa berdiam diri. Golongan ini bimbang jika menyatakan pendirian menyokong akta itu dikekalkan, ia akan dilihat seperti tidak bersama-sama dengan Perdana Menteri manakala jika menyokong pula agar akta itu dimansuhkan, risikonya ialah kehilangan sokongan rakyat dan dianggap lebih mirip kepada perjuangan pihak pembangkang.

Maka itu ramai yang memilih untuk berdiam diri asalkan perut dan jawatan terus selamat. Tidak hairan jika hanya Nazri seorang sehingga ini yang berani menyatakan pendirian berbeza.

Sementara itu, seorang menteri daripada MIC, S Subramaniam pula seperti buat-buat lupa mengenai pemansuhan Akta Hasutan dengan menyatakan ia hanyalah cadangan daripada Najib dan belum diputuskan apa-apa oleh kabinet. Beliau juga terpaksa diingatkan kembali oleh Nazri bahawa perbincangan mengenainya sudah dibuat dalam mesyuarat kabinet dan komitmen Najib untuk memansuhkannya tidak pernah berubah.

Jelas bahawa Subramanian juga seperti terperangkap dengan dilema di antara mahu menyokong Najib ataupun mahu mengikut suara rakyat daripada kaum India yang juga mahukan akta itu dimansuhkan.

Semakin berlarutan isu dan polemik mengenai Akta Hasutan ini diperbincangkan dan selagi Najib tidak menyatakan pendirian tegasnya, selagi itulah isu ini terus menjerat Najib. Beliau akan menjadi serba-salah untuk menentukan pendiriannya dan tidak menyangka isu pemansuhan Akta Hasutan yang tiba-tiba mewarnai atmosfera politik negara ini tidak menyebelahinya lagi. Ketika beliau mengumumkan pemansuhannya pada Julai 2012 dulu, semua diam dan tidak membantah termasuk Zahid Hamidi tetapi kini semunya sudah berbeza.

Lebih-lebih lagi dengan pendirian Mahathir yang turut mahukan Akta Hasutan terus dikekalkan, dilema Najib lebih sukar untuk dirungkai jalan keluarnya. Najib seboleh-bolehnya akan cuba mengelak untuk berbeza pendapat dengan Mahathir, terutamanya menjelang pemilihan UMNO hujung tahun ini.

Perbezaan pendapat itu jika tidak ditangani dengan baik, ia pasti akan melarat kepada pelbagai elemen lain yang boleh menjejaskan peluang Najib untuk terus kekal sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Ia juga mungkin menjadi pendorong untuk terjadinya pertandingan segit dalam UMNO yang akhirnya membawa kepada penyingkiran beliau daripada takhta kuasa.

Sebab itu, sejak beberapa lama isu ini berlarutan, Najib masih tidak berani menyatakan pendiriannya. Tetapi semakin lama beliau membiarkan isu ini menjadi perdebatan umum tanpa mahu menyatakan pendirian tegasnya, reputasinya di mata umum semakin tercalar. Semakin lama berdiam diri, semakin beliau terbiar keseorangan manakala pihak pembangkang pula terus mengasaknya supaya tidak lupa pada janji yang pernah dibuatnya.

Hanya keberanian dan ketegasan Najib boleh menyelesaikan kemelut ini.(SH 09/07/2013)

Monday, 8 July 2013

Apa Muslihat Zahid Tiba-Tiba Mempertahankan Akta Hasutan?


Tindakan Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri yang secara tiba-tiba bersuara lantang mahu mempertahankan Akta Hasutan menimbulkan persoalan ramai dan menjadi percakapan banyak orang ketika ini. Nawaitu dan keikhlasannya dalam mempertahankan akta itu amat diragui manakala hujah-hujahnya pula terlihat longgar.

Zahid dilaporkan telah menyelar pihak- pihak yang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948 tanpa memimirkan kesan negatif daripada tindakan itu. Beliau berkata, selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA dan Ordinan Darurat dimansuhkan dan sekiranya Akta Hasutan juga dibuat tindakan yang sama, apa lagi yang tinggal untuk melindungi rakyat dan ketenteraman negara.

Selain itu, Zahid juga berkata, jika Akta Hasutan dimansuhkan ia boleh membawa pertikaian keada 4 aspek dalam Perlembagaan iaitu hak istimewa orang-orang Melayu, status Raja-Raja, kedudukan Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam nada yang lebih tegas, Zahid juga berazam untuk terus mempertahankan akta itu. Wowww, ternampak macam beliau satu-satunya pejuang tulen dalam UMNO yang sayangkan negara ini!

Pemansuhan Akta Hasutan adalah sebahagian daripada janji transformasi yang mahu dilakukan oleh Najib sebelum pilihanraya lalu. Najib menjanjikan untuk memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional di mana sebelum itu juga Perdana Menteri telah memansuhkan ISA, Ordinan Darurat dan Akta Kolej dan Universiti atau AUKU yang bertujuan lebih menghargai kebebasan serta hak asasi rakyat dengan tidak mengabaikan keharmonian dan ketenteraman negara.

Janji Najib ini telah diucapkan sebelum pilihanraya umum lalu dan ketika itu semua pemimpin UMNO menyokong serta mengalu-alukan langkah yang diambil Najib itu dengan menyifatkannya sebagai pendekatakan berani untuk membawa negara lebih maju ke hadapan.

Persoalannya, kenapa baru sekarang Zahid bersuara? Sebagai pemimpin kanan UMNO, jika beliau tidak setuju akta itu dimansuhkan, beliau sepatutnya bersuara sebaik saja Najib mengumumkan pemansuhannnya dulu. Tetapi kenapa baru sekarang?

Apakah juga Zahid mahu memberitahu umum bahawa Najib telah mengambil tindakan yang salah? Atau maksud yang lebih jauh, Zahid ingin memberitahu bahawa Najib tidak layak lagi memimpin negara ini?

Penyanggahan Zahid terhadap apa yang mahu dilakukan oleh Perdana Menteri, bossnya sendiri, sebenarnya mendedahkan kepada beberapa implikasi seperti gambaran bahawa Najib tidak berhati-hati, terburu-buru, kurang bijaksana dalam bertindak, tidak layak dan pelbagai ciri negatif lainnya.

Dalam masa yang sama, Najib dan kerajaan juga terdedah kepada elemen mungkir janji sedangkan slogan yang menjadi mainan mulut Najib dan UMNO ialah Janji Ditepati.

Apakah dengan tiba-tiba Zahid bersuara mempertahankan Akta Hasutan ini ada kaitan dengan pemilihan UMNO yang hanya beberapa bulan saja lagi di mana beliau disebut-sebut akan bertanding jawatan nombor dua dalam parti? Apakah sanggahan terhadap Najib itu dan menunjukkan dirinya pejuang tulen itu suatu manifestasi penonjolan diri untuk meningkatkan populariti dan sokongan?

Semua ini membelenggui dirinya kerana Zahid bukanlah terkenal sebagai pemimpin yang lantang tanpa sebab. Beliau tergambar lebih banyak senyum dan ketawa dan ketika beliau berani mendedahkan amalan nepotisme dan kronisme dalam kerajaan ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO dahulu pun, akhirnya diketahui oleh Mahathir bahawa beliau berbuat demikian kerana diarahkan oleh Anwar Ibrahim yang menjadi Timbalan Perdana Menteri waktu itu.

Dalam perjalanan politiknya kemudian pula, tidak ternampak tindakannya yang lantang dan berani sama ada ketika menjadi Menteri Pertahanan atau pun Menteri Dalam Negeri. Jika ada pun ternampak menonjol, ia hanya separuh jalan seperti ketika mula-mula berpindak ke Kementerian Dalam Negeri. Ucapannya dalam Perhimpunan Agung UMNO pula lebih banyak mengandungi lawak jenaka serta mengundang ketawa.

Sebab itu, bila tiba-tiba suaranya agak nyaring dalam isu pemansuhan Akta Hasutan ini, persoalan tentang mawaitunya tidak dapat dielakkan.

Selain kenapa hanya sekarang beliau bersuara mahu mempertahankan Akta Hasutan ini sedangkan sebelum ini suaranya tidak pernah kedengaran, hujah-hujah Zahid juga ternyata amat longgar. Zahid berjujah bahawa jika Akta Hasutan dimansuhkan ianya akan menjejaskan 4 aspek perlembagaan iaitu hak istimewa orang Melayu, status Raja-Raja, kedudukan Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Soalnya apakah dengan pemansuhan Akta Hasutan, tiada undang-undang lain yang boleh melindungi keempat-empat aspek itu? Bodoh sangatkah Najib selaku Perdana Menteri tidak mengambil kira mengenainya semata-mata kerana mahu memansuhkan Akta Hasutan itu? Bukankah masih ada pelbagai undang-undang dan akta lain yang boleh digunakan untuk melindungi keempat-empat aspek yang disebut Zahid itu, meskipun setelah Akta Hasutan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional?

Janganlah Zahid fikir bahawa hanya Akta Hasutan saja yang boleh melindungi keempat-empat aspek itu. Dan janganlah juga Zahid fikir bahawa jika tiada Akta Hasutan, rakyat boleh bebas berbuat apa saja dan seolah-olah negara ini tiada lagi undang-undang langsung?

Sebenarnya negara masih mempunyai undang-undang dalam pelbagai aspek tetapi undang-undang dan akta yang tidak adil serta menekan rakyat sudah sampai waktunya diganti dengan undang-undang lain yang lebih sesuai dengan tahap kesedaran serta kematangan rakyat. Mengekalkan undang-undang yang zalim dan tidak adil hanya menyebabkan negara semakin berundur ke belakang serta dijauhi oleh rakyatnya. Najib sebenarnya sedang bergerak seiring dengan kehendak rakyat.

Tidaklah menjadi kesalahan untuk Zahid mempertahankan akta itu jika niatnya benar-benar ikhlas untuk kepentingan rakyat dan negara, bukannya kerana ada udang di sebalik batu. Bahkan mungkin pula mampu melonjakkan sokongan yang diharapkan kepadanya atas keberanian itu tetapi rakyat mengharapkan beliau konsisten dalam tindakannya sepanjang masa.

Janganlah ia bermusim dan selepas pemilihan UMNO berakhir nanti, suara garangnya juga hilang entah ke mana. (SH 08/07/2013)


Sunday, 7 July 2013

Kalau Rais Yatim Boleh Diberi Dua Jawatan, Tidak Hairanlah Ibrahim Ali Mengamuk!


Selepas senyap lebih dua bulan sejak kalah dalam pilihanraya lalu, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali membuatkan kemunculannya di persada media baru-baru ini menjadi perhatian umum semula. Selain meluahkan rasa kecewanya atas layanan UMNO terhadap Perkasa selama ini sambil membandingkannya dengan layanan yang diberi terhadap Dong Ziong, Hindraf dan paderi-paderi Kristian, Ibrahim Ali juga mengecam beberapa pendekatakan Najib yang dianggapnya retorik.

Dalam masa yang sama, Ibrahim Ali juga meluahkan kesusahan hidupnya untuk menyara keluarga sehingga membayangkan akan menjadi pemandu teksi selepas ini.

Dengan membawa Perkasa memperjuangkan banyak kepentingan politik Najib dan UMNO, kekecewaaan Ibrahim Ali tidak sukar difahami. Sementara Perkasa tidak mendapat apa-apa, bahkan sebagai calon pilihanraya pun diabaikan dan mujur Mahathir muncul menghulurkan pertolongan di saat akhir, beliau sebaliknya mendapati NGO yang memperjuangkan hak kaum India iaitu Hindraf lebih diberikan kasih sayang oleh Najib dengan pemimpinnya diberikan jawatan timbalan menteri pula.

Begitu juga Najib sedia hadir ke majlis anjuran Dong Ziong dan menjemput paderi-paderi Kristian ke pejabatnya mengadakan perbincangan. Tetapi Perkasa tidak pernah diberikan layanan sebegitu rupa. Perkasa tak ubah seperti "hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong" dengan UMNO. Mujurlah ada Mahathir yang banyak memberi sokongan kepadanya.

Jika tanpa Mahathir, Perkasa mungkin umpama anak tiri yang hitam legam dimata Najib dan UMNO. Langsung tidak dipedulikan.

Selain mendapati pemimpin Hindraf diberikan jawatan timbalan menteri, kemunculan semula Ibrahim Ali mengecam Najib dan mahu menjadi pemandu teksi juga hampir serentak dengan musim pemimpin-pemimpin UMNO yang lain menerima habuan durian runtuh melalui pelbagai jawatan dalam GLC dan agensi kerajaan.

Antaranya ialah Dr Latif sebagai Pengerusi SPNB, Azeez Rahim Pengerusi Tabung Haji, Annuar Musa Pengerusi MARA, Ghani Othman Pengerusi Sime Darby serta Rais Yatim dilantik Presiden UIA. Beberapa pemimpin lain juga dikhabarkan akan menerima khabar bakal dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah GLC yang lain dan berita mengenainya akan menyusul satu demi satu tidak lama lagi.

Di celah-celah semua perlantikan itu, rupa-rupanya ada lagi berita yang mengejutkan. Rais Yatim yang telah dijadikan Presiden UIA, dalam masa yang saman turut juga dilantik sebagai penasihat kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan yang bertaraf menteri. Seolah-olah kewujudan pelbagai kementerian tidak memadai sehingga Najib perlu diberikan nasihat khusus oleh Rais Yatim mengenai aspek sosial dan budaya.

Ini bermakna Rais Yatim yang sudah berkhidmat dalam kerajaan sejak era Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, mendapat ganjaran berganda di zaman Najib, disebalik penggugurannya daripada bertanding di Jelebu dalam pilihanraya lalu.

Perlantikan Rais sebagai sebagai penasihat yang bertaraf menteri juga bermakna bertambah seorang lagi penasihat Najib. Jika sebelum ini beliau sudah ada penasihat yang juga bertaraf menteri dalam bidang agama iaitu Abdullah Mohd Zain, Jamaluddin Jarjis pula sebagai penasihat khas mengenai Anerika Syarikat dan penasihat lain seperti Alies Nor, Omar Ong dalam politik dan puluhan nama lain dalam bidang media dan sebagainya, perlantikan Rais Yatim ini jika dicampur dengan pegawai khas, Setiausaha Politik dan seumpamanya yang sedia ada di JPM, ia mungkin menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri yang paling ramai penasihatnya.

Bahkan sudah menjadi percakapan umum dalam UMNO bahawa beberapa Ahli Parlimen dan bekas menteri lagi akan dilantik sebagai penasihat kerajaan yang juga bertaraf menteri juga tidak lama lagi.

Jika dilihat daripada keghairahan Najib mahu mengagih dan memfaraidkan jawatan dalam kerajaan lebih kepada kawan-kawan dan kenalan rapatnya, tidak mustahil Ibrahim Ali akan tercicir sekali lagi. Ibrahim Ali mungkin merasakan beliau juga layak difaraidkan jawatan atau kedudukan berikutan sokongan dan perjuangannya mempertahankan Najib dan UMNO selama ini walaupun beliau bukan ahli UMNO.

Berbanding mereka yang sudah diberikan jawatan itu, Ibrahim Ali mungkin merasakan beliau tidak jauh bezanya, malah kadangkala lebih ke depan dan lantang dalam membela Najib dan UMNO. Jika dibandingkan dengan Dr Latif atau Rais misalnya, suara Ibrahim jauh lebih kuat dan nyaring membela UMNO atau menempelak Anwar Ibrahim. Begitu juga jika dibandingkan dengan Azeez Rahim, Ibrahim Ali juga tidak kurang sumbangannya kepada masyarakat. Bahkan jika Azeez Rahim kerap mencium tangan Rosmah Mansor, Ibrahim Ali juga tidak lupa berbuat demikian setiap kali bersalam dengan isteri Perdana Menteri itu.

Kalau Hindraf boleh diberikan jawatan timbalan menteri, apa pula istimewanya Rais Yatim sampai diberikan dua jawatan sekaligus? Begitu juga dengan nama-nama lain yang sudah dan bakal diberikan jawatan oleh Najib yang kini mulai menjadi percakapan ramai. Barangkali kemunculan semula Ibrahim Ali dengan gaya gempaknya baru-baru ini sekadar mahu mengingatkan Najib tentang dirinya yang selalu dianak-tirikan. Sekali-sekal jadikanlah "anak manja" pula, kalau pun tidak mungkin dijadikan "anak emas". (SH 07/07/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...