Tuesday, 6 February 2018

DOA UNTUK RAFIZI


KEPUTUSAN KES NFC: RABU, 7 FEBRUARI 2018

Esok, Hakim Zamri Bakar akan membacakan keputusan perbicaraan dakwaan di bawah Akta Bank & Institusi Kewangan (BAFIA) yang menuduh saya dan Johari Mohamad (bekas kerani Public Bank) membocorkan maklumat kewangan ahli keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan beberapa syarikat milik mereka.

Hukuman maksima di bawah akta ialah penjara 3 tahun, atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Jika dijatuhkan hukuman bersalah (cenderung ke arah itu), ada beberapa kemungkinan hukuman yang dijatuhkan:

1) Penjara (lebih setahun) tetapi dibenarkan “stay of execution” dan tidak berjalan sehingga selesai proses rayuan 

2) Penjara (lebih setahun) dan tidak dibenarkan “stay of execution”, maka hukuman penjara berjalan serta-merta esok

3) Penjara (lebih setahun) dan denda (mungkin RM300,000 ke atas). Hukuman penjara dibenarkan “stay of execution”, tetapi denda perlu dibayar serta-merta. Jika saya gagal membayar denda esok, saya akan dipenjarakan dahulu sehinggalah saya membayar denda tersebut

Ada juga kemungkinan saya didapati tidak bersalah tetapi melihat perjalanan perbicaraan, naluri saya merasakan itu tidak akan berlaku. Ada juga kemungkinan hukuman penjara atau denda yang dikenakan adalah jauh lebih ringan, namun melihat perjalanan perbicaraan: saya tidak optimistik.

Ramai yang bertanya mahkamah mana dan pukul berapa.

Keputusan akan dibacakan oleh Hakim Zamri Bakar sekitar jam 930 pagi esok (Rabu, 7 Februari 2018) di Mahkamah Sesyen (Jenayah 3), Tingkat 8, Kompleks Mahkamah Shah Alam. 

Jika ada kelapangan malam ini, saya mohon sahabat-sahabat mendoakan Allah beri perlindungan kepada saya dan memudahkan urusan saya esok.

“Mereka merancang, Allah juga merancang, Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang”

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan.

ADAKAH NAJIB BEGITU TERDESAK, APA TUJUANNYA MENUNAIKAN UMRAH DAN ZIARAH?


Barangkali sudah ramai yang menonton video di bawah ini melalui pelbagai media sosial sejak semalam lagi. Namun, perbicaraan rakyat mengenainya masih berterusan sehingga ke hari ini.


Untuk itu, apa kata kita tontonnya sekali lagi  di sini - https://www.facebook.com/AbuSyafiq1/videos/1662533547170418/


Sudah tentu beberapa persoalan akan timbul setelah kita menonton video seperti link di atas.


Apakah Najib berbohong mengenai ziarahnya ke makam Rasulullah?


Apakah tujuannya membesar-besarkan mengenai ziarahnya ke makam Rasulullah itu?


Apakah ziarah itu kerana beliau seorang yang istimewa di sisi Tuhan atau kerana kedudukannya sebagai ketua negara?


Perlukah Najib memberitahu seluruh dunia dan membanggakan dirinya sendiri atas sesuatu amalan kepada Tuhan dengan pertukaran harga yang bersifat keuntungan politik?


Ulama mana yang memberitahu Najib bahawa salam di luar makam hanya melalui malaikat, manakala salam di dalam makam akan sampai "direct" kepada Rasullullah?


Jika sudah begitu sekali Najib membesar-besarkan dan meletakkan dirinya seolah-olah begitu istimewa dalam kunjungannya ke Mekah dan Madinah baru-baru ini, apakah tujuan sebenar beliau pergi ke sana? 


Sudah terdesak sangatkah Najib untuk menang PRU akan datang? (ShahbudinHusin 06/02/2018)

Monday, 5 February 2018

MENGHADAM NASIHAT TUN MAHATHIR


Berucap di Konvensyen Pakatan Harapan Pulau Pinang semalam, Tun Mahathir Mohamad memberikan nasihat yang seharusnya difahami dan dihadam oleh semua pihak dalam gabungan pembangkang itu jika menawan Putrajaya dan menyelamatkan negara masih menjadi matlamat perjuangan.


Pertama, beliau menggesa PKR, DAP, Amanah dan Bersatu agar sentiasa bersatu untuk mencapai matlamat menawan Putrajaya dan menumbangkan BN atau jika gagal berbuat demikian, mereka akan kekal sebagai pembangkang untuk selama-lamanya.


Untuk itu, beliau merayu agar mereka menerima siapa saja calon yang mewakili Pakatan Harapan tanpa mengira daripada parti mana ia didatangkan.


Kedua, Tun Mahathir menggesa supaya semua pihak mengurangkan kesetiaan kepada parti masing-masing, sebaliknya mengutamakan Pakatan Harapan demi mencapai matlamat menumbangkan Najib, UMNO dan BN.


“Jika kita tidak menjadi calon, tetapi menyokong siapa saja calon yang dipilih, akan ada peluang lebih besar bagi kita untuk ke Putrajaya .


“Untuk menang, kita mesti menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon Pakatan Harapan.


"Jika kita terus berfikir 'kerusi ini saya punya dan jika saya tidak dapat, saya tidak akan menyokong calon lain', maka itulah cara yang pasti akan membawa kepada kekalahan.


"Saya telah memberitahu parti saya sendiri, Bersatu bahawa ada kerusi yang kita tidak akan dapat, tetapi selagi calon itu daripada Pakatan Harapan, kita akan menyokong sepenuhnya orang itu, “ kata Tun Mahathir lagi.


Nasihat Tun Mahathir ini mudah saja sebenarnya, tetapi barangkali teramat sukar untuk dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu. Tetapi, jika mereka sedia kembali kepada matlamat perjuangan asal iaitu untuk menawan Putrajaya untuk menyelamatkan negara dan tidak mahu lagi berperdana-menterikan Najib, mereka seharusnya sedia bertolak ansur dan berkompromi.


Bertanding dan menjadi calon bukan segala-galanya dalam pilihanraya. Menang dan mencapai matlamat perjuangan jauh lebih utama.


Mengutamakan keinginan menjadi calon dan kerusi semata-mata sehingga enggan bertolak ansur hanya akan menyebabkan tiada kesepakatan dan akhirnya kalah kepada pihak lawan. Jika pihak lawan yang menang, semua akan melepas dan tidak mendapat apa-apa hingga ke sudahnya.


Yang lebih buruk ialah lawan yang terus menang itu ialah Najib yang semua kita tahu dan sedar akan terus melakukan perkara-perkara yang akan menyusahkan rakyat jika kuasa terus diberikan kepadanya.


Sebaliknya, dengan sedia bertolak-ansur dan bersatu untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan, mereka yang tidak terpilih sebagai calon mungkin ada peluang lain untuk terus berjuang dan memberi khidmat bersama-sama calon yang mereka menangkan itu.


Harus difahami bahawa nasihat Tun Mahathir itu kerana beliau pernah menang cemerlang dengan majoriti dua pertiga dalam lima kali pilihanraya sebelum ini. Lebih dari itu, beliau juga pernah menduduki kerusi Perdana Menteri selama 22 tahun lamanya.


Maka, jika Pakatan Harapan ingin menang, mengalahkan Najib, UMNO dan BN serta dapat menunaikan janji untuk menyelamatkan negara, baik siapa dan apa pun kedudukannya, mereka tiada pilihan lain selain menghadam dengan sedalam-dalamnya nasihat Tun Mahathir kali ini.


Lupakan seketika sengketa berebut kawasan dan keghairahan untuk menjadi calon berasaskan kepentingan diri dan parti masing-masing. Utamakanlah Pakatan Harapan dan matlamat perjuangan yang didendangkan sejak bertahun-tahun sebelum ini.


Sokongan pengundi dan keinginan rakyat kepada perubahan yang dilihat sedang mengarus dengan baik sekarang ini tidak cukup untuk mengalahkan Najib, UMNO dan BN kiranya dua nasihat Tun Mahathir itu tidak dipatuhi dengan sebaik-baiknya.


Ramuan untuk menang mesti lengkap dan saling melengkapi. Dengan sokongan pengundi sedia ada, kebencian rakyat kepada Najib dan keinginan mereka kepada perubahan, disertai pula dengan kepatuhan kepada dua nasihat Tun Mahathir itu, tiada sebab Pakatan Harapan tidak boleh menang, biar bergantang wang yang dicurahkan Najib nanti. (ShahbudinHusin 05/02/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...