Monday, 5 February 2018

HADI AWANG LEBIH BOROS DARIPADA NAJIB?


Hasrat Pas untuk mewujudkan dua barisan kabinet yang berbeza dalam pentadbiran kerajaan, satu untuk Islam dan satu lagi untuk bukan Islam, bukan saja tidak praktikal dan akan mewujudkan lebih banyak pemisahan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum, bahkan juga menunjukkan "nafsu besar"  Hadi Awang dalam membelanjakan wang negara.

Melalui dua barisan kabinet itu, jumlah barisan menteri Hadi nanti sudah tentu jauh lebih besar daripada yang ada sekarang.

Jika anggota kabinet Najib Razak seramai 35 yang ada sekarang pun sudah dianggap terbesar dalam dunia berdasarkan jumlah penduduk Malaysia hanya 31 juta orang, dua barisan kabinet impian Hadi itu sudah tentu mencakupi jumlah seramai antara 40 atau 50 orang jumlahnya.

Berapakah wang negara yang perlu dihabiskan untuk membayar gaji serta elaun menteri-menteri seramai itu?

Termasuk dengan kakitangan, kemudahan pejabat dan lain-lainnya, tidakkah ini menunjukkan Hadi ingin membazir dan lebih memboros berbanding Najib yang sudah sedia boros?

Selain itu, dua barisan kabinet yang dibayangkan Hadi itu juga tidak mungkin menghasilkan suatu keputusan yang terbaik untuk negara, sebaliknya akan menjarakkan lagi jurang pemisahan antara kaum dan agama.

Sudah tentu kabinet itu akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan masing-masing dan akhirnya mereka bertelagah sesama sendiri dalam banyak perkara.

Apa jadi kepada perpaduan kaum dan agama akhirnya?

Yang lebih meragukan, berdasarkan perwatakan Hadi yang lemah, tidak teguh dan sering berubah-ubah, mampukah beliau mendamaikan kabinet Islam dan bukan Islam itu jika kerap berlaku perbalahan dan perbezaan pendapat?

Apa pun, jika dengan bertanding 130 kerusi saja Pas sudah ada angan-angan untuk membentuk sebuah kerajaan sendiri dan ia dianggap angan-angan Mat Jenin, mewujudkan dua barisan kabinet menunjukkan betapa lebih jauh "Mat Jeninnya" Hadi dalam percaturan politiknya sejak kebelakangan ini.

Apa sebenarnya yang dikejar Hadi?

Kenapa banyak sangat berangan-angan seperti Mat Jenin?

Bukankah yang paling realistik bagi Pas ketika ini ialah terus berdakap erat dengan Najib, UMNO dan BN? (ShahbudinHusin 05/02/2018)

Sunday, 4 February 2018

JANTANKAH MENANTU PAK LAH?

Susulan perlekehan Khairy Jamaluddin bahawa Tun Mahathir Mohamad tidak mungkin dapat membangunkan Langkawi tanpa UMNO dan BN, Pengerusi Pakatan Harapan itu mencabar KJ bertarung dengannya di pulau itu dalam PRU 14 akan datang ini.


Suruh dia bertanding dengan saya di Langkawi, kata Tun Mahathir.


Sebagai seorang yang diketahui umum tidak mungkin mendapat jawatan dalam UMNO dan kerajaan jika tidak menjadi menantu Pak Lah, KJ seharusnya berani menunjukkan kejantanannya menyahut cabaran Tun Mahathir itu.


Setidak-tidaknya dengan menyahut cabaran itu, KJ berani menunjukkan beliau mahu  dan boleh berdiri sendiri dalam karier politiknya.


Jika menang, KJ dengan sendirinya dapat membuktikan bahawa pengundi Langkawi lebih memilih UMNO dan BN berbanding Tun Mahathir.


Dengan itu, maka benarlah UMNO dan BN yang membangunkan Langkawi dan yang diharapkan oleh pengundinya untuk terus membangunkan pulau itu, bukannya Tun Mahathir.


Kiranya tewas pula, KJ akan membuktikan beliau tidaklah pelahap sangat dengan jawatannya dalam kerajaan sekarang yang ditanggapi umum diperolehinya kerana kedudukannya sebagai menantu kepada Pak Lah.


Sekurang-kurangnya,  beliau akan dilihat sebagai berani dan jantan jugalah akhirnya, walaupun kehilangan jawatannya.


Cuma, benar-benar jantankah KJ? (ShahbudinHusin 04/02/2018).

BERITA PALSU, MEDIA KERAJAAN DAN PEMIMPIN UMNO LEBIH DAHSYAT MELAKUKANNYA


Begitu ramai pemimpin UMNO dan kerajaan bercakap mengenai undang-undang mengekang berita palsu sekarang ini. Ada yang mengatakan ia suatu keperluan, meminta undang-undang itu disokong semua orang dan tidak kurang yang menyatakan sesiapa yang melakukannya tidak akan terlepas daripada tindakan.

Cara mereka bercakap seolah-olah hanya pihak pembangkang atau mereka yang condong kepada perubahan saja yang gemar menyebar berita palsu ini. 

Seolah-olahnya juga pemimpin UMNO dan kerajaan serta media yang ditaja oleh mereka tidak pernah sama sekali terlibat dalam berita palsu, sebaliknya hanya menjadi mangsa belaka.

Benarkah begitu?

Untuk melihat yang mana benar dan yang mana palsu, cuba kita imbas kembali beberapa kenyataan Najib Razak mengenai 1MDB dan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadinya sebelum ini.

Daripada beliau pada mulanya menafikan perkara itu, kemudian mengakuinya dan beberapa kenyataannya yang berbeza-beza mengenai satu perkara, tidaklah itu sebenarnya berita palsu?

Malah, dua hari lalu apabila Najib mengatakan hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion tidak hilang dan asetnya lebih besar daripada itu, ia adalah jelas suatu lagi berita palsu daripadanya yang baru kembali daripada menunaikan umrah, menziarahi makam Rasulullah serta masuk ke dalam Kaabah.

Bukankah sebelum ini juga Najib mengakui 1MDB adalah suatu kegagalan kerajaan?

Kenapakah Najib asyik merapu dan tidak konsisten tentang 1MDB yang bagi rakyat adalah suatu malapetaka bagi negara?

Begitu juga dengan kenyataan Zahid Hamidi yang mengakui pernah berjumpa dengan wakil keluarga penderma RM2,600 juta kepada Najib, tetapi apabila diasak untuk berterus-terang siapakah yang ditemuinya itu, sehingga sekarang senyap terus kata-katanya, tidakkah ia suatu berita palsu?

Lebih dari itu, Zahid Hamidi juga pernah gah membuat dakwaan mengenai dalang Lahad Datu, amalan syiah yang melibatkan Mohamad Sabu, kad pengenalan biru Tun Mahathir Mohamad yang didakwanya bertulis "Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty" dan beberapa perkara lain yang gagal dibuktikannya, bukankah ia satu lagi berita palsu yang nyata?

Dalam beberapa kenyataan pemimpin UMNO yang berbeza dan bercanggah antara satu sama lain ketika mempertahankan Najib berhubung wang RM2,600 juta yang diterimanya, apakah ia bukan berita palsu?

Ketika Ahmad Maslan dengan bangga menyatakan GST akan menurunkan harga barang, tetapi semunya terbukti tipu belaka sehingga kini, tidakkah ia juga berita palsu?

Dalam waktu yang sama, cuba juga kita lihat media-media arus perdana seperti akhbar dan televisyen yang semakin tidak laku dan diketepikan rakyat, terutama dalam laporannya berkaitan politik, berapa peratuskah berita benar yang ada di dalamnya?

Ada yang mengatakan dalam media arus perdana sekarang, hanya laporan waktu sembahyang dan keputusan nombor ekor saja berita yang benar dan boleh dipercayai.

Tidakkah dengan semua perkembangan ini, media arus perdana sudah menjadi penyebar berita palsu berlesen paling utama dalam negara?

Jika media arus perdana pun sudah begitu dahsyat kelakuannya, usah dibayangkan lagi bagaimana ganas dan rakusnya media baru, media sosial dan blog serta portal yang ditaja oleh UMNO dan pemimpin-pemimpin tertentu dalam menyebarkan berita-berita palsu melalui tulisan-tulisan mereka setiap hari.

Yang nyata, hampir semuanya palsu, rekaan dan khayalan semata-mata yang dilaporkan sedemikian rupa hanya untuk memastikan kerajaan kleptokrasi terus kekal berkuasa.

Maka, ketika kerajaan mahu merangka undang-undang mengekang berita palsu ini, siapakah yang mereka mahu sasarkan sebenarnya?

Pembangkang atau diri mereka sendiri?

Sudahkah kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO menatap cermin untuk melihat kebenaran? (ShahbudinHusin 04/02/2018)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...