Saturday, 3 February 2018

JIKA TIDAK MENJADI MENANTU PAK LAH, BOLEHKAH KJ JADI KETUA PEMUDA UMNO DAN MENTERI?

Cerdik atau tidak kenyataan KJ berkaitan Tun Mahathir Mohamad dan pembangunan Langkawi?


Langkawi sudah wujud sejak bila dan BN pula memerintah sejak bila, tetapi mengapa hanya ketika era Tun Mahathir jadi Perdana Menteri saja baru Langkawi dibangunkan?


Mengapa tidak pemimpin lain daripada BN lebih dulu membangun dan melihat potensi Langkawi?


Kenapa hanya Tun Mahathir?


Bukankah ia dengan sendirinya menunjukkan bagaimana Tun Mahathir, meskipun tidak semestinya bersama BN yang memerintah negara, beliau ada kelebihan dari segi pemikiran dan kecerdikan dalam membangunkan negara ini, termasuk Langkawi?


Jika tak percaya, mari kita beri kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam PRU 14 akan datang dan lihat bagaimana Tun Mahathir meneruskan pembangunan, bukan saja kepada Langkawi, malah seluruh negara tanpa adanya BN bersamanya.


Dalam pada itu, dengan KJ mengatakan tidak mungkin Tun Mahathir dapat membangunkan Langkawi tanpa adanya UMNO dan BN, apakah beliau juga setuju dengan hakikat bahawa tanpa menjadi menantu Tun Abdullah Badawi, dirinya juga tidak mungkin mampu jadi Ketua Pemuda UMNO dan seterusnya sebagai menteri?


Setuju KJ? 


Jika tidak menjadi menantu Pak Lah, agak-agak apa kerja KJ sekarang ini? (ShahbudinHusin 03/02/2018)

BUKAN MENZIARAH MAKAM RASULULLAH YANG PENTING, MENCONTOHI AKHLAK NABI MUHAMAD ITU JAUH LEBIH UTAMA


Berucap di hadapan bakal jemaah haji tajaan 1MDB semalam, Najib Razak membebel beberapa perkara:-


Antaranya beliau membidas Mukhriz Mahathir dengan menyeru agar kata-katanya tidak dipercayai berbanding dirinya yang berpeluang masuk ke makam Rasulullah ketika melakukan umrah baru-baru ini.


"Ketepikan pemimpin seperti itu, tolak dia ke laut," kata Najib merujuk kepada Mukhriz yang baru-baru ini malu mengaku sebagai rakyat Malaysia berikutan skandal 1MDB begitu mencemarkan nama baik negara di peringkat antarabangsa.


Selain itu, beliau juga mempertahankan hutang 1MDB yang didakwanya tidak hilang, bukan seperti kerugian dalam urusniaga forex ketika era Tun Mahathir dahulu.


“Janganlah kita kutuk sangat 1MDB ini sampai kebaikannya kita tak nampak sama sekali. Janganlah fitnah. 


“Janganlah kata RM42 bilion lesap, RM42 bilion tak lesap. Itu hutang..hutang yang boleh kita lunaskan oleh aset yang lebih daripada hutang.


“Hilang duit, rugi besar itu kehilangan kerugian forex RM31 bilion. Itu lebih besar kerugiannya pada negara. Dalam zaman siapa? Dalam zaman orang yang kata kononnya haji 1MDB ini tak mabrur, Tuhan tak terima,” kata Najib lagi.


Dalam kedua-dua perkara yang Najib bebelkan itu, hanya satu soalan wajar ditanyakan kepadanya - apa sampai merepek begitu sekali?


Begitu terdesakkah Najib sehingga sanggup mempolitikkan pemergiannya menunaikan umrah sambil berbangga dapat menziarahi makam Rasulullah?


Adakah dengan dapat menziarahi makam Rasulullah menjadikan Najib manusia yang suci bersih dan bebas daripada dosa?


Apakah menziarahi makam Rasulullah itu yang penting atau menjadikan akhlak Baginda sebagai contoh ikutan yang jauh lebih utama?


Dengan berbangga dapat menziarahi makam Rasulullah, sudah berapa peratuskah akhlak dan keperibadian Nabi Muhammad SAW yang sudah diikuti Najib dalam kehidupan seharian, mentadbir negara dan dalam menjaga keluarganya?


Jika tiada banyak akhlak Rasulullah yang diikutinya, tidak malukah Najib sekadar berbangga dapat masuk ke makam Baginda?


Lebih dari itu, di hadapan bakal jemaah haji tajaan 1MDB  itu juga Najib lebih merepek dengan membandingkan hutang 1MDB dengan kerugian dalam urusniaga forex.


Kenapa dibandingkan hutang 1MDB dengan kerugian forex?


Semua orang tahu hutang memang tidak sepatutnya hilang, malah mesti dibayar dan ia berbeza dengan kerugian forex yang merupakan satu urusniaga.


Tetapi, tidakkah daripada hutang 1MDB yang dicipta itu, sebahagiannya telah didapati dilencongkan dan akhirnya hilang?


Ke mana wang itu dilencongkan dan siapakah yang membayarnya?


Tidakkah sebahagian daripada kaedah membayar hutang 1MDB itu ialah melalui tanah TRX dan kem askar Sungai Besi yang diperolehi oleh syarikat pelaburan tersebut dengan harga yang cukup murah?


Satu lagi perbezaannya ialah kerugian forex benar-benar suatu kerugian dalam urusniaga mata wang seperti yang sudah diakui oleh Nor Mohamed Yakcop dan tiada sebahagian daripadanya terbukti masuk ke akuan peribadi sesiapa.


Dengan Najib terus menyebarkan fakta tidak benar mengenai 1MDB, tidakkah Najib sebenarnya merupakan penyebar berita palsu dan mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat? (ShahbudinHusin 03/02/2018)

Friday, 2 February 2018

AHHHH....TAKKAN AWAL2 LAGI NAJIB SUDAH MENGAKU KALAH?

Kempen PRU 14 akan datang dilaporkan tidak lagi akan menonjolkan wajah Najib Razak secara berlebihan sebagaimana yang dilakukan pada pilihanraya 2013 yang lalu.


Tindakan tersebut dikatakan diambil kerana disedari wajah "Panglima Bugis" itu bukan saja jenama pemasaran yang boleh dijual dan digemari rakyat ketika ini.


Najib digambarkan sebagai jenama yang sudah rosak dan tidak lagi digemari pengguna.


Ia berikutan pilihanraya 2013 lalu di mana kempen ala Presiden Amerika yang dilakukan bukan saja menyaksikan keputusan lebih buruk berbanding 2008 dan BN hilang undi popular, malah tahap sokongan rakyat terhadap Najib ketika ini berada dalam kedudukan paling rendah iaitu hanya tinggal antara 20 hingga 40 peratus.


Lantaran itu, demi memastikan BN tidak kecundang lebih awal dalam pilihanraya akan datang, wajah Najib akan dikurangkan penampilannya, bahkan tiada lagi slogan "Saya Sayang PM", "I Love PM" atau yang seumpamanya.


Apa sebenarnya perasaan Najib dengan perkembangan terbaru ini?


Sejujurnya Najib wajib berasa sedih, kalau pun tidak harus "menghantuk kepalanya ke dinding" dengan perkembangan terbaru yang berlaku ini. 


Ia secara jelas menunjukkan Najib sudah kalah lebih awal  dalam pertarungannya untuk memenangi PRU 14 akan datang. 


Seharusnya wajah beliau dan logo BN mesti "sama naik" untuk kempen pilihanraya kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO.


Dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini, tidak pernah ada usaha mengenepikan wajah Perdana Menteri dan Pengerusi BN sebagaimana yang dilakukan kali ini.


Di mana maruah Najib jika tiada wajahnya terpapar sepanjang kempen pilihanraya?


Lagi pula, memilih BN adalah sama dengan memilih kekalnya lagi Najib sebagai Perdana Menteri.


Maka, kenapa perlu diselindungkan wajah beliau, walau biar bagaimana rosak sekali pun jenama yang ada?


Kalau sudah disedari wajah Najib adalah jenama yang sudah rosak dan tidak lagi digemari,  untuk apa beliau terus dipertaruhkan lagi?


Jika tiada wajah Najib yang ditonjolkan, wajah siapakah yang akan dipamerkan nanti untuk bersaing dengan wajah bakal Perdana Menteri harapan rakyat Malaysia, Tun Mahathir Mohamad?


Adakah wajah Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein akan lebih memeriahkan suasana kempen dan akan mewakili BN?


Jika BN kalah atau menang nanti, wajah siapa pula yang mahu dipersalahkan atau diraikan?


Tidakkah dengan awal-awal cuba melindungi wajah Najib daripada paparan kempen, ia dengan sendirinya menunjukkan BN sedar mereka tidak mampu menandingi Tun Mahathir yang mewakili Pakatan Harapan?


Jika begitu, bukankah lebih baik Najib mengaku kalah saja? (ShahbudinHusin 02/02/2018)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...