Sunday, 28 January 2018

DENGAN SIAPA LAGI TOK HIM PERNAH AMBIL DEDAK?

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali tanpa berselindung mengakui pernah mengambil dedak daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika beliau mengetuai kerajaan dahulu.

"Tidak sedikit jasa Tun Mahathir kepada saya. Ketika saya sertai semula UMNO, tak sampai sebulan saya dilantik jadi Ahli MT UMNO.

"Beliau sayang dan tolong saya dalam hidup. Saya dapat dua atau tiga projek yang saya minta dan Tun Mahathir luluskan.

"Jadi maknanya, saya makan dedak lebih awal daripada yang lain-lain," kata Ibrahim yang juga mesra dengan panggilan Tok Him.

Memang hebat Tok Him, ketika tak ramai orang lain berpeluang dapat dedak daripada Tun Mahathir, tetapi beliau senang-senang memperolehinya sedangkan sebelumnya beliau bermusuh serta kerap memaki bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi, apakah beliau hanya pernah ambil dedak ketika Tun Mahathir berkuasa saja?

Bagaimana selepas Tun Mahathir bersara dan ketika itu Tok Him menubuhkan NGO Perkasa?

Apakah NGO itu dihidupkan sebahagiannya melalui sumbangan dedak daripada Tun Mahathir juga?

Selain itu, macam mana pula dengan pemimpin-pemimpin lain, pernahkah Tok Him turut dapat dedak daripada mereka?

Misalnya, pernahkah Tok Him dapat dedak daripada Ku Li yang sentiasa disokongnya daripada dulu hingga sekarang?

Misalnya juga, pernahkah Tok Him dapat dedak daripada Tok Guru Nik Aziz ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar Kelantan dahulu?

Misalnya lagi, pernahkah Tok Him dapat dedak daripada Najib Razak sebelum ini?

Lagi misalnya, pernahkah Tok Him mengambil dedak daripada menteri-menteri yang ada sekarang untuk menghidupkan NGO Perkasanya?

Pernah mengambil dedak daripada Tun Mahathir barangkali belumlah cukup hebat, tapi jika Tok Him terbukti pernah dapat dedak daripada semua nama-nama yang disenaraikan di atas, sah beliau memang pemimpin Melayu yang terhebat di negara ini.

Bermakna, selain "raja katak", satu lagi gelaran yang sesuai buat beliau juga ialah "raja dedak". (ShahbudinHusin 28/01/2018).

TERIMA KASIH KU LI, LIMA TAHUN NAJIB MENJADI PM TANPA HAK MORAL RUPANYA....

Berkata tokoh veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, pihak yang tidak mendapat undi popular dalam pilihanraya bermakna kekurangan hak moral untuk memerintah negara, walaupun menguasai majoriti kerusi.


Kata beliau, selain mendapat hak memerintah secara fizikal melalui jumlah kerusi, parti yang memerintah juga perlu memiliki hak moral.


"Jika pilihanraya dijalankan berdasarkan prinsip kemenangan melalui 'first past the post', parti politik yang tidak memiliki undi popular, tetapi mempunyai majoriti kerusi, mereka akan sentiasa berada dalam keadaan sukar.


"Mereka boleh dianggap kekurangan hak moral untuk memimpin", katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Kelantan.


Dalam PRU 2013 lalu, meskipun BN menang 133 daripada 222 kerusi Parlimen berbanding Pakatan Rakyat, tetapi undi popular yang diraihnya cuma 47 peratus saja.


Pakatan Rakyat, di sebalik hanya mendapat 89 kerusi Parlimen, namun mengungguli undi popular rakyat  sebanyak 52 peratus.


Berdasarkan apa yang ditegaskan oleh Ku Li itu, bermakna Najib Razak telah memimpin negara ini sejak 2013 lalu tanpa hak moral yang sewajarnya.


Najib hanya memerintah berdasarkan kerusi fizikal, namun sokongan moral rakyat langsung tidak memihak kepadanya.


Tidak malukah Najib?


Tidak malukah juga kita dipimpin oleh pemimpin dan parti yang tiada hak moral seperti itu?


Dengan dipimpin oleh pemimpin dan parti yang tiada hak moral selama lima tahun ini sehingga tidak henti-henti timbul pelbagai kekalutan dalam negara, tentu ia dengan sendirinya membulatkan tekad kita semua untuk menyingkirkan Najib, UMNO dan BN secara fizikal pula dalam pilihanraya akan datang ini.


Najib sudah disingkirkan secara moral, tidak sukar lagi menyingkirkannya secara fizikal.


Terima kasih Ku Li kerana menyuluhkan jalan yang sudah semakin terang buat rakyat membuat pilihan. (ShahbudinHusin 28/01/2018)

Saturday, 27 January 2018

SIASATLAH TUN SITI HASMAH DENGAN LEBIH KERAP LAGI....


Siapa pun yang waras dan sihat akal fikirannya, pasti tidak setuju dengan tindakan menyiasat Tun Siti Hasmah Mohd Ali di bawah Akta Perhimpunan Aman berhubung kehadirannya dalam himpunan menuntut politik bersih yang diadakan pada September, tahun lalu.

Sama ada berdasarkan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah atau Rafidah Aziz atau sesiapa yang lain yang tidak setuju dengan tindakan itu, itulah sebenarnya suara majoriti rakyat Malaysia.

Ia bukan saja kerana perhimpunan yang disertai oleh Tun Siti Hasmah itu sudah berlalu empat bulan lamanya, tetapi sebagaimana semua maklum Himpunan Wanita Bantah Politik Toksik itu adalah anjuran Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan salah seorang ahli G25,  Noor Farida Ariffin.
Sudahkah penganjurnya disiasat dan tidak cukupkah dengan menyiasat penganjur saja dan kenapa baru sekarang Tun Siti Hasmah pula hendak disiasat?

Atas apa sebab sekali pun, tiada keperluan untuk menyiasat Tun Siti Hasmah yang hanya berucap dan mengajak orangramai agar mengamalkan politik bersih dan sihat sepanjang masa dalam ucapannya di himpunan tersebut.

Lagi pula, beliau bukannya berucap mengajak orangramai memberontak atau melakukan kerosakan kepada negara.

Sebagaimana yang dimaklumi juga, Tun Siti Hasmah tidak pernah sama sekali terkait dengan apa-apa skandal atau diketahui ada bermewah dengan barangan kemas ratusan juta ringgit di tubuh badannya, melainkan hanya suaminya, Tun Mahathir Mohamad adalah musuh nombor satu kepada Najib Razak.

Jadi, untuk apa beliau disiasat atau ini merupakan tindakan terdesak kerajaan yang mesejnya hendak disampaikan kepada Tun Mahathir dan Pakatan Harapan?

Kenapa tidak siasat dan tangkap saja Tun Mahathir yang lebih banyak hadir dan berucap dalam pelbagai perhimpunan aman yang lain?

Kenapa juga mereka yang terkait dengan skandal dan isunya lebih diperkatakan di seluruh dunia tidak pernah disiasat?

Oleh kerana Tun Siti Hasmah tidak terlibat dalam politik, melainkan sebagai pendamping setia kepada Tun Mahathir semata-mata, siasatan ke atasnya pasti sukar diterima dan secara langsung atau tidak langsung akan mencalarkan wibawa pimpinan kerajaan sedia ada di mata rakyat.
Kalau pun UMNO dan BN begitu terdesak untuk mempertahankan kuasanya, menyiasat wanita yang begitu dihormati seperti Tun Siti Hasmah bukanlah cara yang betul untuk berdepan dengan Pakatan Harapan.

Siapakah yang mengarahkan siasatan terhadap Tun Siti Hasmah itu - Najib Razak sebagai Perdana Menteri atau Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri?

Bolehkah Najib atau Zahid Hamidi tampil segera memberikan penjelasan? 

Atau Tun Siti Hasmah perlu terus diperlakukan sedemikian rupa agar rakyat lebih mudah menolak UMNO dan BN secara total? (ShahbudinHusin 27/01/2018)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...