Tuesday, 2 January 2018

HARAM ATAU HARAM.....?

Di Malaysia ini, kalau bab menghukum atau menjatuhkan hukuman kepada orang lain, serahkanlah kepada Pas kerana kecekapan mereka berbuat demikian boleh mengalahkan hakim-hakim di mahkamah.

Hakim pun sebelum menjatuhkan hukuman akan mendengar keterangan saksi-saksi dan orang yang kena tuduh terlebih dahulu, tetapi Pas dengan selambanya akan menghukum asal saja seseorang itu berbeza pendirian dengan mereka.

Dulu mereka menjatuhkan hukum kafir, taghut, sesat dan macam-macam lagi kepada musuh politiknya, kini mereka yang meninggalkan parti itu pula dianggap makan gaji haram dan menikmati pendapatan tidak halal.

Setelah sebelum ini, sekian ramai yang meninggalkan Pas untuk menyertai Amanah dihukum sedemikian rupa, sebaik Mahfuz Omar turut keluar meninggalkan parti itu semalam, giliran beliau pula menerima hukuman yang sama.

Bukankah sebelum ini ada pemimpin Pas juga yang mendesak agar Mahfuz meninggalkan Pas?

Kenapa meroyan balik bila Mahfuz sudah menyambut desakan itu?

Lebih daripada itu, jika gaji dan pendapatan Mahfuz dipersoalkan dan diragui boleh jatuh haram, bagaimana dengan Hadi Awang yang selalu ponteng dan tidak hadir ke Parlimen?

Bagaimana juga dengan gaji dan pendapatan Ahli-Ahli Parlimen Pas lain yang mereka menang pada PRU 13 lalu atas adalah nama Pakatan Rakyat, tetapi kini beralih menyokong Najib, UMNO serta BN dan menghentam balik gabungan yang memberi kemenangan kepada mereka?

Begitu juga dengan Exco Pas di Selangor yang masih menikmati gaji, elaun dan pelbagai kemudahan lain, sedangkan mereka tidak berada dalam Pakatan Harapan yang memerintah negeri itu?

Apakah hukumnya gaji dan pendapatan pemimpin-pemimpin Pas bagi semua kategori di atas?

Haram atau halal? 

Atau haram.....?(seperti ungkapan Najib kepada para peneroka Felda sebelum ini). (ShahbudinHusin 02/01/2018).

Monday, 1 January 2018

ALAMAKKK...PEKERJA ASING PUN LEBIH SUKA TUN MAHATHIR DARIPADA NAJIB!!!


Baru-baru ini, saya berkesempatan berbual-bual dengan tiga pekerja asing dari negara jiran di sebuah kedai makan yang kebetulan kami sama-sama singgah untuk mengalas perut di situ.

Dua daripada pekerja asing itu sebelum ini pernah bekerja di rumah saya pada tahun 2016 ketika saya membuat sedikit pengubahsuaian bahagian dapur, manakala seorang lagi baru pertama kali saya berkenalan dengannya.

Mereka yang berdua itu sebelum ini pernah mengatakan mereka sudah hampir 20 tahun mencari rezeki di negara kita.

Oleh kerana kebetulan saya seorang diri dan mereka pula pernah ada jasa mengubahsuai rumah saya, saya pun duduk makan semeja bersama mereka. 

Sambil makan kami seperti biasa berbual-bual, tambahan lagi mereka memang peramah dan suka berbual sejak dulu.

"Macam mana sekarang, banyak kerja ke?" tanya saya.

"Susah, bos"...kata seorang daripada mereka yang hanya biasa saya sebut Didi saja sebagai panggilan namanya.

Memang sejak dulu Didi ini selalu memanggil saya dengan sebutan "bos", barangkali itu caranya menunjukkan rasa hormat kepada kita.

Tetapi, saya tidak pernah pula menilainya sebagai "kuli" dengan memberi arahan secara keras atau menengking-nengking macam "bos-bos"  zaman dahulu yang kerap kita tonton dalam televisyen atau layar perak.

Mereka adalah sebahagian kawan-kawan saya. Dipanggil "bos"  atau tidak, saya memang akan membelanja mereka juga.

"Kenapa susah?"

"Kerja tidak banyak macam dulu, bos. Dulu banyak kerja, sentiasa saja ada orang panggil buat kerja, sekarang dalam sebulan, kadang-kadang 10 hari tiada kerja."

"Kenapa tiada kerja?"

"Saya dengar orang sekarang tidak banyak wang, bisnes susah dan harga barang sudah mahal. Jadi, tidak ramai lagi yang mahu ubahsuai rumah mereka macam dulu."

"Bila yang kamu banyak kerja?"

"Dulu masa Mahathir, kami selalu banyak kerja."

"Najib lagi bagus apa daripada Mahathir?"

"Aduuhhh, bos...." kata Didi sambil dua rakannya yang lain ketawa terbahak-bahak.

Saya tidak pasti apa yang membuatkan mereka ketawa bila saya mengatakan Najib lebih bagus daripada Mahathir. Cuma, bila mereka ketawa, saya pun turut ketawa sama seolah-olah faham apa yang mereka faham.

Mungkinkah mereka juga banyak tahu cerita-cerita tentang Najib seperti skandal 1MDB, duit RM2,600 juta, kemewahan Rosmah dan sebagainya?

"Lagi satu bos, sekarang juga kami selalu kena kacau dengan polis dan Imigresen. Dulu nggak pernah macam ini."

"Kamu kan ada permit?"

"Iya...tapi ramai kawan-kawan saya yang baru sampai atau yang kena tipu permitnya, mereka selalu dalam ketakutan. Mereka memang mahu buat permit, tapi kena cari wangnya dulu."

"Dulu masa Mahathir, tidak banyak kami kena ganggu begini,"  kata seorang lagi pekerja asing itu yang saya biasa panggilnya dengan nama Mat saja.

"Sekarang kerap sangat, bos..." tambah Mat lagi, juga memanggil saya dengan panggilan "bos".

"Ini Mahathir akan jadi Perdana Menteri semula kalau dia berjaya kalahkan Najib. Saya pun mahu Mahathir semula jadi Perdana Menteri, kalau boleh biar dia bina satu lagi KLCC,"  kata saya.

"Bagus itu, bos..." kata Didi dan Mat hampir serentak. Kawannya yang seorang lagi hanya mengangguk tanda setuju.

"Tapi kami nggak bisa mengundi...hanya bisa doa saja," kata Didi lagi.

"Alhamdulillah...doa juga sudah cukup,"  kata saya lalu kemudian memohon untuk beredar setelah membayarkan makanan ketiga-tiga mereka.

Ketika berada dalam ke kereta sebelum pulang ke rumah, saya tersenyum sendirian sambil hati berkata, "pekerja asing pun tak suka Najib rupanya, macam majoriti rakyat Malaysia juga. 

"Habislah Najib kali ni". (ShahbudinHusin 01/01/2018).

2018 ADALAH TAHUN PERUBAHAN, MARI KITA KUKUHKAN LAGI ILTIZAM MENYINGKIRKAN NAJIB


Hari ini adalah hari pertama tahun 2018 dan untuk itu diucapkan selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia serta penjenguk blog ini, tidak kira sama ada yang pro kerajaan atau pro kepada perubahan.

Juga diucapkan terima kasih kepada semua yang terus setia membaca dan menjenguk blog ini, termasuk yang rajin memberi komen dan pandangan, baik yang bersifat pro atau kontra. Kepada yang suka berkata kotor, lucah dan mencarut, sedarlah bahawa dunia ini tidak kekal selama-lamanya.

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pada tahun 2018 ini, blog ini ingin terus komited dalam mengajak rakyat kepada perubahan dan pembaharuan dalam politik Malaysia melalui PRU 14 yang wajib diadakan sebelum Ogos depan.

Oleh kerana tahun ini adalah tahun pilihanraya di mana rakyat harus membuat pilihan, maka seboleh mungkin blog ini akan melipatgandakan lagi usaha penulisannya agar rakyat benar-benar faham tentang pentingnya perubahan serta tidak teragak-agak untuk melakukannya di kertas-kertas undi.

Pada asasnya, oleh kerana hanya Najib Razak yang terpalit dengan skandal kewangan terbesar di dunia, banyak membazir, suka bermewah, membebankan rakyat dan merosakkan seluruh sistem dalam negara, menyingkirkan beliau saja adalah pilihan yang paling munasabah dan itulah yang diperjuangkan sebelum ini.

Hakikat ini bukan saja terserlah melalui tulisan atau artikel di peringkat awal blog ini, tetapi juga melalui tujuh buku yang telah diterbitkan sejak 2011 lagi.

Tetapi, oleh kerana Najib enggan berundur dan berselindung di sebalik UMNO dan BN serta menggunakan kekuatan "cash is king" yang ada padanya untuk terus bertahan, maka mengajak rakyat untuk sama-sama menumbangkan UMNO dan BN sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Dalam keadaan sekarang, mengekalkan UMNO dan BN samalah seperti mengekalkan lagi Najib untuk terus berkuasa serta  bermaharajalela dan Najib hanya dapat disingkirkan dengan cara mengalahkan UMNO dan BN terlebih dahulu.

Rakyat juga harus sedar bahawa oleh kerana Najib enggan berundur dan masih mahu bertahan adalah kerana untuk melindungi dan menyelamatkan diri, keluarga dan yang terpenting sekali ialah Jho Low, kebarangkalian yang paling menakutkan ialah kepentingan rakyat akan merupakan prioriti terakhir dalam hidupnya selepas dapat menyambung lagi hayat politiknya.

Najib tidak pernah peduli tentang kesusahan rakyat, berapa harga bawang dan cili, apa pentingnya subsidi, bebanan GST dan lain-lain lagi kerana yang sentiasa diutamakannya hanyalah kepentingan dirinya.

Sebab itu, di sebalik rakyat terbeban dan mengeluh dengan pelbagai tekanan kehidupan, citarasa hidupnya terus jalan seperti biasa. Cutinya, bermewahnya, perbelanjaan PMOnya, membazirnya, keghairahannya membeli sokongan serta memberi jawatan dan sebagainya tidak pernah dikurangkannya, meskipun pelbagai kementerian dan ubat-ubatan di hospital mengalami catuan di sana sini.

Mengekalkan lagi Najib hanyalah mengundang malapetaka dalam kehidupan kita atau ibarat kita mengambil seseorang yang diketahui suka mencuri sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga rumah dan harta-harta kita.

Satu-satunya pilihan yang ada bagi rakyat Malaysia pada 2018 ini ialah  mereka mesti mengukuhkan lagi iltizam untuk menolak, menyingkirkan Najib, UMNO dan BN serta akhirnya menjadikan perubahan suatu realiti.

Hanya setelah berlakunya penyingkirkan itu, barulah proses membaikpulih dan memulihkan seluruh sistem dalam negara dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.

Memang sekarang ini diakui golongan yang suka dan menyokong Najib kian mengecil dan agenda perubahan sedang menuju kemenangan. Dalam UMNO sendiri pun, kecuali pemegang jawatan dan mereka yang mendapat dedak yang terus menyatakan sokongan, yang lain-lainnya boleh dikata setuju perlunya perubahan dalam pilihanraya akan datang.

Semua segmen masyarakat pula rata-rata benci, meluat dan tidak mahu lagi melihat wajah Najib. Yang menutup televisyen atau mengalih siaran ketika wajah Najib terpampang bukan saja berlaku di kebanyakan rumah kediaman, bahkan terang-terang suatu kebiasan di kedai-kedai makan atau tempat awam yang lain.

Di zaman Tun Mahathir atau Pak Lah misalnya, memang diakui ramai juga yang tidak menyokong dan marah kepada kedua-duanya, namun tidaklah sampai ke peringkat tidak mahu memandang wajah mereka  yang muncul di tv.

Realitinya, Najib memang sedang ditolak dan tidak lagi disukai.

Tetapi, oleh kerana Najib masih memegang kuasa, banyak sokongan boleh dibeli, diugut atau dimanipulasinya untuk memastikannya terus menang dalam pilihanraya nanti.

Selain parti-parti politik yang bergerak ke arah perubahan terus dengan peranan masing-masing, begitu juga pihak-pihak lain seperti NGO, pertubuhan, penggerak media sosial, grup Whatsapp dan sebagainya, blog ini juga akan terus komited membantu dan menyedarkan rakyat sekadar yang termampu ke arah perubahan itu.

Apa yang dilakukan ini bukan untuk diri sendiri, sebaliknya demi kepentingan rakyat, negara dan generasi akan datang agar mereka lebih selesa menjalani kehidupan, tiada beban kos sara hidup yang terlalu tinggi, ada kerjaya, mudah berniaga dan rukun damai sebagai rakyat yang bebas merdeka.

Semua itu hanya dapat dijayakan dengan berlakunya perubahan terlebih dahulu dalam pilihanraya akan datang  yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Jika kita sayang negara ini, marilah bersama-sama melakukan perubahan. Tetapi jika Najib, keluarganya dan Jho Low yang ingin kita lihat bertambah kaya dan memiliki lebih banyak hartanah di seluruh dunia, sedangkan kita sendiri kekal merana, maka teruslah menyokong dan BN sehingga ke penghujung usia.

Pilihan di tangan kita dan peluang terbaik serta mungkin kesempatan terakhir untuk melakukannya hanyalah pada PRU 14 akan datang yang detiknya hanya beberapa bulan saja lagi.  (ShahbudinHusin 01/01/2018).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...