Thursday, 2 November 2017

KETUA PESURUHJAYA SPRM TERUS TERANCAM....JIKA SUKAR BUAT PILIHAN, TANYALAH PUAN SRI DULU?

Di sebalik sikap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad terus berdiam diri berhubung dakwaan mempunyai hubungan terlarang dengan isteri orang dan sementara siasatan pihak polis yang dipantau oleh pasukan petugas khas tidak diketahui apa perkembangannya, sebuah lagi klip video muncul lewat malam tadi yang memberi isyarat agar skandal tersebut tidak cuba dilindungi.


Menyusuli dua klip video sebelum ini,  video terbaru ini dimuatnaik dan boleh ditonton di laman Youtube menerusi  akaun Jejak Dua Belas.


Video kali ini memaparkan gambar daripada kamera litar tertutup di sebuah bilik hotel yang bersepah dipercayai di Hong Kong di mana Dzuklifli didakwa pergi ke sana atas urusan rasmi dengan menggunakan tiket kapalterbang yang dibayar oleh kerajaan, tetapi beliau dikatakan tidak menghadiri program yang sepatutnya.


Tulisan dalam video itu kemudian menyoal, apakah tindakan tersebut bukan satu bentuk korupsi?


Seterusnya, ia memberi amaran kepada Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa agar tidak cuba melindungi Dzulkifli, selain memberi ancaman untuk menyiarkan keseluruhan video tersebut jika tiada tindakan diambil.


Perlukah video ini didedahkan sepenuhnya baru siasatan telus mahu dijalankan? demikian tulisan yang dipaparkan dalam video itu.


Bermakna, selagi tiada tindakan dan Dzulkifli pula kekal berdiam diri, seolah-olah lebih banyak lagi video berkenaan beliau akan dipertontonkan kepada rakyat Malaysia.


Selepas ini dan entah bila, kita tidak tahu video yang bagaimana pula akan muncul di laman Youtube yang bukan saja boleh ditonton oleh orangramai, tetapi juga oleh isteri dan anak-anak Dzulkifli sendiri.


Maka, apa yang harus beliau lakukan?


Berdiam diri kini nampaknya bukan lagi pilihan buat Dzulkifli. 


Sementara siasatan oleh pihak polis dan mungkin tindakan atas kedudukannya sebagai kakitangan awam adalah satu perkara yang lain, tetapi Dzulkifli hanya ada dua pilihan di depannya ketika ini.


Pertama - terus bertahan, menafi dan melawan. 


Tetapi, apakah Dzulkifli cukup kuat untuk menghadapinya apabila beberapa video akan muncul lagi selepas ini?


Kedua - berundur, letak jawatan dan pergi menunaikan umrah.


Jika Tan Sri Dzulkifli masih tak tahu nak buat pilihan, cuba-cubalah tanya dengan Puan Sri dulu? (ShahbudinHusin 02/11/2017)

Wednesday, 1 November 2017

BERKAT BELAJAR AGAMA DI JORDAN....

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah yang  pada 2016 meletakkan jawatan kerana tidak setuju dipindahkan menerajui kementerian lain dan kemudian memutuskan untuk mendalami agama Islam dan Al-Quran di Jordan, hari ini melahirkan keyakinan negara mampu mencapai tahap sifar rasuah di bawah kepimpinan Najib Razak.

Dalam sidang Parlimen Oktober 2016 lalu, beliau menyoal Najib dari segi kewajaran menubuhkan 1MDB dan mengapa tiada tindakan diambil terhadap pengurusan syarikat pelaburan itu kerana memasukkan wang ke tempat yang tidak betul.


Namun, nada beliau dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung sekarang jelas berbeza dengan melahirkan keyakinan negara akan mencapai status sifar rasuah di bawah kepimpinan Najib yang disahkan pernah ada kemasukan RM2,600 ke dalam akaun bank peribadinya.

Agaknya inilah salah satu kejayaan buat diri Husni berkat keputusannya belajar agama di Jordan itu.


Kehkehkeh....(ShahbudinHusin 01/11/2017)

SELEPAS PENGIRING BERMOTOSIKAL DAN TUKANG MASAK, APA KEWAJARAN PASUKAN UNIT TINDAKAN KHAS TUN M PULA DITARIK BALIK?


Menjadi perbualan di media sosial sejak semalam kononnya pengawal peribadi dan pasukan Unit Tindakan Khas yang mengiringi Tun Mahathir Mohamad telah ditarik balik oleh pihak kerajaan.

Semalam,  pengawal peribadi atau ADC Tun Mahathir,  Mazli Mazlan dilaporkan menerima arahan agar melapor diri dengan Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM yang mencetuskan spekulasi tugas beliau mengiringi bekas Perdana Menteri itu kemungkinan ditarik balik.

Di media sosial, ramai yang menulis mengenai penarikan balik tugas Mazli itu dan kebanyakannya melahirkan rasa kecewa serta bimbang berkenaan tindakan terbaru yang diambil kerajaan itu.

Ia bukan saja berkaitan faktor keselamatan Tun Mahathir sebagai bekas Perdana Menteri, tetapi juga kerana Mazli dilihat begitu setia dengan beliau dan ketiadaannya mungkin menjejaskan keyakinan Tun Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan itu untuk tampil di tempat-tempat awam selepas ini.

Namun, khabar tidak menggembirakan itu tidak berpanjangan di mana pagi ini Mazli dilaporkan sudah pun melapor diri kembali untuk bertugas semula sebagai pengawal peribadi Tun Mahathir.

Bagaimanapun, pasukan Unit Tindakan Khas seramai lima orang beserta  sebuah kereta yang turut mengiringi Tun Mahathir ke mana-mana sebelum ini, kini dikatakan telah ditarik balik.

Bermula hari ini, atas kapasitinya sebagai bekas Perdana Menteri, bermakna Tun Mahathir dikatakan hanya diiringi dan dikawal oleh Mazli dan dua orang anggota polis biasa saja.

Sebelum ini, kerajaan turut menarik balik pengiring bermotosikal dan tukang masak yang sudah sekian lama berkhidmat dengan Tun Mahathir.

Dengan tindakan terbaru ini, apakah wajar sebegitu layaknya layanan yang harus diterima oleh seorang bekas Perdana Menteri yang pernah berkhidmat selama 22 tahun membangunkan negara?

Tidakkah keselamatan Tun Mahathir selepas ini terdedah kepada pelbagai kemungkinan dengan tiada lagi pasukan UTK mengiringi dan mengawalnya?

Tidakkah juga penyediaan pengawal peribadi dan pengiring keselamatan kepada mana-mana bekas Perdana Menteri adalah sesuatu yang diluluskan di bawah Akta Parlimen?

Diharap Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun segeralah tampil memberi penjelasan berkenaan perkembangan terbaru ini dan rasional serta kewajaran tindakan tersebut diambil ketika ini. (ShahbudinHusin 01/11/2017)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...