Tuesday, 2 May 2017

KEBURUKAN NAJIB DAN PAS SEKUTU UMNO MEMANG PERLU DIULANG-ULANG


Menjelang PRU 14 akan datang, sekurang-kurangnya tiga perkara perlu dilakukan oleh Pakatan Harapan ke arah mencipta kemenangan.

Pertama, mengimbas semula semua keburukan, salah laku dan kecurangan Najib Razak dalam memimpin negara sejak beliau menjadi Perdana Menteri bermula 2009 yang lalu.

Bermula dengan amalan suka bermewah, melakukan pembaziran, meningkatkan hutang, menghapuskan subsidi, membebankan rakyat dengan GST dan sehinggalah kepada tercetusnya skandal 1MDB yang akhirnya mendedahkan lebih banyak keburukan mengenai kepimpinan dan keperibadiannya.

Tanpa Najib, negara kita mungkin tidak bermasalah seperti sekarang dan oleh kerana beliau dalam keadaan sangat bermasalah dalam mendepani pilihanraya akan datang, mengekalkannya lagi hanya memungkinkan semua masalah itu ditutup dengan cara mengalihkan isu saja, bukan melalui penyelesaian yang hakiki.

Akhirnya, rakyat akan terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan hanya mampu memandang saja segala kepincangan terus dilakukan oleh mereka yang berkuasa dalam negara ini.

Jika kepimpinan Najib tidak terlalu teruk, tentulah mustahil adiknya sendiri, Nazir Razak sampai beberapa kali meluahkan pandangan yang berbeza yang menggambarkan tidak setujunya beliau terhadap cara abangnya memimpin negara ini.

Semua perkara mengenai Najib itu perlu diberitahu secara jelas, tersusun, konsisten dan berulang-ulang agar rakyat faham bahawa hampir semua beban dan masalah dalam negara ini adalah berpunca daripada Najib. Najib, Najib, Najib dan tiada lain selain Najib.

Kedua, memberikan rakyat harapan bahawa pertukaran kerajaan daripada BN kepada Pakatan Harapan adalah pilihan tunggal yang terbaik untuk masa depan mereka.

Pakatan Harapan tiada lain tujuannya selain berhasrat mahu memulihkan negara dari segi imej, ekonomi, perpaduan dan kepercayaan antarabangsa agar Malaysia mampu muncul gemilang sepertimana era sebelum Tun Abdullah Badawai dahulu.

Jika ketika itu kita bangga dan gembira dengan imej serta keadaan negara, tiada sebab kita tidak boleh mempercayai sekali lagi apabila Tun Mahathir Mohamad mengatakan beliau ada cara untuk memulihkan semula ekonomi, selain janji untuk memansuhkan GST secara beransur-ansur.

Tun Mahathir yang kini menjadi Penasihat Pakatan Harapan bersama Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah simbolik baru ke arah iltizam melahirkan semula Malaysia baru yang mampu menggembirakan semua rakyat negara ini.

Yang penting, singkirkan Najib dan kalahkan UMNO serta BN dahulu. Hanya dengan kuasa di tangan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir mungkin merupakan penasihat juga kepada kerajaan baru nanti, barulah negara ini dapat dipulihkan melalui kepakaran dan pengalamannya yang terbukti selama ini amat gemilang.

Harapan baru kepada rakyat ini juga perlu diberitahu dan diperjelas secara tersusun, konsisten dan berulang-ulang kepada rakyat tanpa jemu.

Ketiga, menyedarkan rakyat bahawa Pas yang berkeras mahu menjadi blok ketiga adalah pembantu dan sekutu baru yang hanya bertujuan memenangkan Najib, UMNO dan BN.

Bertanding hanya 80 kerusi, di kawasan majoriti Melayu di mana situlah juga Bersatu akan meletakkan calonnya dan di ketika rakyat meluap-luap menuju perubahan, keputusan Pas ingin bersendirian tidak lain ialah bertujuan tidak mahu Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Pas sendiri tidak mahu menjadi kerajaan kerana kouta minima untuk menubuhkan kerajaan ialah 112 kerusi, sedangkan mereka bertanding 80 sahaja. Pas tentunya sekadar ingin jadi pengacau agar Pakatan Harapan lebih sukar mengalahkan BN kerana di ketika tidak mahu bersama Pakatan Harapan, mereka juga nampaknya malu untuk bersama dengan BN.

Untuk apa Pas memilih menjadi kuasa penentu atau "king maker"  sedangkan mereka sedar kepimpinan Najib terlalu buruk dan isu-isu yang melingkari dirinya bukan saja diperbualkan dalam negara, tetapi juga di seluruh dunia?

Tetapi pilihan Pas tidak boleh dihalang. Itu adalah pilihan mereka. Yang perlu disedarkan ialah mengundi Pas sama seperti mengundi BN. Mengundi BN memang sudah tentu membantu BN, tetapi memberi undi kepada Pas juga boleh merupakan bantuan tidak langsung kepada BN.

Pas bukan saja tidak mampu menubuhkan kerajaan, bahkan memberinya undi mungkin hanya menyulitkan lagi keadaan selepas pilihanraya nanti. Oleh itu, sama seperti menolak BN, Pas juga harus ditolak dalam pilihanraya akan datang nanti.

Hakikat sebenar tentang peranan Pas ini juga perlu diperjelas secara konsisten, berterusan dan berulang-ulang kepada rakyat.

Ada pepatah mengatakan, perkara yang tidak benar atau palsu sekali pun jika disebut secara tersusun dan berulang-ulang, ia akhirnya akan diterima sebagai kebenaran. 

Sudah tentu untuk tujuan kebaikan memulihkan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat, jika ia juga dilakukan secara konsisten dan berulang-ulang, pasti natijah akhirnya segala kepalsuan, penipuan, penyelewengan dan keburukan akan lebih mudah tertolak ke tepi. 

Hanya dengan melakukan secara berulang-ulang, selain tersusun dan konsisten, barulah sesuatu perkara itu dapat diasak, dipasak hingga akhirnya ia benar-benar melekat ke minda rakyat. (ShahbudinHusin 02/05/2017).

Monday, 1 May 2017

SEHINGGA MEMBIAYAI SAMAN PUN KENA DIKERAH, ADAKAH SEMUA DALAM PAS BELUM BANYAK BACA HARAKAH?


Berkata Ketua Penerangan Pas yang gagal merebut jawatan Naib Presiden, Nasaruddin Tantawi bahawa cawangan-cawangan PAS di seluruh negara perlu menjadi pelanggan tetap akhbar Harakah kerana dengan membeli akhbar tersebut, rezeki akan dimurahkan oleh Allah.

"Ada cawangan kata tak ada duit, tak mampu nak beli Harakah.

"Sebenarnya kalau cawangan itu tak ada duit, maka cawangan itu kena beli Harakah.

"Kaedahnya begitu, makin tak ada duit semakin kena infak (menyumbang)," kata beliau pada sesi penggulungan Muktamar Pas.

Fatwa barukah ini?

Adakah saranan ini benar-benar untuk tujuan rezeki murah atau untuk mengatasi Harakah yang bermasalah?

Yang mampu pakai Audi, Velfire dan Range Rover, berapa banyak agaknya akhbar Harakah yang mereka beli?

Adakah selama ini cawangan-cawangan Pas tidak cukup banyak membeli harakah sehingga mereka selalu tidak ada duit?

Adakah iuga pemimpin-pemimpin Pas sendiri tidak lebih banyak membeli Harakah?

Kalau selama ini mereka cukup banyak memberi Harakah, kenapa rezeki Pas masih tidak dimurahkan Allah sehingga untuk membiayai kos saman Sarawak Report pun, derma RM5 kepada setiap ahli terpaksa dikerah?

Bukankah membiayai kos saman lebih merupakan tanggungjawab pemimpin yang di atas berbanding ahli-ahli di bawah?

Ingin juga diketahui, adakah Najib Razak yang menerima rezeki paling murah melalui derma RM2,600 juta merupakan pembeli Harakah paling banyak selama ini? (ShahbudinHusin 01/05/2017).

KEPUTUSAN PAS SEPATUTNYA DISAMBUT DENGAN RASA SYUKUR


Usul Pas untuk memutuskan hubungan dengan PKR akhirnya diterima sebulat suara oleh Muktamar Pas dan ia kini terletak di tangan Majlis Syura untuk membuat keputusan akhir mengenainya.

Selain dikata mengingkari banyak perkara dalam perjanjian kerjasama, tindakan mahu berpisah itu juga meletakkan Selena Gomez sebagai salah satu puncanya.

Sebelum itu, muktamar juga diberitahu Pas tidak akan bekerjasama dengan Bersatu kerana parti itu dianggap celaru dan tidak tentu hala tuju, meskipun kita tahu ke mana saja Tun Mahathir Mohamad pergi, ribuan rakyat akan hadir menunggu.

DAP, seperti biasa dianggap oleh Pas sebagai parti yang anti Islam dan  didakwa menghalang perkembangan Islam di negara ini.

Muktamar Pas di Kedah yang semalam dilanda ribut turut dibisingkan dengan jeritan "Jahanam Amanah" sebagai suatu bentuk serangan terhadap parti itu.

Hanya Najib Razak, UMNO dan BN yang bebas daripada serangan Pas kali ini. MCA, MIC dan Gerakan yang diketahui umum menjadi penghalang kepada hasrat kerajaan menjadikan usul Akta 355 sebagai usul kerajaan, tidak pula dijadikan sebagai bahan. Di mata Pas, hanya DAP yang nampaknya anti Islam.

Dengan semua gambaran ini, di mana kedudukan Pas dalam pilihanraya akan datang tidak perlu lagi diperkatakan. Segala-galanya umpama bersuluh dalam terang.

Tetapi, bolehkah Pakatan Harapan menang dan UMNO serta BN dapat ditumbangkan?

Seperti isu 1MDB yang hanya di atas kertas nampak macam sudah selesai, sedangkan d hati rakyat masih banyak bersarang kekeliruan, begitu juga dengan kedudukan  Najib, UMNO dan BN yang kini seolah-olah sudah ada Pas sebagai pemberi bantuan untuk mengekalkan kemenangan.

Di atas kertas, mungkin ramai yang melihat laluan UMNO dan BN sudah selesa dan terang, namun hakikatnya tiada lagi Pas bersama Pakatan Harapan akan menjadikan gabungan itu lebih fokus menentang kebatilan serta tidak berdepan kekeliruan.

Pakatan Harapan yang disertai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu kini boleh bergerak tanpa menoleh ke balakang lagi dengan fokus utama untuk menyelamatkan negara daripada kepimpinan Najib yang merosakkan negara sehingga di dunia sekarang ini hanya Malaysia di bawah kepimpinnanya satu-satunya negara yang dicop sebagai kleptokrasi gaya pentadbirannya.

Pas sudah boleh dianggap secara rasmi sebagai sekutu UMNO, walaupun mereka juga menyanyikan lagu untuk mengalahkan UMNO dan BN. Dalam hal ini, Pas bukan saja menipu rakyat, malah sedang menipu diri mereka sendiri kerana dengan hanya bertanding 80 kerusi, tentulah mustahil sebarang perubahan kerajaan dapat dilakukan.

Di 80 kerusi yang Pas bertanding itu pula sebahagian besarnya adalah kerusi yang UMNO akan meletakkan calon mereka. Sekali lagi terbukti yang ingin sangat dibantu oleh Pas dalam pilihanraya akan datang hanyalah Najib dan UMNO.

Dengan mengatakan Bersatu sebagai parti yang celaru, Hadi seolah-olah tidak nampak bahawa Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB dan mendatangkan banyak beban kepada rakyat sebagai sasaran yang lebih utama dalam sebuah pertandingan, apa lagi kalau mahu dikata perjuangan.

Tiadanya Pas dalam Pakatan Harapan tidak bermakna rakyat, malah ahli dan penyokong parti itu tidak bersama dalam gerakan mahu menumbangkan Najib, UMNO dan BN. Tiada cara lain untuk Najib dapat disingkirkan selain dengan UMNO dan BN dikalahkan terlebih dahulu.

Rakyat hakikatnya hanya ada satu pilihan - mengekalkan Najib atau menumbangkannya. Memberi undi kepada BN atau kepada Pas yang tidak mungkin dapat membentuk kerajaan, akan dilihat sebagai sama saja tujuannya.

Pilihan untuk melihat kejatuhan Najib dan negara dapat dipulihkan, malah GST dapat dihapuskan seperti yang disebut oleh beberapa mufti dalam sehari dua ini sebagai haram, hanya mampu menjadi kenyataan melalui kuasa diberikan kepada Pakatan Harapan.

Untuk itu, selain ahli dan penyokong PKR, DAP, Amanah serta Bersatu akan konsisten, bahkan tidak berubah daripada memberikan undi mereka kepada Pakatan Harapan, sokongan gabungan itu akan turut diperolehi daripada ahli dan penyokong UMNO serta Pas.

Di dalam Pakatan Harapan, tidak ada ahli serta penyokong PKR, DAP, Amanah dan Bersatu yang teringin mahu melihat Najib kekal berkuasa lagi,  tetapi di dalam UMNO dan Pas, masih ramai, bahkan tidak mustahil lebih bertambah mereka yang menyampah terhadap Najib.

Keputusan Pas dengan menyerlahkan secara jelas di mana beradanya ia sekarang ini akan lebih memudahkan pengundi membuat pilihan. Sebab itu, keputusan terbaru Pas ini harus diucapkan dengan lafaz Alhamdulillah dan rasa penuh kesyukuran.

Pas membuka laluan lebih terang untuk Najib menuju dunia persaraan. (ShahbudinHusin 01/05/2017).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...