Saturday, 28 November 2015

ALAMAK...AYAM PUN TAK MAKAN DEDAK DAH SEKARANG INI!!

Tulisan kali ini ingin lari seketika daripada isu politik dan hal ehwal semasa negara, namun mengenai penemuan baru dalam dunia keusahawanan yang seperti ada kaitan juga dengan perbualan semasa dalam negara sejak kebelakangan ini.

Pernahkah kita mendengar ayam makan rumput?

Kita tahu ayam selalunya diberi makan dedak, jagung atau nasi, bagaimanapun barangkali asing kedengarannya bila ayam diberi makan rumput.

Ehh, kalau ayam tak makan dedak, siapa pula yang  makan dedak sekarang ini?

Tetapi inilah kelainan yang ditampilkan oleh dua usahawan ayam kampung organik, Puan Lily dan rakan kongsinya Norazura yang mengusahakan ladang ternakan "Republik Ayam Kampung" di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Ayam-ayam kampung peliharaannya lebih banyak diberi makan rumput berbanding dedak. Rumput yang diberi makan itu dikenali dengan nama saintifiknya Asystasia L, tetapi di kalangan orang kampung ia juga selalu disebut sebagai "rumput Israel" atau kadang-kadang turut dikenali sebagai "kangkung darat".

Rumput ini banyak tumbuh di hutan atau di ladang-ladang dan apabila mula membiak ia akan menjadikan rumput-rumput lain tidak berupaya hidup kerana cengkaman "penjajahannya". Maka itulah ia lebih sinonim dikaitkan dengan Israel.

Oleh yang demikian, mendapatkan rumput tersebut bukanlah menjadi masalah sebenarnya, lantaran ia memang mudah diperolehi di mana-mana.

Meskipun demikian, rumput tersebut didapati mengandungi beberapa zat yang sesuai sebagai pemakanan ayam. Dengan memakan rumput tersebut, ayam-ayam peliharaan di "Republik Ayam Kampung" hanya memakan dedak atau jagung sekitar 30 peratus saja.

Puan Lily dan Norazura bukan saja melakukan jualan ayam kampung kampungnya dengan melantik beberapa kedai dan peniaga persendirian sebagai wakil jualannya atau secara dalam talian, bahkan juga sedia menerima tempahan untuk majlis-majlis keraian atau kenduri kendara.

Ayam-ayam yang dijualnya bukan saja dalam bentuk siap proses, bahkan juga ada yang sudah dirempah dan hanya perlu digoreng saja lagi sebaik membelinya.

Kalau ada yang teringin dengan kelainan rasa ayam kampung makan rumput, bukan makan dedak, bolehlah menghubungi nombor telefon yang tertera dalam poster di atas untuk mencubanya. (SH 28/11/2015).

Seorang pekerja di ladang ternakan Republik Ayam Kampung sedang memberi makan ayam-ayam kampung dengan rumput Israel.

Inilah rupa rumput Israel atau kangkung darat yang rupa-rupanya boleh dijadikan pengganti dedak untuk makanan ayam.

Ayam kampung yang sudah siap diproses dan dirempah untuk kemudahan pengguna membeli dan kemudian terus saja menggorengnya.

Friday, 27 November 2015

LIMA TAHUN BUKANNYA LAMA

Melihat kepada pelbagai kerosakan yang telah dilakukan oleh Najib Razak dalam memimpin negara selama ini, barangkali ramai yang tiada masalah untuk bersetuju dengan pandangan terbaru Tun Mahathir Mohamad bahawa tidak ada parti yang harus memerintah untuk selama-lamanya dalam sebuah negara demokrasi.

Ini kerana jika BN terus berkuasa dan dalam masa yang sama Najib kekal lagi sebagai Perdana Menteri, kemungkinan lebih banyak kerosakan tentu saja sukar untuk dielakkan. Menteri-menteri yang tidak berguna juga akan berterusan "membodohkan"  kita semua.

Akhirnya semua orang makan hati, sakit hati, terbakar hati dan hancur hati. Tiada kegembiraan lagi dalam negara ini.

Lalu, untuk mengelakkan lebih ramai sengsara jiwanya, jika Najib berdegil juga untuk bertahan sehingga PRU 14 nanti, pilihan yang ditunjukkan melalui kenyataan Tun Mahathir iaitu memberi peluang kepada parti lain selain BN menerajui negara pula haruslah dijadikan kenyataan.

Bagi Tun Mahathir, demokrasi yang baik ialah sistem dua parti di mana pembangkang cukup kuat untuk mengambil alih kerajaan serta menawarkan alternatif kepada rakyat. 

Dalam konteks itu, kiranya parti baru gagal membawa khabar gembira kepada rakyat,  menukarnya adalah lebih mudah dan memilih semula BN yang ketika itu tentunya bukan lagi dipimpin Najib, dalam pilihanraya seterusnya. 

Lagi pula,  lima tahun bukannya lama.

Tetapi jika di ketika Najib yang paling bermasalah ini pun BN dikekalkan juga, bermakna lebih banyak masa diperlukan lagi untuk memberi kesedaran kepada rakyat agar berani melakukan perubahan yang diharapkan itu.

Dalam PRU 13, keinginan rakyat untuk berubah hakikatnya telah terpamer melalui 52 peratus undi popular yang menolak BN, cuma sistem pilihanraya ala British yang kita amalkan saja sebagai penyelamatnya.

Untuk pilihanraya akan datang, peratusan undi popular itu mungkin perlu ditingkatkan kepada 60 atau 65 peratus agar perubahan yang menjadi dambaan benar-benar menjadi kenyataan.

Lagi pula dengan menjadikan kerajaan boleh ditukar ganti, mesejnya ialah rakyatlah paling berkuasa dalam negara ini, manakala pemimpin hanyalah alat semata-mata. (SH 27/11/2015)

DI SEBALIK KELUHAN AKAR UMBI, APA KATA JIKA NAJIB DAN MUHYIDDIN SAMA2 UNDUR DIRI?


Berbual dengan kawan-kawan lama yang menjadi pemimpin UMNO di peringkat  bahagian dan cawangan kadang-kadang menyerlahkan hakikat sebenar kedudukan parti itu di peringkat akar umbi dan beban yang sedang mereka hadapi.

Jika pemimpin bahagian dan cawangan itu jenis yang kritikal, lantang bersuara dan tidak terlalu taksub kepada pemimpin, luahan hati mereka mungkin boleh diketahui ke mana arahnya serta lebih terbuka sifatnya.

Kalau pun mereka itu tidak termasuk dalam golongan yang berani menyatakan pendirian sebagaimana beberapa Ketua UMNO Cawangan yang secara terbuka mendesak Najib Razak meletakkan jawatan baru-baru ini, sekurang-kurangnya mereka tetap tidak takut mengatakan bahawa  masa depan UMNO agak sukar dan kelam dalam pilihanraya akan datang.

Tetapi tentu mengejutkan apabila pemimpin UMNO bahagian dan cawangan yang kerap mempertahankan parti serta pemimpin, bukan saja secara terbuka, malah juga melalui tulisan di laman sosial masing-masing, rupa-rupanya turut mempunyai sisi berbezanya.

Ramai rakan-rakan dalam UMNO yang saya temui dan berbual sambil minum kopi dengan mereka, malah sebahagiannya yang kerap menonjol dengan sokongan terbuka,  rata-ratanya juga tidak yakin lagi UMNO ada masa depan dalam pilihanraya akan datang selagi Najib Razak masih mengetuai parti dan kerajaan.

Kata mereka, isu yang terlampau sarat membeliti Najib dan sesetengahnya tergantung tanpa jawapan, adalah persoalan yang menyukarkan mereka untuk berhadapan dengan pengundi untuk meyakinkan mereka agar terus memilih BN.

Hampir keseluruhan rakan-rakan saya dalam UMNO percaya, harapan untuk menang itu hanya akan menjadi lebih baik sekiranya Najib sedia mengundurkan dirinya.

Dengan Najib terus kekal, bagi mereka, ia adalah suatu hakikat yang menyusahkan mereka di peringkat akar umbi untuk menjalankan tugas demi menyelamatkan parti.

Bahkan oleh kerana Perdana Menteri nampaknya terus berdegil untuk bertahan dan tidak mahu melihat realiti sebenar, ada yang turut mengeluh, "sampai hati Najib menyusahkan kami."

Najib, kata mereka, dalam keadaan seperti sekarang, seharusnya mengutamakan parti daripada dirinya.

Dalam konteks ini, berbagai luahan perasaan kedengaran. Ada yang mengatakan Najib dan Muhyiddin harus mengundurkan diri secara serentak untuk memudahkan usaha  menyelamatkan parti yang kemudian akan diteruskan dengan pengambilalihan oleh pemimpin yang lebih muda.

Oleh kerana Najib dan Muhyiddin sudah menjadikan sokongan dan keadaan dalam UMNO berpecah, maka jalan terbaik ialah kedua-duanya perlu mengundurkan diri. 

Najib tentu tidak mahu berundur jika tempatnya diambil alih oleh Muhyiddin tetapi Muhyiddin mungkin tiada masalah untuk sama-sama berundur secara serentak dengan Najib demi untuk menyelamatkan UMNO. 

UMNO semua peringkat barangkali lebih terbuka dengan idea ini yang dilihat proses  "menang-menang"  untuk semua.

Susulannya, ada yang percaya gandingan Zahid Hamidi dan Hishammuddin, jika diberi peluang, mampu membawa kemenangan dalam pilihanraya akan datang, tetapi ramai pula yang tidak yakin dengan kemampuan Zahid Hamidi untuk mengemudi kejayaan.

Zahid, kata sesetengah daripada mereka, terlalu lemah dalam konteks rakyat keseluruhannya kerana sokongannya hanya berakar di kalangan ahli UMNO dan sekelompok kecil orang Melayu saja.

Lantaran itu, ada yang mencadangkan agar gandingan Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin diberi laluan segera untuk mengemudi parti dan negara menghadapi pilihanraya akan datang atas keyakinan kedua-duanya yang masih dalam kategori pemimpin muda, mampu menarik sokongan yang lebih baik di kalangan rakyat.

Bagaimanapun, Hishammuddin juga nampaknya menerima keyakinan yang berbelah bagi di kalangan sesetengah pemimpin akar umbi UMNO - ada yang yakin, ada yang ragu-ragu terutama kerana banyak masalah dan kelemahan dipamerkannya ketika menjadi Menteri Dalam Negeri tidak lama dahulu.

Hanya Khairy Jamaluddin kelihatan lebih ramai yang menaruh lebih keyakinan terhadapnya sebagai antara bintang harapan masa depan.

Pokok pangkalnya, jika UMNO dan BN ingin terus berkuasa, perubahan mesti dilakukan kerana Najib bukan lagi faktor pembawa kejayaan, sebaliknya lebih membawa keruntuhan.

Namun demikian, apa pun perubahan dalam kepimpinan UMNO dan negara sebelum pilihanraya akan datang, segala-galanya bergantung kepada Najib.

Jika Najib masih tidak sedia berundur di sebalik pelbagai beban yang diakibatkan olehnya, maka selagi itulah beliau akan terus menyusahkan parti serta pemimpin di peringkat akar umbi dan seterusnya menjadikan rakyat dan negara dalam ketidaktentuan . (SH 27/11/2015)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...