Thursday, 26 November 2015

LEBIH BAIK KU NAN LARANG SEKALI TUN M JANGAN PIJAK PWTC!!

Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor berkata,  UMNO masih mempertimbangkan sama ada mahu menjemput atau tidak bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menghadiri Perhimpunan Agung UMNO  (PAU 2015) tahun ini.

Sambil mengatakan perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat, Tengku Adnan juga mengatakan, "secara peribadi, saya rasa mungkin Tun Mahathir tidak akan datang. Sejak kebelakangan ini beliau kerap menghentam parti.

"Apa-apa pun kita tunggulah...nak jemput atau tidak," katanya lagi.

Soalnya, kenapa perlu nak dibincangkan lagi? Bukankah sudah tradisinya bekas-bekas pemimpin dijemput hadir?

Tidakkah Tun Mahathir bekas pemimpin kita yang banyak berjasa dan beliau berhak diberikan jemputan sebagai penghormatan kepadanya?

Apa yang mahu ditunggu lagi dan kemudian pandai-pandai  pula Tengku Adnan mengatakan Tun Mahathir mungkin tidak menghadirinya.

Sama ada hadir atau tidak, biarlah keputusan itu dibuat oleh Tun Mahathir dan bukan Tengku Adnan yang wajar membuat andaian awal mengenainya.

Tetapi begini sajalah - jika UMNO ingin mencipta satu lagi sejarah, sebagaimana sebelum ini telah mencipta sejarah baru dengan tidak membenarkan Muhyiddin Yassin merasmikan perhimpunan sayap-sayap, adalah lebih baik Tun Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO selama 22 tahun, tidak dijemput sama sekali untuk menghadiri PAU 2015 kali ini.

Tidak cukup dengan itu, UMNO juga perlu mengeluarkan arahan rasmi agar Tun Mahathir tidak dibenarkan langsung menjejakkan kakinya ke kawasan sekitar Dewan Merdeka, PWTC sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu antara 8 hingga 12 Disember.

Bahkan, semua pihak yang pernah mengkritik dan menghentam Najib juga jangan dijemput  dan dilarang sama menjejakkan ke PWTC.

Biarlah tahun ini mereka yang dalam kategori pembodek dan pengampu saja yang dijemput menghadirinya.

Baru PAU 2015 ini ada kelas!!

Tapi, jangan pula selepas ini Tengku Adnan buat pusingan U sekali lagi sepertimana tindakannya semalam berhubung mahu menjadikan PAU 2015 ini sebagai acara tertutup dan tidak dihadiri pihak media tetapi kemudian menafikan ada memberi kenyataan sebegitu. SH 26/11/2015).

MUHYIDDIN, SEKARANG BUKAN MASANYA UNTUK MERINTIH!!

Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin dijangka kembali daripada luar negara pada jam 4 petang hari ini (26 November) di KLIA. Hebahan mengenai kepulangannya telah tersebar luas sejak semalam meminta para penyokongnya beramai-ramai menyambut ketibaannya itu.

Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu yang memutuskan beliau tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri tahun ini, sebaliknya untuk pertama kali perasmian akan dilakukan oleh ketua sayap masing-masing.

Dalam kenyataan melalui laman Facebooknya semalam, walaupun menerima keputusan MT itu dengan hati terbuka serta menghormatinya, tetapi Muhyiddin tetap meluahkan rasa kesal dengan merintih, "apa dosa saya sehingga diperlakukan begini?"

"Apalah dosa yang saya lakukan terhadap UMNO sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada seorang timbalan presiden UMNO dinafikan kepada saya tahun ini?

"Atau adakah ada mereka yang cukup takut dengan apa yang saya akan ungkapkan di hadapan anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seorang pemimpin?" soalnya.

Walaupun dihalang, Muhyiddin dalam masa yang sama menyatakan akan terus bersuara dan tidak akan mengalah kerana tidak ada sesiapa yang dapat mendiamkan daripada menyatakan yang hak.

Sebagai pemimpin nombor dua dalam UMNO yang disingkirkan daripada kerajaan hanya kerana bertanya beberapa soalan berkaitan 1MDB dan derma yang diterima Najib, memang Muhyiddin berhak untuk terus bersuara, lebih-lebih lagi memandangkan isu tersebut masih menjadi perbualan di kalangan rakyat.

Tetapi, sekadar bercakap saja bahawa beliau akan terus bersuara dan tidak ada sesiapa mampu mendiamkannya, tentu saja tidak memadai.

Dalam suasana politik UMNO yang sedang gawat dan beliau sendiri tidak lagi dikehendaki oleh Najib, tetapi ramai di kalangan rakyat mengharapkan sesuatu perubahan dapat dilakukan dengan segera, sekadar bercakap dan memberi kenyataan media juga tidak lagi mencukupi.

Sekarang adalah masa untuk Muhyiddin bertindak, berjuang dan menyerang.  Kegagalannya hadir dalam mesyuarat MT 24 November lalu memang dikesali oleh sesetengah pihak kerana ia seolah-olah menunjukkan ketidakseriusannya dalam perjuangan.

Kalau pun beliau berada di penjuru dunia mana sekali pun, apakah tidak boleh mengambil penerbangan balik dengan segera untuk menghadiri mesyuarat itu?

Meskipun tarikhnya diawalkan daripada 27 kepada 24 November, tetapi perubahan tarikh itu sudah pun diketahui tiga atau empat hari sebelum itu.

Tanpa apa-apa jawatan lagi dalam kerajaan, apakah urusan di luar negara yang penting sangat sehingga tidak boleh ditinggalkan untuk menghadiri mesyuarat MT?

Bukankah jika Muhyiddin menghadiri mesyuarat MT tempohari, beliau dapat mempersoalkan secara berdepan dengan Najib berhubung tindakan tidak membenarkannya melakukan perasmian sayap-sayap itu?

Tentu tidak perlu lagi  merintih dengan menyebut, "apa dosa saya" semata-mata untuk meminta simpati. Sebagai orang lama dalam UMNO, Muhyiddin tentunya sedar bahawa perjuangan dalam politik adalah berkaitan kuasa dan sama ada "membunuh" atau "dibunuh."

Dalam politik, tidak ramai, malah mungkin tidak ada orang yang memikirkan dosa dan pahala. Semuanya hanyalah kuasa. Dosa dan pahala diri sendiri pun mereka lupa, apatah lagi untuk mengambil kira dosa dan pahala orang lain.

Untuk itu, Muhyiddin perlu berhenti merintih mengenai dosa, pahala atau mengungkit-ungkit mengenai sumbangan masa lalunya. Sejuta kali beliau menyebutnya pun belum tentu ada yang mengenangnya jika beliau masih teragak-agak untuk bertindak, hanya berani bercakap, masih selalu ke luar negara dan sesuka hati mengabaikan mesyuarat MT.

Di ketika ini, Muhyiddin juga perlu sedar sudah beratus-ratus pemimpin UMNO cawangan mulai bangun untuk menyelamatkan parti dan mendesak Najib yang dianggap sebagai liabaliti agar berundur dengan segera.

Perjuangan pemimpin akar umbi ini hendaklah disambut dan jangan dibiarkan begitu saja. Berhentilah sekadar mengeluarkan kenyataan media, tetapi jasad berada di luar negara.

Sekarang juga bukan masanya lagi untuk merintih dan memperlihatkan dirinya seolah-olah tidak berdosa dan teraniaya. Merintih dengan menyebut dosa dan sebagainya hanyalah sesuai di masjid atau surau tempatnya.

Sekarang adalah masa untuk memilih sama ada meneruskan perjuangan atau jika sayang dengan peluh dan keringat, berehat saja di rumah bersama keluarga. (SH 26/11/2015)

Wednesday, 25 November 2015

NAJIB KIAN KALUT, KENAPA HANYA NAIB PRESIDEN NO 1 DAN NO 3 JUMPA MEDIA? MANA NAIB PRESIDEN NO 2?

Kejanggalan demi kejanggalan dan kekalutan demi kekalutan terus berlaku dalam UMNO. Selagi Najib Razak yang penuh masalah berada di tempatnya, selagi itulah UMNO, bahkan negara terus menjadi bahan ketawa.

Mula-mula mesyuarat MT diadakan di Bangunan Parlimen dan kemudian Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin tidak dibenarkan merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri seperti kelazimannya. 

Tahun ini, hanya ketua sayap akan merasmikan perhimpunan masing-masing.

Selepas itu, diumumkan pula bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini akan diadakan secara tertutup dan petugas media yang membuat liputan turut dihadkan.  

Sebarang ucapan dan perbahasan tidak boleh lagi dilaporkan sebagaimana tahun-tahun sebelumnya dan perkara ini disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengatakan ia bertujuan mengelakkan banyak salah lapor oleh media.

Serentak dengan itu, beliau juga mengumumkan bahawa dua Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein akan mengadakan sidang akhbar setiap hari pada sebelah petangnya untuk menjelaskan mengenai perjalanan perhimpunan dan bersoal jawab dengan pihak media.

Kenapa tiba-tiba Najib dan UMNO takut dengan media sehingga walaupun PAU diadakan di Dewan Merdeka yang serba moden dan canggih, tetapi dengan menjadikannya tertutup seolah-olah ia sedang bersidang dalam gua saja keadaannya?

Kenapa dalam dunia langit terbuka, Najib mahu membawa UMNO semakin tertutup jadinya?

Bukankah semua akhbar arus perdana dan stesen televisyen  memihak kepada Najib dan UMNO?

Jika bimbang dengan salah lapor, mana perginya media arus perdana dan  segala macam blogger serta pengamal media sosial berbayar pro Najib yang dikhabarkan berlambak-lambak ramainya?

Kenapa dengan sokongan sekian banyak media, Najib dan UMNO masih takut dengan kemungkinan salah lapor, lalu menjadikan perhimpunan kali ini sebuah acara tertutup?

Tidak mampukah media pro Najib dan yang berada di bawah kawalannya menghadapi kemungkinan salah lapor itu?

Atau barangkali ada sesuatu yang ingin disembunyikan daripada terdedah kepada umum?

Selain itu, menjadi kelaziman juga pada setiap kali PAU diadakan, biasanya Presiden UMNO sendiri  bersama lain-lain pemimpin utamanya yang akan mengadakan sidang akhbar harian untuk menjawab isu-isu yang berbangkit dengan pihak media.

Tetapi, mengapa tahun ini Najib takut berhadapan dengan media, sebaliknya menyerahkan peranan itu kepada Zahid Hamidi dan Hishammuddin?

Mengapa tidak diserahkan saja kepada Muhyiddin berurusan dengan media jika Najib takut melakukannya? Kenapa sekali lagi Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO diketepikan juga?

Kalau mahu menyerahkan tugas itu kepada Naib Presiden UMNO pula, bukankah penyandang jawatan itu ada tiga iaitu Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussein? 

Berdasarkan undi diperolehi dalam pemilihan 2013, Zahid memperolehi undi tertinggi, diikuti Shafie tempat kedua dan Hishammuddin di tempat ketiga yang nyaris-nyaris kecundang dengan kelebihan 9 undi berbanding Mukhriz Mahathir.

Kenapa hanya Naib Presiden No 1 dan No 3 diberi peranan dalam sidang akhbar harian itu, manakala Naib Presiden No 2 diketepikan?

Alasan Tengku Adnan bahawa nama Shafie tidak dimasukkan kerana ketika keputusan tersebut dibuat semalam Naib Presiden UMNO itu tiada dalam mesyuarat, langsung tidak boleh diterima. 

Apakah ini merupakan satu lagi petanda bahawa dalam mesyuarat MT yang akan diadakan sehari sebelum PAU 2015 bermula nanti, Shafie bersama Muhyiddin akan diambil apa-apa tindakan yang menyekat sama sekali mereka daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan kali ini? (SH 25/11/2015).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...