Thursday, 4 September 2014

PKR Perlu Calonkan Azmin Secara Rasmi


PKR dilaporkan sudah menerima jawapan daripada Istana Selangor malam tadi berhubung pencalonan jawatan Menteri Besar bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Dalam jawapan yang diberikan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution malam tadi juga tetapi kemudiannya ditarik balik atas alasan ada beberapa maklumat lain perlu dimasukkan, sesuatu yang jelas ialah Sultan Selangor tetap mahukan PKR menamakan lebih daripada seorang calon untuk baginda membuat pilihan.

PKR dan DAP sebelum ini hanya mengemukakan satu nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail manakala Pas pula sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Mustaffa Ali akan mengemukakan dua nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat pada 17 Ogos lalu.

Jawapan daripada Istana yang dilapor mahukan PKR mengemukan dua nama memberi pelbagai maksud. Pertama, ia mungkin bererti baginda menolak Dr Wan Azizah dan mahukan calon lain. Kedua, mungkin Sultan belum menolak nama Dr Wan Azizah tetapi sekadar mahukan PKR mematuhi titah baginda sebelum ini yang mahukan setiap parti mengemukakan dua nama.

Hanya setelah titah baginda itu dipatuhi dan tidak seolah-olah memaksa dengan hanya mengemukakan satu nama, barulah pilihan akan dibuat dalam tempoh yang terdekat ini.

Siapa yang bakal terpilih terpulang kepada kebijaksanaan baginda. Ia mungkin Dr Wan Azizah dan mungkin juga Azmin.

Ini akhirnya terpulang kepada PKR sama ada mahu mematuhi titah baginda itu ataupun tetap berkeras juga dengan pencalonan nama Dr Wan Azizah. Tetapi risiko untuk PKR terus berkeras adalah tinggi kerana ia akan menyebabkan nama Dr Wan Azizah terus tidak diperkenankan untuk selama-lamanya.

Dengan PKR terus mencalonkan nama Dr Wan Azizah saja, ia mungkin pula membuatkan Sultan membubarkan DUN bagi diadakan pilihanraya negeri. Tetapi jika ditakdirkan PR terus menang dan kerusi Menteri Besar masih dikekalkan untuk PKR, masalah sama akan berulang kerana Sultan akan tetap menolak jika Dr Wan Azizah dicalonkan lagi.

Itu kalau menang, kalau PR kalah pula, semuanya melepas.

Oleh kerana dalam kenyataan Saifuddin yang ditarik balik itu dikatakan tidak menyatakan penolakan Sultan terhadap nama Dr Wan Azizah, adalah lebih baik PKR menamakan semula Presiden PKR itu sebagai pilihan pertama dan diikuti dengan Azmin Ali ssbagai pilihan kedua.


Yang penting, titah Sultan dipatuhi.

Walaupun Pas juga dilaporkan mencalonkan Dr Wan Azizah dan Azmin Ali yang secara teorinya sudah membolehkan Sultan membuat pilihan kerana ada lebih dua nama dikemukakan, tetapi jelas di sini bahawa Sultan Selangor ingin melihat pencalonan yang sama datangnya daripada PKR kerana menyedari parti-parti gabungan dalam PR telah menyerahkan kerusi Menteri Besar ini kepada parti itu.

Mungkin bagi Sultan Selangor, nama Azmin yang dicalonkan oleh Pas itu tidak memadai, melainkan jika PKR juga mencalonkan sama namanya, sesuai dengan jawatan Menteri Besar itu milik PKR. Oleh itu, adalah perlu PKR mengemukakan dua nama itu secara rasmi bagi membolehkan baginda membuat pilihan.

Sebab itulah surat daripada Istana Selangor malam tadi hanya dihantar ke pejabat PKR, tidak ke pejabat Pas dan DAP. Pencalonan dua nama oleh Pas barangkali sudah mencukupi manakala pendirian DAP yang hanya mencalonkan nama Dr Wan Azizah saja dianggap tidak menjejaskan apa-apa.

Sultan Selangor nampaknya masih menghormati PKR dalam soal perlantikan Menteri Besar ini dan kini terpulang kepada PKR menghormati baginda pula. (SH 04/09/2014)

Tuesday, 2 September 2014

Jangan Susah Hati Lagi - Kalau Bukan Wan Azizah, Azminlah MB Selangor Yang Baru


Esok 3hb September adalah tarikh akhir bagi PKR, DAP dan Pas mengemukakan nama-nama calon bagi mengisi jawatan Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid Ibrahim yang perletakan jawatannya ditangguhkan buat sementara waktu oleh Sultan Selangor pada minggu lalu.

Ketika Khalid menyerahkan surat perletakan jawatannnya, Sultan Selangor menangguhkan untuk menerimanya sehingga pengganti yang baru dilantik.

Sultan Selangor ketika itu telah meminta parti-parti gabungan dalam PR iaitu PKR, DAP dan Pas agar mengemukakan lebih daripada dua daripada setiap parti bagi memudahkan baginda membuat pilihan.

PKR dan DAP bagaimanapun bertegas untuk mengemukakan hanya satu nama iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar sebagaimana yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR. Pas pula, sebagaimana dipetik daripada kenyataan Setiausaha Agungnya, Mustaffa Ali bahawa parti itu akan menghantar dua nama sebagaimana yang telah dipersetujui dalam mesyuaratnya pada 17 Ogos lalu.

Nama-mana tersebut ialah Dr Wan Azizah dan Azmin Ali. Ini bermakna Pas tidak akur dengan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan PR, sebaliknya mahu mematuhi keputusan mesyuaratnya sendiri.

Kiranya tiada perubahan menjelang tarikh tutupnya esok, bermakna akan ada dua nama yang menjadi pertimbangan Sultan Selangor untuk dipilih sebagai Menteri Besar. PKR dan DAP pula sudah pun menghantar nama Dr Wan Azizah kepada Istana Selangor lebih awal daripada tarikh tutup 3hb September itu.

Walaupun pendirian Pas ini tidak disenangi oleh PKR dan DAP yang turut mahukan parti itu mengemukakan satu nama saja, tetapi sekurang-kurangnya penyelesaian kepada kemelut ini sudah ada menuju jalan penyelesaiannya. PKR dan DAP terima sajalah pendirian Pas itu dengan lapang dada walaupun mungkin terasa sakit di hati kerana tidak mahu sehati sejiwa dan selenggang sehayun dengan mereka.

Dengan hanya dua nama yang ada dalam pertimbangan Sultan Selangor, kalau bukan Dr Wan Azizah, tentulah Azmin yang menjadi pilihan baginda. Tidak mungkin baginda memilih nama lain selain daripada itu atau nama yang tidak dikemukakan oleh mana-mana pihak.

Oleh kerana isu ini sudah berlarutan begitu lama, rasanya eloklah PKR dan PR berlapang dada saja siapa yang bakal dipilih oleh Sultan nanti.

Kalau Dr Wan Azizah yang dipilih, bersyukurlah. Kalau Azmin pula yang dipilih, bersyukurlah juga kerana calonnya masih daripada PKR.

Walaupun wujud pelbagai tafsiran mengenai kuasa Sultan serta sistem Raja Berperlembagaan sebelum ini serta Azmin juga sudah menolak pencalonan yang dibuat oleh Pas, sudah tentulah Azmin tidak mampu berbuat apa-apa jika akhirnya nama beliau yang dipilih oleh baginda.

Beliau kena akur dengan kehendak Sultan dan PR juga harus patuh dengannya. Tidak perlu memanjangkan lagi isu ini selepas pilihan dibuat oleh Sultan. Lagi pula rakyat Selangor juga mahu melupakan isu ini dan mahukan PR terus memandang ke hadapan sebagaimana mandat yang diberikan dalam pilihanraya umum lalu.

Apa yang rakyat mahukan ialah PR terus memberi khidmat yang terbaik dan menunaikan sebaik mungkin janji-janji yang dibuat dahulu. Itulah yang harus menjadi keutamaan PR sebaik saja Menteri Besar baru dilantik nanti. (SH 02/09/2014)

Monday, 1 September 2014

KJ Ketua Yang Gagal, Kemelut Pemuda UMNO Pahang Makin Panas


Musim mesyuarat perwakilan peringkat bahagian yang sedang berlangsung sekarang menyaksikan masalah yang melanda Pemuda UMNO Negeri Pahang masih berpanjangan tanpa penyelesaian. Pemuda UMNO Malaysia yang sepatutnya memainkan peranan menyelesaikan isu ini masih berdiam diri dan berpeluk tubuh tanpa sebarang usaha yang meyakinkan mahu menyelesaikan isu tersebut.

Walaupun Pemuda UMNO Malaysia yang dipimpin oleh Khairy Jamaluddin menyedari bahawa kemelut ini mungkin menjejaskan nama baik Perdana Manteri, Najib Razak yang tapak politiknya adalah Pahang tetapi mereka masih berdiam diri untuk mendamaikan isu yang sudah lama berlarutan ini.

Jika dulu Kumpulan 11 yang dianggotai oleh 11 Ketua-ketua Pemuda Bahagian hanya memprotes perlantikan Ketua Pemuda UMNO negeri, Shahruddin Ahmad yang dilantik oleh KJ melalui sidang akhbar dan pertemuan sesama mereka saja, namun kini ianya sudah dibawa ke peringkat akar umbi pula.

Beberapa Pemuda UMNO bahagian yang sudah mengadakan mesyuarat perwakilannya sehingga semalam meluluskan usul sebulat suara hilang kepercayaan serta menolak perlantikan Shahrudin yang dibuat oleh KJ itu. Antara bahagian yang meluluskan usul itu ialah Temerloh, Paya Besar, Indera Mahkota, Kuantan, Raub manakala mesyuarat Pemuda Pekan yang tidak dihadiri oleh Shahrudin turut meluluskan usul yang sama.

Pemuda bahagian Bera dan Kuala Krau pula mempertikaikan Pemuda UMNO negeri kerana gagal mengadakan mesyuaratnya sejak hampir setahun yang lalu manakala Ketua Pemuda Cameron Highland mengambil pendirian tidak mahu menghadiri mesyuarat dan memboikotnya selagi kemelut ini tidak diselesaikan.

Selain mengemukakan usul menolak perlantikan dan hilang kepercayaan kepada Ketua Pemuda negeri serta menuntut Pemuda UMNO Malaysia turun padang menyelesailan isu ini, terdapat juga Pemuda UMNO bahagian yang meluluskan usul hilang kepercayaan kepada KJ sendiri sepertimana yang diluluskan oleh Pemuda Indera Mahkota.

Yang lebih menarik dan merupakan tamparan kepada KJ ialah mesyuarat Pemuda Pekan yang dipimpin oleh Shahruddin Ahmad, Ketua Pemuda Pahang yang dipertikaikan itu, turut juga meluluskan usul menolak kepimpinannya. Shahruddin bagaimanapun tidak hadir dalam mesyuarat yang meluluskan usul itu secara sebulat suara.

Dalam masa yang sama, semua Pemuda UMNO Bahagian di Pahang, kecuali Bentong dan Lipis, turut memuntut pembelaan dan mempersoalkan kesalahan teknikal dan penggantungan yang dikenakan terhadap Ketua Pemuda Indera Mahkota, Mohamad Faiz Hashim dan Ketua Pemuda Maran, Saiful Anuar Mokhtar tanpa sebab yang kukuh kecuali hanya disebabkan kelantangan mempertikaikan kepimpinan KJ.

Dengan senario yang berlaku dalam mesyuarat Pemuda UMNO Pahang ini, bukan saja kemelutnya berterusan tanpa ada usaha di peringkat pimpinan Pemuda Malaysia mencari jalan penyelesaian, bahkan juga memperlihatkan kegagalan KJ sebagai ketua menangani masalah yang timbul.

Sejak hampir setahun lalu, meskipun menyedari ada bantahan daripada kumpulan majoriti terhadap Ketua Pemuda Negeri yang dilantiknya dan Pemuda negeri Pahang sendiri gagal mengadakan mesyuarat serta menubuhkan jawatankuasanya, KJ hanya berdiam diri dan membiarkan saja masalah itu terus berlaku.

Malah sebagai usaha menakut-nakutkan dan memberi amaran, dua Ketua Pemuda bahagian telah digantung keahlian tanpa diberitahu apa kesalahan mereka, tanpa bela diri dan tanpa sebarang perbicaraan.

Kegagalan menangani masalah yang melanda Pemuda UMNO Pahang yang kini sudah menjadi topik yang semakin merata di peringkat akar umbi negeri itu, apa pun helah dan alasan daripada mencari penyelesaian mengenainya, adalah satu lagi bukti kegagalan KJ sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Bersama deretan isu lain yang sudah banyak diperkatakan sebelum ini, KJ adalah pemimpin yang gagal sebenarnya. (SH 01/09/2014)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...