Monday, 4 August 2014
Sebelum Jadi Kupang Tembaga, Undurlah Lid...
Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim kini nampaknya sedang diasak daripada segenap penjuru agar sedia melepaskan jawatannya bagi membolehkan penggantiannya dengan Dr Wah Azizah Wan Ismail menjadi kenyataan. Beliau yang sebelum ini agak berdegil tidak mahu meletakkan jawatan, lebih-lebih lagi setelah mendapat sokongan moral daripada Pas, semakin terperosok ke dinding akibat serangan terbuka daripada partinya sendiri.
PKR yang semakin terdesak untuk memastikan Khalid akhirnya sedia meletakkan jawatan, hari ini telah mengambil langkah yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana parti sebelum ini apabila Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution membangkitkan tentang intergriti dan masalah disiplin yang dihadapi oleh Menteri Besar Selangor itu.
Intergriti Khalid dipersoalkan berhubung penjualan tanah kerajaan negeri dan pemberian kontrak kepada sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengannya. Selain itu, isu hutangnya bernilai RM70 juta dengan sebuah bank yang turut didakwa sudah selesai, dikaitkan secara langsung dengan penjualan tanah dan pemberian kontrak itu.
Isu disiplin yang dikaitkan dengannya pula ialah kehadirannya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PKR yang sangat mengecewakan iaitu daripada hanya 42 kali daripada 136 mesyuarat sejak PR memerintah Selangor.
Meskipun Khalid menafikan dakwaan berkaitan rasuah dan penyelesaiannya hutangnya itu, sambil meminta agar dilaporkan kepada SPRM dan Bank Negara, hakikatnya Khalid kini sedang berdepan permusuhan terbuka daripada partinya sendiri. Sebarang penafian, laporan kepada SPRM dan Bank Negara sudah tidak membawa banyak makna lagi kerana cerita mengenainya sudah pun tersebar ke seluruh pelusuk negeri. Orang lebih cenderung mempercayai cerita ini daripada mendengar penafiannya.
Oleh kerana Saifuddin selaku Setiausaha Agung sudah membangkitkan isu intergriti dan disiplin ini secara terbuka, adalah jelas bahawa pendedahan ini direstui oleh PKR dan seluruh pimpinannya. Tidak guna lagi Khalid mahu mempertahankan dirinya kerana apabila beliau berlawan dengan organisasi, ruang untuknya menang sangat tipis.
Selain namanya sudah mulai tercemar, kegagalannya hadir dalam banyak mesyuarat parti juga menunjukkan beliau bukanlah pendokong parti yang sejati dan barangkali ada keghairahan lain yang lebih menggamitnya berbanding memperjuangkan parti. Lagi pula, tiada cemerlangnya sebagai pemimpin kalau kehadiran dalam mesyuarat sebegitu rupa.
Dalam masa yang sama, sudah timbul juga kemungkinan ura-ura beliau bakal dipecat jika terus berdegil tidak mahu mengundurkan diri sebagaimana yang dikehendaki oleh parti. Sebenarnya PKR boleh saja memecat Khalid atas pelbagai dakwaan seperti ingkar arahan parti berikutan keengganannya berundur itu.
Jika sampai dipecat akhirnya, ia tentulah lebih memalukan Khalid. Reputasi dan nama baiknya akan hancur sama sekali. Haji Hadi dan Pas yang selama ini mempertahankannya pun sudah tiada ruang lagi untuk membelanya. Kiranya bukan lagi menjadi ahli PKR, sudah tentulah Pas akan bersetuju tempatnya itu digantikan oleh Dr Wan Azizah.
Pas tentulah lebih mengutamakan parti berbanding individu dan sokongan yang diberikan oleh Haji Hadi sebelum ini pun adalah bersandarkan jika beliau masih ahli PKR.
UMNO yang selama ini berdiri teguh bersamanya juga akan turut hilang entah ke mana kerana ketika itu beliau sudah tidak bermanfaat apa-apa lagi. UMNO sedar bahawa kerjasama dengan Khalid seorang diri tidak mampu menghasilkan apa-apa.
Apa yang UMNO dan Kerajaan Pusat kehendaki iaitu MOU mengenai air dan pembinaan Projek Langat 2 sudah pun diperolehi dan ketika ini ia sudah memadai bagi mereka.
Di ketika yang sama, desakan pelbagai pihak agar Khalid berundur juga semakin kuat dan menyeluruh gemanya. Jika dulu hanya melibatkan orang-orang politik daripada PKR dan DAP, kini sudah ada ketua-ketua kampung juga yang tampil mendesaknya agar berundur.
Jika dibiarkan masa berlalu, mungkin lebih banyak kelompok dalam masyarakat seperti JKKK, penghulu, ketua kampung pencen, suri rumah, penghuni setinggan, penganggur dan sebagainya turut berani dan mengambil kesempatan menonjolkan diri mendesaknya turut berundur sama. Lebih haru jadinya nanti...
Semakin lama Khalid berdegil tidak mahu berundur, nilai dirinya semakin tidak berharga lagi. Sudah banyak kali diperingatkan bahawa beliau sepatutnya sedar bahawa dirinya secara individu tidak mampu melonjakkannya ke jawatan Menteri Besar Selangor, sebaliknya partilah yang meletakkannya di situ. Oleh itu, apabila parti menghendakinya berundur, beliau hendaklah akur tanpa banyak alasan.
Khalid kini sudah mula mendapat jawapan akibat sikap degilnya itu. Dengan PKR sendiri membangkitkan soal intergriti dan disiplin serta kemungkinan akan dipecat jika terus menunjukkan keras hati, Khalid mungkin akan terbiar keseorangan akhirnya.
Jika dipecat, setelah nama dan reputasinya dijejaskan dengan teruk, tiada siapa lagi yang akan sudi berdamping dengannya. Membubarkan DUN Selangor juga mungkin sudah terlambat kerana tiada sesiapa lagi berdiri di belakangnya. UMNO juga akan melihatnya sebagai menyusahkan kerana ketika ini UMNO tiada potensi untuk menang jika pilihanraya negeri diadakan.
UMNO Selangor yang baru kalah teruk dalam pilihanraya lalu, lebih bersedia bertarung semula dalam pilihanraya 2018 berbanding pilihanraya mengejut. Jika kalah lagi dalam pilihanraya mengejut, UMNO Selangor tiada peluang untuk bangkit lagi. Oleh itu, sambil memulihkan semangatnya, UMNO lebih suka menunggu saja pilihanraya umum nanti berbanding pilihanraya negeri secara mengejut.
Sebelum terasak lebih rapat ke dinding, didedahkan dengan macam-macam isu yang memalukan dan akhirnya menjadi kupang tembaga - tidak bernilai walau sesen pun di mata masyarakat, adalah lebih baik Khalid berundur secara baik dan terhormat. Sekurang-kurang namanya akan dikenang dan disebut juga sekali-sekala. (SH 04/08/2014)
Saturday, 2 August 2014
Kalau Najib Boleh Jinakkan Ketua Pemberontak Ukraine, Malulah Anwar Tak Boleh Lembutkan Hati Hadi Awang
Dalam perkembangan terbaru untuk memuaskan hati semua pihak berhubung kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor, PKR dikhabarkan sedang berusaha mencari calon alternatif kepada Dr Wan Azizah Wan Azizah yang sebelumnya sudah diputuskan untuk mengambil alih tempat Khalid Ibrahim itu.
Menurut berita yang disiarkan dalam Malaysian Insider, seorang ADUN PKR telah dikenalpasti sebagai calon alternatif itu, namun ia hanya akan didedahkan setelah konsensus antara Pas, PKR dan DAP dicapai.
Sebagaimana yang didedahkan oleh salah seorang pemimpin tertinggi PKR, calon tersebut bukanlah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kerana Pas memang sudah menolak pencalonan beliau sebagai pengganti Khalid sejak awal lagi.
Dalam usaha menggantikan Khalid Ibrahim sebagai meneruskan Langkah Kajang dan memburu cita-cita menawan Putrajaya menjadi kenyataan, Anwar Ibrahim pada minggu lalu telah memutuskan bahawa PKR bersetuju mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid.
Bagaimanapun, belum pun persetujuan dicapai antara Pas, PKR dan DAP berhubung pertukaran itu, Presiden Pas, Haji Hadi Awang membuat kenyataan mahu Khalid Ibrahim terus dikekalkan atas alasan tiada pengkhianatan kepada rakyat yang telah dilakukannya sepanjang enam tahun memimpin negeri Selangor.
Tindakan Haji Hadi mengeluarkan kenyataan berbentuk peribadi itu lantas mencetuskan polemik dan kekalutan, bukan saja dalam Pas tetapi juga dalam PR kerana Pas sepatutnya memutuskan sama ada bersetuju atau tidak dengan penggantian Khalid Ibrahim dalam mesyuaratnya pada 10 Ogos depan.
Walaupun PKR dan DAP konsisten bersetuju dengan pertukaran Khalid, Pas nampaknya berbelah-bagi mengenainya.
Perkhabaran mengenai calon alternatif ini dipercayai untuk memuaskan hati pihak tertentu dalam Pas yang tidak bersetuju dengan perlantikan Dr Wan Azizah atas alasan beliau seorang wanita dan isteri kepada Anwar Ibrahim, sedangkan PKR tetap mahukan menukar Khalid Ibrahim.
Bagaimanapun, jika Anwar bersetuju dengan calon alternatif ini ia adalah sesuatu yang memalukan Anwar dan PKR sendiri. Memandangkan Anwar sudah membuat pengumuman bahawa Dr Wan Azizah adalah pengganti Khalid, hasrat itu seharusnya diteruskan tanpa tunduk kepada kehendak pihak lain.
Kiranya bukan Dr Wan Azizah yang akhirnya dipilih menggantikan Khalid, bukan saja saja Langkah Kajang sudah menjadi sumbang, malah lebih teruk lagi ialah ia menjejaskan wibawa Anwar selaku Pengerusi Majlis Pimpinan PR serta bakal Perdana Menteri Malaysia.
Anwar akan dilihat tidak lagi berwibawa kerana terpaksa tunduk kepada kehendak serta kemahuan Pas sedangkan kerusi Menteri Besar Selangor sudah dipersetujui selepas pilihanraya lalu adalah menjadi milik PKR. Setiausaha Agung Pas, Mustaffa Ali sendiri memberi pengakuan bahawa parti itu tidak akan menuntut kerusi yang sudah dipersetujui menjadi milik PKR.
Dalam apa keadaan sekali pun, Anwar bukan saja perlu meyakinkan Pas dan Haji Hadi mengenai pertukaran Khalid, bahkan mesti juga meyakinkan bahawa penggantinya adalah Dr Wan Azizah. Jika calon selain daripada itu, ia adalah kegagalan Anwar.
Sudahlah Pas sebelum ini menolak Azmin Ali, kini ia menolak pula Dr Wan Azizah. Jika dua kali Anwar dan PKR tunduk kepada Pas, kepimpinannya sudah tidak bernilai lagi.
Jika beliau gagal meyakinkan Pas dan Haji Hadi, keyakinan rakyat terhadap kemampuannya sebagai bakal Perdana Menteri juga akan terhakis dengan sendirinya.
Tambahan pula, dalam tragedi MH17 yang baru saja berlaku, Perdana Menteri, Najib Razak telah menunjukkan kejayaan berunding dengan ketua pemberontak Ukraine, Aleksander Borodai mengenai penyerahan kotak hitam, penyerahan mayat kepada kerajaan Belanda untuk pengasingan dan forensik serta akses yang selamat bagi pasukan penyiasat ke tapak kejadian.
Kejayaan Najib berunding telah menaikkan namanya di mata dunia, sedangkan Aleksander adalah ketua pemberontak yang diketahui bersikap ganas dan jarang tunduk kepada kemahuan pihak lain.
Kiranya di ketika Najib berjaya menghasilkan kejayaan berunding dengan seorang ketua pemberontak yang diketahui ganas dan keras tetapi Anwar pula masih terkial-kial untuk melembutkan hati Haji Hadi yang merupakan rakan gabungannya sendiri dalam PR, ia adalah kegagalan paling nyata sekali dari segi kepimpinannya.
Untuk meyakinkan rakyat terhadap kemampuannya sebagai bakal Perdana Menteri dan pembawa agenda perubahan untuk negara, Anwar mesti melembutkan hati Pas dan Haji Hadi serta akhirnya dapat menerima sebulat suara pencalonan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Bertolak ansur bukan lagi pilihan. Jika tidak, lupakanlah Putrajaya. (SH 02/08/2014)
Friday, 1 August 2014
Hadi Awang Bakal Buat Pusingan U?
Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pada 10 Ogos ini tentunya paling menjadi perhatian. Ini kerana ia akan menentukan sama ada Pas menyokong atau menentang hasrat PKR menukar Khalid Ibrahim dengan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.
Beberapa hari sebelum ini, Presiden Pas, Haji Hadi Awang telah mengeluarkan kenyataan peribadinya agar Khalid terus dikekalkan atas alasan tiada apa-apa pengkhianatan terhadap rakyat yang dilakukan oleh Menteri Besar Selangor itu sepanjang lebih enam tahun perkhidmatannya.
Bagaimanapun kenyataan itu telah menimbulkan kekecohan dan kekalutan, bukan saja dalam Pas tetapi juga dalam PR sendiri. Di dalam Pas, jelas terlihat pertembungan antara golongan ulama yang menyokong kenyataan Haji Hadi itu dengan golongan profesional yang juga kerap disebut sebagai kumpulan Anwarinas yang tetap mahu Khalid digantikan dan menyifatkan kenyataan Haji Hadi itu hanyalah pendapat peribadi saja.
Di dalam PR pula, PKR dan DAP yang sudah lama tidak senang dengan Khalid kerana kepimpinan ala korporat dan menidakkan muafakat yang diamalkan sejak kebelakangan ini serta mahu Dr Wan Azizah segera mengambil alih sebagai ketua kerajaan negeri Selangor, bagaikan tidak percaya dengan kenyataan Haji Hadi itu dan mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripadanya.
Ekoran itu, terbocor pula tulisan di whatsapp oleh seorang AJK Pas Pusat dan Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki yang bukan saja menyokong kenyataan Haji Hadi, malah membayangkan akan wujudnya kerajaan negeri yang baru di Selangor melalui kerjasama antara Pas, UMNO dan Khalid.
Tulisan itu yang disertai dengan komen bersifat perkauman dan anti gereja telah menyemarakkan lagi perbalahan dalam Pas dan juga PR. Tuduh-menuduh dan saling berbalas kenyataan kian panas sehingga bukan saja Dr Zuhdi yang menjadi kecaman, malah Pas juga dianggap bukan lagi rakan yang betul-betul baik dalam PR.
Meskipun Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kemelut ini tidak akan memecah-belahkan PR, hakikatnya syak wasangka dan saling mencurigai sudah mula bercambah dalam rakan-rakan gabungan PR sekarang ini. Pas yang selama ini diketahui memperjuangkah Islam dan sering melaungkan "Islam For All" rupa-rupanya turut mempunyai benih perkauman dan anti agama lain di dalamnya.
Haji Hadi pula, selepas mengeluarkan kenyataan mempertahankan Khalid yang dibuatnya sebelum Hari Raya lalu sehingga menyebabkan kemeriahan Aidilfitri lebih disulami dengan perbualan politik, terus berdiam diri dan tidak bercakap apa-apa lagi mengenainya. Tidak dipastikan sama ada beliau turut menyesal berbuat demikian atau sengaja menyokong Khalid untuk melihat reaksi dalam partinya sendiri terhadap perkara itu.
Melihat kepada pelbagai kecaman kepada Pas, Haji Hadi serta Dr Zuhdi mengenai kenyataan yang dikeluarkannya itu jelas bahawa mood untuk menukar Khalid lebih kuat berbanding mempertahankannya. Kenyataan AJK Pas Pusat, Dr Zulkifli Ahmad yang meminta dihentikan bercakaran sesama sendiri serta Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat yang menegaskan agar fokus menawan Putrajaya tidak terabai adalah gambaran jelas bahawa semakin ramai yang tidak senang dengan kekeliruan yang ditimbulkan oleh Haji Hadi itu.
Walaupun tidak menyebut semua kekalutan ini berpunca daripada kenyataan Haji Hadi, tetapi itulah gambarannya yang difahami oleh kebanyakan orang.
Haji Hadi, menurut pendapat banyak pihak tidak wajar sama sekali mengeluarkan kenyataan berbentuk peribadi sebelum mesyuarat diadakan. Ia dianggap tidak menghormati mesyuarat dan permuafakatan. Dan jika pun beliau ada pendapat peribadi, beliau seharusnya bercakap secara peribadi saja dengan Anwar dan bukannya melalui media.
Dengan kemelut yang berterusan dan makin tidak memihak kepadanya kini, Haji Hadi bagaikan terperangkap dengan kenyataannya sendiri.
Jika Pas pada mesyuarat 10 Ogos nanti berpendirian mahu mengekalkan juga Khalid dan menolak Langkah Kajang yang mahu dilakukan oleh Anwar dan mendapat persetujan PKR dan DAP, pergolakan akan terus berlaku bukan saja dalam Pas tetapi juga dalam PR. Pergolakan yang berterusan itu juga akan menghilangkan sama-sekali fokus untuk menawan Putrajaya.
Dengan masuk campurnya UMNO yang turut menyokong Khalid, sokongan Pas juga sudah menjadikan mereka sehati sejiwa dengan UMNO dan ini tentunya menambahkan lagi kecelaruan dalam parti Islam itu.
Lebih buruk jika akhirnya ia berakhir dengan Pas meninggalkan PR. Apabila Pas keluar daripada PR, parti itu akan kembali menjadi parti yang hanya kuat di Kelantan atau seperti kata Sanusi Junid di mana ada sekolah pondok dan sawah padi saja. Pas akan hilang kekuatan Selangor, Johor, Perak dan negeri-negeri lain yang mempunyai pengundi campuran.
Sanggupkah Pas hilang semua itu sedangkan mereka sudah pernah merasa berkuasa di Perak, Kedah dan mempunyai kerusi majoriti di Selangor?
Keadaan dalam Pas dan juga dalam PR hanya akan kembali normal jika Pas turut akur dengan pertukaran Menteri Besar Selangor. Jika Pas akhirnya bersetuju, polemik sebelum ini mungkin boleh dilupakan dan masing-masing boleh mengorak langkah ke hadapan bagi matlamat menumbangkan UMNO dan menawan Putrajaya sebagaimana yang diusaha dan dicita-citakan oleh Pas, PKR dan DAP sebelum ini.
Lagi pula Langkah Kajang juga diatur untuk menawan Putrajaya dan ia mirip seperti Erdogan yang menjadikan kejayaan di Istanbul untuk menawan Turki serta Joko Widodo yang baru-baru ini menang sebagai Presiden Indosesia adalah juga atas kejayaannya sebagai Gabenor Jakarta sebelum itu.
Maka itu, menjadikan Selangor sebagai laluan lebih lurus menuju Putrajaya adalah sesuatu yang wajar. Najib dan UMNO sendiri menyedari hakikat itu, sebab itulah Anwar dihalang daripada bertanding di Kajang. Meskipun Dr Wan Azizah sebagai pengganti Anwar dalam idea Langkah Kajang, kesannya kepada ketakutan UMNO tidak banyak bezanya.
Atas kepentingan masa depan Pas dan juga cita-cita PR menawan Putrajaya, Haji Hadi hanya ada satu pilihan iaitu memastikan kesepakatan dan keharmonian dalam gabungan itu terus utuh dan mantap sehingga pilihanraya umum akan datang. Dengan berbekalkan sokongan 52 peratus undi popular dan hanya perbezaan 23 kerusi Parlimen, diikuti dengan pelbagai masalah dalam negara serta suasana politik yang turut celaru di Sabah dan Sarawak, perubahan bukan lagi sesuatu yang mustahil untuk digapai. Ia hanya memerlukan sedikit lagi kecekalan, ketabahan dan kebijaksanaan.
Walaupun pendirian rasmi Pas hanya diketahui pada 10 Ogos nanti, demi kepentingan yang lebih besar daripada sekadar mempertahankan Khalid yang mungkin hanya membawa untung secupak, parti itu tentulah tidak mahu melepaskan peluang untuk menikmati untung bergantang-gantang di masa depan.
Jika Pas membuat pendirian menyokong pertukaran Menteri Besar Selangor, bukan lagi pendirian Haji Hadi yang membuat pusingan U yang diperkatakan tetapi nasib UMNO yang "berputih mata" dan "menjaring angin" lebih dikasihankan. (SH 01/08/2014)
Subscribe to:
Posts (Atom)