Tuesday, 15 April 2014
Daripada Menteri Amaran Menjadi Menteri Penafian
Ramai yang memuji keupayaan Hishammuddin Hussein dalam mengendalikan sidang akhbar, menjawab soalan dan memberi penjelasan, terutamanya daripada asakan soalan media asing sepanjang tugasnya sebagai pemangku Menteri Pengangkutan berkaitan kehilangan pesawat MH370.
Caranya menjawab soalan-soalan wartawan dikatakan cukup meyakinkan, tenang dan menunjukkan beliau memang membuat persiapan yang sewajarnya sebelum setiap kali sidang akhbar itu diadakan.
Kemampuannya berhadapan dengan media bukan saja menunjukkan beliau lebih baik berbanding Perdana Menteri, Najib Razak yang dua kali membaca kenyataan akhbar mengenai tragedi MH370, sekali di Kuala Lumpur dan sekali lagi di Perth, tetapi mengelak untuk disoal jawab oleh wartawan, bahkan gaya dan stail yang ditunjukkan oleh Hishammuddin itu mengingatkan kita kepada kemampuan yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim dalam aspek yang sama, terutama ketika dalam kerajaan.
Baik ketika bersama kerajaan dulu, mahupun sebagai Ketua Pembangkang sekarang, kemampuan Anwar berhadapan dengan media, baik tempatan mahupun asing, tidak perlu dipersoalkan lagi. Melihat kebolehan Hishammuddin itu, seperti menunjukkan beliau mempelajari sesuatu daripada apa yang pernah ditonjolkan oleh Anwar sebelum ini.
Hanya berbekalkan kebolehan mengendalikan sidang akhbar berkaitan kehilangan pesawat MH370, kelemahan dan kelembikan beliau sebelum ini, khasnya ketika menjadi menteri dalam negeri seakan-akan telah dilupakan.
Bahkan, gelarannya sebagai Menteri Amaran Dalam Negeri berikutan kekerapan memberi amaran tetapi tiada tindakan, tidak lagi dibangkitkan ketika ini.
Lebih menarik, beliau yang hampir disingkirkan oleh Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO tahun lalu serta tertinggal jauh berbanding dua regunya yang lain iaitu Zahid Hamidi dan Shafie Apdal, sudah mulai disebut-sebut sebagai bakal pengganti Najib hanya kerana penonjolannya berhadapan dengan media berkaitan kehilangan pesawat yang masih misteri sehingga sekarang.
Tragedi MH370, disebalik membawa cerita duka kepada ramai orang di seluruh dunia, bagaikan membawa rahmat terselindung kepada anak bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn itu.
Namun demikian, jika sebelum ini Hishammuddin digelar Menteri Amaran, gelaran barunya selepas beberapa ketika mengendalikan sidang akhbar berkaitan misteri MH370 turut bertukar menjadi Menteri Penafian pula berikutan sejak kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke 38 ini, peranannya yang paling banyak sekali dilakukan ialah membuat penafian.
Beliau tidak saja menafikan banyak teori dan spekulasi yang disiarkan oleh beberapa media asing, bahkan juga terpaksa menafikan spekulasi yang dibuat oleh media dalam negara dan dimiliki oleh UMNO sendiri. Apabila Utusan mengaitkan kehilangan pesawat dengan CIA, beliau tampil menafikannya dan begitu juga ketika NST menyiarkan berita ada panggilan yang cuba dibuat oleh pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid ketika pesawat itu terbang rendah di perairan Pulau Pinang, sekali lagi beliau juga menafikannya.
Ketika Anwar Ibrahim membuat dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat, Hishammuddin juga segera menafikannya dengan berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan dan kerajaan sentiasa telus kepada media dan orang awam.
Bahkan ketika kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan kesimpulan kerajaan berdasarkan data satelit Immarsat bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan tafsiran ianya terhempas dipertikaikan seminggu kemudian kerana masih tiada bukti serpihan kapalterbang dan cebisan mayat ditemui, Hishammddin dengan selamba dan penuh yakin menafikan perkataan terhempas itu datang daripada mulut Najib.
Menurut Hishammudin, Najib tidak pernah menyebut terhempas, tetapi hanya berkata, pesawat itu berakhir di Lautan Hindi.
Dalam hal ini, Hishammuddin bukan saja mampu mengendalikan sidang akhbar tetapi juga mampu melindungi Najib walau dalam situasi semua orang mempercayai berakhir di Lautan Hindi adalah sama dengan terhempas. Kemampuan ini tentunya amat menggembirakan Najib.
Seiring dengan berlalunya masa dan keghairahan semua orang membuat pelbagai spekulasi, teori, telahan dan andaian berkaitan pesawat yang masih hilang itu, ia juga mungkin membuatkan Hishammuddin tampil dengan banyak penafian lagi.
Dengan membuat banyak penafian, gelaran sebagai menteri yang suka memberi amaran, tidak lagi diperkatakan dan mula dilupakan. Hanya masa dan keadaan yang menentukan sama ada bintang politiknya turut cerah atau sebaliknya selepas ini tetapi gelaran baru ini sekurang-kurangnya tidaklah melimpahkan imej seburuk Menteri Amaran yang disandangnya sebelum ini. (SH 15/04/2014)
Monday, 14 April 2014
Bermewah Macam Rosmah, Siapa Sabotaj Muhyiddin?
Berikutan pendedahan mengenai lawatan mewah Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ke Dubai yang lebih dipenuhi dengan acara main golf dan menikmati jamuan mewah berbanding menghadiri program rasmi berkaitan pendidikan bermula 8 hingga 12 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.
Beliau berkata, tindakan tegas termasuk pemecatan akan diambil terhadap kakitangan yang berbuat demikian, sambil mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab mereka menjaga kerahsiaan kerajaan demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Baru-baru ini Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mempertikaikan lawatan lima hari Muhyiddin bersama beberapa pegawainya ke Dubai kerana didakwa tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat berikutan ianya lebih dipenuhi acara bermain golf dan menikmati pelbagai jamuan bertaraf mewah.
Dalam lawatan lima hari itu, Muhyiddin didakwa hanya memperuntukkan tiga jam untuk acara rasmi berkaitan pendidikan manakala selebihnya banyak dipenuhi dengan bermakn golf, menikmati pelbagai jamuan mewah, pertemuan dengan ahli perniagaan dan seolah-olah percutian yang menggunakan wang rakyat.
Selain itu, pegawai yang mengikuti rombongan itu juga lebih ramai terdiri daripada mereka yang bekerja di pejabat Menteri Pendidikan berbanding pegawai kementerian yang terlibat secara langsung berkaitan bidang pendidikan.
Melalui pendedahan ini menyebabkan Muhyiddin mulai dipandang serong dengan ada yang mengatakan beliau juga rupa-rupanya suka bermewah seperti keluaga Najib, terutama oleh isterinya Rosmah Mansor.
Walaupun pendedahan mengenai lawatan itu dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP tetapi ianya adalah bersumberkan maklumat daripada seseorang yang menggelarkan dirinya Cikgu yang mendedahkan aturcara penuh lawatan selama lima hari itu di internet.
Memandangkan apa yang didedahkan itu merupakan aturcara yang disusun oleh kementerian, adalah dipercayai individu yang menggelarkan dirinya Cikgu itu merupakan kakitangan kerajaan di Kementerian Pendidikan atau mana-mana jabatan lain yang berkaitan dengan lawatan itu.
Dengan pendedahan itu, bukan saja Kementerian Pendidikan terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa aturcara yang didedahkan itu hanyalah deraf saja dan bukannya rasmi, bahkan Muhyiddin juga terpanggil untuk membuat sidang akhbar sekembalinya ke tanahair untuk memberitahu lawatannya sesuatu yang berjaya bukan saja dslam bidang pendidikan tetapi juga pelaburan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu.
Dan ditambah dengan amaran oleh KSN ini, jelas bahawa pendedahan mengenai lawatan itu sesuatu yang betul dan pihak Muhyiddin, Kementerian Pendidikan dan kerajaan bagaikan terasa bersalah dengannya sehingga terpaksa membuat pelbagai kenyataan dan sidang akhbar untuk mewajarnya lawatan tersebut.
Persoalannya yang penting sebenarnya bukanlah siapa yang mendedahkan maklumat itu tetapi apakah niatnya berbuat demikian?
Apakah ia bertujuan untuk memberitahu bahawa di ketika kerajaan kekeringan wang dan ingatan supaya rakyat berjimat cermat, tetapi sebaliknya pemimpin sendiri terus bermewah dengan menggunakan dana kerajaan?
Ataukah pendedahan ini untuk membuktikan selain isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang suka bermewah, sebenarnya Timbalan Perdana Menteri juga membuat tabiat yang sama?
Mungkinkah pula pendedahan dilakukan oleh orang-orang Najib yang mahu membunuh karier politik Muhyiddin dan menghalangnya daripada terus menonjol?
Atau barangkali permainan ini diatur oleh pimpinan pelapis di barisan kedua yang mahu membunuh karier politik Muhyiddin dan mengambil alih kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri?
Bahkan boleh jadi, setelah pelbagai kritikan mengenai kemewahan Najib dan isteri didedahkan sebelum ini, pendedahan mengenai gaya suka bermewah Muhyiddin ini bertujuan untuk menyingkirkan kedua-duanya sekaligus dengan mewujudkan persepsi bahawa mereka bukanlah pemimpin dan gandingan yang sesuai untuk parti dan negara?
Apa pun kebarangkaliannya, ia adalah serba mungkin sebenarnya. Jika sebelum ini Muhyiddin agak terselamat daripada serangan berbentuk peribadi berikutan ianya berjaya diselindungkan selain kerana beliau juga mempunyai isteri yang agak sederhana, nampaknya kini merupakan masa untuk beliau mula berhati-hati.
Serangan terhadap Muhyiddin ini terlihat seperti pembangkang yang membangkitkannya tetapi yang bakal mendapat untung lebih dulu mungkin daripada dalam kelambu UMNO sendiri. (SH 14/04/2014)
Sunday, 13 April 2014
Akhirnya Media Kerajaan Sendiri Tolak Kesimpulan PM
Setelah masuk hari ke 35 pencarian pesawat MH370 yang masih hilang, nampaknya makin banyak karut-marut dan perkara yang mengelirukan orangramai berlaku dalam operasi itu. Selain banyak isyarat ping yang kononnya dikesan tetapi akhirnya hilang begitu saja, beberapa objek yang dulunya dikesan begitu banyak di Lautan Hindi dan dipercayai daripada pesawat yang hilang itu, semuanya kini tiada khabar berita lagi.
Operasi pula kini seolah-olah lebih menumpukan untuk mencari kotak hitam pesawat manakala pencarian badan kapalterbang yang jauh lebih besar daripada kotak hitam, tidak lagi menjadi keutamaan. Begitu juga dengan mencari mayat-mayat penumpang yang seramai 239 itu seperti tidak lagi menjadi penting.
Belum pun kotak hitam ditemui, pemangku Menteri Pengangkutan berkata, Peguam Negara kini sudah pun berada di United Kingdom untuk membincangkan mengenai hak keatas kotak hitam itu. Sekali lagi orangramai jadi keliru, bukankah jika membeli pesawat, ia termasuk kotak hitamnya sekali?
Dan kenapa pula kerajaan begitu bersungguh-sungguh untuk menuntut hak keatas kotak hitam itu?
Apakah akan jadi nanti sekiranya hanya kotak hitam ditemui tetapi tiada langsung serpihan pesawat atau cebisan mayat penumpang yang ditemui? Tentulah ada yang bertanya, dari mana pula datangnya kotak hitam itu?
Atau bagaimana pula jika ketiga-tiganya, kotak hitam, pesawat dan mayat langsung tidak ditemui sampai bila-bila?
Meskipun semua orang mahukan kebenaran mengenai apa yang sebenarnya berlaku, tetapi kepentingan waris mangsa tidak seharusnya dilupakan. Waris mangsa hanya mahukan pengesahan jika ada kematian, mestilah ada sekurang-kurangnya cebisan mayat yang ditemui atau jika terhempas, mestilah ada serpihan pesawatnya?
Oleh itu, sementara kotak hitam dicari, tumpuan kepada pesawat dan nasib penumpangnya haruslah juga seimbang.
Dalam masa yang sama, memasuki hari ke 35 ini juga, jika mengambil kira kenyataan penuh sedih Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan pesawat itu dikesan kali terakhir di sebuah kawasan sunyi di selatan Lautan Hindi serta jauh daripada mana-mana landasan yang dalam bahasa mudahnya bermaksud ianya telah terhempas dan tiada yang terselamat, tetapi media arus perdana dah milik kerajaan sendiri seperti menafikan kenyataan Najib itu.
Ada media arus perdana turut meragui pesawat itu terhempas dengan mengaitkan penglibatan CIA dengan kehilangan itu yang lebih dipercayai dengan teori rampasan. Hujah yang digunakan pula amat mudah iaitu jika bangunan WTC di New York boleh dimusnahkan, apalah halnya dengan hanya sebuah pesawat.
Terdapat pula media yang membuat spekulasi bahawa pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid ada menghubungi seseorang yang tidak dapat dikesan ketika pesawat itu terbang rendah di sekitar Pulau Pinang.
Kedua-dua spekulasi ini cuba menghidupkan teori rampasan berbanding terhempas.
Semua teori dan spekulasi ini datangnya daripada media arus perdana dan dimiliki oleh kerajaan. Ia nampak terang-terang cuba menolak kesimpulan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang turut menjaga kepentingan tempat mereka bekerja yang sebelum ini mengatakan MH370 telah terhempas dan tiada penumpangnya yang selamat.
Meskipun Hishammuddin menolak kedua-dua teori itu dan bekas Duta AS, John Mallott juga memperlekeh teori konspirasi CIA itu sebagai bukti kewartananan yang menulis berdasarkan rekaan, paranoid dan perkauman, hakikatnya selepas lebih sebulan kehilangan pesawat itu menjadi misteri, akhbar milik kerajaan sendiri tidak percaya dengan kerajaan.
Jika sebelum ini, Hishammuddin memberi amaran kepada media agar jangan membuat sebarang spekulasi dan salah lapor serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang, kini media naungan kerajaan sendiri yang berbuat demikian. Bahkan keghairahan mereka ke arah itu melebihi media baru.
Perlakuan mereka ini bukan saja memalukan kerajaan tetapi juga mencabar kewibawaan seorang Perdana Menteri yang sebelum ini terang-terang yakin bahawa pesawat itu telah terhempas.
Tetapi apabila media kerajaan sendiri kebelakangan ini lebih ghairah berspekulasi dan membuat bermacam-macam teori, jawapan Hishammuddin cukup mudah, "seperti media barat, mereka juga bebas melaporkan apa saja. Tetapi akhirnya, jika laporan itu tidak benar, mereka akan hilang kredebiliti".
Senang dan santai saja jawapannya bila terkena batang hidung sendiri.
Persoalannnya, mana janji saman dan ambil tindakan undang-undang yang begitu garang dilaungkan sebelum ini? Mana pula peranan Peguam Negara yang kononnya sudah mula mengumpul bukti mengenainya sejak hari pertama kehilangan MH370 lagi? (SH 13/04/2014)
Subscribe to:
Posts (Atom)