Tuesday, 4 March 2014
Gossip Ku Nan Dengan Erra Fazira, Jangan Lepas Ni Betul Pulak!!
Dengan tidak semena-mena tiba-tiba muncul gossip mengenai hubungan yang dikatakan sudah terjalin antara Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor dengan aktress yang belum habis edahnya, Erra Fazira. Sampai ke tahap mana hubungan mereka atau ia betul-betul hanya khabar angin tidaklah diketahui, tetapi kedua-duanya pantas menafikan adanya hubungan itu.
Tengku Adnan yang lebih mesra dengan Ku Nan apabila ditanya mengenai gossip yang berlegar itu segera menafikannya. Menurut Ku Nan, beliau adalah lelaki yang sudah berkahwin dan bahagia dengan perkahwinannya.
Erra pula kemudiannya turut menafikan beliau mempunyai hubungan atau mengenali Ku Nan, malah terkejut dan mengatakan beliau tidak pernah mengenali pun Setiausaha Agung UMNO dan Ahli Parlimen Putrajaya itu.
Erra juga berkata, beliau terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa untuk menjalin hubungan dengan mana-mana lelaki ketika ini.
Apabila timbul gossip sedemikian, mereka yang terbabit memang pantas menafikan tetapi kerap juga berita yang bermula dengan penafian akhirnya betul-betul menjadi kenyataan. Terutama dalam politik, berita yang dinafikan itu selalunya ada kebenarannya, bak kata pepatah, pokok takkan bergoyang kalau tidak ditiup angin.
Tetapi zaman sekarang, pokok juga bergoyang kerana sengaja digoyang atau mungkin kerana ada kera yang sedang menggoyangnya.
Terakhir berita yang dinafikan tetapi akhirnya benar-benar berlaku ialah mengenai pilihanraya kecil Kajang dan ura-ura Anwar mahu menjadi Menteri Besar Selangor. Ketika mula beritanya timbul, semua menafikannya, termasuk Anwar sendiri tetapi lihatlah apa yang berlaku sekarang.
Begitu juga ketika Anwar mahu dipecat daripada kerajaan pada 1998 dulu, berkali-kali Mahathir menafikannya. Bahkan sehari sebelum pemecatan Anwar dan ketika ia sudah menjadi perbualan hangat, Mahathir tetap menafikannya.
Dalam dunia artis lagi parah, mereka paling suka menafikan sesuatu berita dengan mengatakannya ianya sekadar gossip atau khabar angin meskipun mereka sendiri tahu kebenarannya. Yang sudah ada anak pun boleh menafikan mereka berkahwin, apatah lagi menafikan bercinta dan mempunyai hubungan mesra. Daripada sepuluh artis yang membuat penafian, lapan daripadanya selalu menjadi kenyataan.
Oleh itu, walaupun kedua-dua Ku Nan dan Erra Fazira telah menafikannya, jangan percaya 100 peratus dulu penafian mereka. Tunggu dua atau tiga bulan lagi, atau paling lama setahun daripada sekarang barulah boleh diputuskan untuk mempercayai atau tidak penafian mereka ini.
Kadangkala penafian hanyalah untuk menutup mulut orangramai daripada terus berbicara. Dunia artis selalunya begitulah. Dunia politik pula turut terikut-ikut dengan tabiat penafian ini.
Kadang-kadang juga mungkin betul mereka belum kenal sekarang ini tetapi setelah adanya gossip ini, masing-masing mula menyimpan perasaan dalam hati. Lalu kemudian mencari saluran untuk berkenal-kenalan dan menjalin persahabatan.
Apabila menjadi kenyataan, lalu dikatakan sudah takdir Tuhan.
Baik Ku Nan mahu pun Erra Fazira, tiada salahnya jika hubungan itu benar-benar wujud. Ini kerana Ku Nan adalah lelaki yang berkemampuan dari segi zahir, manakala Erra pula sudah keseorangan dan tidak lagi menjadi milik sesiapa sekarang ini.
Lagi pula hubungan mesra atau perkahwinan antara orang politik dengan artis bukanlah perkasa asing atau tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia sudah berlaku sejak dulu dan sentiasa berlaku sehinggalah sekarang.
Cuma, kalau sudah ada penafian yang cukup pantas ini, janganlah pula akhirnya menjadi kenyataan pula! (SH 04/03/2014)
Monday, 3 March 2014
Mahathir Dah Mula 'Geli' Dengan Najib
Dalam kritikan terbarunya terhadap pentadbiran Najib Razak, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad mempersoalkan pula pemberian tunai BR1M yang dilakukan sejak tiga tahun lalu, sambil mengingatkan pemimpin BN supaya tidak terus berada dalam khayalan bahawa kaedah itu boleh memberikan sokongan yang lebih kepada kerajaan.
Katanya, kerajaan pernah mendapat sokongan yang baik daripada rakyat walaupun tanpa BR1M, malah sejak BR1M dilaksanakan serta digembar-gemburkan kesannya dalam meringankan beban kehidupan rakyat, hakikatnya bukan saja sokongan tidak bertambah, malah terdapat ramai yang miskin lagi ketika ini.
Dalam masa yang sama, menurut Mahathir lagi sekiranya jumlah pemberian BR1M ditingkatkan sehingga RM1200 sebagaimana yang dijanjikan oleh kerajaan untuk 7 juta penerima yang layak, jumlahnya akan meningkat kepada RM8.4 billion dan ini merupakan suatu jumlah yang banyak serta membebankan kewangan negara.
Mahathir juga terasa "geli" dengan hujah Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah yang berbangga bahawa seramai 17,000 penerima BR1M sebelum ini tetapi mengambil keputusan menolaknya dengan alasan mereka bukan lagi dalam kategori susah dan ini menunjukkan tahap kematangan serta rasa tanggungjawab mereka yang tinggi.
Bagi bekas Perdana Menteri paling lama itu, penolakan mereka terhadap BR1M tidak mencerminkan perasaan atau sentimen mereka yang sebenarnya kerana ia diperlihatkan ketika mereka mengundi, sementara yang lain menolaknya kerana menganggap pemberian tunai itu adalah sejenis rasuah.
Kritikan Mahathir mengenai BR1M ini adalah serangan terbarunya terhadap pentadbiran Najib di mana sebelum ini beliau juga mengkritik hasrat negara mencapai tahap berpendapatan tinggi, kempen pemberian wang dan hadiah dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, menyifatkan Najib sebagai lemah kerana kerap tunduk kepada tuntutan eketremis dan beberapa kritikan yang lain lagi.
Mahathir juga seolah-olah bersilih-ganti dengan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin dalam melancarkan serangan terhadap Najib. Daim sudah dua kali secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib sebagai rapuh dan tidak tegas serta membayangkan jika pilihanraya diadakan dalam keadaan sekarang, ia lebih memungkinkan BN menerima kekalahan.
Dengan kekerapan Mahathir dan Daim memuntahkan peluru serangannya secara silih berganti dan semakin pedas terhadap Najib kebelakangan ini, mereka tidak ubah seperti pasukan pelari pecut yang saling bekerjasama, saling membuka ruang dan kemudian melakukan pecutan kemenangan di ketika yang sesuai.
Selama ini, sudah banyak yang mengkritik pemberian tunai BR1M kerana ia bukanlah kaedah yang mampan untuk menolong rakyat. BR1M bukan saja mirip kaedah golongan bangsawan zaman dahulu yang kerap mencampakkan syiling untuk golongan miskin, malah BR1M juga bertentangan dengan DEB kerana ia hanya memberikan "ikan" tetapi tidak membekalkan "pancing" kepada rakyat.
Beberapa kritikan Mahathir dan disusuli dengan Daim terhadap Najib dan kerajaan kebelakangan ini, jelas menunjukkan mereka sudah mulai "geli" dengan cara pentadbiran dan kepimpinan Najib yang terus-terusan lemah, merugikan negara dan tidak menguntungkan rakyat.
Semua kelemahan yang bukan saja berterusan, malah juga bertambah, lebih memungkinkan BN ditimpa kekalahan dan kehilangan kuasa dalam PRU 14 nanti. Tambahan pula dengan langkah PR yang semakin agresif melalui gerakan KajangMove yang seterusnya menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sebagai tangga ke arah cita-cita menawan Putrajaya, BN dilihat semakin terhimpit dan kehilangan upaya.
Meskipun Najib segera mempertahankan dasar pemberian tunai ini dengan jawapan pantasnya hari ini yang mengatakan BR1M merupakan dasar yang bersasar serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalaman dan membuatkan orangramai segera ke Sogo dan pasar minggu untuk membelanjakan wang pemberian itu, hakikatnya jawapan Najib ini akan membuatkan bermulanya "episod jawab-menjawab" antara beliau dengan Mahathir.
Kecuali jika Mahathir tidak sihat atau dimasukkan ke hospital, beliau pasti akan memberikan jawapan balas terhadap reaksi Najib itu.
Sebagaimana Pak Lah yang akhirnya kecundang kerana mula jawab-menjawab dengan Mahathir, Najib juga sedang memasuki episod yang bakal memerangkap dirinya kerana tiada sesiapa yang mempunyai skil menjawab dan membalas serangan sehebat Mahathir. Jika pemimpin dunia pun sering kalah dengan hujah-hujah Mahathir, Najib nyata terlalu "junior" untuk bersaing dengannya.
Jika sebelum ini Najib lebih memilih untuk berdiam terhadap semua serangan Mahathir dan Daim, tindakannya sekarang seperti menandakan bermulanya krisis terbuka antara keduanya. Episod yang lebih menarik sedang dinanti-nantikan selepas ini. (SH 03/03/2014)
Sunday, 2 March 2014
Politik Air Di Selangor, Siapa Bakal Kuyup?
Sejak Menteri Besar Selangor menandatangani memorandum persefahaman atau MOU secara tergesa-gesa dengan kerajaan Pusat yang menyaksikan pertelingkahan yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu menemui titik penyelesaiannya, gelora politik di negeri paling kaya dan menjadi rebutan antara BN dan PR seolah-olah memasuki gerbang baru yang makin sukar diramalkan.
Ia bukan saja kerana MOU itu ditandatangani secara terburu-buru dan diluar pengetahuan pimpinan PR terutamanya Anwar Ibrahim yang merupakan Penasihat Ekonomi negeri itu, malahan ia kemudian disusuli dengan tindakan Khalid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR menentang penyandangnya sedia ada, Azmin Ali.
Dengan pengumuman bertanding itu bukan saja mengesahkan krisis antara Khalid dengan Azmin selama ini tetapi persoalan juga timbul juga ialah apakah Khalid bersedia berundur daripada jawatannya untuk diserahkan kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang diuar-uarkan sebelum ini?
Bagaimana jika Khalid selepas ini berkeras mahu kekal sebagai Menteri Besar dan tidak lagi mempedulikan Anwar? Bagaimana dengan masa depan Anwar dan PR jika akhirnya Anwar gagal menjadi Menteri Besar, sedangkan ura-ura itu merupakan langkah yang paling ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU 14?
Dari segi Khalid pula, dengan mengumumkan bertanding jawatan nombor dua itu, ia secara langsung menggambarkan beliau mahu terus kekal sebagai Menteri Besar. Ini kerana jika beliau sudah mahu menyerahkan jawatannya kepada Anwar, buat apa lagi mahu bertanding Timbalan Presiden?
Bagaimanapun di pihak BN, ketakutan terhadap KajangMove yang klimaksnya bertujuan menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar yang dilihat langkah paling praktikal mengekalkan negeri itu di tangan PR dan mencerahkan lagi harapan menawan Putrajaya, tetap tidak berubah. Rata-rata pemimpin BN, melalui komen yang diluahkan lebih memperlihatkan kebimbangan mengenai peluang BN mempertahankan kuasanya dengan gerakan terbaru PR ini.
Dalam hal ini, sementara pimpinan PR berusaha sedaya mungkin untuk mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding keputusan PRU 13 lalu, pimpinan BN pula tidak henti-henti menakutkan rakyat Selangor mengenainya.
Terbaru, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor yang pernah bergayut dibawah dagu Anwar ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, menasihatkan agar Selangor diselamatkan daripada Ketua Pembangkang itu selepas usahanya untuk menawan Putrajaya sebelum ini menemui kegagalan.
Tanpa menyebut apa sebenarnya yang perlu diselamatkan jika Anwar berjaya menjadi Menteri Besar, yang tersirat daripada kenyataan itu ialah BN akan menjadi semakin tidak selamat kerananya.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad juga berkata, dengan menjadi Menteri Besar Selangor, ia akan menjadi tangga untuk Anwar melangkah ke Putrajaya. Beberapa serangannya terhadap Anwar selepas itu jelas memperlihatkan kebimbangannya, lebih-lebih lagi melihatkan watak Najib yang semakin lemah, tidak bermaya dan semakin dijauhi rakyat.
Secara umumnya, langkah Anwar bertanding di Kajang dan menjadi Menteri Besar selepas itu adalah langkah untuk maju ke hadapan mencapai cita-cita menguasai Putrajaya bersama janji-janji untuk memberi erti kehidupan yang lebih bermakna kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Namun, isu air di Selangor nampaknya telah menggugat sedikit kelancaran menuju matlamat yang mahu dituju itu. Bermula dengan MOU, pengumuman bertanding jawatan Timbalan Presiden, ketidakpastian jawatan Menteri Besar Selangor dan perpecahan dalam PKR yang mulai kelihatan sekarang, semuanya menimbulkan lebih banyak tanda-tanya berbanding kepastian.
Khalid yang sekarang juga juga bukan lagi seperti Khalid yang dulu.
Dalam masa yang sama, UMNO dan BN pula mulai membuat pujian melambung terhadap kepimpinan Khalid. Jika selama ini beliau dikutuk dan dihina dengan pelbagai label, kini Khalid adalah "primadona" bagi UMNO dan BN. Bukan saja beliau dipuji kerana kesediaannya menandatangani MOU air yang dilihat mengutamakan kepentingan rakyat negeri itu, malah ramai yang mahukan beliau terus kekal sebagai Menteri Besar.
Jika Khalid terpedaya dan puji-pujian itu juga menyebabkan beliau perlu memakai songkok yang lebih besar, tidak mustahil beliau akan berkeras untuk kekal sebagai Menteri Besar dan enggan menyerah kalah kepada kemahuan Anwar. Walaupun akhirnya jawatan itu perlu diputuskan oleh Majlis Pimpinan PR tetapi sekiranya Khalid tetap berkeras, ia akan menyebabkan berlakunya krisis kepimpinan di Selangor.
Krisis ini bukan saja boleh menyebabkan negeri Selangor jatuh ke tangan BN akhirnya tetapi juga meleburkan sama-sekali harapan untuk menawan Putrajaya. Jika ingin menuju ke Putrajaya, Selangor adalah penggeraknya. Gagalnya Anwar menjadi Menteri Besar melalui apa yang dinamakan KajangMove ini, bukan saja gerbang Selangor akan roboh, malah tiada harapan lagi menguasai Putrajaya.
Tetapi jika KajangMove ini berjaya sepertimana yang dirancangkan, bukan saja hayat politik Najib bakal disingkatkan lebih awal tetapi juga akan menyebabkan BN semakin lemah menuju PRU 14 nanti.
Segala-galanya kini tergantung kepada penyelesaian yang bermula dengan isu air di Selangor. Sama ada BN atau PR, Najib atau Anwar, Khalid atau Azmin - salah satunya akan basah dan mungkin kuyup kerana isu air ini. (SH 02/03/2014)
Subscribe to:
Posts (Atom)