Tuesday, 3 December 2013

Pengunduran Mahathir Dari Petronas Menimbulkan Banyak Tanda-Tanya


Bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sudah sah mengundurkan diri sebagai Penasihat Petronas. Namun tindakannya berbuat demikian dengan menulis surat kepada Najib hanya beberapa hari menjelang Perhimpunan Agung UMNO, menimbulkan sedikit tanda-tanya walaupun diketahui umum beliau kini sudah berusia 88 tahun dan baru saja menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

Ramai yang bimbang jika tindakannya mahu meletakkan jawatan secara tiba-tiba kerana ada tujuan lain atau sebagai luahan rasa tidak puas hatinya yang semakin membesar terhadap kepimpinan Najib. Takkan tiba-tiba "burung tempua bersarang rendah", begitu reaksi banyak pihak mengenainya.

Dalam masa yang sama pengunduran Mahathir ini juga menimbulkan persoalan tentang siapakah pengganti yang akan mengambil alih tempatnya. Jawatan sebagai Penasihat Petronas biasanya diberikan kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa dan sumbangannya kepada negara.

Sebelum Mahathir, jawatan itu pernah disandang oleh Hussein Onn. Apakah dengan pengunduran Mahathir ini, Najib akan melantik Pak Lah pula ke jawatan itu? Atau tokoh-tokoh lain seperti Tengku Razaleigh dan Daim Zainuddin turut dalam pertimbangan Perdana Menteri untuk diberikan jawatan tersebut?

Mahathir sendiri ketika bercakap kepada pemberita semalam berkata, pengundurannya adalah kerana beliau sudah tua dan perlu banyak berehat.

Beliau juga dinasihatkan oleh doktor yang merawatnya agar mengurangkan aktiviti dan tidak terlalu aktif, sementara perjalanan ke luar negara pula hanya boleh dilakukan sekali saja dalam sebulan.

"Saya perlu lebih rehat dan banyak tidur," kata Mahathir lagi.

Walaupun faktor kesihatan dan perlu banyak berehat ini dapat diterima sebagai alasan pengundurannya, tetapi kesangsian tetap ada kerana jawatan sebagai penasihat itu bukanlah tugas sepenuh masa yang memerlukannya menguruskan perjalanan Petronas, pergi ke pejabat setiap hari atau menghadiri mesyuarat-mesyuarat penting.

Kedudukannya sebagai Penasihat Petronas hanyalah kerana jasa dan kedudukannya ssbagai bekas Perdana Menteri. Beliau tidak perlu ke pejabat setiap hari dan jika hanya tidur di rumah saja pun, tiada siapa yang akan marah atau menegurnya.

Jadi, kenapa perlu meletakkan jawatan?

Dalam masa yang sama juga, sebagaimana yang dipetik daripada laporan Berita Harian, Mahathir memberitahu, beliau hanya meletakkan jawatan sebagai Penasihat Petronas saja tetapi akan kekal sebagai Penasihat Proton.

Ramai juga bingung, boleh pula beliau kekal sebagai Penasihat Proton. Apakah bezanya Petronas dengan Proton?

"Saya hanya letak jawatan dalam Petronas. Proton bukan milik kerajaan, ia milik DRB-Hicom Berhad. Saya akan teruskan perjuangan saya bersama Proton," jelasnya.

Keadaan ini menampakkan seolah-olah beliau tidak mahu dikaitkan dengan sebarang jawatan dalam kerajaan tetapi akan terus berjuang bersama Proton.

Maknanya, tidaklah beliau hanya akan berehat dan lebih banyak tidur saja selepas ini.

Malahan, semalam juga, ketika bercakap mengenai rasuah yang didakwanya masih berkembang dalam UMNO dan juga kerajaan, Mahathir juga berkata, beliau ada idea untuk membendung rasuah dalam UMNO dan juga kerajaan dan akan mencari platform untuk menjelaskan idea tersebut.

Maknanya juga, beliau akan lebih sibuk bercakap mengenai rasuah selepas mengundurkan diri sebagai Penasihat Petronas ini. Bahkan mungkin juga lebih aktif, lebih aktiviti dan lebih banyak bergerak berbanding sebelum ini.

Namun demikian, apa pun alasan mengenai pengunduran Mahathir ini, persepsi orangramai, terutama ahli UMNO terhadanya serta kemungkinan yang bakal berlaku selepas ini, rata-rata mengharapkan beliau terus sihat, cergas dan panjang umurnya. (SH 03/12/2013)

Monday, 2 December 2013

Isu Kazim: Pas Atau Najib Yang Patut Merasa Malu?


Sama ada pendakwah bebas, Ustaz Kasim Elias menerima atau menolak tawaran menjadi ahli MT UMNO masih lagi menjadi tanda-tanya. Ustaz Kazim sendiri belum memberi kata putus. Katanya, beliau perlu berjumpa Perdana Menteri, Najib Razak terlebih dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya.

Menurutnya, beliau ingin mendapat jaminan daripada Perdana Menteri agar perlantikan itu tidak menghalang kerja-kerja dakwahnya. "Tunggulah saya sembahyang istikharah dulu," tambahnya lagi.

Namun demikian, sementara perlantikan beliau ini terus menjadi pertikaian, Ustaz Kazim juga mengesahkan bahawa beliau masih merupakan ahli Pas kawasan Tambun, Perak. Meskipun dulu, katanya, ada ura-ura mahu memecatnya tetapi sehingga ini beliau tidak pernah menerima apa-apa surat surat pemecatan atau surat daripada jawatankuasa disiplin Pas.

"Sepatutnya Pas merasa sedikit malu dengan UMNO kerana mereka boleh menjemput orang yang diluar UMNO untuk menduduki kerusi MT dan Pas tidak pernah menjemput saya, apatah lagi menjadi teman yang mesra", katanya dalam rakaman video sidang akhbarnya yang tersebar di laman-laman sosial sekarang ini.

Soalnya benarkah Pas yang patut berasa malu atau Najib yang lebih patut merasa malu?

Tindakan Najib mempelawa seseorang yang masih menjadi ahli Pas untuk menduduki kerusi MT UMNO seharusnya juga menunjukkan beliau tidak berhati-hati dan mengkaji latar belakang seseorang itu sebelum membuat tawaran. Membuat pelawaan kepada ahli Pas ini umpama suatu penghinaan dan perlekehan paling teruk kepada kira-kira 3.4 juta ahli UMNO dan seolah-olah tidak ada seorang pun daripada jutaan ahli yang dibanggakan itu yang lebih baik dan setanding dengan Ustaz Kazim yang masih merupakan ahli Pas.

Bukankah didalam UMNO masih ramai lagi mereka yang berpengetahuan agama yang boleh dijadikan ahli MT UMNO?

Kalau benarlah seperti kata Tengku Adnan bahawa perlantikan Ustaz Kazim untuk membetulkan kekurangan mengenai Islam dalam UMNO, apakah Ustaz Fathul Bari yang mendapat undi tertinggi sebagai Exco Pemuda UMNO, bukan calon yang sesuai untuk melakukan tugas itu?

Atau apakah Dr Hasan Ali, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor yang dipecat daripada Pas dan tidak menganggotai mana-mana parti, tidak merupakan calon yang lebih baik atau setanding dengan Ustaz Kazim?

Atau jika Najib terlalu ghairah dan teringin untuk melantik ahli Pas juga menduduki kerusi MT sebagai menunjukkan UMNO lebih mencintai Islam berbanding Pas, apakah tidak boleh dilantik bekas Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa yang sudah pun kerap dibawanya ke keluar negara sebelum ini?

Melantik mereka yang masih belum menjadi ahli UMNO sebagai ahli MT juga menunjukkan sikap "double standard" Najib dalam menghayati semangat perlembagaan parti. Ini kerana dalam perlembagaan menetapkan, sebagai contoh, mereka yang ingin bertanding AJK Bahagian mestilah sekurang-kurangnya sudah menjadi ahli UMNO tidak kurang 3 tahun manakala kalayakan untuk bertanding ketusi MT pula mestilah juga pernah menduduki kerusi AJK Bahagian.

Seharusnya, dalam soal perlantikan ahli MT, semangat perlembagaan itu juga dihayati dengan sebaiknya. Kalau pun syarat pernah menduduki AJK Bahagian mahu diketepikan, setidak-tidaknya syarat sebagai ahli UMNO mestilah sentiasa dijunjung untuk menunjukkan bahawa UMNO sebenarnya menghormati ahli-ahli sendirinya.

Walaupun kuasa Najib sebagai Presiden UMNO dalam melantik ahli MT ini merupakan kuasa mutlaknya tetapi menawarkan kerusi MT kepada Ustaz Kazim yang masih merupakan ahli ahli Pas ialah umpama seorang lelaki yang menghebohkan mahu mengahwini seorang wanita dan membuat pengumuman rasmi mengenainya sedangkan wanita tersebut masih lagi menjadi isteri yang sah kepada lelaki lain.

Siapakah yang lebih malu sebenarnya. (SH 02/12/2013)

Sunday, 1 December 2013

Sekali Lagi Mukhriz Dipinggirkan Oleh Najib


Selain perlantikan pendakwah bebas, Ustaz Kazim Elias sebagai ahli MT UMNO yang menjadi perbualan hangat, tercicirnya nama Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam senarai perlantikan turut juga menjadi persoalan ramai kalangan dalam UMNO. Ustaz Kazim dipertikaikan kerana dilantik tetapi Mahathir pula dipersoalkan kenapa beliau tidak dilantik.

Dalam pemilihan UMNO pada Oktober lalu, Mukhriz yang dilihat sebagai antara calon popular untuk memenangi kerusi Naib Presiden UMNO, sebaliknya hanya mampu mendapat tempat keempat dengan 93 undi, ketinggalan di belakang Zahid Hamidi yang mendapat 188 undi, Shafie Apdal 177 undi dan Hishammuddin Hussein 101 undi.

Antara sebab kekalahan Mukhriz ialah kerana beliau bukanlah calon pilihan Najib yang nyata lebih selesa mengekalkan status quo dan percaturan Najib dalam hal ini terbukti apabila Mukhriz tidak mendapat walau satu undi daripada 14 bahagian di Pahang, selain beberapa orang kanan Najib juga didapati berkempen agar ketiga-tiga penyandang dikekalkan. Semua bahagian di Pahang didapati sepakat memberi undi hanya kepada penyandang yang dikenali sebagai "orang-orang kepercayaan Najib" iaitu Zahid, Shafie dan Hishammuddin dan ini tidak dapat ditolak daripada hakikat adanya "mainan halus" daripada Najib sendiri.

Mahathir sendiri meluahkan kekecewaannya atas kekalahan Mukhriz itu dan menegaskan punca utama kekalahannya ialah kerana tidak menjadi calon pilihan Perdana Menteri dengan mengambil contoh ketika beliau menjadi Perdana Menteri, tiada seorang pun yang dilihat sebagai penentangnya mampu memenangi jawatan kanan dalam UMNO.

Namun demikian katanya, Mukhriz bertanding kerana ingin membawa perubahan kepada UMNO tetapi malangnya tidak semua menerima dengan baik hasratnya itu.

Mukhriz pula, sebaik kekalahannya, berharap agar Najib menimbang untuk melantiknya menduduki kerusi MT kerana beliau mempunyai beberapa idea dan perancangan untuk dikongsi bersama demi kebaikan dan masa depan UMNO.

Malangnya, setelah beliau digagalkan oleh "permainan" Najib dalam pemilihan Naib Presiden UMNO yang lalu, kali ini sekali lagi beliau dipinggirkan untuk dilantik sebagai ahli MT UMNO.

Dalam perlantikan MT minggu lalu, Najib mengumumkan Naib Ketua Wanita UMNO, Azizah Mohd Dun dan Penolong Setiausaha Wanita, Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan sebagai anggota MT yang mewakili sayap-sayap parti itu.

Dalam perlantikan dua hari lalu yang diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, mereka yang dilantik pula ialah Nazri Aziz, Sharkar Shamsuddin, Hamzah Zainudin, Irmohizam Ibrahim, Johari Abdul Ghani, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Dr Asraf Wajdi Dusuki, Prof Ibrahim Abu Shah dan Ustaz Kazim Elias.

Dengan tercicirnya nama Mukhriz dalam senarai perlantikan ini, bermakna kedudukannya dalam MT hanyalah sebagai ahli yang turut hadir saja, bersama beberapa Menteri Besar dan Ketua Menteri yang tidak bertanding dalam pemilihan lalu. Walaupun turut dijemput dalam setiap mesyuarat MT, kedudukannya tidak sama dengan ahli MT yang dipilih atau dilantik kerana kedudukan sebagai ahli yang turut hadir tidak dikira sebagai korum, tidak boleh bersuara kecuali diminta dan tidak boleh mengundi.

Dalam erti kata lain, kedudukan Mukhriz dalam MT hanyalah sebagai ahli "kelas kedua" saja.

Tindakan Najib tidak melantik Mukhriz dipersoalkan oleh ramai ahli UMNO kerana beliau disifatkan sebagai pemimpin yang boleh membawa perubahan, mempunyai watak yang dipercayai boleh menarik lebih sokongan rakyat kepada UMNO dan antara ramuan terbaik dalam melakukan transformasi serta peremajaan parti dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang.

Lebih dari itu, dengan hanya kalah tipis kepada Hishammdin bagi merebut jawatan Naib Presiden UMNO walaupun pertama kali bertanding, Mukhriz juga telah membuktikan bahawa beliau mempunyai penyokong dan pengaruh yang agak besar dalam UMNO. Dan ini menunjukkan kedudukannya tidak wajar diketepikan begitu saja.

Tambahan lagi, Mukhriz juga secara berterus-terang meminta kepada Najib agar beliau dipertimbangkan untuk dilantik sebagai ahli MT UMNO.

Ramai yang sebenarnya mengharapkan agar anak bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu dilantik sebagai ahli MT, sekurang-kurangnya ia menunjukkan sikap budiman dan tolak ansur Najib terhadap percaturannya yang mahu mengekallan status qou Naib Presiden dalam pemilihan lalu.

Namun, dengan mencicirkan nama Menteri Besar Kedah itu, Najib dilihat seperti meminggirkannya sekali lagi.

Dengan Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin sudah berusia 66 tahun, Zahid Hamidi yang mendapat undi tertinggi Naib Presiden berusia 62 tahun manakala Shafie Apdal dari Sabah, tindakan Najib terus meletakkan Mukhriz "di kelas kedua" dalam barisan MT, tidak syak lagi bahawa beliau kini sedang menyulam benang-benang merah untuk dijadikan permaidani bagi dihamparkan sebagai laluan kepada sepupunya, Hishammuddin untuk mengambil alih tempatnya suatu hari nanti.

Dalam hal ini, terlihat bahawa agenda membawa perubahan dan memperkuat UMNO tidaklah sepenting agenda peribadinya. (SH 01/12/2013)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...