Monday, 4 November 2013
Kekalahan Yang Tidak Mengecewakan Najib
Setelah bertarung selama 12 hari dalam kempen pilihanraya yang sengit dan penuh dengan gula-gula politik, Pas akhirnya berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau melalui calonnya, Mohd Azam Samad yang menewaskan calon BN, Dr Ahmad Suhaimi dengan majoriti 1084 undi.
Kemenangan Pas, walaupun dengan jumlah undi yang merosot berbanding PRU 13 iaitu 2774 undi tetapi seperti yang selalu diucapkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, walau dengan kelebihan satu pun tetap dikira menang juga.
Dengan longgokan projek dan janji pembangunan yang banyak ditaburkan oleh Muhyiddin Yassin sepanjang kempen, selain janji MB Kedah Mukhriz Mahathir untuk menjadikan Sungai Limau sebagai DUN angkatnya serta janji-janji lainnya, kemenangan Pas ini diira sudah memadai walaupun Mahfuz Omar menyalahkan kemerosotan majoriti itu disebabkan hari mengundi diadakan pada hari bekerja yang menyebabkan pengundi luar tidak balik untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Kemenangan Pas ini juga memberi isyarat bahawa Mahfuz bakal memberi cabaran yang sengit kepada Mukhriz dalam pilihanraya umum akan datang ini.
Di pihak UMNO pula, kekalahan dalam pilihanraya ini tidak mendatangkan banyak kesan kerana ia tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri yang dikuasai BN, begitu juga dengan kerajaan Pusat. Oleh itu, tiada terlihat nada kecewa daripada para pemimpinnya. Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil menyifatkan BN menang dalam kalah kerana berjaya menurunkan majoriti Pas dengan drastiknya.
Menteri di JPM yang juga Ketua UMNO Jerai, Jamil Khir Baharom juga melihat ada sinar kepada BN di sebalik kekalahan BN dalam pilihanraya kecil ini kerana dengan kejayaan menurunkan majoriti Pas daripada 2774 kepada 1084 dalam tempoh 12 hari, sudah tentu ada harapan yang lebih baik dalam tempoh lima tahun akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan pula mengucapkan tahniah kepada Pas atas kemenangan melalui Twitternya dengan menulis, "Tahniah kepada Pas, ada apa salah lagi dengan SPR?"
Secara umumnya tiada pemimpin UMNO yang kecewa dengan kekalahan ini. Kalau ada pun yang kecewa hanyalah MB Kedah, Mukhriz Mahathir dan bapany Mahathir Mohamad.. Dengan kekalahan BN di Sungai Limau ini, ia merupakan kecundangnya beliau buat kali kedua dalam tempoh terdekat ini setelah kalah dalam percubaan menjadi Naib Presiden UMNO pada 19 Oktober lalu.
Mahathir yang turut kecewa dengan tewasnya Mukhriz dalam pemilihan UMNO, sekali lagi tentunya terpukul dengan kekalahan ini meskipun barangkali menyedari peluang untuk menang sangat tipis.
Dengan kalahnya BN di Sungai Limau, bukan saja menyebabkan tiada apa-apa yang berubah dalam kerajaan, bahkan juga menyaksikan tiada yang berubah dalam UMNO. Untuk seketika ini, kedudukan Najib terus selamat daripada sebarang usaha mahu menggugatnya.
Mahathir yang baru mula mengkritik kerajaan Najib sebagai lemah dan membangkitkan politik wang dalam UMNO, kini sudah kehilangan asas untuk meneruskan serangannya. Berbanding jika BN menang di Sungai Limau dan imej anaknya Mukhriz secara automatik akan melonjak kerana berjaya menawan kubu kuat Pas dan satu lagi bukti nyata bahawa penerimaan rakyat terhadap kepimpinannya, UMNO mungkin dikritik sekali lagi kerana memilih orang yang salah sebagai pemimpinnya dalam pemilihan yang lalu.
Jika BN menang juga, Mahathir akan berjaya membuktikan bahawa Mukhriz tetap disayangi dan diterima rakyat, walaupun disisihkan oleh Najib dalam pemilihan Naib Presiden UMNO yang lalu. Ini akan menimbulkan tekanan kepada Najib dan mungkin menggugat kedudukannya.
Tetapi sekarang ini, setelah berjaya mengekalkan status quo Naib Presiden UMNO, Najib juga berjaya mengekalkan status quo ketenangan dalam UMNO. Untuk seketika, tiada asas yang kukuh untuk Mahathir meneruskan kritikan terhadap kepimpinannya.
Walaupun tidak menunjukkan kegembiraan dengan kekalahan ini, Najib juga tiada sebab langsung untuk kecewa kerana kekalahan ini. Kekalahan di Sungai Limau hanyalah kekalahan Mahathir. (SH 04/11/2013)
Sunday, 3 November 2013
Perang Mahathirisme Dan Anwarisme Di Sungai Limau
Pengaruh Anwar Ibrahim yang disangka banyak pihak semakin menyusut selepas PRU 13 ternyata tidak benar apabila kehadirannya untuk berkempen membantu calon Pas di Sungai Limau tetap mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan. Dilaporkan beribu-ribu orang hadir mendengar ceramahnya dan jalan-jalanraya menuju ke tempat beliau berceramah juga turut sesak.
Dalam masa yang sama juga, Ketua Pembangkang itu turut dijemput untuk menyampaikan tazkirah di sebuah masjid di Sungai Limau.
Dalam ceramahnya di Sungai Limau ini, Anwar seperti biasa biasa menyebut tentang UMNO sebagai punca kemiskinan orang-orang Melayu kerana lebih mengutamakan kroni berbanding rakyat biasa. Beliau juga mengambil kesempatan menjelaskan tentang kenyataanya mengenai GST yang didakwanya dilaporkan secara tidak tepat oleh media-media pro kerajaan.
Kehadiran Anwar di Sungai Limau ini bukan saja membuktikan pengaruhnya masih belum hilang, malah ribuan yang hadir dan berpusu-pusu mahu mendengar ucapannya membuktikan bahawa beliau masih lagi relevan untuk PRU 14 akan datang ini. Setelah lama menyepi berikutan perhimpunan Black 505 yang semakin kurang mendapat sambutan manakala ceramahnya mengenai TPPA di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu juga tidak mencapai sasaran yang sepatutnya, kelibatnya di Sungai Limau ini akhirnya membuktikan sebaliknya.
Malah penulis Zainudin Maidin dalam tulisannya juga mengingatkan pengundi Sungai Limau bahawa memilih Pas bererti mengekalkan pengaruh Anwarisme dalam parti itu, satu lagi bukti nyata bahawa pengaruh Anwar tetap ditakuti dan bayang-bayangnya cuba digambarkan sebagai hantu yang menyeramkan dan mesti dijauhi.
Dan hari ini, ketika Mahathir datang ke Sungai Limau di hari terakhir kempen untuk membantu BN, beliau juga turut mengkritik Anwar dengan mengatakan bekas timbalannya itu seorang yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih kepada UMNO dan kerajaan.
Semasa dalam kerajaan, semuanya elok tetapi bila di luar, semuanya tidak betul, kata Mahathir lagi.
Serangan Mahathir juga membuktikan Anwar masih berpengaruh dan mampu menggugat BN, bukan saja dalam pilihanraya kecil Sungai Limau ini, bahkan juga dalam pilihanraya umum akan datang. Jika tidak kerana itu, buat apalah Mahathir menghabiskan air liurnya menyebut nama Anwar dan menyerang bekas timbalannya itu.
Sementara nama Najib tidak disebut oleh Mahathir, nama Anwar sebaliknya terus menghantui bekas Perdana Menteri selama 22 tahun.
Di Sungai Limau ini, kehadiran Mahathir dianggap membantu BN tetapi yang lebih utama ialah membantu anaknya, Mukhriz yang kini menjadi MB Kedah untuk memenangi pilihanraya kecil ini. Jika berjaya membantu kemenangan BN, reputasi Mukhriz yang kalah bertanding Naib Presiden UMNO 19 Oktober lalu, pastinya dapat dipulihkan.
Sebab itu, bagi Lim Kit Siang, pilihanraya kecil Sungai Limau ini akan menentukan sama ada pengaruh Mahathirisme akan kekal atau sebaliknya selepas ini.
Walaupun dakwaan Lim Kit Siang itu segera disanggah oleh Muhyiddin yang mengatakan bahawa pilihanraya kecil ini tiada kena-mengena dengan survival Mahathir dan ianya hanya menggambarkan niat tidak tidak baik pemimpin DAP itu untuk mengeruhkan hubungan sesama pemimpin di dalam UMNO dan BN, hakikatnya gambaran yang diberikan oleh Lim Kit Siang itu bukanlah tiada asas sama-sekali.
Ramai yang menyifatkan Mahathir begitu kecewa dengan kekalahan anaknya dalam pemilihan baru-baru ini, apatah lagi terlihat adanya campurtangan dan pengaruh daripada Najib untuk memastikan status quo Naib Presiden dikekalkan. Lantaran itu apabila Mahathir beberapa hari lalu menyebut tentang politik wang yang masih berlaku dalam pemilihan lalu sehingga pemimpin yang tidak layak telah menang dan menyifatkan kerajaan pimpinan Najib semakin lemah, ia dianggap petanda bermulanya kritikan dan luahan rasa kecewanya terhadap Najib.
Pilihanraya Sungai Limau secara realitinya sukar dipisahkan daripada hakikat bahawa Mahathir akan terus lantang selepas ini. Sama ada BN kalah atau memang, Mahathir dipercayai tetap akan bersuara terhadap Najib. Sebab itu, tidak menghairankan bagaimana Mahathir juga berkata, kedatangannya ke Sungai Limau bukan saja untuk memastikan BN menang tetapi juga untuk memastikan anaknya itu menunaikan segala janji-janji yang telah dibuatnya.
Terlihat bahawa di sebalik Najib yang hanya mendoakan calon BN mencapai kemenangan, Mahathir sebaliknya sedang berusaha membuktikan pengaruhnya masih relevan lagi. Tidak diragui bahawa Sungai Limau adalah permulaannya dan keputusan pilihanraya itu nanti akan menentukan ke mana seterusnya haluan pengaruh Mahathir itu.
Mekipun Pas yang bertanding di Sungai Limau ini dan pilihanraya kecil ini juga tiada apa-apa keistimewaan pada mulanya, tetapi perkembangan hari-hari terakhir kempen ini memperlihatkan bahawa pengaruh Mahathirisme dan Anwarisme akan terus memainkan peranannya dalam kelompok masing-masing dan juga dalam persaingan merebut kuasa dalam pilihanraya akan datang. (SH 03/11/2013)
Friday, 1 November 2013
Media Sosial Menjadikan Manusia Semakin Hilang Kemanusiaannya
Tragedi pegawai bank, Norazita Abu Talib yang ditembak dengan kejam oleh seorang pengawal keselamatan dengan tujuan merompak bank tersebut memanglah meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluargnya, terutama suami dan anak-anaknya yang masih kecil tetapi kesedihan mereka tambah berganda lagi apabila didapati gambarnya yang terbaring tanpa nyawa dalam keadaan menyayat hati turut tersebar di media-media sosial tidak lama selepas itu.
Berleluasanya penyebaran gambar itu sehingga memaksa suaminya memohon jasa baik orangramai agar memadam semua gambar itu dan tidak lagi berkongsi gambar tersebut dengan rakan-rakan yang lain dengan gesaan agar kesedihan yang sedang mereka tanggung dapat difahami.
Penyebaran gambar itu menimbulkan persoalan bahawa sementara kita bersedih dan mengutuk kejadian yang sangat kejam itu, namun ada manusia lain yang gembira menjadi wartawan tanpa tauliah dengan menyebarkan-luaskan berita serta gambar mengenai kejadian itu.
Jika hanya gambar perompak yang bersenjata itu saja yang yang dihebahkan, niatnya mungkin dapat difahami tetapi apakah sebenarnya faedah dengan turut menyebarkan gambar pegawai yang ditembak dalam keadaan menyayat hati itu?
Apakah manusia semakin hilang kemanusiannnya kerana media sosial yang semakin meluas sekarang ini menjadikan semua orang berlumba-lumba mahu menjadi pelapor atau wartawan tanpa tauliah?
Dalam keghairahan mahu menjadi pelapor yang paling pantas itu dan kerana tiada editor yang menapis kerja-kerja wartawan tanpa tauliah ini, maka hampir semua benda cuba dilaporkan atau dimuatkan dalam media sosial ini.
Penyebaran gambar Norazita barangkali adalah kejadian salah lapor yang paling teruk sekali kerana ianya menambahkan lagi kesedihan keluarga mereka yang sudah pun cukup terpukul dengan cara kematian yang yang menimpanya itu.
Orang yang pertama memuatkan gambar itu dalam media sosial barangkali sudah semakin menipis nilai kemanusiannya, manakala ramai yang lain yang turut berkongsi gambar tersebut, sebenarnya turut juga semakin menghilang nilai kemanusiannya.
Bukan saja orang biasa yang ghairah mahu berkongsi gambar tersebut dalam media sosial, malah bekas Exco Selangor, Dr Hasan Ali juga terghairah turut memuatkannya dalam fanfage Facebooknya. Hanya setelah menerima kecaman, malah ada yang memakinya dengan kata-kata yang kasar, barulah gambar itu dipadamkan kemudiannya.
Maknanya, sesiapa saja boleh hilang pertimbangan kerana keghairahan mahu menjadi pelapor atau wartawan tanpa tauliah ini. Walaupun pihak polis kini sedang menjalankan siasatan untuk mengenalpasti orang yang pertama menyebarkan gambar ini, ianya memang sewajarnya dilakukan kerana bukan saja menambahkan kesedihan keluarga pegawai bank itu, malah turut mengganggu siasatan polis juga.
Dalam banyak kejadian lain pula, apabila ada kemalangan jalanraya, orang bergaduh, orang bertengkar dan sebagainya, kerana adanya media sosial juga menyebabkan orang lebih ghairah mahu membuat rakaman dan kemudian memuatkannya dalam media soaial daripada menghulurkan bantuan atau meleraikan pergaduhan yang berlaku itu.
Malah isteri seorang pemain bolasepak yang bergaduh dengan seorang pengawal keselamatan pun turut merakam kejadian tersebut yang akhirnya menimbulkan kecaman dan memalukan dirinya sendiri.
Walaupun demikian, tidak dinafikan media sosial juga banyak kebaikannya. Ia boleh mempertemukan rakan yang lama terpisah, menghebahkan maklumat, menyampaikan berita dan mengeratkan lagi silaturrahim. Banyak kejadian orang hilang, penculikan, kanak-kanak dilarikan, kehilangan kereta dan sebagainya akhirnya menemui jalan penyelesaian melalui maklumat yang disebarkan melalui laman sosial.
Pihak polis dan ramai pemimpin kerajaan juga didapati aktif dalam media sosial untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan menghebahkan sesuatu program atau memaklumkan program yang telah mereka hadiri.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin misalnya, selain aktif dalam laman sosial untuk memaklumkan mengenai program yang dihadirinya atau memberi reaksi terhadap sesuatu isu, juga pernah menggunakan Twitter miliknya untuk menghebahkan mengenai keenakan burger bakar yang terdapat di Wangsa Maju sehingga akhirnya gerai itu menjadi tumpuan ramai dan terkenal. Dilaporkan bahawa tempoh menunggu untuk membeli burger bakar itu sekarang ini sekurang-kurangnya dua jam.
Oleh itu, memang diakui media sosial banyak manfaat dan kelebihannya. Banyak perkara yang dirasakan mustahil sepuluh atau lima belas tahun dulu, tetapi sekarang sudah menjadi kenyataan dengan adanya bantuan daripada media sosial ini.
Namun keburukan dan kelemahannya juga banyak. Selain ada yang rumahtangga porak-peranda dan hubungan kasih-sayang insan yang sedang bercinta terputus gara-gara media sosial, kejadian paling malang ialah bilamana semua orang mahu menjadi wartawan tanpa tauliah tetapi mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan yang sepatutnya sentiasa dijunjung.
Merakam kemalangan jalanraya tanpa berusaha memberi bantuan atau merakam orang sedang bergaduh tanpa berusaha meleraikannya, adalah antara kejadian yang tidak sepatutnya dilakukan oleh wartawan tanpa tauliah ini. Dan menyebarkan gambar ngeri Norazita yang dibunuh kejam oleh pengawal keselamatan yang masih bebas sehingga ini tidak syak lagi adalah rekod paling buruk nilai kebebasan wartawan tanpa tauliah ini.
Tidak salah menyebarkan sesuatu kejadian untuk makluman orangramai kerana ia menggambarkan kepekaan sebagai manusia tetapi sentiasalah tahu pertimbangan baik dan buruk serta sentiasalah junjung nilai-nilai kemanusiaan agar sesuatu yang mahu dihebahkan itu tidak sampai menambahkan derita dan kesengsaraan pihak lain.
Ini kerana bagaimana pun hebat dan majunya kita, tanpa nilai-nilai kemanusiaan, apalah ertinya lagi. (SH 01/11?2013)
Subscribe to:
Posts (Atom)