Wednesday, 3 April 2013

Berita Baik: Giliran Ahli Parlimen Perak Pula Jadi Perdana Menteri!


Tidak lama selepas Najib mengumumkan pembubaran Parlimen pagi tadi, Anwar yang mengadakan sidang akhbarnya petang ini turut mengesahkan desas-desus bahawa beliau akan bertanding di Perak dalam pilihanraya akan datang ini. Kata Anwar, keputusan beralih kawasan itu bukan bermakna beliau tidak menghargai sokongan pengundi Permatang Pauh yang selama ini setia menyokongnya tetapi sebagai usaha mengukuhkan lagi pengaruh PR di Perak.

Saya akan kembali ke Permatang Pauh untuk menenangkan mereka tetapi saya akan bertanding di Perak, kata Anwar mengesahkan mengenai hasratnya itu.

Tindakan Anwar beralih kerusi ini sesungguhnya adalah suatu keputusan yang bijak dalam usaha PR mahu menumbangkan BN dan mengukuhkan pengaruhnya. Selain Perak mempunyai banyak kawasan yang sesuai untuk ditandingi Anwar, rakyat Perak juga tentunya akan memberi sokongan yang sewajarnya di mana saja beliau memilih untuk bertanding kerana inilah peluang untuk seorang Ahli Parlimen dari negeri itu berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Setelah enam Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tunku Abdul Rahman dari Kedah, Tun Razak dari Pahang, Tun Hussein dari Johor, Mahathir dari Kedah, Pak Lah dari Pulau Pinang dan Najib juga dari Pahang, tidak pernah mana-mana Ahli Parlimen dari Perak berpeluang menjadi Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri.

Anwar mungkin memahami keadaan ini dan ingin membawa berita gembira buat orang Perak. Jika beliau kekal bertanding di Permatang Pauh dan ditakdirkan PR memenangi pilihanraya ini, maka bermakna sekali lagi Ahli Parlimen Pulau Pinang berpeluang menjadi setelah Pak Lah melakukannya sebelum ini.

Dua kali wakil rakyat Pulau Pinang menjadi Perdana Menteri tidak lagi membawa kegembiraan berganda, sama seperti orang Pahang yang juga tidak merasa luar biasa bila Najib menjadi Perdana Menteri kerana ayahnya dulu juga merupakan wakil rakyat Pahang.

Tetapi orang Perak tentunya berasa amat gembira dengan keputusan Anwar berpindah ke Perak itu kerana dengan sendirinya memberi peluang wakil rakyat dari Perak pula menjadi Perdana Menteri.

Keputusan Anwar berpindah ke Perak tentunya disambut perasaan amat gembira oleh rakyat dan pengundi Perak. Inilah masenya Yob!

Pengundi Perak bukan saja akan memastikan kemenangan Anwar, bahkan banyak kerusi lain yang ditandingi PR juga dipercayai akan mendapat limpahan sokongan kesan daripada kedatangan Anwar bertanding di Perak itu.

Dalam masa yang sama, negeri Perak yang dulunya dimenangi oleh PR tetapi kemudian diambil melalui pintu belakang dengan dua ADUN Pkr dan seorang ADUN DAP keluar parti dan mengisytiharkan diri sebagai Bebas yang menyokong BN, pastinya juga menjadi bertambah goyah dengan kehadiran Anwar di negeri itu.

Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak tentu perlu melipatgandakan lagi usaha menyekat kemaraan pengaruh Anwar dan PR kali ini dan diatas kertas, kerajaan negeri BN itu sudah boleh diramalkan akan jatuh semula ke tangan PR.

Selepas Lim Kit Siang memutuskan untuk berpindah dari Ipoh Timur ke Gelang Patah di Johor dan Sallahuddin Ayob juga berpindah ke Johor, tindakan Anwar pula berpindah ke Perak, tidak diragukan lagi adalah strategi bijak PR yang bukan saja membolehkan mereka melebarkan lagi pengaruh serta kekuatan tetapi juga akan menyebabkan BN terpaksa memberi tumpuan ke banyak negeri untuk mempertahankan kuasa yang dipegang sejak 56 tahun lalu.

Dengan Permatang Pauh hampir pasti kekal dalam genggaman pengaruh Anwar dan PR walau siapa pun bertanding di sana, manakala beliau pula berpindah ke Perak dan Lim Kit Siang dan Sallahuddin Ayob ke Johor, Najib dan BN juga terpaksa menambah kekuatan dan tumpuannya di kedua negeri itu bagi mengelakkan BN kehilangan lebih banyak kerusi.

Di ketika yang sama, jika benar Dr Wan Azizah pula akan bertanding di Selangor, UMNO dan BN juga terpaksa melipatgandakan usaha mereka di negeri itu. Jika UMNO gagal di Selangor, ia lebih memalukan Najib selaku Pengarah Pilihanraya dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor kerana lawan yang gagal ditewaskannya hanyalah seorang wanita.

Akhirnya, selain kerusi yang ditinggalkan Anwar, Lim Kit Siang dan Sallahudin kekal menjadi milik PR, kerusi baru yang ditandingi mereka juga berpotensi besar untuk dimenangi. Tidak dapat tidak, jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang bakal dimenangi dan dalam jangkaan akan dimenangi oleh PR akan bertambah jadinya melalui strategi berpindah kawasan ini.

Walaupun tindakan Anwar dan Kit Siang berpindah kawasan ini mendapat kecaman banyak pihak dalam UMNO termasuk dari Mahathir yang mungkin makin kurang waktu tidurnya mulai malam ini, hakikatnya pilihanraya adalah "game of numbers" dan siapa yang mendapat jumlah yang lebih, dialah menjadi pemenang.

Dalam hal ini, tiada apa-apa yang salah yang telah dilakukan Anwar dengan keputusannya berpindah ke Perak itu. Ia hanya membuatkan Najib dan BN lebih susah saja. (SH 03/04/2013)






Mukhriz Hampr Pasti Tanding Kerusi DUN Tapi Belum Pasti Jadi MB...


Di sebalik kenyataan Mukhriz Mahathir bahawa beliau lebih suka kekal bertanding di kerusi Parlimen Jerlun yang diwakilinya sejak sepenggal lalu, beberapa pemimpin UMNO Kedah pula mengesahkan bahawa anak bekas Perdana Menteri itu hampir pasti dipindahkan ke kerusi DUN dan bakal dijadikan MB Kedah jika UMNO berjaya menawan semula negeri itu.

Beberapa pemimpin UMNO Kedah menyatakan bahawa Najib amat berminat untuk menjadikan Mukhriz sebagai MB Kedah berbanding beberapa pemimpin UMNO Kedah sedia ada, selain sebagai satu cara mengambil hati Mahathir yang ketika ini begitu kuat berusaha memastikan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Meskipun Ahmad Bashah sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah dan beberapa nama lain seperti Mahathir Khalid, Aziz Sheikh Fadzir dan dan Ahmad Lebai Sudin turut disebut sebagai berminat untuk menjadi MB Kedah tetapi difahamkan Najib lebih menaruh keyakinan kepada Mukhriz.

Mukhriz sendiri, walaupun memberi kenyataan kepada media bahawa beliau lebih berminat untuk kekal bertanding di kerusi Parlimen berbanding DUN tetapi beliau juga ada memberitahu rakan-rakannya di Kedah bahawa beliau akan akur kepada apa saja keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan mengenai masa depannya.

Kesediaan untuk akur itu dilihat sebagai petanda bahawa beliau juga sebenarnya berminat untuk menjadi MB Kedah.

Dalam masa yang sama, Ahmad Bashah yang walaupun turut menyerahkan masa depannya kepada Najib membuat penentuan, dilihat terus berusaha untuk memastikan beliau akan menjadi MB Kedah jika UMNO dan BN berjaya menawan semula negeri itu.

Kenyataannya bahawa BN Kedah mampu memenangi 22 daripada 36 kerusi DUN dan 11 daripada 15 kerusi Parlimen dilihat oleh banyak pihak sebagai percubaannya untuk memberitahu kepada Najib bahawa beliau telah bekerja keras selama ini dan boleh menciptakan kemenangan di negeri jelapang padi itu dan seterusnya layak dijadikan MB Kedah.

Ada pula pihak di Kedah yang menyatakan bahawa keyakinan Ahmad Bashah terhadap kemenangan 22 kerusi itu adalah bersandarkan jika beliau bakal dijadikan MB Kedah dan jangkaan itu mungkin berubah jika orang lain yang ditunjuk oleh Najib mengisi jawatan tersebut.

"Jika Mukhriz yang bakal dijadikan MB Kedah dan Ahmad Bashah tidak mendapat apa-apa, harapan untuk mencapai kemenangan mungkin menjadi lebih tipis kerana ia akan terdedah kepada pelbagai unsur sabotaj," kata pula seorang bekas pemimpin UMNO Kedah.

Menurut beliau, kemungkinan berlakunya sabotaj jika Mukhriz dipersiapkan sebagai bakal MB Kedah bukanlah kerana ketidakyakinan terhadap Mukhriz semata-mata sebagai pemimpin baru tetapi adalah kerana faktor Mahathir.

Katanya, walaupun Mahathir masih berpengaruh dalam UMNO tetapi beliau juga mempunyai banyak musuh dalam UMNO Kedah sendiri. Selain penyokong Ahmad Bashah yang mungkin berkecil hati atas pemilihan Mukhriz sebagai bakal MB Kedah, penentang Mahathir dalam UMNO Kedah seperti Johari Baharom dan Mahathir Khalid dipercayai turut tidak akan berdiam diri dengan pencalonan Mukhriz.

Sebagaimana Johari Baharom dan Mahathir Khalid yang memainkan peranan di belakang tabir memastikan kekalahan Mahathir sebagai perwakilan G7 UMNO Kubang Pasu pada 2006, kedua mereka berserta penyokong masing-masing dipercayai akan bertindak sama pada kali ini.

Kedua pemimpin itu didikenali sebagai penyokong kuat Pak Lah dan tindakan Mahathir berterusan cuba memburukkan nama Pak Lah lebih memungkinkan perkara itu berlaku.

Ini bermakna dengan menjadikan Mukhriz bakal MB Kedah, kemungkinan berlakunya sabotaj datangnya dari tiga penjuru iaitu puak Ahmad Bashah, Johari Baharom dan Mahathir Khalid.

Secara teorinya, jika ini berlaku, harapan UMNO Kedah untuk menawan semula negeri itu tidak akan menjadi kenyataan. Dan bertepatan dengan kenyataan MB Kedah, Azizan Razak yang menyatakan pihaknya tidak gentar sama-sekali terhadap kemungkinan Mukhriz akan dijadikan calon MB Kedah sebagai sandaran UMNO dan BN untuk menawan semula negeri itu daripada Pas.

Mukhriz dan Mahathir pun ada juga masalahnya, demikian ringkas ulasan Azizan Razak yang membayangkan beliau sudah dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku nanti. (SH 03/04/2013)

Tuesday, 2 April 2013

Najib Hanya Akan Bubar Parlimen Setelah DUN Selangor Terbubar


Mereka yang mengharapkan Najib akan membubarkan Parlimen dengan segera, pasti akan kecewa lagi. Ini kerana Najib tidak akan membubarkannya dalam tempoh terdekat ini. Setelah DUN Negeri Sembilan terbubar dengan sendirinya 28 Mac lalu dan kemudian Najib dilihat sibuk mengadakan pertemuan dengan ketua parti-parti komponen BN dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri-Negeri, ramai yang menjangkakan Parlimen akan dibubarkan tidak lama kemudiannya.

Malangnya semua itu tidak berlaku. Najib menangguhkan lagi pembubaran Parlimen dan akan terus menangguhkannya untuk beberapa minggu lagi. Ini kerana pada 3 April ini, beliau akan menunaikan umrah untuk beberapa hari. Setiap tahun Najib berumrah sejak menjadi Perdana Menteri ini. Dengan perginya Najib ke Mekah menunaikan umrah setelah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pemimpin UMNO dan BN bagi memuktamadkan senarai calon, mungkin senarai nama itu akan dibawa sekali ke Mekah bagi memohon restu daripada Tuhan.

Atau setidak-tidaknya, mungkin ramai bakal-bakal calon yang turut mengejar Najib hingga ke Mekah sana. Tidak cukup melobi Najib di Bangunan Perdana Putra atau Seri Perdana, tidak mustahil ramai yang ingin melobi Najib untuk menjadi calon pilihanraya bersaksikan Kaabah pula.

Selepas pulang dari Mekah, Najib dilaporkan mempunyai beberapa program dalam negara termasuk di Sabah dan selepas itu pada 24 April akan berlangsung pula Persidangan ASEAN di Brunei. Persidangan ini jarang tidak dihadiri oleh Perdana Menteri, bukan saja kerana kedudukan penting ASEAN tetapi juga kerana hubungan rapat Melaysia dengan tuan rumah, Brunei kali ini.

Berdasarkan kesibukan dan jadual padat Najib ini, manakala tempoh Parlimen terbubar dengan sendirinya pula ialah pada 28 April, Najib dijangka hanya akan membubarkan Parlimen setelah berakhirnya Persidangan ASEAN di Brunei iaitu antara 24 hingga 28 April depan.

Ini bermakna sebelum Parlimen dibubarkan, beberapa DUN lagi akan terbubar dengan sendirinya. Antaranya ialah Pahang pada 7 April, Melaka dan Johor 21 April, Selangor 22 April dan Perak 25 April. Sekiranya Najib memilih untuk membiarkan Parlimen terbubar dengan ssendirinya pula iaitu pada 28 April, pembubaran itu akan berlaku serentak dengan terbubarnya DUN Perlis dan Kelantan.

Walaupun ramai yang kecewa dengan kelewatan pembubaran Parlimen ini dan ia menjejaskan imej Najib di mata rakyat tetapi beliau tentunya tiada pilihan lain berikutan kedudukan UMNO dan BN makin merosot di mata rakyat hari demi hari. Rakyat kini begitu inginkan perubahan. Meskipun media-media UMNO cuba mensensasikan beberapa isu seks kebelakangan ini, impaknya di hati rakyat tidak seberapa dan tidak menjejaskan sama-sekali agenda perubahan yang diinginkan.

Sementara isu seks itu belum dipastikan kebenarannya, selain dilihat kaedah yang jijik dan terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat, semua itu tidak menghalang rakyat daripada keinginan melakukan perubahan. Agenda perubahan dan memilih kerajaan yang benar-benar berjiwa rakyat melebihi semua persepsi seks yang cuba ditonjolkan itu.

Apa yang difikirkan rakyat ialah jika kali ini tidak dilakukan perubahan, ia sukar untuk dilakukan lagi. PRU 13 adalah pilihanraya untuk perubahan dan bukannya pilihanraya untuk mensensasikan isu-isu seks.

Najib sendiri tentunya menyedari hakikat ini dan mendapat maklumat yang cukup mengenainya. Jika tidak, pasti telah lama beliau membubarkan Parlimen. Tindakannya menangguh banyak kali walaupun telah bercakap mengenai pilihanraya dan meminta UMNO bersiap sedia sejak lebih dua tahun lalu, tidak lain adalah kerana ketidakyakinan terhadap kemenangan BN itu. Jika yakin menang, mustahil Najib menunggu begini lama hanya untuk menentukan kerusi Perdana Menteri lebih terjamin.

Kemungkinan pilihanraya hanya akan diadakan di penghujung tempoh juga disahkan oleh Muhyiddin yang dua tiga hari lalu berkata, Najib memerlukan beberapa minggu bagi menyelesaikan beberapa isu sebelum membubarkan Parlimen.

Selain isu calon yang begitu memeningkan kepala Najib sekarang ini, Najib juga mempunyai keghairahan yang tinggi untuk menawan semula Selangor. Pengalamannya menjadi Perdana Menteri Malaysia tanpa memiliki Selangor yang merupakan negeri penting dari segi sumber pendapatan negara, barangkali menyedarkannya bahawa Selangor tidak harus dibiarkan terlepas lagi. Sebab itu, selain menjadi Pengerusi UMNO Selangor, Najib juga menyanggupkan dirinya menjadi pengarah pilihanraya bagi negeri itu.

Kebimbangan Najib mengenai Selangor ialah jika negeri itu memilih untuk mengadakann pilihanraya berasingan. Permainan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengacah-acah tarikh pilihanraya negeri sebelum ini dan beberapa kali bercakap mengenai kemungkinan mengadakan pilihanraya berasingan dilihat antara aspek yang menyebabkan Najib melewatkan pembubaran Parlimen.

Najib mahu pilihanraya Parlimen dan DUN Selangor diadakan serentak kerana dianggap memberi kelebihan kepada BN dan akan berusaha mengelak daripada Khalid Ibrahim mempunyai ruang untuk mengadakannya secara berasingan. Salah satu caranya ialah dengan membiarkan DUN Selangor terbubar dengan sendirinya dahulu pada 22 April ini sebelum membubarkan Parlimen.

Atas apa sifir sekali pun, kedudukan BN dan PR kini adalah 50:50. Siapa pun yang akan menang nanti, kebarangkaliannnya hanyalah dengan majoriti mudah, mungkin dengan kelebihan kurang daripada 10 kerusi Parlimen. Najib dan Anwar, sama-sama menyedari hakikat ini.

Tetapi bagi Najib, kemenangan dengan majoriti mudah belum tentu menyelamatkan masa depan politik dan kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya. Mahathir sendiri sudah bercakap bahawa kemenangan yang tipis bakal menyebabkan Najib akan dipaksa berundur. Sepertimana mana Mahathir memaksa Pak Lah berundur dulu, beliau kini sudah mula memberi peringatan yang sama kepada Najib.

Najib memang diketahui belum puas menjadi Perdana Menteri. Jika menang tipis pun, sedaya mungkin beliau mahu terus bertahan. Untuk tujuan itu, selain pemilihan calon yang mungkin boleh membantunya duduk lebih lama sebagai Perdana Menteri, Najib juga memikir dengan kejayaan merampas semula Selangor akan memberi kelebihan kepadanya untuk menghadapi tekanan daripada dalam UMNO sendiri.

Berbanding jika hanya mampu menang tipis di Pusat dan Selangor pula terus terlepas ke tangan PR, Najib akan lebih mudah dipaksa berunsur selepas itu. Tetapi jika Selangor dapat dirampas semula dalam kedudukan Pusat hanya menang tipis, Najib mungkin mempunyai hujah yang kuat untuk mewajarkannya terus kekal.

Selangor sebenarnya bukan saja penting sebagai negeri yang mahu kepada Malaysia tetapi juga kepada karier masa depan Najib. (SH 02/04/2013)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...