Wednesday, 31 August 2016

MENJELANG SEBULAN PERMOHONAN, APA AGAKNYA NASIB BERSATU?


Pada 8 September ini, genap sebulan permohonan pendaftaran parti BERSATU dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan. Pendaftaran BERSATU dikemukakan sendiri oleh Presiden penaja, Muhyiddin Yassin bersama beberapa ahli jawatankuasanya pada 9 Ogos lalu.

Jika mengikut kata Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri sebelum ini, sebuah jawatankuasa yang berperanan mengkaji permohonan itu mempunyai tempoh selama 30 hari untuk memberikan cadangan kepadanya berkaitan perkara itu.

Kata Zahid, beliau akan bertindak profesional sama ada meluluskan atau menolak penubuhan BERSATU berdasarkan cadangan yang dikemukakan kepadanya.

Ini bermakna, jika 30 hari diambil oleh jawatankuasa itu untuk membuat penilaian dan seterusnya mengusulkan cadangan kepada menteri, tempoh seminggu daripada sekarang adalah detik masa yang mendebarkan bagi mereka yang menunjangi BERSATU.

Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin UMNO jelas berbelah bagi mengenai kewujudan parti BERSATU ini. Ada yang setuju dan ada juga yang melihatnya bakal memecahbelahkan rakyat. Yang tidak setuju dengan nama BERSATU pun turut ada.

Ada pemimpin yang melarang ahli UMNO mempromosi parti BERSATU, tetapi ada juga pemimpin yang meminta ahli UMNO yang pro BERSATU agar "berambus" dengan segera.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Shahrir Samad secara terbuka memberi amaran agar jangan memandang ringan kerana menyifatkan BERSATU mampu menjadi ancaman kepada UMNO.

Najib Razak, sebagaimana yang terpancar melalui beberapa ucapannya sejak kebelakangan ini terlihat tidak berapa gembira dengan kewujudan BERSATU. 

Walaupun bercakap setelah memecat dan menyingkir pencabarnya, ungkapan beliau seperti, "kalau tak setuju dengan saya, bertandinglah melawan saya dalam UMNO",  "kenapa nak tubuh parti baru?" dan "jangan kita sanggup runtuhkan UMNO" adalah suatu manifestasi kebimbangan yang begitu ketara terhadap kewujudan BERSATU.

Dalam situasi ini, apakah BERSATU akan diberikan kelulusan dengan semudahnya?

Atau adakah ia akan ditolak kerana ada syarat-syaratnya yang tidak dipatuhi seperti penggunaan nama BERSATU itu sendiri?

Atau mungkinkah kelulusan BERSATU  bakal dilengah-lengahkan dengan pelbagai alasan dan kemudian tergantung begitu saja sehingga tarikh PRU 14 diadakan? (SH 31/08/2016).

MASIH ADA YANG BELUM MERDEKA


Hari ini hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 59. Setiap tahun kita meraikannya kerana itulah tanda kita bebas daripada ikatan penjajahan setelah ratusan tahun sebelumnya, silih berganti dirantai oleh beberapa negara asing sejak tahun 1511 lagi.

Merdeka sebenarnya mempunyai pengertian dan ruang lingkup yang sangat luas. Ia tidak saja bermakna bebas daripada penjajahan atau cengkaman negara asing, malah mengisinya dalam ertikata sebagai manusia yang merdeka, jauh lebih mendalam pengertiannya. 

Sebagai manusia, makna paling asas bagi merdeka ialah kebebasan serta keberanian untuk menyatakan antara yang benar dan yang salah. Tidak guna kita merdeka, mengaku merdeka atau berbangga setelah 59 tahun bebas daripada penjajahan, kiranya masih ada ketakutan untuk menyatakan kebenaran secara terbuka.

Tidakkah benar dan salah itu seperti berbezanya hitam dengan putih? Lalu, mengapa masih ada yang ragu-ragu untuk menyatakannya?

Sejak kecil kita memang diajar mengenal antara yang salah dan benar atau antara yang baik dan buruk. Kepada anak-anak juga kita selalu mengatakan demikian. Kita akan pantas mengatakan kepada mereka bahawa mencuri misalnya, biar sebiji telur ayam sekali pun, tetap salah dan berdosa.

Jika mengetahui ada kecurian, kita mesti melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kalau kita kenal pencuri pula, kita mungkin memberitahu pencuri terbabit bahawa mencuri adalah perbuatan yang salah. Kemudian, kita tentu akan menjauhi pencuri terbabit dan enggan berkawan dengannya. Berkawan dengan pencuri memungkinkan barang kita juga turut dicuri suatu hari nanti atau mungkin akhirnya bersubahat memakan hasil curi.

Pokoknya, seseorang yang kenal antara benar dan salah, bukan saja membenci perbuatan mencuri, berusaha mencegahnya dan akhirnya akan bertindak menjauhi pencuri terbabit.

Kiranya itu yang kita kita lakukan, itulah merdeka namanya dan bermakna kita sedang mengajar anak-anak kita erti kemerdekaan yang sebenar. Tidak lain erti kemerderkaan dalam diri seseorang melainkan kenal antara yang benar dan yang salah serta berani untuk menyatakannya tanpa bimbang terhadap apa-apa yang lain.

Tetapi, apakah merdeka namanya apabila kita terus menyanjung, memuji dan mencium tangan seseorang yang tiba-tiba dalam akaun banknya ada wang beribu-ribu juta yang entah dari mana datangnya?

Merdekakah jiwa kita jika seseorang yang ada ribu-ribu juta itu tetap dipertahankan setengah mati dengan mengatakan dia tidak melakukan kesalahan apa-apa atau tidak melanggar sebarang peraturan undang-undang negara?

Merdekakah andainya setelah seseorang itu mengaku memang dalam akaun banknya ada kemasukan ribu-ribu juta, tapi kita berhujah pula, "Saya kenal dia, dia bukan jenis yang curi duit orang" sebagai alasan untuk membelanya?

Merdekakah jika seseorang itu terus dibela, dipertahan, dipuji, disanjung dan dicium tangannya sedangkan nawaitu perbuatan itu bukan berasaskan benar atau salah, tetapi kerana ingin habuan, ganjaran atau takut kehilangan jawatan?

Apakah di dunia ini, yang difikirkan hanya habuan, ganjaran dan jawatan semata-mata?

Di sebalik usia merdeka 59 tahun negara, hakikatnya terdapat segelintir daripada kita yang belum lagi merdeka jiwanya. Masih ada yang sanggup menutup kesalahan dan menyembunyikan kebenaran semata-mata kerana ada ganjaran yang diberikan.

Mereka ini dengan rela membiarkan diri dijajah terang-terang di depan mata hanya kerana ingin mempertahankan kenikmatan hidup yang sementara. (SH 31/08/2016).

Tuesday, 30 August 2016

MERDEKAKAH NAZRI?


Kehkehkeh.....

Betulkah Nazri Aziz akan terus pengsan jika melihat wang sejumlah RM4,000 juta dalam akaun peribadi Najib Razak?

Jika begitu, kenapa sewaktu Najib mengakui kewujudan wang RM2,600 juta dalam akaun peribadinya sebelum ini, Nazri sama sekali tidak terkejut atau separuh pengsan kerananya?

Yang lebih "power", Nazri juga berkata, "Saya kenal Najib, dia bukan jenis orang yang curi wang."

Kehkehkehkehkeh.....

Merdekakah Nazri? (SH 30/08/2016).

SPRM, DENGARLAH JUGA KELUHAN INI!!


Memang kita menghargai dan menyanjung tinggi tindakan SPRM membanteras gejala rasuah sejak akhir-akhir ini. Dengan tangkapan demi tangkapan yang dilakukan, ia menyerlahkan barah rasuah boleh dikatakan agak kronik di negara kita ini.

Rasuah kini berlaku di mana-mana dan pelakunya pula seperti tidak malu lagi mempamerkan kemewahan, gaya hidup luar biasa dan pemilikan harta keterlaluan yang tak seimbang dengan gaji bulanan kepada masyarakat sekeliling. 

Bukti dan maklumat yang didedahkan oleh SPRM melalui beberapa tangkapan membuatkan kita semakin bimbang, pusing kepala dan mengeluh, "apa jadi akhirnya kepada negara ini!".

Kita juga mengharapkan SPRM terus membongkar gejala rasuah ini, bukan saja di sektor awam, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan, tetapi juga yang melibatkan orang-orang politik yang ada kuasa. Kadangkala, di sanalah berpusat segala-galanya.

Dalam masa yang sama, kepada SPRM, dengarlah juga keluhan Khairuddin Abu Hassan ini. Secara umumnya, beliau hanya mahukan tindakan dilakukan secara menyeluruh dan tanpa memilih bulu, tidak kepada ikan-ikan kecil atau sederhana saja.

 Berikut adalah kenyataan penuhnya. (SH 30/08/2016).


Saya telah buat beberapa laporan pada SPRM dalam kes skandal kewangan terbesar dunia iaitu isu 1MDB dan kes dana berjumlah RM2.6 bilion serta RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri!!

SPRM jangan hanya jadi jaguh berani tangkap kes-kes kecil tetapi isu salahguna-kuasa Perdana Menteri tak berani sentuh!!

Saya nak tanya Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru mengenai status laporan saya keatas syarikat 1MDB dan Najib Tun Razak!! Apa sudah jadi?!

Secara peribadi saya lihat tangkapan-tangkapan masakini keatas beberapa individu-individu serta pegawai tertinggi Bank Rakyat masih gagal untuk meyakinkan rakyat kearah memulihkan imej ataupun reputasi SPRM!!

SPRM kelihatan amalkan pilih kasih!! Selagi SPRM tidak bertindak keatas Najib Tun Razak yang membabitkan sejumlah duit yang amat besar masuk ke dalam akaun peribadinya; selagi itulah kredibiliti SPRM akan tercalar!!

Isu dana Najib Tun Razak telah menjadi bahan berita dunia masakini!! Beberapa negara luar telahpun memperolehi bukti-bukti sahih!! Apa lagi SPRM tunggu?!

Tambahan pula Mantan Timbalan Perdana Menteri telah mendedahkan Najib Tun Razak mempunyai dana RM1 bilion dalam akaun peribadinya sebelum kes kononnya wang derma RM2.6 bilion wujud!!

Mantan peguam negara iaitu Tan Sri Ghani Patail telah menunjukkannya bukti kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

SPRM wajib siasat kes pendedahan terbaru Tan Sri Muhyiddin ini!! Mantan Timbalan Perdana Menteri ini mesti dipanggil oleh SPRM untuk soal siasat!! Begitu juga dengan Mantan Peguam Negara pun sepatutnya disoal-siasat oleh SPRM!!

Saya rasa buang masa saja buat laporan pada SPRM mengenai kes salahguna-kuasa Najib Tun Razak!! Pergi ke Ibu Pejabat SPRM berjam-jam disoal-siasat tapi habuk pun tak ada!!

Kalau SPRM perlukan saya buat satu lagi laporan mengenai wang sejumlah RM1 bilion yang berada dalam akaun peribadi Perdana Menteri sepertimana yang didedahkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin; esok pun saya boleh lapor di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya!!

Tapi SPRM kena janjilah untuk berani bertindak tanpa memilih bulu mengikut lunas undang-undang secara adil dan saksama kearah membela keseluruhan rakyat Malaysia!!

Bolehkah Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru berjanji ini pada saya?!

DATO SERI KHAIRUDDIN ABU HASSAN
29 Aug 2016.

Monday, 29 August 2016

SAMANLAH MUHYIDDIN DAN GANI PATAIL, BARU BUKTI BOLEH DITUNJUKKAN!!

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mahu pendahulunya, Muhyiddin Yassin menunjukkan bukti jika benar dalam akaun bank Najib Razak sudah menerima kemasukan wang kira-kira RM1,000 juta sebelum wujudnya kontroversi RM2,600 juta yang didakwa sebagai derma daripada anak Raja Arab.

Kata beliau, Muhyiddin tidak wajar membuat dakwaan yang hanya berdasarkan khabar angin.

"Minta dia berikan bukti jika dia ada. Dia menuduh Perdana Menteri kita, jadi dia mesti menunjukkan bukti," kata Zahid lagi.

Dalam hal ini, Zahid seharusnya sedar bahawa Muhyiddin tidak membuat dakwaan tersebut berdasarkan khabar angin di kaki-kaki lima, tetapi jelas menyebutnya bahawa setelah ditunjukkan bukti oleh Gani Patail yang merupakan Peguam Negara ketika itu.

Bukti itu sekarang sama ada dalam simpanan Gani Patail atau salinannya turut ada pada Muhyiddin.

Tetapi, sebelum Zahid mahu meminta Muhyiddin menunjukkan bukti, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional juga sepatutnya sedar mengenai wujudnya Akta Bank dan Institusi Kewangan atau BAFIA yang menghalang maklumat perbankan seseorang didedahkan kepada umum.

Jika Muhyiddin mendedahkannya, belum pun kebenarannya dakwaanya itu disiasat, sudah pasti kesalahannya dibawah BAFIA akan diambil tindakan terlebih dahulu.

Maknanya, jika pun Muhyiddin mendedahkan bukti tersebut sebagai memenuhi permintaan Zahid, ia tidak memberi makna apa-apa kepada kebenaran yang ingin diketahui.

Sesuai sebagaimana kata Muhyiddin semalam bahawa maklumat mengenai wang RM1,000 juta itu ditunjukkan sendiri oleh Gani Patail kepadanya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri, apa yang harus dilakukan ialah Najib sendiri seharusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua mereka itu.

Hanya dengan keberanian Najib menyaman Muhyiddin dan Gani Patail saja, barulah kebenaran atau maklumat bank mengenai wang RM1,000 juta itu dapat didedahkan serta diketahui kebenarannya.

Soalnya, beranikah Najib?

Jika Najib tidak berani, apa kata Zahid sendiri atau mana-mana penyokongnya yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Muhyiddin dan Gani Patail berkaitan kebenaran dakwaan wang RM1,000 juta itu.

Mana tahu, ia juga boleh menjadi laluan lebih cepat untuk Zahid menjadi Perdana Menteri mengggantikan tempat Najib? (SH 29/08/2016).

BUKU APA KOSNYA SAMPAI RM15 JUTA?

Sehingga ini enam orang sedang ditahan reman untuk disoal siasat oleh SPRM berhubung penyelewengan dana sebanyak RM15 juta melibatkan sebuah bank berkaitan kerajaan untuk menerbitkan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

Selain pengarah urusan bank berkenaan bersama lima yang lain daripada syarikat penerbitan dan syarikat proksi sudah ditahan reman sejak minggu lalu, pengerusi bank yang merupakan bekas jenderal juga turut disoal siasat.
Seiring dengan soal siasat itu, SPRM juga merampas sebuah rumah teres, sebuah Rolls Royce, Ferrari, Toyota dan dua buah motorsikal. Sebelum itu, wang tunai berjumlah RM30 ribu dan enam utas jam tangan berharga RM20 ribu setiap satu juga  dirampas serta beberapa akaun bank bernilai hampir RM10 juta telah dibekukan.

Selain disiasat berhubung penerbitan buku, pengarah urusan dan pengerusi bank berkaitan kerajaan itu juga dipercayai disoal siasat berhubung projek naik taraf sistem perbankan yang bernilai ratusan juta ringgit.

Jika kita mengecilkan skop pencarian, sebenarnya tidaklah sukar mengenalpasti bank, pengarah urusan dan pengerusi yang sedang disoal siasat itu kerana hanya ada beberapa buah bank berkaitan kerajaan saja yang ada di negara ini.
Bank terbabit juga sebelum ini pernah menjadi isu nasional sehingga kepada perdebatan di Parlimen berikutan pemberian keistimewaan pinjaman kepada seorang  ahli perniagaan kontroversi.

Disoal siasat berkaitan projek menaik taraf sistem bank mungkin tidak berapa mengejutkan kita, tetapi yang paling menghairankan ialah mengenai penerbitan sebuah buku melibatkan tokoh pemimpin negara yang menelan kos RM15 juta.

Bekas pemimpin negara yang mahu dibukukan kisahnya itu dipercayai pernah memerintah negara suatu ketika dahulu, tetapi anaknya kini masih berada dalam pentadbiran kerajaan.

Buku bagaimana dan seperti apa sehingga menelan kos sampai RM15 juta?

Apakah buku tersebut ditulis dengan tulisan bersalut emas sehingga kosnya begitu mahal?
Apakah wang RM15 juta itu benar-benar untuk menerbitkan buku atau ia tidak lebih merupakan suatu komplot terancang untuk menggelapkan wang bank yang kemudian diagih-agihkan sesama sendiri ibarat penyamun membahagi-bahagikan hasil samunan mereka?

Seorang penulis dan penerbit buku yang pro UMNO dan kerajaan secara bergurau memberitahu, jika beliau diberikan RM15 juta, beliau bahkan mampu menulis dan menerbitkan buku mengenai setiap menteri-menteri dalam kabinet yang ada sekarang. 

Harga sebuah buku nampaknya lebih mahal daripada kos buat bangunan lima enam tingkat. (SH 29/08/2016).

Sunday, 28 August 2016

MUJURLAH TUN M YANG KAKI GADUH INI MASIH SUKA UNTUK BERGADUH!!


Najib Razak semalam menyifatkan Tun Mahathir Mohamad sebagai pemimpin yang suka bergaduh dengan ramai orang, bukan saja sepanjang berkuasa selama 22 tahun, bahkan juga setelah tidak lagi memegang kuasa.

Katanya, bekas Perdana Menteri itu sering mengkritik pemimpin terdahulu dan sekarang sebagai tidak betul dalam segala tindak tanduk mereka.

Kita semua faham orang yang kaki gaduh ini akan selalu cari gaduh, katanya lagi.

Benarkah Tun Mahathir kaki gaduh?

Adakah beliau bergaduh untuk kepentingan dirinya, bagi menyelamatkan negara atau saja-saja suka bergaduh?
Dengan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein, Tun Mahathir tidaklah bergaduh dalam ertikata yang sebenar, sebaliknya mereka hanya berbeza pendapat dalam beberapa perkara berkaitan pentadbiran negara.

Bagaimanapun Tun Mahathir amat menghormati bekas pemimpin tersebut dan tidaklah sampai menarik kemudahan polis pengiring atau melucutkan jawatan tertentu mereka, meskipun sering dikritik dan ditegur oleh kedua-duanya.

Namun demikian, kalau pun mahu dikatakan kaki gaduh, bukan Tun Mahathir yang kaki gaduh kerana beliau sedang memegang kuasa ketika itu, tetapi kedua-dua pemimpin yang tidak lagi berkuasa itulah yang sebenarnya mahu cari gaduh dengannya.

Jika bergaduh dengan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein dikatakan sebagai suatu kesalahan kepada Tun Mahathir sehingga dikatakan kaki gaduh, bermakna Najib juga adalah kaki gaduh apabila bergaduh dengan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu sekarang ini.

Begitu juga, kiranya bergaduh dengan Musa Hitam sebagai suatu kesalahan kepada Tun Mahathir, bagaimana dengan Najib yang juga bergaduh dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin?

Tidakkah ia bermakna Najib juga kaki gaduh?

Selepas tidak lagi berkuasa, Tun Mahathir hanya bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi dan Najib yang berlarutan sehingga sekarang.

Tetapi, cuba bayangkan bagaimana keadaan negara jika Tun Mahathir tidak bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi?

Apa jadi kepada keadaan negara sekarang ini?

Mungkin jika BN terus menang pilihanraya, Tun Abdullah masih kekal sebagai Perdana Menteri sehingga kini, namun tentulah yang mencaturkan negara ialah budak-budak tingkat 4 saja.

Bolehkah kita membayangkan bagaimana keadaan negara yang dicaturkan oleh anak-anak muda tingkat 4 yang menguasai seorang ketua kerajaan?

Malah, jika tidak bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi, belum tentu juga Najib dapat merasa menjadi Perdana Menteri.

Setidak-tidaknya, Najib seharusnya berterima masih juga kepada Tun Mahathir kerana kesediaannya bergaduh dengan Tun Abdullahlah yang menyebabkannya merasa tinggal dengan segala kemewahan di Seri Perdana dan kemudian dapat pula berkenal-kenalan dengan  anak muda bernama Jho Low yang sekarang terkenal di Amerika itu.

Setelah menjadi Perdana Menteri, apakah suatu kesalahan Tun Mahathir bergaduh  dengan Najib?

Dengan Najib yang terlibat dengan skandal kewangan terbesar di dunia melalui 1MDB, derma RM2,600 juta, pembaziran dan kemewahan isteri serta segala macam hal lainnya yang membawa kerosakan, bolehkah kita membayangkan bagaimana keadaan negara jika Tun Mahathir hanya berdiam diri dan tidak bergaduh dengannya?

Dalam keadaan dikritik dan ditegur oleh Tun Mahathir pun, bermacam-macam caca marba dan kong-kali-kong dilakukannya, bayangkanlah kiranya tidak ada sesiapa yang berani menegur atau mengkritiknya?

Bukankah Tun Mahathir yang telah membina negara ini dengan pelbagai kecemerlangan sepanjang 22 tahun pemerintahannya akan dianggap tidak bertanggungjawab jika membiarkan saja Najib berbuat sesuka hati yang merosakkan negara serta mencemar nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa?

Dengan Tun Abdullah dan Najib terutamanya, memang Tun Mahathir kena bergaduh dengan mereka. Ia adalah kewajipan beliau untuk menyelamatkan negara. Beliau merelakan dirinya menjadi kaki gaduh sehingga anaknya sendiri kehilangan jawatan sedangkan jika hanya berdiam diri dan tidak berkata apa-apa terhadap salah laku Najib, tentu kehidupan persaraannya lebih aman damai, bahkan Mukhriz juga tentunya masih kekal dengan jawatannya.

Di sinilah pengorbanan Tun Mahathir kepada negara yang tidak dimiliki oleh ramai bekas pemimpin lain. Beliau tidak suka-suka untuk bergaduh, tetapi rela melakukannya untuk kita semua.

Bagi rakyat yang cintakan kebenaran, sayangkan negara dan tidak tertadah-tadah dengan dedak, dalam hati mereka pasti akan berkata - mujurlah ada Tun Mahathir yang kaki gaduh ini masih suka untuk bergaduh lagi. (SH 28/08/2016).

ADAKAH TUN RAZAK JUGA PENGKHIANAT KERANA BEKERJASAMA DENGAN PEMBANGKANG SELEPAS TRAGEDI 1969?


Berikut ini adalah tulisan seorang "bangsa Kelantan" yang menetap di luar negara berdasarkan tontonannya secara live ucapan Tun Mahathir Mohamad di Ketereh pada 26 Ogos lalu.

Tulisan ini sudah banyak tersebar di media sosial serta grup Whatsapp dan dikongsikan di sini untuk kebaikan kita bersama, mudah-mudahan perubahan semakin dekat dengan hati kita. (SH 28/08/2016)


1. Malam tadi saya menonton lintas langsung program Bicara Rakyat di kampung saya, Ketereh. Kelantan. Program tersebut menampilkan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

2. Saya bersengkang mata hingga jam 2:00 pagi waktu Hobart untuk menonton kesemua ucapan dimana Tun M menjadi penceramah terakhir.

3. Telah menjadi kebiasaan saya sejak dari kecil, saya cuba untuk tidak melepaskan peluang mendengar atau membaca ucapan Tun M, terutamanya dalam program-program politik.

4. Ini kerana ucapan beliau sarat dengan maklumat-maklumat dan fakta-fakta yang menarik.

5. Dalam ucapan malam tadi, beliau menyentuh tindakan pemimpin-pemimpin BN yang mengutuk beliau kerana bekerjasama dengan pembangkang.

6. Beliau menekankan bahawa di dalam politik, strategi amatlah penting. Menurut Tun M, selaku belas Pengerusi BN, rahsia BN menang di dalam pilihanraya ialah kerana mereka tidak bertanding melawan sesama sendiri.

7. Tun M menegaskan bahawa kita perlu ingat yang Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional selepas tragedi 13 Mei dengan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang di waktu itu seperti Gerakan, PPP (People’s Progressive Party), SUPP dan juga PAS. Menurut Tun M, DAP pada masa itu juga dijemput untuk bersama, tetapi parti tersebut menolak.

8. Oleh itu, menurut Tun M, bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya BERSATU bersedia bekerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain. Tun Razak bekerjasama dengan pembangkang pada waktu itu untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.

9. Ini satu hujah yang amat menarik!

10. Jika kita imbas kembali, dalam Pilihanraya Umum 1969, Gerakan telah Berjaya menubuhkan kerajaan di Pulau Penang dengan merampasnya dari MCA. PPP pula hampir membentuk kerajaan di Perak (hanya kekurangan dua kerusi) manakala PAS pula membentuk kerajaan di Kelantan.

11.  Pada 1972, Gerakan dan PPP menyertai Parti Perikatan. Ianya kemudian diikuti oleh PAS. Akhirnya pada 1973, Barisan Nasional dibentuk. 

12. Oleh itu, jika pemimpin BN berkata tindakan BERSATU yang sedia bekerjasama dengan pembangkang adalah satu pengkhianatan kepada orang Melayu, bukankah ianya bermakna mereka berkata tindakan Allahyarham Tun Abdul Razak bergabung dengan pembangkang dalam membentuk BN juga satu pengkhianatan? Bayangkan jika DAP bersetuju untuk bersama BN ketika itu!

13. Bagi saya, ianya bukanlah satu pengkhianatan. Tetapi satu strategi politik yang ampuh untuk membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil selepas negara melalui tragedi 13 Mei.
.
14. Sama-samalah kita fikirkan!

Dr Radzi Jidin
Hobart
Australia
27 Ogos 2016
Untuk FB Bicara Malaysia

Saturday, 27 August 2016

LAWAK NAJIB


Hahaha....hehehe...hihihi...hohoho...

Kahkahkah...kehkehkeh...kihkihkih...kohkohkoh...

Ketawa tak berhenti-henti semua makhluk, bukan saja manusia, tetapi juga segala isi hutan di Cameron Highlands hari ini apabila Najib Razak mencabar mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap kepimpinannya agar bertanding menentang beliau dalam pemilihan UMNO yang akan datang.

Kalau nak jatuhkan saya, bertandinglah dalam UMNO tapi jangan runtuhkan UMNO, kata beliau ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Cameron Highlands, pagi tadi.

Pernah kita dengar Najib mencabar sesiapa menentangnya sebagai Presiden UMNO sebelum ini?

Kenapa hanya berani mencabar selepas memecat Muhyiddin Yassin, Mukhriz Mahathir serta setelah menggantung keahlian Shafie Apdal yang kemudian membuatkannya keluar daripada UMNO.

Kenapa tidak berani melakukan cabaran sebelum ini?

Jika benar sedia dan tidak takut ditandingi, mengapa mereka yang mengkritik dan berbeza pendapat sebelum ini, semuanya dibuang dan diketepikan daripada UMNO?

Begitu juga, kenapa pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan tahun ini tidak berani diadakan mengikut jadual, sebaliknya ditangguhkan untuk memberi laluan PRU 14 diadakan terlebih dahulu?

Andai benar sedia dilawan dan tidak takut dicabar, bukankah tahun lepas lagi Najib seharusnya sudah mengumumkan pemilihan UMNO tidak ditangguhkan dan tidak ada sesiapa juga dipecat hanya kerana menegurnya?

Siapa yang Najib nak kelentong agaknya?

Hahaha..hehehe...hihihi...hohoho...kahkahkah...kehkehkeh...kihkihkih...kohkohkoh.... (SH 27/08/2016).

YANG PENTING #TANGKAP MO1 TERTANGKAP DI HATI KITA


Petang ini akan berlangsung perhimpunan #Tangkap MO1 anjuran Persatuan Mahasiswa Melayu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan dijangka akan turut hadir memberi sokongan dalam perhimpunan tersebut. Dilaporkan juga bahawa Tun Mahathir Mohamad akan hadir sama sebagai memenuhi jemputan dan untuk memberikan sokongan.

Bagaimanapun, gerakan baju merah yang sebelum ini bertekad mahu menunjukkan bantahan terhadap himpunan #Tangkap MO1 telah membatalkan hasrat mereka.
Alasan yang diberikan kononnya ia hanya perhimpunan budak-budak kecil yang tidak mungkin disertai ramai orang.

Ia tidak akan berjaya seperti himpunan Bersih, paling tidak 100 atau 200 orang akan hadir. Kalau berjaya menghimpunkan 1000 atau 2000,  ia sudah dianggap berjaya, kata Jamal Md  Yunus cuba memperkecil-kecilkan perhimpunan #Tangkap MO1 petang ini.

Usaha mahasiswa ini sebenarnya adalah langkah terpuji untuk menyedarkan rakyat tentang kemelut besar yang sedang melanda negara kita. Berapa ramai yang akan hadir dan sama ada MO1 akan ditangkap oleh pihak berkuasa negara kita atau sebaliknya,  ia bukanlah isu yang sangat penting sebenarnya.

Kehadiran mencecah 5000 atau 10,000 adalah bonus bagi  gerakan mahasiswa terbabit. Tetapi, rasanya bukanlah masalah besar bagi mereka untuk mendapatkan kehadiran sebanyak 2000 atau 3000 orang.

Yang penting MO1 atau Malaysian Official 1 telah menjadi sebutan dunia dan dikenalpasti oleh pihak Jabatan Kehakiman AS dan FBI sebagai telah menerima wang 1MDB sebanyak AS$731 juta atau hampir RM3,000 juta ke dalam akaun bank peribadinya.

Pihak berkuasa negara kita mungkin tidak akan berbuat apa-apa, malah proses tindakan di Amerika juga barangkali memakan masa yang agak lama. Pembekuan harta Jho Low dan Riza Aziz pun belum selesai lagi. Selepas harta-harta tersebut dibekukan, biasanya barulah proses-proses seterusnya akan bermula.

Maksud lebih besar mahasiswa mengadakan himpunan #Tangkap MO1 adalah agar salah laku MO1 sentiasa melekat atau tertangkap di hati setiap kita. Kesalahan yang dilakukan MO1 sebagaimana disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS bukanlah kesalahan biasa, bahkan luar biasa serta memecahkan rekod dunia.

Jika kita begitu benci benci dan selalu mengutuk semua jenis pencurian, daripada yang besar sehinggalah kepada kecurian sebiji telur ayam atau kehilangan wang tabung masjid, memang jenis manusia paling terkutuk saja yang sanggup berdiam diri terhadap kehilangan wang sehingga RM3,000 juta banyaknya.

Tidak kira berapa ramai yang hadir petang ini, mahasiswa mesti terus menyedarkan rakyat melalui himpunan #Tangkap MO1 ini secara berterusan sehingga tarikh PRU 14 diadakan. 

Kalaupun tidak dapat ditangkap sepertimana mudahnya menangkap Pokeman Go, yang lebih kita mahu ialah MO1 benar-benar tertangkap di hati rakyat yang akan diterjemahkan dalam kotak-kotak undi pilihanraya nanti. (SH 27/08/2016).

Friday, 26 August 2016

ALAHAI DATUK BANDAR...

Susulan penahanan seorang Pengarah DBKL  kerana didakwa terbabit rasuah dan laporan media kemudian mendedahkan antaranya kerana dipercayai memiliki sehingga 31 unit kondominium mewah di sekitar Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya 30 lagi akan turut sama disiasat oleh SPRM.

Sebahagian mereka juga dipercayai terlibat sama memiliki unit-unit kondominium mewah dengan menandatangani perjanjian jual beli dengan syarikat pemaju secara percuma dan kemudian menjualnya dengan harga pasaran apabila ia siap.

Tetapi, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mohd Amin Nordin Abd Aziz menyifatkan semua yang berlaku ini bakal menjejaskan moral kakitangan DBKL.

Semua ini memberi kesan kepada moral kakitangan kami, katanya dengan ringkas.

Menjejaskan moral pulak?
Apakah jika tiada tangkapan dan penahanan oleh SPRM, bermakna moral kakitangan DBKL akan sentiasa berada di tahap yang tinggi?

Mana lebih penting,  moral kakitangan DBKL atau membanteras gejala rasuah yang makin menggila?

Alahai....(SH 26/08/2016).

APA HAL PULAK NI??


Berikut adalah pemakluman yang diterima daripada Tamrin Ghafar lewat malam tadi:-
Sukacita dimaklumkan satelah memikir dengan teliti maka saya memutuskan perkara2 berikut :

1) Tidak akan menyertai Parti baru yang sedang diusahakan oleh TSMY

2) Menarik diri dari Seketeriat Deklarasi Rakyat yang diketuai oleh Tun Mahathir.

Keputusan ini adalah muktamad . 
Ia berkuatkuasa mulai hari ini.

Jumaat 
26hb Ogos 2016
Tamrin Tun Ghafar
Bukan setakat tidak mahu menyertai parti BERSATU yang dipimpin oleh Muhyiddin Yassin, bahkan Tamrin juga mengumumkan menarik diri daripada seketariat Deklarasi Rakyat yang diusahakan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Tamrin, seperti mana yang diketahui umum adalah antara 50 orang dalam kumpulan pertama yang menandatangani Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Najib sebagai Perdana Menteri.

Apa hal pulak ni?? (SH 26/08/2016).

Thursday, 25 August 2016

PEMIMPIN UMNO AKAN MASUK BERSATU?


Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan pimpinan UMNO dan BN agar tidak memandang rendah terhadap kewujudan BERSATU kerana percaya parti itu mampu memberi cabaran dalam PRU 14 akan datang.

Kata Ahli Parlimen Gua Musang itu,  BERSATU dikepalai oleh bekas-bekas pemimpin yang berpengaruh seperti Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin dan nama mereka juga masih disanjung ramai.

Jangan pandang mudah kerana BERSATU boleh jadi merupakan pencabar yang gagah dan mampu menggugat UMNO, ujarnya lagi.

Tetapi, adakah UMNO dan BN benar-benar melihat BERSATU sebagai cabaran kepada mereka?

Berapa ramaikah yang sedar mengenainya dan kemudian berusaha memperkuatkan UMNO di bahagian masing-masing?
Jika dilihat secara umum, pimpinan UMNO seolah-olah tetap selesa dan yakin mereka akan kekal berkuasa, meskipun setelah wujudnya BERSATU.

Di peringkat pimpinan yang selalu muncul di media, majoritinya lebih banyak memperlekeh kewujudan BERSATU sebagai tidak mampu memberi cabaran kepada UMNO, malah ramai juga yang meramalkannya akan menerima nasib seperti Semangat 46 akhirnya.

Selain itu, tidak ternampak sama sekali usaha luar biasa di peringkat akar umbi oleh pimpinan UMNO untuk lebih memperkukuhkan parti atau menambah keyakinan rakyat terhadap BN.

Semuanya macam biasa-biasa saja, tiada apa-apa yang berubah pun berbanding setahun atau dua tahun yang lalu.

Kenapa ini berlaku? Tidak bimbangkah mereka UMNO kehilangan kuasa?

Dalam tinjauan rambang kepada beberapa pimpinan UMNO di seluruh negara, mereka sebenarnya bukan tidak bimbang atau gundah gulana dengan wujudnya BERSATU ini.

Namun, kata mereka, apa yang boleh dilakukan lagi memandangkan semua masalah yang berlaku adalah disebabkan oleh Najib Razak dan selagi beliau kekal, kecelaruan akan terus berlaku.

Usaha-usaha pemulihan parti atau meningkatkan kerja di peringkat akar umbi juga, kata mereka, tidak mungkin menampakkan sebarang kesan selagi punca segala masalah dalam parti dan negara masih tercongok di Putrajaya.

Bagaimana jika UMNO dan BN kalah pilihanraya nanti? Tidak bimbangkah menjadi pemimpin dalam parti yang tidak ada kuasa?

"BERSATU tidak banyak berbeza dengan UMNO, malah pemimpinnya juga adalah bekas pemimpin UMNO. Kita juga yakin sebahagian besar yang akan menyertai BERSATU nanti adalah juga bekas ahli-ahli UMNO.

"Jika UMNO kalah dan BERSATU menjadi sebahagian kerajaan baru, ketika itu kita akan memilih untuk menyertai BERSATU untuk meneruskan perjuangan.

"Apa yang susahnya....sekarang biarlah Tun Mahathir memperkuatkan BERSATU dulu."

Alamak, macam tu pulak!! (SH 25/08/2016).

APA YANG TINGGAL LAGI DALAM 'FRANKLY SPEAKING' MUSA HITAM?


Ketika terbitnya buku "Frankly Speaking" oleh Musa Hitam, ramai yang melihat ia mungkin sesuatu yang bermanfaat kepada generasi muda untuk memahami banyak perkara mengenai politik dan pentadbiran negara.

Lebih-lebih apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengatakan beliau mengambil masa 15 tahun untuk menulis buku tersebut.

Musa sendiri memberitahu, tujuannya menulis buku itu ialah untuk memastikan generasi muda memahami sejarah serta mengenali isu semasa.

Bagaimanapun, sehingga ini sudah empat bekas pemimpin UMNO dan negara menyanggah banyak fakta dalam buku yang ditulisnya itu.
Mula-mula Sanusi Junid. Beliau yang dikatakan berada dalam Kumpulan bernama AIDS iaitu Anwar Ibrahim, Daim dan Sanusi, menafikan kewujudan kumpulan  yang didakwa oleh Musa Hitam selalu memberi maklumat salah kepada Tun Mahathir.

Kata Sanusi, kumpulan AIDS itu tidak pernah wujud, bahkan kejatuhan Musa adalah kerana kesalahan dan kelemahannya sendiri.

Bahkan Sanusi juga memberitahu, berbanding Anwar Ibrahim dan Daim, beliau lebih mempunyai hubungan yang akrab dan selalu bekerjasama dengan arwah Megat Junid Megat Ayob dan Kip Bahadom dalam kerja-kerjanya berkaitan UMNO.

Dalam tulisan di blognya, Sanusi juga memuatkan perbualan Whatsapp antara beliau dengan Daim Zainuddin di mana bekas Menteri Kewangan itu tanpa ragu-ragu menyifatkan buku "Frankly Speaking"  itu adalah sebuah karangan "fiction".
Kemudian Tun Mahathir turut menyanggah beberapa fakta dalam buku itu, antaranya berkaitan kesetiaan mutlak dalam pentadbirannya sebagaimana yang didakwa oleh Musa Hitam.

Kata Tun Mahathir, beliau tentu akan memecat Musa Hitam sebagaimana Najib memecat Muhyiddin jika kesetiaan mutlak menjadi keutamaannya.

Semua orang tahu, selepas meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pedana Menteri, Musa bukan saja dikekalkan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan tidak dihalang berpakat dengan Tengku Razaleigh dalam pertandingan 1987 untuk menentang Tun Mahathir, bahkan dilantik kemudiannya sebagai duta bertaraf menteri.
Terbaru, Tun Abdullah Ahmad Badawi pantas menjawab "No,No,No" berhubung dakwaan Musa bahawa beliau meletakkan syarat kepada Najib agar melantik Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai syarat pengundurannya.

Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan dalam era kepimpinan Tun Abdullah, tentu faham dan merasakan adalah mustahil beliau berbuat demikian kerana Muhyiddinlah yang memaksa pengundurannya diawalkan.

Lalu, apa yang tinggal lagi dalam "Frankly Speaking" sekarang ini? Fakta atau auta? (SH 25/08/2016).

Wednesday, 24 August 2016

KPN KHALID TIADA PILIHAN LAGI


Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar sebelum ini menyatakan tiada siasatan akan dijalankan terhadap Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun yang menuduh "Tiga Tan Sri"  terlibat dalam komplot mahu menjatuhkan Najib Razak atas alasan ia hanya berdasarkan andaian semata-mata.

"Tiga Tan Sri" yang dikaitkan itu ialah Gani Patail, bekas Peguam Negara, Abu Kassim Mohamed, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara.

Sejujurnya, banyak pihak mahukan dakwaan Khairul Azwan itu disiasat oleh polis kerana hanya setelah siasatan dijalankan, barulah diketahui siapa benar dan siapa salah.
Bahkan, setelah Khairul Azwan bersuara kemudiannya bahawa laporan polisnya bukan berdasarkan andaian, malah yakin tindakannya adalah berasaskan kebenaran, Khalid masih lagi tidak memberi apa-apa respon mengenainya.

Dalam hal yang sama pula, Tun Mahathir Mohamad sudah dua kali membuka mulut berkenaan dengannya. Pertama kali, pada 21 Ogos lalu, beliau menyatakan "Tiga Tan Sri" berkenaan telah dikhianati oleh salah seorang dari kalangan mereka.

Kata beliau, jika tidak dikhianati, Najib Razak sudah pun berdepan dengan tindakan daripada pihak berkaitan sekarang ini.

Ketika itu, Tun Mahathir tidak menyebut siapakah yang mengkhianati "Tiga Tan Sri" terbabit kerana bimbang dirinya akan disaman.

Saya tak boleh biarkan mereka menyaman saya sebab saya tidak memiliki banyak wang seperti Najib, tambahnya lagi.

Bagaimanapun, hari ini Tun Mahathir mula berterus-terang dengan memberi gambaran yang lebih jelas berkenaan perkara yang sama.

Menurut beliau, terdapat empat Tan Sri daripada kalangan mereka dan seorang daripada mungkin telah khianat.

Rasanya tidak sukar untuk meneka siapakah Tan Sri yang di bayangkan oleh Tun Mahathir itu kerana mereka pernah berada dalam pasukan khas yang menyiasat berkenaan 1MDB dan derma RM2,600 juta yang diterima Najib sebelum ini.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu enggan mengia atau menidakkan apabila ditanya sama ada Tan Sri yang dimaksudkannya itu ialah Khalid Abu Bakar, sambil berkata, "saya tak tahu, saya tak tahu, saya tak mahu ditangkap."

Dengan perkembangan ini, Khalid nampaknya sudah tiada pilihan lain melainkan membuka kertas siasatan secara menyeluruh, bukan saja berkaitan penggulingan Najib sebagaimana yang didakwa Khairul Azwan, bahkan juga sama ada benar atau tidak "Tiga Tan Sri"  terbabit telah dikhianati serta siapa yang mengkhianati mereka.

Kenapa mereka dikhianati? Apakah tindakan yang mahu mereka ambil terhadap Najib? Apa dan besar mana kesalahan Najib itu?
Adakah sebelumnya keempat-empat Tan Sri berkenaan sudah bersetuju untuk bertindak terhadap Najib, tetapi kemudian salah seorang daripadanya telah bersikap khianat?

Apakah punca perbuatan khianat itu?

Banyak perkara sebenarnya perlu disiasat oleh pihak polis apabila Tun Mahathir membuka mulutnya untuk kali kedua ini. Khalid sendiri, dalam masa yang sama, tidak seharusnya terus mendiamkan diri saja kerana ia nampaknya bukan saja berkaitan Najib,  nama baik "Tiga Tan Sri", kebenaran dakwaan yang dibuat oleh Khairul Azwan, tetapi juga tentang dirinya sendiri. (SH 24/08/2016).

BERSATU - BN HILANG UNDI, UMNO HILANG AHLI


Dalam pilihanraya umum 2013 lalu, BN menang 133 kerusi Parlimen, manakala Pakatan Rakyat 89 kerusi. Berdasarkan jumlah kerusi Parlimen sebanyak 222 keseluruhannya,  majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi.

Bagaimanapun BN berjaya mengurangkan jumlah kerusi PR dengan menawan semula Teluk Intan dalam pilihanraya kecilnya yang menyaksikan Mah Siew Kong berjaya menewaskan Dyana Sofya daripada DAP. 

Ini bermakna, Pakatan Harapan dicampur dengan BERSATU yang diinisiatifkan penubuhannya oleh Tun Mahahir Mohamad dan diketuai oleh Muhyiddin Yassin, hanya memerlukan kurang daripada 25 kerusi saja lagi untuk menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datang.

Jika diandaikan semua kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan sekarang ini mampu dikekalkan kerana kedudukannya di kawasan bandar, separa bandar atau disebabkan faktor pengundi bukan Melayu yang agak ramai, selain Pas juga berjaya mengekalkan kerusi mereka di Kelantan, Terengganu dan Kedah, sasaran 25 kerusi yang ingin dimenangi itu sudah tentu yang merupakan kerusi yang sekarang dipegang oleh UMNO.

Bermakna, wujudnya BERSATU tidak lain ialah untuk menawan sebanyak mungkin daripada 88 kerusi Parlimen yang sedang dikuasai UMNO.

Jika dilihat, sama ada diperbualan harian dalam masyarakat atau di media sosial, sambutan rakyat terhadap kewujudan BERSATU amat positif dan memberangsangkan. Logo bunga raya bertebaran digunakan di media sosial sebagai gambar profil tanpa rasa bimbang dan takut.

Setelah pemimpin-pemimpin UMNO memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya yang mempromosikan parti baru itu atau memintanya keluar secara sukarela, ia sebaliknya dibalas  dengan gesaan agar BERSATU diluluskan segera pendaftarannya supaya perpindahan keahlian secara sah dapat dilakukan.

Ahli-ahli UMNO yang menolak dan membenci Najib serta vokal dalam pendirian mereka pasti akan keluar parti dan menyertai BERSATU sebaik ia diluluskan nanti. Mereka hanya menunggu masanya saja, bahkan ada yang sedang giat berkempen mengajak kawan-kawan dan keluarga untuk turut serta menjadi ahli BERSATU.

Golongan ini tentu saja tidak lagi mengundi BN dalam pilihanraya akan datang.

Mereka yang membenci Najib secara diam, tetapi masih sayang UMNO, ramai di antaranya tidak mahu lagi memberi undi kepada BN kerana percaya ia hanya akan membantu Najib untuk terus berkuasa. Berkuasanya Najib, bagi mereka, hanya akan mengekalkan atau menambah kecelaruan sedia ada.

Mereka ini lebih rela UMNO kalah atau hilang kuasa buat sepenggal dua daripada melihat Najib terus menjadi Perdana Menteri. Mereka juga percaya, setelah UMNO kalah dan majoriti pemimpin-pemimpin yang ada mengundurkan diri, kehadiran muka-muka baru akan menjadikan parti itu mampu bangkit semula dengan lebih dihormati selepas itu.

Terdapat juga ramai ahli UMNO yang sekarang ini menjadi pasif berikutan skandal kewangan dan pelbagai masalah yang dicetuskan oleh kepimpinan Najib. Mereka tidak mahu ambil tahu apa-apa tentang UMNO, tidak hadir program atau mesyuarat UMNO, bahkan berikrar tidak mahu turun mengundi dalam pilihanraya akan datang.

Golongan ini berpotensi mengurangkan jumlah undi UMNO dalam pilihanraya akan datang. Mereka ini bukan saja tidak mahu Najib terus kekal, bahkan tidak akan aktif dalam UMNO selagi suami Rosmah menjadi Perdana Menteri.

Itu belum dikira lagi jumlah pengundi atas pagar, golongan muda dan mereka yang tidak memihak kepada mana-mana parti yang akan berubah pendirian berikutan kebencian, rasa meluat dan menolak kepimpinan Najib berikutan cerita-cerita di media sosial yang tak berkesudahan.

Dalam hal ini, kewujudan BERSATU memang memberi kelebihan kepada perubahan yang ingin dilakukan. Dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada 2014, Muhyiddin pernah mengingatkan bahawa perubahan sebanyak dua peratus saja pengundi yang beralih kepada pembangkang akan menyebabkan BN kehilangan kuasanya.

Dengan Tun Mahathir, Muhyiddin, Shafie Apdal dan Mukhriz sudah meninggalkan UMNO, tidak saja usaha mengurangkan 25 kerusi UMNO itu menjadi lebih mudah, malahan perubahan pengundi yang beralih juga mungkin melebihi dua peratus.

Selain BERSATU berupaya mengurangkan jumlah keahlian UMNO, ia juga paling berpotensi menyebabkan BN kehilangan banyak undi. Dengan hanya kurang 25 kerusi untuk mengalahkan BN, apa yang perlu bagi Pakatan Harapan, BERSATU dan Pas ialah memupuk persefahaman sebaik mungkin mulai sekarang. 

Ini kerana, tidak mustahil kelulusan BERSATU akan dilengah-lengahkan atau PRU 14 akan diawalkan sebelum BERSATU diberi kelulusan. (SH 24/08/2016).