Thursday, 31 March 2016

BOLEHKAH PERDANA MENTERI YANG ADA BERIBU-RIBU JUTA DALAM AKAUN PERIBADI DIKEKALKAN LAGI?

Najib Razak hanya mula menjadi Perdana Menteri sejak 2009 atau kira-kira lebih enam tahun sehingga hari ini, tetapi barangkali rekodnya sukar ditandingi oleh mana-mana ketua negara dalam dunia ini dari segi kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya.

Dalam hal yang satu itu, Najib bukan saja dianggap "juara" di antara semua Perdana Menteri Malaysia yang ada, bahkan boleh dinobatkan juga sebagai yang "terbaik" di peringkat dunia dan antarabangsa.

Jika sebelum ini,  kita mengetahui hanya RM2,600 juta yang diterimanya, konon dalam bentuk derma, namun hasil siasaan media antarabangsa menunjukkan jumlah yang lebih besar daripada itu.

Angka terbaru oleh ABC News menunjukkan jumlah yang dipercayai telah masuk ke akaun peribadi Najib sudah mencecah RM4,200 juta.

Wang itu pula bukan mula mengalir masuk pada 2013, tetapi sejak 2011 lagi iaitu tidak sampai pun dua tahun beliau memanaskan kerusi Perdana Menteri.

Pernahkah kita mendengar mana-mana Perdana Menteri ada rekod kemampuan seperti itu?

Sepanjang dunia ini wujud, sudah tentu Najiblah penerima derma tunggal terbesar yang pernah ada. Tidak pernah ada sebelum ini dan tidak mungkin ada selepasnya.

Itu, kalau kita mahu menerima bulat-bulat wang itu sebagai derma, bagaimana kalau ia bukan derma?

Oleh itu, bolehkah kita bayangkan jika Najib lebih lama menjadi Perdana Menteri atau terus kekal lagi selepas pilihanraya 2018 nanti?

Dengan wang yang sebegitu banyak, laporan terbaru media antarabangsa juga menyebut Najib telah membelanjakan sekitar RM60 juta untuk percutian, membeli belah dan barang kemas mewah yang dibelinya di Amerika Syarikat, Malaysia, Italy dan berbagai negara lain lagi.

Kalau pun benar semua wang yang diterimanya itu sebagai derma dan penderma turut memberi kebebasan untuknya berbelanja sesuka hati, bukankah disebut juga bahawa wang itu untuk kesederhanaan Islam dan memerangi keganasan antarabangsa?
Maka, kenapa sehingga RM60 juta digunakan untuk bercuti, membeli belah dan barang kemas? 

Tidakkah itu menunjukkan adanya elemen keganasan dalam membeli belah dan bermewah dalam diri Najib sendiri?

Secara moralnya, baik disudut Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak beretika masa sekali bagi seorang Perdana Menteri memiliki wang sebanyak itu, baik sama ada ia derma atau apa jenis sekali pun.

Ia akan menimbulkan keraguan tentang sumber wang itu diperolehi serta keperluan memilikinya, apatah lagi jika didapati ia turut dibelanjakan untuk bermewah dan bermegah.

Sebab itu, dari segi penerimaan umum, prestasi Najib boleh dikatakan sudah musnah di kalangan rakyat biasa. Semakin sedikit yang menilainya sebagai pemimpin yang baik dan boleh diharapkan untuk masa depan negara ini.

Yang mempertahankan Najib bukan lagi kerana kepentingan negara dan rakyat, tetapi lebih kerana dedak sebagai upahnya. Dengan wang sebanyak RM4,200 juta yang dimilikinya, sudah tentu apa gred dedak sekali pun mampu dibekalkan, asalkan sedia menurut perintahnya.

Dan itulah yang dilakukan Najib. "Cash telah menjadikannya King".

Untungnya Najib ialah kerana rakyat negara ini terdiri daripada berbagai kaum dengan majoritinya pula adalah Melayu. Dengan itu, sentimen Melayu dan perkauman bila-bila masa boleh dimainkan atau dimanipulasi untuk menyelamatkannya.

Jika tidak, jangankan sehingga RM4,200 juta dalam akaun peribadi, diketahui memiliki sebanyak RM42 juta pun sudah lama membuatkan Najib terpelanting daripada kedudukannya.

Atas hakikat tersebut, mungkin lebih masa dan kekuatan diperlukan untuk menolak Najib yang akaun peribadinya bertambah RM4,200 juta hanya dalam tempoh enam tahun duduk di kerusi Perdana Menteri kerana di samping kesedaran kepada rakyat harus dipertingkatkan, beliau dan jentera-jenteranya dalam masa yang sama tidak putus-putus sedang berusaha melencongkannya ke arah lain. (SH 31/03/2016).

Wednesday, 30 March 2016

RM2,600 JUTA ATAU RM4,200 JUTA?

Selama ini berdasarkan pendedahan WSJ dan pengakuan Najib sendiri, kita hanya mengetahui jumlah wang yang masuk ke akaun peribadinya hanyalah berjumlah RM2,600 juta.

Tetapi berdasarkan laporan terbaru ABC News dan jika dicampur dengan jumlah yang didedahkan oleh WSJ sebelum ini,  angka itu nampaknya tidak terpakai lagi kerana jumlah sebenar yang diterima Najib ialah sebanyak kira-kira RM4,200 juta.

Oleh itu, angka yang perlu diingat sekarang ialah RM4,200 juta dan bukan lagi RM2,600 juta.

Agaknya, bolehkah makcik-makcik Felda membayangkan banyak mana wang RM4,200 juta itu? (SH 30/03/2016).

Tuesday, 29 March 2016

MALULAH WEH, "SESUATU DI LUAR JANGKAAN" DARI LELAKI 91 TAHUN PUN MASIH DITAKUTI...

Tidak ada manusia yang normal yang tidak terkejut dan "garu kepala"  dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan bahawa kata-kata Tun Mahathir Mohamad ingin melakukan "sesuatu yang di luar jangkaan" untuk menjatuhkan Najib, boleh dianggap sebagai menghasut.

Malah jika bapanya, Allahyarham Mohamed Rahmat, bekas Menteri Penerangan dan Setiausaha Agung UMNO masih hidup, pasti beliau juga turut terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh anak sulungnya itu.

Antara lain Nur Jazlan berkata, bekas Perdana Menteri itu boleh dianggap menghasut kerana mengeluarkan kenyataan mahu melakukan "sesuatu di luar jangkaan" untuk menjatuhkan Najib.

"Dia (Tun Mahathir)  bercakap perkara itu kepada umum. Tidakkah ia boleh dianggap sebagai menghasut? Khianat?

"Pihak polis sedang menyiasat. Lagi banyak Tun Mahathir bercakap, lagi banyak bahan untuk polis siasat.

"Jika siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka kita akan mengambil tindakan," kata beliau.

Kenapa Nur Jazlan begitu takut dan sensitif dengan kata-kata "sesuatu di luar jangkaan" itu, lebih-lebih lagi ia hanya diucapkan oleh seorang lelaki yang sudah mencecah usia 91 tahun?

Apa yang  "di luar jangkaan" yang mampu dilakukan oleh Tun Mahathir dengan usia sebegitu? 

Atau adakah kata-kata itu diungkapkan oleh seorang kepala pengganas yang sudah banyak kali terbukti bahayanya kepada umum?

Memang diketahui ramai bahawa Tun Mahathir ingin menjatuhkan Najib, tetapi pernahkah beliau mengatakan mahu melakukannya dengan kekerasan, di luar batas undang-undang atau langgar saja Perlembagaan negara?

Malah, tidakkah Nur Jazlan sedar, dalam program NothingToHide di PWTC tidak lama dulu misalnya, apabila diminta untuk menghentikan ucapannya, Tun Mahathir langsung tidak membantah dan sedia akur dengan kehendak pihak polis?

Bukankah itu sudah cukup untuk menunjukkan Tun Mahathir seorang yang patuh kepada undang-undang?

Jadi, kenapa begitu takut dengan sekadar kata-kata mahu melakukan "sesuatu di luar jangkaan?"

Dalam hal ini, sebagai pemimpin muda yang mudah-mudahan tidak sama dengan Ahmad Maslan, apakah Nur Jazlan tidak boleh memikir dengan logik akal dan pertimbangannya yang sihat bahawa "sesuatu di luar jangkaan" yang dimaksudkan oleh Tun Mahathir itu bukan saja dalam bentuk tindakan politik yang aman, tetapi juga tetap tertakluk kepada undang-undang dan Perlembagaan?

Apakah "sesuatu di luar jangkaan" mesti berkaitan kekerasan atau mengganggu keselamatan saja? Bukankah ia juga mungkin sesuatu yang bersifat aman?

Kenapa dengan mudah, malah hampir semua perkara mahu digertak dengan penggunaan kuasa polis, siasatan dan tangkapan?

Mengapa tidak sudah-sudah mahu mengampu dan menggembirakan hati Najib?

Belum cukup lagikah dedak jawatan Timbalan Menteri yang dinikmati sekarang?

Apakah dengan "sikit-sikit polis, sikit-sikit menghasut"  ini menunjukkan pemimpin UMNO sudah kehilangan upaya untuk menjawab secara politik segala isu yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir mengenai Najib? (SH 29/03/2016).

BERAPA LAMA LAGI NAJIB MAMPU BERTAHAN?

Sesuatu yang luar biasa mengenai Tun Mahathir Mohamad ialah tentang kesungguhan dan komitmennya yang tinggi terhadap perkara yang diperjuangkan dan ingin dicapainya.

Sebagaimana beliau telah menunjukkan hakikat itu ketika membina dan membangunkan negara ini serta ketika memimpin UMNO sehingga kemenangan dua pertiga sentiasa menjadi dakapannya meskipun diranjau dengan pelbagai cabaran, begitulah kesungguhan dan komitmennya dalam memastikan pengunduran Najib ini.

Setelah keluar UMNO, menggerakkan Deklarasi Rakyat, menghadiri Kongres Rakyat di Shah Alam pada Ahad lalu, pada Isnin malam pula beliau terus di pentas ceramah rakyat  untuk menghadiri Muafakat Selamatkan Malaysia di Pandan Indah.

Walaupun tiada jadual asal untuk bersetuju hadir, tetapi demi komitmen untuk memastikan pengunduran Najib menjadi kenyataan, Tun Mahathir muncul akhirnya.

Petunjuk yang jelas ialah sebagaimana yang dipersetujui bahawa selepas Kongres Rakyat, program-program Selamatkan Malaysia ini akan turun ke negeri-negeri dan seluruh pelusuk tanahair, Tun Mahathir tidak berlengah lagi untuk menunjukkan komitmen sanggup "mengotorkan tangannya"  demi menyelamatkan negara ini.

Beradanya Tun Mahathir sepentas dan duduk sebaris dengan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak lagi dilihat rakyat sebagai perbuatan janggal atau bersekongkol dengan musuh, tetapi lebih dianggap sebagai perjuangan untuk menyelamatkan negara yang semakin rosak dek angkara Najib.

Difahamkan juga, dalam waktu terdekat ini Tun Mahathir telah memberi persetujuan untuk turun sekurang-kurangnya ke lima bagi program Selamatkan Malaysia ini iaitu di Selangor, Johor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Sudah tentu dalam semua program itu, selain pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan yang akan hadir, dua bekas pemimpin kerajaan daripada UMNO iaitu Muhyiddin Yassin dan Mukhriz pastinya juga akan turut serta.

Selepas Tun Mahathir turun ke lima negeri itu, bagaimana kedudukan Najib agaknya?

Adakah beliau semakin kuat atau semakin rapuh?

Dalam masa yang sama, sebagaimana yang dimatlamatkan iaitu untuk mengumpul sejuta tandatangan bagi Deklarasi Rakyat, ia juga barangkali sudah menjadi kenyataan dan akan dipersembahkan terus kepada Majlis Raja-Raja bagi menunjukkan penolakan rakyat pelbagai kaum terhadap Najib.

Selepas itu pula, sejuta yang kedua, sejuta yang ketiga dan seterusnya pula akan terus dipersembahkan daripada semasa ke semasa kepada Majlis Raja-Raja?

Meskipun Raja-Raja tiada kuasa dari segi perlembagaan untuk menyingkirkan Najib, tetapi apakah Raja-Raja akan berdiam diri saja apabila menerima lori demi lori tandatangan rakyat yang menolak Najib?

Melihat keadaan yang sama, apakah pimpinan UMNO akan berdiam diri saja dan tidak terdetik di hati sebahagian daripada mereka untuk turut mengakui bahawa Najib sudah menjadi liabiti dan penghalang kemenangan dalam pilihanraya?

Akhirnya, mampukah Najib bertahan lagi meskipun Ku Nan, Annuar Musa dan Salleh Said Keruak sentiasa cuba meniupkan angin syurga ke telinganya? (SH 29/03/2016).

Monday, 28 March 2016

PENJELASAN TENGKU RAZALEIGH


Berikutan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Najib Razak baru-baru ini menjadi perbualan ramai dan tanda tanya masyarakat sehingga Tun Mahathir Mohamad turut memberikan reaksinya,  malah blog ini juga ada membuat ulasan mengenainya,  maka di bawah ini disiarkan sepenuhnya penjelasan Ahli Parlimen Gua Musang itu yang dihantar melalui email kepada saya. (SH 28/03/2016).


MENCETUS PERUBAHAN

Negara kita kini sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan kepimpinan. Ini menyebabkan kita mengalami masalah ekonomi yang dahsyat terutamanya berkaitan isu hutang negara. Ia mengakibatkan beberapa masalah ekonomi serius seperti kenaikan mendadak kos sara hidup yang membawa kesan buruk kepada rakyat. Selama ini saya sering berpendapat dan mengingatkan sekiranya kita tidak tukar cara berpolitik dan perisian dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis seperti yang berlaku sekarang ini. Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapan saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan. Tanpa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu.

2. Saya yakin tiada siapa yang dapat menuduh saya tidak konsisten berkenaan pendirian saya terhadap tatacara pemerintahan negara, tanggungjawab awam dan perlunya perubahan. Inilah intipati perjuangan saya di peringkat kebangsaan serta dalam UMNO sejak tahun 1987.  Saya konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus konsisten di hari muka. Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang. Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari sisi undang-undang untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat.

3. Bagi maksud ini dan sebagai pengamal politik, saya bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan  dan kehendak parti. Yang demikian isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan kepada ketua kerajaan tidak timbul.

4. Dalam usaha untuk memberi sumbangan berguna dan berfaedah, saya amat peka dan sedar akan masalah yang dihadapi oleh negara dan keadaan kita yang genting; umpaamnya masalah berkaitan dengan hutang negara serta akibatnya, terutamanya kesan terhadap kehidupan seharian rakyat jelata. Dalam ucapan saya di Parlimen dan surat kepada Ahli-Ahli Parlimen, saya telah mengingatkan akan kesan yang kita rasai sekiranya hutang negara ini tidak ditangani  dan diurus dengan penuh tanggungjawab. Maka itu setiap pengamal politik  dan Ahli Parlimen  berkewajipan untuk tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha menangani perubahan yang diperlukan itu.

5. Izinkan saya mengulangi bahawa masalah yang kita hadapi ini meninggalkan kesan negatif terhadap ekonomi kita dan kedudukan antarabangsa negara. Oleh itu kita hendaklah bijak menyelesainya dalam masa terdekat.


Tengku Razaleigh Hamzah
Ahli Parlimen Gua Musang
Kuala Lumpur,
28 Mac 2016 bersamaan
19 Jamadil Akhir 1437H.

Sunday, 27 March 2016

SEKITAR KONGRES RAKYAT YANG PENUH GEMILANG


Kongres rakyat yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre pada petang tadi dianggap penuh dengan kejayaan dan kegemilangan serta mencipta satu lagi detik bersejarah bagi politik tanahair.

Ia bukan saja berjaya membariskan ahli-ahli politik daripada UMNO, pembangkang dan mereka yang tidak berparti untuk berada di pentas yang sama, dengan tujuan yang sama dan bercakap juga dengan satu nada yang sama.

Pentad, tujuan dan nadanya tidak lain ialah untuk memaksa Najib Razak berundur sebagai Perdana Menteri dengan seberapa segera.

Sebanyak 1,500 tag nama untuk perwakilan yang disediakan juga habis diserahkan kepada para peserta daripada pelbagai kelompok, usia dan latar belakang yang datang seawal jam 10 pagi serta sekurang-kurangnya antara 200 hingga 300 peserta lagi tidak memperolehi sebarang tag nama, tetapi tetap dibenarkan masuk dengan sanggup berdiri sepanjang program.

Bermula pukul 2.00 petang apabila Zaid Ibrahim memulakan pembukaannya sehinggalah Tun Mahathir menamatkan ucapannya pada kira-kira 6.45 petang, para peserta tetap tidak berganjak daripada dewan untuk mendengar dengan penuh teliti dan ghairah setiap hujah-hujah yang dilontarkan oleh para pembahas.

Ini sekaligus menandakan rakyat bukan saja tetap dahagakan perubahan dan begitu teringin melihat pengunduan Najib, malah seperti tidak sabar juga untuk mendapat seorang Perdana Menteri yang baru untuk negara ini.

Bukan saja tekad untuk memberi penerangan ke seluruh negara akan diperhebatkan lagi selepas ini, malah seruan agar rakyat beramai-ramai menandatangani Deklarasi Rakyat juga akan terus diberi penekanan.

Ia kemudian akan dipersembahkan kepada Istana Negara agar Majlis Raja-Raja bertindak sesuatu berdasarkan suara hati rakyat.

Jika kertas deklarasi yang mengandungi tandatangan rakyat itu penuh satu lori, saya sedia memandu lori tersebut untuk pergi ke Istana Negara, kata Tun Mahathir.

Di bawah ini antara gambar yang sempat dirakam untuk tatapan pembaca blog ini. Selain semua jurucakap yang disenaraikan dalam posting sebelum ini hadir dan memberi ucapan mereka, ramai lagi tokoh-tokoh yang turut memeriahkannya, namun hanya sebahagian yang sempat dirakam fotonya.

Apa pun, tahniah kepada semua yang menjayakan Kongres Rakyat ini. Selepas ini, program yang sama akan bergerak ke negeri dan kawasan-kawasan terpilih pula. (SH 27/03/2016).

Tun Mahathir ketika menyampaikan ucapannya.

Zaid Ibrahim selaku penganjur dan penginisiatif Kongres Rakyat wajar diberikan penghargaan atas kejayaan ini.

Tun Mahathir dan Muhyiddin ketika tiba memasuki dewan.

Azmin Ali yang ucapannya disambut hangat oleh peserta kongres.

Aziz Yassin dan Kamaruddin Jaafar antara yang terawal hadir.

Arif Sabri Abdul Aziz atau Sakmongkol juga hadir agak awal.

Anuar Tahir, Mohd Nor Manuty dan Tengku Puji.

Sanusi Junid dan isteri serta Tamrin Ghafar.

A Kadir Jasin dan Hishammuddin Rais.

Ratusan wartawan, jurugambar dalam dan luar negeri hadir seawal jam 11 pagi lagi.

Jurugambar menanti kehadiran Tun Mahathir memasuki dewan.

Kehadiran Tun Mahathir tetap menjadi kegilaan media untuk merakam detik-detiknya.

Peserta kongres tidak berganjak daripada dewan daripada mula hinggalah akhir.

Petugas di meja pendaftaran mula bertugas sejak 10.30 lagi.

JANGAN LUPA, KONGRES RAKYAT DI SHAH ALAM CONVENTION CENTRE PETANG INI

Petang ini akan berlangsung Kongres Rakyat di Shah Alam Convention Centre atau SACC, dengan pendaftaran bermula pada jam 12.30 tengahari dan majlis akan berlangsung antara 2.00 petang dan dijangka berakhir pada 6.30 petang.

Program ini diadakan secara tertutup dengan kehadiran berdasarkan jemputan sahaja dan bukannya perhimpunan terbuka sebagaimana anggapan sesetengah pihak.

Kongres Rakyat ini adalah susulan Deklarasi Rakyat yang ditandatangani pada 4 Mac lalu dan ia diinisiatifkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim.

Susunan mereka yang akan berucap ialah seperti berikut:-

-  Zaid Ibrahim membuka tirai kongres.

- Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pendebat terbaik Asia mewakili pemimpin pelajar.

- Fahmi Zainol, bekas pemimpin pelajar UM.

- Abdullah Sani, Ahli Parlimen Kuala Langat yang mewakili MTUC.

- Teresa Kok, Naib Pengerusi DAP

- Ambiga Sreenevasan, bekas Presiden Majlis Peguam.

- S Murugesan, bekas Setiausaha Agung MIC.

- Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pas Pokok Sena, Kedah.

- Maria Chin Abdullah, Pengerusi Bersih.

- Husam Musa, bekas Naib Presiden Pas.

- Sallahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah.

- Rafizi Ramli, Setiausaha Agung PKR.

- Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Besar Kedah.

- Mohamad Sabu, Presiden Amanah.

- Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP.

- Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor.

- Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang digantung jawatannya.

- Tun Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri yang ucapannya adalah kemuncak kongres kali ini.

Satu resolusi kongres juga dijangka akan dimuktamadkan selepas itu.

Jadi, jangan lupa...semua ini untuk negara!! (SH 27/03/2016).

Saturday, 26 March 2016

DAKWAAN DALANG, KU LI MESTI TAMPIL DENGAN PENJELASAN

Berikutan tindakan Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani Deklarasi Kelantan untuk  menyokong kepimpinan Najib Razak, bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mendakwa, Ahli Parlimen Gua Musang itulah dalang sebenar di sebalik usaha menyingkirkan Perdana Menteri sebelum ini melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.

Katanya, disebabkan usaha itu kini tidak menjadi kenyataan, Tengku Razaleigh lalu mengubah pendiriannya.

Akhirnya dia yang cadang jatuhkan Najib, dia sokong Najib, kata Tun Mahathir.

Tentunya semua orang tertanya-tanya, benarkah dakwaan Tun Mahathir itu? 

Benarkan idea mengusulkan undi tidak percaya yang heboh diperkatakan tidak berapa lama dulu adalah merupakan cetusan daripada Tengku Razaleigh yang disampaikannya kepada Tun Mahathir?

Benarkah juga Tengku Razaleigh ada meminta Tun Mahathir pergi ke Sarawak untuk mendapatkan sokongan?

Sekiranya dakwaan ini tidak benar, adalah perlu bagi Tengku Razaleigh membuat penafian dengan segera mengenainya.

Jawapan sebenar mesti keluar daripada mulut Tengku Razaleigh sendiri, bukan daripada orang lain seperti Annuar Musa yang menyatakan dakwaan Tun Mahathir itu sebagai pembohongan.

Annuar Musa bukanlah dikenali sebagai orang Tengku Razaleigh dan hubungan mereka berdua juga tidaklah serapat mana, mungkin sekadar sesama Ahli Parlimen saja.

Semua orang masih ingat Annuar Musa juga tidak menyokong Tengku Razaleigh ketika pemilihan Presiden UMNO 1987 di mana bekas Menteri Kewangan itu tewas 43 undi di tangan Tun Mahathir.

Dalam beberapa percubaan Tengku Razaleigh untuk bertanding jawatan Presiden UMNO kemudiannya, Annuar juga tidak pernah memberikan sokongan mengenainya.

Jadi, jawapan Annuar untuk mewakili Tengku Razaleigh tidak relevan sama sekali.
Andainya benar pula dakwaan Tun Mahathir itu, bermakna Tengku Razaleigh tetap  mengidamkan kerusi Perdana Menteri itu sebelum ini.

Jika bukan untuk menjadi Perdana Menteri, untuk apa usul undi tidak percaya dilakukan?

Tetapi, dengan menyatakan sokongan terbuka kepada Najib, tidakkah ia bermakna harapan untuk menjadi Perdana Menteri sudah terkubur buat Tengku Razaleigh?

Tambahan pula, Tengku Razaleigh juga sudah pun menyatakan secara terbuka tidak mahu bertanding lagi dalam pilihanraya umum ke 14 ini.

Lalu, apa sebenarnya yang diharapkan oleh Tengku Razaleigh dengan menandatangani deklarasi menyokong Najib itu? (SH 26/03/2016).

NAJIB TERDESAK?

Sebenarnya ini bukanlah berita yang penting sangat, apatah lagi ia cuma disiarkan oleh blog yang dikenali sebagai penerima dedak secara bulanan daripada pemimpin atasan.

Malah, Najib pernah melabelkan blogger penerima dedak ini sebagai "bangang" kerana menembak sesama sendiri.

Sejak Tun Mahathir Mohamad menggerakkan Deklarasi Rakyat dan esok pula akan berlangsung Kongres Rakyat di Shah Alam, di sebalik mendakwa kedudukan Najib tidak tergugat dengannya, tetapi bermacam-macam cara pula diusahakan untuk menzahirkan sokongan.

Kalau benar-benar kuat dan tak tergugat, takkan sampai tok bomoh pun diangkut untuk menyatakan sokongan?

Sudah terdesak sangatkah?

Kohkohkoh.....(SH 26/03/2016).

Friday, 25 March 2016

BERITA GEMBIRA UNTUK RAKYAT MALAYSIA

Tidak diragui lagi bahawa perlantikan ini adalah berita paling menggembirakan bagi rakyat Malaysia.

Sama seperti jawatan lain yang disandangnya, antaranya Penasihat MAS dan Pengerusi Institut Kefahaman Islam atau IKIM, jawatan baru ini tentunya turut mampu melonjakkan lagi syarikat minyak negara itu.

Aminnnnn.....(SH 25/03/2016).

JASA MENOLAK NAJIB LEBIH BESAR DARIPADA 22 TAHUN MAHATHIR SEBAGAI PERDANA MENTERI


Dalam usia melebihi 90 tahun, Tun Mahathir Mohamad ternyata masih gagah dan tidak pernah habis ikhtiar dalam usahanya mahu menyingkirkan Najib Razak.

Daripada menulis di blog, bercakap dengan media, menghadiri pelbagai program, membuat rayuan agar melakukan undi tidak percaya, mengusahakan Deklarasi Rakyat dan terbaru pula menyaman Najib di mahkamah.

Dalam masa yang sama, Ahad 27 Mac ini pula, beliau akan memberikan ucaptama dalam Kongres Rakyat di Shah Alam Convention Centre bersama tokoh-tokoh pembangkang dan pemimpin  masyarakat sivil negara ini.

Terdengar khabar-khabar bahawa selepas kongres itu, Tun Mahathir turut menyatakan kesediaan untuk turun ke negeri-negeri bagi menemui rakyat yang menyokongnya.

Tujuan turun ke negeri-negeri itu tidak lain ialah bertujuan untuk memberi lebih tekanan kepada Najib, selain sebagai salah satu usaha mengumpul sebanyak mungkin tandatangan bagi Deklarasi Rakyat.

Sama seperti gigihnya beliau membangunkan negara selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, begitulah usaha kerasnya dalam menolak Najib sekarang ini.

Dalam usia yang sepatutnya lebih banyak berehat, semua ini dilakukannya demi kepentingan negara dan maruah rakyatnya.

Selama ini Tun Mahathir membangunkan negara dengan berjaya membina KLCC,  Putrajaya, KLIA, Cyberjaya, Litar Sepang dan lain-lainnya adalah semata-mata untuk mengangkat martabat negara di mata dunia.

Ia menjadikan masyarakat dunia memandang tinggi kepada negara kita, malah ketika pentadbiran Tun Mahathir, ke ceruk dunia mana pun kita pergi,  mendengar pujian dan sanjungan bukanlah perkara yang luar biasa.

Tetapi semua keagungan dan sanjungan itu musnah di era Najib berikutan kemeut 1MDB dan wang RM2,600 juta yang diterima di dalam akaun peribadinya.

Dalam usaha memperkukuhkan kuasanya, beberapa institusi awam seperti Jabatan Peguam Negara, polis, SPRM dan Bank Negara turut dikacau-ganggu kemudiannya.

Akhirnya, bukan saja media-media antarabangsa banyak memberi laporan buruk mengenai Malaysia, malah agensi penguatkuasa beberapa negara juga telah memulakan siasatan mereka.

Dengan itu, jika kita keluar negara, soalannya lebih bernada "apa sudah jadi dengan negara anda sekarang ini?"

Imej negara sudah menjadi begitu buruk sehingga apabila kita ke luar negara, kita seperti tidak mampu lagi berjalan mendongak seperti selalunya. 

Lebih ramai yang berjalan menunduk kerana malu bertentang mata dengan masyarakat luar yang mungkin menyoal keadaan semasa dalam negara atau tersenyum-senyum sinis kepada kita.

Tidak kurang juga ada yang memberitahu, mereka lebih selesa mengaku berasal daripada Singapura atau Brunei jika ke luar negara.

Hakikatnya, imej buruk kepada negara yang diakibatkan oleh Najib ini tidak pernah berlaku dalam mana-mana era sebelum ini.

Lantaran itu, apabila Tun Mahathir terus berusaha menyingkirkan Najib, ia tidak lain adalah untuk memulihkan imej dan maruah negara.

Jika beliau memikirkan kepentingan diri, keluarga dan masa depan anak-anaknya dalam politik dan perniagaan, menyokong dan terus berada di sisi Najib yang mengaku mengamalkan "cash is king" adalah jauh lebih menguntungkannya.

Namun, sudah tentu pertimbangan untuk negara melebihi segala-galanya bagi Tun Mahathir. Hanya dengan Najib disingkirkan, imej dan maruah negara dapat dipulihkan, bukan saja di kalangan rakyatnya, malah juga di peringkat antarabangsa.

Hanya dengan penyingkiran Najib juga, semua pembangunan fizikal dalam negara ini benar-benar bermakna dan kita semua dapat berjalan mendongak semua apabila ke luar negara.

Sebab itu, usaha menyingkirkan Najib ini mesti disokong oleh kita semua kerana nilainya lebih besar daripada 22 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Ia adalah untuk mengembalikan maruah dan nama baik negara yang telah hilang disebabkan oleh Najib. (SH 25/03/2016).

Thursday, 24 March 2016

MUNGKINKAH KU LI PULA BAKAL DILANTIK GABENOR PULAU PINANG ATAU PENGERUSI PNB?

Ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Beliau dilaporkan menandatangani deklarasi itu dalam satu pertemuan antara pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan dengan Najib, hari ini. 

Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa turut memuatkan laporan dan gambar-gambar mengenai perkara itu di laman Facebooknya.
Yang menjadi perbualan ramai, ke mana Tengku Razaleigh selepas ini?

Penasihat Petronas? 

Pengerusi PNB?

Atau Gabenor Pulau Pinang?

Yang pasti, dengan Najib sendiri dilaporkan menawarkan jawatan Pengerusi PNB atau Gabenor Pulau Pinang kepada Muhyiddin Yassin sebelum ini, kedua-dua penyandang jawatan itu boleh dikira "tidak selamat" lagi kedudukannya di sisi Perdana Menteri. (SH 24/03/2016).

NAJIB SEHARUSNYA DIBERI SEMANGAT, SAMAN MAHATHIR PELUANG TERBAIK BERSIHKAN DIRI

Apabila Tun Mahathir Mohamad bersama dua individu yang lain memfailkan saman terhadap Najib Razak atas dakwaan salah laku dalam pentadbiran negara, pemimpin UMNO dan kerajaan seharusnya melihat ini  sebagai medan terbaik bagi Perdana Menteri untuk membersihkan dirinya.

Jika benar Najib suci bersih dan tidak terkait apa-apa dengan sebarang kekotoran, sama ada berhubung 1MDB, wang RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International, mereka sepatutnya memberi galakan dan semangat lagi kepada Perdana Menteri agar sedia tampil berani di mahkamah.

Saman Tun Mahathir ini mesti dilihat sebagai peluang keemasan bagi Najib mempertahan dan membersihkan dirinya serta mendiamkan terus bekas Perdana Menteri itu.

Tetapi dengan kebanyakannya membangkitkan soal "locus standi", menganggapnya tindakan terdesak oleh Tun Mahathir dan awal-awal mengatakan saman itu akan gagal, seolah-olah pemimpin UMNO tadi sedang berkongsi ketakutan dengan Najib untuk tampil di mahkamah.

Soal "lucus standi", terdesak dan  sama ada saman itu akan berjaya atau sebaliknya, biarlah mahkamah yang memutuskannya.

Terus menyerang serta membelasah bekas Perdana Menteri itu yang jelas menggunakan haknya sebagai warganegara yang masih dalam lingkungan undang-undang, hanya akan memberi kelebihan kepada Tun Mahathir di "mahkamah pendapat umum".

Ini kerana Najib juga harus sedar bahawa pertarungan beliau dengan Tun Mahathir ini mungkin berlarutan sehingga tarikh pilihanraya umum akan datang.

Dengan takut berdepan di mahkamah dan tewas lebih awal pula di "mahkamah pendapat umum", apa lagi yang tinggal pada Najib ketika berdepan dengan penentuan rakyat?  (SH 24/03/2016).

Wednesday, 23 March 2016

INSYAALLAH, BAKAL MENTERI PENUH....

Sejak tengahari tadi, hampir semua perbualan dalam negara banyak tertumpu mengenai tindakan saman yang diambil oleh Tun Mahathir Mohamad bersama Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin terhadap Perdana Menteri, Najib Razak atas dakwaan salah laku dalam pentadbiran negara.

Asas salah laku yang dikaitkan terhadap Najib dalam saman itu ialah berkaitan isu 1MDB, derma RM2,600 juta dan dana RM42 juta daripada SRC International yang masuk ke akaun peribadinya.

Sudah ramai juga pemimpin-pemimpin UMNO yang memberi reaksi berhubung tindakan terbaru Tun Mahathir itu. Seperti biasa, Salleh Said Keruak dan Azalina Othman Said adalah yang paling pantas dan cekap memberikan komennya dalam hal-hal seperti ini.

Tetapi, yang paling menarik sekali tentunya ialah komen yang diberikan oleh Nur Jazlan Mohamed, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 28 Julai lalu di sebalik "ribut-ribut" Najib bergelut dengan kemelut 1MDB.

Beliau menyifatkan Tun Mahathir tiada "locus standi"  atau hak untuk mengambil tindakan mahkamah kerana wang RM2,600 juta tersebut bukannya ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Sekadar mengatakan tiada "locus standi" mungkin dilihat biasa lagi, walaupun ia merupakan hak mahkamah memutuskannya, namun dengan menambah bahawa  "apa yang Tun Mahathir lakukan ini adalah gimik politik, hendak dapatkan publisiti saja", seperti tersirat ada keluarbiasaannya.

Hmmmm.....(SH 23/03/2016).

BERITA UNTUK KETAWA

Tak perlu komen apa-apa, cukup dengan ketawa saja. 

Lagi pula, "boss besar" yang dulunya suka meraikan rakan-rakan Facebook dan Twitternya sudah mula tak berapa gembira dengan berita-berita di alam maya.

Hahahaha....(SH 23/03/2016).

Tuesday, 22 March 2016

DAH TENGOK CERMIN??

Alhamdulillah, memang rasuah musuh kita...

Tapi ada makcik Felda becok bertanya, dah berapa kali Najib tengok cermin sebelum keluarkan kenyataan tersebut?

Seterusnya mari kita baca kenyataan Mahfuz Omar ini:-

JANGAN LINDUNGI KM LIM GUAN ENG DAN JANGAN LINDUNGI PM NAJIB.

1. SPRM tidak boleh dilihat melindungi pelaku rasuah. SPRM juga tidak boleh dilihat menjadi menjadi alat kepada mana-mana pihak yang cuba memburukkan seseorang dengan isu rasuah tanpa penjelasan hasil daripada siasatan.

2. Dalam kes yang membabitkan laporan rasuah ke atas Lim Guan Eng ( LGE), Ketua Menteri Pulau Pinang, saya mengalu-alukan dan menggesa SPRM mempercepatkan siasatan ke atas LGE atas isu pembelian rumah di bawah harga pasaran yang berharga RM 2.8 Milion dan perkara perkara yang berkaitan, malah jika didapati hasil siasatan mempunyai bukti yang mencukupi SPRM boleh mencadangkan pertuduhan ke atas LGE untuk diambil tindakan pendakwaan oleh Peguam Negara. Saya juga hendak tahu adakah benar dan bagaimana KM Guan Eng boleh membeli rumah tersebut di bawah harga pasaran? Saya menggesa SPRM menyiasat apakah ada timbal balas daripada jual beli ini?

RM 2.8 MILION vs RM 2.6 BILION.

3. Saya tidak bertolak ansur atas segala salahguna kuasa dan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkuasa. Syabas saya ucapkan kepada pemimpin Umno Bn yang begitu tegas dan keras membangkitkan isu pembelian rumah oleh KM Guan Eng yang berharga RM 2.8 Milion tetapi mempertahan dan melindungi PM Najib dalam kes dana RM 2.6 Bilion dan RM 42 Milion dalam akaun peribadi beliau. Bagi saya, jangan lindungi KM Guan Eng dan jangan lindungi PM Najib jika cukup bukti dakwa mereka dan jika sabit kesalahan hukuman yang setimpal perlu dikenakan.

4. Persolannya ialah kenapa kertas siasatan SPRM yang mengandungi cadangan pendakwaan ke atas PM Najib atas kes SRC RM 42 milion dalam akaun peribadi beliau dibakul sampah oleh Peguam Negara? Kenapa permohonan SPRM untuk mendapat kebenaran Mutual Legal Assistance (MLA) daripada Peguam Negara bagi membolehkan SPRM meneruskan siasatan isu dana RM 2.6 Bilion untuk mendapatkan bukti serta dokumen daripada institusi kewangan yang berpengkalan di luar negara tidak diberikan kebenaran tersebut oleh Peguam Negara?

5. Kenapa Peguam negara takut dan enggan mengeluarkan MLA kepada SPRM? Kenapa dan apa hak Peguam negara mengarahkan SPRM menghentikan siasatan ke atas kes dana RM 2.6 Bilion dan SRC RM 42 Milion dalam akaun peribadi PM Najib? Jangan lindungi PM Najib dan KM Guan Eng hanya kerana mereka mempunyai kedudukan dan kuasa. Jangan dilihat undang-undang di Malaysia hanya orang biasa yang bersalah sedangkan Pemimpin yang berkuasa dilindungi dan terlepas lari.

#SelamatkanMalaysia
#ReformMalaysia
#BebasAnwar.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
22 Mac 2016/13 Jamadilakhir 1437H.
Dan jangan lupa, bagi tahun 2015, indeks persepsi rasuah negara terus merosot disebabkan oleh dua punca utamanya iaitu 1MDB dan wang RM2,600 juta.

Perlu cermin lagi besar agaknya? (SH 22/03/2016).