Hanya beberapa jam saja lagi, tirai tahun 2014 akan berlabuh untuk digantikan dengan ketibaan tahun baru 2015 pula. Tahun 2014 adalah tahun penuh duka sengsara bagi rakyat negara kita, bahkan mungkin boleh dianggap sebagai tahun paling banyak menumpahkan airmata.
Bermula dengan tragedi empangan kering di Lembah Kelang dan beberapa negeri pada bulan Februari dan berlarutan sehingga April yang menyaksikan kita bukan saja dihimpit kemarau, bahkan juga kekurangan bekalan air untuk kehidupan seharian, kita kemudian dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 pada bulan Mac tahun yang sama.
Meski berbagai usaha dan ikhtiar dijalankan, nasib penumpang dan pesawat milik MAS itu kekal misteri sehingga kini. Tidak diketahui sama ada ia tersembam di dasar bumi, terperosok di celah karang lautan yang dalam, reput di dalam hutan yang tebal atau tersembunyi di ruang angkasa.
Bersama peredaran masa, tak terkira berapa banyak air mata keluarga mangsa serta rakyat yang simpati tumpah kerananya.
Pada bulan Julai pula, ketika umat Islam menyambut puasa dan bersedia menyambut Hari Raya, kita dikejutkan lagi dengan kehilangan sebuah lagi pesawat MAS iaitu MH17. Kali ini ia ditembak jatuh di timur Ukraine sehingga menyebabkan semua penumpangnya terdampar tidak bernyawa.
Sekali lagi, air mata keluarga mangsa dan rakyat jelata yang bersimpati tumpah kerananya.
Di penghujung tahun ini, sebuah lagi pesawat terhempas dan mengorbankan ratusan nyawa. Walaupun pesawat yang terhempas adalah Air Asia Indonesia tetapi kerana ia berada dalam Kumpulan Air Asia yang dimiliki rakyat negara kita, tambahan pula Malaysia dan Indonesia serumpun serta sebangsa, derita dan air mata turut juga tumpah disebabkannya.
Kehilangan tiga pesawat dalam tempoh setahun barangkali suatu sejarah dan tiada negara yang mengalaminya sehingga diam-diam ada yang mula bertanya, musibah atau ujian apa yang mahu ditunjukkan Tuhan kepada kita?
Memikirkan semua itu, air mata pasti menitis juga.
Pada bulan Disember 2014 ini juga, beberapa negeri terutama di Pantai Timur dilanda musibah banjir yang begitu luar biasa hebatnya. Banyak kerosakan harta benda, kemusnahan barang berharga dan kehilangan jiwa telah melanda.
Sehingga ini pun, banjir masih menggila di beberapa tempat di seluruh negara. Nilai kemusnahan tak terbilang lagi dek angka, lalu hanya airmata sebagai penenang jiwa sambil berdoa kepada Yang Maha Esa.
Tragisnya banjir kali ini menyababkan ramai rakan-rakan kita yang ditimpa musibah ini tidak merasai apa-apa yang istimewa dengan kedatangan tahun baru 2015. Mereka menangis dan menumpahkan airmata di penghujung 2014 dan kekal menyambut ambang 2015 dengan duka dan airmata juga.
Di celah-celah semua tragedi dan musibah itu, kita juga dihadapkan dengan kejadian jerebu sekali-sekala, soalan bocor bertimpa-timpa dan pelbagai kejadian lain yang meruntun jiwa.
Politik kita pula tidak pernah amannya, hubungan kaum sentiasa dalam sengketa, pembaziran di mana-mana, hutang negara berganda-ganda dan sesama pemimpin pula lebih suka berlaga serta bersengketa.
Di tahun 2014 juga, kita dibebankan dengan pelbagai kenaikan harga barang yang berpunca daripada minyak yang dinaikkan beberapa kali harganya. Walaupun menjelang awal tahun baru 2015 nanti, kita bakal menerima khabar gembira penurunan harga petrol dan diesel kerana harga di seluruh dunia turun sama, kita juga sebenarnya tidak tahu sejauh mana penurunan itu bakal menggembirakan kita.
Mungkinlah penurunan harga minyak ini hanya untuk beberapa bulan saja, tapi yang sedihnya harga barang tidak pernah turun-turun juga.
Pendeknya, berbanding tahun-tahun sebelumnya, 2014 adalah paling menyedihkan, penuh airmata dan membuatkan kita lebih banyak bersedih daripada bergembira.
Selaku insan kerdil di dunia sementara ini, hanya doa kepada Yang Maha Esa dapat kita panjatkan agar 2015 nanti lebih membawa ceria dan gembira. Kiranya ditakdirkan ianya penuh detik-detik duka juga, harapan kita semoga Tuhan terus memberikan kita kekuatan dan redha atas segala-galanya. ( SH 31/12/2015)