Friday, 28 September 2012

Bajet Untuk Menaikkan Rating Najib Dan Menang Piliharaya


Najib membentangkan Bajet 2013 kali ini hampir serentak dengan munculnya suatu kajian yang menunjukkan ratingnya dilaporkan menurun lagi sebanyak 3 peratus manakala keyakinan rakyat terhadap BN hanya 44 peratus. Kajian yang dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya UM yang muncul tiga hari sebelum tarikh pembentangan Bajet meletakkan Najib masih berada di garisan bahaya.

Membentangkan bajet dalam suasana ratingnya merudum dan keyakinan rakyat menurun serta dalam masa yang sama pilihanraya makin hampir tentulah meletakkan Najib tidak mempunyai pilihan yang banyak. Sebab itu tidak memeranjatkan jika bajet kali ini tidak banyak pembaharuan dilakukan. Selain meneruskan agenda dalam bajet terdahulu, Najib sekadar menambah beberapa pemberian gula-gula lagi untuk rakyat.

Harapan rakyat untuk melihat penurunan cukai yang ketara seperti cukai eksais kenderaan, cukai pendapatan dan lain-lain tidak menjadi kenyataan. Najib nampaknya lebih fokus untuk memberi gula-gula dalam bentuk tunai.

Dalam bajet kali ini, Najib meneruskan pemberian BR1M bernilai RM500 untuk rakyat yang berpendapatan bawah RM3000, bantuan RM100 untuk pelajar sekolah manakala baucer buku kepada pelajar universiti pula dinaikkan daripada RM200 kepada RM250.

Dengan maksud untuk memikat hati dan membeli jiwa pengundi muda, Najib juga mewujudkan tambahan BR1M iaitu memberi wang tunai RM250 kepada mereka yang berusia antara 21 hingga 30 dan berpendapatan bawah RM2000.

Beliau juga mewujudkan rebet tunai RM200 untuk anak muda yang berusia 21 tahun keatas bagi memiliki telefon pintar 3G.

Tidak syak lagi dengan mewujudkan suatu pemberian untuk anak muda berusia 21 tahun ini adalah untuk kepentingan politik dan memenangi pilihanraya kerana had usia mengundi rakyat ialah 21 tahun keatas. Najib nampakya begitu bimbang dentan arus penolakan generasi muda terhadap UMNO dan BN sehingga sanggup merangka skim khas sedemikian rupa.

Bagi melawan manifesto PR yang mahu menghapuskan PTPTN pula, Najib turut menawarkan diskaun 20 peratus kerana mereka yang membayar balik pinjaman secara sekaligus dan memberikan diskaun 10 peratus kepada mereka yang membuat pembayaran balik secara konsisten.

Untuk kakitangan awam pula, Najib memberikan bonus tambahan sebanyak sebulan lagi, menjadikan bonus kakitangan awam bagi tahun ini sebanyak satu setengah bulan. Bayaran setengah bulan sudah pun diterima pada Hari Raya lalu manakala bakinya akan dibayar pada Disember dan Januari depan.

Kepada pesara kerajaan pula, mereka juga diberikan bonus RM500 lagi. Dalam pada itu, pencen minimun juga dinaikkan daripada RM720 kepada RM820 sebulan.

Jika dihalusi Bajet 2013 yang dibentangkan Najib kali ini, selain tiada pembaharuan, ia juga adalah kesinambungan daripada bajet pilihanraya yang dibentangkan pada tahun lalu. Bajet 2012 tahun sebenarnya adalah untuk piliharaya tetapi oleh kerana terlalu banyak isu yang muncul dan pemberian habuan yang diumumkan dilihat tidak mampu mengangkat darjat kepercayaan rakyat, maka pilihanraya yang separutnya selepas Bajet 2012 lalu terpaksa ditangguhkan.

Dengan menangguhkan pilihanraya dan terpaksa pula melalui pembentangan bajet sekali lagi, Najib sekadar mampu melakukan apa yang biasa dilakukannya iaitu memberi wang untuk mendapatkan sokongan. Sebab itu Bajet 2013 ini penuh dengan pemberian tunai sahaja. Fokus Najib adalah untuk menaikkan rating dan memenangi pilihanraya melalui habuan tunai yang diagih-agihkan itu.

Jika dulu BR1M hanya untuk mereka yang berpendapatan RM3000 ke bawah yang kebanyakannya tinggal di kampung dan luar bandar, kali ini ia diperluaskan lagi untuk pengundi muda pula.

Penambahan baucer buku dan memberi rebet pemberian telefon pintar jelas untuk membuai perasaan dan jiwa anak-anak muda.

Dengan mengambil kira bahawa kebanyakan pemberian habuan dan gula-gula kepada rakyat ini hanya akan dilaksanakan menjelang Disember dan Januari depan, Najib kini mungkin sedang mencari-cari tarikh yang sesuai selepas itu untuk mengadakan pilihanraya umum sebelum tempoh edahnya pada 28 April 2013. (SH 28/09/2012)

Tuesday, 25 September 2012

Pengundi Cina kata, "Tangan Najib Terlalu Kotor..."


Najib secara umumnya cuba melakukan pelbagai perkara bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN selepas tsunami yang melanda pada 2008, namun sehingga ini semua usaha yang dilakukannya bagaikan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Ada saja isu yang menyebabkannya dipertikai dan dipandang serong oleh rakyat.

Beliau melakukan pelbagai transformasi serta menabur banyak janji kepada rakyat. Tetapi nampaknya semakin banyak janji yang ditabur, makin kurang pula sokongan rakyat yang diterimanya.

Generasi muda dan golongan profesional masih kuat memihak kepada PR. Kakitangan kerajaan dan swasta juga seperti terbahagi dua, masih ramai yang sayang pada UMNO tetapi yang semakin menyampah juga makin membesar. Pengundi bukan Melayu khususnya Cina seperti sudah menetapkan pendirian yang kukuh untuk menumbangkan BN.

Siapa lagi harapan BN? Pergantungan BN nampaknya hanyalah kepada generasi tua dan orang-orang kampung yang tidak begitu terdedah kepada dunia maya. Ahli UMNO pula, meskipun mahu melihat UMNO terus kekal berkuasa tetapi ramai juga yang masih bersikap tunggu dan lihat. Terdapat juga ahli UMNO yang merasakan lebih baik UMNO kalah untuk PRU 13 ini supaya ia belajar daripada kesilapan dan mampu bangkit dengan lebih baik selepas itu.

Ramai yang membandingkan kedudukan UMNO dalam PRU 13 seperti tentera Islam dalam peperangan Uhud. Kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud adalah kerana ketamakan berebut harta rampasan perang serta lalai dalam perjuangan. Kerana kalah, tentera Islam belajar daripada banyak kesilapan dan terus mencipta banyak kejayaan selepas itu.

UMNO juga begitu keadaannya. Setakat kalah di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan tidak mampu memberi apa-apa pengajaran kepada kepimpinannya. Pemimpin UMNO masih tergolong kelompok yang rakus mengumpul kekayaan, mengamalkan rasuah, mempamer kekayaan dan kurang mempedulikan rakyat.

Ramai yang percaya, UMNO hanya akan berubah apabila ia kalah dalam PRU 13 ini. Pengajaran Perang Uhud hanya akan meresap ke dalam jiwa sanubari pemimpin UMNO jika ia kalah dalam pilihanraya ini dan menjadi pembangkang pula.

Untuk masa depan dan kelangsungan perjuangan UMNO bagi tahun-tahun mendatang, kalah dalam PRU 13 adalah ubat paling mujarab untuk memulihkan kepercayaan rakyat. Hanya setelah kalah, kebanyakan pemimpin UMNO yang selama ini menjadi beban kepada parti tahu istilah berundur. Setelah diganti dengan pemimpin baru yang benar-benar bersih dan diyakini rakyat, barulah UMNO ketika dapat diterima kembali oleh rakyat.

Sebagaimana Najib, beliau cuba melakukan pelbagai perkara. Setiap kali membua mulut, ia mesti berupa janji dan ungkapan transformasi. Namun kesannya tetap juga tiada. Sementara Mahathir meyakini bahawa Najib hanya mampu mencapai kemenangan yang sangat tipis, lebih tipis daripada pencapaian Pak Lah pada 2008 iaitu 140 kerusi Parlimen, ramai juga beranggapan kedudukan antara BN dan PR sebenarnya adalah 50-50.

Dengan kedudukan itu, Najib bila-bila boleh tumbang. Tambahan pula, semakin hari semakin banyak isu yang membelit dirinya.

Kedudukan BN sekarang sebenarnya hanyalah bergantung kepada talian hayat daripada kedudukan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak saja. Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan BN memenangi 24 kerusi pada 2008 lalu sementara Sarawak pula mempunyai 31 kerusi dan BN memenangi 30 daripadanya dalam pilihanaraya lalu.

Ini bermakna daripada 140 kerusi yang menjadikan Najib sebagai Perdana Menteri dan BN terus berkuasa hasil warisan Pak Lah, 54 daripadanya adalah ehsan daripada Sabah dan Sarawak. Tanpa Sabah dan Sarawak, kekuatan BN hanyalah 86 kerusi sahaja sedangkan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti paling tipis, memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Dalam piliharaya 2008 lalu, PR memenangi 82 kerusi tetapi selepas itu beberapa orang telah memilih untuk menjadi katak dan menjadi penyokong BN. Tetapi sehingga ini 82 kawasan Parlimen itu masih lagi menjadi kubu kuat PR. Tidak terdengar khabar bahawa BN boleh menang di Kulim Bandar Baru atau Bayan Baru meskipun Zulkifli Nordin dan Zaharin Hashim sudah melompat ke kolam yang dijaga penuh mewah oleh Najib. Juga tidak terdengar berita bahawa Ibrahim Ali mampu menjanjikan kemenangan kepada UMNO di Pasir Mas setelah memenanginya atas tiket Pas dalam pilihanraya lalu dan kemudian memilih menjadi Bebas yang mendakap erat tubuh Najib.

Dengan kedudukan yang hampir seimbang itu, di samping kekuatan PR yang makin melebar di Sabah dN Sarawak, kedudukan BN secara teorinya hanyalah tinggal nyawa-nyawa ikan. Tambahan pula kedudukan PR juga makin menonjol di Johor yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO. Dengan Pas sudah menghantar Naib Presidennya, Sallahuddin Ayub kembali ke Johor manakala DAP pula dijangka akan mempertaruhkan Lim Kit Siang untuk bertanding di Johor, kejutan pasti berlaku di negeri itu.

Tambahan pula beberapa demontasi dan himpunan anjuran PR di Johor kebelakangan ini dengan kehadiran mencecah ribuan orangramai yang hadir, ramai yang menjangkakan ianya adalah petanda awal UMNO akan hilang cengkamannya di negeri itu. Berbanding sebelum ini, demonstrasi anjuran pembangkang di Johor tidak pernah mendapat sambutan seperti itu.

Sebahagian daripada kegagalan UMNO dan BN menarik sokongan rakyat adalah kerana ketidakyakinan rakyat terhadap Najib sendiri sebagai pemimpin. Najib bekerja siang malam, melaung pelbagai transformasi dan menabur janji silih berganti tetapi hakikatnya sokongan rakyat tidak juga kunjung jelma.

Selain UMNO bukan lagi produk yang baik, perangai Najib dan sebahagian besar pemimpinnya menambahburukkan lagi keadaan itu. Najib cuba melakukan pelbagai usaha tetapi masalahnya unsur-unsur rasuah, skandal, penyelewengan, campurtangan dalam pemberian projek, amalan kronisme dan nepotisme serta kelemahan dalam mengurus kerajaan masih menjadi isu yang diperkatakan setiap hari oleh rakyat.

Bermula dengan peringkat awal menjadi Perdana Menteri lagi beliau sudah dikaitkan dengan isu pembunuhan Altantuya serta komisyen kapal selam sebanyak RM500 juta yang melibatkan rakan karibnya Razak Baginda, isu yang melingkari Najib sebenarnya tidak pernah padam kemudiannya.

Selepas itu muncul pula isu penganugerahan beberapa projek kepada rakan karibnya seperti projek email 1Malaysia, sambungan LRT Ampang, pembinaan semula Kem Sungai Besi dan pelbagai lagi. Pemberian sebahagian besar projek mega dan penswastaan kepada taikun Syed Mokhtar Albukhary juga menjadi isu di kalangan rakyat, seolah-olah hanya beliau saja Melayu yang berkebolehan di negara ini.

Selain isu-isu tersebut, imej Najib jiga tercemar dengan karenah isterinya yang suka berbelanja mewah, boros dan seperti ingin menumpang kuasa Perdana Menteri. Berselang seli dengan itu, muncul pula isu belanja mewah majlis pertunangan anak perempuan dan sambutan hari jadinya serta sikap berfoya-foya anak lelakinya.

Semua itu akhirnya menjadikan Najib kelihatan semakin merudum ratingnya. Bagi pengundi muda, golongan profesional dan bukan Melayu, isu-isu yang melibatkan rasuah, skandal dan pengumpulan kekayaan di kalangan pemimpin adakah sesuatu yang sukar untuk mereka terima. Lebih tidak dapat diterima jika seorang Perdana Menteri sendiri dikaitkan dengan isu-isu seperti itu.

Pemimpin bagi mereka, mestilah bersih dan dipandang bersih selain sentiasa mengutamakan rakyat dalam susun atur langkah perjuangan yang dilalui setiap hari. Tidak bermoral seseorang pemimpin meneriakkan kata-kata perjuangan sedangkan aturan yang disusun semuanya untuk kepentingan peribadi dan kroni semata.

Dalam hal ini, saya teringat kata-kata seorang pemimpin masyarakat NGO Cina yang menghuraikan sebab-sebab penolakan pengundi Cina terhadap Najib dengan menyatakan, "walaupun Najib melakukan pelbagai perkara untuk menarik hati rakyat tetapi masalah beliau ialah tangannya kelihatan terlalu kotor dan itulah punca kegagalannya".

Dengan kata lain, selagi Najib tidak membersihkan imejnya yang kelihatan kotor itu, selagi itulah segala usaha transformasi hanya sia-sia saja.(SH 25/09/2012)




Sunday, 23 September 2012

Najib Makin Tersepit Antara Rakyat Yang Menolak BN Dan UMNO Yang Mahukan Muhyiddin


Ucapan yang dilafazkan oleh Najib sejak akhir-akhir ini menggambarkan jiwanya yang sedang resah. Beliau kelihatan amat gelisah tentang masa depannya. Kedudukannya selepas pilihanraya akan datang sama ada masih mampu menghuni Seri Perdana atau tidak, masih lagi kabur dan tidak ketentuan.

Semalam dalam ucapannya di perasmian Pusat Transformasi Bandar, sebuah kompleks yang dulunya dikenali sebagai Puduraya, Najib merayu agar beliau diberi peluang sekurang-kurangnya sepenggal lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Selepas itu di Johor Bahru, beliau pula berkata masa depan negara ini terlalu tinggi nilainya untuk diserahkan kepada pihak lain. Beliau juga seakan merayu agar pemerintahan BN terus dikekalkan.

Najib kononnya masih mempunyai banyak perancangan dan transformasi lagi untuk dilaksanakan dan hanya dengan terus memberinya peluang menjadi Perdana Menteri sahaja, semua itu dapat dilaksanakan.

Jika dulu nada ucapan Najib begitu tegas sambil menggariskan pelbagai transformasi yang telah dilaksanakannya, tetapi kali ini nadanya seakan-akan merayu pula. Jika dulu beliau menjerit-jerit dan mengeluarkan perkataan "haramjadah" untuk menempelak orang yang mahu mengamalkan demokrasi, kali ini rayuan dan pujukannya jelas dapat dirasai.

Jika pasangan bercinta atau suami isteri yang sedang menghadapi masalah keretakan hubungan, biasanya usaha memujuk dan merayu adalah pendekatan terakhir untuk memulihkan hubungan supaya pulih seperti sediakala.

Apakah ini menandakan Najib sudah dapat membaca isyarat rakyat yang makin menolak kepimpinannnya, lalu menggunakan usaha pujuk rayu ini dengan harapan beliau dan Rosmah terus dapat tinggal mendakap kuasa di singgahsana Seri Perdana?

Kepada siapakah rayuan itu sebenarnya ditujukan?

Najib sebenarnya bukan sahaja merayu kepada rakyat supaya terus memilih UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang tetapi juga kepada ahli dan perwakilan UMNO agar tidak menyingkirkannya jika dalam pilihanraya nanti keputusan yang mampu dicapai oleh BN lebih buruk daripada keputusan pilihanraya umum 2008.

Rakyat pelbagai lapisan kini umumnya seakan tidak sabar untuk menukar kerajaan berikutan pentadbiran UMNO dan BN selama lebih 50 tahun yang penuh dengan pelbagai masalah, skandal, rasuah dan penyelewengan. Rakyat tidak boleh lagi sekadar berdiam diri melihat hasil kekayaan negara dirompak oleh segelintir elit pemerintah sedangkan rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pembaziran, pemborosan serta belanja mewah Najib sekeluarga sebagaimana yang selalu menghiasi dada-dada media juga mahu ditamatkan episodnya oleh rakyat.

Selain Anwar dan PR yang menjanjikan pelbagai pembaharuan dan kesenangan untuk masa depan rakyat, majoriti rakyat kini juga semakin sedar tentang hak dan kedudukan mereka yang sebenarnya. Rakyat tidak lagi boleh diperbodohkan dengan siulan media konservatif yang sering mengalunkan irama palsu untuk membuatkan rakyat terus alpa dan terlena.

Bagi rakyat, PRU 13 adalah penentuan untuk merubah nasib diri dan anak cucu mereka. Jika perubahan dapat dilakukan, suasana dan sistem politik negara akan berubah ke arah yang lebih baik di mana semua pihak yang menjadi pemimpin selepas itu akan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi segala kepentingan lainnya.

Tetapi jika perubahan tidak dapat dilakukan dalam pilihanraya ke 13 ini, ia mungkin memerlukan masa 50 tahun lagi untuk melakukan perubahan yang sama. Sebab itu, rakyat kini tidak sabar untuk melakukan perubahan dan menumbangkan BN yang telah memerintah negara lebih 55 tahun ini. Mereka tidak mahu menunggu 50 tahun akan datang untuk melakukan perubahan itu.

Kini segala transformasi dan janji-janji Najib tidak lagi melekat di hati rakyat. Ia hanya ibarat taburan buih-buih sabun yang akan lenyap ditiup angin. Bukan sahaja Najib menyedari hakikat itu, semua kepimpinan UMNO juga menyedarinya. Mahathir yang pernah bertakhta selama 22 tahun juga menyedari hakikat penolakan rakyat terhadap UMNO sekarang ini.

Selain rayuannya itu ditujukan kepada rakyat dan pengundi, Najib juga sebenarnya sedang merayu kepada ahli dan perwakilan UMNO supaya tidak menyingkirkannya jika beliau hanya mampu memberi kemenangan tipis kepada UMNO dan BN. Najib juga secara halusnya sedang merayu kepada timbalannya, Muhyiddin Yassin agar tidak mengambil alih tempatnya meskipun ketika itu nanti desakan ke arah itu begitu kuat.

Najib sendiri menyedari sentimen ahli UMNO sekarang. Oleh kerana Pak Lah dipaksa undur pada 2009 kerana kemenangan hanya 140 kerusi dan hilang majoriti dua pertiga pada piihanraya 2008, nasib yang sama juga bakal menimpanya jika gagal memperbaiki pencapaian itu.

Tinjauan umum banyak mendapati bahawa agak mustahil untuk Najib memperbaiki pencapaian 140 kerusi itu. Dengan segala macam skandal dan penyelewengan berterusan, amalan kronisme dan nepotisme terus diperkukuhkan, di samping Najib sendiri dilihat lebih lemah daripada Pak Lah, hakikatnya apa sedang menunggu beliau ialah sama ada kalah atau pun hanya mampu menang dengan kelebihan yang sangat tipis. Mungkin hanya 5 hingga 9 kerusi Parlimen sahaja.

Jika begitu kedudukannya, masa depan Najb tidak boleh diselamatkan lagi. Ahli dan perwakilan UMNO akan menolaknya dengan cara yang lebih kejam daripada yang dialami oleh Pak Lah.

Sehingga ini pun, sudah banyak kedengaran suara di peringkat akar umbi yang tidak puas hati dengan Najib, terutamanya berkaitan amalan berbelanja mewah, boros serta hobi bergaya mahal yang melibatkan anak-anak dan isteri kesayangannya Rosmah Mansor.

Ramai yang bersungut dengan perbuatan itu kerana sementara ahli dan pemimpin peringkat akar umbi sering diminta berusaha menarik sokongan rakyat tetapi perbuatan yang dilakukan oleh Rosmah dan anak-anaknya jelas menyebabkan rakyat semakin menjauhi UMNO dan BN. Kontradiksi ini menyebabkan jika keadaan memerlukan, Najib pasti akan disingkirkan kerana antara punca sebenarnya penolakan rakyat adalah kelemahan Najib sendiri dalam mengawal perilaku ahli keluarganya.

Oleh sebab itu, andainya UMNO dan BN terus menang dalam piliharaya akan datang tetapi dengan majoriti yang lebih kecil atau gagal mendapat majoriti dua pertiga, Najib sebenarnya mempunyai lebih banyak alasan untuk dipaksa berundur.

Najib memang menyedari hakikat itu. Ia kini diperkatakan di mana-mana. Nama Muhyiddin juga sudah semakin kerap disebut-sebut. Perbandingan watak Najib dengan Muhyiddin juga mulai diperkatakan. Perwatakan isteri kedua-duanya juga sedang diperbualkan. Dan kesimpulan daripada semua itu, keadaan yang sedang berlaku sama-sekali tidak memihak kepada Najib.

Najib kini sedang menggunakan usaha terakhirnya untuk menyelamatkan diri dan masa depan politiknya iaitu memujuk dan merayu. Rakyat dan ahli UMNO akan terus dipujuk dan dirayu untuk memberinya peluang sepenggal lagi sebagai Perdana Menteri.

Rakyat dan ahli UMNO mungkin akan mendengar pelbagai kata-kata mendayu dan menusuk kalbu lagi selepas ini daripada Najib. Inilah usaha terakhirnya untuk menyelamatkan diri. (SH 23/09/2012)

Friday, 21 September 2012

Mahathir Mula Mempromosi Muhyiddin...


Beberapa hari kebelakangan ini, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dilihat begitu banyak membuka mulutnya mengenai UMNO dan politik Malaysia. Melihat kepada amalan masa lalunya, setiap butir kata-katanya banyak mengandungi maksud tersirat, selain memahami apa yang tersurat.

Selain meramalkan BN akan terus menang dalam pilihanraya akan datang tetapi dengan majoriti yang lebih kecil, Mahathir juga bercakap mengenai tempoh seseorang pemimpin harus memegang jawatannya, memahami isyarat untuk berundur, amalan menegur pemimpin, kerajaan pimpinan Najib yang masih lemah dan pelbagai lagi.

Tetapi yang menarik untuk diperhatikan ialah bilamana beliau bercakap tentang kerajaan pimpinan Najib yang masih lemah dan isyarat yang harus difahami oleh seseorang pemimpin bila mereka seharusnya berundur daripada jawatan yang dipegangnya.

Dengan menyebut kepimpinan Najib masih lemah dan gagal menarik sokongan rakyat, apakah ini bermakna Mahathir ingin memberi isyarat kepada rakyat dan ahli UMNO bahawa Najib sebenarnya adalah pemimpin yang gagal. Jika diimbas proses peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib dahulu, desakan agar dipercepatkan proses itu ialah agar Najib mempunyai cukup masa untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Namun selepas lebih tiga tahun berlalu dan ternyata kerajaan yang dipimpin Najib bukannya beransur pulih atau bertambah kuat, sebaliknya bertambah lemah. Ini bermakna Najib telah gagal sama-sekali sebagai Perdana Menteri.

Oleh kerana di masa yang sama Mahathir yakin UMNO dan BN akan kekal tetapi dengan majoriti yang lebih tipis berbanding 2008, bermakna kedudukan kerajaan menjadi tidak stabil. Ini sekaligus membawa maksud bahawa Mahathir mahukan ahli UMNO bersiap sedia untuk menukar pemimpin dan menggantikan Najib dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa. Jika Najib tidak digantikan, UMNO dan BN akan menjadi terus lemah dan boleh membawa akibat yang lebih buruk dalam piliharaya umum ke 14 nanti. Itulah andaian Mahathir.

Perkara kedua yang disebut Mahathir yang menarik untuk diperhatikan ialah apabila beliau menyebut tentang isyarat yang harus difahami oleh seseorang pemimpin bila seharusnya mereka berundur. Walaupun berjaya menjadi PM selama 22 tahun dan diberikan beberapa kali isyarat oleh rakyat dan ahli UMNO terhadap kepimpinannya, kelebihan Mahahir ialah beliau akhirnya berjaya mengatasi segala rintangan itu melalui kepintaran dan kelicikannya bermain politik.

Bagi Mahathir pula, cabaran yang dihadapinya itu lebih menunjukkan sikap keterbukaannya terhadap amalan demokrasi yang diamalkan oleh UMNO itu sendiri. Sebab itu dengan bantuan kepungan kuasa, beliau berjaya menjadi PM selama 22 tahun.

Bagi Mahathir, tidak kira sama ada seseorang itu lama atau baru menjadi pemimpin, jika wujud isyarat yang mahukan seseorang itu berundur, mereka haruslah memahami dan segera respon terhadapnya.

Jika isyarat berundur ini dikaitkan dengan kepimpinan Najib, ia sebenarnya sudah banyak kali muncul. Cuma Najib saja yang tidak mahu memahaminya kerana merasakan belum puas mengempuki kerusi kuasa sebagai Perdana Menteri.

Najib sendiri pun sebenarnya memahami penolakan rakyat yang makin melebar terhadap kepimpinannya. Sementara Najib menganggap penolakan rakyat itu belum sampai ke tahap isyarat untuk berundur, Mahathir pula cuba memberi bayangan sebaliknya. Sebab itu sehingga ini beliau masih belum terjumpa tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya. Dengan mengumumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan diadakan pada 27 November hingga 1Disember depan, kebarangkalian yang nyata ialah pilihanraya tidak mungkin diadakan pada tahun ini.

Pilihanraya mungkin diinjak ke penghujung tarikh luput pembubaran Parlimen iaitu April 2013. Dengan menunda tarikh pilihanraya, Najib mengharapkan beliau masih mempunyai ruang dan masa untuk menarik semula sokongan rakyat, terutama melalui Bajet 2013 yang akan dibentangkan 28 September depan.

Sebagai langkah untuk menarik sokongan rakyat, sambutan Thaipusam, tahun baru 2013 dan Tahun Baru Cina pada awal tahun depan dipercayai akan dimanfaatkan sepenuhnya oeh Najib dengan beberapa pengumuman serta pemberian habuan lagi.

Apa yang menarik, Mahathir sebenarnya sudah beberapa kali bercakap mengenai kerajaan pimpinan Najib yang semakin lemah sekarang ini. Meskipun Mahathir dilihat rapat dan sentiasa menyokong Najib, tetapi beliau seringkali juga menyebut mengenai isu kerajaan yang lemah ini.

Mengenai isyarat berundur pula, beliau pernah menyebutnya lama dahulu. Tetapi dengan menyebutnya kembali di ketika ini, di ketika Najib sedang bergelut antara hidup dan mati dalam politik, ia tentunya mempunyai maksud tersendiri. Dan mengenali perwatakan Mahathir, cakapnya jarang tidak mempunyai maksud.

Cubalah ingat kembali ketika beliau berkrisis dengan Musa Hitam dan Anwar Ibrahim dahulu. Banyak ucapannya ketika itu yang mempunyai maksud tersirat lebih daripada yang tersurat. Beliau menyindir tentang gandingan 2M dan beberapa kali menyebut tentang sejarah Brutus yang sanggup menikam Julius Ceaser. Begitu juga ketika beliau tidak mahu lagi menyokong Ghafar Baba yang dicabar oleh Anwar Ibrahim, ungkapannya penuh sindiran ketika itu.

Sebenarnya itulah stail Mahathir. Beliau akan memberi bayangan dan sindiran terlebih dahulu terhadap sesuatu perkara yang ingin diusahakannya. Kemudian membiarkannya menjadi khabar angin dan diperkatakan oleh ramai orang. Akhirnya ia akan meresap dalam pemikiran dan tidak ada sesiapa yang terperanjat jika ianya menjadi kenyataan.

Dalam konteks pilihanraya yang semakin hampir dan pemilihan UMNO selepas itu, Mahathir kini seperti memulakan langkahnya sebagai pencatur dalam menentukan kepimpinan UMNO seterusnya. Sebagaimana beliau berjaya menjatuhkan Pak Lak melalui gerakan dan road show ke seluruh negara dahulu, Najib kini bakal menerima nasib yang sama.

Beliau mula menyebut tentang kerajaan yang lemah dan kegagalan Najib memulihkan keadaan. Kemudian beliau juga menyebut tentang isyarat berundur yang harus difahami oleh seseorang pemimpin itu. Jelas bahawa ia ditujukan kepada Najib.

Meskipun tidak ada pemimpin atasan UMNO yang mengulasnya tetapi ia kini mula menjadi percakapan di pelbagai peringkat dalam UMNO. Pemimpin atasan bercakap, pemimpin bahagian bercakap, pemimpin cawangan juga bercakap. Ahli UMNO biasa dan broker politik juga mulai bercakap mengenainya.

Dan secara automatiknya nama Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO mulai menjadi sebutan di mana-mana sebagai watak yang bakal mengisi kedudukan Najib sekarang. Mahathir nampaknya telah berjaya mempromosi nama Muhyiddin sebagai bakal pengganti Najib. (SH 21/09/2012)

Wednesday, 19 September 2012

Jangan Lupa, Mahathir Juga Pernah Hina Nabi Muhammad


Ketika ini umat Islam seluruh dunia sedang bangkit melakukan pelbagai bantahan terhadap sebuah filem, Innocence of Muslims yang jelas menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW. Di Libya, tunjuk perasaan yang berlaku telah menyebabkan empat diplomat Amerika termasuk dutanya ke Libya, telah terbunuh.

Di negara kita, kebangkitan umat Islam terhadap penghinaan itu juga berlaku di mana-mana. Selain bantahan melalui tunjuk perasaan di beberapa masjid, khutbah-khutbah Jumaat juga turut menyampaikan mesej yang sama. Media pro kerajaan dan pro pembangkang turut bertindak sama. Semua parti politik dan pemimpin utamanya juga mengutuk perbuatan menghina agama Islam serta keperibadian Rasulullah itu.

Dalam masa yang sama Pemuda UMNO dan Pemuda Pas, dua buah parti politi Melayu dan Islam terbesar di Malaysia turut bergabung tenaga mengadakan tunjuk perasaan pada Jumaat ini sebagai luahan perasaan mengutuk perbuatan menerbitkan filem yang jelas menghina Islam sehingga mencetuskan pelbagai rusuhan di seluruh dunia itu.

Semua tunjuk perasaan dan kebangkitan umat Islam kini adalah mesej jelas bahawa umat Islam tidak rela dipermain dan dihina sesuka hati oleh pihak lain.

Bagaimanapun di sebalik kebangkitan umat Islam sedang membara jiwanya kini, tiba-tiba Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham dalam laman twitternya telah mengeluarkan komen yang dianggap tidak sensitif terhadap kebangkitan umat Islam sekarang.

Beliau mempersoalkan niat diadakan tunjuk perasaan itu sama ada untuk kepentingan umum atau politik peribadi sambil mengajukan persoalan apakah umat Islam sanggup membuang masa dan tenaga yang begitu banyak untuk tujuan itu.

Komen itu telah menyebabkan Ahli Parlimen Beruas itu dikecam oeh pelbagai pihak. Pemimpin UMNO dan kerajaan mengambil kesempatan atas isu ini menyerang DAP serta mengaitkannya dengan pendirian Pas. Media UMNO dan blogger pro kerajaan turut tidak henti-henti menyerang beliau sambil menimbulkan kemungkinan beliau bakal menerima nasib seperti duta Amerika ke Libya iaitu diserang sehingga mengakibatkan kematian.

Jika diteliti komen Ngeh itu, tiada apa-apa yang pelik sebenarnya. Beliau sekadar menyuarakan pandangannya terhadap situasi yang sedang berlaku tetapi langsung tidak menghina Islam dan Nabi Muhammad. Pandangannya ini lebih bersifat peribadi dan kurang memahami sensitiviti Islam sehingga menyebabkannya tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam itu sendiri.

Sebenarnya tiada ada yang perlu dirisaukan dengan komen Pengerusi DAP Perak itu. Beliau tidak menghina apa-apa yang berkaitan Islam. Beliau cuma tidak sensitif dan sebagai seorang bukan Islam, perbuatan beliau itu boleh dimaafkan. Cuma beliau perlu lebih diberi kefahaman tentang Islam dan perasaan umat Islam itu sendiri serta tidak lagi mengulanginya di masa depan.

Kenyataan Ngeh itu amat kencil jika dibandingkan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Tun Mahathir suatu ketika dahulu. Ketika menjadi PM, beliau pernah mengeluarkan beberapa komen yang amat jelas menghina Islam dan keperibadian Rasulullah. Tetapi oleh kerana ketika itu beliau begitu berkuasa, semua pihak berdiam diri termasuk pemimpin dalam UMNO yang berpendidikan agama.

Mahathir pernah mengecam hukum hudud dengan menyifatkan hukum potong tangan akan menyebabkan orang Islam dipandang hina oleh agama lain kerana hukum itu mengakibatkan ramai yang kudung tangannya.

Beliau juga pernah menganggap amalan menyimpan janggut bukan sebahagian Sunnah Rasulullah dan menyifatkan ianya menjadi amalan ketika dahulu hanyalah kerana ketika itu belum dicipta alat pencukur atau Gilette.

Mahathir juga pernah menyindir amalan pemakaian jubah dengan mengatakan ia sebenarnya bertujuan untuk mengekang nafsu syahwat bangsa Arab yang dianggapnya mempunyai nafsu seks yang besar.

Cuba kita bandingkan, komen Mahathir atau Ngeh yang lebih menghina Islam dan Rasulullah!

Jika Ngeh mengeluarkan komen sedemikian sebagai seorang yang bukan beragama Islam, tetapi Mahathir berbuat demikian atas kapasitinya sebagai seorang Islam. Lebih dari itu, ketika itu beliau juga menjadi Perdana Menteri yang tentunya komen beliau itu menimbulkan kesan kepada orangramai.

Dalam hal ini tentunya perbuatan Mahathir lebih menghina berbanding komen yang dibuat oleh Ngeh itu.

Sebelum pemimpin-pemimpin UMNO dan media pro kerajaan mengecam perbuataan Pengerusi DAP Perak ini dengan lebih lanjut, ada baik mereka juga bertanya kepada Mahathir sama ada beliau masih berpegang kepada kenyataan-kenyataannya yang menghina itu atau beliau kini sudah insaf dan ingin memohon maaf atas keterlanjurannya itu.

Meskipun Mahathir turut mengutuk penerbitan filem Innocence of Muslims ini tetapi komennya hanyalah secara umum sahaja iaitu dengan mengatakan kebebasan bersuara tidak seharuslah disamakan dengan kebebasan menghina orang lain.

Yang jelasnya, sehingga kini Mahathir masih statik dengan pegangannya berhubung hukum potong tangan, amalan menyimpan janggut oleh Rasulullah serta pemakaian jubah. Tidak pernah terdengar beliau menarik balik atau memohon maaf berkenaan dengannya.

Kepada pemimpin UMNO, pemimpin kerajaan, media, blogger dan umat Islam seluruhnya, dalam suasana kebangkitan Islam yang begitu dirasai kini, ada baiknya jika mempunyai kesempatan, mereka turut bertanyakan kepada Mahathir tentang penghinaan kepada Islam dan Nabi Muhammad yang pernah dilakukannya dahulu itu.

Tentunya kita ingin tahu sama ada pendiriannya sama atau sudah berubah sekarang ini.

Kiranya Mahathir terus kekal dengan pendiriannya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ini, elok rasanya selepas ini diadakan pula tunjuk perasaan besar-besaran di hadapan rumahnya di Mines Resort untuk membantah perbuatannya yang juga salah dan menghina itu.

Secara logiknya, Mahathir dan Innocence of Muslims tidak ada bezanya langsung. (SH 19/09/2012)



Friday, 14 September 2012

Rosmah Mansor Bakal Bertanding Di Pahang?


Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, Najib Razak dipercayai sedang mengintai salah satu kerusi Parlimen yang sesuai di Pahang untuk ditandinginya dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Meskipun Rosmah berasal dari Negeri Sembilan, tetapi kedudukan politik di negeri itu yang agak bergelora serta persepsi rakyat yang berbagai terhadap dirinya menyebabkan tiada kawasan yang dirasakan selamat untuknya di negeri kelahirannya itu. Berbeza dengan Pahang yang masih kuat kedudukan UMNOnya serta penerimaan rakyat yang lebih positif, Rosmah diyakini lebih mudah menang jika bertanding di salah satu kerusi Parlimen di negeri itu.

Kedudukan Najib sebagai PM yang berasal dari Pahang juga turut membantu penerimaan yang positif terhadap kemungkinan Rosmah bakal menjadi salah seorang calon Parlimen mewakili BN di negeri itu.

Sumber-sumber yang dekat dengan pimpinan UMNO bagaimanapun menyebut, kedudukan isteri PM itu masih lagi di peringkat penilaian ketika itu. Ada pihak yang menyokong dan ada pula yang kurang senang dengan perkhabaran itu.

Meskipun agak janggal bagi seorang isteri PM bertanding dalam pilihanraya umum tetapi kemasukan Rosmah sebagai Ahli Parlimen dan kemungkinan dilantik menganggotai kabinet dipercayai mampu menambah kukuh kedudukan Najib jika BN sekadar memperolehi kemenangan tipis dalam pilihanraya umum nanti.

Membawa Rosmah dalam kancah yang lebih luas dalam politik dan pentadbiran juga dilihat sebagai persiapan Najib untuk menghadapi masalah dalaman UMNO selepas piliharaya nanti terutama jika BN sekadar mampu menang tipis sahaja iaitu menyekat kemaraan Muhyiddin Yassin yang mungkin menggunakan kaedah sama seperti yang dialami oleh Pak Lah selepas pilihanraya 2008 lalu.

Tindakan Najib memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat sejak Shahrizat meletakkan jawatan, beberapa bulan lalu turut dikaitkan sebagai agenda Najib untuk memberikan jawatan itu kepada Rosmah selepas pilihanraya nanti.

Dalam konteks ini, Rosmah yang dikenali berwatak agak keras serta lebih vokal, dipercayai akan memainkan peranannya untuk menghalang kemaraan Muhyiddin dan seterusnya memastikan Najib terus kekal sebagai PM meskipun jika BN sekadar menang lebih tipis daripada 2008.

UMNO Pahang difahamkan sudah menerima mesej berkaitan kedudukan Rosmah ini tetapi belum diputuskan kawasan mana yang sesuai untuk ditandingi oleh Rosmah itu.

Beberapa pihak dalam UMNO pula tidak merasakan sesuatu yang janggal jika Rosmah bertanding dalam pilihanraya akan datang ini dan diberikan pula jawatan penting dalam kabinet kerana isteri PM itu dilihat berkemampuan, berwibawa dan mempunyai visi dalam pelbagai peranan yang dimainkannya selama ini.

Dari segi persepsi politik pula, kemasukan Rosmah dalam politik juga dilihat selaras dengan pendekatan dalam pembangkang yang turut membenarkan anak dan isteri pemimpin mereka turut bertanding dalam pilihanraya.

Dalam PKR misalnya, selain Anwar bertanding dalam pilihanraya, anaknya Nurul Izzah juga turut bertanding. Malahan isteri Anwar, Wan Azizah selaku Presiden PKR juga dikhabarkan akan kembali bertanding dalam pilihanraya akan datang ini atas desakan akar umbi PKR sendiri.

Dalam DAP pula, selain Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang bertanding dalam pilihanraya, isteri Lim Guan Eng iaitu Betty Chew juga merupakan ADUN di Melaka. Lebih dari itu, Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo juga merupakan anak-beranak yang mewakili DAP bertanding dalam pilihanraya lalu.

Cuma dalam Pas belum wujud fenomena itu tetapi dalam pilihanraya umum akan datang ini, selain Nik Aziz Nik Mat yang dipercayai terus kekal menjadi calon, anaknya Nik Abduh yang kini menjadi Timbalan Ketua Pemuda Pas juga disebut-sebut sebagai salah seorang calon pilihanraya.

Sekiranya PKR, Pas dan DAP membenarkan anak dan isteri pemimpin mereka terus bertanding dalam pilihanraya akan datang ini, kehadiran Rosmah sebagai calon BN dijangka tidak akan menjadi isu besar kerana UMNO akan turut memainkan isu yang sama untuk menyerang pembangkang sekiranya kedudukan Rosmah sebagai calon dipertikaikan.

Bagaimanapun yang membimbangkan UMNO ialah berkenaan isu-isu peribadi terutama berkaitan perbelanjaan dan pembelian barang-barang mewah yang pernah dikaitkan dengan Rosmah akan menjadi isu utama dan diperbesar-besarkan oleh PR dalam kempen pilihanraya nanti mampu menghakis keyakinan pengundi terhadap BN. (SH 14/09/2012)






Wednesday, 12 September 2012

Krisis Najib-Muhyiddin: Khabar Angin Yang Bakal Menjadi Realiti


Jika dilihat kehadiran Najib bersama Muhyiddin di majlis pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan semalam, seolah-olah tidak ada apa-apa masalah antara mereka berdua. Perdana Menteri dan timbalannya ini bagaikan gandingan erat yang sentiasa seia sekata serta sehati sejiwa.

Tetapi beberapa minggu sebelum itu, bertaburan poster-poster di Johor yang mahukan Muhyiddin sebagai PM sebelum PRU 13 ini bagi menyelamatkan UMNO dan BN berikutan Najib dilihat masih gagal untuk menarik sokongan rakyat menjelang pilihanraya umum akan datang.

Meskipun UMNO Johor dan UMNO Pagoh menafikan poster itu diterbitkan oleh mereka dan menyifatkan ianya taktik pihak yang tidak bertanggungjawab untuk merenggangkan hubungan kedua pemimpin itu, hakikatnya jika pun wujud masalah antara Najib dan Muhyiddin, ia juga bukanlah sesuatu yang pelik dan di luar kebiasaan.

Selain watak dan pendekatan keduanya jelas berbeza, mereka juga berbeza pendapat dalam beberapa isu. Dalam Akta Keterangan yang baru diluluskan misalnya, suatu ketika Najib setuju ia dikaji semula setelah adanya pelbagai bantahan tetapi Muhyiddin mempertahankannya, termasuk bertindak memanggil dua timbalan menteri yang sebelum itu agak keras membantah akta itu.

Beberapa lama sebelum itu, di ketika Najib bangga dengan 1Malaysianya, Muhyiddin pula tetap meletakkan dirinya sebagai Melayu dahulu, kemudian baru diikuti sebagai rakyat Malaysia. Pendekatan yang jelas amat bertentangan dengan 1Malaysia.

Dalam beberapa isu lainnya pula, Muhyiddin juga dilihat tidak berapa bersungguh mempertahankan Najib seperti yang dapat dilihat dalam isu remaja menayang punggung dan memijak gambar Najib.

Sementara dalam UMNO pula, suara-suara yang merasakan Najib lebih sesuai memimpin UMNO dan kerajaan dalam suasana politik kritikal seperti sekarang ini sudah lama kedengaran. Najib, dengan watak sebagai anak bangsawan dilihat hanya sesuai menjadi pemimpin UMNO di ketika parti itu tidak bermasalah dan rakyat tidak berpecah.

Dalam keadaan UMNO berjuang antara hidup dan mati, UMNO tentunya memerlukan pemimpin yang tegas, berani dan kurang retorik. Muhyiddin sebaliknya telah terbukti berjaya menangani krisis UMNO Johor dan perpecahan Melayu ketika menjadi Menteri Besar Johor berikutan perletakan jawatan Musa Hitam pada 1986 dulu. Najib tidak ada rekod seperti itu dan baru disedari oleh banyak pihak beliau tidak sesuai menjadi pemimpin ketika ini.

Bertompoknya masalah dan isu yang tidak selesai sekarang ini sebahagaiannya adalah kerana daya kepimpinan Najib yang dilihat lemah, tidak tegas, tiada keberanian serta kurang kebijaksanaan.

Saya sendiri sudah mendengar perkara ini diperbualkan di kalangan ahli dan pimpinan UMNO pelbagai peringkat sudah lama dan sudah pun menulisnya dalam buku Kesilapan-Kesilapan Najib dan Asalkan Bukan Najib sebelum ini. Hakikatnya arus yang berkehendakan Muhyiddin berbanding Najib adalah sesuatu yang benar dan nyata.

Lebih dari itu, dalam sejarah perjalanan politik UMNO pula, krisis atau hubungan tak sebulu antara PM dan timbalannya bukanlah perkara yang pelik. Ia sudah kerap berlaku. Tun Mahathir berbalah dengan Musa Hitam, kemudian melantik Ghafar Baba sebagai pengganti tetapi kemudiannya merestui Ghafar Baba disingkirkan oleh Anwar. Mahathir kemudiannya berbalah dengan Anwar sehingga memecatnya walaupun sehari sebelum itu, pada 1 September 1998, keduanya dilihat begitu mesra ketika Mahathir mengumumkan tentang langkah kawalan mata wang negara.

Kemesraan Mahathir dan Anwar ketika itu tidak jauh bezanya dengan kemesraan Najib dan Muhyiddin di majlis pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan semalam.

Mahathir hanya tidak berbalah ketika Pak Lah menjadi timbalannya tetapi setelah Pak Lah menjadi PM dan Mahathir terus mengganggu-gugatnya, perbalahan mereka akhirnya berterusan hingga kini.

Pak Lah dengan Najib pula tidak terlihat krisisnya tetapi apabila gelombang penolakan semakin kuat terhadap Pak Lah, Najib juga akhirnya menjadi tidak sabar untuk segera menjadi Perdana Menteri.

Yang jelasnya, kerenggangan hubungan antara pemimpin nombor satu dengan pemimpin nombor dua bukanlah sesuatu yang janggal dan di luar kebiasaan. Apatah lagi dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, selain beberapa perbezaan yang ketara dapat dilihat, Muhyiddin juga diketahui sebagai pemimpin yang bercita-cita tinggi dan tidak pernah menyatakan rasa puas hati sekadar menjadi orang nombor saja.

Selain itu, para penyokong Muhyiddin pula tentunya tidak pernah pudar keinginannya untuk melihat boss mereka itu menjadi Perdana Menteri pula.

Krisis Najib dab Muhyiddin ini boleh meletus bila-bila masa saja. Jika ianya dapat ditutup erat sebelum pilihanraya ini, ia mungkin sukar dipertahankan selepas keputusan pilihanraya nanti. Lebih-lebih lagi jika keputusan itu nanti tidak sebaik yang diharapkan.

Yang menariknya dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, kedua-dua mereka tidak pernah memberi komen mengenainya. Berbeza dengan Mahathir dulu, semua krisis dengan timbalannya dinafikannya tetapi akhirnya semua menjadi kenyataan.

Semua krisis itu pula bermula dengan khabar angin dan cakap-cakap orang bawahan. Namun terbukti kebanyakan peristiwa politik sememangnya bermula dengan khabar angin. Ini kerana kadang-kadang khabar angin itu sengaja dicipta untuk menjadikan ia kenyataan yang tidak terlalu mengejutkan suatu hari nanti.

Jika dulu ada pepatah, takkan pokok bergoyang tanpa angin tetapi pokok juga sebenarnya bergoyang jika ada kera yang sengaja menggoyangnya. Tambah pula dalam politik, kera boleh diupah untuk menggoyang pokok.

Krisis dan perbalahan antara pemimpin nombor satu dan pemimpin nombor dua secara realitinya memang sukar dielakkan kerana meskipun keduanya saling melengkapi dan perlu memerlukan antara satu sama lain, mereka sebenarnya hanya bersahabat dalam berpolitik tetapi sentiasa bermusuh dalam kuasa. (SH 12/09/2012)

Monday, 10 September 2012

Inilah Padahnya Bila Najib Mahu Sekatan Politik Dilakukan Kepada Anwar...


Isu pengawal peribadi Anwar mengeluarkan pistol kini menjadi isu baru untuk menyerang PR. Ia segera dikaitkan dengan pelbagai kemungkinan dan andaian jika PR memenangi pilihanraya akan datang. PR dikatakan memulakan politik ganas, tidak toleransi, ghairah menggunakan senjata dan pelbagai lagi.

Ada juga andaian yang mengatakan bahawa ini merupakan petanda awal sekiranya PR menang pilihanraya nanti, mereka akan menggunakan pistol dan senjata api untuk menghalang demonstrasi UMNO ketika itu.

Sebenarnya tindakan pengawal peribadi itu bukanlah sesuatu yang pelik dan diluar SOP jika dikaji dari awal bagaimana deretan ancaman yang diterima oleh Anwar sejak akhir-akhir ini. Tindakan menunjuk pistol hanyalah sekadar gertakan kepada 50 pemuda yang terus menerus memberikan ancaman untuk mengelakkan mereka terus menjadi ganas.

Kereta Anwar sebelum ini pernah disabotaj yang dipercayai bertujuan mengakibatkan kemalangan dan kematian. Cermin keretanya juga pernah dipecahkan. Anaknya Nurul Izzah juga menerima ancaman yang serupa, malah ugutan bunuh terhadap anaknya juga pernah diterima.

Sebaik PKR melancarkan bas Jelajah Merdeka Rakyatnya, ia disambut dengan simbahan cat merah dalam jelajah pertamanya di Kelantan. Di Melaka pula, selain disimbah cat oleh lebih kurang 50 pemuda yang dipercayai ahli UMNO, bas tersebut cuba dihalang perjalanannya.

Politik apa ini? Ia tidak lain menunjukkan UMNO sudah hilang kewarasan dalam berpolitik. Dalam sebuah negara merdeka yang mengamalkan demokrasi, semua rakyat bebas pergi ke mana saja. Dalam politik pula, sesiapa saja bebas menyokong parti mana yang disukai dan diyakininya.

Tindakan menghalang laluan bas jelas terkeluar daripada landasan demokrasi. Sementara Najib dan lain-lain pimpinan UMNO bebas bergerak di negeri-negeri yang dikuasai PR seperti Selangor, Kedah Pulau Pinang dan Kelantan sambil mengeluarkan pelbagai kecaman dan serangan kepada kerajaan negeri terbabit, amalan yang sama harus juga diberikan kepada pimpinan PR. Mereka seharusnya dibebaskan bergerak di negeri-negeri yang dikuasai UMNO.

Semua perbuatan tidak matang ini menunjukkan bahawa UMNO cuba mengelak rakyat daripada mengamalkan kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan negara. Setelah berpeluang 55 tahun berkuasa, UMNO seharusnya menunjukkan kematangan sepadan dengan usianya.

Melakukan tindakan tidak matang seperti menyimbah cat dan menghalang laluan hanya menambahkan kebencian rakyat kepada UMNO yang sememangnya sudahsedia bertompok selama ini.

Sokongan dan penolakan rakyat seharusnya diterima dengan jiwa tenang. Rakyat tidak mungkin menolak sesebuah kerajaan tanpa sebab kerana kebanyakan rakyat bukan lagi duduk dalam gua seperti di zaman batu. Rakyat hari ini penuh dengan maklumat dan mereka tidak mudah lagi dibohongi.

Masalah UMNO ialah oleh kerana ia sudah berkuasa sebegitu lama, ia merasakan ia akan kekal selama-lamanya sehingga hari kiamat. Mereka yang menentang dan menolak UMNO dianggap pengkhianat dan tidak mengenang jasa. Rakyat sentiasa diminta menyokong UMNO walaupun pemimpinnya berperangai buruk serta rakus mengaut kekayaan negara tanpa belas kasihan.

Sehingga ia sudah dianggap seperti syaitan oleh Tun Mahathir pun, rakyat terus diminta menyokong UMNO.

Tindakan agresif dan ganas beberapa kumpulan dalam UMNO sekarang tidak lain adalah berpunca daripada saranan Najib sendiri. Najib sekarang begitu terdesak untuk mempertahankan kuasanya. Di suatu ketika beliau menegaskan bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun. Dan terbaru ini beliau menyeru ahli-ahli UMNO supaya melakukan sekatan politik bagi menghalang kemaraan Anwar dan PR menuju Putrajaya.

Saranan Najib itu yang diulang-ulang oleh pelbagai peringkat pimpinan dalam UMNO lainnya tentulah akhirnya menghasilkan sesuatu tindakan yang boleh mencetuskan keganasan dan di luar batas-batas demokrasi. Mereka mungkin menafsirkan ucapan Najib yang mahu Putrajaya dipertahankan dengan apa cara sekali pun dan sekatan politik dilakukan untuk menghalang kemaraan PR sebagai "lesen" untuk melakukan apa saja termasuk menyimbah cat dan menghalang laluan bas yang membawa Anwar ke sebuah jamuan hari raya di Melaka.

Sebelum ini UMNO juga kerap mengganggu ceramah-ceramah PR dengan mengadakan ceramah di kawasan berdekatan sambil menghalakan mokrofon ke sasaran lawan. Umi Hafilda tentunya masih ingat bagaimana beliau selalu hilang suara kerana terlampau menjerit ke arah ceramah-ceramah PR sambil mengeluarkan perkataan jijik, hina dan kesat yang dikaitkan dengan Anwar.

Tindakan itu direstui, malah kadangkala dibanggakan oleh UMNO. Tentulah akhirnya ia akan menjurus kepada tindakan lain yang lebih agresif pula.

UMNO nampaknya hanya menerima demokrasi dan kebebasan jika memihak kepadanya. Jika berlawanan dengan seleranya, ia bukan lagi demokrasi bagi UMNO. Kewarasan berpolitik dan tidak sedia menerima kekalahan bukan sahaja masih menebal di kalangan ahli bawahan tetapi juga masih menebal di peringkat pimpinan.

UMNO Melaka dan di mana-mana saja seharusnya bersikap matang dan menerima kebebasan dan demokrasi dengan hati terbuka. Hujah harus dilawan dengan hujah. Kemaraan PR harus dilawan dengan khidmat kepada rakyat yang lebih baik, bukannya dengan aksi ganas dan samseng.

Oleh kerana pimpinan UMNO umumnya sering terpalit dengan pelbagai kepentingan serta salah laku ketika berkuasa, maka kuasa yang ada cuba dipertahankan untuk mengelakkan ianya terdedah kepada umum. Ahli bawahan diseret untuk mempertahankan kuasa seolah-olah untuk kepentingan rakyat walau hakikatnya yang ingin sangat dipertahankan ialah kepentingan peneraju kuasa sahaja. (SH 10/09/2012)



Friday, 7 September 2012

Bila Mahathir Meracau Lagi...


Untuk kesekian kalinya mantan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Mahathir Mohamed bersuara lagi mengenai politik negara. Lagi dekat pilihanraya, lagi banyak PM selama 22 tahun bersuara. Dengan bercakap mengenai pelbagai perkara sebelum ini, termasuk menyifatkan UMNO dan BN sebagai syaitan yang dikenali, meminta ahli UMNO bersikap waras dan berusaha memenangkan parti, menyalahkan kerajaan sekarang yang dianggapnya lemah dan berpunca daripada Pak Lah, terbaru ini beliau meminta rakyat supaya tidak mudah menukar kerajaan yang ada.

Tanpa keraguan beliau menyatakan bahawa pertukaran kerajaan tidak semestinya membawa kebaikan. Hakikat ini sebenarnya masih boleh diterima tetapi apabila Mahathir menyatakan bahawa sekiranya PR diberi peluang menjadi kerajaan, mereka akan berusaha supaya BN tidak dapat kembali berkuasa, ia tentunya tidak boleh diterima sama-sekali.

Di mana-mana kerajaan di dunia sekarang, pertukaran kerajaan adalah perkara biasa. Kerajaan demokrasi bertukar dan kerajaan diktator serta kuku besi juga boleh bertukar. Kerajaan Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi yang dulunya gagah juga tumbang akhirnya.

Dalam dunia terbuka dan kesedaran rakyat makin tinggi sekarang, sesebuah kerajaan hanya dapat dipertahankan jika ia sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan terhindar daripada unsur-unsur penyelewengan serta salah guna kuasa.

Dakwaan Mahathir bahawa seolah-olah PR akan melakukan sesuatu yang bersifat kuku besi untuk mengelakkan berlakunya pertukaran kerajaan sekiranya memperolehi kuasa dalam PRU 13 ini, amatlah sukar diterima oleh akal yang waras. Dakwaan itu tidak lebih merupakan percubaan menghasut dan menakut-nakutkan rakyat supaya tidak memilih PR dan terus mengekalkan BN walaupun ia dianggap syaitan.

Dengan menakut-nakutkan rakyat bahawa jika BN tumbang, ia akan berkubur dan lenyap terus daripada bumi Malaysia, Mahathir mengharapkan BN akan terus berkuasa walau sesyaitan mana jahat dan buruknya BN itu di mata rakyat.

Jika sesebuah kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk mengelakkan pertukaraan kerajaan, sudah tentu UMNO dan BN yang berpeluang berkuasa selama 55 tahun terlebih dulu melakukannya sebelum ini. Atau setidak-tidaknya Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi lebih dulu melakukannya.

Oleh kerana UMNO tidak mampu melakukannya dan Hosni Mubarak atau Muammar Gaddafi juga tidak mampu melakukannya, bermakna ia memang sesuatu yang mustahil dilakukan.

Pertukaran kerajaan hanya boleh dielakkan dengan sesebuah kerajaan itu sentiasa mengutamakan rakyat, menjaga kepentingan rakyat, pemimpin tidak rasuah, tiada penyelewengan serta sentiasa diselubungi dengan sifat-sifat baik lagi terpuji.

Jika PR dapat berkuasa dalam PRU 13 ini dan kekal berkuasa dalam suatu tempoh yang lama selepas itu, hakikatnya ialah kerana mereka lebih mengutamakan rakyat dan menghindari perbuatan tidak baik yang sudah mendarah-daging dalam pentadbiran UMNO dan BN selama ini. Ia sama-sekali bukan kerana PR akan melakukan sesuatu yang bersifat kuku besi dan tidak demokratik untuk mempertahankan kerajaannya.

Tetapi melihat beberapa kenyataan Mahathir akhir-akhir ini, termasuk meminta rakyat tidak mudah menukar kerajaan dan menakutkan bahawa ia akan menyebabkan BN tidak lagi mampu kembali berkuasa, ia tidak lebih menggambarkan kebimbangan beliau yang teramat sangat jika UMNO dan BN kehilangan kuasanya. Mahathir yang dulunya amat rasional dan setiasa demokratik, kini cuba menakut-nakutkan rakyat agar menolak perubahan dan menjadi tidak demokratik.

Selama ini Mahathir terbukti begitu lantang mengkritik pembangkang dan beberapa kuasa Barat yang disifatkannya tidak demokratik tetapi kini ternampak beliau juga tidak lagi demokratik.

Selain kebimbangan terhadap legasinya yang bakal musnah dan dilupakan, kebimbangan Mahathir juga ialah berkaitan kepentingan anak-anaknya dalam perniagaan dan politik yang mungkin terencat jika UMNO dan BN tidak lagi berkuasa.

Jika Mahathir memikirkan kepentingan rakyat dan negara sepenuhnya tanpa disaluti kepentingan untuk memikirkan perniagaan dan masa depan politik anak-anaknya, beliau tentu menyedari bahawa pertukaran kerajaan tidak selalunya buruk untuk rakyat dan negara. Bahkan selalunya kerajaan yang mudah bertukar ganti akan melahirkan kerajaan yang baik, prihatin dengan rakyat serta pemimpin-pemimpin yang bersih juga akhirnya.

Amatlah malang semakin kuat Mahathir meraban dan meracau untuk mempertahankan UMNO dan BN, muslihat dan kepentingannya makin terserlah pula di mata rakyat. (SH 07/09/2012)





Wednesday, 5 September 2012

Tindakan Polis Terhadap Aksi Biadap Harus Menyeluruh


Tindakan pantas pihak polis menahan pelajar kolej yang melakukan aksi punggung terhadap gambar Najib, Rosmah dan Pengerusi SPR, Aziz Yusof pada malam sambutan merdeka yang bertukar menadi Himpunan Janji Demokrasi, walaupun boleh dipuji tetapi ia juga menimbulkan beberapa persoalan lain untuk diperdebatkan.

Polis nampaknya begitu pantas bertindak dalam kes ini namun dalam beberapa kes lain yang lebih dahsyat seperti memijak gambar Lim Guan Eng dan bekas Menteri Besar Perak, Nizar Jamaludin serta juga aksi remaja kencing terhadap gambar Haji Hadi Awang dan Haji Nik Aziz Nik Mat, tidak pula kedengaran pihak polis mengambil tindakan.

Dalam aksi-aksi itu, wajah-wajah pelakunya cukup jelas kelihatan dan pihak polis tidak seharusnya ada masalah untuk mencari mereka sebagaimana pantasnya mencari remaja yang menunjukkan punggung kepada Najib, Rosmah dan Aziz itu.

Meskipun kita rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan aksi punggung yang dilakukan seorang remaja kolej terhadap gambar Najib, Rosmah dan Aziz Yusof itu, kita yang berfikiran waras tentunya lebih tidak bersetuju dengan aksi yang dilakukan terhadap Hadi Awang, Nik Aziz, Nizar dan Lim Guan Eng.

Maka, demi keadilan dan untuk mewujudkan suasana politik yang matang, pihak polis harus segera bertindak tanpa memilih bulu dan berpilih-pilih.

Sebelum dari ini, kita juga dikejutkan dengan tindakan bekas veteran askar yang melakukan aksi senaman punggung di depan rumah Ambiga sebagai membantah tindakannya menganjurkan Himpunan Bersih.

Ramai yang tidak bersetuju dengan aksi yang dianggap biadap itu dan ramai juga yang sudah memberi komen mengenainya. Masalahnya tiada pula tindakan lanjut daripada pihak polis.

Selain berbagai aksi biadap yang ditunjukkan pelbagai kelompok sejak akhir-akhir ini, kita juga turut menyaksikan perbuatan yang sungguh kurang ajar oleh ahli-ahli Perkasa yang memprotes tindakan Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan di sebuah masjid di Kedah baru-baru ini dengan membaling kasut ke dalam masjid.

Tindakan ahli Perkasa ini bukan saja memalukan tetapi juga memperlihatkan mereka sebagai orang Islam seperti tidak menghormati kemuliaan masjid itu sendiri.

Laporan polis juga sudah dibuat mengenainya dan gambar-gambar samseng Perkasa ini juga sudah tersebar merata-rata tetapi sehingga ini belum lagi ada tangkapan atau tindakan pihak polis terhadapnya. Malahan Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin hanya berdiam diri terhadap insiden itu, jauh sekali bertegas untuk melindungi masjid daripada terus dicemari dengan aksi-aksi sedemikian rupa.

Jika kita masih ingat, aksi biadap dalam senario politik Malaysia ini sebenarnya dimulakan oleh Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob yang pernah menunjukkan aksi punggung kepada sekumpulan penyokong pembangkang dalam sebuah pilihanraya kecil beberapa tahun lalu.

Aksi teladan daripada seorang Menteri Besar itulah sebenarnya yang menyebabkan berlakunya deretan gejala tidak sopan hari ini.

Benarlah kata pepatah Cina, busuk ikan bermula daripada kepala. Jika pemimpin sudah menunjukkan perilaku buruk, sudah tentulah ia mudah menjalar dan menjadi ikutan masyarakat.

Untuk mengelakkan gejala ini daripada berterusan memalukan perjalanan politik negara yang sudah 55 tahun merdeka, pihak polis seharusnya bertindak tanpa memilih bulu. Polis mestilah bertindak menyeluruh. Jika Hishammuddin dianggap menteri KDN paling lembik dan penuh retorik dalam sejarah Malaysia, tidak semestinya pihak polis juga terikut-ikut dengan cara beliau itu. Pihak polis seharusnya bertindak mengikut undang-undang serta peraturan yang ada.

Lagi pula slogan polis, mesra, cepat dan betul hendaklah sepenuhnya dipraktikkan.

Sekiranya pihak polis gagal menangani semua gejala tidak sopan ini dengan sewajarnya, dibimbangi lebih banyak lagi gelaja-gejala tidak sopan terus bercambah dalam masyarakat yang akhirnya hanya mempamerkan masyarakat kita semakin tidak terkawal dalam menangani emosi masing-masing. Maka, pihak polis harus segera mengangkat wibawanya di mata umum. (SH 05/09/2012)


Monday, 3 September 2012

Kecacatan Sambutan Merdeka Kerana Kelemahan Najib


Untuk pertama kalinya dalam sejarah sambutan kemerdekaan negara, sambutannya pada tahun ini menjadi begitu suram dan penuh cacat cela. Ia bukan saja kerana kurangnya kibaran bendera di rumah, pejabat dan kenderaan tetapi sambutannya kali ini juga penuh dengan insiden yang memalukan, tidak sepadan dengan kematangan 55 tahun merdeka yang diraikan.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana kibaran bendera Malaysia, terutama di kenderaan menjadi acara wajib dalam tempoh sebulan sambutan bulan kemerdekaan, tetapi tahun ini kemeriahannya tidak dirasakan sama-sekali.Selain kenderaan yang memasang bendera boleh dibilang dengan jari, sambutan dari syarikat-syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron dan lain-lainnya dalam menjayakan kempen memasang bendera juga tidak berlaku sama sekali.

Seorang teman yang melalui lebuhraya utara selatan dari Kuala Lumpur ke Kedah pada pagi 31 Ogos lalu bersungut kerana didapatinya kenderaan yang memasang bendera Malaysia di kenderaan sepanjang perjalanan itu hanya boleh dibilang dengan jari sebelah tangan saja. Lori dan bas yang dulunya agak meriah memasang bendera sebagai taktik mengelakkan disaman polis dan JPJ juga tidak lagi kelihatan berbuat demikian. Dalam perjalanan pulang ke KL esoknya, beliau juga mendapati keadaan yang sama. Seperti bukan 31 Ogos layaknya.

Selain itu, sambutan pada malam ambang merdeka juga sudah berubah menjadi perhimpunan Janji Demokrasi oleh rakyat pelbagai lapisan yang hadir dengan berbaju kuning. Ketakutan kerajaan terhadap kemungkinan sambutan itu menjadi begitu meriah menyebabkan Dataran Merdeka ditutup dan tiada sambutan menanti detik 12 malam sepertimana kebasaannnya.

Lebih malang, di ketika itu terselit pula insiden beberapa aksi anak muda yang menunjukkan punggung dan memijak gambar Najib dan isteri kesayangannya, Rosmah Mansor. Insiden itu menjadi heboh dan diperbualkan kerana diperbesar-besarkan sebagai perbuatan biadap anak-anak muda terhadap pemimpin negara.

Di ketika yang sama, berlaku juga insiden sekumpulan anak muda mengibarkan bendera lama negara, Sang Saka Malaya yang kemudiannya juga diperbesarkan sebagai agenda PR untuk menukarkan bendera negara meskipun hakikatnya tidaklah begitu dan PR juga tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian.

Sejak dari awal lagi, kesuraman sambutan merdeka kali ini sudah dapat dirasakan. Ini berikutan beberapa negeri yang dikuasai PR mahu mengadakan sambutan merdeka sendiri dengan tema masing-masing kerana tidak bersetuju dengan tema Janji Ditepati yang mahu digunakan oleh kerajaan.

Tema Janji Ditepati secara logiknya memang tidak sesuai digunakan untuk sambutan hari merdeka kerana ia pernah dijadikan tema oleh UMNO dan BN untuk program kempen dan bertemu rakyat yang diadakan mereka. Tetapi oleh kerana UMNO dilihat begitu terdesak untuk menjadikan sambutan merdeka sebagai platform untuk meraih sokongan dan mengungkit jasa-jasa mereka, maka Najib telah bersetuju dengan Rais Yatim yang pernah membakar jambatan politiknya sebelum ini, untuk menggunakan tema tersebut.

Haruslah disedari bahawa era kini rakyat semakin cerdik dan tidak mudah diperkotak-katikkan. Disebabkan keghairahan mahu meraih keuntungan politik daripada sambutan merdeka itu, inilah jadinya.

Ia akhirnya bukan saja menyebabkan sambutan tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya tetapi juga telah dicemari dengan insiden-insiden yang memalukan Najib sendiri. Jika Najib tidak selemah dirinya sekarang dan mempunyai kekuatan moral untuk menghadapi cabaran politik yang sedang berlaku, beliau pastinya tidak membenarkan sambutan memrdeka dipolitikkan untuk kepentingan UMNO. Sambutan merdeka sepatutnya menjadi acara tahun untuk semua rakyat tanpa mengira parti, kaum dan fahaman politik.

Sebenarnya dari awal lagi, kesuraman itu sudah dapat dirasakan berikutan bantahan pelbagai pihak terhadap tema itu. Ia akhirnya menjadikan beberapa negeri yang dikuasai PR memilih tema sendiri, sebangsa, senegara, sejiwa.

Tetapi oleh kerana kerajaan Najib agak berdegil untuk mendengar suara rakyat dan gagal mengotakan janji bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhr sebagaimana yang sering dijadikan mainan mulutnya untuk menunjukkan prihatinnya kepada rakyat, beliau terpaksa menerima kesan yang memalukannya akhirnya.

Jika dari awal tema politik tidak digunakan dalam sambutan merdeka tahun ini, pastinya insiden menunjuk pungggung dan memijak gambar Najib dan isterinya tidak akan berlaku. Insiden itu tidak direstui oleh sesiapa. Kibaran bendera sang saka Malaya juga tidak wujud. Sambutan merdeka dengan tema berasingan juga tiada keperluan lagi.

Jika tema Janji Ditepati tidak digunakan, himpunan Janji Demokrasi dengan baju kuningnya juga tiada ruang untuk menonjolkan diri.

Walaupun Himpunan Janji Ditepati dan tweet merdeka kepada Najib yang diatur oleh Rais dilihat agak berjaya dengan kehadiran lebih 100 ribu dan tweet kepada Najib kononnya mencecah lebih 3.6 juta tetapi beberapa pendedahan kemudiannya menunjukkan ianya dilakukan melalui mainan orkestra palsu yang bersandarkan wang ringgit dan upahan yang tentunya juga menunjukkan sokongan palsu yang didapati.

Ia akhirnya memaksa Najib sendiri menempelak sambutan ambang merdeka di Selangor yang tidak melibatkan Sultan sebagai isu untuk meraih simpati umum meskipun sejarah telah menunjukkan tidak pernah sambutan ambang merdeka peringkat Pusat sekali pun menjemput Yang Dipertuan Agong sebelum ini. Bahkan sambutan malam 31 Ogos di Stadium Bukit Jalil pun tidak menjemput Yang Dipertuan Agong juga.

Tidak dapat dinafikan bahawa kecacatan sambutan merdeka dan pelbagai insiden yang berlaku tahun ini adalah disebabkan kelemahan Najib sendiri. Dari awal lagi bantahan rakyat sudah dapat dirasakan tetapi Najib melalui kuasa yang diwarisinya daripada sisa mandat Pak Lah pada 2008, seperti cuba untuk melawan kuasa rakyat yang mahu sambutan merdeka bebas daripada elemen politik kepartian.

Oleh kerana sambutan merdeka pun cuba dipolitikkan, maka Najib terpaksalah menerima kesan politik yang ditunjukan oleh rakyat sendiri. Beliau boleh mengelakkan daripada awal lagi jika mampu menunjukkan intergriti tinggi sebagai PM dan peneraju negara. (SH 03/09/2012)