Monday, 10 September 2012

Inilah Padahnya Bila Najib Mahu Sekatan Politik Dilakukan Kepada Anwar...


Isu pengawal peribadi Anwar mengeluarkan pistol kini menjadi isu baru untuk menyerang PR. Ia segera dikaitkan dengan pelbagai kemungkinan dan andaian jika PR memenangi pilihanraya akan datang. PR dikatakan memulakan politik ganas, tidak toleransi, ghairah menggunakan senjata dan pelbagai lagi.

Ada juga andaian yang mengatakan bahawa ini merupakan petanda awal sekiranya PR menang pilihanraya nanti, mereka akan menggunakan pistol dan senjata api untuk menghalang demonstrasi UMNO ketika itu.

Sebenarnya tindakan pengawal peribadi itu bukanlah sesuatu yang pelik dan diluar SOP jika dikaji dari awal bagaimana deretan ancaman yang diterima oleh Anwar sejak akhir-akhir ini. Tindakan menunjuk pistol hanyalah sekadar gertakan kepada 50 pemuda yang terus menerus memberikan ancaman untuk mengelakkan mereka terus menjadi ganas.

Kereta Anwar sebelum ini pernah disabotaj yang dipercayai bertujuan mengakibatkan kemalangan dan kematian. Cermin keretanya juga pernah dipecahkan. Anaknya Nurul Izzah juga menerima ancaman yang serupa, malah ugutan bunuh terhadap anaknya juga pernah diterima.

Sebaik PKR melancarkan bas Jelajah Merdeka Rakyatnya, ia disambut dengan simbahan cat merah dalam jelajah pertamanya di Kelantan. Di Melaka pula, selain disimbah cat oleh lebih kurang 50 pemuda yang dipercayai ahli UMNO, bas tersebut cuba dihalang perjalanannya.

Politik apa ini? Ia tidak lain menunjukkan UMNO sudah hilang kewarasan dalam berpolitik. Dalam sebuah negara merdeka yang mengamalkan demokrasi, semua rakyat bebas pergi ke mana saja. Dalam politik pula, sesiapa saja bebas menyokong parti mana yang disukai dan diyakininya.

Tindakan menghalang laluan bas jelas terkeluar daripada landasan demokrasi. Sementara Najib dan lain-lain pimpinan UMNO bebas bergerak di negeri-negeri yang dikuasai PR seperti Selangor, Kedah Pulau Pinang dan Kelantan sambil mengeluarkan pelbagai kecaman dan serangan kepada kerajaan negeri terbabit, amalan yang sama harus juga diberikan kepada pimpinan PR. Mereka seharusnya dibebaskan bergerak di negeri-negeri yang dikuasai UMNO.

Semua perbuatan tidak matang ini menunjukkan bahawa UMNO cuba mengelak rakyat daripada mengamalkan kebebasan yang dibenarkan oleh perlembagaan negara. Setelah berpeluang 55 tahun berkuasa, UMNO seharusnya menunjukkan kematangan sepadan dengan usianya.

Melakukan tindakan tidak matang seperti menyimbah cat dan menghalang laluan hanya menambahkan kebencian rakyat kepada UMNO yang sememangnya sudahsedia bertompok selama ini.

Sokongan dan penolakan rakyat seharusnya diterima dengan jiwa tenang. Rakyat tidak mungkin menolak sesebuah kerajaan tanpa sebab kerana kebanyakan rakyat bukan lagi duduk dalam gua seperti di zaman batu. Rakyat hari ini penuh dengan maklumat dan mereka tidak mudah lagi dibohongi.

Masalah UMNO ialah oleh kerana ia sudah berkuasa sebegitu lama, ia merasakan ia akan kekal selama-lamanya sehingga hari kiamat. Mereka yang menentang dan menolak UMNO dianggap pengkhianat dan tidak mengenang jasa. Rakyat sentiasa diminta menyokong UMNO walaupun pemimpinnya berperangai buruk serta rakus mengaut kekayaan negara tanpa belas kasihan.

Sehingga ia sudah dianggap seperti syaitan oleh Tun Mahathir pun, rakyat terus diminta menyokong UMNO.

Tindakan agresif dan ganas beberapa kumpulan dalam UMNO sekarang tidak lain adalah berpunca daripada saranan Najib sendiri. Najib sekarang begitu terdesak untuk mempertahankan kuasanya. Di suatu ketika beliau menegaskan bahawa UMNO akan mempertahankan Putrajaya dengan apa cara sekali pun. Dan terbaru ini beliau menyeru ahli-ahli UMNO supaya melakukan sekatan politik bagi menghalang kemaraan Anwar dan PR menuju Putrajaya.

Saranan Najib itu yang diulang-ulang oleh pelbagai peringkat pimpinan dalam UMNO lainnya tentulah akhirnya menghasilkan sesuatu tindakan yang boleh mencetuskan keganasan dan di luar batas-batas demokrasi. Mereka mungkin menafsirkan ucapan Najib yang mahu Putrajaya dipertahankan dengan apa cara sekali pun dan sekatan politik dilakukan untuk menghalang kemaraan PR sebagai "lesen" untuk melakukan apa saja termasuk menyimbah cat dan menghalang laluan bas yang membawa Anwar ke sebuah jamuan hari raya di Melaka.

Sebelum ini UMNO juga kerap mengganggu ceramah-ceramah PR dengan mengadakan ceramah di kawasan berdekatan sambil menghalakan mokrofon ke sasaran lawan. Umi Hafilda tentunya masih ingat bagaimana beliau selalu hilang suara kerana terlampau menjerit ke arah ceramah-ceramah PR sambil mengeluarkan perkataan jijik, hina dan kesat yang dikaitkan dengan Anwar.

Tindakan itu direstui, malah kadangkala dibanggakan oleh UMNO. Tentulah akhirnya ia akan menjurus kepada tindakan lain yang lebih agresif pula.

UMNO nampaknya hanya menerima demokrasi dan kebebasan jika memihak kepadanya. Jika berlawanan dengan seleranya, ia bukan lagi demokrasi bagi UMNO. Kewarasan berpolitik dan tidak sedia menerima kekalahan bukan sahaja masih menebal di kalangan ahli bawahan tetapi juga masih menebal di peringkat pimpinan.

UMNO Melaka dan di mana-mana saja seharusnya bersikap matang dan menerima kebebasan dan demokrasi dengan hati terbuka. Hujah harus dilawan dengan hujah. Kemaraan PR harus dilawan dengan khidmat kepada rakyat yang lebih baik, bukannya dengan aksi ganas dan samseng.

Oleh kerana pimpinan UMNO umumnya sering terpalit dengan pelbagai kepentingan serta salah laku ketika berkuasa, maka kuasa yang ada cuba dipertahankan untuk mengelakkan ianya terdedah kepada umum. Ahli bawahan diseret untuk mempertahankan kuasa seolah-olah untuk kepentingan rakyat walau hakikatnya yang ingin sangat dipertahankan ialah kepentingan peneraju kuasa sahaja. (SH 10/09/2012)



2 comments:

  1. .....Masalah UMNO ialah oleh kerana ia sudah berkuasa sebegitu lama, ia merasakan ia akan kekal selama-lamanya sehingga hari kiamat..... Memang inilah perangai orang-orang UMNO. Mereka juga berperasan yang negara ini mereka yang punya. Tengok sajalah antara komen-komen pemimpin mereka, "tak setuju dengan FELDA, keluar lah!" Di kampung-kampung, dewan orang ramai macam mak bapak UMNO yang punya, bukan orang UMNO jangan harap boleh guna! Tak heran begitu kerana rata-rata JKKK tak belajar tinggi pun,pandai membaca-menulis satu bonus. Bodohnya mereka!!! Apa tah lagi nak berdebat, jauh panggang dari api!

    ReplyDelete
  2. Yang menjadi tanda tanya ramai ialah apakah tindakan Polis selama ini? Yang nyata pihak polis tak nampak dan tak mengambil tahu apa saja yang dilakukan UMNO/PERKASA/NGO pro-UMNO; bakar gambar ke, tarian punggung ke, pijak kepala lembu ke, kencing gambar ke, semuanya nampak OK saja bagi pihak polis kerana setakat ini takde yang ditangkap/dakwa. Sudah tentu pendirian polis ini akan dianggap golongan ini sebagai mereka ni golongan khas yang mendapat "lesen" untuk bertindak liar! Lain pula layan polis terhadap tindakan kebudak-budakan oleh golongna remaja, mereka ni dengan SEGERA ditangkap dan digari! Pihak polis tak boleh lah bertindak "double standard" sebaliknya bertegas - tangkap saja sesiapa yang melanggar ubdang-undang, kan Malaysia negara demokrasi, kalau ada parti pemerintah sudah pasti ada parti pembangkang. Polis mesti bersifat neutral dalam hal politik dan kalau ada pegawai polis yang berminat sangat bidang politik, letak jawatan dan sertain mana-mana parti politik sepenuh masa!

    ReplyDelete