Monday, 3 September 2012

Kecacatan Sambutan Merdeka Kerana Kelemahan Najib


Untuk pertama kalinya dalam sejarah sambutan kemerdekaan negara, sambutannya pada tahun ini menjadi begitu suram dan penuh cacat cela. Ia bukan saja kerana kurangnya kibaran bendera di rumah, pejabat dan kenderaan tetapi sambutannya kali ini juga penuh dengan insiden yang memalukan, tidak sepadan dengan kematangan 55 tahun merdeka yang diraikan.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana kibaran bendera Malaysia, terutama di kenderaan menjadi acara wajib dalam tempoh sebulan sambutan bulan kemerdekaan, tetapi tahun ini kemeriahannya tidak dirasakan sama-sekali.Selain kenderaan yang memasang bendera boleh dibilang dengan jari, sambutan dari syarikat-syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron dan lain-lainnya dalam menjayakan kempen memasang bendera juga tidak berlaku sama sekali.

Seorang teman yang melalui lebuhraya utara selatan dari Kuala Lumpur ke Kedah pada pagi 31 Ogos lalu bersungut kerana didapatinya kenderaan yang memasang bendera Malaysia di kenderaan sepanjang perjalanan itu hanya boleh dibilang dengan jari sebelah tangan saja. Lori dan bas yang dulunya agak meriah memasang bendera sebagai taktik mengelakkan disaman polis dan JPJ juga tidak lagi kelihatan berbuat demikian. Dalam perjalanan pulang ke KL esoknya, beliau juga mendapati keadaan yang sama. Seperti bukan 31 Ogos layaknya.

Selain itu, sambutan pada malam ambang merdeka juga sudah berubah menjadi perhimpunan Janji Demokrasi oleh rakyat pelbagai lapisan yang hadir dengan berbaju kuning. Ketakutan kerajaan terhadap kemungkinan sambutan itu menjadi begitu meriah menyebabkan Dataran Merdeka ditutup dan tiada sambutan menanti detik 12 malam sepertimana kebasaannnya.

Lebih malang, di ketika itu terselit pula insiden beberapa aksi anak muda yang menunjukkan punggung dan memijak gambar Najib dan isteri kesayangannya, Rosmah Mansor. Insiden itu menjadi heboh dan diperbualkan kerana diperbesar-besarkan sebagai perbuatan biadap anak-anak muda terhadap pemimpin negara.

Di ketika yang sama, berlaku juga insiden sekumpulan anak muda mengibarkan bendera lama negara, Sang Saka Malaya yang kemudiannya juga diperbesarkan sebagai agenda PR untuk menukarkan bendera negara meskipun hakikatnya tidaklah begitu dan PR juga tidak pernah terlintas untuk berbuat demikian.

Sejak dari awal lagi, kesuraman sambutan merdeka kali ini sudah dapat dirasakan. Ini berikutan beberapa negeri yang dikuasai PR mahu mengadakan sambutan merdeka sendiri dengan tema masing-masing kerana tidak bersetuju dengan tema Janji Ditepati yang mahu digunakan oleh kerajaan.

Tema Janji Ditepati secara logiknya memang tidak sesuai digunakan untuk sambutan hari merdeka kerana ia pernah dijadikan tema oleh UMNO dan BN untuk program kempen dan bertemu rakyat yang diadakan mereka. Tetapi oleh kerana UMNO dilihat begitu terdesak untuk menjadikan sambutan merdeka sebagai platform untuk meraih sokongan dan mengungkit jasa-jasa mereka, maka Najib telah bersetuju dengan Rais Yatim yang pernah membakar jambatan politiknya sebelum ini, untuk menggunakan tema tersebut.

Haruslah disedari bahawa era kini rakyat semakin cerdik dan tidak mudah diperkotak-katikkan. Disebabkan keghairahan mahu meraih keuntungan politik daripada sambutan merdeka itu, inilah jadinya.

Ia akhirnya bukan saja menyebabkan sambutan tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya tetapi juga telah dicemari dengan insiden-insiden yang memalukan Najib sendiri. Jika Najib tidak selemah dirinya sekarang dan mempunyai kekuatan moral untuk menghadapi cabaran politik yang sedang berlaku, beliau pastinya tidak membenarkan sambutan memrdeka dipolitikkan untuk kepentingan UMNO. Sambutan merdeka sepatutnya menjadi acara tahun untuk semua rakyat tanpa mengira parti, kaum dan fahaman politik.

Sebenarnya dari awal lagi, kesuraman itu sudah dapat dirasakan berikutan bantahan pelbagai pihak terhadap tema itu. Ia akhirnya menjadikan beberapa negeri yang dikuasai PR memilih tema sendiri, sebangsa, senegara, sejiwa.

Tetapi oleh kerana kerajaan Najib agak berdegil untuk mendengar suara rakyat dan gagal mengotakan janji bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhr sebagaimana yang sering dijadikan mainan mulutnya untuk menunjukkan prihatinnya kepada rakyat, beliau terpaksa menerima kesan yang memalukannya akhirnya.

Jika dari awal tema politik tidak digunakan dalam sambutan merdeka tahun ini, pastinya insiden menunjuk pungggung dan memijak gambar Najib dan isterinya tidak akan berlaku. Insiden itu tidak direstui oleh sesiapa. Kibaran bendera sang saka Malaya juga tidak wujud. Sambutan merdeka dengan tema berasingan juga tiada keperluan lagi.

Jika tema Janji Ditepati tidak digunakan, himpunan Janji Demokrasi dengan baju kuningnya juga tiada ruang untuk menonjolkan diri.

Walaupun Himpunan Janji Ditepati dan tweet merdeka kepada Najib yang diatur oleh Rais dilihat agak berjaya dengan kehadiran lebih 100 ribu dan tweet kepada Najib kononnya mencecah lebih 3.6 juta tetapi beberapa pendedahan kemudiannya menunjukkan ianya dilakukan melalui mainan orkestra palsu yang bersandarkan wang ringgit dan upahan yang tentunya juga menunjukkan sokongan palsu yang didapati.

Ia akhirnya memaksa Najib sendiri menempelak sambutan ambang merdeka di Selangor yang tidak melibatkan Sultan sebagai isu untuk meraih simpati umum meskipun sejarah telah menunjukkan tidak pernah sambutan ambang merdeka peringkat Pusat sekali pun menjemput Yang Dipertuan Agong sebelum ini. Bahkan sambutan malam 31 Ogos di Stadium Bukit Jalil pun tidak menjemput Yang Dipertuan Agong juga.

Tidak dapat dinafikan bahawa kecacatan sambutan merdeka dan pelbagai insiden yang berlaku tahun ini adalah disebabkan kelemahan Najib sendiri. Dari awal lagi bantahan rakyat sudah dapat dirasakan tetapi Najib melalui kuasa yang diwarisinya daripada sisa mandat Pak Lah pada 2008, seperti cuba untuk melawan kuasa rakyat yang mahu sambutan merdeka bebas daripada elemen politik kepartian.

Oleh kerana sambutan merdeka pun cuba dipolitikkan, maka Najib terpaksalah menerima kesan politik yang ditunjukan oleh rakyat sendiri. Beliau boleh mengelakkan daripada awal lagi jika mampu menunjukkan intergriti tinggi sebagai PM dan peneraju negara. (SH 03/09/2012)

3 comments:

  1. pendapat saya : memijak dan menunjuk punggung ke gambar sesorang memang tidak elok tetapi menipu dan rasuah lebih teruk dari itu.

    ReplyDelete
  2. Mengecewakan..sudah 55 tahun merdeka tapi kerana poltik sempit sampai ada 3 4 tema
    negara lain sudah pastinya akan mentertawakan sikap tak matang dan kebudak budakan ini

    ReplyDelete
  3. sambutan merdeka yg kurang memberangsangkan...kibaran jalur gemilang amat kurang sekali, macam hari2 biasa saja...tak tau mana silapnya

    ReplyDelete