Friday, 21 September 2012
Mahathir Mula Mempromosi Muhyiddin...
Beberapa hari kebelakangan ini, mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dilihat begitu banyak membuka mulutnya mengenai UMNO dan politik Malaysia. Melihat kepada amalan masa lalunya, setiap butir kata-katanya banyak mengandungi maksud tersirat, selain memahami apa yang tersurat.
Selain meramalkan BN akan terus menang dalam pilihanraya akan datang tetapi dengan majoriti yang lebih kecil, Mahathir juga bercakap mengenai tempoh seseorang pemimpin harus memegang jawatannya, memahami isyarat untuk berundur, amalan menegur pemimpin, kerajaan pimpinan Najib yang masih lemah dan pelbagai lagi.
Tetapi yang menarik untuk diperhatikan ialah bilamana beliau bercakap tentang kerajaan pimpinan Najib yang masih lemah dan isyarat yang harus difahami oleh seseorang pemimpin bila mereka seharusnya berundur daripada jawatan yang dipegangnya.
Dengan menyebut kepimpinan Najib masih lemah dan gagal menarik sokongan rakyat, apakah ini bermakna Mahathir ingin memberi isyarat kepada rakyat dan ahli UMNO bahawa Najib sebenarnya adalah pemimpin yang gagal. Jika diimbas proses peralihan kuasa daripada Pak Lah kepada Najib dahulu, desakan agar dipercepatkan proses itu ialah agar Najib mempunyai cukup masa untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN.
Namun selepas lebih tiga tahun berlalu dan ternyata kerajaan yang dipimpin Najib bukannya beransur pulih atau bertambah kuat, sebaliknya bertambah lemah. Ini bermakna Najib telah gagal sama-sekali sebagai Perdana Menteri.
Oleh kerana di masa yang sama Mahathir yakin UMNO dan BN akan kekal tetapi dengan majoriti yang lebih tipis berbanding 2008, bermakna kedudukan kerajaan menjadi tidak stabil. Ini sekaligus membawa maksud bahawa Mahathir mahukan ahli UMNO bersiap sedia untuk menukar pemimpin dan menggantikan Najib dengan pemimpin lain yang lebih berwibawa. Jika Najib tidak digantikan, UMNO dan BN akan menjadi terus lemah dan boleh membawa akibat yang lebih buruk dalam piliharaya umum ke 14 nanti. Itulah andaian Mahathir.
Perkara kedua yang disebut Mahathir yang menarik untuk diperhatikan ialah apabila beliau menyebut tentang isyarat yang harus difahami oleh seseorang pemimpin bila seharusnya mereka berundur. Walaupun berjaya menjadi PM selama 22 tahun dan diberikan beberapa kali isyarat oleh rakyat dan ahli UMNO terhadap kepimpinannya, kelebihan Mahahir ialah beliau akhirnya berjaya mengatasi segala rintangan itu melalui kepintaran dan kelicikannya bermain politik.
Bagi Mahathir pula, cabaran yang dihadapinya itu lebih menunjukkan sikap keterbukaannya terhadap amalan demokrasi yang diamalkan oleh UMNO itu sendiri. Sebab itu dengan bantuan kepungan kuasa, beliau berjaya menjadi PM selama 22 tahun.
Bagi Mahathir, tidak kira sama ada seseorang itu lama atau baru menjadi pemimpin, jika wujud isyarat yang mahukan seseorang itu berundur, mereka haruslah memahami dan segera respon terhadapnya.
Jika isyarat berundur ini dikaitkan dengan kepimpinan Najib, ia sebenarnya sudah banyak kali muncul. Cuma Najib saja yang tidak mahu memahaminya kerana merasakan belum puas mengempuki kerusi kuasa sebagai Perdana Menteri.
Najib sendiri pun sebenarnya memahami penolakan rakyat yang makin melebar terhadap kepimpinannya. Sementara Najib menganggap penolakan rakyat itu belum sampai ke tahap isyarat untuk berundur, Mahathir pula cuba memberi bayangan sebaliknya. Sebab itu sehingga ini beliau masih belum terjumpa tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya. Dengan mengumumkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan diadakan pada 27 November hingga 1Disember depan, kebarangkalian yang nyata ialah pilihanraya tidak mungkin diadakan pada tahun ini.
Pilihanraya mungkin diinjak ke penghujung tarikh luput pembubaran Parlimen iaitu April 2013. Dengan menunda tarikh pilihanraya, Najib mengharapkan beliau masih mempunyai ruang dan masa untuk menarik semula sokongan rakyat, terutama melalui Bajet 2013 yang akan dibentangkan 28 September depan.
Sebagai langkah untuk menarik sokongan rakyat, sambutan Thaipusam, tahun baru 2013 dan Tahun Baru Cina pada awal tahun depan dipercayai akan dimanfaatkan sepenuhnya oeh Najib dengan beberapa pengumuman serta pemberian habuan lagi.
Apa yang menarik, Mahathir sebenarnya sudah beberapa kali bercakap mengenai kerajaan pimpinan Najib yang semakin lemah sekarang ini. Meskipun Mahathir dilihat rapat dan sentiasa menyokong Najib, tetapi beliau seringkali juga menyebut mengenai isu kerajaan yang lemah ini.
Mengenai isyarat berundur pula, beliau pernah menyebutnya lama dahulu. Tetapi dengan menyebutnya kembali di ketika ini, di ketika Najib sedang bergelut antara hidup dan mati dalam politik, ia tentunya mempunyai maksud tersendiri. Dan mengenali perwatakan Mahathir, cakapnya jarang tidak mempunyai maksud.
Cubalah ingat kembali ketika beliau berkrisis dengan Musa Hitam dan Anwar Ibrahim dahulu. Banyak ucapannya ketika itu yang mempunyai maksud tersirat lebih daripada yang tersurat. Beliau menyindir tentang gandingan 2M dan beberapa kali menyebut tentang sejarah Brutus yang sanggup menikam Julius Ceaser. Begitu juga ketika beliau tidak mahu lagi menyokong Ghafar Baba yang dicabar oleh Anwar Ibrahim, ungkapannya penuh sindiran ketika itu.
Sebenarnya itulah stail Mahathir. Beliau akan memberi bayangan dan sindiran terlebih dahulu terhadap sesuatu perkara yang ingin diusahakannya. Kemudian membiarkannya menjadi khabar angin dan diperkatakan oleh ramai orang. Akhirnya ia akan meresap dalam pemikiran dan tidak ada sesiapa yang terperanjat jika ianya menjadi kenyataan.
Dalam konteks pilihanraya yang semakin hampir dan pemilihan UMNO selepas itu, Mahathir kini seperti memulakan langkahnya sebagai pencatur dalam menentukan kepimpinan UMNO seterusnya. Sebagaimana beliau berjaya menjatuhkan Pak Lak melalui gerakan dan road show ke seluruh negara dahulu, Najib kini bakal menerima nasib yang sama.
Beliau mula menyebut tentang kerajaan yang lemah dan kegagalan Najib memulihkan keadaan. Kemudian beliau juga menyebut tentang isyarat berundur yang harus difahami oleh seseorang pemimpin itu. Jelas bahawa ia ditujukan kepada Najib.
Meskipun tidak ada pemimpin atasan UMNO yang mengulasnya tetapi ia kini mula menjadi percakapan di pelbagai peringkat dalam UMNO. Pemimpin atasan bercakap, pemimpin bahagian bercakap, pemimpin cawangan juga bercakap. Ahli UMNO biasa dan broker politik juga mulai bercakap mengenainya.
Dan secara automatiknya nama Muhyiddin, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO mulai menjadi sebutan di mana-mana sebagai watak yang bakal mengisi kedudukan Najib sekarang. Mahathir nampaknya telah berjaya mempromosi nama Muhyiddin sebagai bakal pengganti Najib. (SH 21/09/2012)
Pandangan yg berlainan...mungkin ya...mungkin tidak..
ReplyDeletesempat ke muhyidin jadi PM?
ReplyDeleteTuan,
ReplyDeleteJika Najib berpendapat dengan melengahkan PRU 13 hingga kesaat akhir untuk memberi peluang kepadanya menarik balik sokongan rakyat sebenarnya bersifat pedang dua mata.
Ia mungkin boleh membuahkan hasil dan juga boleh meyebabkan UBN kalah makin terok dari yang dijangkakan jika PRU 13 di adakan dalam masa terdekat. Lainlah jika Pakatan Rakyat dok goyang kaki atau hari-hari dok tolong kempen minta rakyat undi UBN.Pakatan Rakyat dalam soal kempen begitu kedepan dengan pelbagai inovasi berbanding Najib dan UBN.
Damage kepada Najib dan UBN semakin hari semakin parah. Dengan cara dan stail kempen takok lama dan tak tentu hala, amat sukar untuk Najib recover lost ground. Apatah lagi Sambutan rakyat kepada kempen-kempen Pakatan memakin meluas dan terang-terangan.
Jika Najib bercadang hendak berkempen dengan menabur wang dan goodies dalam budget 2013, baik dilupakan sahaja kerana ia tidak akan berjaya. Penghijrahan sokongan rakyat kepada Pakatan terlalu obvious dari hari ke hari. Begitu juga dengan kempen canggih kesemua medium media untuk mempermosi dan menarik sokongan rakyat yang sedang dirancang oleh Najib. Mengikut sumber tertentu, mereka merancang untuk membelanjakan RM 5 juta sehari melalui cara ini dalam masa kempen PRU 13 nanti. Ini kerja bodoh namanya. Baik duit itu digunakan untuk benda-benda lain yang bermanafaat kepada rakyat.
The best yang Najib boleh capai adalah mengurangkan sedikit impak kekalahan besar yang sedang menanti. Orang kata sekurang-kurang masih boleh tunduk malu kerana kalah dan mengelak dari keadaan tak ada tempat nak sorok muka.
Cara terbaik untuk menjamin kemenangan dalam keadaan sekarang ialah melakukan penipuan undi secara menyeluruh. Dengan mentaliti half past six yang ada, usaha ini pun sudaah menunjukkan tanda-tanda akan gagal going by comment Pengerusi SPR mengenai laporan audit daftar pemilih yang dikemukan oleh Kerajaan Selangor. Pengerusi SPR pun dah beri ulasan meracau untuk discredit laporan audit itu. Ini bermakna laporan audit itu mempunyai maklumat-maklumat yang jelas untuk expose penipuan daftar pemilih yang akan digunakan dalam PRU 13 nanti.
Jika laporan audit daftar pemilih selangor ini berjaya membuktikan penyelewengan secara besar-besaran, mamposlah SPR dan UBN. Modus operandi manusia jenis otak kat lutut ni memang simple: cara menipu akan direpeat dengan meluas/ repetition je kat mana-mana pun.
bat8
Kenapa Mogjiddin perlu tupang kayu Mahathir ? Dia takde tulang belakang ke ?
ReplyDelete