Sunday, 31 July 2016

MAHFUZ TANYA, NAJIB ADA MASALAH PENDENGARAN KE?


Kenyataan Media Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.

1. Khairul Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia dalam sidang media di balai polis pada 26 july 2016 selepas beliau membuat laporan polis terhadap tiga Tan Sri menyatakan dengan jelas yang dia mewakili Pemuda Umno. Dalam erti kata lain *budak Khairul buat laporan polis terhadap tiga Tan Sri dalam pengetahuan dan pesetujuan Pemuda Umno serta dalam pengetahuan Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda Umno*. Khairy Jamaludin adalah ahli mesyuarat MT Umno yang bertaraf Naib Presiden.

2. PM Najib kurang pendengaran ka sehingga berkata laporan polis yang budak Khairul buat atas sifat peribadi. Bukan atas nama Umno. *Najib jangan memperbodohkan rakyat. Najib dan Umno jangan cuba untuk memisah diri dari laporan polis yang budak khairul buat*.

3. Tolonglah mengaku yang budak Khairul buat *laporan polis atas restu Najib dan Umno untuk melindungi dan mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu perompak negara yang memiliki kekayaan hasil penyelewengan dan pencurian wang 1MDB* kepada isu kononnya ada pegawai dan bekas pegawai tinggi kerajaan nak guling PM Najib dan kerajaan Malaysia dengan menjual maklumat kepada Amerika Syarikat.

4. Persoalan yang timbul kenapa Najib sendiri yang bagi kenyataan dan tidak dua Naib Presiden. Kenapa Najib ambil masa hari ke 4 selepas laporan dibuat untuk buat kenyataan. Kenapa Khairy Jamaludin (KJ) Ketua Pemuda Umno hanya menyatakan tindakan laporan budak Khairul Naib ketua Pemuda Umno tiada kena mengena dengan Umno dan Pemuda Umno dan itu hal peribadi budak Khairul sehari selepas Najib. *Kenapa Khairi tidak menyatakan  pendirian selepas budak Khairul buat laporan Polis pada 26 July 2016*. Kenapa 30 July 2016 baru buat kenyataan. Kenapa tunggu Najib buat pendirian dahulu. Jelas *Pemuda Umno hanya jadi pak turut, tak ada telur*.

5. Pemuda Umno tidak membawa suara keberanian anak muda. Pemuda Umno tidak menghayati pepatah berani kerana benar. *Pemuda Umno berdiri atas takutkan dedak tidak melimpah ke mulut*. Umno dan Pemudanya takut dengan *gelombang kemarahan rakyat khususnya pegawai kerajaan yang merasai mereka tidak lagi dilindungi walaupun kerja betul yang mereka lakukan seperti yang dilakukan oleh tiga Tan Sri*.

6. Saya percaya rakyat khususnya pegawai dan kakitangan kerajaan tidak akan mempercayai helah Umno kononnya budak Khairul buat laporan polis atas sifat peribadinya. *Rakyat tetap mempercayai tanpa restu Umno budak Khairul tak akan berani buat laporan tersebut dengan membuat tuduhan jahat terhadap tiga Tan Sri yang telah berkhidmat dan menyumbang jasa yang besar pada Malaysia*.

#BeraniKeranaBenar
#TakutKeranaTakadatelur
#SelamatkanMalaysia.

*DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
5pm Taman Malewar KL
31July 2016/26 Syawal 1437H.

APA PERLU DILAKUKAN KEPADA UMNO?


Kata Tun Mahathir Mohamad, parti yang bakal ditubuhkannya akan dibarisi pemimpin baharu yang mampu menukar cara perjuangan UMNO yang ketika ini dipimpin oleh Najib Razak.
Hari ini dasar perjuangan UMNO hanya untuk tentukan Najib tidak dihadapkan ke mahkamah, ujar beliau.

Muhyiddin Yassin pula mengumpamakan UMNO ibarat sebuah kereta rosak yang tidak boleh diperbaiki lagi.
Bila dibaiki pun ia akan terus rosak, lebih-lebih bila Presiden UMNO sendiri seorang yang amat tidak bertanggungjawab. Jadi, kita kena tukar dengan kereta baru, katanya.

Mohd Shafie Apdal pula mengatakan, orang Melayu tidak akan mati tanpa UMNO, sambil memberi contoh apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sekarang.
Sehubungan itu, beliau juga nenggesa rakyat Sabah agar berani mengubah kepimpinan kerajaan negeri tersebut.

Mukhriz Mahathir meminta rakyat membuat pilihan yang bijak dalam pilihanraya akan datang demi menyelamatkan masa depan negara.
Sama ada negara dapat diselamatkan atau tidak, penentuannya ialah pilihanraya akan datang, tegas bekas Menteri Besar Kedah itu.

Jadi, apa yang perlu dilakukan kepada UMNO? Apa pilihan yang sebaiknya?
Atau barangkali ini jawapan paling munasabah sekali? (SH 31/07/2016).

Saturday, 30 July 2016

BAGAIMANA UNTUK BERITAHU ORANG KAMPUNG MENGENAI SKANDAL 1MDB DALAM BAHASA PALING MUDAH?

Muhyiddin Yassin bersetuju untuk bekerjasama dengan PKR bagi mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan mengenai skandal 1MDB dalam bahasa paling mudah kepada orangramai.

Persetujuan itu diumumkan dalam suatu sidang akhbar di Subang Jaya pada tengahari Sabtu dengan dihadiri Muhyiddin sendiri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali dan lain-lain pemimpin PKR.

Menurut Muhyiddin, penjelasan dalam bahasa yang mudah meliputi kawasan bandar dan luar bandar itu adalah penting supaya rakyat mendapat gambaran sebenar dan faham beban 1MDB kepada negara.

Ini kerana, katanya, isu melibatkan skandal 1MD bukan saja menjadi bualan dalam negara, bahkan juga sehingga ke luar negara.

Saya sokong inisiatif yang dicadangkan ini, malah perlu dipertingkatkan lagi. Kalau rakyat tidak disedarkan mengenai kuasa mereka dalam menentukan masa depan negara, sampai bila pun mereka tidak akan sedar, ujar Muhyiddin dalam ucapannya.

Bagaimana untuk menggambarkan skandal 1MDB ini dalam bahasa paling mudah untuk difahami, khususnya kepada orang-orang kampung dengan matlamat akhirnya supaya mereka akan menolak UMNO dan BN yang diketuai oleh Najib Razak?

Jika diimbas pelbagai isu yang timbul yang berpunca daripada 1MDB daripada awal sehinggalah kepada Jabatan Kehakiman AS mengambil tindakan di bawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi (harta curi) baru-baru ini, bahasa paling mudah untuk menggambarkannya ialah syarikat itu merupakan lubuk pencurian terhebat, bukan saja dalam negara, tetapi juga di dunia.

Untuk aktiviti pelaburan dan menambah pendapatan negara, sebenarnya tidak perlu sama sekali ditubuhkan 1MDB kerana kita sudah pun mempunyai Khazanah Nasional yang telah ditubuhkan sejak sekian lama?

Kenapa perlu ditubuhkan sebuah syarikat lain untuk menjalankan aktiviti pelaburan juga?

Jawapannya tentu saja ialah kerana Khazanah tidak boleh dipergunakan sesuka hati sepertimana 1MDB dioperasikan, lebih-lebih bukan saja Najib meletakkan dirinya sebagai pemberi kata putus dalam urusan perniagaan dan pelaburannya, malah melalui 1MDB jugalah diletakkan Jho Low untuk mencatur segala-galanya.

Semua itu tidak mungkin dapat dilakukan melalui Khazanah.

Melalui 1MDB, ia digunakan untuk meminjam secara besar-besaran atau menjual bon bagi membiayai aktiviti pelaburannya. Walaupun terikat dengan komisen yang tinggi, 1MDB juga diberikan tanah kerajaan TRX dengan harga RM60 sekaki, meskipun harga pasaran mencecah RM3,000 sekaki. Tanah di tapak TUDM Sungai Besi juga diberikan kepada 1MDB dengan harga yang tidak didedahkan.

Daripada sebahagian wang penjualan bon itulah yang menurut Jabatan Kehakiman AS munculnya komplot pencurian berkali-kali dengan cara melencongkan sebahagian wang yang asasnya diperolehi  melalui pinjaman dan penjualan bon.

Pembeli utama bon 1MDB  ialah syarikat seperti Tabung Haji manakala pemberi pinjaman ialah KWAP atau Kumpulan Wang Amanah Pencen. Bermakna, akhirnya wang rakyat juga digunakan tetapi dengan cara penuh berhelah.

Tanah harga murah itu secara mudahnya ialah untuk membayar balik pinjaman yang dibuat oleh 1MDB yang termasuk di dalamnya wang yang dilencongkan atau dicuri itu. Usaha lain untuk membayar hutang-hutangnya ialah dengan menyenaraikan 1MDB di bursa saham, tetapi tergendala akhirnya kerana terlebih dahulu terdedah satu demi satu "pekung"  tentang aktiviti yang dijalankannya.

Melalui pencurian wang tersebut, ia bukan saja digunakan untuk kekayaan peribadi beberapa orang tertentu dan membeli hartanah mewah, lukisan mahal, membuat filem, berjudi, bersiar-siar dengan kapal, dimasukkan ke dalam akuan bank peribadi Malaysian Official 1 sebagaimana yang disebut oleh Jabatan Kehakiman AS dan sebagainya, bahkan di pihak 1MDB pula dilakukan tajaan menunaikan haji dalam kouta tertentu serta program-program sosial.

Ia merupakan aktiviti licik untuk mengaburi pencurian yang dilakukan. Ia seperti menggunakan wang rompakan untuk sedekah membaiki masjid atau meletakkan RM50 wang curi dalam Surah Yassin dalam majlis tahlil yang diadakan pada malam Jumaat.

Adakah wajib 1MDB membuat tajaan haji sedangkan ia sendiri berhutang keliling pinggang dan tidak pernah mengutip keuntungan dalam operasi perniagaannya?

Jadi, bahasa paling mudah yang mungkin boleh digunakan untuk menjelaskan kepada orangramai mengenai skandal 1MDB, termasuk orang kampung ialah ia merupakan lubuk pencurian berlapis-lapis yang kemudian cuba dikaburi daripada pandangan umum dengan aktiviti sosial dan keagamaan yang dijalankannya. 

Sebab itu juga, program memakai jubah dan "ya hanana" kelihatan begitu menonjol dan aktif ketika ini berbanding era Tun Mahathir mahu pun Tun Abdullah Badawi. (SH 30/07/2016).

MENGAPA BARU SEKARANG KJ BERSUARA?


Semalam, Najib Razak memberitahu tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed, bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Dr Zeti Akhtar Aziz adalah atas kapasiti peribadinya.

Kata beliau, sesiapa jua yang mempunyai maklumat atas sesuatu perkara berhak untuk berbuat demikian.
Kharul Azwan, Naib  Ketua Pemuda UMNO membuat laporan polis terhadap tiga individu terbabit kerana didakwa terbabit dalam konspirasi mahu menjatuhkan Perdana Menteri dengan menyalurkan maklumat dan dokumen tertentu kepada pihak asing.

Gani Patail menafikan dakwaan tersebut dengan menganggapnya bertujuan mencari publisiti. Beliau juga sudah melantik peguam dan sedang dalam pertimbangan untuk menyaman Khairul Azwan.

Abu Kassim pula telah mendapat nasihat peguam dan dinasihatkaj tidak memberi apa-apa ulasan buat waktu itu.

Dr Zeti belum diketahui tindakan yang akan dilakukan selanjutnya, cuma ada menyatakan beliau tidak akan bercakap mengenai laporan polis itu tanpa kehadiran peguamnya.

Setelah beberapa hari berdiam diri, hari ini Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin  mengatakan tindakan naibnya itu adalah bersifat individu dan bukan merupakan pendirian Pemuda UMNO.

Ia adalah tindakan individu yang mempunyai maklumat tertentu yang sudah pun dikongsi dengan pihak polis, tambahnya lagi.

Mengapa Najib dan KJ tidak mahu memikul tanggungjawab bersama terhadap laporan polis itu sedangkan Khairul Azwan adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO dan juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia?
Benarkah KJ tidak dimaklumkan langsung sebelum naibnya itu membuat laporan polis sedangkan sehari sebelum laporan itu dibuat telah berlangsung mesyuarat Exco Pemuda UMNO?

Benarkah beliau tidak tahu apa-apa mengenai laporan polis itu dan sebaliknya jika beliau mengetahuinya,  adakah sesuatu nasihat telah diberikan kepada Khairul Azwan?

Mengapa hanya setelah Najib mengatakan ia berupa tindakan bersifat peribadi, barulah KJ berani menyatakannya sebagai tindakan individu?

Apa agaknya jawapan KJ pada hari ini sekiranya semalam Najib mengatakan laporan polis itu direstuai oleh MT UMNO? (SH 30/07/2016).

Friday, 29 July 2016

NAJIB TAK FAHAM ATAU CUBA NAK PERDAYA MAKCIK FELDA?


Agak menjengkelkan mendengar reaksi terbaru Najib Razak mengenai saman sivil yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS untuk menyita harta-harta bernilai RM4,000 juta yang dipercayai berasal daripada dana 1MDB yang telah dilencongkan.

Setelah reaksi pertamanya menyatakan kerajaan sedia memberi kerjasama berhubung saman sivil itu dan kemudian mahukan semua yang dinamakan, termasuk anak tirinya Riza Aziz, membersihkan nama masing-masing, kali ini Najib menyatakan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman AS itu.

Katanya, 1MDB tidak mempunyai kaitan dengan saman sivil itu memandangkan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu tidak dinamakan sama sekali.

Dalam saman tersebut, 1MDB tidak dinamakan. Jadi, secara langsungnya 1MDB tidak terlibat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO.

Tambah Najib lagi, saman tersebut juga tidak menyebut 1MDB mempunyai aset di AS, selain tidak mengambil pandangan mana-mana daripada 1MDB atau pun pihak berkuasa di Malaysia.
Apa yang Najib cuba gambarkan kepada rakyat dengan reaksinya yang sedemikian rupa itu?

Adakah Najib mahu menggambarkan 1MDB tidak bersalah dan AS sebenarnya yang salah?

Adakah Najib tidak faham mengenai tindakan Jabatan Kehakiman AS itu atau ini satu lagi percubaan untuk memperdaya pakcik kampung dan makcik Felda tentang putih bersihnya 1MDB itu?

Dalam kes saman sivil tersebut, adalah jelas disebut harta-harta itu mahu disita kerana kerana ia dipercayai dibeli dengan menggunakan wang 1MDB yang dilencongkan. Harta-harta bernilai RM4,000 juta itu dibeli sebagai kaedah mencuci wang haram atau penggubahan wang daripada 1MDB yang pihak AS dapat kesan berjumlah RM14,000 juta atau AS$3.5 bilion.

Empat pemilik harta yang disebut itu ialah Jho Low, Riza Aziz, Khadem Al-Qubaisi dan Mohamed Al-Badawy.

Dalam hal ini, memanglah nama 1MDB tidak disebut dalam saman sivil yang difailkan kerana 1MDB adalah mangsa kecurian. Apabila mahu menyita harta, yang dinamakan sudah tentu yang disyaki pencurinya, bukan pihak yang kena curi. 

Mereka yang dipercayai mencuri duit 1MDB itulah yang membeli harta-harta, membuat filem, berjudi dan sebagainya dengan wang tersebut. Oleh itu, siapa pun faham 1MDB memang tiada harta di AS, tetapi daripada wang 1MDB yang dicuri itulah mereka membeli pelbagai harta.

Tetapi adakah 1MDB tidak terlibat?

Jangan lupa, dalam kenyataan Peguam Negara AS , Loretta Lynnh itu juga beliau menyebut tentang komplot mencuri wang 1MDB dan ia didakwa dilakukan berkali-kali.

Apabila disebut komplot, bermakna ada pakatan tertentu yang dilakukan melibatkan pihak-pihak dalam 1MDB sendiri untuk menjayakan pencurian wang  itu. Sebab itu, pihak AS mengesan wang yang dicuri ialah sebanyak AS$3.5 bilion atau RM14,000 juta manakala Laporan Audit pula mengesan jumlah pengaliran wang yang tidak dapat disahkan berjumlah AS$7 bilion atau RM28,000 juta.

Bermakna, adalah tidak tepat untuk Najib mengatakan 1MDB tidak terlibat dalam saman Jabatan Kehakiman AS itu. Lagi pun, ini baru peringkat permulaan, selepas saman sivil dilakukan dan harta-harta dapat disita bagi mengelakkan mereka yang disebut namanya itu mencairkan harta-harta tersebut, ia pasti akan disusuli dengan saman jenayah akhirnya.

Hakikatnya, bukan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan Jabatan Kehakiman itu, bahkan 1MDB adalah punca segala-galanya. Melalui 1MDBlah munculnya Jho Low dan kemudiannya wujud pula PetroSaudi, IPIC, Khadem, Mohamed Al-Badawy, Riza Aziz dan pelbagai nama yang lain.

Dalam maklumat Jabatan Kehakiman AS dan FBI itu juga mereka mempunyai maklumat bahawa Malaysian Official 1 turut menerima wang yang dipercayai bersumberkan 1MDB dengan jumlah keseluruhan sebanyak AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya di Ambank.

Maka, berhentilah cuba menyucikan 1MDB dengan mengatakan ia tidak terlibat dan tidak mempunyai aset di AS. 1MDB adalah punca segala masalah yang sedang berlaku ini.

Tanpa 1MDB,  tiadalah kita kenal kleptokrasi. (SH 29/07/2016).

SPRM BARU?


Seorang pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, DZulkifli Ahmad dikatakan bakal dinamakan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru bagi menggantikan Abu Kassim Mohamed.
Namanya dikatakan sudah dibentangkan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu lalu.

Jawatan Dzulkifli dalam Jabatan Peguam Negara ialah Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara.

Peguam Negara sekarang ialah Apandi Ali yang dilantik secara mengejut dalam kontroversi 1MDB pada Julai tahun lalu bagi menggantikan Abdul Gani Patail yang "dibersarakan" atas alasan kesihatan.

Dalam masa yang sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Mustafar Ali diberitakan turut akan dipindahkan untuk mengetuai sebuah jabatan kerajaan yang lain yang belum dinamakan.
Mustafar difahamkan akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, petang ini.

Ini bermakna, bersekali dengan kemasukan Dzulkifli mengetuai SPRM, Mustafar juga dikeluarkan daripada agensi pencegahan rasuah negara itu.

Selepas Jabatan Peguam Negara "dirombak" dan berlaku beberapa pertukaran berikutan kemasukan Apandi pada Julai tahun lalu, kini nampaknya giliran SPRM pula bakal "dilembutkan" melalui perlantikan orang-orang baru di dalamnya.

Hmmmmm....(SH 29/07/2016)

INILAH HEBATNYA MAT MASLAN....


Hahaha....inilah sebenarnya salah satu kejayaan besar Ahmad Maslan yang kini mengetuai Biro IT UMNO dan bertanggungjawab khusus mengepalai pasukan media sosial untuk mempertahankan Najib Razak.

Dulu semasa beliau menjadi Ketua Penerangan UMNO, memang hari-hari kerjanya memberi kenyataan di media. Asal ada isu, adalah kedengaran suaranya. 

Yang paling popular ialah  jamiman dan keyakinannya bahawa harga barangan akan turun apabila GST dilaksanakan. Agaknya kerana harga barang tidak juga turun-turun sampai sekatang, maka Najib menukarkannya untuk menjaga media sosial pula.

Kini, suara Ahmad Maslan memang jarang kedengaran sehingga dalam sekian banyak isu yang timbul kebelakangan ini, ramai juga mula "rindu" kepadanya.

Tetapi, beliau tidak diam sebenarnya. Diam-diamnya adalah diam berisi. Melalui tugas barunya menjaga media sosial sekarang, salah satu kejayaannya sudah mula terserlah sehingga "orang sudah meninggal dunia" pun dijadikan kemeriahan untuk sama-sama menyokong Najib.

Sudah tentu ia suatu kejayaan yang amat-amat membanggakan Najib dan UMNO.

Siapa kata CGPA 3.85 tak hebat? (SH 29/07/2016).

Thursday, 28 July 2016

KENAPA KJ ENGGAN MENGULAS?


Sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah portal atas talian, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan enggan memberikan sebarang komen berhubung tindakan naibnya, Khairul Azwan Harun yang membuat laporan polis terhadap tiga Tan Sri yang didakwa berkonspirasi mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Najib Razak.

Beliau dikatakan memberi isyarat demikian dengan bergegas meninggalkan majlis selepas menghadiri sebuah program di ibukota, meskipun menyedari puluhan petugas media sedang menunggunya.
Logiknya, KJ tentu sedar bahawa petugas media yang menantinya itu tidak lain ialah untuk mendapatkan reaksinya berhubung tindakan Khairul Azwan yang telah mencetuskan pelbagai persepsi dan spekulasi dalam masyarakat.

Lebih-lebih lagi, kebiasaannya juga KJ agak mesra dengan media dan tindakan bergegas itu memang jelas memberi maksud beliau enggan memberi sebarang ulasan mengenai isu tersebut.

Kenapa KJ enggan mengulas? Apa yang dibimbangkannya?

Apakah beliau sedang terperangkap dengan emosi yang tidak menentu berikutan laporan polis yang dibuat naibnya itu?

Sesuai dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bahawa pihak polis akan menyiasat Khairul Azwan terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat daripadanya, takkanlah KJ tidak boleh sekadar mengatakan "biarlah pihak polis menjalankan siasatannya" atau "oleh kerana laporan polis sudah dibuat, maka kita serahkan kepada pihak polis menjalankan tugasnya"?

Kenapa perlu melarikan diri dan buat-buat bergegas meninggalkan majlis?

Atau KJ memang sengaja membiarkan orangramai terus berandaian dan membuat bermacam-macam spekulasi berhubung laporan polis itu yang mustahil dilakukan tanpa pengetahuan dan restunya sebagai Ketua Pemuda UMNO? (SH 28/07/2016).

Wednesday, 27 July 2016

PERLUKAH MUKHRIZ TERUS BERCAKAP SEPERTI INI?


- Tun Mahathir Mohamad sudah mengumumkan penubuhan sebuah parti baru dan ia sedang dalam proses akhir penubuhannya.

- Kerjasama dengan Pakatan Harapan juga sudah diumumkan dan beberapa perjumpaan antara Tun Mahathir dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana kerap kali telah dilangsungkan.

- Semua parti dalam Pakatan Harapan iaitu PKR, DAP dan Amanah telah pun menyatakan kesediaan untuk saling bekerjasama dengan parti baru itu.

- Pas juga nampak berlembut dan sedia mempertimbangkan untuk turut sama bekerjasama.

- Sudah beberapa kali Tun Mahathir menyebut mahu memastikan UMNO dan BN kalah dalam pilihanraya akan datang dan dengan demikian Najib Razak dapat disingkirkan akhirnya.

- Ia bermakna Tun Mahathir dan semua yang lain sedar bahawa hasrat untuk menjatuhkan Najib sebelum pilihanraya sudah tertutup. Dengan majoriti pimpinan UMNO lebih terliur dengan dedak, Peguam Negara orang pilihannya dan polis lebih memihak kepadanya, logikalnya Najib tidak lagi tergugat melainkan dengan kuasa rakyat melalui pilihanraya.

- Tun Mahathir sudah keluar UMNO. Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir sendiri dipecat, manakala Shafie Apdal yang digantung membuat keputusan meninggalkan UMNO. Malah Shafie juga berkata, orang Melayu tidak akan mati tanpa UMNO.

- Jadi, perlukah Mukhriz berterusan bercakap sedemikian rupa? (SH 27/07/2016).

JIKA NAJIB TIADA RASA MALU, TIDAK MALUKAH KITA TERUS BERKETUAKANNYA?


Dua orang rakan baru balik dari luar negara. Seorang berada di Jakarta dan seorang lagi di London  ketika Jabatan Kehakiman AS membuat pengumuman untuk menyita harta-harta berkaitan  wang 1MDB yang dipercayai telah diselewengkan.

Mereka hanya menonton berita mengenai perkara itu melalui televisyen di bilik hotel masing-masing.

Apabila kedua-duanya turun ke lobi hotel tidak lama kemudian bagi urusan seterusnya, buat pertama kali meraka berasa malu sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara. Masing-masing berasakan seperti banyak mata sedang memerhati kepada mereka.

Malaysia tidak lagi menjadi bahan berita kerana membuat pelaburan ekonomi yang besar, memberi bantuan kemanusiaan, menolong negara-negara miskin yang kesusahan atau atas kejayaan cemerlang sesuatu bidang, tetapi buat julung kalinya kerana sejumlah harta dalam skala rasaksa (ini yang disebut dalam media Indonesia) bakal dirampas kerana dipercayai daripada hasil curi.

Sebagai ketua kerajaan, apakah Najib Razak tidak malu dengan nasib negara sekarang?

Jika diimbas seketika detik-detik sejak meletusnya isu berkaitan 1MDB ini, Najib boleh dikira pemimpin paling  selamba atau paling "sardin"  dalam dunia. Keselambaan dan "kesardinannya"  mengalahkan selambanya ikan sardin dalam tin.

Didedahkan dengan pelbagai isu yang menghenyak namanya, nama keluarga dan nama keturunannya sebagai anak Tun Razak yang disanjung ramai, Najib seolah-olah tidak berasa apa-apa dengan semua itu.

Jika dia mahu berjubah putih, dia akan memakainya tanpa memikirkan banyak selut kotor telah dikaitkan dengannya selama ini dan diperkatakan oleh seluruh rakyat dan dunia.

Jika dia mahu bercakap soal yang baik-baik seperti berjimat cermat, belanja berhemah, tidak membazir, jangan makan rasuah, jangan salah guna duit rakyat atau lain-lainnya, dia juga mampu berbuat selamba dan "sardin" tanpa melihat kelakuan diri dan keluarganya sendiri.

Begitu juga, dengan selamba dan "sardinnya" dia boleh mengatakan nama-nama yang disebut dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS perlu membersihkan nama masing-masing, seolah-olah Malaysian Official 1 yang turut disebut dan memiliki segala ciri-ciri dirinya adalah bukan dirinya.

Tetapi, sampai kita sebagai rakyat harus menanggung semua rasa malu kerana berketuakan Najib sedangkan tuan punya badan tidak berasa apa-apa dan hanya "sardin" saja dengannya?

Sesuatu yang harus kita sedari juga ialah selagi ada Najib, Malaysia tidak akan aman dari segala pandangan buruk pihak lain  kerana beliau sudah umpama "bangkai gajah"  yang tidak mampu ditutup dan dilindungi lagi segala onar dan kecurangannya.

Cepat atau lambat, sebelum atau ketika pilihanraya, menyingkirkan Najib haruslah menjadi keutamaan jika kita semua mahu benar-benar aman dan damai hidup di negara ini serta kembali bangga bila berada di luar negara. (SH 27/07/2016).

Tuesday, 26 July 2016

MADAH BERHELAH PEMUDA UMNO


Semalam, dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilihat tidak menyatakan dengan jelas pendirian sayap kanan parti itu sama ada menyokong dan mempertahankan Najib Razak atau tidak.

Sebaliknya,  beliau hanya mengatakan Pergerakan Pemuda UMNO mahukan kebenaran, sambil berharap kes saman sivil Jabatan Kehakiman AS terhadap aset-aset yang dikaitkan dengan 1MDB dapat diteruskan di mahkamah.

Serentak dengan itu, Khairy atau KJ juga mengatakan pihaknya turut memandang serius segala dakwaan yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS itu kerana ia melibatkan sejumlah wang yang besar yang didakwa diselewengkan.

Oleh itu, kita harap proses saman sivil itu akan berjalan supaya kita dapat kepastiannya, jelas beliau lagi.
Hari ini pula, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap bekas Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed,  bekas Peguam Negara,  Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz atas dakwaan terbabit dalam konspirasi mahu menjatuhkan Najib dan kerajaan.

Dalam laporannya, beliau mengesyaki ketiga-tiga mereka telah memberi dokumen dan maklumat sulit kepada agensi luar seperti FBI, tanpa kelulusan pihak berkuasa, termasuk Jabatan Peguam Negara.

Mengapa Pemuda UMNO tiba-tiba membuat laporan polis sedangkan baru semalam mengatakan sedia menunggu perbicaraan di mahkamah untuk mengetahui kebenaran?

Adakah ia bertujuan mahu mempertahankan Najib atau supaya lebih banyak perkara lain yang terbongkar kepada umum dan seterusnya memberi tekanan berterusan kepada Perdana Menteri?

Adalah sukar untuk mempercayai bahawa tokoh-tokoh berwibawa seperti Abu Kassim, Abdul Gani dan Zeti sanggup berkonspirasi, memberikan maklumat dan dokumen kepada pihak luar secara tidak sah seperti yang didakwa itu.

Lagi pun, baru dua hari lalu Abu Kassim mengesahkan kerjasama SPRM dengan FBI berhubung siasatan mengenai 1MDB.

Oleh sebab pihak AS meminta pertolongan dan kita hanya menjalankan kerja sepertimana yang digalakkan dalam Konvensyen Pencegahan Rasuah, PBB yang menyebut mana-mana agensi perlu memberi kerjasama dan sokongan apabila berhadapan dengan jenayah melibatkan beberapa negara, ujar Abu Kassim lagi.

Jika begitu, sudah pasti, jika ada, segala maklumat dan dokumen yang diberikan oleh SPRM kepada FBI, ia adalah sesuatu yang sah untuk mencegah jenayah dan bukannya konspirasi.
Yang nyata, dengan laporan polis itu,  Pemuda UMNO telah berjaya dari segi menghangatkan lagi isu saman Jabatan Kehakiman AS terhadap aset-aset berkaitan 1MDB agar terus dispekulasi dan dibuat bermacam-macam persepsi oleh orangramai, walaupun KJ tidak muncul di balai polis untuk sama-sama membuat laporan.

Dalam masa yang sama, dengan membuat  laporan polis juga, walaupun ia kelihatan seolah-olah mahu melindungi dan membela Najib, ia juga seperti pengesahan terbuka terhadap tanggapan umum bahawa maklumat yang ada di tangan FBI itu adalah benar-benar kukuh dan boleh dipercayai.

Dengan melibatkan tiga tokoh yang pernah mengetuai SPRM, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara dalam dakwaan terbabit konspirasi mahu menjatuhkan Najib yang mana ketiga-tiganya pernah bekerjasama dalam menyiasat isu-isu berkaitan 1MDB dan derma RM2,600 juta, tetapi tidak sampai kepada proses pendakwaan kerana ditolak oleh Peguam Negara Apandi Ali, laporan polis itu juga secara tidak langsung seperti serampang dua mata bertujuan merangsang mereka yang terbabit mengesahkan sejauh mana kebenaran kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman AS itu.

Jika itu berlaku, bertambah lagilah sengsara jiwa Najib mendepani hari-hari mukanya.

Tidak seperti banyak pihak lain pro Najib yang secara lurus bendul mempertikaikan tindakan Jabatan Kehakiman AS dan FBI seperti mengatakan ia cubaan campurtangan asing dan sebagainya, Pemuda UMNO nampaknya memilih simpang lain yang penuh helah dengan meletakkan isu perbicaraan saman sivil itu lebih daripada sekadar membongkar kebenaran semata-mata.

Apakah ini menandakan usaha menyingkirkan Najib secara dalaman sudah bermula secara perlahan-lahan? (SH 26/07/2016).

DUA TUGAS UTAMA YANG MENANTI NAJIB


Dalam waktu yang terdekat ini, di sebalik ada yang masih tertanya-tanya dan ada juga yang sudah membuat laporan polis, tugas utama Najib Razak ialah membuat pengesahan secara terbuka, jujur serta ikhlas mengenai siapakah Malaysian Official 1 yang sebenarnya.

Biar pun Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan sebahagian besar yang lain tanpa ragu-rayu menujukan gelaran itu kepada Najib, tetapi tidak ada sesiapa yang mengesahkannya setakat ini.

Jika Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, Najib sebagai Pahlawan Bugis yang selalu membanggakan dirinya sebagai "gentleman", beliau haruslah berani mengakuinya secara terbuka.

Kalau bukan, berterus-teranglah juga dengan segala hujah dan silat kuntau yang ada untuk menafikan bahawa Malaysian Official 1 itu adalah dirinya.

Tetapi sehingga ini Najib masih lagi diam. Rosmah Mansor, Zahid Hamidi dan lain-lain pemimpin  UMNO juga diam. Malah "blogger serta facebooker 900"  juga diam tidak berkata apa-apa.

Oleh itu, siapa Malaysian Official 1 itu terus dalam kekaburan minda rakyat Malaysia serta menjadikan semua orang terus berteka-teka.

Selain mengesahkan identiti Malaysian Official 1, tugas kedua Najib ialah mengesahkan sekali lagi, juga dengan secara terbuka, jujur dan ikhlas, mengenai wang berbilion-bilion ringgit yang pernah masuk ke dalam akaun bank peribadinya.

Najib sebelum ini mengatakan wang itu sebagai derma daripada Timur Tengah, manakala Peguam Negara menyebut wang tersebut diterima daripada salah seorang anak raja Arab.

Namun, dalam maklumat yang ada di tangan FBI dan Jabatan Kehakiman Kehakiman AS, mereka mengatakan wang yang secara keseluruhannya berjumlah AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi dimAmbank milik Malaysian Official 1 adalah bersumberkan daripada wang 1MDB yang dilencongkan.

Tidak ada sama sekali nama anak raja Arab atau penderma Timur Tengah disebut dalam laporan FBI dan Jabatan Kehakiman itu.

Adakah Najib dan Malaysian Official 1 orang sama atau individu yang berlainan?

Siapakah sebetulnya yang menerima wang berbilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya?

Dua persoalan ini sedang memeningkan kepala rakyat Malaysia di mana khabarnya jualan pil panadol juga mendapat permintaan tinggi dan banyak habis di pasaran.

Jika Najib mengesahkan Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, beliau harus menjelaskan sekali lagi bagaimana wang berbilion ringgit itu diperolehinya.

Adakah ianya daripada penderma Timur Tengah atau daripada 1MDB?

Najib tidak boleh berdalih atau kelentong lagi kerana kali ini maklumat mengenai wang itu bukan lagi sekadar ada dalam pengetahuan WSJ atau Sarawak Report saja, tetapi sudah ada dalam tangan FBI dan Jabatan Kehakiman AS.

Kiranya Najib menafikan Malaysian Official 1 itu adalah dirinya, beliau juga perlu menjelaskan siapakah orang lain yang menjadi Malaysian Official 1 itu?

Rakyat tentunya berhak tahu identinya sebenar Malaysian Official 1 itu kerana ia disebut dengan jelas telah menerima berbilion-bilion ringgit wang yang dicuri daripada 1MDB. 

Rakyat juga ingin tahu bagaimana orang berkenaan membelanjakan wang sebanyak itu.

Dengan dapat menunjukkan bahawa Malaysian Official 1 itu bukan dirinya, Najib sekurang-kurangnya sudah terlepas daripada bebanan dikaitkan dengan wang 1MDB. 

Beliau boleh terus mengatakan wang yang diterimanya itu adalah daripada  penderma Timur Tengah atau anak raja Arab. Lebih menimbulkan keyakinan jika Najib juga dapat berterus-terang memperkenalkan nama penderma tersebut kepada umum.

Inilah dua tugas utama Najib dalam waktu terdekat ini, sekurang-kurangnya sebelum fasa saman sivil Jabatan Kehakiman AS bertukar menjadi saman jenayah. (SH 26/07/2016).

Monday, 25 July 2016

DIA YANG KALUT, DIA PULAK YANG MENYERU BERSABAR...


Entah gerangan apa, tiba-tiba saja Salleh Said Keruak meminta semua pihak agar bersabar, kurangkan bercakap serta tidak membuat pelbagai andaian sehingga proses berkaitan saman sivil Jabatan Kehakiman AS terhadap harta-harta yang dikaitkan dengan 1MDB, benar-benar selesai.

Kata beliau, sementara menunggu proses itu, rakyat hendaklah bersabar dan tidak asyik bercakap atau membuat pelbagai andaian mengenainya.
Peguam AS akan membuat siasatan dan tanggungjawab kita hanyalah perlu menunggu kerana kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun...kalau sesiapa bersalah, mereka harus dihukum, tambahnya.

Ehhh...siapa yang tak sabar, paling banyak bercakap dan tidak henti-henti membuat pelbagai andaian mengenai tindakan Jabatan Kehakiman AS itu?

Tidakkah disedari bahawa beliau adalah satu-satunya pemimpin yang paling kalut sejak dua tiga hari kebelakangan ini?

Tidak cukup bercakap dengan wartawan dan mengeluarkan kenyataan, Salleh juga turut menulis di blognya untuk mengulas berkenaan apa yang berlaku di Amerika sana.

Mari kita lihat cakap-cakap dan andaian Salleh berikutan tindakan Jabatan Kehakiman itu.
Kenyataan 1 - inilah kenyataan berupa andaian dan tanda tidak sabar.

Kenyataan 2 - cepat pula menuduh bermotif politik, sabar dan biarlah AS selesaikan prosesnya dulu.

Kenyataan 3 - sekali lagi, tanda tidak sabar, banyak bercakap dan suka buat andaian.

Kenyataan 4 - sempena hari lahir Najib juga Salleh sempat lagi buat andaian.

Kenapa tiba-tiba minta rakyat bersabar, kurangkan bercakap dan jangan membuat banyak andaian?

Dia yang kalut, dia pula tiba-tiba minta rakyat bersabar dan jangan membuat banyak andaian!!

Mimpi apa malam semalam bahh?  (SH 25/07/2016).

BERSIHKAN NAMA? KENAPA NAJIB TAK MINTA SAMA MALAYSIAN OFFICIAL 1 BERSIHKAN NAMANYA?

Berdepan asakan berterusan terhadap imej dan wibawanya sebagai Perdana Menteri berikutan tindakan hak perlucutan sivil yang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS, Najib Razak meninta mereka yang disebut dalam kertas mahkamah itu agar segera membersihkan nama mereka.

Pada  masa yang sama, beliau mahu juga individu-individu tersebut bertanggungjawab atas tindakan yang  mereka lakukan.

Kerajaan berpegang kepada prinsip untuk memastikan tiada wang rakyat disalahgunakan oleh mana-mana pihak, tegasnya.

Waduh, waduh...bersihkan nama dan bertanggungjawab sendiri kerana kerajaan berpegang kepada prinsip tiada wang rakyat boleh disalahgunakan kononnya.

Syahdunya kata-kata seumpama itu. Burung terbang pun boleh tiba-tiba jatuh ke bumi kalau mendengar  Najib mengucapkannya!!

Dua rakyat Malaysia yang disebut secara jelas dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman itu  tidak lain ialah Jho Low dan Riza Aziz, anak tirinya sendiri.

Bagaimana kedua-duanya mahu membersihkan nama mereka?

Untuk berdepan undang-undang Amerika yang secara jelas mengaitkan perlucutan hak sivil harta-harta itu atas inisiatif kleptokrasi atau pencurian harta negara, Jho Low dan Riza Aziz kini berdepan tugas berat untuk membuktikan ia benar-benar bersih daripada wang yang dicuri.

Tetapi, sementara menunggu tarikh perbicaraan di AS  yang kita tidak tahu bila tarikhnya lagi, Najib sendiri harus memainkan peranan membantu kedua-dua individu itu membersihkan nama mereka seiring dengan tindakan Jabatan Kehakiman AS itu.

Najib boleh melakukannya dengan mengarahkan siasatan dalam negara dibuka semula melalui sebuah suruhanjaya yang benar-benar bebas dan kemudian memastikan Jho Low dan Riza Aziz hadir untuk memberi keterangan mereka.

Tiada gunanya Najib sekadar bercakap yang dilihat semata-mata untuk menyedapkan hati rakyat, tetapi tiada  apa-apa tindakan yang diambil untuk memperbaiki keadaan dalam negara sendiri.
Selain itu, jangan juga Najib lupa bahawa dalam kertas mahkamah Jabatan Kehakiman AS itu, turut disebut ialah nama Malaysian Official 1 yang dilihat begitu berperanan besar dalam 1MDB.

Malaysian Official 1 bukan saja disebut sebanyak 36 kali yang memperlihatkan betapa besar peranan yang dimainkannya, malah turut didakwa menerima wang yang berasal daripada 1MDB secara keseluruhhannya sebanyak AS$731 juta atau melebihi RM3,000 juta.

Sehingga ini, bukan saja Malaysian Official 1 itu masih menyembunyikan identitinya yang sebenar, malah belum terdengar apa-apa penafian berkaitan nama itu yang turut disebut oleh Jabatan Kehakiman AS kerana menerima wang berbilion-bilion, juga ditaktifkan sebagai wang curi.

Tidak mahukan Najib meminta Malaysian Official 1 juga membersihkan namanya? (SH 25/07/2016).

1MDB AUTOMATIK MENJADIKAN MALAYSIA DIKENALI SEBAGAI NEGARA PENCURI


Tidak semena-mena perkataan kleptokrasi tiba-tiba popular dan menjadi sebutan ramai di sebalik tindakan menggemparkan dunia yang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS mahu menyita harta-harta yang dikaitkan dengan 1MDB.

Menurut kenyataan yang dibacakan oleh Peguam Negara AS, tindakan menyita harta-harta berjumlah kira-kira RM4,000 juta berkaitan 1MDB yang dilakukannya adalah di bawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi.

Buat seketika ramai yang tidak tahu apa itu makna kleptokrasi. Barangkali majoriti kita tidak pernah pun mendengar perkataan itu sebelum ini. Setelah ditinjau dalam google dan dicari maklumat dalam wikipedia, kleptokrasi rupa-rupanya memberi makna yang cukup memalukan kepada Malaysia.
Dalam ertikata mudah, kleptokrasi adalah kerajaan pencuri yang mencuri duit rakyat untuk memperkayakan diri sendiri dan kelompok tertentu yang dekat dengan pemimpinnya. Secara langsung ia sangat bertentangan dengan makna dan amalan demokrasi yang dijunjung selama ini. 

Di media-media sosial, barangkali untuk kemudahan pakcik kampung dan makcik Felda memahaminya, kleptokrasi disimpulkan berasal daripada cantuman perkataan "klepet"  dan "kelentong" yang berselindung di sebalik demokrasi.

Sebab itu, dalam kenyataan yang disebut oleh Jabatan Kehakiman AS, harta-harta yang disita berkaitan 1MDB itu akan dikembalikan semula kepada pemunya asalnya.

Rupa-rupanya juga, dalam kita bergembira kerana AS mahu mengembalikan semula harta-harta yang disita itu kepada kita, Malaysia juga turut mendapat malu kerana kini lebih dikenali sebagai negara kleptokrasi.

Dalam kenyataan yang disebut oleh Jabatan Kehakiman, selain harta-harta yang bakal disita, mereka juga tanpa ragu-ragu mengatakan wang RM2,600 juta yang dimasukkan ke akuan peribadi Malaysian Official 1 adalah juga berasal daripada 1MDB.

Makna kata, dalam maklumat yang ada dalam tangan Jabatan Kehakiman AS dan FBI, tidak ada sama sekali individu Timur Tengah, anak raja Arab atau sesiapa yang lain yang kononnya pernah ditemui oleh Zahid Hamidi yang dikenalpasti sebagai penderma wang tersebut.

Curi jugalah maksudnya wang RM2,600 juta itu.

Hanya kerana 1MDB, Najib Razak dan Jho Low, seluruh dunia dalam sekelip mata mula mengenali negara kita sebagai negara pencuri. 

Malu beb...melainkan bagi mereka yang sama-sama pencuri.
Keadaan ini, mahu tidak mahu, dengan sendirinya meletakkan beban yang berat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk tahun-tahun mendatangnya. Tentunya tidak ada di antara kita yang waras mahu Malaysia terus dikenali sebagai kleptokrasi atau negara pencuri.

Di dunia moden sekarang, tidak ada negara lain yang dilabel sebagai negara pencuri melainkan negara kita. Pelabur dan pelancong tentu saja akan memikir lebih daripada sekali untuk datang ke sini selepas ini.

Kecuali bagi yang tiada rasa malu, tidak terhina walau sedikit pun atau terus bergantung kepada dedak dalam kehidupan, menyingkirkan Najib, sama ada dalam masa terdekat atau ketika pilihanraya nanti, sudah menjadi keutamaan  buat semua kita.

Jika tidak, Malaysia akan terus dikenali sebagai negara pencuri untuk selama-lamanya. (SH 25/07/2016).