Di ketika desas-desus makin bertiup kencang mengenai kemungkinan tujuh pemimpin dan bekas pemimpinnya yang lantang mengkritik Najib Razak berhubung 1MDB dan derma RM2,600 juta akan diambil tindakan dalam mesyuarat MT akan datang, UMNO Bahagian Semporna, Sabah tampil melontarkan sembilan persoalan kepada pucuk pimpinan parti itu.
Bahagian Semporna diketuai oleh Mohd Shafie Apdal yang merupakan salah seorang daripada tujuh pemimpin terbabit yang kini hanya menunggu masa menerima hukuman daripada "tukang gantung", "tukang pancung" dan "tukang pecat" daripada UMNO.
Sembilan soalan itu ialah:-
1 - Adakah bersuara demi kepentingan rakyat kini bukan lagi keutamaan kepada parti?
2 - Adakah syarikat 1MDB menjadi institusi yang lebih penting, berkuasa dan lebih besar pengaruhnya berbanding UMNO?
3 - Adakah 1MDB ini milik UMNO?
4 - Adakah dengan menyokong 1MDB ini dapat menguatkan lagi parti UMNO?
5 - Adakah melalui penyingkiran, penggantungan dan pemecatan pemimpin serta bekas pemimpin UMNO, dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti?
6 - Adakah pemimpin serta Setiausaha Agung UMNO sedar majoriti ahli parti dan rakyat percaya bahawa pemimpin yang kononnya dikhabarkan sedang dipantau itu menyuarakan sesuatu isu yang sememangnya dekat dengan hati rakyat?
7 - Kuat sangatkah UMNO pada hari ini sehingga pemimpin atasan seolah-olah lupa bahawa asas perjuangan UMNO adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan pemimpin?
8 - Adakah desakan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan dan penyelewengan itu sebenarnya selari dengan kenyataan Najib sendiri sebagai Presiden UMNO?
9 - Dalam konteks Sabah pula, apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat negeri itu jika Mohd Shafie Apdal disingkirkan kerana menyatakan kebimbangan terhadap parti?
Siapakah "tukang gantung", "tukang pancung" dan "tukang pecat" yang boleh dan mampu menjawab sembilan soalan ini dengan jujur dan ikhlas?
Najib? Zahid Hamidi? Tengku Adnan? (SH 31/10/2015)