Friday, 30 January 2015

Anwar Sah Tidak Lari Ke Mana-Mana


Jauh daripada jangkaan sesetengah pihak mengenai kemungkinan melarikan diri ke luar negara pada hari penghakiman kes liwatnya yang telah ditetapkan, Anwar Ibrahim telah pun mempunyai jadual jelajahnya ke seluruh negara mulai  awal Februari depan ini.

Jadual programnya yang sudah tersebar luas itu secara tidak langsung mengesahkan bahawa Anwar tetap dengan sifat berani serta keyakinan tidak bersalahnya pada hari penentuan 10 Februari nanti.

Semalam, NGO Tibai dan peguam Zulkifli Noordin telah membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa melakukan pemerhatian lebih rapi terhadap pergerakan Anwar, termasuk merampas pasport antarabangsanya bagi mengelakkan kemungkinan kononnya Ketua Pembangkang itu melarikan diri ke luar negara.

Apa yang berlaku kepada Sirul Azhar Umar, pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang menghilangkan diri pada hari penghakiman dan kemudian didapati melarikan diri ke Australia telah dijadikan rujukan tentang kebarangkalian Anwar juga dikatakan bakal melakukan tindakan yang sama.

Namun dengan pihak Anwar sudah mengeluarkan jadual jelajahnya ke seluruh negara mulai semalam, secara langsung menafikan kemungkinan yang dibimbangi itu. Anwar kekal menunjukkan jiwa berani dan mempertahankan pendirian "lawan tetap lawan" yang menjadi pegangannnya selama ini.

Didapati bersalah atau tidak, Anwar akan menghadapinya secara berdepan dan jiwa yang kental segala kemungkinannya.

Di sebalik bibit-bibit perpecahan yang kian melebar dalam PR, terutama berkaitan hubungan Pas dengan DAP serta Pas dengan Pasma, jelajah Anwar ke seluruh negara ini adalah medan terbaik untuk kembali menyatukan semula elemen itu.

Jika Anwar dipenjarakan pula, ia adalah peluang terakhir untuk bertemu dan mendengar ucapan serta amanatnya.

Rakyat secara umumnya tetap dahagakan perubahan dan masih kecewa dengan prestasi kerajaan menguruskan pelbagai isu dalam negara sejak PRU 13 lalu. Harapan majoriti rakyat ialah PR yang dirasakan mampu menjadi alternatif kepada BN segera menjernihkan hubungan sesama mereka dan menunjukkan kematangan yang lebih baik lagi.

Memang ramai yang mengharapkan Anwar akan dibebaskan agar dapat menyusun dan memperbaiki segala permasalahan antara parti dalam PR, tetapi keinginan kepada perubahan juga sebenarnya tidak berganjak jika Anwar dipenjarakan.

Anwar yang telah memberi sumbangan besar dalam membentuk dan mengukuhkan PR selama ini, tidaklah begitu mudah dilupakan segala jasa dan sumbangannya.

Kejayaannya membentuk kekuatan pembangkang yang hampir seimbang dengan BN sehingga rakyat memperolehi pelbagai nikmat dan tidak mudah diperlekeh oleh kerajaan yang terlalu dominan adalah sesuatu yang harus diakui oleh semua pihak.

Ditambah dengan wajah dan watak Najib yang memimpin negara ketika ini, kalaulah pembangkang tidak kuat dan BN berada dalam kedudukan majoriti dua pertiga, sudah tentu kita boleh membayangkan lebih banyak hal yang mendukacitakan lagi berlaku dalam negara ini.

Sekurang-kurangnya dengan adanya pembangkang yang kuat, hak rakyat lebih dijaga dan dipertahankan dan kerajaan tidak sewenang-wenangnya bertindak.

Jika dibebaskan, PRU 14 adalah peluang terbaik untuk Anwar mengumpul kembali kekuatannya bersama PR, tetapi kalau takdirnya dipenjarakan pula, ia bukanlah pula zaman senang-lenang untuk BN dan kerajaan menghadapi pilihanraya akan datang. (SH 30/01/2015)

Wednesday, 28 January 2015

Sindiran Maut Dalam Isu Rotan


Sejak ura-ura kerajaan mahu menjadikan tindakan merotan anak sebagai suatu kesalahan jenayah, pelbagai pro dan kontra diperdebatkan dalam masyarakat. Walaupun kemudian dijelaskan ada salah tafsir daripada maksud sebenarnya, perbualan mengenainya tidak terhenti begitu saja.

Renungi foto-foto di bawah ini sebagai hiburan dan juga sindiran...(SH 28/01/2015)

Anak mungkin berani ugut ibu-bapa...

Kalau merotan suatu jenayah, mungkin tidak jika menggunakan gergaji...

Atau menggunakan senapang...

Tuesday, 27 January 2015

Jangan Risau, Anwar Tak Mungkin Lari Ke Luar Negara!!


Menjelang tarikh penghakiman  kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim pada 10 Februari depan, sudah mulai kedengaran cakap-cakap mengenai kemungkinan beliau turut melarikan diri ke luar negara sebagaimana yang dilakukan oleh Sirul Azhar Umar, pesalah hukuman mati dalam kes pembunuhan Altantuya yang tiba-tiba menghilangkan diri ke Australia.

Mereka yang berandaian demikian yakin bahawa Anwar akan didapati bersalah pada 10 Februari nanti dan satu-satunya cara untuk mengelak daripada dipenjarakan ialah dengan melarikan diri ke luar negara.

Kata mereka yang arif lagi bijaksana itu, dalam usianya sekarang, Anwar tidak sanggup menghuni penjara sekali lagi dan melarikan diri ke luar negara adalah pilihan terbaik baginya.

Lagi pula, tambah mereka, banyak negara sedia menerima dan memberi perlindungan politik kepadanya.

Di luar negara nanti, kata mereka, Anwar secara perlahan-lahan akan memohon perlindungan politik serta terus melakukan serangan politiknya daripada jauh.

Sehubungan itu, sebagai langkah awal mengelakkan ianya berlaku, adalah dijangka beberapa NGO pro UMNO akan tampil bersuara dalam beberapa hari ini untuk mendesak polis dan Imigresen melakukan pemantauan yang lebih ketat terhadap Anwar.

Desakan yang sama juga dijangka akan dilakukan keatas Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi agar melakukan sesuatu yang lebih proaktif bagi memastikan Anwar tidak meninggalkan negara sebelum 10 Februari dan seterusnya berada di mahkamah pada tarikh tersebut.

Soalnya, benarkah Anwar akan melarikan diri sebagaimana Sirul?

Mengikuti perjalanan politik Anwar sejak zaman mahasiswa sehinggalah sekarang,  beliau bukanlah seorang yang penakut. Selain pernah dipenjara kerana  ISA ketika berusia awal dua puluhan, Anwar juga dipenjarakan sekali lagi sebaik dipecat daripada kerajaan pada 1998.

Beliau juga pernah diaibkan dengan pelbagai dakwaan yang kemudian tidak dapat disahkan, menjalani proses mahkamah yang panjang lagi memalukan, tetapi semangat "lawan tetap lawan" kekal menjadi pegangannya sehingga ke hari ini.

Jika ingin melarikan diri dan meninggalkan perjuangannya, Anwar sebenarnya lebih berpeluang melakukannya sebelum ini lagi tetapi tidak tercuit sedikit pun untuk melakukannya kerana ia bukanlah darah sejatinya sebagai pemimpin dan ahli politik.

Anwar bukan saja mempamerkan jiwa berani dan cekalnya selama ini, bahkan dalam ucapannya juga kerapkali mengingatkan bahawa menjadi pemimpin mestilah disertai dengan keberanian.

Lebih dari itu, dalam kes liwat ini pula, selain dibarisi peguam-peguam yang handal, Anwar juga tidak pernah luntur dengan keyakinah bahawa beliau akan dibebaskan pada 10 Februari nanti.

Dengan keyakinan tersebut, tentulah tidak mungkin beliau melarikan diri semata-mata untuk mengelak daripada hukuman penjara terhadapnya. Kebimbangan bahawa Anwar akan melarikan diri sebenarnya hanyalah igauan semata-mata jika dilihat berdasarkan sejarah panjang perjuangannya selama ini.

Anwar akan terus melawan, sama ada dibebas atau dipenjarakan. Jika dibebaskan, beliau akan melawan sebagai pemimpin yang bebas dan merdeka dan jika dipenjarakan pula, beliau tetap ada cara meneruskan perjuangannya dari celah-celah tiang besi yang memenjarakannya. (SH 27/01/2015)

Monday, 26 January 2015

"Que Sera Sera" - Untuk Anwar Atau Najib?


Mahkamah Persekutuan akhirnya menetapkan 10 Februari ini sebagai tarikh mengumumkan keputusan kes liwat kedua melibatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membebaskannya atas tuduhan itu tetapi Mahkamah Rayuan kemudian menyabitkannya bersalah dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah proses yang terakhir dalam undang-undang dan akan menentukan sama ada Anwar akan menjadi manusia bebas atau bakal menjadi penghuni penjara sekali lagi.

Lebih dari itu, keputusan pada 10 Februari juga amat ditunggu-tunggu kerana ia turut menentukan hidup mati Anwar dalam politik dan sama ada cita-citanya menjadi Perdana Menteri dapat dicapai atau sebaliknya.

Jika dibebaskan, peluangnya  bersama PR  dalam PRU 14 menjadi terbuka semula, tetapi jika dipenjarakan, dalam usianya yang sudah menjangkau 64 tahun ketika ini, ramai yang mengandaikan semuanya sudah berakhir bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar sendiri menyedari hakikat itu. Lantaran itu reaksinya mengenai tarikh 10 Februari ini ringkas saja iaitu "que sera sera" atau "apa nak jadi, jadilah".

Selain sudah berusaha dan berdoa, apa yang mampu dilakukan oleh Anwar hanyalah berserah atau bertawakal saja. "Que sera sera" yang diucapkannya adalah petanda beliau sudah bersedia segala-galanya, sama ada dibebaskan atau dihumban ke penjara sekali lagi.

Apa nak jadi, jadilah. Tepat sekali ungkapan itu.

Tetapi dalam perkembangan politik semasa yang melibatkan Perdana Menteri, Najib Razak yang semakin diasak oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sehingga penilaian ahli UMNO terhadapnya sudah terbelah dua dan persepsi rakyat pula berpecah-pecah, ungkapan "que sera sera" itu  lebih mendalam maksudnya.

Memang terlihat Anwar menujukan ungkapan itu kepada dirinya, tetapi secara tidak langsung seperti sedang melantunkannya kepada Najib juga.

Sebarang hukuman yang bakal dijatuhkan pada 10 Februari nanti tidak saja melibatkan Anwar tetapi juga menentukan masa depan Najib sendiri.

Memenjarakan Anwar mungkin menyebabkan UMNO dan BN lebih selesa berhadapan dengan PR dalam pilihanraya umum akan datang tetapi ia barangkali juga menyebabkan kebangkitan rakyat yang lebih merata atas dasar simpati kepada Ketua Pembangkang itu.

Ditambah jika Azmin Ali yang kini menjadi Menteri Besar Selangor mengambil alih teraju PR bersama calon-calon muda daripada Pas, PKR dan DAP dalam pilihanraya nanti,  penerimaan rakyat terhadap wajah baru PR ini mungkin juga lebih memberangsangkan dan mampu menenggelamkan BN.

Dengan dipenjarakan juga, memainkan isu Anwar dengan gambaran yang pelbagai seperti  pro Cina, agen Amerika, tali barut Yahudi, plural agama dan sebagainya untuk tujuan menakut-nakutkan rakyat, secara automatik sudah menjadi tidak relevan lagi.

Dalam perseteruan yang makin memuncak antara Najib dengan Mahathir serta Daim juga, menyumbat Anwar ke penjara menyebabkan Perdana Menteri kehilangan sama-sekali talian hayat yang boleh menghulurkan tali kepadanya daripada dilemas dan ditenggelamkan.

Lebih mungkin lagi, dengan mendekapnya Anwar di penjara juga, Mahathir, Daim dan penentang Najib dalam UMNO semakin agresif lagi untuk menyingkirkannya sebagaimana paluan gendangnya sudah pun bermula sekarang.

Membebaskan Anwar pula, sekadar menjadikan Anwar insan suci daripada sebarang kaitan melibatkan seks dan liwat. Tetapi Najib hanya perlu menghadapi Anwar dan PR dalam pilihanraya ke 14 yang dijangka diadakan pada 2018 dan tempoh itu agak lama lagi.

Dalam tempoh itu, walaupun serangan, terutamanya daripada Mahathir  yang tidak gembira kerana Anwar dibebaskan kian meningkat, tetapi Najib mempunyai beberapa pilihan untuk menyelamatkan dirinya.

Anwar yang sudah terhutang budi dengan Najib tentu saja lebih senang untuk diajak berunding dan berpakat-pakat, lebih-lebih lagi Mahathir dah Daim sudah menjadi musuh bersama mereka.

Berbanding jika dipenjara, Najib hanya terkapai-kapai keseorangan. Hanya bercantum dengan Anwar dapat mengukuhkan kedudukan Najib daripada serangan Mahathir dan Daim sedangkan kelebihan itu tidak muncul jika bekerjasama dengan lain-lain kelompok, waima Pas sekali pun.

"Que sera sera" - diucapkan oleh Anwar dan ditujukan kepada dirinya sendiri, namun hakikatnya Najib harus memikir lebih mengenainya. (SH 26/01/2015)

Berdoa dan bertawakal...

Sunday, 25 January 2015

Sirul, Pesalah Hukuman Mati Yang Berpeluang Jadi Hero


Biasanya apabila seseorang itu sudah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman, lebih-lebih lagi atas kesalahan membunuh, ramai yang akan berkata, "itulah balasan yang sepatutnya diterima".

Jika pesalah itu dapat melarikan diri pula, dia lebih dikecam lagi kerana dianggap tidak menghormati undang-undang dan hanya "berani buat tapi tak berani tanggung" atas perbuatannya.

Yang lain akan memperlekeh, "berani buat, kena beranilah tanggung" manakala yang budiman pula akan berkata, "sebab itu kena fikir sebelum buat sesuatu".

Tetapi kelaziman itu berbeza dengan Sirul Azhar Umar, pesalah yang dijatuhkan hukukan mati bersama Azilah Hadri oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan membunuh model kelahiran Mongolia, Altantuya Sharibuu.

Ketiadaannya di mahkamah ketika hukuman mati dijatuhkan dan kemudian didapati sudah melarikan diri ke Australia sejak dua bulan sebelum itu, sebaliknya lebih mengundang pujian dan sanjungan. Beliau dianggap bijak dan berotak geliga, bukan saja kerana melarikan diri tetapi juga sebab memilih Australia, sebuah negara yang tidak melaksanakan hukuman mati, sebagai destinasinya.

Walaupun Sirul kini sudah ditahan oleh pihak berkuasa Australia berikutan Interpol sudah meletakkan tanda merah pada namanya, namun dilaporkan beliau juga ditahan di pusat tahanan berkeselamatan tinggi di Sydney.

Australia pula mustahil memenuhi tuntutan Malaysia  agar Sirul dibawa pulang berikutan undang-undang negara itu menghalang seseorang yang bakal dihukum mati daripada diekstradisi. Mereka hanya sedia menghantar pulang jika hukuman mati dikurangkan kepada penjara saja.

Sekiranya ada pula usaha kerajaan Malaysia untuk melakukan ekstradisi melalui saluran mahkamah di Australia,m peguam Sirul di negara ini sudah pun berikrar untuk melawan dan mempertahankan hak anak guamnya daripada menerima hukuman tali gantung.

Dalam masa yang, selain kerajaan Australia, rakyat dan pejuang-pejuang hak asasinya sudah tentulah akan bermati-matian mempertahankan undang-undangnya mereka sendiri yang menghalang ekstradisi hukuman mati itu.

Secara hukum akal, memang nampak mustahil untuk melihat Sirul dapat dibawa ke Malaysia untuk menjalani hukuman matinya. Beliau kini nampak selamat berada di Australia - sekurang-kurangnya daripada jerutan tali gantung, walaupun diletakkan di sebuah pusat tahanan.

Berserta pujian dan sanjungan atas keberaniannya melarikan diri serta dianggap cerdik kerana memilih Australia sebagai destinasi pelariannya, Sirul kini semakin kuat diminta mendedahkan semua kebenaran mengenai pembunuhan Altantuya daripada negara kangaroo itu.

Jika dinilai suara rakyat melalui media sosial dan perbualan hari-hari pelbagai kelompok masyarakat, tiada satu pun yang menyalahkan Sirul kerana melarikan diri itu. Kesalahan lebih banyak diletakkan kepada pihak polis, Imigresen serta pendakwaraya yang gagal menghalangnya daripada lesap begitu saja.

Setelah berjaya melarikan diri dan mengelak hukuman mati, ramai yang menunggu beliau mendedahkan semua kebenaran mengenai pembunuhan Altantuya dari Australia. Jika tindakannya melarikan diri sudah dianggap cerdik dan berani, mendedahkannya pula, bagi kebanyakan orang, pasti akan menjadikannya sebagai "hero".

Ramai yang ingin tahu siapakah yang mengarahkannya melakukan pembunuhan itu? Walaupun buat pertama kali dalam sejarah, mahkamah membuat keputusan motif tidak penting dalam pembunuhan Altantuya ini, lawak jenaka ini hanya dapat dihentikan jika Sirul berani mendedahkan segala-galanya.

Apakah pula maksud keterangannya di mahkamah sebelum ini bahawa beliau adalah "kambing hitam" semata-mata? Dalam masa yang sama, sebagaimana pengakuan Sirul kepada ibunya bahawa beliau diarahkan oleh seseorang, inilah juga masanya untuk mendedahkan siapakah orang yang dimaksudkan itu?

Ramai juga ingin tahu siapakah yang dihubunginya daripada Puncak Alam, tempat Altantuya diletupkan dengan bom C4 sebaik tugas membunuh itu selesai sebagaimana yang direkodkan dalam log telefon bimbitnya?

Sejujurnya kes perbicaraan melibatkan Altantuya terlalu banyak peliknya. Selain motif dianggap tidak penting, DSP Musa Safri yang ketika kejadian merupakan ketua pengawal peribadi Najib Razak tidak dipanggil memberi keterangan, keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Razak Baginda juga tidak dirayu oleh pihak pendakwa.

Berbeza dengan kes liwat Anwar Ibrahim yang juga dianggap berprofil tinggi, keputusan Mahkamah Tinggi melepaskan Ketua Pembangkang itu bukan saja pantas dirayu, bahkan pasukan pendakwaraya juga ditukar dengan diambil alih oleh Shafee Abdullah yang lebih dikenali sebagai peguam UMNO, walaupun berulangkali cuba menegakkan benang lembab bahawa kes itu tidak melibatkan UMNO dan kerajaan.

Semua kesangsian dan tanda-tanya yang masih berbaki di hati rakyat, khususnya mengenai Najib dan Razak Baginda dalam kes pembunuhan Altantuya hanya terungkai jika Sirul memilih untuk berani bercakap dengan berpaksikan kebenaran dalam kata-katanya. Siapa pun meragui bagaimana seorang polis UTK boleh membunuh dan meletupkan seseorang yang tidak dikenalinya, kecuali ada arahan yang diterimanya.

Realitinya, memang tali gantung sudah semakin jauh daripada leher Sirul. Sama ada selepas ini beliau terus berada di Australia atau berjaya dibawa pulang ke Malaysia, yang menunggunya bukan lagi hukuman mati.

Tetapi jika berani mendedahkan kebenaran pula, selain dapat membersihkan namanya, gelaran "hero" juga sedang menunggunya. (SH 25/01/2015)

Saturday, 24 January 2015

Apakah Godaman Media Sosial Ini Kerana Najib Makin Kepanasan?


Minggu ini menimbulkan banyak suasana yang berbeza kepada para blogger dan pengamal media sosial di negara kita. Sementara sebahagian daripada mereka yang menjadi penyokong dan pendokong Najib sedang "dihadiahkan" dengan "program jalan-jalan" di kota London, sebahagian yang lain pula ditinggalkan dalam negara tanpa memperolehi apa-apa.

Bagi yang menjadi pengkritik dan penegur Najib pula, ada yang terus menjalankan tugas mereka tanpa sebarang gangguan, tetapi ramai yang  sedang "menderita" kerana telah digodam akaun mereka. Pengamal media sosial pro Najib tidak pula kedengaran mengalami masalah yang sama.

Beberapa pemilik akaun FB yang tegar mengkritik Najib dan dilihat menjadi penyokong Mahathir dan Daim seperti Blue Ocean misalnya, paling teruk diserang dan akaun FBnya tiba-tiba hilang begitu saja.

Apabila dibuka akaun baru, ia digodam lagi dan membuatkan beliau telah membuka empat akaun dalam tempoh tiga hari ini kerana diserang tidak henti-henti setiap kali akaun baru dibuka.

Syed Rosli Jamalulail yang pernah mendesak Najib agar berundur demi menyelamatkan UMNO juga mengalam nasib yang sama. Akaun FBnya yang sudah berusia tujuh tahun turut lenyap begitu saja. Bagaimanapun beliau sudah membuka akaun baru dan mengambil sikap lebih berhati-hati menerima rakan selepas ini.

Zaharin Mohd Yasin, seorang aktivis UMNO yang dikenali ramai tetapi kerap mengkritik Najib dan kepimpinan UMNO yang lain turut tidak terkecuali menjadi sasaran penggodam. Akaun FBnya yang mempunyai ribuan kenalan turut hilang tanpa dikesan. Walaupun akaun baru sudah dibuka, tetapi mungkin memakan masa untuk mengumpul semula rakan-rakan lamanya.

Beberapa akaun FB lain yang dikenali kerap menegur Najib dan menyokong Mahathir serta Daim juga sedang mengalami nasib yang sama. Ada yang hilang dan dan ada yang gagal dimasuki oleh pemiliknya sendiri. Mereka digodam dan seolah-olah cuba dihalang daripada terus mengkritik, menegur serta memberi sokongan kepada Mahathir dan Daim.

Siapakan melakukan semua ini? Apakah ini merupakan taktik kem pro Najib untuk menyekat suara-suara pengkritik ini dari terus bersuara dan menghalang lebih banyak maklumat sampai ke telinga rakyat?

Jika itu kaedahnya, bermakna kem Najib sekarang ini sedang "kepanasan" akibat dek serangan yang makin bertalu-talu di media-media sosial berikutan semakin ramai kian berani, bukan saja menegur dan mengkritik, malah meminta Perdana Menteri segera berundur daripada tampuk kuasanya.

Apakah ini juga menandakan, oleh kerana penggerak media sosial pro Najib tidak mampu berhujah dan kurang petah menangkis serangan, maka kaedah godam pula diamalkan?

Sudah tentu pelbagai andaian timbul dan tiada sesiapa mahu mengaku melakukah kerja-kerja pengecut ini. Tidak dipastikan juga sama ada perkara in memang arahan "kepala-kepala perang"  di Putrajaya atau ia hanya kerja-kerja tepi jalan segelintir pengampu dan pembodek untuk mendapatkan sedikit upahan.

Walau apa pun alasannya, taktik godam dengan tujuan menyekat saluran maklumat daripada tersebar lebih meluas ini hanya akan memburukkan imej Najib sendiri. Sama ada beliau mengetahui, merestui atau sebaliknya apa yang sedang berlaku ini, natijah akhir yang memikul bebannya tidak lain ialah Najib dan kerajaan juga.

Sementara Najib berulangkali menyatakan beliau bersikap terbuka dalam banyak perkara, menghargai kepentingan media sosial sebagai saluran maklumat kontemporari, terutama untuk generasi muda dan mengingatkan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir, hakikat yang dilakukan oleh mereka yang dekat dengannya jelas bercanggah sama-sekali.

Semua ini menyebabkan beliau akan dinilai sebagai pemimpin yang "cakap tak serupa bikin" dan cuba menutup kebebasan yang selalu dilaung-laungkannya.

Berbanding hujah dilawan dengan hujah, mematikan serangan lawan dengan taktik godam, sebenarnya langsung tidak berkesan. Mereka yang digodam bukan saja lebih bersemangat, bahkan mungkin melebarkan rangkaiannya dengan membuka lebih banyak akaun lagi. 

Akhirnya, tukang godam juga lebih letih dengan kerja-kerja godaman mereka. (SH 24/01/2015)

Friday, 23 January 2015

Jika Benar Mahu UMNO Berubah, Najib Mesti Berani Adakan Pemilihan Sebelum Pilihanraya


Antara intipati  ucapan Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014 yang lalu ialah:-

"Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change.  Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini".

Malangnya isi yang amat penting dalam ucapan Muhyiddin itu, bahkan selaras dengan seruan perubahan atau dalam slogan lengkapnya "rebah jika tidak berubah" sebagaimana yang kerap diucapkan oleh Najib Razak, tidak disiarkan secara meluas di media-media arus perdana. Ia bahkan seperti cuba diselindungkan.

Dalam ucapan dan perbahasan para perwakilan pula, tidak ada sesiapa yang menyambut seruan Muhyiddin itu. Lalu, ia berakhir begitu saja dan kemudian terus dilupakan.

Tetapi berdasarkan perkembangan semasa dalam UMNO dan kerajaan ketika ini di mana suara yang menegur, mengkritik dan mendesak Najib Razak agar berundur dan meletakkan jawatan kian membesar, saranan Muhyiddin yang mahukan pemilihan diadakan mengikut Perlembagaan UMNO dan tidak lagi ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum, wajar direnung semula.

Kebimbangan ramai dalam UMNO ialah Najib yang diselubungi dengan pelbagai masalah, pekung dan kudis, lebih mungkin membawa UMNO dan BN ke lembah kekalahan berbanding menjejak mercu kejayaan dalam pilihanraya akan datang.

Asas utama kenapa Najib semakin tidak diyakini ialah beliau sendiri tidak mahu berubah sebagaimana kerapnya perkataan itu terpacul dari mulutnya. Kata-kata perubahan hanyalah retorik semata-mata tetapi tiada satu pun yang berubah, sama ada melibatkan pengurusan UMNO, kerajaan, hubungan kaum, agama, menangani krisis, masalah berkaitan isteri, pegawai dan penasihat serta pelbagai lagi.

Sebaliknya,  hutang kian bertambah, ekonomi merosot, pasaran saham dan nilai ringgit merudum, kehidupan rakyat terutama di luar bandar terjejas dan negara seolah-olah terperangkap dengan seribu satu masalah yang tidak berkesudahan.

Bagaimanapun, di sebalik semua itu, Najib tidak mahu berundur atau meletakkan jawatannya. Beliau sebolehnya ingin terus kekal menghuni Seri Perdana serta percaya rakyat parti dan rakyat masih mahukannya.

Oleh itu, satu-satunya jalan merungkai perdebatan ini ialah dengan mengadakan pemilihan UMNO sebelum pilihanraya umum dilangsungkan.

Ditambah dengan konflik yang sedang berlaku antara Najib dengan Mahathir dan Daim serta cakap-cakap yang makin meluas bahawa Perdana Menteri lebih mungkin bersatu dan "cium mulut" dengan Anwar Ibrahim bagi menyelamatkan masa depan politiknya, menjadikan saranan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO itu lebih kukuh untuk dijadikan realiti.

Sejak Pak Lah memimpin UMNO pada 2003, beliau telah memperkenalkan pendekatan menangguhkan pemilihan UMNO sehingga pilihanraya umum diadakan. Lantaran itu, perlembagaan UMNO turut dipinda dengan membenarkan pemilihan ditangguhkan sehingga 18 bulan. Ia menjadikan pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan setiap tiga tahun terpaksa mengikut tempoh pilihanraya selama lima tahun.

Alasan penangguhan itu ialah supaya UMNO terus bersatu dalam menghadapi pilihanraya. Tradisi itu kemudian diikuti oleh Najib. Tetapi di zaman Mahathir, ia tidak dilakukan dan menjadi perkara biasa pemilihan UMNO diadakan sebelum pilihanraya umum.

Isu utama yang menjadi persoalan UMNO ketika ini ialah memenangi pilihanraya. Sementara Najib ingin terus kekal, sebahagian besar ahli dan pimpinan UMNO, walaupun tidak semuanya berani berkata benar, lebih yakin harapan menang itu amat tipis jika beliau terus menjadi ketuanya.

Dua bekas pemimpin UMNO yang paling berpengaruh, Mahathir, Daim serta beberapa yang lain juga berpandangan sama, lantas tampil memberi teguran agar Najib segera meningkatkaan prestasi dan memperbaiki segala kelemahannya.

Namun, Najib bukan saja enggan melayan teguran ke arah kebaikan UMNO itu, malah cuba mempertahankan apa yang dilakukannya. Di suatu ketika Najib juga bangga mengatakan beliau adalah "brand" kepada UMNO.

Dalam menangkis serangan Mahathir serta Daim dan percubaan mempertahankan kuasa, menjadi perbualan dan keyakinan ramai juga bahawa Najib mungkin akhirnya memilih bersatu dengan Anwar kerana kedua-dua bekas pemimpin itu sudah menjadi musuh bersama mereka.

Ia terpancar daripada kesungguhan media arus perdana yang dibawah kawalan Najib mulai memberi ruang yang amat luar biasa kepada Anwar dan PKR untuk menyerang Daim.

Sementara "cium mulut"  Najib dengan Anwar tidak dianggap mustahil dan episod lawan bertukar jadi kawan adalah perkara biasa dalam politik dan percaturan kuasa, tetapi yang mungkin menimbulkan masalah ialah penyokong kedua-dua pemimpin berkenaan.

Sebagaimana penyokong Anwar masih keberatan menerima Najib, ramai ahli dan penyokong UMNO juga menolak Anwar sebagai regu Najib untuk berlawan dengan Mahathir dan Daim. Setelah memaki-hamun, mencaci dan menggelar  Anwar selama bertahun-tahun dengan pelbagai gelaran, ramai yang masih "geli" untuk menerimanya sebagai pemimpin yang disanjung dan dipuja pula.

Lantaran itu, adalah penting untuk Najib bersetuju dengan saranan Muhyiddin agar pemilihan UMNO diadakan mengikut perlembagaannya dan tidak lagi ditangguhkan. Mengikut perlembagaan, pemilihan UMNO sebelum ini ialah pada 2013 dan yang seterusnya mesti diadakan pada 2016.

Hanya dengan mengadakan pemilihan UMNO mengikut jadualnya, Najib dapat menguji dirinya. Hanya dengan  membenarkan pemilihan diadakan juga,  UMNO dapat menentukan sama ada Najib terus layak memimpin parti untuk pilihanraya seterusnya pada 2018 nanti atau sebaliknya.

Jika mahukan Najib, teruslah memilihnya sebagai Presiden UMNO dan kalau dirasakan beliau lebih mungkin membawa kekalahan, inilah masanya melakukan perubahan dan memilih pemimpin lain yang lebih diyakini. Pilihlah antara Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal atau sesiapa saja yang dirasakan lebih layak.

Begitu juga dengan ura-ura Najib untuk bersatu dengan Anwar, inilah juga masanya UMNO membuat penentuan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Bagi Mahathir, Daim, Sanusi Junid dan lain-lain pemimpin yang mahu perubahan kepimpinan dalam UMNO untuk memastikan kuasa tidak terlepas ke tangan parti lain, inilah waktu paling tepat merealisasikan perubahan itu.

Dalam masa yang sama, ia juga adalah ujian kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO sama ada benar-benar mahukan perubahan dan apakah keinginan menang dalam pilihanraya masih menjadi keutamaan? 

Apa yang lebih bagusnya, jika setelah diadakan pemilihan dan ditakdirkan kalah dalam pilihanraya, tiada mana-mana pemimpin lagi yang boleh dipersalahkan mengenainya. Kiranya menang pula, ia adalah kemenangan UMNO secara mutlaknya. ( SH 23/01/2015)

Thursday, 22 January 2015

Setelah Terkait Dengan 'Raja Judi', Bersinar Lagikah Bintang Zahid?


Dua kali berturut-turut meraih undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden UMNO bagaikan tidak memberi banyak makna kepada masa depan Ahmad Zahid Hamidi sekarang ini. Hanya kerana suratnya kepada FBI berkaitan raja judi, Paul Phua, beliau kini diselubungi pelbagai persepsi yang mungkin merencatkan cita-cita politiknya.

Selain kewajarannya menulis surat kepada FBI itu dipertikai, hubungannya dengan Paul Phua juga mulai diperkatakan. Adakah beliau mengenali secara peribadi atau tidak raja judi itu? Apakah pula perlunya sebagai menteri, beliau menulis surat hanya kepada seseorang yang berjawatan timbalan pengarah dalam FBI? Kenapa tidak pihak polis saja menulis surat itu?

Kalau mahu dititip satu persatu tanda tanya masyarakat terhadap Ahmad Zahid berhubung suratnya kepada FBI itu, ia sebenarnya cukup berserakan serta amat melemaskan. Pelbagai aspek dan sudut pertanyaan bermain-main tanpa jawapan.

Penjelasan beliau baru-baru ini bahawa surat itu hanya bertujuan menjelaskan ketidakwujudan kumpulan 14K Triad di negara ini serta Paul Phua bukan salah seorang daripada anggotanya, tidak mampu  menutup banyak kesangsian orangramai mengenai wibawanya sebagai salah seorang pemimpin.

Selain bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor turut menyatakan tidak wajar Ahmad Zahid menulis surat kepada FBI kerana yang memintanya hanyalah peguam Paul Phua, penjelasan Menteri Dalam Negeri itu mengenai adanya projek-projek keselamatan negara yang dibantu raja judi itu, menimbulkan persepsi lain pula.

Sementara ada yang mendesak beliau mendedahkan apakah projek-projek keselamatan itu, ramai pula bertanya, selamatkah kita sebagai rakyat apabila sebahagian faktor keselamatan negara bergantung kepada maklumat seorang raja judi?

Apabila semalam Hishammuddin Hussein tampil menafikan beliau pernah menulis surat kepada FBI semasa menjadi Menteri Dalam Negeri sebelum ini sebagai menangkis satu lagi kenyataan Ahmad Zahid bahawa menteri sebelumnya juga pernah menulis surat kepada FBI, sekali lagi Ahli Parlimen Bagan Datoh itu menjadi sasaran persepsi negatif.

Ramai yang menyoal, benarkah pengakuannya sebelum ini ada menteri terdahulu turut menulis surat kepada FBI atau beliau tidak bercakap benar mengenainya? Sementara Hishammuddin berjaya membersihkan namanya dengan penafian itu, nama Ahmad Zahid pula bertambah kelabu kerananya.

Secara umumnya, sejak isu Paul Phua muncul, Ahmad Zahid yang selama ini diyakini dan disenangi sebagai bakal pemimpin masa depan mula terselubung dengan pelbagai persepsi yang secara perlahan-lahan menggugat keyakinan ramai terhadap wibawa, intergriti dan imejnya.

Beliau kini mulai diragui dan tidak diyakini lagi sebagai salah seorang pemimpin masa depan yang boleh diletakkan harapan untuk menjaga negara ini dengan lebih baik lagi. Kalangan dalam UMNO pula mulai sangsi, apakah dengan isu Paul Phua ini Ahmad Zahid wajar terus diberikan undi dan sokongan?

Ahmad Zahid sebelum ini diletakkan harapan tinggi dalam UMNO dan kerajaan. Ramai yang yakin, jika Najib berundur atau diundurkan dan Muhyiddin bergandingan dengan Ahmad Zahid, harapan BN untuk menang dalam pilihanraya akan datang jauh lebih cerah lagi.

Yang lain berpendapat, selepas menggungguli dua kali berturut-turut undi tertinggi bagi jawatan Naib Presiden UMNO, sudah sewajarnya beliau merebut kerusi Timbalan Presiden UMNO pula dalam pemilihan parti akan datang.

Tetapi dengan terdedahnya surat beliau kepada FBI berkaitan Paul Phua yang dikenali sebagai raja judi baru-baru ini, namanya jadi tidak seharum dulu lagi. Imejnya sudah tercalar kerana dipersoal apa pentingnya surat itu dihantar kepada FBI, apakah hubungannya yang sebenar dengan Paul  Phu serta adakah beliau bercakap benar bila mengatakan menteri terdahulu daripadanya juga pernah mengutus surat kepada FBI?

Kecuali semua perkara itu dapat dijelaskan dengan penuh meyakinkan manakala siapa menteri yang pernah menulis surat kepada FBI juga diberitahu kepada umum, laluan Ahmad Zahid pasti lebih sukar selepas ini.

Malah seorang pemimpin UMNO berkata, sekiranya pemilihan UMNO diadakan dua atau tiga bulan daripada sekarang, sudah pasti Ahmad Zahid akan kecundang kali ini.

Dalam persaingan UMNO pula, isu yang timbul melibatkan Ahmad Zahid ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada Hishammuddin merampas semula keyakinan perwakilan terhadap dirinya setelah hampir-hampir tercicir dalam pemilihan yang lalu.

Meskipun Hishammuddin juga terdedah kepada pelbagai aspek kelemahan dan kewibawaannya turut banyak diperkatakan sebelum ini, namun persepsi yang terbentuk dalam pemikiran orangramai berkaitan hubungan antara Ahmad Zahid dengan Paul Phua, seorang raja judi,  lebih parah dan sukar dipulihkan.

Ini sekaligus menjadikan, selain Najib Razak, Ahmad Zahid kini merupakan pemimpin UMNO dan kerajaan yang paling terancam kedudukannya.  Dalam UMNO, beliau diragui dan dipertikai manakala dalam kerajaan pula, imejnya sudah terhakis dan calar-balar.

Di ketika yang sama, semua ini menjadikan Hishammuddin mungkin lebih lebar senyumannya. (SH 22/01/2015)

Wednesday, 21 January 2015

Lagi Najib Membisu, Lagi Ramai Yang Meluat


Walaupun sudah berhari-hari bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin diserang dan dimalukan oleh media arus perdana sehingga SPRM juga sudah terbuka untuk menyiasat kekayaannya, tetapi sampai hari ini Perdana Menteri, Najib Razak masih lagi berdiam diri mengenainya.

Belum ada sepatah perkataan pun keluar daripada mulutnya mengenai perkara ini, meski semua orang tahu media arus perdana adalah dibawah kawalannya.

Untuk itu, Najib perlu tampil untuk menjelaskan sekurang-kurangnya tiga persoalan ini:-

Pertama, beliau perlu menjelaskan apakah mengetahui permainan yang sedang dicatur oleh pegawai dan para penasihatnya, terutama oleh individu yang bernama HR mengenai serangan terhadap Daim melalui media arus perdana itu?

Kedua, jika mengetahui, apakah beliau merestui semua tindakan yang dilakukan oleh para pegawai dan penasihatnya itu, manakala kalau di luar pengetahuannya pula, kenapa setelah heboh diperkatakan, masih juga berdiam diri mengenainya?

Ketiga, apakah selepas Daim, bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan anak-anaknya pula merupakan sasaran seterusnya untuk dimalukan melalui media arus perdana atau turut diseret kepada siasatan SPRM?

Tiga persoalan ini penting untuk dijawab dan dijelaskan oleh Najib kerana ahli-ahli UMNO seluruh negara ingin mengetahui hakikat sebenar mengenainya.

Sekarang ini, sementara ramai yang keliru di sebalik sikap berdiam dirinya itu,  dalam masa yang lebih ramai sebenarnya yang meluat dengan cara serangan yang dilakukan keatas Daim ini.  

Mereka mengatakan ini bukan cara yang betul melayan bekas pemimpin yang cuba menegur dan memperbaiki keadaan dalam UMNO serta negara.

Teguran kepada Najib, kata mereka, tidak dapat dielakkan kerana kepincangan dan kelemahan dalam mengurus parti dan negara begitu ketara sehingga kesannya dapat dirasai oleh rakyat jelata.

Mahathir pernah ditegur oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein manakala Pak Lah pula ditegur oleh Mahathir tetapi kedua-dua bekas Perdana Menteri itu tidak pula melayan teguran dan kritikan itu seburuk seperti apa yang dilakukan oleh Najib ketika ini.

Sementara Mahathir dan Pak Lah tidak takut menjawab setiap kritikan dengan hujah, Najib sebaliknya hanya berdiam diri tetapi dalam masa yang sama melakukan tindakan lain yang lebih keras dan tidak berhemah terhadap pengkritiknya.

Apa yang dilakukan kepada Daim ini memberi gambaran bahawa Najib seorang pemimpin yang tidak boleh ditegur oleh ahli dan mereka yang berada dalam UMNO. Jika menegur dan mengkritik, bersedialah menghadapi tindak balasnya.

Selepas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan yang membuat laporan polis mengenai 1MDB tetapi kemudian dirinya "ditelanjang" dan "diselongkar" sehingga kes muflisnya didedahkan serta rumahnya terjual, serangan terbuka kepada Daim jelas memperlihatkan kecenderungan ke arah yang sama.

Melalui serangan berterusan, termasuk memberi publisiti kepada Anwar Ibrahim untuk turut sama menambah rencah melalui bukti yang sedia diserahkan kepada SPRM, matlamatnya tidak lain ialah untuk mencalar dan memperlekeh imej bekas Menteri Kewangan itu.

Tetapi oleh kerana serangan kepada pengkritik daripada UMNO ini melebihi berbanding apa yang dilakukan terhadap parti-parti pembangkang, kesan politiknya lebih dirasai oleh UMNO sendiri. Walaupun ada yang menyokong, tetapi yang keliru, benci dan meluat lebih besar bilangannya.

Di sinilah pentingnya Najib tampil dengan penjelasannya. Sebagai pemimpin, beranilah berkata benar dan jangan bersikap baling batu sembunyi tangan. Kalau mengetahui dan merestuinya, berdirilah dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang yang berani.

Jika semua itu di luar pengetahuannya dan hanya kerja-kerja pegawai dan penasihatnya saja, segeralah menghentikannya sebelum ia memberi lebih banyak masalah kepada UMNO dan juga dirinya sendiri.

Namun, berdiam diri dan bisu seperti selalu bukan lagi pilihan ketika ini. (SH 21/01/2015)

Tuesday, 20 January 2015

Najib dan Anwar Bakal 'Cium Mulut'?


Ungkapan politik selau mengingatkan,  tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi. Yang kekal adalah kepentingan peribadi.

Orang-orang lama juga ada berpesan, dunia politik ini untuk mereka yang tebal kulit mukanya. Ia hanya sesuai untuk mereka yang boleh berpura-pura, sanggup buang kawan dan sentiasa terbuka untuk berbaik dengan musuh.

Yang banyak pengalaman pula ada berkata, kalau dalam matematik,  dua darab dua bersamaan empat, tetapi dalam politik jawapannya boleh jadi lain daripada angka itu.

Begitulah selalunya perjalanan politik. Paling kerap berlaku ialah kawan bertukar jadi lawan dan lawan bertukar jadi kawan. Dua orang yang bergaduh boleh berbaik bila musuh yang dihadapi adalah orang yang sama.

Dalam perseteruan antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim sejak bertahun-tahun sebelum ini serta berdasarkan rentetan peristiwa antara keduanya, barangkali di luar pemikiran semua orang tentang kemungkinan kedua-duanya boleh bersatu dan bekerjasama.

Apatah lagi penyokong Anwar dan Najib juga sama-sama agresif menyerang, mencerca dan memaki-hamun kedua-dua pemimpin itu. Jika penyokong Najib membuat serangan dengan antaranya berkaitan dakwaan liwat dan mengedarkan video seks, penyokong Anwar pula membalasnya dengan menuduh Najib sebagai "pembunuh" dalam kes Altantuya, dikawal Rosmah dan banyak lagi.

Tetapi perkembangan mutakhir ini semakin memperlihatkan Najib dan Anwar bakal bersatu dan saling "cium mulut"  antara satu sama lain. Puncanya tidak lain kerana kedua-duanya sudah mempunyai musuh yang sama - Mahathir dan Daim.

Media arus perdana yang dulunya melanyak Anwar dan parti pembangkang habis-habisan, terutama dalam isu liwat dan video seks, kini tiba-tiba memberi ruang seluas-luasnya kepada PKR dan Ketua Pembangkang itu mengenai isu rasuah melibatkan Daim Zainuddin. Tindakan media arus perdana ini secara logiknya tentulah mendapat lampu hijau daripada Najib terlebih dahulu.

Dengan Anwar pantas menyambut sedia menyerahkan bukti yang dimilikinya mengenai kekayaan Daim dan sekali lagi publisiti meluas diberikan oleh media arus perdana, ia umpama salam dan "kenyit mata" Najib sudah pun disahut dengan mesra dan penuh makna oleh Ketua Pembangkang itu.

Beberapa pemimpin UMNO juga turut mengkritik Mahathir melalui akhbar arus perdana sedangkan selama ini mereka hanya diam mengenai kritikan bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib.

Blog dan pengamal media sosial pro Najib kini lebih terbuka dan berani menyerang Mahathir serta Daim, termasuk mengungkit isu-isu lama semasa keduanya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.

Dalam masa yang sama, serangan media pro Najib kepada Anwar agak reda dan berkurangan sejak kebelakangan ini. Mahathir dan Daim lebih dimusuhi berbanding Anwar.

Sementara Mahathir dan Daim saling bergilir menyerang Najib dengan pelbagai isu kelemahan dalam kerajaan, Anwar pula hanya berdiam saja. Meskipun ada juga pemimpin pembangkang lain turut bercakap soal 1MDB misalnya, tetapi Anwar nampaknya lebih berminat tumpang sekaki dalam isu melibatkan Daim daripada turut menyerang Najib.

Dalam percaturan kuasa dan kepentingan peribadi, walaupun bergasak bagai nak runtuh dunia, realitinya tidak mustahil Najib dan Anwar boleh berbaik dan menukar hubungan lawan menjadi kawan. Selain musuh yang sama, mereka juga ada kepentingan masing-masing yang boleh dijadikan tawar-menawar.

Musa Hitam dan Tengku Razaleigh pernah bersama untuk menentang Mahathir setelah bermusuh sekian lama dalam UMNO. Mahathir dan Ku Li yang bermusuh boleh berbaik dan Musa Hitam yang dipecat juga boleh kembali menyokong Mahathir. Anwar yang selama bertahun-tahun memusuhi Pas dan DAP, segera menggamit mereka sebagai rakannya sebaik dipecat daripada UMNO dan kerajaan.

Semuanya dengan mudah boleh berubah apabila kepentingan atau musuh menjadi sama.

Dalam realiti sekarang, Najib hanya ingin terus berkuasa di Seri Perdana tetapi berdasarkan keputusan PRU 13 lalu, halangannya kini lebih sukar kerana tiada lagi sokongan daripada Mahathir dan Daim.

Anwar pula hidup mati politiknya bergantung kepada keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwatnya yang dijangka diketahui tidak lama lagi. Sementara Najib masih menghitung-hitung untung rugi antara membebas atau memenjara, Anwar tentulah lebih suka dibebaskan berbanding memimpin perjuangan daripada dalam penjara.

Di ketika yang sama, Anwar juga diketahui masih ghairah untuk kembali menggenggam kuasa. Jika Najib sedia berkongsi kuasa dan memastikannya tidak ke penjara, tambahan pula Mahathir dan Daim sudah jadi musuh bersama, membalasnya dengan sokongan bukanlah masalah besar bagi Anwar.

Dengan serangan Mahathir dan Daim yang kian berterusan ini, Najib juga mungkin terfikir beliau akan kehilangan sama-sekali talian hayatnya jika Anwar berada di dalam penjara. Najib juga tahu hanya Anwar yang sesuai untuk membantunya menghadapi serangan Mahathir dan Daim ini.

Jika kerjasama atau "cium mulut"  itu dapat diwujudkan, mungkin dengan cara Anwar bersama penyokongnya menyertai UMNO atau bekerjasama antara parti dengan PKR, Najib tentunya berasakan peluangnya mengekalkan kuasa menjadi lebih cerah lagi. Ini kerana selain undi Melayu kekal dalam genggaman melalui UMNO, perolehan undi bukan Melayu, undi bandar, separa bandar dan golongan muda kepada kerajaan boleh diperbaiki lagi dengan bantuan Anwar dan PKR.

Selain dibebaskan daripada hukuman penjara, Anwar dan pasukannya juga akan diberikan beberapa jawatan penting dalam kerajaan. Anwar mungkin diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri semula manakala yang lain akan dijadikan menteri atau timbalan menteri dalam kerajaan baru itu nanti. 

Meski tidak kesampaian untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian berjaya meletakkan orang-orang kanannya dalam kerajaan, termasuk Nurul Izzah, Rafizi, Shamsul Iskandar dan lain-lain, ia tetap merupakan kejayaan besar bagi Anwar.

Lagi pula dengan PR yang kian berpecah, terutama hubungan Pas dengan DAP yang sentiasa berbalah, ditambah dengan golongan ulama dalam Pas juga sukar diramal kehendaknya, harapan Anwar untuk berkuasa melalui gabungan itu turut kian kabur kebelakangan ini.

Berbaik dan bergabung bukan saja pilihan terbaik untuk Anwar, tetapi juga sesuatu yang sukar ditolak oleh Najib demi masa depan politiknya.

Kawan jadi lawan, lawan jadi kawan dan dua darab dua tidak semestinya empat adalah antara hukum politik yang dihalalkan demi kepentingan masing-masing. Hukum yang sama juga, jika menjadi kenyataan, akan menyaksikan penyokong Najib mencium tangan Anwar dan penyokong Anwar mencium tangan Najib. (SH 20/01/2015)

Dulu minum teh tarik bersama, kini Mahathir dan Daim juga sudah jadi musuh bersama...