Monday, 26 January 2015

"Que Sera Sera" - Untuk Anwar Atau Najib?


Mahkamah Persekutuan akhirnya menetapkan 10 Februari ini sebagai tarikh mengumumkan keputusan kes liwat kedua melibatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membebaskannya atas tuduhan itu tetapi Mahkamah Rayuan kemudian menyabitkannya bersalah dan dijatuhkan hukuman lima tahun penjara. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah proses yang terakhir dalam undang-undang dan akan menentukan sama ada Anwar akan menjadi manusia bebas atau bakal menjadi penghuni penjara sekali lagi.

Lebih dari itu, keputusan pada 10 Februari juga amat ditunggu-tunggu kerana ia turut menentukan hidup mati Anwar dalam politik dan sama ada cita-citanya menjadi Perdana Menteri dapat dicapai atau sebaliknya.

Jika dibebaskan, peluangnya  bersama PR  dalam PRU 14 menjadi terbuka semula, tetapi jika dipenjarakan, dalam usianya yang sudah menjangkau 64 tahun ketika ini, ramai yang mengandaikan semuanya sudah berakhir bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar sendiri menyedari hakikat itu. Lantaran itu reaksinya mengenai tarikh 10 Februari ini ringkas saja iaitu "que sera sera" atau "apa nak jadi, jadilah".

Selain sudah berusaha dan berdoa, apa yang mampu dilakukan oleh Anwar hanyalah berserah atau bertawakal saja. "Que sera sera" yang diucapkannya adalah petanda beliau sudah bersedia segala-galanya, sama ada dibebaskan atau dihumban ke penjara sekali lagi.

Apa nak jadi, jadilah. Tepat sekali ungkapan itu.

Tetapi dalam perkembangan politik semasa yang melibatkan Perdana Menteri, Najib Razak yang semakin diasak oleh bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin sehingga penilaian ahli UMNO terhadapnya sudah terbelah dua dan persepsi rakyat pula berpecah-pecah, ungkapan "que sera sera" itu  lebih mendalam maksudnya.

Memang terlihat Anwar menujukan ungkapan itu kepada dirinya, tetapi secara tidak langsung seperti sedang melantunkannya kepada Najib juga.

Sebarang hukuman yang bakal dijatuhkan pada 10 Februari nanti tidak saja melibatkan Anwar tetapi juga menentukan masa depan Najib sendiri.

Memenjarakan Anwar mungkin menyebabkan UMNO dan BN lebih selesa berhadapan dengan PR dalam pilihanraya umum akan datang tetapi ia barangkali juga menyebabkan kebangkitan rakyat yang lebih merata atas dasar simpati kepada Ketua Pembangkang itu.

Ditambah jika Azmin Ali yang kini menjadi Menteri Besar Selangor mengambil alih teraju PR bersama calon-calon muda daripada Pas, PKR dan DAP dalam pilihanraya nanti,  penerimaan rakyat terhadap wajah baru PR ini mungkin juga lebih memberangsangkan dan mampu menenggelamkan BN.

Dengan dipenjarakan juga, memainkan isu Anwar dengan gambaran yang pelbagai seperti  pro Cina, agen Amerika, tali barut Yahudi, plural agama dan sebagainya untuk tujuan menakut-nakutkan rakyat, secara automatik sudah menjadi tidak relevan lagi.

Dalam perseteruan yang makin memuncak antara Najib dengan Mahathir serta Daim juga, menyumbat Anwar ke penjara menyebabkan Perdana Menteri kehilangan sama-sekali talian hayat yang boleh menghulurkan tali kepadanya daripada dilemas dan ditenggelamkan.

Lebih mungkin lagi, dengan mendekapnya Anwar di penjara juga, Mahathir, Daim dan penentang Najib dalam UMNO semakin agresif lagi untuk menyingkirkannya sebagaimana paluan gendangnya sudah pun bermula sekarang.

Membebaskan Anwar pula, sekadar menjadikan Anwar insan suci daripada sebarang kaitan melibatkan seks dan liwat. Tetapi Najib hanya perlu menghadapi Anwar dan PR dalam pilihanraya ke 14 yang dijangka diadakan pada 2018 dan tempoh itu agak lama lagi.

Dalam tempoh itu, walaupun serangan, terutamanya daripada Mahathir  yang tidak gembira kerana Anwar dibebaskan kian meningkat, tetapi Najib mempunyai beberapa pilihan untuk menyelamatkan dirinya.

Anwar yang sudah terhutang budi dengan Najib tentu saja lebih senang untuk diajak berunding dan berpakat-pakat, lebih-lebih lagi Mahathir dah Daim sudah menjadi musuh bersama mereka.

Berbanding jika dipenjara, Najib hanya terkapai-kapai keseorangan. Hanya bercantum dengan Anwar dapat mengukuhkan kedudukan Najib daripada serangan Mahathir dan Daim sedangkan kelebihan itu tidak muncul jika bekerjasama dengan lain-lain kelompok, waima Pas sekali pun.

"Que sera sera" - diucapkan oleh Anwar dan ditujukan kepada dirinya sendiri, namun hakikatnya Najib harus memikir lebih mengenainya. (SH 26/01/2015)

Berdoa dan bertawakal...

11 comments:

  1. Ketika perbicaraan di mahkamah rayuan dulu, teramat pantas keputusan dibuat kerana keputusan telah disetup untuk menjatuhkan DSAI didapati bersalah dgn apa cara sekalipun. Kini mahkamah persekutuan pula mengambil masa yg lama untuk membuat keputusan, kerana mengambil masa memikirkan kong kali kong apakah yg sesuai untuk diputuskan.

    ReplyDelete
  2. Apa pun keputusannya aku tetap yakin kebenaran akan tertegak juga akhirnya kerana itu janji Allah. Masa dan ketikanya kan tiba jua. Tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang beranggapan keputusan bebas atau tidak Anwar tidak akan lagi 100% berdasarkan fakta dan hujah sebaliknya keputusan tersebut bakal dipengaruhi faktur luaran lain yang dikaitkan dengan koridor kuasa. Tidak dinafikan jika Anwar disabitkan bersalah, suhu didih kemarahan dan serangan Mahathir dan sekutunya terhadap Najib akan berkurangan secara mendadak kerana batang tubuh Anwar inilah yang paling ditakuti kelompok ini berbanding Najib sendiri. Namun terpenjaranya Anwar tidak akan memberi jaminan kekal bahawa Najib selamat dipuncak kuasa namun ianya paling menggembirakan musuh dalaman Najib sendiri.

    Jika tangan tangan ghaib ini terus menjadi penentu keputusan kes liwat II Anwar Ibrahim tanpa memperdulikan fakta fakta, maka amat malang sekali rakyat Malaysia. Selamanya institusi yang berfungsi mencari keadilan ini akan terus diragui dan tidak dihomati para warga malah non warga di seluruh dunia. Soal Anwar menang atau tidak bukan suatu yang penting sebaliknya sejauh manakah keadilan itu diberi keutamaan, itu yang harus ditegakkan. Realitinya orang ramai melihat dan berpendapat bahawa kes mahkamamah Liwat Anwar ini dan mahu pun Kes pembunuhan Altantuya telah pun berjalan dalam situasi diluar kebiasaan berbanding ratusan kes kes lain yang berprofil rendah yang mirip dengannya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada mata tengok, ada telinga dengar, ada akal fikir dan ada mulut..bercakaplah dan berkata benar. Jangan hanya setelah mata dibutakan, telinga ditulikan, akal dibiulkan, baru mulut mahu berkata kata tanpa tahu ianya benar atau tidak. Maka jangan biarkan mulut kita dibisukan ketika kita telah melihat dan mendengar perihal kedustaan yang sedang diperjuangkan kelompok tamak haloba.

      Delete
  3. Semoga anwar insaf di sungai buloh..matahari belum terbit dari barat..alam masih mengikut fitrahnya..masih belum terlambat anwar..

    ReplyDelete
  4. Saya lebih suka Anwar dipenjara.

    1. Sbb dari segi mentaliti, rakyat kita mmg bodoh dan tak berkuasa apa2. Buatlah apa yg hangpa suka, bantah atau tak bantah, tanpa kuasa, tak boleh buat apa2 jua.
    2. Takat bising dlm blog dan alam maya, tak memberi kesan apa2 kpd UMNO. Kerana doktrin UMNO dah kekal meresap dijiwa rakyat hingga ke lubang kubur.
    3. Truth will prevail(16.39). ini ayat kepalabutuh apa ini? Tak pernah dibuktikan pun. Allah Taala bukannya lemah. Tetapi Dia tak akan tolong apa2 dalam hal ni.
    4. Kalo x dipenjara, rakyat akan jadi mandom. Politik jadi lesu. Kalo dipenjara pun, fanatik Anwar pun sudah letih nak layan. Kurang2 politik mesia hidup sikik. Takat selain Anwar dipenjara, xder sorang pun berani kecoh2. Kalo Anwar dipenjara, baru best. Sbb tu aku suka.

    Tapi serius la.. UMNO dan mahkamah, takkan berani penjarakan Anwar kali ini. Saya tak berani bertaruh apa2, tapi serius, UMNO yak berani penjarakan Anwar. Gertak, sesiapa pun boleh buat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kau suka orang lain masuk penjara sebab kau tak biasa masuk penjara.

      Delete
    2. Saya hari2 masuk penjara meh. Kerja pun di penjara.

      Delete
  5. Tak perlu tunggu...jawapannya sememangnya BERSALAH ..jom masuk je..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kau ni Tuhan ke?semua kau tahu.

      Delete
  6. Penyokong Umno - mahu Anwar dipenjarakan
    Penyokong Pakatan - tidak mahu Anwar dipenjarakan

    Penyokong Umno - "pakatan akan lemah kalau Anwar dipenjarakan"
    Penyokong Pakatan - "pakatan akan bertambah kuat kalau Anwar dipenjarakan"

    Kesimpulan:

    Penyokong Umno mahu Anwar dipenjarakan supaya pakatan jadi lemah. Penyokong Pakatan tidak mahu Anwar dipenjarakan kerana tidak mahu pakatan jadi bertambah kuat.

    ReplyDelete
  7. just blogwalking.. Nice post and have a nice day :)

    ReplyDelete