Monday, 22 December 2014

PT3 Tanda Kegagalan Muhyiddin?


Hampir tidak ada ibu-bapa yang berpuas hati dengan keputusan peperiksaan PT3 yang diumumkan hari ini. Macam-macam rungutan dan rasa tidak puas hati dapat didengari mengenainya.

Di sekolah, di rumah, di kedai kopi, berbual sesama rakan dan di media sosial, terhampar luas luahan rasa tidak puas hati mereka dengan PT3 ini.

Simpati ibu-bapa kepada anak-anak mereka mengenai beban kerja persekolahan sepanjang mengikuti pembelajaran PT3 atau Pentaksiran Tingkatan 3 sejak tiga tahun lalu bertambah lagi hari ini apabila keputusannya diumumkan.

Jika dulu mereka simpati dengan beban kerja yang terlampau banyak kepada anak-anak mereka sehingga ada yang mengigau-igau dalam tidur, kini ianya bertambah parah lagi kerana sistem yang dilaksanakan secara mengejut dan tergesa-gesa itu ternyata hanya lebih banyak menumpahkan air mata kesedihan berbanding tangisan kegembiraan

Ramai murid-murid yang kecewa dan menangis dengan keputusan yang  mereka diterima. Mereka bukannya bersedih kerana gagal dan tidak memperolehi keputusan yang memuaskan tetapi berasa seperti diperbodohkan dan dijadikan bahan ujikaji semata-mata oleh Kementerian Pelajaran.

Mereka juga merasa seperti tidak berbaloi dengan usaha dan susah-payah  melakukan kerja-kerja sekolah selama tiga tahun ini.

Ini kerana sebelum ini Kementerian Pelajaran mengatakan tiada peperiksaan akan diadakan tetapi pada Jun lalu tiba-tiba diumumkan ada pula peperiksaan akan dijalankan. Sudah tentu ini menyebabkan guru-guru menghadapi masalah kekangan masa menghabiskan semua sukatan pelajaran yang ada.

Selama dua tahun sebelum ini belajar tanpa berorientasikan peperiksaan bagaikan hanya membuang masa saja.

Lebih parah lagi, cara pembelajaran yang diterima murid semasa Tingkatan 1 dan 2 juga didapati berbeza dengan bentuk peperiksaan yang dihadapi. Ini menjadikan bukan saja guru-guru garu kepala, bahkan menyebabkan murid-murid lagi pusing kepala.

Tidak hairanlah keputusannya amat mengecewakan sekali, terutama dalam subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Ramai yang gagal atau tidak mendapat keputusan memuaskan dalam ketiga-tiga subjek itu.

Tidak seperti selalunya, apabila sesuatu keputusan peperiksaan diumumkan di mana ramai murid yang bergembira dengan pencapaian mereka, tahun ini semuanya senyap dan sunyi. Tiada lagi tangisan kegembiran seperti selalunya.

Sekolah-sekolah yang sebelum ini mendapat keputusan cemerlang dan melahirkan ramai murid cemerlang dalam PMR turut memperolehi pencapaian yang buruk akibat PT3 ini.  Sekolah-sekolah berasrama penuh turut menerima kesan yang sama. Banyak sekolah  hari ini hanya dipenuhi kesedihan dan tangisan seolah-olah berlaku kematian atau malapetaka.

Dalam masa yang sama, ada sekolah yang terpaksa mengurangkan jumlah kelas Sains serta mengambil murid yang memperolehi gred D dalam subjek Sains dan Matematik untuk Tingkatan 4 pada tahun hadapan kerana kekurangan murid yang memperolehi keputusan cemerlang.

Ini tentunya memberi kesan kepada masa depan murid-murid tersebut bagi menghadapi SPM nanti. Ia juga memberi kesan kepada masa depan negara.

Sistem penilaian juga turut menjadi pertikaian di mana mereka yang mendapat F dikategorikan sebagai tidak mencapai tahap minimum sedangkan markah yang diperolehi adalah 39 peratus dan ke bawah. Ayat berlapik digunakan untuk mengaburi sedangkan mengikut gred PMR ada subjek yang memperolehi 25 peratus sudah dikira lulus.

Secara umumnya, PT3 yang dilaksanakan untuk menggantikan PMR adalah sistem yang gagal oleh Kementerian Pelajaran. Secara langsung ia juga menandakan kegagalan Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran yang memperkenalkan sistem pembelajaran baru ini.

Muhyiddin nampaknya seperti kebanyakan Menteri Pelajaran sebelum ini yang sentiasa terbelenggu dengan keinginan untuk memperkenalkan sistem pembelajaran baru semasa memegang jawatan itu tanpa memikirkan kesannya kepada guru dan murid-murid. PT3 ini juga difahamkan dirangka oleh sebuah konsultan luar negara, McKinskey & Co yang menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang turut diumumkan oleh Muhyiddin sebelum ini.

Setiap kali menteri bertukar tangan, setiap kali jugalah pelbagai sistem dan dasar baru cuba diperkenalkan. Namun semuanya dilakukan tanpa memikirkan kesannya kepada guru dan murid dan mereka seolah-olah bahan ujikaji semata-mata sedangkan sepatutnya dasar dan sistem sedia ada hanya perlu diperkemas dan ditambah baik sahaja.

Muhyiddin yang nampak gah melonjakkan namanya dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dengan imej kesungguhan terhadap masa depan parti dan Melayu serta berjaya menghalang Najib Razak daripada meneruskan pemansuhan Akta Hasutan 1948, kini sedang menjadi perbualan rakyat tentang kegagalannya sebagai Menteri Pelajaran.

Selain PT3 yang dianggap tanda kegagalannya sebagai pemimpin, Muhyiddin juga menjadi kecaman ramai mengenai keupayaan BestariNet yang turut dipertikaikan ramai guru dan murid-murid sedangkan projek itu menelan belanja yang tinggi.

Persoalannya, di mana Muhyiddin ketika ini? Jika sedang bercuti dan berehat di luar negara, pulanglah segera dan berikan penjelasan yang meyakinkan demi masa depan anak-anak bangsa kita. (SH 22/12/2014)

16 comments:

  1. Tan Shah, berapa kos konsultasi nya untuk mendapatkan sistem P3 tersebut.

    ReplyDelete
  2. semuanya telah di remote oleh pemandu..

    ReplyDelete
  3. Cukup bersetuju.

    Jangan lupa kes KSSR......statement kata nak start 2012 tapi practical 2011 dah mula. Ibubapa dah plan dan prepare anak masing2 bukan untuk KSSR, terpaksa "re-program" balik anak masing2. Perlaksanaan KSSR sampai ke hari ni masih confusekan orang...termasuk guru-guru sendiri....walaupon dah 4 tahun dilaksanakan.

    Kementerian Pelajaran ni planning memang mangkuk ayun... macam budak-budak hingusan. Contohnya lagi...tengok le cuti public holiday.... mesti last minute baru nak announce especially hari raya. Macam le cuti tu berubah. Semuanya berlaku SETIAP TAHUN.

    Sebab tu saya cadangkan kementerian pelajaran pi start masuk Tadika belajar mengira dan baca calender....

    ReplyDelete
  4. Tuan shah, saya dah katakan secara layman.menteri cap ayam dari parti cap ayam kerja tipu melayu.Yang mengundinya jadi menteri juga spesis melayu cap ayam dan kepala otak taik cap bangang.

    ReplyDelete
  5. harap najib tukar mahyudin ke kementerian lain. lebih sesuai kementerian sumber manusia. selagi mahyuddin jadi menteri pelajaran, makin ramai orang melayu benci terhadap umno. lebih parah kaum terus benci akan BN. Demi selamatkan masa depan umno/bn segeralah tukarkan mahyudin. hopeless education minister. sorry to say that.

    ReplyDelete
    Replies
    1. harap muhyidin terus di kekalkan supaya umno cepat mamposs

      Delete
  6. harap najib tukar mahyudin ke kementerian lain. lebih sesuai kementerian sumber manusia. selagi mahyuddin jadi menteri pelajaran, makin ramai orang melayu benci terhadap umno. lebih parah kaum terus benci akan BN. Demi selamatkan masa depan umno/bn segeralah tukarkan mahyudin. hopeless education minister. sorry to say that.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Anon 08:01

      Pangkah lagilah UMNO dalam setiap pru nanti.

      Najib nak tukar muhyidin ke kementerian lain? Najib nak tukar Hassan Malek pun xberani !. Sdra tahu ke siapa muhyidin, siapa Hassan Malek dalam hiraki UMNO? Kalau tak tahu saya ucap tayniahlah kepada sdra....xde sesiapa yg boleh tolong lgi

      Delete
  7. Apa menteri & pembesar Umno peduli tentang local education? Mereka hantar anak2 ke International School dan luar negara untuk belajar!

    ReplyDelete
  8. Anak aku juga jadi mangsa PT3, sains Fail, UPSR dapat 4A 1B, kakak dia dapat 7A dalam PMR tahun sebelumnya. Inilah menteri Umno yang hebat nak mamposkan anak2 melayu.Apalah salah kalau dikekalkan format asal PMR. Ibubapa, guru dan murid telah biasa dengan sistem lama.

    ReplyDelete
  9. sungguh sedih mengenangkan nasib anak bangsa ....anak aku...masa depan mereka..

    ReplyDelete
  10. Tuan,

    Saya juga ada anak yang ambil PT3. Alhamdulillah anak saya dapat straight As. Anak saya mendapat keputusan tersebut kerana dari awal lagi saya sudah faham PT3 adalah satu kerja menipu. Saya luangkan masa saya untuk memastikan dan membantu anak saya ini untuk membuat persedian dengan stail format lama,buku-buku rujukan dan latihan format lama. Saya sudah boleh agak akan hancur lebur. Saya bukan guru tetapi saya mengambil berat pelajaran anak-anak saya. Jika saya perlu berlajar fizik dari kosong, saya usahakan juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Komen rakyat srupa kepala butuh.

      Delete
  11. Inilah jadinya apabila menteri cerdik2 belaka.....yang bodohnya siapa?
    anak2 juga yang jadi mangsa dan akan jadi bahan ujikaji untuk menunjukkan dan mengekalkan kuasa tapi haprak saja!!!!

    ReplyDelete
  12. Perlaksanaan PT3 yang tergesa2 dan terburu2 tanpa memikirkan kesan pada emosi pelajar dan ibu bapa. Persediaan yang tidak cukup kepada pelajar dan guru. Sebarang perubahan yang besar seperti PT3 ini sepatutnya KPM membuat perancangan yang teratur bukannya melaksanakannya dengan terburu2. Berikan pendedahan awal kepada pelajar bermula dari tingkatan 1 kemudian barulah boleh diuji pelajar2 ini dengan soalan2 KBAT PT3. Ini tidak...disebabkan terlalu ghairah dengan PT3... pelajar hanya diberi tempoh 4 bulan sahaja untuk memahami format soalan PT3 .. guru2 sendiri pun dengan tergesa2 menghabiskan silibus yang diajar dan tiada tunjuk ajar atau latihan yang secukupnya diberikan pada pelajar untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Anak saya merupakan salah seorang mangsa PT3. Dahulunya UPSR mendapat 5A...tapi dengan PT3...hanya 6A .. lebih mengecewakan subjek sains & mate yang merupakan subjek utama hanya mendapat E. Kalaulah pendedahan format PT3 diberikan bermula dari tingkatan 1 pasti keputusannya akan lebih baik dari sekarang. Anak saya amat kecewa dengan result yang diperolehi.

    ReplyDelete